Thursday, September 12, 2013

ANCAMAN BERULANG PERISTIWA 13 MEI

Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Sudah lama saya tidak menulis kerana saya yakin pengikut blog ini sudah keletihan dengan soal-soal politik yang sering saya ketengahkan. Tengahari tadi saya terjumpa dengan saudara Mior Khairudin Muhibbudin di restoran 'The Loaf' di Bangsar Village II yang mengeluh kerana tiada masukan dalam blog ini begitu lama. Menyambut dorongan beliau sebagai kenalan lama maka saya turunkan di bawah ini sedutan dari  muka surat 179-190, dalam buku setebal 473 muka bertajuk

Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan – Suatu Pengkisahan

Pengarang: Azam Ismail Bakri dan Suziyana Natasya Abdullah

Isi wawancara saya dengan saudara Azam dan saudari Suziyana, walaupun mengandungi kisah-kisah lama, menjadi relevan apabila filem TANDA PUTERA menjadi bahan kontroversi. Sebagai seorang yang pernah bertugas di Kementerian Dalam Negeri, kegemaran membaca saya melayakkan saya mengatakan bahawa semua pemimpin yang saya kenal yang menjadi penyelesai kepada masalah yang timbul dari peristiwa 13 Mei, 1969 sudah meninggalkan kita tetapi penyebab kepada berlakunya peristiwa 13 Mei, 1969 masih ada yang bermirip wajah dengan mereka di kalangan yang ada dalam gelanggang.
 
Malangnya mereka yang pernah diamankan dalam kurungan di bawah ISA telah berjaya mempengaruhi usaha menghapuskan ISA dari gudang simpanan senjata untuk mempertahankan keamanan Negara.
 
Jika Melayu Kehilangan Majoriti

Saya mula mempunyai perhubungan dengan Tun Razak semasa saya menjadi Setiausaha Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan iaitu pada tahun 1965 dan ketika itu berumur 22 tahun. Dalam satu Kongres Ekonomi Bumiputera, kami telah mencadangkan penubuhan Bank Bumiputera. Waktu itu Tun Ismail Mohamad Ali yang juga Gabenor Bank Negara bersikap agak tidak setuju dan menentang cadangan penubuhan Bank Bumiputera yang mahu dijadikan sebagai sumber modal untuk orang-orang Melayu.

Ini membuatkan YM Dato' Syed Ali Al Attas, wakil Dewan Perniagaan Melayu Johor (sekarang memegang jawatan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia), marah dan berkata kepada Tun Ismail Ali, “You get out from this meeting”. Jadi saya pun turut sama menghambat Tun Ismail keluar dari mesyuarat itu. Bila saya balik ke Seremban, pengurus bank tempat saya bekerja, Chartered Bank di Seremban, telah memanggil saya. Katanya, “Saya dapat laporan dari pejabat Gabenor Bank Negara menyatakan you were one of those who chased him out from a meeting. You should not be doing that because you are just a trainee here.”

(Di dalam satu wawancara dengan Tun Ismail Ali setelah beliau bersara dari menjadi Gubenor Bank Negara beliau telah menyatakan kepuasannya berkhidmat untuk Negara sebagai Gubenor dan beliau hanya telah membuat satu kesilapan di awal masa perkhidmatannya apabila beliau menentang rancangan penubuhan Bank Bumiputra yang kertas-kerjanya telah dibentangkan oleh Raslan dari firma Chartered Accountant Hanafiah, Raslan & Ong.)
 
Tun Razak memberitahu saya dia mengetahui kejadian ini. Kali kedua perhubungan saya dengan Tun Razak berlaku pada tahun yang sama di Morib ketika Seminar Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Saya hadir selaku Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban Timur. Ketua Pergerakan Pemuda ketika itu ialah Senu Abdul Rahman (Tan Sri). Ketika perjumpaan di Morib itu banyaklah soalan-soalan sensitif yang kami tanyakan pada Tun Razak tetapi dia meminta soalan-soalan yang sensitif ini ditanyakan pada waktu makan. Jadi hari ini saya sudah berumur saya fikir perkara sensitif pun kita kena cerita. Saya bertanya kepada Tun Razak bagaimana kalau  kerana kita berselisih pendapat dengan PAS ini maka satu hari nanti bangsa Cina pula yang menjadi Perdana Menteri atau bukan Melayu yang jadi pemerintah andainya Melayu tidak mempunyai majoriti di Parlimen? Jawab Tun Razak, “Sanusi, kita bagi kerakyatan kepada bukan Melayu ini bukan untuk mereka rampas kuasa kita. Kita harapkan dengan kita bagi mereka kerakyatan, mereka akan kenang budi kita. Kita berdemokrasi seperti ini selagi Melayu memerintah, kalau Melayu tidak memerintah tidak ada makna demokrasi kerana demokrasi itu is ruled by the majority dan di Malaysia ini Melayu adalah majoritinya. Jadi kalau kita berkelahi dan tiba-tiba di dalam Parlimen kita tiada majoriti, kita tetap berhak memerintah kerana kita adalah majoriti rakyat Malaysia.” Itulah kata Tun Razak.

Majoriti adalah Melayu

Saya bernasib baik kerana ada dua orang Menteri yang mana saya menjadi timbalan mereka. Pertama ialah Tan Sri Kadir Yusof iaitu seorang pakar undang-undang. Dengan Tan Sri ini saya menjadi Timbalan Menteri Tanah. Seorang lagi Menteri yang mana saya menjadi timbalan beliau ialah Tan Sri Ghazali Shafie (kemudian Tun) di Kementerian Dalam Negeri. Jadi saya tanya pada Tan Sri Kadir katalah apabila Melayu berkelahi, berlaku kacau dan Melayu tetap hendak memerintah juga kerana Melayu adalah penduduk majoriti negara ini tetapi tidak mempunyai majoriti di dalam Parlimen, bolehkah?

Kata Tan Sri Kadir, “Kita ada polis diraja, askar diraja, kastam diraja dan state civil service semuanya raja yang lantik jadi kalaulah hendak masuk Parlimen tetapi Melayu tidak cukup majoriti, kita masih boleh memerintah. Polis di-Raja boleh menjaga keselamatan dalam negara, askar di-Raja boleh menjaga negara dari ancaman luar dan kastam boleh mengutip cukai untuk membayar gaji para pegawai. Ini maknanya kita ada institusi raja dan badan-badan yang Raja lantik. Dari segi teorinya, tidak ada Parlimen pun kita boleh memerintah.” Begitulah kata Tan Sri Kadir.

Jadi dari situ saya fahamlah Tun Razak ini apabila dia sebut demokrasi maknanya dia hendak semua berbilang kaum ini bekerjasama tetapi jika ada niat hendak menjatuhkan Melayu dan pemerintahan Melayu, “That’s not it”. Jadi saya rasa pemimpin-pemimpin yang bersikap “chauvinist” dan anti Melayu dalam negara ini harus sedar bahawa demokrasi yang ada dalam negara ini tidak bertujuan sampai mengorbankan hak Melayu. Di dalam demokrasi, tetap majoriti yang akan memerintah dan majoriti itu adalah Melayu.

Tegas memilih calon

Semasa Tun Razak hendak memilih saya bertanding menjadi ahli parlimen, dia mendapat banyak tentangan dari dalam UMNO kerana kaitan saya dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). ABIM itu sebenarnya ibu pejabatnya ialah di rumah saya kerana saya adalah antara pengasasnya. Saya juga mengamalkan free speech di mana apa yang saya nak kata, saya akan kata. Oleh sebab itu ramai orang merasa sakit hati dengan saya. Apabila saya hendak dijadikan wakil rakyat, Pergerakan Pemuda UMNO Kedah telah menentang. Jadi Tun Razak telah naik ke Gunung Jerai untuk berjumpa dengan wakil Pergerakan Pemuda UMNO Kedah. Di situ dia telah memberitahu kenapa dia mahukan saya bertanding. Akhirnya Datuk Syed Nahar telah berkata kalau Sanusi bertanding dia akan memilih untuk bertanding di bawah tiket bebas. Namun begitu Tun Razak tidak berganjak dan berkata kepada Pergerakan Pemuda UMNO Kedah jika mereka hendak bertanding di bawah tiket bebas sekalipun, dia tetap mahukan Sanusi bertanding di Jerai. Selepas itu, Dato' Paduka Abdullah Affandi memberitahu kepada Sanusi, ketika Tun Razak bertemu dengan Dr Mahathir (Tun), Tun Razak telah bercerita kepadanya mengenai hal ini dan berkata 'Orang Kedah' membenci Sanusi sama seperti Tunku Abdul Rahman membenci Dr Mahathir (Tun) dulu. Kata Tun Razak lagi mereka semua salah kerana Dr Mahathir (Tun) dan Sanusi kedua-duanya adalah orang baik. Kemudian, perkara itu tidak tamat begitu sahaja kerana Pergerakan Pemuda UMNO Kedah telah memberi signal  kepada Pergerakan Pemuda UMNO Pahang untuk turut sama membuat protes kerana mahu menghalang saya daripada bertanding.

