Saturday, April 29, 2017

BIOGRAFI SANUSI - 3. KAMPUNG ACEH

TEMPAT KELAHIRAN DI KAMPUNG ACEH
 
Kampung Aceh, Yan Kedah ialah tempat saya dilahirkan. Di zaman penjajahan Inggeris mereka menyebut nama Pekan Yan sebagai 'Yen' iaitu nama yang bunyinya sama dengan mata wang yang digunakan di Jepun. Oleh kerana ada sebuah lagi pekan berdekatan dengan Pekan Yan maka Pekan Yan dinamakan Pekan Yan Besar dan pekan yang sebuah lagi dinamakan Pekan Yan Kecil atau lebih popular sebagai Sungai Yan, sekitar 2.5 batu  jauhnya arah ke pedalaman dari laut menuju ke Guar Chempedak yang jauhnya 7 batu dari Pekan Yan Besar.

Kampung Aceh terletak di kaki Gunung Jerai, sebuah gunung yang melonjak tinggi ditengah-tengah kawasan sawah padi dan tidak jauh dari pantai Selat Melaka. Di kaki Gunung Jerai, arah ke laut, terdapat Tanjung Jaga sebagai sebuah tempat berkelah yang paling popular di masa lampau. Tidak jauh dari pantai Tanjung Jaga terdapat sebuah sanatorium yang dibina oleh penjajah British dan lengkap dengan kolam mandi untuk pembesar-pembesar Inggeris, anggota kerabat di raja Kedah dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri Kedah di waktu itu. Di situlah kanak-kanak seperti saya mula ternampak perempuan-perempuan 'orang putih' bermandi 'bogel' walau pun sebenarnya mereka berpakaian 'bikini' yang kami tidak tahu namanya di waktu itu.


CANDI HINDU PERTAMA DI NUSANTARA

Pekan Yan Besar ialah ibu bagi Daerah Yan iaitu sebuah daerah yang terkecil di negeri Kedah yang mempunyai 4 mukim, 4 buah pulau, 5 batang sungai dan 6 saluran taliair MADA yang menyuburkan kawasan padi yang terbentang luas dan indah di utara Gunung Jerai. Di selatan Gunung Jerai terdapat kawasan kebun getah dan dusun pertanian. Di pekan Merbok, tidak jauh dari pekan Tanjung Dawai, yang terletak di tepi pantai berdekatan dengan Tanjung Jaga didapati sebuah candi Hindu sebagai candi Hindu/Buddha pertama dari rangkatan 3 buah candi di Nusantara sebagai tanda sejarah kedatangan agama Hindu ke Tenggara Asia. Candi kedua bernama Borobudur di Jogjakarta, Indonesia dan candi ketiga ialah Angkor Watt di Cambodia.

BATU KARANG DI PANTAI SALA


Mengikut kajian untuk tesis kedoktoran oleh seorang diplomat asing di Kuala Lumur didapati bahawa seseorang pelayar dari pantai Karamandel di India akan hanyut ke pantai Sala di Yan jika perahunya pecah dan si nelayan hanyut di bawa arus tanpa sebarang kemudi. Jabatan Perikanan mengesahkan bahawa tumpukan batu karang yang paling banyak di dunia ialah di sekitar pantai Sala dalam daerah Yan. Oleh itu adalah lojik bagi nelayan, pedagang dan penyebar ugama Hindu dari India untuk berlabuh kapal mereka di waktu malam berdekatan dengan pantai Yan. Adalah menjadi amalan pelayar India untuk tidak berlayar di waktu malam apabila memasuki Selat Melaka kerana bimbang akan terlanggar pulau-pulau kecil yang bertaburan sepanjang Selat Melaka.

