Sunday, July 23, 2017

BIOGRAFI SANUSI - 4. SEKOLAH MELAYU YAN

PERPINDAHAN DARI KAMPUNG ACEH KE KAMPUNG TELUK MAT ACEH DI PEKAN YAN BESAR.

Saya tinggal di Kampung Aceh hanya beberapa bulan sahaja sebelum berpindah ke Kampung Teluk Mat Aceh di Pekan Yan Besar kerana mudah untuk ke Sekolah Melayu Yan kira-kira 300 meter sahaja jauhnya dari rumah saya. Saya dimasukkan ke darjah satu Sekolah Melayu Yan pada umur 7 tahun di tahun 1950.

Dengan berpindahnya keluarga saya ke Kampung Teluk Mat Aceh maka berakhirlah kehadiran saya di kelas-kelas ugama untuk kanak-kanak di Sekolah Ugama Kampung Aceh.
 
Rumah saya di Kampung Telok Mat Aceh hanya mempunyai bahagian dapur, bilik tidur untuk ibu dan ayah saya dan ruang serambi di mana saya dan adik saya Abdullah Maamuoum dan adiknya Shamsiah bermain di waktu siang hari dan menjadi tempat tidur di waktu malam. Rumah kami, yang dibuat daripada kayu, adalah rumah yang paling kecil di Kampung Teluk Mat Aceh dan hanya mempunyai 10 tiang dan satu tangga untuk mendakinya.
 
MURID IBU SAYA
 
Oleh kerana ibu saya pandai memasak dan menjahit maka saya teringat tiga orang kakak yang selalu datang ke rumah untuk belajar memasak dan menjahit dari ibu saya. Dua darinya anak Mek Nab yang nama mereka saya tidak ingat lagi. Seorang lagi bernama Aisyah tetapi saya panggil kakak Cah Tet. Cah untuk Aisyah dan 'Tet' kerana beliau suka bercakap atau berleter dalam segala perkara dengan tidak berhenti-henti.
 
Untuk ke sekolah saya perlu berjalan kaki dan meniti atas sebatang pokok pinang sebagai jembatan yang menyeberangi sungai kecil atau parit yang besar yang memisahkan rumah saya dengan jalanraya.
 
MENGENANG JASA GURU
Salah seorang guru besar sekolah yang sukar dilupakan ialah Cikgu Fadzil yang berasal dari Alor Setar. Beliau adalah seorang guru besar yang cukup rajin, disiplin dan tegas. Semua guru lelaki di waktu itu dipaksa memakai songkok.
 
Tiga orang guru yang kekal di dalam ingatan ialah Cikgu Mohd Zain, Tengku Shahril Yusof, Cikgu Ibrahim dan Cikgu Razak.
 
Cikgu Mohd Zain berasal dari Pulau Langkawi. Oleh kerana beliau cergas mengkritik kerajaan British di Langkawi maka beliau telah dipindahkan ke Sekolah Melayu Yan. Cikgu Razak yang mulanya mengajar di Yan telah dipindahkan ke Langkawi kerana beliau cergas mengkritik kerajaan British waktu bekerja di Sekolah Melayu Yan.

Cikgu Ibrahim telah menikah dengan bonda Mariam anak angkat nenekanda Fatimah iaitu adik kepada Nyak Gam, Pengasas dan Ketua UMNO Bahagian Yan.  Cikgu Ibrahim tinggal di sebuah rumah di belakang rumah saya di Kampung Teluk Mat Aceh. Beliau tidak pernah mengajar saya tetapi kerana wataknya yang garang semua pelajar takut kepada Cikgu Ibrahim.

TENGKU SHAHRIL YUSUF
Tengku Shahril Yusof berasal dari Negeri Sembilan. Beliau yang belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar sebelum melanjutkan pelajarannya ke sekolah polis, mulanya bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Yan yang beribu pejabat di Gurun. Setelah ditembak dalam satu serang hendap oleh pengganas komunis, sehingga tulang bahunya ditembusi peluru, beliau telah dipersarakan dari perkhidmatan polis dan terus menjadi guru bahasa Inggeris di Sekolah Melayu Yan.

