Monday, February 20, 2017

BIOGRAFI SANUSI JUNID BAB 1

PERKAHWINAN IBU DAN AYAH

Hasil perkahwinan Junid bin Cut Ali dengan Juairiah binti Nyak Osman saya telah dilahirkan di Kampung Aceh, Yan, Kedah pada hari Rabu 10hb Julai, 1943. Nyak Osman adalah pengurus perniagaan Cut Ali.

Bonda Juairiah mempunyai tujuh orang adik iaitu Abasiah, Azizah, Sayuti @ Daud, Latifah, Omariah, Pak Chik dan Aniyah. Mereka lapan beradik kesemuanya dua darinya lelaki, iaitu Yah Cut Sayuti dan Pak Chik yang nama sebenarnya saya tidak tahu. Pak Chik sama tua dengan saya sementara Aniyah lebih muda dari kami. Kedua mereka telah meninggal dunia sebelum saya masuk ke Sekolah Melayu Yan, Kedah pada tahun 1950.

TEH ABASIAH NYAK OSMAN
 
Emak saudara yang saya panggil Teh Abasiah adalah seorang yang kekal dalam kenangan manis saya kerana beliaulah tempat saya menangis apabila dimarahi oleh bonda Juairiah. Teh Abasiah telah mendirikan rumahtangga dengan Nyak Ghani bin Nyak Amin yang telah menjadi antara kumpulan peneroka pertama yang tuurut memugar hutan belantara dan menanam pokok getah di rancangan tanah FELDA Lembah Bilut, Bentong Pahang.

KEWAJIBAN MEMBAWA SENJATA
PESANAN
SULTAN ALAIDIN RIAYAT SYAH PADA TAHUN 1507

Adalah menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat Aceh untuk membekalkan anaknya dengan sebilah pisau di waktu berumur sekitar 5 tahun. Dengan pisau inilah kami telah berjalan kesana sini dalam kampong untuk menetak pokok-pokoh yang rendah yang dapat kami capai dahannya.


Amalan ini adalah satu dari 21 kewajiban yang diperturunkan oleh Sultan Alaiyiddin Riayat Shah di waktu beliau menubuhkan Negara Aceh Darussalam pada tahun 1507 masehi dengan menggabungkan Peureulak, ................., Dari 21 kewajiban itu kewajiban pertama ialah; orang-orang Aceh digalakkan membawa senjata berbentuk parang, rincong atau pedang ke mana juga dia pergi. Itulah untuk anak kecil diberi  pisau untuk bermain-main. Itulah sebabnya kita lihat ramai orang dewasa ke sana sini dengan membawa parang atau rincung sebagai persiapan. Amalan ini masih terdapat dikampung-kampung di kalangan orang yang lebih dewasa tanpa menyedari asal usulnya.

Dengan pisau inilah saya telah mengancam Yahcik Abd.Ghani bila saya mengetahui dia hendak menikah dengan Teh Abasiah kerana saya merasakan Teh Abassiah adalah milik saya dan tidak patut dirampas dari saya oleh Yahcik Abd. Ghani. Ternyata Yahcik Abd. Ghani akhirnya menjadi antara bapa saudara yang sangat saya kasihi.

PENEROKA FELDA PERTAMA MENINGGAL DUNIA
 
Yahcik Abd. Ghani juga adalah peneroka FELDA yang pertama yang meninggal dunia dalam sejarah FELDA. Saya teringat peristiwa ini kerana saya berada di Lembah Bilut pada hari beliau meninggal dunia untuk menghabiskan masa cuti sekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar.
 
Saya teringat peritiwa peniggalan Yahcik Nyak Ghani kerana pada waktu itu pihak pengurusan FELDA belum terfikir untuk menyediakan tanah perkuburan untuk peneroka. Pengurusan FELDA Lembah Bilut terpaksa menunggu keputusan ibu pejabat FELDA di Kuala Lumpur untuk menentukan tempatnya. Kebetulan Pengurus Besar FELDA yang pertama ialah Tan Sri Hanafiah Hussain dari keluarga kami dari Kampung Aceh Yan, Kedah. Sambil berjalan kesana sini dengan Raja Othman suami kepada bonda Hasanat kami telah menemui satu tempat yang sesuai untuk perkuburan di tepi jalan, di luar kawasan FELDA Lembah Bilut. Kerana harinya sudah petang pihak pengurusan FELDA Lembah Bilut, tanpa menunggu keputusan ibu pejabat FELDA telah memutuskan untuk mengkebumikan Yahcik Nyak Ghani di tapak yang saya tunjuk di tepi jalan di luar kawasan FELDA Lembah Bilut. Di situ jugalah kami kebumikan Teh Abasiah pada __________.
 
