Thursday, September 7, 2017

BIOGRAFI SANUSI - 5. SEKOLAH IBRAHIM SUNGAI PETANI

MENJADI PELAJAR
DI SEKOLAH IBRAHIM SUNGAI PETANI.

Berkat bimbingan dan petunjuk oleh Cikgu Md Zain keempat orang kami, Azizan, Ghazali, Hasbi dan saya berjaya ke sekolah rendah aliran bahasa Inggeris di Sekolah Ibrahim Sungai Petani.
Saya di Ibrahim school menduduki kelas Special Malay 1, Special Malay 2 dan Standard Six.

RUMAH MAK TEH DI SUNGAI LAYAR

Oleh kerana tiada tempat di asrama Sekolah Ibrahim maka ayah saya telah memilih rumah Mak Teh di Sungai Layar untuk tempat saya tumpang tinggal. Mak Teh telah mengenakan bayaran RM30.00 bagi setiap bulan. Mak Teh adalah seorang janda yang suaminya telah meninggal dunia dan beliau mempunyai dua orang anak lelaki yang bekerja di tempat lain. Untuk menggunakan masa terluangnya maka Mak Teh telah menjadikan rumahnya sebagai rumah tumpangan untuk disewakan kepada pelajar-pelajar.

Selain saya, ada dua orang lagi yang menumpang di rumah Mak Teh, iaitu Aziz dan Rahman. Aziz sederjah dengan saya sedangkan Bang Rahman sudah di Tingkatan Lima.

Oleh kerana tidak cukup duit maka saya berjalan kaki ke Sekolah Ibrahim sementara Aziz menunggang basikal Releigh dan Bang Rahman memiliki motosikal Honda.

Oleh kerana saya berjalan kaki sejarak lebih satu batu ke sekolah maka saya terpaksa berangkat lebih awal; Aziz mengekori saya dengan basikal atau gereknya dan Bang Rahman, dengan Hondanya berangkat paling lewat kerana beliau perlukan hanya 10 minit saja untuk sampai ke sekolah.

Saya tidak terfikir untuk meminta dari Aziz bagi saya menumpang di belakang basikalnya atau meminta dari Bang Rahman untuk saya menumpang di belakang motosikalnya. Saya merasa bangga kerana bertenaga untuk berjalan kaki kesekolah.

Pada pagi Isnin pertama saya bangun dari tidur, mandi dan terus memakai pakaian untuk kesekolah Mak Teh telah menunjuk kepada saya tiga tudung saji di atas lantai tempat sarapan pagi dihidangkan. Saya dijelaskan bahawa makanan untuk saya di bawah tudung saji yang tidak berplastik, untuk Aziz pula tudung sajinya berplastik tetapi tidak berbunga, seterusnya tudung saji yang berplastik dan berbunga adalah hidangan untuk Bang Rahman.

Bila saya tanya alasan bagi perbezaannya Mak Teh menjelaskan bahawa ianya berbeza kerana bayarannya berbeza. Aziz bayar RM40.00 sebulan dan Bang Rahman bayar lebih lagi.

Setiap pagi sayalah yang pertama bersila untuk sarapan pagi kerana saya terpaksa berjalan kaki ke sekolah. Oleh kerana Mak Teh sibuk di dapur saya telah beberapa kali mengintip untuk mengetahui apa yang ada di bawah tudung saji yang berplastik dan berbunga.

Walaupun saya dapat hanya secawan kopi dan sebutir kueh, sedangkan Aziz dapat kopi dan dua jenis kueh, Bang Rahman dapat lebih lagi saya tidak merasa apa-apa kerana saya tahu mereka membayar lebih banyak dari saya. Mak Teh juga berjanji pada saya bahawa makanan saya akan bertambah jika saya menambah bayarannya.

Lepas makan saya terus berjalan kesekolah dan bila saya hampir sampai saya dapati Aziz dan Bang Rahman juga sama waktu sampainya dengan saya.

Begitulah pengalaman saya pada setiap hari.
NASIHAT AYAH


Dari masa ke masa ayah saya akan singgah bertemu saya jika kebetulan beliau memandu kereta sewa dan di kawasan yang berdekatan dan ada waktu untuk singgah di Sekolah Ibrahim Sungai Petani.

Dalam ingatan saya di waktu inilah ayah saya mula bercerita kisah beliau waktu bersekolah di Sekolah Ugama Tinggi di Bukit Tinggi, Padang, Sumatera. Beliau berulang kali dengan bangganya memberitahu bahawa beliau tidak pernah mendapat peruntukan dari ibunya di Kampung Lam Bhoe di Kota Radja, kini Banda Aceh.

Berasaskan pengalaman beliau belajar di perantauan maka beliau berpesan kepada saya untuk mengambil kesempatan, secara beransur-ansur untuk belajar menulis teringkas, menaip, belajar main tenis dan juga belajar memasak dua tiga jenis masakan sehingga sampai ke peringkat kebolehan emak saya memasak.

Saya juga diingatkan oleh ayah saya supaya tidak lalai mengerjakan solat sehari semalam lima waktu, menghormati orang tua, dan tidak memilih apa kerja saja yang saya diminta melakukan asalkan tidak salah di sisi ugama dan undang-undang.

Di waktu itu saya tidak faham maksud nasihat ayah saya itu.

Hanya apabila saya sudah lebih dewasa barulah saya tahu, satu demi satu, sebabnya ayah saya memberi nasihat seperti itu. Dan hanya apabila saya sudah pergi ke luar negera barulah lengkap kefahaman saya itu.