NAMA SEMENANJUNG MALAYA

Dalam bahasa Tamil, sebagai bahasa tertua di dunia dan juga bahasa harian pelayar dari pantai timur India, ada persamaan antara perkataan 'gunung' dan 'petang' iaitu 'malai' walaupun ejaan dalam bahasa Tamil berbeza. Apabila pelayar ternampak Gunung Jerai dalam perjalanan masuk ke Selat Melaka mereka terus berlabuh di pesisiran pantai Yan di waktu larut petang. Dalam bahasa Tamil mereka menyebut 'Malai va malai iireukeu' yang bererti 'Petang sudah tiba dan ada gunung di sini'. Maksudnya kapal mereka perlu berlabuh dan kebiasaan amalan inilah mereka  telah membina candi di Merbuk di sebelah selatan Gunung Jerai untuk menjadikan gunung sebagai pelindung dari kerusakan yang mungkin berlaku jika ada cuaca yang buruk yang melanda dari lautan Selat Melaka.

Perkataan 'malai' inilah, mengikut sesetengah pemikir, dikatakan punca dari nama 'malaiya' atau 'Malaya'.

TITI HAYUN PENINGGALAN BRITISH
 
Kampung Aceh terletak antara Pekan Yan Besar dan Air Terjun di kaki Gunung Jerai. Ada jembatan gantung yang dinamakan Titi Hayun di situ yang merintangi sungai yang airnya mengalir dari air terjun yang mencurah turun ke dalamnya. Dalam kawasan antara Kampung Aceh dan Titi Hayun terdapat dusun rempah ratus dan buah-buahan dengan tanaman yang termasuk bunga cengkih dan buah pala yang sangat popular sebagai hasil dagangan pedagang Aceh di waktu itu.

Kampung Aceh terkenal dengan buah durian, langsat, manggis, jambu batu dan jambu air dan lain-lain buah-buahan juga.

TANGGA KENARI SERIBU TAHUN

Sebagai seorang yang sangat minat kepada sungai dan air terjun lebih-lebih lagi dengan adanya jembatan gantung sehingga tempatnya dinamakan Titi Hayun saya, di waktu bertugas sebagai Menteri Besar Kedah, telah memilih untuk membina tangga simen dari kaki Gunug Jerai di Titi Hayun sehinggalah ke puncak gunung. Tangga ini saya namakan TANGGA KENARI SERIBU TAHUN sempena nama pasukan bolasepak Kedah yang bernama Pasukan Kenari. Pada hari ini Titi Hayun dan Tangga Kenari sudah menjadi pusat pelancungan yang popular dikunjungi oleh pelancong pada setiap hujung minggu.  

PROGRAM KEAGAMAAN DI KEDAH

Ide untuk membangun tangga ini telah timbul di waktu saya menamatkan khidmat 3 orang pemain impot pasukan bolasepak Kedah yang telah menjadikan Kedah juara bola sepak di waktu itu. Dengan tidak menyambung khidmat pemain impot Kedah saya dapat menyelamatkan sekitar RM100,000.00 setiap bulan untuk digunakan bagi membiayai pengurusan rumah-rumah anak yatim yang sedang dibangunkan di waktu itu. Selain dari rancangan untuk mewujudkan cawangan Maktab Mahmud di setiap daerah di negeri Kedah, bermula dengan Maktab Mahmud di Kampung Aceh yang diikuti dengan cawangan Maktab Mahmud di Padang Matsirat di Langkawi,  saya juga telah merancang untuk mewujudkan sebuah rumah anak yatim di setiap daerah di Kedah.

Walaupun Kedah juara bolasepak di waktu saya mengambil alih jawatan Menteri Besar tetapi, walau apa jua alasan yang diberi saya tetap tidak puas hati dengan cara kita bergantung kepada pemain impot untuk menjadi juara.

Untuk menamatkan sikap bergantung kepada pemain impot ini saya telah mula menyediakan kemudahan untuk membina stamina pemain bolasepak Kedah dengan mengadakan kemudahan latihan riadhah tambahan yang boleh diamal oleh pasukan bolasepak 'KENARI' dengan mendaki Gunung Jerai menggunakan Tangga Kenari Seribu Tahun.

PEKAN YAN BESAR
 
Dalam Pekan Yan terdapat empat baris kedai; satu darinya terlentang sebelah kiri jalan sebelum jembatan yang melintasi sungai yang mengalir dalam pekan Yan Besar. Selepas jembatan ada simpang ke masjid di sebelah kiri jalan, diikuti dengan sebaris kedai lagi yang terlentang disebelah kiri sepanjang jalan. Di depan barisan kedai ini, di seberang jalan, ada barisan beberapa buah gerai yang menjual nasi, mee, goring pisang dan berbagai makanan. Di belakang barisan gerai terdapat sebuah sungai yang mengalir ke kuala di Pantai Murni.