Sejak Teh Abasiah pindah ke FELDA Lembah Bilut saya sering ke rancangan tanah tersebut beberapa kali, di masa cuti persekolahan di MCKK, kerana mengambil kesempatan untuk mengambil upah mencabut rumput di ladang-ladang peneroka kerana pada waktu itu penerokalah yang memugar hutan dan menanam pokok-pokok getah. Hanya kemudian barulah semua lading disiapkan dulu untuk diberi setelah ianya siap di tanam kepada mereka yang mendapat peluang menjadi peneroka.

CUT MAK AZIZAH
 
Emak saudara saya yang kedua, iaitu adik Teh Abasiah bernama Azizah dan saya panggil beliau Cut Mak yang bererti 'ibu kecil'.atau emak saudara yang lebih muda dari Teh Abasiah. Beliau telah dinikahkan dengan Osman bin Nyak Mahmud seorang pemilik kebun getah dan sawah di Teluk Amboi, Kota Kuala Muda, Kedah. Cut Apa Osman, suami Cut Mak Azizah, ialah seorang penoreh getah dan penanam padi di Teluk Amboi.

Cut Mak Azizah ialah ibu saudara yang kedua paling dekat dengan saya yang menyebabkan saya sering ke Telok Amboi dengan baisikal atau 'gerek' di masa cuti dari Sekolah Ibrahim School Sungai Petani. 

MAKAM PANGLIMA ACEH DI TELUK AMBOI
 
Banyak keluarga Aceh yang tinggal di Teluk Amboi, Kota Kuala Muda kerana disamping masjid disitulah makam tiga orang panglima dari Aceh yang telah membantu kerajaan negeri Kedah untuk menghapus lanun yang berkeliaran di lautan Kedah pada sekitar tahun 1880an. Kira-kira satu batu setengah dari Masjid Teluk Amboi, dibelakang rumah Nyak Mahmud bapa mertua Cut Mak Azizah, terdapat kubur enam orang lanun yang telah dibunuh oleh tiga orang panglima yang bernama Teungku Bintang, Teungku Sandang dan Teungku Dalam.
 
Keturunan tiga orang panglima Aceh ini masih tinggal di Malaysia walaupun sejarah panglima ini tidak begitu mendapat perhatian keluarga mereka.
 
ASIAH BINTI TEUNGKU BINTANG
 
Nenekanda Nyak Ubit bernasiah Asiah. Beliau yang di gelar Ma Bit ialah salah seorang dari dua orang anak perempuan panglima Teungku Bintang, yang menikahkannya dengan Nyak Osman iaitu bapa kepada bonda saya yang bernama Juairiah itu. Seorang lagi anak perempuan Teungku Bintang ialah Nyak Saneh yang tinggal di atas bukit di sebelah kiri jalan arah ke Pantai Merdeka, di simpang ke Teluk Nipah, iaitu sebuah pekan nelayan yang berdepan dengan pekan Tanjung Dawai di seberang Sungai Muda.
  
YAH CUT SAYUTI DI WAKTU PERISTIWA 13 MEI, 1969
 
Adek lelaki bonda saya bernama Sayuti bin Nyak Osman. Nama keduanya yang biasa dipanggil waktu beliau menjadi anggota tentera Askar Melayu Di Raja ialah Daud.

Yah Cut Sayuti berani orangnya. Beliau pernah berpangkat sebagai lans koporal dalam tentera Rejimen Melayu dan antara kejayaan pasukannya ialah menangkap satu kumpulan pengganas komunis. Beliau telah dilucutkan pangkat sebagai koporal kerana beliau tidak setuju dengan keputusan atasannya kerana hendak menawarkan tanah seperti Tanah rancangan FELDA kepada pengganas komunis yang tertangkap atau menyerah diri untuk menggalakan lebih ramai dari antara mereka meninggalkan perjuangan bersenjata menentang pemerintah.