Batuk, dompet dan resit

Dalam satu pertemuan, Pergerakan Pemuda UMNO Pahang telah berkata kepada Tun Razak bahawa untuk menjadi wakil rakyat, seseorang itu perlu menjadi ahli UMNO selama lima tahun dan oleh itu tanya mereka Sanusi ini ahli UMNO bahagian mana kerana tiada bukti menunjukkan saya adalah ahli UMNO? Saya sebenarnya telah menjadi ahli UMNO sejak 13 Oktober 1963 lagi di Seremban. Apabila saya pergi ke England untuk melanjutkan pelajaran, saya telah tidak membayar yuran UMNO dan kini tiba-tiba disuruh menjadi calon. Jadi berdasarkan ini memang betullah pertanyaan Pergerakan Pemuda UMNO itu saya ini ahli UMNO bahagian mana? Mendengar soalan itu, Tun Razak pun batuk seperti kebiasaannya dan tiba-tiba mengeluarkan dompetnya sambil berkata dia sudah tahu soalan itu akan ditanya.

Kata Tun Razak, “Dia (Sanusi) jadi ahli UMNO Pekan selama lima tahun berturut-turut. Ini resitnya untuk makluman”. Saya sebenarnya tidak pernah menjadi ahli UMNO Bahagian Pekan dan macam mana Tun Razak boleh keluarkan resit itu, Wallahualam.

Mengikut Dato'  Asri, Presiden PAS di waktu itu, jika Tun Razak gagal meletakkan Sanusi sebagai calon dari UMNO dalam pilihanraya umum 1974 maka PAS sedia menawarkan kawasan Padang Terap untuk Sanusi bertanding sebagai calun PAS.
 
Jadi akhirnya saya telah bertanding di Kedah, sebagai calun Barisan Nasional dari UMNO, dan menang tanpa bertanding pada tahun 1974 dan telah menjadi wakil rakyat selama 30 tahun hingga 2004. Saya barangkali dekat dengan Tun Razak sebab pertamanya saya juga dari MCKK. Keduanya mungkin kerana saya duduk dan cergas dalam Dewan Perniagaan Melayu, bekerja di sebuah bank asing dan giat di dalam pergerakan belia MAYC.

Sewaktu Tun Dr. Mahathir dipecat dari UMNO oleh Tunku Abdul Rahman, saya berada di London. Saya berucap di Hyde Park Corner mengutuk Tunku Abdul Rahman di atas tindakannya itu. Jadi, Tunku Mohamad Tunku Besar Burhanuddin selaku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sana telah membuat laporan kepada Tunku Abdul Rahman mengenai ucapan saya itu. Jadi saya telah kena banned daripada memasuki Malaysian Hall. Semua ini kata Tun Razak dia tahu.

Bank Islam

Ada satu ketika yang lain pada tahun 1971, saya telah didatangi oleh Ahmad Al Najjar, pengasas bank Islam di Mit Ghamr, Mesir pada tahun 1951 yang mana bank itu kemudiannya telah dimiliknegarakan oleh Gamal Abdul Nasir kerana bank Islam, sebagai sebuah bank yang menyelesaikan masalah umma tanpa riba, sudah menjadi terlalu popular. Ahmad Al Najjar mahu membuka bank Islam di Malaysia dan lalu beliau telah dicadangkan untuk bertemu dengan saya oleh pelanggan bank saya iaitu Tunku Abdul Rahman yang ketika itu menjadi Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Islam atau OIC yang berpangkalan di Makkah. Apabila Ahmad Al Najjar bertemu dengan saya beliau telah menyerahkan kertas kerja mengenai bank Islam itu yang mana saya serahkan pula kepada pejabat Tun Razak menerusi Tunku Shahriman Tunku Sulaiman. Teungku Shahriman (Tan Sri) yang ketika itu adalah ketua di Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU) Jabatan Perdana Menteri. Kertas itu telah berjalan tetapi bank Islam berkenaan tidak juga menjadi kenyataan.

