Thursday, April 18, 2013

KERANA FITNAH PUDARLAH BUDI

Assalaamu'alaikum Warahamatullaahi Wabarakaatuh

SEMOGA BANGSA MELAYU TIDAK TERTIPU LAGI - KEDUA

Dengan hormatnya dipersembahkan ucapan kedua yang berikutan dengan ucapan pertama yang disampaikan pada tahun 1997 bertajuk 'Islam Bukan Untuk Jual Beli'.

KERANA FITNAH PUDARLAH BUDI

UCAPAN PADA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO TAHUN 1998

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Yang Berbahagia Tan Sri Pengerusi Majlis
Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden
Yang Berhormat Naib-Naib Presiden
Ahli Ahli Majlis Tertinggi

Para Perwakilan dan pemerhati yang dihormati sekelian,

Pada hari ini saya ingin bercakap. Walau pun sebagai Menteri Besar, saya tidak patut bercakap, lebih-lebih lagi kerana tiada isu yang dibangkitkan yang perlu saya jawab.

Dato’ Ibrahim Ali tadi bercakap kerana tiada jawatan, di negeri pun tiada jawatan. Jadi tempat yang boleh bercakap di sini sajalah.

Saya pulak sebagai Menteri Besar Kedah boleh bercakap hanya di Kedah saja. Jadi peluang untuk bercakap kepada tuan-tuan dan puan-puan hanyalah dalam Perhimpunan Agong ini.

Saya hendak bercerita beberapa cerita pendek yang boleh membantu kita semua di dalam memahami masalah yang kita hadapi.

Satu kisah di Amerika Syarikat.

Satu kisah di laut utara di Britain.

Satu kisah di sebuah pekan kecil di Jepun.

DIA TIDAK NAMPAK

Di Amerika Syrikat, ada seorang ibu yang membawa anaknya, bernama Jenny bersiar ke tempat membeli-beli ataupun Mall.

Kebutulan di sebelah kedai-kedai yang ada di Mall itu, kesemua dinding dibuat dari simen; di sebelah atas pula dari cermin. Si ibu mengheret anaknya berjalan ke tepi Mall.

Dia beritahu anaknya “Jenny, cuba lihat anak patung yang ada di dalam kedai.”

Anaknya masih meronta-ronta sambil berkata “Mummy, saya nak balik.”

Dia tarik tangan anaknya dan tanya kenapa nak balik?

“Dalam Mall ini ada bermacam-macam permainan kanak-kanak.”

Jenny menjerit dan masih berkata hendak balik.

Emaknya berjalan terus.

Lama kelamaan anaknya melepaskan  diri dari diheret dan duduk menangis di atas lantai. Emak Jenny terfikir barangkali kasut anaknya terikat ketat sangat. Dia pun duduk untuk mengikat kasut anaknya.

Sambil duduk untuk mengikat kasut anaknya yang sudah berdiri semula, dia tanya pada Jenny, “Jenny, macam-macam  benda ada di Mall ini, kenapa awak menangis?”

Bila emak Jenny melangut ke atas dia ternampak dinding Mall. Kerana Jenny masih terlalu rendah maka dia tidak nampak benda-benda dalam Mall yang emaknya asyik bercerita tadi.

Dari kisah ini kita boleh pelajari, adakalanya yang kita nampak, orang lain tidak nampak. Dan ada juga yang orang lain nampak, kita tidak nampak.

Itulah sebabnya saya merasa gembira kerana kita telah berterus terang.

Siapa dapat pengswastaan, siapa dapat tender, siapa dapat saham, siapa dapat tender negeri, semuanya kena beri tahu.

Kita kena beri tahu semua, cuma janganlah sampai kita terlondeh hingga nampak kepada orang yang tidak patut mereka lihat.

SALAH SANGKA

Kisah kedua berlaku di lautan Britain. Ada dua buah kapal perang di sana.

Sebuah kapal perang besar, sebuah lagi kapal perang kecil. Kedua buah kapal itu sedang berlayar ke utara. Waktu dalam pelayaran, Kapten kapal besar dan Kapten kapal kecil telah bergurau sesama sendiri dengan sistem komunikasi cara lama. Tiba-tiba ribut taufan melanda.

Bila ribut taufan melanda, kedua-dua kapal ini sudah terpisah jauh dan tidak nampak antara satu sama lain.

Lama-kelamaan, setelah lebih empat jam, dan malam sudah tiba, ribut taufan pun berhenti. Tiba-tiba Kapten kapal besar nampak sinar lampu kecil di hujung laut.

Dia pun berkomunikasi balik sambil bertanya “Apa kabar di sana?”

Di pihak lampu kecil menjwab “Kabar baik”.

Kemudian Kapten kapal besar beri tahu kepada sumber lampu kecil supaya bergenjak sedikit ke kanan kerana kapal besar hendak lalu. Pihak lampu kecil menjawab dia tidak boleh bergenjak. Kapten kapal besar menempak “Kalau engkau tak genjak aku akan tembak.” Pihak lampu kecil menjawab “Kami tak boleh genjak.”

Kapten kapal besar…”Oh awak sombong, ya.”

Jadi Kapten kapal besar pun sedia menembak ke arah lampu kapal kecil tadi.

Bila dia sampai lebih dekat ke arah lampu kecil dia nampak, rupa-rupanya, lampu kecil itu bukan dari kapal kecil, tetapi dari rumah api yang memberi panduan dan pedoman kepada kapal-kapal dalam pelayaran.

Pelajarannya ialah: tidak semestinya orang-orang kecil, tidak betul apabila menegur orang-orang atasan yang besar.

KRU-MANIA

Contohnya saya sendiri.

Bila saya, di peringkat negeri, membuat keputusan yang bercanggah dengan Timbalan Presiden dalam hal KRU-Mania, mungkin saya dianggap sebagai Menteri Besar yang keras kepala.

Kalau Timbalan Presiden, kenapa dibolehkan tidak setuju dengan Presiden?

Kerana demokrasi?

Kalau begitu kita tak tahu di mana berakhirnya keras kepala dan kurang ajar dan di mana pula bermulanya demokrasi.

Ini kita kena kaji.

CUBA SAMA RASAI

Cerita yang ketiga ialah mengenai kisah di sebuah restoran di Kyoto, Jepun.

Di dalam restoran itu ada pasangan perempuan dan lelaki yang sedang bercinta. Tiba-tiba kedengaran budak-budak menjerit, melolong di rumah sebelah. Perempuan tadi pun beri tahu kepada kekasihnya supaya pergi ke rumah sebelah untuk menengur budak-budak yang sedang menjerit itu.

Lama kelamaan mereka menjerit lagi kuat.

“Abang ni penakutlah?”

Orang lelaki pantang orang perempuan kata penakut.

Lalu lelaki itu pun keluar dengan berangnya untuk pergi marah budak-budak yang sedang melolong tangisan di rumah sebelah.

Bila sampai di situ, lelaki itu nampak yang melololng itu adalah anak-anak kepada seorang ibu yang baru saja meninggal dunia.

Dengan sendirinya, lelaki itu berasa kasihan setelah dia tahu budak ini baru sahaja  kematian emaknya.

Pasangan perempuan di restoran, yang tak ikut sama, menjadi bertambah marah kerana dia dengar jeritan itu semakin kuat. Bila dia ekori kekasihnya, pergi dan ambil tahu mengenai kisah sebenarnya, perempuan itu juga menjadi kasihan melihat budak-budak yang sedang menagis dan menjerit kerana kematian ibu.

Dari kisah ini tuan-tuan dan puan-puan mendapati tiga pelajaran.

Yang pertama:

Emak marah kepada anak kerana emak nampak yang anak tak nampak, anak pulak fikir bahawa emak dia tu tunjuk benda yang sebenarnya tak ada, jadi anak melolong, emak marah. Akhirnya, bila emak dengan anak masing-masing faham pulihlah keadaan.

Yang kedua:

Kes kapten kapal perang yang memarahi pengurus rumah api yang bertugas untuk menolong kapal-kapal supaya tidak berlanggar. Pengurus rumah api telah dimarahi oleh pihak kapal perang yang menyangka pihak yang nak tolong itu ialah pihak yang nak merosakkan.

Yang ketiga:

Kes dua orang kekasih yang mulanya marah kepada kanak-kanak yang menangis, tetapi apabila mereka tahu sebab menangis itu ialah kerana ibu kanak-kanak itu meninggal dunia, maka mereka juga turut menangis dan bersimpati dengan kanak-kanak yang menangis itu.

GAWAT FIKIRAN

Sebenarnya, masalah yang dihadapi UMNO ialah kerana gawat fikiran, bukan gawat ekonomi, dan bukan gawat kewangan.

Yang lebih parah lagi ialah apabila ada ahli perwakilan menyatakan di dalam UMNO ini, malah di dalam Majlis Tertinggi ini, ada orang yang membuat fitnah.

Inilah sebabnya saya bangun untuk bercakap.

Kerana saya adalah di antara Ahli Majlis Tertinggi yang banyak bercakap.

