UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN
IDRIS
SEMINAR PERPADUAN UMMAH DALAM PERADABAN
MALAYSIA
TARIKH: 1 - 2 OKTOBER 2013
TEMPAT: DEWAN KONVENSYEN, BANGUNAN E-LEARNING
PEMBENTANG UCAPTAMA: TAN SRI DATO’ SERI SANUSI BIN JUNID
TAJUK UCAPTAMA: ‘PERPADUAN MELAYU DALAM KONTEKS POLITIK MALAYSIA’.
Assalaamu’alaikum Warahmatulaahi Wabarakatuh.
Salawat.
Saudara Pengerusi Majlis,
Dif-dif yang terhormat,
Pembentang kertas kerja yang dihormati,
Para peserta seminar sekalian.
TERIMA KASIH
Saya bersyukur kepada Allah S.W.T. dan mengucapkan ribuan terima kasih atas
penghormatan yang diberi kepada saya dengan jemputan untuk menyampaikan
ucaptama dalam seminar pada hari ini.
Sudah tentu tajuk ini dipilih kerana kecurigaan kita terhadap perpaduan
bangsa Melayu di masa akan datang memandangkan kepada gejala perpecahan bangsa
Melayu masa kini sudahpun mengancam keadaan politik negara.
Kata-kata pujangga Melayu seperti BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH dan Firman
Allah S.W.T. yang bermaksud ORANG-ORANG MUKMIN ITU BERSAUDARA serta BERPEGANG
TEGUHLAH DENGAN TALI ALLAH DAN JANGAN BERPECAH BELAH sudah dijadikan
seolah-olah sebagai slogan yang disenandungkan di dalam lagu untuk hiburan dan
tidak membawa apa-apa erti lagi ‘kepada bangsa Melayu.
PERPADUAN
Apabila kita bercakap mengenai perpaduan sudah tentu ianya mengenai
kumpulan, samaada kumpulan itu dinamakan puak, suku, perpaduan, pertubuhan,
kaum atau bangsa.
Dalam setiap kumpulan itu pula ada pemimpin dan ada pengikut masing-masing.
Dari perhatian saya sepanjang hayat, saya dapati, yang menentukan perpaduan
satu-satu bangsa itu ialah pemimpin-pemimpinnya. Sementara pemikiran rakyat itu
bergantung kepada semangat kebangsaannya, kerana terdedah kepada sejarah
bangsa, tahap ketakwaannya dalam bidang ugama yang dianuti, pendidikan yang
diterima atau pengaruh media massa dengan berbagai orientasi,
pemimpin-pemimpinlah yang akan membuktikan kemampuan mereka untuk menyatupadukan
rakyat setelah semua pemimpin meneliti dan menghayati pengaruh-pengaruh
tersebut.
PENENTU SIKAP PEMIMPIN
Di pihak pemimpin pula ada tiga pendapat yang berbeza mengenai apa yang
menjadi pendorong kepada sikap-sikap mereka, iaitu:
Mengikut –
Sigmund Freud – nafsu menentu segala (kita lihat rata-rata dalam sejarah
dunia pemimpin-pemimpin yang bernafsu besar telah merusakkan negara dan bangsa).
Karl Marx – ekonomi pendorong masyarakat (kita melihat betapa pengaruh
orang-orang kaya yang tidak pernah puas dengan menghambat kekayaannya tanpa
mengira halal dan haram).
Bertrand Russel – kuasalah faktor yang terpenting (sampai ke kampung, dalam
dunia Melayu, keghairahan merebutkan kuasa sudah melarat, selain dari dalam
parti-parti politik sampai ke dalam pertandingan untuk duduk dalam jawatan
kampung dan jawatankuasa mesjid).
Bagi kita yang berugama Islam nafsu, ekonomi dan kuasa adalah faktor-faktor
yang wajib ada asalkan cara meladeni, memperolehi dan menggunakannya adalah
dengan cara halal belaka.
HUBUNGAN EKONOMI DENGAN KUASA
Mengikuit ahli falsafah Yunani, sebelum Nabi Besar Muhammad S.A.W., bernama
Aristotle, dalam bukunya mengenai politik, adalah mustahil bagi sesuatu kaum
atau bangsa itu mempunyai kuasa politik tanpa kuasa ekonomi – ‘It is impossible to have political power
without economic power’.