Pada satu Seminar Ekonomi Bumiputera di mana kertas itu sepatutnya dibentangkan, Ghafar Baba (Tun) yang menjadi pengerusi telah menolak kertas cadangan penubuhan Bank Islam berkenaan kerana Tabung Haji yang sepatutnya akan membentangkannya telah tidak hadir. Bila saya memasuki bilik kuliah mesyuarat berkenaan, saya telah diberitahu oleh Dato' Wan Ismail bahawa kertas itu telah ditolak. Lalu saya dengan cepat mengangkat tangan dan memberitahu Ghafar bahawa rancangan pembangunan Bank Islam itu tidak boleh dibatalkan kerana kita yang hadir semuanya akan menanggung dosa jika kita menolak rancangan penubuhan Bank Islam itu. Tun Ghafar dengan serta merta berkata usul itu perlu dihidupkan, katanya 'kerana takut dosa' dan dengan itu luluslah usul penubuhan Bank Islam itu.

Kedai Runcit dan Kebimbangan Berulang Tragedi 13 Mei

Tun Razak telah meletak saya dalam Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dalam lembaga pengarah Felda dan Jawatankuasa Penyelarasan Kedai-Kedai runcit di bawah ICU. Satu hari, di dalam satu mesyuarat, semua Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (SEDC) telah diarahkan untuk mengadakan kedai borong runcit. Semua SEDC telah berbuat demikian kecuali SEDC Johor yang ketika itu berada di bawah Tan Sri Basir Ismail. Tun Razak pernah marah pada Tan Sri Basir kerana katanya tidak bersikap nasionalistik. Namun begitu kata Tan Sri Basir dia adalah orang pertanian dan hanya tahu mengenai menanam pokok sahaja dan tidak tahu mengenai membuka kedai runcit.

Koperasi Shamelin yang saya pimpin telah diberi jaminan oleh Tun Razak untuk diberikan pinjaman, selepas beliau melihat kejayaan Koperative Forbundet di Sweden, untuk meluaskan kedai runcit di seluruh negara.

Rupanya Tun Razak ada sebab tersendiri mengenai hal berkaitan pembukaan kedai runcit ini. Saya mendapat tahu perkara ini kemudiannya dari Tun Razak sendiri. Katanya, “Sanusi kita tempatkan awak di dalam badan milik tentera (LTAT) ini bukan untuk awak jadi askar, bubuh dalam FELDA board bukan untuk jaga FELDA atau peneroka, saya lantik awak merata ini kerana penyelarasan urusan kedai runcit. Saya bubuh awak dalam LTAT supaya awak boleh jadi penyelaras kalau tahun 1978 nanti ada pilihanraya dan berlaku lagi rusuhan antara kaum dan semua peniaga Cina masa itu tidak mahu bekalkan makanan kepada kedai-kedai Melayu, pada waktu itu awaklah akan jadi coordinator di antara PERNAMA (milik tentera), PERNAS Edar (pemborong milik PERNAS), SENAMA (milik MARA) dan SEDC di seluruh negara.” Ini bermakna Tun Razak walaupun dia nampak tenang dan dia merasakan perpaduan sudah wujud, tetapi he doesn’t take things for granted.

Dia tahu, kerana keghairaan politik bukan Bumiputra, ada kemungkinan tragedi seperti 13 Mei boleh berlaku lagi dan oleh itu dia membuat persiapan supaya seandainya ia terjadi, kedai-kedai runcit tetap ada untuk membekalkan makanan. Itulah sebabnya selepas pilihanraya 1978 banyak kedai runcit termasuk di bawah Pernas Edar telah tutup. Orang kata, it was a wrong economic programme tetapi sebenarnya, it has served the political purpose menjauhkan kita dari apa-apa masalah berkaitan bekalan makanan.

Tun Razak dan Tun Dr Ismail

Ada pertanyaan mengapa Tun Razak telah mengambil Tun Dr Ismail sebagai timbalannya sedangkan ketika itu dia tidak lagi berada dalam kerajaan? (Tun Dr Ismail melepaskan jawatan Kabinet sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada tahun 1967 atas sebab kesihatan. Kemudian apabila Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada tahun 1970, Tun Ismail telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri).