Saya ingin membela kesemua Ahli-Ahli Majlis Tertinggi.

Para perwakilan yang dihormati sekalian.

FITNAH

Fitnah di kalangan Ahli-Ahli Tertinggi tidak akan menaikan martabat kami.

Fitnah di kalangan kami juga tidak akan menjamin dan menaikkan taraf sesiapa yang berada di bawah sana.

Hanyalah jika orang di bawah menerima apa yang difitnahkan barulah ada kesan dari fitnah itu.

Tetapi, fitnah yang ditabur di peringkat perwakilan boleh menjatuhkan kami yang berada di atas pentas ini.

Jadi soalannya ialah “Apakah yang dikatakan fitnah?

Apa pulak yang dikatakan bukan fitnah?”

Kadangkala yang diceritakan itu betul.

Tetapi jika ada pihak yang tak mahu kenyataan yang betul itu dipercayai umum, maka ianya dikatakan fitnah.

Kadang-kadang yang kita cakap itu fitnah, tetapi kalau di ulang-ulang selalu maka fitnah itu dianggap benar seperti kata orang Eropah “Lies told often enough, becomes truth.”

“Pembohongan itu jika selalu diulang-ulang menjadi kebenaran”.

Tuan Puan perwakilan sekalian.

ZALIM

Waktu saya berhenti menjadi menteri, saya tak ada kerja selama 14 bulan. Pada waktu itu ada orang datang pada saya mengatakan Dato’ Seri Dr. Mahathir bersikap zalim terhadap saya.

Jadi dia mengajak saya untuk sama-sama bergabung tenaga untuk menjatuhkan Dato’ Seri Dr. Mahathir. Tetapi sekarang orang ini sudah mati, jadi kita tidak perlu kenal siapa dia, dan kita tidak perlu fikirkan sangat.

Ini bererti, jika ada saja orang yang kecewa, samaada kecewa tak ada jawatan, kecewa tak dapat tender, kecewa tak dapat pujian, kecewa tak bertambah rezeki, ia adalah sasaran untuk dimasukkan fitnah dan dijemput ke dalam pakatan yang boleh menjahanamkan parti.

Ini sudah berlaku kepada diri saya.

Baru-baru ini saya dengar satu kisah. Saya ingin tahu apakah cerita ini fitnah.

Saya akan lapikkan sikit cerita saya ini, walaupun dalam Majlis Tertinggi saya telah bercakap secara tidak berlapik.

Cerita ini menyentuh orang luar negara.

Dalam majlis perhimpunan ini saya terpaksa bercakap berlapik kerana ada liputan media-massa.

Ceritanya begini.

PEMIMPIN INDIA

Pada 4hb jun 1998 dalam sebuah hotel di Ipoh, telah bertemu seorang pemimpin tinggi India dengan salah seorang pemimpin Melayu.

Pertemuan itu sampai pukul 2.00 pagi.

Pada 5hb Jun 1998 sebelah petangnya ada mesyuarat Majlis Tanah Negara.

Sebelah pagi saya berjumpa dengan pemimpin India itu, kerana nak bincang pasal sebuah kolej perubatan yang hendak didirikan di Merbok.

Beliau datang lambat.

Bila dia berjumpa dengan saya dia memberitahu kepada saya beliau tidak hendak berbincang pasal kolej di Merbok.

Katanya, ada satu perkara lain yang  lebih mustahak  yang beliau ingin memberi tahu pada saya.

FITNAH TIPU HELAH

Dia kata malam tadi sampai pukul 2.00 pagi keesokan harinya dia telah berjumpa dengan salah seorang pemimpin yang ada dalam dewan ini. Dia kata, pemimpin Melayu ini telah memberitahu kepadanya lima perkara.

Pertama

Majoriti Ketua UMNO Bahagian tidak sokong Presiden UMNO.

Pemimpin UMNO beritahu kepada pemimpin India.

Kenapa pemimpin Melayu ini memberitahu kepada peminpin India?

Kedua

30 Ahli Perlimen dari Barisan Nasioanal akan berjumpa dengan Perdana Menteri untuk meminta Perdana Menteri supaya letak jawatan.

Ketiga

Ada susunan gerak kerja di Malaysia untuk menuntut Perdana Menteri meletak jawatan.

Sampai sekarang pemimpin Melayu berkenaan tak masuk balik ke dalam dewan ini.

