Kedi, ais sagat dan makjun arjuna
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
'Kalau saya tak boleh makan, saya tak tahu orang lain makan berlebih. Sepanjang masa saya gembira, duit ada gembira, tak ada duit pun gembira, cuci pinggan pun gembira.'
1. PERTEMUAN dengan Tan Sri Sanusi Junid di Royal Commonwealth Club Jumaat lalu umpama tiada kesudahan. Terlalu banyak kenangan diimbas. Bermula dari Kampung Acheh di Yan, Kedah, perjalanan hidup beliau ‘berpindah’ ke Seremban, London, Jerman dan akhirnya kembali Kuala Lumpur.
2. Bagi bekas Menteri Pertanian itu - catatan hidupnya tiada duka. Istilah kecewa hanya sekali, ketika mana beliau tidak mendapat biasiswa semasa belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
3. ‘‘Saya manusia, yang saya susah saya tak tahu, sebab saya tak tahu senang itu apa, orang yang tahu susah adalah orang yang tahu apa itu senang,
4. ‘‘Kalau saya tak boleh makan, saya tak tahu orang lain makan berlebih. Sepanjang masa saya gembira, duit ada gembira, tak ada duit pun gembira, cuci pinggan pun gembira,’’ katanya.
5. Sememangnya menarik menyusuri kenangan zaman kecil Sanusi. Beliau sentiasa diingatkan tentang asal-usulnya malah cucu menantu kepada ulama tersohor Teuku Muhammad Daud Beureueh dan lahir dalam keluar besar pahlawan Indonesia Teuku Cik di Tiro itu sememangnya tidak boleh dipisahkan dengan Aceh. Beliau bertutur dalam bahasa itu, sementara bahasa Melayu turut ‘mengikat’ lidahnya.
6. Seawal usia lapan tahun beliau menjadi ‘kelindan’ lori yang dipandu bapanya setiap Jumaat dari Alor Setar untuk menghantar ikan ke pasar besar Ipoh.
7. Sepanjang perjalanan, bapanya, yang berkelulusan dari Sekolah Tinggi Agama di Padang, Sumatera, Indonesia, berkongsi kisah nabi-nabi. Beliau menjadi pendengar setia. Setiba di Ipoh, Sanusi disuruh bapa berdiri di atas tong ikan, menyampaikan semula cerita nabi-nabi kepada kumpulan pemandu lori. Daripada situ beliau belajar menggali ilmu, sementelah bapanya tidak pernah membantu jika ada drebar lori bertanya soalan.
8. ‘‘Drebar-drebar seronok dengar ‘ceramah’ saya dan mereka tanya soalan, bapa suruh saya baca buku untuk cari jawapan, saya juga rajin bertanya ustaz di kampung,’’ katanya. dia tidak akan ajar, jauh sekali bagi jawapan. Dari situ saya mula minat cari ilmu dengan membaca buku sebab nak jaga jangan malu kalau orang tanya tak boleh jawab,’’ kata Sanusi.
9. Bekas Menteri Besar Kedah itu hakikatnya sebati dengan pelbagai dunia pekerjaan sejak bersekolah rendah. Ketika darjah enam, beliau mula menjadi pembantu kedi di kelab golf Sungai Petani. Sanusi yang belajar di Ibrahim School menumpang di rumah sewa milik Mak Teh di Sungai Layar berhampiran kelab golf. Padang golf yang agak lembut menyebabkan bola sering tenggelam di dalam tanah.
10. ‘‘Sebab itu ada pembantu kedi. Budak-budak kecil yang tak larat angkat beg akan pungut bola, seronok juga sebab orang putih biasanya bagi upah lebih kepada budak kecil,’’ kata Sanusi.
11. ‘Tugas’ tersebut diteruskan selepas beliau memasuki Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Siapa sangka darah Aceh yang mengalir di tubuhnya menjadikan beliau istimewa di mata guru besar yang juga sejarawan meminati sejarah Aceh ( Mr. N. J. Ryan yang mengganti Mr. Howell ). Apatah lagi Sanusi sendiri begitu dekat dengan sejarah nenek moyangnya yang juga merupakan pejuang-pejuang di Aceh yang sentiasa meniti di bibirnya.