MENJADI PENOLONG KEDI

Di hujung minggu saya sering bersiar dalam kebun kelapa keliling rumah Mak Teh yang terletak di kawasan belakang rumah Pegawai Daerah yang tidak jauh dari 'Kelab Orang Putih'. Apa yang kami panggil 'Kelab Orang Putih' itu memiliki sebuah padang golf. Di situ saya bertemu dengan seorang kedi bernama Fakir bin Miskin.

Cucu kepada Fakir ialah Jehan bin Miskin yang terkenal sebagai seorang salah seorang pelakon di Malaysia.

Saya ditawarkan oleh Bang Fakir untuk menjadi penolongnya sebagai 'Assistant Caddy' atau penolong kedi. Kedi ialah pemuda yang menggalas beg golf milik pemainnya. Oleh kerana beg itu agak berat seseorang kedi itu biasanya berumur sekitar 15 tahun ke atas. Saya belum mampu dan layak menjadi kedi. Oleh itu saya hanya menjadi penolong kedi.

Keperluan adanya penolong kedi hanyalah apabila kerana 'fairway' padang golf di Kelab Sungai Petani itu lembut tanahnya kerana selalu hujan dan tanah sekitar lapangan 'Green' padang golf itu terlalu lembut sehingga bola golf selalu terbenam ke dalam tanah. Penolong kedi yang biasanya berumur sekitar 12 tahun akan menunggu dan mengecam di mana tenggelamnya bola golf yang jatuh setelah di pukul. Di lubang tenggelamnya bola golf itulah penolong kedi akan memacak satu bendera kecil sebagai tanda. Pemain golf akan mengutip bola itu dari lubang bila sampai ke situ.

Saya memberitahu Bang Fakir bahawa saya perlu meminta izin ayah saya dulu sebelum menerima tawarannya. Kalau untuk jadi pemungut bola tenis saya memang sudah mendapat izin ayah saya yang menggalakkan saya belajar main tenis dengan bermula menjadi pemungut bola tenis.

Sementara menunggu izin bapak saya untuk jadi penolong kedi saya menjadi pemungut bola tenis untuk pemain tenis di Kelab Sungai Petani. Hampir semua pemain tenis di waktu itu orang putih. Mereka adalah pegawai tentera Brigade Gurkha yang kem mereka terletak di belakang Sekolah Ibrahim School. Saya difahamkan bahawa semua pegawai Brigade Gurkha yang berpangkat di atas dari sarjan terdiri dari 'Orang Putih' yang terkenal dengan panggilan 'Mat Salleh'.

Ayah saya tidak banyak mengetahui mengenai permainan golf, tetapi, apabila beliau melihat Mat Salleh main golf beliau mengizinkan saya jadi penolong kedi. Katanya, 'Di tempat ayah belajar di Padang ayah tidak pernah lihat padang golf. Ayah minta Sanusi belajar main tenis kerana ayah lihat ramai pembesar Belanda main tenis di Padang. Ayah mahukan anak ayah cepat mendekati orang-orang dewasa yang sukses supaya anak ayah juga bercita-cita berjaya seperti mereka.' Barulah saya mengetahui sebabnya ayah saya minta saya main tenis.

Selain dari menjadi penolong kedi kawan sepengalaman juga selalu bermain hoki dalam kebun kelapa dengan menggunakan batang kayu bakau sebagai kayu hoki. Ibrahim School memang terkenal dengan pasukan hokinya yang cukup handal.

ORANG PUTIH PANDAI
JADI TENTERA DAN MAIN GOLF 
MEREKA GEMAR MINUM ARAK DAN MENARI

Waktu saya tinggal di Kampung Aceh saya teringat kepada 'Orang Putih' sebagai tentera yang kerjanya mengawasi pengganas komunis yang berselerak di sekitar Gunung Jerai. Ada pos tentera di kaki Gunung Jerai di kawasan Air Terjun Titi Hayun.

Di padang golf Sungai Petani saya mengenali 'Orang Putih' sebagai pemain golf. Saya juga sering mendengar dari perbicaraan antara mereka bahawa mereka gemar minum arak pada setiap kesempatan, dan bersiar-siar dalam majlis tari-menari 'ballroom' yang diadakan di Kelab Sungai Petani pada malam hujung minggu. 

Antara ingatan yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila tiba hari perayaan untuk orang-orang Kristian. Saya tidak ingat lagi samada hari Natal atau Good Friday. Yang saya ingat ialah beberapa orang dari budak-budak kecil dibawa oleh yang lebih besar untuk mengambil lilin-lilin yang terpacak atas palang salib di perkuburan Kristian di Sungai Layar. Di situ jugalah dikebumikan anggota tentera Gurkha dari kalangan 'Orang Putih' yang tewas dalam pertempuran dengan pengganas komunis.

ORANG KRISTIAN MENYEMBAH ALAT YANG MEMBUNUH TUHAN MEREKA

Di situlah pertama kali saya diperkenalkan kepada ugama Krisitan. Saya menjadi hairan atas sebabnya orang yang berugama Kristian menyembah salib sebagai simbol di mana Nabi Isa, yang mereka anggap sebagai Tuhan mereka, dibunuh. Saya dimarahi oleh rakan-rakan Kristian bila saya tanya sebelum Nabi Isa disalib orang Kristian menyembah apa? Pada sekitar waktu inilah saya diberitahu bahawa ada askar British yang dikebumikan di Sungai Layar telah mati ditembak waktu mereka menghendap pengganas komunis di Gunung Jerai yang dekat dengan kampong saya dilahirkan.