Keempat

Seorang pemimpin daripada negara jiran telah menalipon seorang peminpin di dalam negara kita minta Perdana Menteri dijatuhkan supaya apabila beliau naik, tidak timbul masalah seperti yang sedang dihadapinya di negaranya, kerana dia dianggap kroni pemimpin yang sudah dijatuhkan.

Kelima

Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir tidak suka kepada pemimpin India yang mengumpul wang daripada pengusaha untuk diberi kepada penyokong-penyokong dalam parti.

Dan dia mengajak pemimpin India ini, yang katanya tidak disukai oleh Dr. Mahathir, supaya menentang Dr. Mahathir.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Perkara ini saya sudah maklumkan kepada Timbalan Presiden selepas mesyuarat Menteri-Menteri Besar UMNO selepas mesyuarat Majlis Tanah Negara pada 5 Jun 1998.

SIAPA FITNAH

Tetapi pada waktu itu Perdana Menteri tidak ada, maka saya tunggu sehingga mesyuarat Majlis tertinggi untuk menceritakan kes ini.

Saya telah minta supaya Perdana Menteri dan Timbalannya memanggil orang-orang berkenaan untuk bertanya mengenai kes ini.

Saya sekedar menyampaikan satu maklumat penting sahaja.

Adakah apa yang saya ceritakan ini fitnah?

Apakah benar majoriti Ketua-Ketua Bahagian tidak lagi menyokong Perdana Menteri?

Jikalau dakwaan ini tidak betul bermaknalah pemimpin UMNO yang memberitahu kepada pemimpin India tadi telah membuat fitnah.

Apakah betul 30 Ahli Perlimen akan berjumpa dengan Perdana Menteri untuk beliau letak jawatan?

Saya tahu ada perjumpaan.

Tapi bukan untuk mendsak Perdana Menteri untuk meletak jawatan.

Kalau begitu siapa yang buat fitnah?

Yang ketiga- apakah tidak ada seorang pun pemimpin pelajar daripada negara jiran yang datang kesini untuk mengajar pelajar-pelajar kita supaya turut berdemontrasi untuk menuntut Perdana Menteri supaya berhenti.

Memang ada perjumpaan ini.

Bila saya maklumkan kes ini sebelum berlaku, apakah saya berfitnah?

Ataupun adakah orang bercerita kepada pemimpin India tadi, sebenarnya beliau telah berkata demikian tetapi di dalam dewan ini dia mahu supaya dianggap berita itu juga fitnah.

Mengenai pemimpin negara jiran, saya percaya ada sedikit salah tafsiran mengenai perkara ini yang telah disebut.

Adakah benar Dato’ Seri Dr. Mahathir tidak suka kepada pemimpin India ini?

Kalau pemimpin kita tidak suka kerana pemimpin itu rasuah, memanglah sepatutnya. Tetapi, jika betul pemimpin kita tak suka kepada pemimpin India tadi, apakah itu bukan fitnah untuk melaga-lagakan pemimpin Melayu dengan pemimpin bukan Melayu.

Para perwakilan sekalian.

Isu sebenarnya ialah isu mengenai Presiden dan Timbalan Presiden.

Bagi saya baik Presiden maupun Timbalan Presiden, keduanya jelas tidak disukai olah Barat.

Kita juga tahu Barat tidak suka, dan takut kepada Islam.

Bekas presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon dan Profesor Michael Porter, dalam buku masing-masing, telah menulis mengenai Islam sebagai musuh Barat. Mereka mahu kita menerima mereka bulat-bulat termasuk budaya hidup mereka.

TETAP SETIA

Presiden kita, tahu Barat tak suka.

Timbalan Presiden pun, jika Islamnya betul, tentu mereka tidak suka; dan kita tidak ada sebab untuk mencurigakan Islamnya.

Kalau begitu apakah taktik yang digunakan oleh orang yang mengajak saya untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Dia datang kepada saya dan mengatakan “Sanusi, engkau benci kepada Anwar”.

Saya buka benci Anwar Ibrahim, saya berkawan dengannya sejak kecil. Mak saya dia kenal, mak dia saya kenal. Cuma kalau dia nak jatuhkan Dato’ Seri Dr. Mahathir dia kena berjumpa dengan saya dulu. Kalau dia terima Dr. Mahathir saya tidak ada sebab untuk benci kepadanya.

Saya hendak ketagih apa?

Saya tidak boleh menjadi Perdana Menteri.

Untuk menjadi Perdana Menteri seseorang itu harus pandai gelek.

Jadi taktiknya bagaimana?

Orang yang mengajak saya untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, taktiknya mudah sahaja.

Mereka tidak mahu membenarkan Anwar Ibrahim mengambil alih kepimpinan secara aman dari pada Dr. Mahathir.