Sebaliknya berlaku di Malaysia. Bangsa Melayu dan Bumiputera yang tidak
menguasai ekonomi negara, tetapi menguasai politik negara, sekurang-kurangnya
sepanjang 56 tahun yang lalu. Dalam Pilihanraya Umum ke 13, bangsa Melayu dan Bumiputera
masih mampu mencapai kemenangan dalam kekalahan. Menang dari segi jumlah kerusi
yang dipertandingkan tetapi kalah dari segi
jumlah undi yang diperolehi.
Berertilah setakat ini kita masih mampu menidakkan teori Aristotle kerana
bangsa kita masih berkuasa politik walaupun kita kalah di bidang ekonomi.
DEMOKRASI
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi sudah tentu yang
memerintah itu ialah golongan yang majoriti. Jika perpecahan antara sesama
bangsa Melayu menyebabkan parti-parti politik yang mewakili Melayu dan Bumiputera
di dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri menjadi golongan minoriti,
pemimpin kita yang menggubal perlembagaan dulu menetapkan dan memahamkan
bahawa, walaupun bukan Melayu dan Bumiputera majoriti dalam Parlimen dan Dewan
Undangan Negeri, tetapi ini tidak bererti mereka mewakili majoriti rakyat
Melayu dan Bumiputera.
Untuk memastikan bangsa yang majoriti terus memerintah maka
institusi-institusi yang bergelar di Raja mempunyai peranan untuk menidakkan
kuasa Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, yang mewakili golongan minoriti,
untuk memerintah, tanpa keredhaan golongan majoriti Melayu dan Bumiputera.
Institusi-institusi yang menjamin demokrasi itu kekal dalam pemerintahan
oleh bangsa yang majoriti ialah:
a. Polis Di Raja Malaysia untuk menjaga keamanan dalam
negeri;
b. Angkatan Tentera Di Raja untuk melindungi atau
mempertahankan negara dari serangan luar negara;
c. Pegawai Pentadbir Negeri dan Persekutuan semuanya
dilantik oleh Raja bagi setiap negeri atau oleh Yang Di Pertuan Agung bagi
pegawai persekutuan, untuk meneruskan pentadbiran negara, dan
d. Kastam Di Raja untuk mengutip cukai bagi membayar
perbelanjaan untuk tiga golongan tersebut di atas dan juga membangun negara.
PERISTIWA 13 MEI 1969
Peristiwa 13 Mei 1969 telah membuktikan betapa relevannya peruntukan di
dalam Perlembagaan yang memberi kuasa kepada KDYMM SPB Yang Di Pertuan Agung
untuk mengisytiharkan darurat dan menggunakan institusi Di Raja di atas untuk
mengekalkan pentadbiran negara supaya terus berjalan dengan aman untuk
pembangunan negara.
Saya telah mendengar sendiri dari Tun Abdul Razak (mantan Perdana Menteri
Kedua), Tan Sri Abd. Kadir Yusof (Bekas Peguam Negara yang menjadi Menteri saya
di Kementerian Tanah dan Pembangunan Wilayah) dan Tun Ghazali Shafie (menjadi
Menteri saya di Kementerian Dalam Negeri) mengenai perkara ini.
Tidak akan aman negara ini jika anggota Parlimen yang memerintah mewakili
rakyat yang minoriti, lebih-lebih lagi kerana golongan minoriti ini yang
menguasai ekonomi negara.
Walaupun keputusan PRU 12 teruk dari PRU pada tahun 1969, dan PRU 13 lebih
teruk lagi dari PRU 12, dan merupakan prestasi terburuk sejak merdeka, tetapi
keamanan negara tetap terkawal kerana yang hampir berjaya merebut kuasa dari
Melayu dan Bumiputera, yang majoriti, telah bersikap sopan dan tidak rakus dan
sombong seperti lepas prestasi buruk pilihanraya yang menyebabkan berlaku
peristiwa 13 Mei.
PERLEMBAGAAN MALAYSIA
Perlembagaan Malaysia adalah dokumen keramat yang digubalkan oleh
pakar-pakar undang-undang dari berbilang negara. Ianya merupakan kontrak sosial
yang perlu dipertahankan. Antara peruntukan Perlembagaan yang selalu
dipertikaikan oleh musuh-musuh Melayu atau alat-alat mereka ialah:
1. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Malaysia;
(Bahasa lain bebas dipelajari)
2. Ugama Islam sebagai ugama Persekutuan;
(Ugama lain bebas diamalkan)
3. Kedaulatan Raja-Raja Melayu;
(Institusi berdaulat untuk perpaduan negara dan pelindung
ugama Islam dan adat-istiadat Melayu)
4. Hak Istimewa Orang-orang Melayu, dan
(Di dalam seksyen yang sama hak bukan Melayu dilindungi)
5. Demokrasi Berparlimen
(Pihak majoriti menentukan pemerintahan)
Bersyaratkan penerimaan hak-hak di atas maka golongan pendatang telah
diberi:
1. Kerakyatan;
2. Dasar Ekonomi Bebas
Bagi mereka yang tidak menerima lima peruntukan Perlembagaan di atas mereka
juga tidak berhak menjadi rakyat dan hidup mewah dalam negara ini.