AYAH DAN IBU PINDAH
KE KAMPUNG RAJA, SUNGAI PETANI

Setelah beberapa bulan di rumah Mak Teh, dan setelah pandai menunggu bola golf di hujung 'fairway' saya pun pindah ke Kampung Raja kerana ayah dan ibu sudah berpindah ke sana. Saya ajak rakan sepersekolahan saya dengan Cikgu Md Zain, untuk tinggal bersama, sebelum mereka mendapat tempat di asrama Sekolah Ibrahim.

Ketiga orang kawan saya telah mendapat tempat di hostel dan mereka telah pindah ke sana kerana perjalanan dari rumah di Kampung Raja terlalu jauh untuk ke Sekolah Ibrahim.

Perjalanan ke sekolah dari Kampung Raja tiga kali lebih jauh dari perjalanan dari rumah Mak Teh di Sungai Layar. Pada setiap hari saya bangun awal dan berjalan memintas ladang getah yang berdekatan untuk cepat sampai ke sekolah.

Di Kampong Raja ayah saya sewa rumah Pak Tuan Syed Hasyim. Anaknya ialah Pak Tuan Syed Noh dan Pak Tuan Syed Harun; cucunya ialah Syed Fadil bin Syed Noh, rakan baik saya. Di rumah Pak Tuan Syed Hashim, yang sepatutnya saya panggil Datuk, ada seorang wanita yang paling rapat dengan saya yang saya panggil Kak Faridah.

Saya diberitahu oleh ayah saya bahawa Pak Tuan Syed Hashim tidak mahu mengambil sewa dari ayah saya kerana kehadiran saya dan adek saya Abdullah Maamuoum dan adek perempuan Shamsiah menjadi satu hiburan bagi beliau.

MENGENALI UGAMA HINDU

Di Pekan Lama ada sebuah kuil Hindu yang agak besar jika dibandingkan dengan kuil-kuil Hindu yang lain di Kedah. Saya pernah diajak oleh Sathiasegaran, kawan sedarjah untuk tengok perarakan patung mengelilingi pekan Sungai Petani di hari Thaipusam.

Inilah ugama ketiga yang diperkenalkan kepada saya selain Islam, sebagai ugama ibunda, dan Kristian sebagai ugama tentera British yang mengawasi pengganas komunis di Gunung Jerai dan mempunyai khemah di Titi Hayun di kaki gunung.

Walau bagaimana pun keluarga saya tidak lama tinggal di Kampung Raja sebelum ayah saya memberitahu kami akan berpindah lagi. Saya sangat gembira apabila ibu bapa saya kerap berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain kerana ianya memberi kesempatan kepada saya untuk menghayati keadaan persekitaran yang baru dan dengan itu tidak membosankan saya. Di tempat baru saya bukan sahaja berkenalan dengan kawan-kawan baru tetapi juga mendapat pengalaman hidup yang berbeza-beza.

AYAH DAN IBU PINDAH KE TELOK AMBOI
(TINGGAL BERSAMA PENYANYI S. M. YUSOF)

Hanya beberapa bulan di Kampung Raja ayah dan Ibu saya berpindah lagi untuk tinggal di Kampung Teluk Amboi, Kota Kuala Muda. Saya pun terpaksa pindah untuk tinggal di kawasan berek perumahan untuk pegawai kerajaan yang bersebelahan dengan stesen kereta api di bandar Sungai Petani. Ayah saya telah meninggalkan saya di rumah anak kepada Pak Ngah Sulaiman, seorang pegawai kastam yang tinggal berhadapan Sekolah Melayu di Pekan Yan. Anak sulong Pak Ngah Sulaiman seorang pegawai kastam. Adiknya yang bernama S. M. Yusof (Yusof bin Sulaiman) ialah seorang penyanyi di kelab-kelab malam di Sungai Petani.

Saya ditempatkan satu bilik dengan S.M. Yusof di sebelah dapur rumah abangnya yang namanya saya sudah lupa. Oleh kerana pada setiap malam S. M. Yusof menyanyi di kelab-kelab malam dan tempat hiburan atau keramaian yang lain saya berkesempatan tidur atas katil Abang Yusof sehinggalah beliau pulang dari kerja menyanyinya kira-kira pukul 3 pagi. Bila Abang Yusof pulang saya akan pindah tidur di sebelah bawah katilnya sehingga pagi.

Waktu tinggal bersama Abang Yusof saya sering melintasi landasan keretapi untuk pergi ke padang golf melintasi Jalan Ibrahim dan Mahkamah Sungai Petani yang letaknya di tepi padang golf. Saya kembali menjadi penolong kedi.

CUCI PINGGAN DI LAM SENG COFFEE SHOP 

Waktu bersiar-siar merata pekan Sungai Petani saya singgah di kedai Lam Seng Coffee Shop di Jalan Ibrahim. Di dalam kedai kopi ada kedai nasi mamak. Bila saya dapat tahu mamak memerlukan pekerja maka saya pun turut meminta untuk bekerja sebagai pencuci pinggan di situ untuk beberapa bulan. Saya teringat upah yang diberi untuk cuci pinggan yang dipakai di waktu malam, pada pagi esoknya, hanyalah sekeping roti canai dengan kuah. Untuk pinggan yang dipakai untuk makan tengahari oleh pelanggan, saya cuci di waktu petang. Upahnya selalu sekeping roti canai. Sebelah malam saya dapat sekeping roti canai di sebelah malam yang saya makan sebelum balik ke rumah untuk solat Maghrib. Saya tidak pernah lupa untuk bersolat kerana pesanan dari ayah saya untuk saya tidak melupakan.

NASIHAT DARI BANDUAN

Di masa lapang saya pada hari Juma'at atau Sabtu, dalam perjalanan ke padang golf atau dalam perjalanan pulang dari padang golf saya berhenti di bahagian belakang bangunan mahkamah di mana terdapat sebuah lokap, di mana orang yang bersalah ditahan sebelum mereka diadili di dalam mahkamah pada keesokan hari berkerja.

Jika pemain golf itu merokok dan mereka meninggalkan rokok yang tidak dihisap maka saya bawa sisa rokok yang tinggal untuk banduan yang saya temui di belakang bangunan mahkamah.

Dalam masa antara yang agak lama saya berbicara dengan para banduan, dengan berbagai jenis jenayah, saya selalu mendapat nasihat dari mereka supaya menjadi budak yang baik. Yang mencuri menasihatkan saya supaya jangan mencuri dan yang membunuh menasihatkan saya supaya jangan membunuh. Saya juga banyak mendengar kisah perpecahan dalam keluarga mereka yang menyebabkan mereka liar di dalam masyarakat.

AH TAT SEDIAKAN
'PEK PUI TAMPOK SYAI TENG'

Pada setiap hari persekolahan saya sering makan tengah hari makan di kantin Sekolah Ibrahim.

Waktu di Ibrahim School saya berkawan rapat dengan Sathiasegaran. Bapak Sathiasegaran bekerja sebagai seorang buruh di sebuah ladang getah yang terletak antara Sungai Petani dan Bedong. Seorang lagi pelajar India yang saya kenal tetapi tidak akrab ialah Saravanan. Saravanan anak penyelia atau mando di ladang di mana bapak Sathiasegaran menjadi buruh. Di waktu saya menjadi Menteri Besar Kedah Dato' Saravanan menjadi Ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Oleh kerana kekurangan wang saya telah berkenalan dengan salah seorang pekerja kantin bernama Ah Tat. Ah Tan memberitahu makanan yang paling murah ialah nasi yang berkuah sayur, tanpa sayur, untuk mendapat rasa yang sedap. Dalam bahasa Hokkien nasi berkuah sayor dikata 'Pek Pui Tampuk Shai Teng'. Pek pui bererti 'nasi kosong', 'Tampuk' bererti sedikit dan 'Shai Teng' bererti 'Sedikit kuah'. Begitulah saya diajar. Saya akan pergi ke pinggir restoran dan mengangkat tangan untuk dilihat oleh Ah Tat, dan bila Ah Tat melihat melihat saya akan melaung 'Pek Pui Tampok Shai Teng', dan Ah Tat akan memberi satu bungkusan nasi berkuah sayur yang saya ambil untuk makan bersama Sathiasegaran dengan sedikit ikan masin yang saya ambil dari kedai nasi mamak di Lam Seng Coffee Shop. Saya tidak bayar pada Ah Tat apa-apa di waktu saya mengambil bungkusan nasi dan saya datang lewat sedikit bila pelajar-pelajar lain sudah pergi meninggalkan kantin sekolah. Kadang-kadang, bila Ah Tat ceria 'mood'nya dia tidak mahu ambil duit dari saya.

BERSEPEDA DARI SUNGAI PETANI KE TELOK AMBOI

Pada satu hari saya sungguh gembira kerana mendapat satu basikal atau gerek untuk pergi sekolah. Dengan adanya gerek saya dapat kayuh untuk balik dari Sungai Petani ke Telok Amboi pada hujung minggu untuk bertemu dengan ibu dan ayah saya. 

Di musim menuai padi saya selalu balik ke Telok Amboi pada petang Khamis dan balik ke Sungai Petani pada petang hari Sabtu, kerana Juma'at dan Sabtu adalah hari cuti umum. Di Telok Amboi keadaan agak meriah di musim menuai.

UPAH ANGKOT PADI

Budak-budak yang kurang bertenaga juga diberi tugas untuk mengangkut sedikit padi dari sawah ke tempat lesong padi. Upah mengangkut padi ini agak lumayan tetapi yang menjadi ingatan ialah keseronokan mengangkut padi kerana kita berlumba-lumba dengn budak-budak lain.
KUBUR ENAM ORANG LANUN DI TELOK AMBOI 

Teluk Amboi adalah satu kampong bersejarah bagi keluarga saya.
Tengku Bintang, Teungku Sandang dan Teungku Dalam adalah 'tiga beradik' yang telah didatangkan oleh kesultanan Aceh atas permintaan Sultan Kedah bagi menangkap lanun yang bermaharajalela di pantai negeri Kedah.

Ketiga mereka berhasil membunuh enam orang lanun yang ditangkapnya dan kubur keenam orang lanun itu terletak di belakang rumah Nyak Mahmud di Kampong Teluk Amboi.

Berjiran dengan Nyak Mahmud ialah rumah Nyak Husin anak Teungku Dalam.

Anak Nyak Mahmud bernama Osman dan telah dinikahkan dengan Cut Mak adik ibu saya. Bonda kepada ibu bernama Asiah dan bapanya ialah Tengku Bintang, salah seorang dari pahlawan dari Aceh.

Ketiga-tiga pahlawan Aceh ini telah disemadikan di perkuburan masjid Teluk Amboi. Pada waktu kecil saya selalu bersolat dan berbuka puasa di masjid Teluk Amboi. Siak masjid ialah lebai Man dan anaknya Yaacob ialah sahabat saya di waktu kecil.

CIKGU YAACOB LEBAI MAN TENTERA SABILULLAH

Saya telah bertemu semula dengan Cikgu Yaacob di penjara Kemunting di waktu saya menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri. Beliau telah ditangkap kerana terlibat dengan Kumpulan Kermit (Sabilullah) dan bersama dengan Ayahanda Wan Alam di Sungai Petani.  

AYAH DAN IBU BERPINDAH KE PULAU LANGKAWI
(TALIB PINDAH DARI JITRA KE LANGKAWI)    

Anak angkat ayah saya yang bernama Talib dan bekerja sebagai operator mesin di panggong wayang Yan Talkies telah pindah dari panggung wayang di Guar Chempedak ke Jitra Talkies di daerah Kubang Pasu. Tidak lama setelah itu tauke panggung wayang gambar telah mendirikan sebuah panggung wayang di tepi panti di Kampung Didik di Pekan Kuah, Langkawi.

Talib telah memberitahu ayah saya bahawa Taukei Teik telah mendapat kerja untuk menambak jalan dengan tanah merah dari Pekan Kuah ke Padang Matsirat.

Oleh kerana ayah saya seorang pemandu yang handal beliau telah mengambil kesempatan ini untuk berangkat dari Teluk Amboi ke Langkawi.

Saya agak dekat dengan Talib sebagai abang angkat sejak Talib memeluk ugama Islam dan menukar namanya dari Thangimalai. Waktu Talib bekerja di Jitra Talkies saya pernah pergi ke Jitra di waktu cuti sekolah. Saya diberi kerja oleh Kak Tipah, penjual tiket panggung wayang Jitra Talkies untuk mengedar kertas pamphlet untuk orang ramai sepanjang jalan dari Jitra ke Kepala Batas di mana terletak Lapangan Terbang Alor Setar (kini bernama Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim). Talib tahu kerja mengedarkan kertas maklumat dengan basikal  tidak berat bagi saya kerana ianya tidak berapa jauh jika dibandingkan dengan perjalan saya dengan basikal dari Sungai Petani ke Telok Amboi. Saya mendapat upah yang agak lumayan dari Kak Pah. Malah lebih tinggi dari upah mencuci pinggan di Lam Seng Coffee Shop di Sungai Petani.

Bila cuti Sekolah Ibrahim saya pulang ke Langkawi dan tinggal di Kampung Didik bersama dengan ayah dan ibu. Sering juga saya tidur di belakang pentas di panggung wayang Kim Sun Talkies bersama dengan abang Talib.
BERJUMPA DENGAN DR. MAHATHIR DI LANGKAWI

Saya teringat satu peristiwa apabila saya sakit batuk dan dibawa oleh ayah saya berjumpa dengan doktor di klinik kerajaan. Saya teringat doktor yang melihat saya berjambang hitam. Itulah Dr. Mahathir Mohamad yang mula bertugas sebagai doktor di Pulau Langkawi. Bila sampai di klinik ayah saya membisik sesuatu kepada Dr. Mahathir lepas itu saya dipanggil untuk diperiksa. Doktor suruh saya buka mulut dan beliau menyuluh ke dalam rengkong saya. Terus beliau memberitahu bahawa saya tidak perlu makan ubat kerana rengkong saya merah kerana terlalu banyak bercakap. Jika saya berhenti bercakap selama seminggu saya akan segera sembuh. Ada ubat merah dalam botol yang disuruh saya kumur sampai kerengkong untuk mematikan kuman.

Saya berjumpa dengan doktor Mahathir hanya sekali. Saya pernah nampak satu hari dia naik perahu bersama seorang wanita jelita untuk didayung ke sebuah pulau berdekatan dengan Pulau Tuba. Setelah sekali bertemu saya bertemu lagi dengan Tun Dr. Mahathir sekitar tujuh tahun kemudian di waktu saya bekerja di Seremban. Pada waktu itu saya menjadi ahli Kelab Belia Seremban yang bergabung dengan MAYC.

HIMPUN BUAH KELAPA YANG DIKAIT
 OLEH
BANG MAT LANGSIR

Di waktu berada di Langkawi sekitar umur 10+ tahun ibu saya meminta Bang Mat Langsir dan Bang Mahmud JKR untuk bawa saya ke sana sini untuk tidak membosankan. Bang Mat sering bawa saya dengan baisikalnya ke kebun kelapa di pantai Penarak. Di situ Bang Mat Langsir panjat beberapa batang pohon kelapa dan saya mengumpul buah. Waktu saya sedang mengutip buah kelapa yang gugur ke tanah Bang Mat telah menghilangkan diri. Bila selesai saya mengumpulkan Bang Mat akan muncul dengan tali untuk mengikat buah-buah kelapa ke atas pelantar di belakang baisikal, sementara saya duduk di atas handle baisikal bila Bang Mat bawa buah kelapa ke kedai-kedai untuk dijual.

Bang Mahmud JKR mendapat gelaran ini kerana beliau menjadi pemandu di Jabatan Kerja Raya atau JKR. Kerana melayan saya Bang Mat Langsir dan Bang Mahmud JKR mendapat peluang menonton di Kim Sun Talkies tanpa apa-apa bayaran.

BANG MAHMUD HANTAR PENONTON
YANG DITINGGAL BAS
KERANA LAMBAT
MENCARI KASUT YANG HILANG

Bang Mahmud sering meminta saya bawa kepadanya kasut-kasut perempuan-perempuan muda yang menonton filem Hindustan kerana biasanya mereka menanggalkan kasut apabila khusyuk menonton filem. Mereka tidak sedar kasutnya sudah saya ambil.

Bang Mahmud JKR menyembunyikan kasut wanita-wanita itu sehingga mereka dengan tangisan mencari kasut mereka selepas menonton filem. Bang Mahmud akan mendekati mereka untuk membantu mencari kasut yang hilang. Bila berjumpa, oleh kerana bas untuk pulang ke tempat masing-masing sudah tidak berkhidmat lagi, Bang Mahmud dengan sukarela menawarkan khidmatnya untuk membawa penonton-penonton perempuan itu ke rumah mereka menggunakan jeep JKR. Wanita yang paling cantik adalah yang terakhir Bang Mahmud hantar ke rumah apabila sudah larut malam. Biasanya kiriman lambat ini ialah untuk wanita yang tercantik yang kehilangan kasut pada malam itu.
MENDAPAT TEMPAT DI ASRAMA 
   
Lama kelamaan, di separuh terakhir di Standard 6 Sekolah Ibrahim saya telah mendapat tempat di asrama sekolah. Saya pun pindah dari rumah abang kepada S. M. Yusof ke asrama sekolah.

Di Sekolah Ibrahim saya sempat menjadi anggota 'anak serigala' bagi kumpulan pengakap yang dipimpin oleh seorang senior di sekolah bernama Ismail.

PUNGUT BOLA TENIS

Semasa di asrama saya menjadi lebih dekat dengan guru-guru sekolah. Untuk menampung perbelanjaan saya dengan sukarela menjadi pemungut bola tenis apabila guru-guru bermain. Di sesebuah gelanggang tenis ada tiga orang pemungut bola, dua orang darinya menunggu di belakang pemain yang berlawan dan seorang lagi menjaga di jaring apabila bola terkandas di jaring. Pemungut di jaring mendapat dua kali ganda upah dari pemain sementara dua orang penjaga di hujung gelanggang mendapat setengah upah, bagi tiap seorang, dari yang diperolehi oleh penjaga jaring.

Antara guru yang paling kerap bermain tennis ialah Cikgu Veerasingam. Walaupun berketurunan India tetapi beliau putih orangnya.

UPAH CUCI KERETA

Jika musim hujan dan tidak banyak guru bermain tenis maka saya sering ke rumah-rumah guru di belakang sekolah untuk mengambil upah mencuci kereta.

Antara guru yang sering memberi peluang untuk saya mencuci keretanya ialah Cikgu Ismail yang dengan nostalgia saya bertemu sekali lagi dengan beliau apabila beliau menjadi pengerusi PIBG Maktab Rendah Sains Mara di Kulim yang saya lawati di waktu saya menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar yang turut bertanggungjawab, antara lain, ke atas MRSM.

Ayah saya sangat gembira mendengar laporan saya mengenai wang yang saya kumpul dengan berbagai usaha termasuk mencuci kereta. Saya juga sering mencuci kereta sewa yang dipandu oleh ayah saya bila saya bercuti di rumah.

Bila saya tanya pada ayah saya apa yang harus saya buat jika Cikgu tidak mahu keretanya dicuci, ayah saya menyarankan supaya saya merayu untuk cuci percuma sekadar berterima kasih kerana cikgu telah mengajar saya dengan baik. Walaupun saya sukarela mencuci tanpa upahan Cikgu pasti memberi sesuatu apabila keretanya saya sudah saya cuci.

DIMARAH OLEH GURU

Dalam ingatan saya tidak pernah dimarahi oleh guru-guru kecuali oleh Cikgu Fernandez. Ada seorang pelajar senior bergelar Hamid Genting di satu hari telah membawa foto-foto pornografi dan menunjuknya kepada pelajar-pelajar. Seterusnya beliau telah mengeluarkan dari begnya satu cermin muka dan mengajak pelajar-pelajar di asrama untuk pergi berdekatan bilik guru asrama Cikgu Fernandez yang kebetulan pada waktu itu bersama Cikgu Miss Pooninapathy berdua-duaan di dalam bilik. Cermin itu Hamid letak di bawah lubang di dinding bilik Cikgu di asrama.

Tiba-tiba cermin ini telah dipukul dari dalam bilik, tentunya oleh Cikgu Fernandez dan setelah itu beliau keluar dari bilik dan melihat kami di luar sedangkan Hamid sudah pun lari tidak kelihatan di situ. Cikgu menuduh kami yang mengintip beliau yang bersama rakan wanitanya. Salah seorang dari kami yang dilihat paling besar telah dikenakan hukuman.

GURU-GURU DALAM KENANGAN

Guru Besar Sekolah Ibrahim di waktu saya di sana bernama Toh Chin Chye. Saya tidak pernah mendekati beliau tetapi anaknya ialah seorang guru juga yang sangat digemari oleh pelajar-pelajar.

Ada tiga orang guru dari keturunan Augustine bernama John, Patrick dan Stanley. John mengajar Bahasa Inggeris dan terakhir saya mendengar bahawa beliau berada di Australia sebagai seorang padre yang bertugas di gereja. Di waktu mengajar saya teringat beliau sangat menghibur pelajar-pelajar.


PELUKIS BERTARAF INTERNASIONAL

Sekolah Ibrahim juga dapat berbangga dengan melahirkan seorang pelukis terkenal bertaraf antarabangsa Dato' Ibrahim Husin. Beliau adalah adik kepada Sasterawan Negara Dato' Abdullah Husin dan pengasas Gabungan Penulis Nasioal (GAPENA) Pendita Professor Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Husin. Mereka berketurunan Aceh yang bermustautin di Sungai Limau Yan. Saya juga bangga kerana mereka dari kaum kerabat saya yang dekat dan mesra dengan keluarga kami sehingga ke akhir hayat. Saya turut menguruskan pengkebumian mereka di Perkuburan Bukit Kiara.