Itu taktiknya.

Jagan ambil ahli kuasa dengan cara aman.

Kenapa?

BULAT-BULAT

Dr. Mahathir pernah berkata: “bila saya serah kuasa, saya ingin serah bulat-bulat”.

Serah bulat-bulat.

Serah bulat-bulat bermakna, apa yang Dr. Mahathir buat, Anwar akan sambung melaksanakannya; yang tak elok dia perbetul dan dia tambah lagi dengan programnya sendiri.

Dia permudahkan program yang dimulakan oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir.

Itulah caranya jika Anwar terima UMNO bula-bulat.

Kalau Anwar terima UMNO bulat-bulat, maka dia akan selamat.

Presiden pun akan selamat juga.

Di majlis pengkebumian Presiden kita pergi sebagai sahabat.

Sama-sama sedih dan menderita.

Tetapi, sekiranya Dr. Mahathir meninggalkan jawatan secara aman, pihak mereka tidak suka; puak mereka mahu Dr. Mahathir pergi dengan cara terhina.

Apakah akan terjadi kalau Dr. Mahathir pergi secara terhina?

Jenis saya ini tidak akan benar Dr. Mahathir akan pergi secara terhina.

Apabila Dato’ Seri Anwar naik, yang berhasrat menjadi Menteri Besar, di Kedah saja, ada berpuluh.

Saya percaya di negeri-negeri lain pun ada berpuluh-puluh tokoh yang layak menjadi Menteri Besar.

Yang ingin menjadi Menteri juga beratus-ratus.

Tuan-tuan dan puan-puan semuanya layak.

Bila sudah menjadi Pedana Menteri, hanya seorang sahaja, bagi sesebuah negeri yang boleh dipilih untuk jawatan Menteri Besar atau Ketua menteri dan Menteri pun terpaksa dipilih 20 atau 30 oarang sahaja.

Pada waktu itu yang kecewa kerana tidak dapat jawatan yang diharapkan, akan bergabung dengan yang kecewa kerana Dr. Mahathir diketepikan secara terhina, bergabung pula dengan yang bukan Melayu, maka pemerintahan Anwar Ibrahim akan menjadi cukup singkat dan tidak sampai 6 bulan.
Sebenarnya, yang mereka ini hendak jatuhkan bukanlah Dr. Mahathir sahaja. Bila dulu mereka serang Sdr. Anwar, Presiden telah mempertahankan dia.

Mereka berharap bila Presiden kena serang, Anwar tidak akan mempertahankannya.

Saya percaya sekejap lagi Sdr. Anwar akan bangun, dan akan berirkrar bahawa dia akan mempertahankan Presiden.

Bagi saya yang penting ialah Ahli-Ahli UMNO yang tidak termasuk ke dalam perangkap mereka.

Banyak lagi yang saya nak bercerita tetapi nampaknya Pengurusi tidak bersimpati.

Saya lihat, baru-baru ini, ada buku bertajuk “50 Dalil”.

Sebelum itu ada surat terbang.

Sdr. Anwar pernah bertanya samaada saya ada menerima surat terbang.

Saya menjawab saya telah terima tetapi saya tidak mahu baca.

KATA BERDEPAN

Kelmarin buku itu telah diedar dan ada pihak yang mengatakan bahawa di belakang penerbitan buku ini ialah saya.

Sebenarnya saya tak payah tulis buku dan tak payah suruh orang tulis.

Kalau saya nak kata kepada seseorang saya nak kata secara berdepan atau berhadapan di dalam majlis, tetapi si penulis, telah menulis dari Pulau Lagenda.

Pulau Lagenda itu pula ialah pulau saya.

Saya beritahu kepada Sdr. Anwar bahawa dib elakang buku itu bukan saya.

Dia kata dia dah tau siapa buat.

Pendeknya, dia tak kata terhadap saya.

Kemudian saya dengar pula ada yang kata alamat di buku adalah alamat Thamby Chik. Kelmarin saya jumpa kawan rapat Rahim Thamby Chik, saya tanya betulkah?

Kata orang itu pula pejabat Tan Sri Rahim Thamby Chik, sudah lama ditutup. Jadinya, kita tak tahu yang mana yang benar.

Oleh kerana kita tak tahu yang mana benar dan saya pun tak mahu terus memungkir janji mengenai tempoh bercakap dengan Pengurusi, maka saya ucapkan ribuan terima kasih atas kefahaman tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Sekian
Wabillattaufik
Assalamualaikum. 

No comments:

Post a Comment