Seperti mana Tun Razak sangat suka pada Dr Mahathir (Tun), Tun Razak juga paling suka pada Tun Dr Ismail. Dr Mahathir (Tun) bila dipecat, Tun Razak tidak menentang tetapi apabila dia menjadi Perdana Menteri, dia melantik Dr Mahathir (Tun) duduk di dalam Kabinetnya pada tahun 1974 sebagai Menteri Pelajaran.

Niat memerangkap Kuan Yew

British pernah memikirkan akan ada masalah di rantau ini dengan Lee Kuan Yew di Singapura nampak cenderung berhaluan kiri dan Soekarno di Indonesia pula baik dengan Parti Komunis Indonesia. Kerana memikirkan kemungkinan Singapura dan Indonesia yang sama-sama berhaluan kiri boleh bekerjasama hingga boleh menyebabkan mereka “menutup” Selat Melaka dan kapal-kapal dari Eropah, kerana ketiadaan lautan antarabangsa, terpaksa melalui Selat Lombok untuk ke Jepun dan Hong Kong, British lalu mencadangkan supaya penggabungan Malaysia dengan Singapura dibuat. Tujuan penggabungan ini adalah kerana Malaysia mempunyai undang-undang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dengan itu boleh digunakan untuk menangkap mereka yang berhaluan kiri di Singapura yang mungkin boleh menimbulkan masalah. Namun begitu pada ketika itu Tunku Abdul Rahman menolak gabungan dengan Singapura kerana bimbang penggabungan berkenaan akan menyebabkan demografi negara ini berubah sehingga penduduk Cina lebih ramai daripada Melayu bilangannya. Namun begitu pada waktu itu, Tun Datu Mustapha Harun di Sabah dan Tun Abdul Rahman Ya’kub di Sarawak juga sedang cuba berusaha untuk merdeka dan bersama-sama masuk Malaysia.

Putar belit 

Andainya Sabah dan Sarawak memasuki Malaysia, maka kemasukan Singapura mungkin boleh diterima kerana dari segi konteks Bumiputera, Bumiputera tetap majoriti dengan mengambil kira jumlah penduduk Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Sewaktu Tunku Abdul Rahman menghadapi ancaman masalah sedemikian daripada Lee Kuan Yew itu, cerita Tun Razak pada kami ketika perjumpaan di Morib tadi, memang ada niat Tun Dr Ismail untuk menangkap Kuan Yew. Jadi adalah berbeza isi cerita kandungan sebuah buku kononnya dikarang oleh Tun Dr Ismail dan diterbitkan di Singapura dengan cerita apa yang kami Pemuda UMNO dapat tahu. Apabila Singapura dikeluarkan dari Malaysia, pada waktu itulah Tun Dr Ismail telah meletakkan jawatan. Perletakan jawatan Tun Dr Ismail itu bukan disebabkan dia sakit seperti dakwaan di dalam buku itu tetapi kerana dia tidak setuju melepaskan Singapura keluar dari Malaysia. Jadi apabila Tun Razak mengambil alih kuasa, dia membawa Tun Dr Ismail kembali. Saya rasa Tun Razak pun sependapat dengan Tun Dr Ismail bahwa Singapura tidak patut dikeluarkan dari Malaysia.

Di dalam buku bertajuk “Inside No 10” karangan Shirley William, iaitu bekas setiausaha kepada Perdana Menteri Britain, Harold Wilson, sewaktu Singapura dibuang dari Malaysia ada satu cerita menarik. Apabila Singapura dipecat, Kuan Yew telah pergi berjumpa dengan Harold Wilson. Buku itu menyebut, “Harry was in tears when he said that Tunku was smart. He got rid of me before I got rid of him”. (Harry adalah nama panggilan rakan-rakan untuk Lee Kuan Yew)


Ini bermakna Tunku Abdul Rahman sudah pun tahu Lee Kuan Yew dengan putar belitnya merasakan sudah tiba tempoh untuk mengambil alih kuasa di dalam Malaysia. Tunku Abdul Rahman merasakan daripada Lee Kuan Yew mengambil alih kuasa dan huru-hara berlaku, adalah lebih baik Singapura dipecat dari Malaysia. Dan pemecatan ini bukan satu masalah bagi Tunku Abdul Rahman kerana pada awal pun, sewaktu British mencadangkan penggabungan Malaysia dengan Singapura, memang dia sendiri pun tidak berapa bersetuju.

No comments:

Post a Comment