Sepanjang masa Tengku Shahril menjadi guru di Yan beliau telah diberi rumah tempat tinggal di Setoi, Kampung Aceh, Yan oleh Teungku Muhammad Dahan. Rumah tempat tinggal Tengku Shahril Yusof dulunya didiami oleh Teungku Hasballah Inderapuri. Rumah ini di tepi madrasah yang terletak di tepi Sungai Setoi. Dalam kawasan yang sama terdapat makam Teungku Hasballah Interapuri dan di sampingnya kubur adeknya Teungku Muhammad Dahan.

TIGA PERKATAAN DALAM BAHASA INGGERIS

Sebelum Tengku Shahril mengajar bahasa Inggeris di Sekolah Melayu Yan pelajar-pelajar seperti saya hanya mengenali, tanpa memahami, tiga perkataan dalam bahasa Inggeris. Perkataan-perkataan itu ialah:

ROAD
WORKS
AHEAD

Tiga perkataan ini terpampang di satu papan iklan yang yang besar terpacak di tepi jalan apabila jalan itu hendak ditimbun dengan tar oleh pekerja Jabatan Kerja Raya atau JKR.
Bila Cikgu Tengku Shahril bertanya kepada pelajar sedarjah dengan saya samada kami mengetahui Bahasa Inggeris semuanya mengesahkan "Ya" kerana kami tahu sekurang-kurangnya tiga perkataan dalam Bahasa Inggeris.

CIKGU FADZIL GURU BESAR

Cikgu Fadzil sangat garang orangnya. Semua guru takut padanya kecuali Cikgu Md. Nor Azam yang akhirnya dipindahkannya ke sekolah lain di Kedah. Saya bertemu lagi dengan Cikgu Md. Nor Azam beberapa puluh tahun kemudian apabila beliau menjadi Setiausaha Politik kepada Tun Dr. Mahathir Muhammad.
Selain dari Cikgu Md. Nor Azam seorang lagi guru yang pernah mula mengajar di Yan setelah lulus sekolah perguruan ialah Cikgu Yahya Ismail, iaitu seorang penulis buku politik yang terkenal di Malaysia. Saya difahamkan bahawa Pak Ya, nama timangannya telah melanjutkan pengajiannya ke Universiti Indonesia di Jakarta. Pak Ya kemudianya menjadi penggerak usaha untuk memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia.
Saya tidak pernah belajar pada Cikgu Md. Nor Azam dan Cikgu Yahya Ismail. 

CIKGU MD ZAIN

Guru yang sangat berjasa kepada saya ialah Cikgu Md. Zain yang dipindahkan ke Sekolah Melayu Yan dari Pulau Langkawi. Katanya beliau ialah seorang penyokong parti PAS di Langkawi. Parti PAS baru ditubuhkan pada tahun 1951 oleh Hj. Ahmad Fuad yang telah dikalahkan oleh Tunku Abdul Rahman dalam pertandingan untuk jawatan Presiden UMNO, setelah Dato' Onn Jaafar meninggalkan UMNO. Seorang lagi Cikgu yang sangat memanjakan murid-muridnya ialah Cikgu Razak yang dipindahkan ke Langkawi atas alas an yang sama dengan pemindahan Cikgu Md. Zain.

Di kalangan Ustaz pula yang paling garang ialah Ustaz Haji Rukunuddin, yang sangat baik dengan pelajar-pelajar ialah anaknya Pak Ku Mahfuz.

Di zaman itu murid-murid ada pilihan untuk melanjutkan pelajaran mereka ke sekolah menengah atau ke pondok apabila selesai Darjah 4 sekolah kebangsaan.

Biasanya murid-murid yang tidak begitu berjaya akan dikeluarkan oleh ibu bapa mereka untuk belajar di sekolah pondok. 
 
EMPAT PELAJAR PILIHAN

Oleh kerana Guru Besar Cikgu Fadzil sangat berhasrat untuk memastikan sekurang-kurangnya 4 orang pelajar dari Sekolah Melayu Yan layak melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Ibrahim atau Kolej Sultan Abdul Hamid setelah selesai Darjah 4 maka saya adalah salah seorang dari pelajar yang di pilih untuk mendapat tuisyen khas dari Cikgu Md Zain. Tiga orang lagi ialah Hasbi bin Haji Hassan, Azizan bin Hussin dan Ghazali Nyak Amin. Kecuali Azizan ketiga yang lain berasal dari Kampung Aceh.

Saya sangat sedih kerana lambat mengetahui mengenai kepulangan ke rahmatullah sahabat saya Hasbi. Beliau adalah seorang pelajar yang pintar dan telah berpindah dari Sekolah Ibrahim Sungai Petani ke Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Lulus tingkat 6 Atas dengan cemerlang Hasbi telah mendapat biasiswa untuk belajar dalam bidang pertambangan di Cambon School of Mines dan mendapat Queens award waktu di sana.

Dari Cambon School of Mines Hasbi berjaya ke Massachusette Instritute of Technology untuk mendapat ijazah kedoktorannya. Di sana Hasbi mendapat pengiktirafan dengan mendapat Johnson's Award iatu satu bintang kecemerlangan atas nama President Lyndon B. Johnsosn.

Beberapa minggu sebelum Dr. Hasbi meninggal dunia beliau telah menghadiahkan kepada saya sebuah buku mengenai cara mengobati penyakit jantung iaitu dengan menghentikan terus memakan ikan, telor dan daging dan menumpukan kepada memakan sayur-sayuran sahaja. Buku ini ialah karangan seorang doctor di sebuah hospital jantung di Amerika Syarikat yang telah diserahkan padanya semua pesakit yang sudah tidak boleh diobati dengan cara by-pass atau angioplasty kerana sudah terlalu parah penyakit jantungnya.

Azizan Hussain telah menamatkan kariernya yang cemerlang ebagai seorang Pegawai Tadbir Diplomatik dan mengakhiri kariernya sebagai Ketua Setiausaha Kementeri Pertahanan dan mendapat gelaran Tan Sri.

Dari 4 orang pelajar yang dipilih untuk dididik oleh Cikgu Md Zain hanya Azizan saja yang bukan dari Kampung Aceh. Beliau ialah anak seorang anggota pasukan polis yang pada ingatan saya erpangkat sarjan. Bapa Tan Sri Azizan ialah sahabat bapak saya.
 
Ghazali Nyak Amin ialah pelajar keempat dan beliau mengakhiri kariernya sebagai seorang pegawai di Malayan Banking Berhad. Ghazali adalah pelajar yang pertama dari empat orang kami yang kembali kerahmatullah pada umur yang sangat muda.

Marilah sama-sama kita menghadiahkan bacaan al Fatihah kepada kedua sahabat saya yang telah mendahului kita kembali kerahmatullah.
 
CARA MENELA'AH DUA JAM DALAM SEHARI

CARA CIKGU MD ZAIN MENGAJAR KAMI
 
Pada hari pertama kami berdepan dengan Cikgu Md. Zain kami telah diberitahunya bahawa kami wajib kerumahnya pada setiap malam mulai pukul 8 malam tepat. Kami diingatkan supaya jangan datang lebih awal kerana pintu rumahnya akan dibuka hanyak pada pukul lapan dan ditutup satu minit kemudian. Sesiapa yang datang lewat dari pukul 8 tidak dibenarkan lagi untuk masuk kelas. Kelas kami hanya untuk 5 hari dalam seminggu, iaitu kami bercuti pada hari Juma'at dan Sabtu.
 
Kerana cara penyampaian pesanan Cikgu Md. Zain begitu tegas maka kami bertiga sudah pun berdiri di bawah tangga rumah Cikgu Md Zain sebelum pukul 8 malam dan tepat pada pukul 8 kami pun masuk ke rumah Cikgu Md. Zain apabila pintu terbuka.
 
Pada satu hari saya ternampak ada seorang perempuan memindah pinggan mangkuk setelah selesai makan malam untuk keluarga Cikgu Md. Zain. Itulah sebabnya mungkin waktu kami datang tidak boleh lebih awal dari pukul 8 malam kerana waktu makan keluarga Cikgu Md. Zain masih belum selesai.
 
Pada setiap malam selama tiga bulan Cikgu Md. Zain meminta kami mengulangi membaca buku yang telah kami pelajari pada hari berkenaan dan juga membaca apa yang akan kami pelajari pada esok harinya.
 
Kami diingatkan supaya dalam masa dua jam hingga pukul 10 malam kami:
 
     1. Tidak bercakap sesama sendiri walau sepatah sekalipun
        2. Tidak makan atau minum sepanjang waktu belajar
     3. Tidak berkelahi sesama sendiri
     4. Tidak tidur
     5. Tidak bermain.
 
Setelah memberi arahan di atas Cikgu Md Zain menghilangkan diri ke dalam biliknya. Sering kami terdengar suara gelak ketawan kecil-kecilan dari bilik tidur Cikgu Md. Zain. Kadangkala suara lelaki dan kadangkala suara perempuan.
 
CIKGU MD ZAIN TIDAK PERNAH MENJAWAB SOALAN
 
Setelah satu jam menela'ah Cikgu Md Zain keluar dari biliknya untuk memastikan kami sedang menela'ah. Beliau kemudian balik ke biliknya. Lima minit sebelum pukul 10 malam Cikgu Md. Zain akan keluar dari bilik dan bertanyak samaada apa-apa soalan yang kami berempaat ingin bertanya. Setelah keempat orang kami selesai mengemukan beberapa soalan, Cikgu Md Zain akan berkata, 'kerana masa sudah cukup, tanyalah pada guru kamu besok.' Begitulah pada setiap malam sepanjang tiga bulan. Sepanjang masa kami belajar pada Cikgu Md. Zain beliau selalu bertanya jika kami ada apa-apa soalan yang kami ingin jawapannya. Walau bagaimana pun Cikgu tidak pernah menjawab soalan yang kami kemukakan.

TAKUT DI PATUK ULAR

Satu peristiwa yang sukar saya lupakan ialah apabila musim hujan tiba dan pada satu hari seorang yang bergelar Ee Jin, singkat kepada Ismail Jin, telah keluar di jalan raya, tanpa baju membawa seekor ular sawa yang agak besar yang dililitkan pada badannya.

Seluruh Pekan Yan Besar menjadi heboh dengan kedatangan Ee Jin ini sehingga ibu saya di rumah pun sudah mendengar mengenainya. Oleh itu pada malam berikutnya saya tidak dibenar lagi untuk ke kelas malam di rumah Cikgu Md. Zain.

Bila saya tidak datang kesekolah maka ketiga-tiga orang kawan saya yang lain pun turut tidak hadir selama tiga atau empat malam berturut-turut.

PETUA YANG MELESET

Oleh itu Cikgu Md. Zain telah datang ke rumah saya untuk bertanya sebabnya.

Ibu saya menjelaskan bahawa di musim hujan ada baiknya saya tidak ke sekolah malam kerana takut dipatutkoleh ular. Mendengar penjelasan itu Cikgu Md. Zain pun meminta ibu saya untuk panggil saya keluar dari bilik dan Cikgu telah mengajar pada saya untuk membaca satu ayat Qur'an yang bermaksud, 'Sejahteralah atas Nabi Nuh ahs.' Ayatnya berbunyi 'Salamun 'ala Noahin fil A'alamin'. Cikgu berpesan pada saya supaya membaca ayat itu sebanyak tiga kali sebelum turun tangga rumah untuk keluar ke jalan, dan katanya, 'Ular tidak akan menggigit sesiapaa yang membaca ayat yang pendek itu'.

Pada keesokan malamnya saya adalah yang terawal berjalan ke rumah Cikgu Md. Zain dan di mana saja saya bertemu dengan semak saya terus menghulurkan kaki saya ke dalam semak setelah membaca, bukan sekali, tetapi sehingga lebih tiga kali ayat yang memberi salam kepada Nabi Nuh as.

Semua kawan-kawan saya juga turut belajar memberi salam tersebut.

Setelah beberapa malam malam saya pun dipatuk oleh seekor ular di waktu saya memasukkan kaki ke dalam semak. Saya terus berlari ke rumah dengan darah masih mengalir di kaki. Riuhlah ke seluruh kampong mengenai peristiwa itu dan ramailah yang datang untuk memberi nasihat kepada ibu saya.

Tidak ada yang mencadangkan saya di bawa ke klinik kerana Pekan Yan tidak ada hospital di waktu itu. Atas nasihat orang tua kampong ibu saya pun membersihkan kaki saya yang masih berdarah dan menghisap ibu jari kaki saya yang sedang berdarah itu; katanya untuk mengeluarkan bisa dari ular yang menggigit.

Beberapa waktu setelah itu Cikgu Md Zain pun sampai ke rumah dan ibu saya memberitahu bahawa saya telah digigit ular.

Terus Cikgu Md. Zain bertanya, 'Ular air kot?'.

Saya terdengar ibu saya menjawab, 'Nasib baik ular air, jika ular sawa atau tedung senduk sudah habislah anak aku.'

Cikgu Md. Zain terus meminta ibu saya untuk memanggil saya keluar dari persembunyian untuk mendengar penjelasannya mengenai ayat salam untuk Nabi Nuh as. bagi menghalang patukan ular. Jelasnyaa, 'kenapa ular air tetap menggigit?'

SEJARAH HAIWAN
TERHUTANG BUDI PADA NABI NUH ahs.

Cikgu Md. Zain memberitahu kepada saya, di depan ibu saya, mengenai sejarah bumi ditenggelami air banjir di zaman Nabi Nuh as. Pada waktu itu hanya makhluk yang naik ke atas kapal Nabi Nuh yang terselamat dari bala banjir besar itu.

Yang naik atas kapal Naib Nuh as. itu termasuklah binatang dan juga haiwan lain seperti ular. Oleh itu apabila seseorang memberi salam kepada Nabi Nuh yang pernah nenek moyang haiwan turut menumpang atas kapalnya, di waktu bumi sedang kebanjiran, maka haiwan, termasuk ular, kerana terhutang budi kepada Nabi Nuh as akan turut menghormati dan tidak menggigit seseorang yang mengingatkan mereka mengenai budi Nabi Nuh as.

Malangnya, ular air, yang sangat suka hidup di air tidak merasa terhutang budi, kerana mereka tidak menaiki kapal Nabi Nuh as. Wallaahu'aklam.

2 comments:

المثالية للتنظيف said...



شركة المثالية للتنظيف الشركة الرائدة لجميع خدمات التنظيف بالمنطقة الشرقية - خبراء النظافة الشاملة - خبرة 23 عاما تستطيعون من خلال المثالية للتنظيف الحصول علي افضل خدمات التنظيف ومكافحة الحشرات للمنازل والشقق والفلل والمجالس والمفروشات بجميع مدن ومحافظات المنطقة الشرقية بالمملكة العربية السعودية فتقدم شركة المثالية للنظافة كل ما ليديها من امكانيات وخبرات لخدمة عملائها فهي حقا افضل شركة تنظيف بالمملكة وتوفر لعملاها الخدمات بجميع المحافظات فتوفر

شركة المثالية للتنظيف بالدمام
شركة المثالية للتنظيف بالخبر

شركة المثالية للتنظيف بالقطيف
شركة المثالية للتنظيف بالجبيل
شركة المثالية للتنظيف بالاحساء

وتستطيعون ايضا الحصول علي تنظيف شاملة مع التعقيم والتلميع وابادة الحشراتبجودة ودقة مثالية واسعار رخيصة مع شركة تنظيف منازل بالاحساء المتخصصة في خدمة عملائها بالاحساء علي اكمل وجة

شركة تنظيف منازل بالاحساء
شركة تنظيف بالاحساء

شركة المثالية للتنظيف بالاحساء

تواصلوا معنا لمعرفة اسعار المثالية للتنظيف بالمنطقة الشرقية وخدماتها المتميزة

المثالية للتنظيف said...


شركة المثالية للتنظيف بالاحساء