Dato' Abdullah Husin pernah menjadi Widana di Langsa Aceh di waktu datuk isteri saya Teungku Muhammad Daud Beureueh menjadi Gubernor Aceh.

Dua orang pelajar senior yang handal bermain hoki ialah Doraisamy dan Navaratnam. Mereka berdua telah bekerja sebagai pegawai dalama Angkatan Polis Di Raja Malaysia. Saya telah bertemu kembali dengan mereka waktu saya di Seremban tujuh tahun kemudian apabila mereka bermain bersama rakan sepejabat dengan saya di Chartered Bank yang juga handal bermain hoki iaiatu Lawrence Van Huizen, Peter Paul Pinto dan Victor Mauricio.

PEMIMPIN MAYC
DARI SEKOLAH IBRAHIM SUNGAI PETANI

Waktu di Sekolah Ibrahim saya melihat satu kumpulan bernama 'Fraternity of Adventurers' yang dipimpin oleh seorang pemimpin bernama Syed Ahmad Idid. Beliau, mantan seorang hakim mahkamah tinggi, bertanggungjawab memilih saya menjadi Setiausaha Agong MAYC apabila beliau mengambil alih jawatan Presiden MAYC dari Tunku Abdullah pada tahun 1971. Timbalan Presiden MAYC di waktu itu ialah Siddique Ghouse juga alumi Sekolah Ibrahim Sungai Petani. Nama saya telah dicadang untuk menjadi Setiausaha Agong MAYC oleh saudara Taib Wahab, Setiausaha Kerja MAYC di waktu itu. Saudara Taib mengenali saya di dalam pertubuhan PKPIM (Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia) yang saya telah dilantik oleh Anwar Ibrahim untuk menjadi Penasihat Kewangan.

Bila saya menjadi Presiden MAYC saya telah melantik Taib Wahab menjadi Setiausaha Agong.

DARI MEMANDU KERETA SEWA 
JUNID MEMANDU LORI
(BINA JALAN KUAH - PADANG MATSIRAT)

Di Langkawi ayah saya telah bekerja sebagai pemandu lori tauke Teik. Tugasnya yang membanggakan saya ialah membawa lori yang membawa tanah merah untuk ditambak dalam pembinaaan jalan tanah merah dari pekan Kuah ke Padang Matsirat. Inilah kali pertama ayah saya mula membawa lori sedangkan sebelumnya beliau hanya membawa kereta sewa samaada teksi atau kereta sewa haram yang digelar kereta sapu. 

Pada waktu itu tidak ada jalan tar di Pulau Langkawi kecuali jalan tar dari Kuah ke ladang Sungai Raya milik Loh Boon Siew seorang taukeh China dari Pulau Pinang.

Di Padang Matsirat jalan tanah merah tamat di depan rumah Panglima Ibrahim. Di depan rumah Panglima Ibrahim inilah telah dibina sebuah panggung wayang gambar bernama Matsirat Talkies.

DARI LANGKAWI KE GUAR CHEMPEDAK

Setelah siap jalan tanah merah dari Kuah ke Padang Matsirat ayah saya telah membuat keputusan untuk pindah ke Guar Chempedak. Keputusan ini berasaskan nasihat nenekanda Haji Nyak Gam kerana untuk saya ke Langkawi bila cuti sekolah adalah tersangat jauh dan terpaksa melintasi laut dari pelabuhan ikan di Kuala Kedah ke pelabuhan pekan Kuah.

Nenekanda Nyak Gam telah mencadangkan ayah saya menyewa rumah berdekatan dengan kilang papan miliknya kira-kira 2 batu dari Guar Chempedak arah ke Gurun.

Nenekanda Nyak Gam juga telah memperkenalkan ayah saya kepada taukeh lori di Alor Setar yang lorinya sering membawa papannya untuk dijual di Pulau Pinang. Tak lamaa setelah itu ayah saya telah membawa lori muatan ikan milik taukeh yang sama.

KECELAKAAN DI SUNGAI SIPUT

Sebelum adanya projek MADA yang dibiayai oleh Bank Dunia kapal ikan boleh mendarat di jeti di Alor Setar. Dari Alor Setar ayah saya memandu lori membawa ikan ke pasar besar di Ipoh pada setiap hari.

Oleh kerana lori ikan perlu sampai di pasar borong Ipoh sebelum pukul 6 pagi maka ayah saya terpaksa memandu lori dengan pantas dari jeti Alor Setar untuk sampai di Ipoh dalam masa 6 jam. Pada waktu itu tidak ada lebuhraya seperti sekarang.

Saya teringat pengalaman ayah saya terpaksa memandu lori begitu laju sehingga bertemu dengan malapetaka kecelakaan jalan raya di Sungai Siput kerana takut lambat sampai di pasar borong Ipoh.

Kelambatan sampai ini disebabkan oleh pemeriksaan polis di Bumbong Lima di Seberang Prai dan kaki Bukit Berapit. Di Bumbong Lima lambat cepat pemeriksaan polis tergantung kepada betapa cerewetnya pemeriksaan dan penyelesaiannya berakhir dengan pemberian sedikit wang yang resit tidak diambil untuk menjimatkan masa.