Selepas barisan kedai utama di Pekan Yan terdapat Balai Polis Yan. Di depan Balai Polis di sebelah kanan jalan menuju ke Kampung Ruat terdapat sebaris kedai lagi. Setelah barisan kedai utama sepanjang Sungai Yan terdapat, di sebelah kanan, barisan kedai ketiga dipisahkan dari sungai oleh sepotong jalan menuju ke pasar ikan dan kelab rekreasi. Sebaik sahaja lepas Pekan Yan, di sebelah kanan jalan menuju ke Kampung Ruat terdapat simpang jalan ke Pantai Murni yang 'berkeleboq', ertinya berselut tanpa pasir di waktu itu.

PANGGUNG WAYANG GAMBAR
 
Pekan Yan, dalam ingatan saya di masa kecil, ialah antara pekan yang paling maju di Kedah dari segi kecergasan perniagaannya. Setakat yang saya tahu Alor Setar, Sungai Petani dan Yan Besar adalah tiga bandar dan pekan yang mula mempunyai panggung wayang gambar diikuti dengan pekan Gurun, Guar Chempedak, Jitra dan Kuah di Langkawi. Saya tidak tahu bila panggung wayang gambar mula didirikan di pekan Kulim dan Baling, yang pasti ialah ianya wujud selepas Pekan Yan Besar memilikinya.
 
Satu hiburan yang di bawa ke pekan Yan Besar dan sangat digemari oleh masyarakat setempat ialah Seum Circus (sarkas). Saya masih teringat beberapa ekor gajah, yang di tambat, dan dua ekor harimau di dalam sangkar besi di siang hari. Walaubagaimana pun popularitinya tidak mencukupi untuk membawa keuntungan kepada tauke yang memilikinya. Apabila muflis tauke sarkas ini maka beliau telah membina panggung wayang di pekan Yan Besar. Semua pekerja sarkas telah meninggalkan Pekan Yan kecuali seorang yang berbangsa India yang dipanggil 'Tambi' bermakna adek di dalam Bahasa Tamil. Nama sebenarnya tiada siapa yang tahu.  Tambi berpindah tempat kerja dari sarkas ke panggung wayang gambar di Pekan Yan apabila ianya siap dibina.
 
PAWAGAM BERKEMBANG
KE GURUN, GUAR CHEMPEDAK, JITRA
DAN KUAH DI PULAU LANGKAWI

Pawagam, singkatan nama bagi panggung wayang gambar, yang diberi oleh seniman berasal dari Aceh Tan Sri Teuku Zakaria bin Putih, lebih terkenal sebagai P. Ramlee,  yang ada di Sungei Petani ialah Rex, Cathay dan Odeon. Dari pawagam Rex ada seorang pemutar filem bernama Thangimale. Beliau telah dibawa ke Yan Besar oleh tauke Seum Sarkas.
 
Pawagam yang didirikan di Pekan Yan Besar bernama 'Yan Talkies'. Setelah beberapa waktu Yan Talkies beroperasi taukenya menghadapi masalah kerana pawagam ini terletak disebelah kiri jalan lepas jembatan yang perlu dilintasi untuk masuk ke Pekan Yan. Pawagan terletak di jalan ke Kampung Aceh yang sekitar dua kilometer jauhnya ke arah air terjun di Titi Hayun. Tidak jauh dari pawagan ada Masjid Yan disebelah kanan jalan, sebelum jembatan yang melintasi sungai yang turun dari Gunung Jerai dan mengalir ke laut melalui Pekan Yan Besar.
 
Pihak masjid telah membantah pawagam memulakan tayangan gambarnya sebelum solat Maghrib sedangkan hampir semua penonton pawagam terdiri dari umat Islam. Tauke memutuskan untuk memulakan tayangan filem selepas solat Isya supaya para juma'ah boleh turut menonton filem, khususnya filem India dengan pelakon popularnya seperti Dev Ananda, Nargis dan Madhubala.