Ada dua peruntukan dari dalam Perlembagaan ini yang telah menimbulkan
kegelisahan rakyat sehingga menyebabkan digubalkan undang-undang untuk:
1. Menjadikan Mandarin, yang bukan bahasa ibunda China di
Malaysia kerana bahasa ini datangnya dari Utara China sementara pendatang China
hampir kesemuanya dari Selatan Negara China, sebagai termasuk dalam definasi
bahasa ibunda untuk diajar di sekolah-sekolah.
2. Oleh kerana Dasar Ekonomi Bebas sebenarnya tidak memberi
kebebasan kepada orang Melayu dan Bumiputera untuk memasuki bidang perniagaan
yang dikuasai oleh bukan Melayu dan Bumiputera, maka Dasar Ekonomi Baru telah
digubalkan.
PENELITI SEJARAH
Dari kitab Ibn Khaldun yang kemudiannya dirumuskan mengikut caranya sendiri
oleh Prof. Alexander Frazer Tytler pada tahun 1873, ternyata:
Man moves –
1. From bondage to spiritual faith;
(Dari terjajah kepada bersemangat ugama)
2. From spiritual faith to great courage;
(Dari semangat ugama kepada keberanian berjuang)
3. From great courage to liberty;
(Dari keberanian kepada kemerdekaan)
4. From liberty to
prosperity;
(Dari kemerdekaan kepada kemakmuran)
5. From prosperity to greed;
(Dari kemakmuran kepada tamak)
6. From greed to complacency;
(Dari tamak kepada kepuasan)
7. From complacency to apathy;
(Dari kepuasan kepada kelalaian)
8. From apathy to bondage again;
(Dari kelalaian kepada penjajahan semula)
Di zaman Tunku Abdul Rahman beliau pernah berkata orang-orang Melayu tidak
perlu ghairah sangat untuk berniaga. Kita memerintah sahaja cukuplah China yang
berniaga. Beliau tersangat popular dengan pandangan ini walaupun beliau
bergurau sahaja.
Bila Melayu sudah mula terlibat dalam perniagaan maka bermulalah saingan
yang membawa kepada ketegangan.
Melayu pula tidak serentak maju tetapi masing-masing berada pada peringkat
yang berlainan seperti garis panduan yang dikatakan oleh Prof. Alexander Frazer
Tytler.
KENAPA SESEBUAH NEGARA ITU MAJU
Di peringkat awal Tun Dr. Mahathir mengambil alih pemerintahan negara
beliau telah ketengahkan 4 dasar penting seperti berikut:
1. Bersih, Cekap dan Amanah;
2. Dasar Pandang ke Timur;
3. Penerapan Nilai-nilai Islam;
4. Wawasan 2020.
Bersih, Cekap dan Amanah tidak memerlukan penjelasan.
Penerapan Nilai-nilai Islam juga jelas bagi bangsa Melayu yang berugama
Islam walaupun orang Melayu lazimnya lebih berpegang kepada kawan daripada
kepada prinsip. Dasar Pandang ke Timur dan Wawasan 2020 memerlukan penjelasan.
DASAR PANDANG KE TIMUR
Bila Tun Dr. Mahathir mengambil alih kepimpinan negara pada waktu itu dunia
boleh dibahagikan kepada 5 kelompok:
1. Negara bekas jajahan Inggeris yang mengamalkan demokrasi
dan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar dalam negara;
(Ilmu ekonomi dalam bahasa Inggeris. Idenya sama dan
masalahnya juga sama)
2. Negara Komunis;
(Ide sama walaupun bahasanya berbeza dan masalahnya juga
sama)
3. Negara Islam di Timur Tengah atau Asia Barat;
(Berlebihan wang minyak untuk membeli senjata yang
digunakan untuk bergaduh dengan sesama sendiri)
4. Negara Katholik di Amerika Selatan;
(Negara miskin, walaupun hasil bumi kaya, tetapi tidak
berhenti belanja)
5. Negara yang mengamalkan demokrasi dan rakyatnya tidak
pandai berbahasa Inggeris.
(Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Jerman dan Perancis –
iaitu negara-negara yang ekonominya maju sementara yang lain banyak masalah)
SIKAP YANG MEMBAWA KEPADA KEMAJUAN
Dari kalangan negara-negara demokratik yang tidak berbahasa Inggeris hanya
negara di Timur yang dipilih untuk dipelajari sebabnya:
1. Jepun – Bushido
2. Korea Selatan – Hwarang
3. Taiwan – Jinsheng
Bushido, Hwarang dan Jinsheng mengenengahkan sikap:
1. Amanah
2. Berani
3. Disiplin
4. Rajin
5. Setia
Semua nilai-nilai ini ialah nilai yang dituntut oleh Islam dan perlu
diterapkan.
Dengan teramalnya sikap ini di kalangan sekurang-kurangnya satu peratus
dari pemimpin Melayu di semua bidang, bukan sahaja negara akan sunyi dari
tuduhan rasuah dan nepotisma tetapi juga bangsa
Melayu akan dihormati oleh semua bangsa dalam negara, dan semua dasar
yang diketengahkan oleh kerajaan akan diterima baik oleh rakyat yang
memilihnya.
SYARAT UNTUK NEGARA BERJAYA
1. Authority – Kewibawaan
(Wakil Rakyat bukan Wakil Kerajaan – Wakil Kerajaan ialah
Pegawai Kerajaan)
2. Communication – Seranta
(Rakyat perlu mengetahui yang sebenar mengenai projek dan
keadaan semasa negara)
3. Productivity – Pengeluaran
(Perlu lebih banyak kerja dari bercakap atau berpidato)
4. Morale – Semangat
(Perlu lebih banyak kejayaan dari kegagalan)
5. Change – Perubahan
(Perlu menerima perubahan asal tidak bercanggah dengan
nilai-nilai yang murni dan nilai-nilai ugama)
KEBERANIAN
1. Bagi yang bodoh – ada sekolahnya
2. Bagi yang cacat – ada sekolah vokesyenal khas
3. Bagi yang miskin – ada program membasmi kemiskinan
4. Bagi kanak-kanak jahat bawah umur – ada Gurney Boys
School
5. Bagi yang sakit – ada hospital
6. Bagi anak yatim – ada institusi kebajikan
7. Bagi yang gila – ada Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan
(Perak) dan di Tampoi (Johor)
8. Bagi yang bersalah – ada penjara
9. Bagi yang membunuh atau mengedar dadah – ada tali gantung
Tetapi, bagi yang penakut tidak ada tempat baginya.
Oleh itu untuk memelihara perpaduan Melayu dalam masyarakat berbilang kaum,
ugama dan bahasa ibunda pemimpin Melayu hendaklah berani.
Tetapi, ada kata-kata oleh seorang guru di waktu saya belajar di luar
negara dulu bahwa: ‘The line of
demarcation between courage and stupidity is almosty negligible’ yang bererti batasan antara keberanian dan
kebodohan adalah terlalu halus garisannya.
Keberanian yang perlu untuk bangsa Melayu yang berugama Islam ialah keberanian untuk menyatakan yang benar walau pahit sekalipun; keberanian untuk berkorban untuk bangsa dan ugama dan bukan mengorbankan bangsa dan ugama; pendeknya keberanian ke arah mencapai perpaduan. Keberanian yang membawa kepada perpecahan dan kehancuran bangsa dan ugama adalah sebenarnya kejahilan dan bukan keberanian yang sebenar.
Keberanian yang perlu untuk bangsa Melayu yang berugama Islam ialah keberanian untuk menyatakan yang benar walau pahit sekalipun; keberanian untuk berkorban untuk bangsa dan ugama dan bukan mengorbankan bangsa dan ugama; pendeknya keberanian ke arah mencapai perpaduan. Keberanian yang membawa kepada perpecahan dan kehancuran bangsa dan ugama adalah sebenarnya kejahilan dan bukan keberanian yang sebenar.
Sekian.
Wabillahittaufiq. Wassalaamu’alaikum.
TERIMA KASIH
Assalamualaikum Saudara,
ReplyDeleteMohon linkkan blog saya. Izinkan saya untuk sama-sama berjuang. Terima Kasih.
http://salatusalatin.blogspot.com/
Tak payahlah semua rakyat versatile.
ReplyDelete