12. Sanusi yang tidak mendapat biasiswa kerana bapanya bukan rakyat Malaysia diberi elaun khas guru besar berupa wang saku RM20. Bukan itu saja beliau diberi kebebasan tanpa diketahui pelajar-pelajar lain untuk menjadi kedi di Kelab Golf Ipoh dan Taiping.
13. Sanusi yang berkaca mata sejak sekolah rendah menggunakan alasan membaiki cermin mata untuk turun ke Taiping sedangkan beliau sebenarnya menjadi pembantu kedi di kelab golf di situ. Upah sepanjang hari mengutip bola di bawah terik matahari bagi Sanusi sememangnya lumayan. Apabila memasuki tingkatan empat, beliau menjadi kedi pula di Ipoh sehingga tamat belajar di MCKK. Sanusi gagal untuk mendapat satu dari dua biasiswa Colombo Plan untuk belajar electrical engineering di New Zealand kerana pengaruh keluarganya lemah dibandingkan dengan tiga nama dalam short-list. Kemudiannya beliau menolak peluang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya jurusan matematik kerana biasiswa yang ditawarkan adalah untuk perguruan
14. ‘‘Semasa itu saya jadi kedi kepada pengurus Chartered Bank Ipoh. Dia tanya apa saya nak buat. Masa itu saya fikir nak jadi jurutera atau doktor. Pengurus bank itu tanya sama ada saya berminat jadi banker. Saya tanyak apa ertinya menjadi banker. Charles McGregor menjawab, ' banker itu seorang yang belajar ekonomi tapi tak cukup untuk jadi ahli ekonomi, dia belajar akaun tetapi tidak cukup untuk jadi akauntan bertauliah dan dia belajar undang-undang tetapi tak cukup untuk jadi peguam.'
15. Sanusi keliru dan terus meminta penjelasan ‘‘Saya tanya banker buat apa, dia bagi tahu banker urus duit, terus saya minat,’’ kata Sanusi.
16. Bermulalah kerjaya Sanusi sebagai pegawai dalam latihan di mana beliau dihantar bertugas di Chartered Bank Seremban. Di Seremban juga Sanusi mengembangkan minatnya dalam bidang politik selain aktif dalam Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan.
Mengimbas kenangan
17. Sanusi mengimbas lagi zaman sekolahnya di Sungai Petani ketika menumpang di rumah abang penyanyi SM Yusuf iaitu anak kawan ayahnya Pak Ngah Sulaiman di pekan Yan, Kedah. Kenangannya berkisar tentang kerja mencuci pinggan untuk mamak yang ada gerai dalam kedai Lam Seng Coffee Shop, di Jalan Ibrahim, dengan upah sekeping roti canai pagi, petang dan malam. Beliau yang meminta upah sebanyak itu.
18. Bila difikirkan semula, upah tersebut ternyata tidak berbaloi dengan semua pinggan-pinggan yang dicuci. Sambil tersenyum, putaran kenangan itu meyedarkan dirinya bahawa beliau sebenarnya underpaid.
19. Sanusi memulakan persekolahan di MCKK lewat dua bulan berbanding pelajar lain. Ruang masa tersebut diisi dengan mengikuti datok saudaranya Nyak Putih berniaga kain-baju di pasar pekan sehari. Jadualnya penuh. Ahad di Teroi, Isnin di Sungai Yan, Rabu di Guar Cempedak, Khamis di Merbok dan seterusnya ke tempat-tempat lain.
20. Paling menarik bagi Sanusi berniaga di Guar Cempedak. Di situ banyak pengalaman diraih. Dia turut membantu Pak Hussein bapa Tan Sri Hanafiah berniaga air batu sagat. Di situ juga Sanusi mencari ruang membantu Mat Pekan Rabu menjual songkok. Paling tidak dilupakan Sanusi apabila beliau membantu pukul gendang dan menjual Makjun Arjuna Puteri Madura milik Pak Raden sambil berceramah sedangkan makjun tersebut adalah untuk tenaga batin. Pada usia mentah beliau hanya menghafal kebaikan makjun tersebut supaya dapat berceramah untuk melariskan jualan.
21. Jalinan kenangan semasa kecil itu hakikatnya tidak pernah putus. Ketika Sanusi menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, pada satu majlis beliau sedang berceramah, Pak Raden naik ke pentas memeluknya kerana mengingati Sanusi pernah membantu menjual makjun.