Masaalah yang lebih besar ialah jika ada pemeriksaan di kaki Bukit Berapit. Sementara di Bumbung Lima lori boleh meningkatkan kelajuan hanya dengan menekan minyak di kaki Bukit Berapit keadaannya berbeza kerana lori berjalan terlalu lambat mendaki bukit. Hanya jika pemberhentian di Bumbung Lima hanya sekejap ayah saya dapat mengelak dari pemeriksaan di Bukit Berapit kerana lori ayah saya sampai sebelum polis sampai di situ.

KEPUTUSAN TUN DR. MAHATHIR
UNTUK MEMBINA LEBUHRAYA

Di waktu Dr. Ling Leong Sik menjadi Menteri Pengangkutan, beliau telah membawa satu kertas kerja untuk membuat undang-undang memaksa semua lori diadakan pintu untuk mengurangkan kecelakaan jalanraya. Beliau menyatakan pemandu lori yang tidak berpintu menyebabkan mereka membawa dengan laju kerana mereka merasakan mereka boleh terjun keluar dari lori jika berlaku pelanggaran. Dengan adanya pintu mereka akan lebih berhati-hati kerana takut tersepit dalam pelanggaran jika lori mereka berpintu.

Saya menentang cadangan Dr. Ling Leong Sik kerana saya menggambarkan ayah saya tersepit dalam lori jika berlaku kecelakaan di masa lalu. Saya juga tahu sebab sebenarnya ayah saya bawa kereta terlalu laju dengan sekatan-sekatan polis dan jalan dari Alor Setar ke Ipoh berliku-liku dan jalannya juga sempit.

Akhirnya kabinet memutuskan untuk membina lebuhraya seperti yang ada sekarang dan usul Dr. Ling Leong Sik telah ditolak di waktu itu.

KULIAH UGAMA DALAM LORI

Di subuh Juma'at dan Sabtu, di musim cuti sekolah saya sering balik ke rumah di Guar Chempedak dan mengikut bersama ayah saya sebagai kelendan kecil di dalam lori dalam perjalanan dari Alor Setar ke Ipoh.

Sepanjang jalan ayah saya akan bercerita sejarah nabi-nabi dari Nabi Adam as. hingga ke Nabi Muhammad saw. Saya sangat teringat cerita Nabi Yusof kerana diminati oleh Zulaikha, Nabi Ibrahim kerana tidak terbakar di dalam api dan setuju mengorbankan anaknya, Nabi Sulaiman kerana boleh bercakap dengan haiwan, Nabi Isa yang disalib oleh bangsanya sendiri dan tentu sekali Nabi kita Muhammad saw.

MINAT MEMBACA DAN BERPIDATO

Bila sampai di pasar borong Ipoh ayah saya akan meletak satu tong ikan yang sudah kosong dan beliau mengajak pemandu dan kelindan lori yang berugama Islam dari destinasi-destinasi lain untuk berdiri atau duduk di depan tong ikan di mana saya berdiri untuk bercerita kisah-kisah nabi yang baru saya pelajari dalam perjalanan dari Alor Setar.

Selalunya ada yang bertanya berbagai soalan pada saya yang saya tidak mampu menjawabnya. Ayah saya meminta saya tulis soalannya dan disuruh saya bertanya pada emak saya apabila saya sampai ke rumah. Emak saya sebaliknya tidak menjawab soalan-soalan saya tetapi memberi kepada saya buku-buku yang mengandungi riwayat nabi-nabi.

Di sinilah bermulanya kegemaran saya untuk membaca dan berpidato.

WASIAT JUNID SEBELUM MENINGGAL DUNIA.

Pada satu hari saya telah dipanggil pulang dari sekolah kerana ayah saya dalam keadaan tenat.

Bila sampai ke rumah ayah saya dengan senyuman di bibir, yang kelihatan berada dalam kesakitan telah memeluk dan mencium saya sambil beliau meminta saya duduk di sampingnya dengan kertas untuk mencatit sesuatu. Antara pesanan ayah saya yang boleh saya anggap sebagai wasiat ialah:

1. Jangan sekali-sekali menyakiti hati emak.

2. Jangan tinggal solat

3. Hormatilah orang tua

4. Belajar main tenis dan golf untuk mendekati dengan orang-orang yang Berjaya.

5. Belajar memasak dua tiga jenis masakan dari emak

6. Belajar manaip

7. Jagalah emak dan adik-adik.

8. Belajar teringkas (short-hand)

Setelah ayahanda Junid menghembuskan nafasnya yang terakhir mayatnya kami bawa balik ke rumah adiknya bonda Putih bin Cut Li isteri kepada Sheikh Umar bin Teungku Muhammad Dahan di Kampung Aceh, Yan, Kedah. Jenazahnya disolatkan di Meunasah Gampoeng Aceh dan dikebumikan di perkuburan Gampoeng Aceh di tepi jalan arah ke Meunasah di samping kubur ayahnya Cut Li dan mertuanya Nyak Osman.  Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh ayahanda saya, mengampunkan segala dosanya dan menerima segala ibadatnya.. Ameen.

NB: Ada nama dalam karangan di atas yang sengaja ditukar untuk tidak menyinggung perasaan. Oleh kerana karangan di atas sangat bergantung kepada ingatan maka para pembaca yang mempunyai fakta yang lebih jelas bolehlah menghubungi saya untuk membetulkan atau menambah dengan tujuan untuk memperbaiki kandungan. Terima kasih.

1 comment:

Anonymous said...

Terasa sayu tapi seronok membaca kisah hidup yang disajikan itu.