Yah Cut Sayuti telah dipindahkan ke angkatan Regimen Wireless supaya beliau tidak berpegangan senjata lagi kerana takut beliau mengulangi menggunakannya ke atas komunis yang ditangkap.

Waktu peristiwa 13 Mei, 1969 di waktu Yah Cut Sayuti bertugas di stesen wirelessnya di Kem Sungai Besi, beliau telah mendapat maklumat, melalui wirelessnya, bahawa isteri seorang kapten atasannya telah terbunuh di luar Pawagam Odeon di Jalan Tuanku Abdul Rahman sehingga anak dalam kandungan telah mati kerana terburai perutnya yang sedang mengandung lantaran kekejaman yang sedang berlaku.

Pada waktu itu saya sedang belajar di Hamburg, Jerman Barat dan hanya melihat dari kaca telivisyen kekejaman yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur kerana petikan filem mengenainya telah dibeli oleh stesen telivisyen dari mereka yang merakamkannya dari bahagian atas bangunan-bangunan yang tinggi di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Saya diberitahu bahawa Yah Cut Sayuti telah dianggap sebagai wira kerana membela kematian isteri kaptennya, tetapi gelaran wira ini dilupakan dan beliau telah berhenti dari menjadi anggota Askar Melayu untuk pulang ke Kampung Aceh menjadi petani.

Beliau gagal mendapatkan lessen teksi walaupun beliau pernah menjadi 'hero' dalam peristiwa 13 Mei.

PELAJAR ACEH BELAJAR DI PADANG, SUMATERA

Walaupun Beurawe, di Kota Radja yang kini bernama Banda Aceh, sebuah kampong yang mempunyai ulama besar seperti Teungku Sheikh Ibrahim dan Teungku Sheikh Marhaban adalah menjadi kebiasaan bagi pelajar-pelajar muda dari Aceh pergi belajar di sekolah ugama atau sekolah Belanda di luar Aceh, dan yang paling popular di Padang.

Sebelumnya, Guru Nyak Cut Hashim yang pernah berkelulusan sekolah tinggi Belanda di Padang telah merantau ke Penang kerana tidak dapat di terima oleh masyarakat Aceh kerana sekolahnya dianggap sekolah kafir, walaupun bapanya seorang ulama yang agak terbuka fikirannya.

Setelah lama Guru Nyak Cut Hashim berada di Penang Ayah saya, Junid, telah pulang ke Beurawe; tetapi beliau boleh di terima oleh masyarakat Aceh kerana beliau, selain dari berkelulusan agama Islam juga faseh dalam bahasa Arab dan bahasa Belanda.

KEPUTUSAN JUNID UNTUK KE MALAYA

Di Banda Aceh, selain dari giat berkawan di sana-sini ayahanda Junid juga aktif bermain bola sepak dan beliau juga telah mempelajari cara bermain biola di waktu berada di Padang.

Oleh kerana Cut Manyak telah lama ditinggal oleh Cut Ali sehingga Junid sudah muda remaja, maka, apabila Junid mendengar rancangan orang tua untuk menikahkan ibunya dengan seorang anggota keluarga yang lain, ayahanda Junid telah memutuskan untuk mengekori Guru Nyak Cut Hashim ke Penang di mana beliau mempunyai perniagaan dengan cabangnya di Pekan Merbuk.

Secara kebetulan Cut Ali, ayahanda kepada Junid juga mempunyai sebuah kedai di samping kedai Guru Nyak Cut Hashim di Merbok. Mereka berdua berkeluarga dua pupu yang berasal dari kampung Lam Bhu, Beurawe di Aceh.

Di Merbuk, ayahanda Junid telah diperkenalkan oleh Guru Nyak Chut Hashim kepada ayahnya Cut Ali, dalam satu pertemuan yang sungguh nostalgia sehingga nenekanda Cut Ali telah menetapkan ayahanda Junid dijodohkan dengan ibu saya Juairiah iaitu anak kepada Nyak Osman sebagai pengurus perniagaan Cut Ali yang sangat dipercayai.

BERSAMBUNG ..

 
      

2 comments:

Zet Li said...

Assalamualaikum tansri,saya akan menunggu sambungannya

xairlinepilot said...

TSSJ, sy tunggu chapter ke 2