Dengan tayangan hanya sekali sahaja pada setiap malam maka tauke telah mendirikan sebuah lagi pawagam di Gurun.
 
Biasanya, untuk satu-satu filem ada tiga rim atau golong filem yang ditayangkan. Tayangan golong filem pertama di Gurun bermula sebelum Maghrib kerana penonton di Gurun kebanyakannya bukan Islam. Baik sahaja selesai tayangan golong pertama ianya dengan pantas di bawa sejauh 11 batu ke Yan Talkies oleh kereta yang disewa oleh tauke panggung. Kereta sewaan ini akan balik ke Gurun untuk ambil golong filem kedua dan seterusnya golong filem ke tiga. Waktu sampai golong filem kedua ke Yan Talkies, golong pertama dibawa balik ke Gurun untuk tayangan pusingan kedua pada malam yang sama. Oleh kerana cara begini kelihatan menguntungkan maka tauke telah membuka cawangan pawagam ke tiga di Guar Chempedak yang terletak antara Pekan Yan Besar dan Gurun.

AYAH PEMANDU KERETA SEWA

Ayahanda Junid, sebagai pemandu yang terkenal paling pantas di jalan raya, telah ditugaskan oleh tauke pawagam untuk membawa golong-golong filem antara Yan, Guar Chempedak dan Gurun pada setiap malam kecuali malam Juma'at apabila hanya pawagam di Gurun dan Guar Chempedak sahaja yang beroperasi.

JUNID MENGISLAMKAN TAMBI DAN THANJIMALE

Lantaran dekatnya hubungan ayahanda Junid dengan tauke dan petugas-petugas di Yan Talkies maka ayah saya telah menjadikan 'Tambi' dan Thangimale sebagai anak angkat yang kemudiannya telah memeluk ugama Islam dengan nama Salim dan Talib. Kedua-duanya bin Abdullah walaupun mereka ingin diberi nama 'bin Junid'. Kerja Tambi hanya sebagai pembersih panggung sementara Thanjimale menjadi ahli teknik yang mengurus putaran golong filem yang ditayangkan.

Talib juga bertanggungjawab melatih operator untuk pawagam di Gurun dan di Guar Chempedak. Kemudiannya tauke sarkas yang menjadi pemilik pawagam telah mengembangkan usahanya dengan membuka sebuah lagi pawagam di Jitra bernama 'Jitra Talkies'.

Dari Jitra Talib telah dipindahkan ke Kim Sun Talkies, sebuah pawagam yang baru dibuka di Kampung Didik, Kuah, Langkawi.

Oleh kerana sebuah pawagam saja di Langkawi tidak ekonomik maka sebaik sahaja jalan tanah merah siap ditambun antara pekan Kuah dan Padang Matsirat pawagam kedua dibuka di Padang Matsirat bernama 'Matsirat Talkies'. Pawagam ini terletak di depan rumah Panglima Ibrahim seorang pemimpin tempatan yang terkenal di waktu itu.

'ZAIN TARZAN '

Pada suatu hari seorang yang gagah sendo badannya seperti badar telah datang ke Pekan Yan Besar. Beliau dipanggil 'tarzan' oleh penduduk di Yan. Zain Tarzan telah mengikat tali pada satu pohon yang rendang dan beliau telah menghayun badannya dengan memegang tali erat-erat untuk menyeberangi Sungai Yan dari pentas di belakang kedai gunting dalam barisan kedai sebelum jembatan Pekan Yan, berhadapan kedai runcit Nyak Rahman, ke pengkalan di belakang pawagam Yan Talkies.

IBU MENJAHIT DAN MENGAJAR BACAAN AL QURAN

Sementara bapa saya memandu kereta sewa, kadang-kadang teksi dan kadangkala kereta sapu, bererti tidak berlesen untuk urusan sewa, ibu saya selain menjadi tukang jahit juga mengajar membaca Quran kepada Bang Man Basah, Bang Man Nyak Putih dan Bang Din. Mereka tidak memberi apa-apa bayaran atau upah kepada emak saya kecuali mereka menjaga pengawas kepada saya dan adik lelaki saya bernama Abdullah Maamuoum.  Adik perempuan Samsiah, atau Pen, tinggal di rumah.