22. Pertemuan itu umpama membuka laluan kepada Pak Raden membesarkan perniagaan. Hasil bantuan Sanusi beliau mendapat pinjaman RM1 juta dari MARA. Maka terdirilah kilang makjun di Parit Raja, Johor atas jenama Makjun Peladang.
23. Ketika Sanusi giat berkempen minum air kelapa muda, Pak Raden, yang mewakili persatuan dukun dan bomoh telah tampil menjangkis dakwaan orang ramai air tersebut boleh melemahkan tenaga batin.
24. Biar pun usianya menjangkau 68 tahun Julai ini, namun setiap ‘jalan’ yang disusuri masih kukuh di ingatan beliau. Kami melangkah meninggalkan Royal Commonwealth Club berjalan ke kediaman asal Sanusi di Lorong Batai Dalam untuk melihat khutub khanah yang menghimpunkan koleksi buku Sanusi.
25. Sebahagian daripada sekitar 30 ribu buah tajuk buku masih dalam proses penyusunan mengikut kategori masing-masing. Perpustakaan Toeti Juairiah (gabungan nama ibu mertua dan ibunya) yang dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1 Mei 1989 hakikatnya adalah Sanusi Junid yang sarat dengan pelbagai kisah dan pengalaman.
NOSTALGIA
A. Mencuri keluar dari hospital Ipoh menumpang basikal pembantu hospital berketurunan India menonton filem Tamil bertajuk 'Susu dan Pisang' ( Paalum Paghamum ) lakonan Sivaji Ganesan. Ketika itu, pada tahun 1960, beliau ditahan di hospital menunggu keputusan sampel darah dari Lady Templar Hospital kerana batuk darah ( haemoptysis ).
B. Semasa di MCKK beliau berhutang dobi pakaian selama tujuh tahun dengan tauke Ah Cheng. Bayaran langsai selepas menjadi pengurus Chartered Bank.
C. Sebelum berangkat ke England beliau terpaksa memujuk pemilik Chong Taylor di Jalan Masjid India supaya membenarkannya berhutang untuk menempah lima helai suit. Sekembalinya ke tanah air, beliau menguruskan pinjaman bank bagi membolehkan taukeh Chong membesarkan perniagaannya. Fahaman beliau, pekedai Tionghua adalah tempat berhutang.
D. Kediaman Sanusi di No. 3, Lorong Batai Dalam, Damansara Heights menjadi pejabat berdaftar pertama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
E. Sanusi pernah bergabung dengan P. Ramlee menubuhkan syarikat bernama Sazara Sdn. Bhd. (Sanusi, Zain, Ramlee dan Abdullah (Hussein)) untuk menerbitkan filem video. Walau bagaimana pun usaha tersebut tidak menjadi kerana P. Ramlee ingin berlakun dalam filem cinemascope yang dicadangkan padanya oleh Jins Shamsuddin yang baru saja mendapat ijazah dalam film-making.
F. Pernah menggunakan kemudahan pinjaman RM50 juta di Chartered Bank 'membebaskan' kira-kira 25,000 petani di Kedah, Perlis, Seberang Perai dan Utara Perak daripada belenggu orang tengah. Sebanyak 3,000 penarik beca (penggatih teksi) di Kelantan turut terlebat dalam program tersebut. Termasuk juga sekitar 300 peniaga kecil kelapa dan runcit di kawasan pesisiran pantai Selangor.
Karangan Ce' Noraini ini telah saya edit dengan tulisan italic untuk menjelaskan maksud. Nombor pada setiap para telah saya berikan untuk memudahkan rujukan - Sanusi Junid.
Askm
ReplyDeletePemimpin lama macam Tan Sri ni memang berjiwa rakyat. Pemimpin baru UMNO sekarang ni hampeh cuma berjiwa duit dan perempuan
Setelah membaca biografi Tan Sri, saya benar-benar terkesan, bahwa kehidupan beliau tepat jika disejajarkan dengan riwayat kehidupan Dr. Hasballah M.Saad di Aceh. Betul-betul merangkak dari bawah!!!.
ReplyDeleteSalam Tan Sri. bapak saya Umar kirim salam. Dia tanya bila nak pi Perlis dan awat tak cerita kes-kes cinta Tan Sri? :)
ReplyDelete