Tuesday, October 30, 2012

KELOHAN BANGSA

MAJLIS ANUGERAH GAPENA
 
Di bawah ini diperturunkan satu 'Kelohan'. Bukan kelohan kerana ditimpa Qada dan Qadar, kerananya kita tidak boleh mengeloh. 'Kelohan' ini ialah kelohan atas kekelamkabutan bangsa sendiri.
 
Dalam 'kelohan' kita tidak terikat kepada cara konvensyenal. Tulis ikut rasa.
 
Macam yang selalu ditulis oleh 'anonymous'. Tetapi 'anonymous' yang bernama.
 
MAJLIS ANUGERAH GAPENA 2012
Anjuran: GAPENA
Tempat: Dewan di Tingkat 1, Dewan Bahasa; Pustaka, Kuala Lumpur
Tarikh: Ahad 21hb Oktober, 2012
Masa: 8.30 malam
Acara: Anugerah Puisi Gapena
Tema: Kelohan Bangsa
Pengarang: TSSJ

KELOHAN
LAKSANA KELKATU MENGHAMBAT CAHAYA

NASIHAT JENERAL McARTHUR KEPADA BANGSAKU

Bangsaku adalah Melayu;

Yang tidak mahu dipanggil Melayu pun sebenarnya tinggal dalam apa yang dikenali dunia sebagai Gugusan Pulau-Pulau Melayu;

Elok jugalah begitu;

Kini bangsaku dalam kelompok masing-masing bersatu;

Bukan bersatu kerana mengikut Allah berfirman;

Bukan bersatu kerana subur nasionalisma dan iman;

Bukan bersatu untuk mencapai kejayaan ekonomi sezaman;

Tetapi;

Bersatu untuk berkelahi sesama sendiri;

Bersatu untuk mencapai matlamat peribadi;

Bersatu mengikut perasaan hati yang benci;

Bersatu berkawan dengan musuh dan bermusuh dengan kawan;

Siapakah yang akan menolong bangsa ini?

Melayu sudah ketandusan panglima dan pahlawan;Melayu sudah kehilangan penulis, pujangga dan seniman;

Melayu tercari-cari di mana failosof dan pejuang;

Yang dapat mengembalikan semangat yang sudah hilang;

Setelah institusi Raja-Raja Melayu dipertikaikan



Beginilah jadinya;

Jika nanti pemimpin sudah tidak bermaya;

Apabila ulama sudah menyesal dengan pegangan betul yang lama;

Siapakah yang dapat membetulkan arah yang sesat;

Siapa yang akan memberi nasihat;

Memberi nasihat harus cepat:

Lihatlah saja pada sejarah:

Tiga agama di bumi Allah;

Judaism, Kristian dan Islam;

Agama keturunan Nabi Ibrahim a.s

Judaism menolak kedatangan Kristian, Kristian menolak kedatangan Islam.

Judaism ditentang oleh Zionism;

Kristian dipecah-belahkan oleh Maharaja Constantine, Martin Luther dan Raja Henri ke VIII;

Islam? Sunni dan Syi’ah serang menyerang;

Siapakah yang untung dari semua ini?

Kumpulan liberalisma bermaharajalela;

Kumpulan LGBT terus ditaja;

Sistem ekonomi berlandaskan riba;

Sistem ekonomi Islam coba dinoda;

Kerana politik boleh tergadai bangsa;

Adakah kita berpolitik tak tentu arah?

Tidak;

Arah politik kita sudah ditentukan dari jauh;

Di China, yang jauh di sana, Mao Tse Tung telah menjelaskan politik adalah peperangan yang tidak berdarah;

Dan peperangan pula adalah politik yang berdarah;

Lebih awal Sun Tzu mengajar – kemenangan dalam peperangan bergantung kepada tipu dan helah;

Di Itali Machiavelli mengingatkan - matlamat menghalalkan cara;

Pernah aku tanya pada seorang tokoh di waktu bangsanya hendak dibawa ke ambang perang?

Apakah buku yang perlu dibaca untuk berperang sehingga menang?
Katanya (Iqra’) bacalah:

Buku berasal dari Itali – War Commentaries by Julius Caesar

Dari Jerman tela’ahlah buku – Clausewitz on War;

Dari Perancis bacalah buku – Napoleon’s Campaign;

Dari Yunani pelajarilah buku – Plutarch’s Lives

Kutanya lagi – bagaimana pula dengan Qur’an dan Hadith?

Jawabnya – Nietzsche ada menulis buku dengan tajuknya ‘God Is Dead’

Akhirnya, perang selesai tetapi tidak menang

Kini;

Raja, failosof, pejuang, pujangga, pemimpin, seniman, pahlawan, penulis, penyair, pemikir, sastrawan dan siapa saja, dari kalangan bangsaku sendiri, yang memikirkan masalah bangsa, tidak dipeduli lagi;

Qur’an, Hadith, adat dan budi tidak dipatuhi;

Pernah ada di sana seorang dari bangsa Amerika, yang pandai berperang, bernama Jeneral McArthur - pemimpin dalam Peperangan Dunia Kedua;

Belum selesai menang di Korea beliau sudah diminta pulang;

Oleh kerana politik itu satu peperangan, apakah mungkin, nasihat McArthur juga boleh diterima oleh bangsaku, bangsa Melayu di Nusantara:

Katanya, ‘Jangan too late’;

The history of failure in war can be summed up in two words: Too Late.

Too late in comprehending the deadly purpose of a potential enemy;

Too late in realizing the mortal danger;

Too late in preparedness;

Too late in uniting all possible forces for resistance;

Too late in standing with one’s friends.

Too late bermakna sudah terlambat;
Erti pesanan Jeneral McArthur ialah:

Sejarah kekalahan dalam peperangan dapatlah dirumuskan dalam dua perkataan: Sudah terlambat.

Sudah terlambat dalam memahami matlamat ganas bakal musuh;

Sudah terlambat dalam menyedari bahaya maut;

Sudah terlambat dalam membuat persiapan;

Sudah terlambat untuk menyatukan semua kuasa yang ada untuk pertahanan;

Sudah terlambat untuk berdiri bersama sahabat.

Wahai bangsaku:

Sudah terlambatlah Melayu untuk bersatu dalam tangisan apabila sudah hilang kuasa;

Sudah terlambatlah Melayu untuk berfikir soal ekonomi setelah papa kedana;

Sudah terlambatlah Melayu untuk berpakat kembali dalam mesyuarat, seminar, persidangan dan kongres apabila tempat untuk aktiviti begitu bukan milik kita;

Sudah terlambatlah Melayu untuk meminta pertolongan dari pemimpin yang jatuh terhina kerana fitnah;

Sudah terlambatlah Melayu untuk menegak hukum apabila jentera kehakiman sudah dimusnah;

Sudah terlambatlah Melayu untuk mengenang masa silam di waktu sistem kesultanan kita yang lemah belum punah;

Sudah terlambatlah Melayu untuk menuntut kembali hak yang pernah ada dalam Perlembagaan;

Sudah terlambatlah Melayu untuk memperjuangkan hak majoriti dalam demokrasi;

Rata-rata di Nusantara golongan minoriti sudah memerintah – baik dalam negara atau negeri walau pun diberi nama daerah;

Wahai bangsaku bangsa Melayu;

Jika sesama Melayu kita tidak percaya lagi;

Sesama Islam di dunia pun kita tidak boleh menggantung diri;

Terimalah nasihat Jeneral McArthur kepada kita.
Supaya kita tidak:

Terlambat untuk bersatu;

Terlambat untuk membangun di bidang ekonomi

Terlambat untuk kembali bermaruah dan menegakkan harga diri.

Ingatkah bangsaku kepada buku ‘Dilema Melayu’?
Ia pernah menjadi bahan berfikir di satu zaman

Dilema ini masih kekal kembali.

Ditambah lagi dengan faktor demokrasi;
Di dunia Islam ingin ditegakkan demokrasi dengan cara yang rakyatnya ramai mati;

Negara asalnya demokrasi ialah Yunani;

Kini hancur keadaan ekonomi.

Yang sibuk menegakkan demokrasi ialah pengamal sistem kapitalisma;
 
Karl Marx, bapa komunisma, pernah meramalkan akan kehancurannya;
Agak aneh, kini:
 
Yang memberi nafas bantuan kepada kapitalisma adalah Negara yang mengamalkan komunisma.

Demokrasi baik untuk Negara.

Bagi masyarakat yang mengamalkan demokrasi pula, mengikut Kanosuke Matsushita, perlu ada sifat Susyi dan Sunao.

Susyi penerimaan bahawa kemenangan dengan satu undi pun sama dengan mendapat semua undi, begitu juga dengan kekalahan;

Sunao ialah sikap yang boleh melihat kebaikan pada lawan yang menang atau yang dikalahkan.

Menjaro Polemas

Di satu masa ada pesanan;

Di kalangan belia dan beliawanis yang kurang ilmu dan pengalaman;

Di masa remaja perlulah melengkapkan diri dengan pembangunan:

Mental,

Jasad, dan

Roh

Atau singkatnya MENJARO
 
Untuk nanti boleh menjadi bekal untuk perjuangan di bidang:

Politik

Ekonomi, dan

Masyarakat

Atau singkatnya POLEMAS
 
Adalah bahaya jika:

Pejuang di bidang politik kurang kemampuan mental, lemah jasadnya dan ketandusan rohaninya

Adalah cukup merugikan jika:

Usahawan di bidang ekonomi lemah mentalnya, sakit jasadnya kurang kelengkapan rohaninya

Adalah mendukacitakan jika:

Pemimpin di dalam masyarakat kurang kecerdasan mentalnya, malas jasadnya dan kurang asuhan   rohaninya.

Bangunkanlah MEN-JA-R0 untuk perjuangan di bidang POL-E-MAS

Pernahkah anda dengar cara monyet dan kera ditangkap di Afrika?

Sebelum dapat menangkap monyet dan kera pemburu di Afrika mempelajari dulu tabi’at dan kegemaran haiwan berkenaan.
 
Mereka dapati monyet dan kera mempunyai tabi’at tidak dapat melihat lubang.

Kalau ternampak lubang, walau lubang apa jua atau sebesar mana sekalipun, ianya pasti akan memasukkan tangannya untuk mencari sesuatu yang mungkin ada.

Antara kegemaran monyet dan kera pula ialah kacang. Monyet mempunyai sifat tidak akan melepaskan sesuatu yang digemarinya walaupun ia dipukul atau disiksa.

Menggabungkan tabi’at, kegemaran dan sikap ini pemburu telah mengaturkan satu cara menangkap mereka.

Diambilnya sebiji kelapa. Dikoreknya satu lubang kecil pada kelapa itu; tetapi cukup besar untuk dimasuki oleh tangan monyet dan kera.

Kelapa berlubang ini diikat pada tali yang panjang.

Kelapa ini diletak di lapangan, di hutan, tempat yang diketahui monyet dan kera gemar bermain.

Pemburu memegang hujung tali dan bersembunyi di dalam semak yang berdekatan.

Di dalam kelapa itu dibubuh sebiji kacang.

Apabila sampai masanya monyet dan kera tiba.

Yang awal melihat lubang di kelapa.

Dimasukkannya tangan ke dalam.

Tersentuhlah sebiji kacang.

Kacang adalah makanan idaman.

Apabila kacang sudah digenggam;

Genggaman membuat tangannya besar di dalam;

Lubang di kelapa terlalu kecil untuk dilalui genggaman;

Selagi kacang tidak dilepas, selama itulah tangan tidak dapat dikeluarkan;

Pemburu mengheret kelapa tadi;

Kemana saja ia pergi;

Kalau ditarik di belakang lori;

Kera tetap bertahan diri;

Kacang kekasih sijantung hati;

Cinta tak lepas sehingga mati.

Pernahkah anda dengar kisah seorang yang mencari sesuatu yang hilang,

Di bawah cahaya lampu di jalan,

Di sebuah kota kecil di Jerman?

Begini dialognya:

Haben Sie etwas verloren? – Adakah kamu hilang sesuatu?

Ja, Ich habe etwas verloran – Ya, aku ada kehilangan sesuatu.

Haben Sie Es hier verloren? – Adakah hilangnya itu di sini?

Nein, weiter da – Tidak, jauh di sana

Warum suchen Sie hier dan? – Kenapakah kamu cari di sini?

Es gibt licht hier – Kerana di sini (di bawah cahaya lampu jalan) terang benderang ada cahaya.

Wahai bangsaku;

Tabiatmu sudah pun dipelajari orang lain;

Seperti, di Afrika, tabiat monyet dan kera sukakan lubang;

Kegemaranmu sudah diketahui orang lain;

Seperti monyet dan kera gemarkan kacang;

Apakah yang dicari oleh bangsaku;

Selain kemegahan dari kuasa;

Selain kesedapan melayan nafsu;

Selain kepuasan menghimpun harta;

Tidak peduli apa akhirnya dan caranya, samada halal atau yang menghimpun dosa;
Wahai bangsaku, bangsa Melayu;

Jangan kau cari sesuatu mengikut kehendak kuasa, nafsu dan harta;

Jangan terlambat, carilah di tempat kehilangan dan bukan hanya dalam cahaya;

Carilah yang halal dan tidak berdosa,

Marilah kita ‘Pandang Ke Timur’

Semangat Bushido di Negara Jepun,

Semangat Hwarang di Negara Korea Selatan, dan

Semangat Jinsheng pada China di Taiwan.

Ketiga semangat ini menonjolkan 5 nilai:
Amanah

Berani

Disiplin

Rajin, dan

Setia
Melihat ke Timur maka baru kita sedari;
 
Bahawa nilai-nilai ini jugalah yang ada pada kaum Quraish, yang mengutamakan Muru’ah, untuk melonjak naikkan harga diri. Apabila Quraish menganut agama Islam, dan memimpin ummat, maka tamadun Islam telah berkembang hebat tanpa disedari.
 
Tetapi,
 
Amanah agama kita hendaklah bersatu;

Beranilah kita untuk bersatu;

Disiplin kita menuju perpaduan;

Rajin kita memupuk persaudaraan;

Setia kita kepada ajaran Tuhan;

Itulah penerapan nilai-nilai Islam.

Kamu hendaklah mencari sahabat dan kawan;
 
Kawan dari keturunan China bukanlah hanya yang padanya kamu katakan: Wo ai ni – aku cinta padamu;
 
Kawan dari keturunan India bukanlah yang padanya hanya kamu katakan: Nan Un Meil Kathalil Mayanggi Vi Tein – Aku berkata padamu apa yang kamu ingin, dalam hatimu, kukatakan;
 
Kawan begitu hanyalah teman;

Yang kau perlukan ialah persahabatan;

Persahabatan dalam perpaduan nasional;

Kalau tidak:

Kalau kamu tidak mahu bersatu dan memilih persaudaraan di dalam Islam;

Kalau kamu tidak mahu berkawan dengan yang dhimmi, dengan berbagai alasan;

sebaliknya memilih yang harbi sebagai teman;

janganlah kau salahkan ibu mengandung.

Kamu sebenarnya adalah:

Laksana kelkatu menghambat cahaya;

Sampai di situ matilah ia.


No comments:

Post a Comment