TIGA ABANG

Bang Man Basah, Bang Man Nyak Putih dan Bang Din telah bergilir-gilir membawa saya dan adik lelaki saya ke sana sini di atas baisikal mereka yang dipanggil 'gerek' dalam loghat Kedah. Saya dan adik saya, tanpa diketahui oleh ibu, sering dibawa ke tempat berkelah seperti Perigi melalui Pekan Yan Kecil, Tanjung Jaga dan Titi Hayun di Kampung Aceh.

Kami juga diiringi oleh TIGA ABANG untuk menonton wayang dengan bayaran yang murah iaitu dengan memasuki melalui lubang yang di belakang tirai pawagam. Dengan membayar hanya beberapa sen sahaja saya dibenar masuk ke dalam pawagam melalui lubang di belakang panggung. Walau pun tidak jelas tetapi saya merasakan kawan-kawan Zain Tarzanlah yang mengurus kemasukan secara murah, tanpa di ketahui oleh tauke pawagam, dengan masukan melalui lubang di belakang tabir panggung.

Tidak ada yang berani melaporkan kecurangan operasi kemasukan secara haram melalui lobang di belakang pawagam kerana semua orang takut kepada Zain Tarzan yang gagah sendo tubuhnya yang menakutkan.

Akhirnya, kerana rugi, Yan Talkies terpaksa ditutup dan Talib berpindah ke pawagam di Guar Chempedak sebelum ke Jitra dan kemudiannya ke Pulau Langkawi.

PERPINDAHAN DARI KAMPUNG ACEH KE KAMPUNG TELUK MAT ACEH, PEKAN YAN

Oleh kerana ayahanda Junid berkerja sebagai pemandu teksi, kereta sapu dan lori maka keluarga kami terpaksa berpindah dari Kampung Aceh ke Kampung Teluk Mat Aceh di Pekan Yan. Kampung Teluk Mat Aceh ini terletak sekitar setengah kilometer dari Pekan Yan Besar arah ke Guar Chempedak, iaitu berdekatan dengan Sekolah Melayu Yan.  

CAWANGAN MAKTAB MAHMUD DI YAN DAN PADANG MATSIRAT.

Rumah tempat saya dilahirkan di Kampung Aceh kini dirancang untuk dijadikan tapak Masjid Maktab Mahmud Kampung Aceh. Maktab ini telah didirikan dalam waktu yang sama dengan satu lagi Maktab Mahmud di Padang Matsirat, Pulau Langkawi. Pada waktu itu saya menjadi Menteri Besar Kedah dan sekaligus bertanggungjawab ke atas Maktab Mahmud yang merupakan antara sebuah sekolah ugama yang terulung dan tertua di Kedah. Walaupun rancangan saya ialah untuk mengadakan sebuah cawangan Maktab Mahmud di setiap daerah di Kedah tetapi rancangan ini saya tinggalkan untuk dilaksanakana oleh pemimpin negeri Kedah di masa akan datang.

SEKOLAH UGAMA KAMPUNG ACEH
Sebelum menjadi tapak cawangan Maktab Mahmud di situ terdapat sebuah sekolah ugama Attarbiah Addiniah Auladiniah yang di asaskan oleh ulama yang datang dari Aceh sekitar Perang Dunia Pertama pada awal abad kedua-puluhan. Sekolah ini lebih terkenal dengan nama Sekolah Ugama Kampung Aceh.

SEKOLAH MELAYU YAN
Di Sekolah Ugama Kampung Aceh inilah semua kanak2 di kampung mendapat pendidikan ugama sementara pelajaran konvensyenal di pelajari di Sekolah Melayu Yan Kedah yang sekarang di beri nama Sekolah Kebangsaan Nyak Gam, sempena tokoh peniaga dan ahli politik berketurunan Aceh yang turut berjuang mendirikan UMNO bersama-sama Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Dengan berpindahnya keluarga saya ke Kampung Telok Mat Aceh maka bermulah pendidikan saya di darjah satu Sekolah Melayu Yan..

BERSAMBUNG..

 

No comments: