Sanusi dedah pengalaman disimpan 33 tahun
bertemu bantuan ganas
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim, Berita Harian
muka surat 14, Ahad 25 Mei 2014
“Saya pernah ditawarkan untuk berkongsi 50-50
hasil rompakan jika membebaskannya dari penjara. Malah, lelaki yang sama juga
pernah mengherdik saya kerana kerajaan lambat menggantungnya.
“Lelaki itu, Botak Chin jugalah yang memberi inspirasi kepada Jabatan Penjara untuk
menukarkan tali yang digunakan untuk menggantung penjenayah daripada disalut
baldu ke tali jenis plastik,” kata Tan Sri Sanusi Junid menceritakan pengalaman
bertemu Botak Chin pada 1981 ketika menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Pengalaman yang disimpan selama 33 tahun itu
didedahkan bekas Menteri Besar Kedah itu ketika bertemu dengan penulis di
pejabatnya di Mont Kiara, baru-baru ini.
Semuanya bermula apabila beliau
dipertanggungjawabkan oleh bekas Menteri Dalam Negeri ketika itu, Allahyarham
Tun Ghazali Shafie bagi menyelesaikan kemelut dalam Penjara Pudu yang
dicetuskan oleh penjenayah berbahaya, Wong Swee Chin atau lebih dikenali
sebagai Botak Chin.
Keadaan ketika itu menjadi huru-hara apabila
Botak Chin bertindak nekad menyerang dan mencederakan wadar Penjara Pudu ketika
cuba melarikan diri.
“Pada waktu itu, saya memangku jawatan Ghazali
kerana beliau berada di luar negara. Saya ke Penjara Pudu apabila diberitahu
Botak Chin mengamuk dan memukul wadar. Kejadian itu mengakibatkan tiga wadar
penjara cedera parah, manakala Botak Chin turut dimasukkan ke hospital kerana
kecederaan di kepala,” katanya.
Berkongsi pertemuan pertamanya dengan Botak
Chin beberapa hari selepas kejadian itu, Sanusi, 71, berkata pada awal
perjumpaan, kehadirannya tidak diendahkan lelaki bertubuh sederhana dan tinggi
itu, malah selalu merenung tajam ke arahnya.
Sedia berunding
Namun selepas mengetahui jawatannya dalam
kerajaan, Botak Chin mula berlembut dan bersedia untuk berunding dengan mendekati
Sanusi yang ketika itu memakai pakaian seragam kerajaan berwarna putih dan
berjaket biru.
“Dia mendekati saya dan membisik rancangan
jahatnya untuk berpakat supaya dia dibebaskan. Dalam perbualan itu, dia turut
menawarkan untuk berkongsi 50 peratus daripada hasil rompakan jika dapat
membebaskannya,” katanya yang berusia 38 tahun ketika itu.
Mendengarkan rancangannya, Sanusi sekadar
tersenyum sinis dan berdiam diri. Melihat perlakuannya itu, Botak Chin terus
berang dan mempersoalkan kelambatan proses menjalankan hukuman gantung sampai
mati terhadapnya.
“Pasal apa simpan gua, kasi makan, buang duit
kerajaan. Gantung gua punya badan dan buang semua habuk dalam parit dan
longkang. Apa tunggu lagi...takutkah?,” katanya yang mengulangi dialog Botak
Chin pada perjumpaan itu.
Sanusi berkata beliau tidak mengambil endah
kata-kata itu kerana tidak mahu mengundang provokasi yang mungkin boleh
menyebabkan Botak Chin bertindak ganas.
Beliau dimaklumkan bahawa Jabatan Penjara hanya
mempunyai lima tali gantung untuk digunakan pada kes kecemasan yang mana kes
Botak Chin tidak dianggap dalam kecemasan. Selain Botak Chin, seramai 36
banduan lain di Penjara Pudu dijatuhkan hukuman mati dan mengunggu masa untuk
digantung.
Masih belum ada tali
Sanusi sekali lagi bertemu dengan Botak Chin
dan persoalan yang sama dilontarkan kepadanya, namum tidak disangka pertemuan
keduanya itu memberi inspirasi kepada Jabatan Penjara menukar jenis tali yang
digunakan ketika melaksanakan hukuman gantung ketika itu.
“Dia tanya saya ‘bila mau gantung gua?’ saya
meminta dia bersabar kerana masih belum ada tali. Dia kemudian mencadangkan
Jabatan Penjara menggunakan wayar untuk menggantungnya.
“Apabila Ketua Pengarah Penjara ketika itu,
Datuk Ibrahim Mohamed menemani saya ketika di Penjara Pudu, kami berbincang
mengenai tali gantung. Ketika berbincang mengenai penggunaan tali yang disalut
baldu supaya tidak menyakitkan banduan ketika dijerut, Botak Chin mencelah
dengan mempersoalkannya.
“Mana lu tahu sakit atau tidak...yang sudah
mati kena gantung cakap sama lu ka?,” katanya menceritakan kisah lucu itu.
Kata Sanusi, selepas berakhirnya dialog itu,
pihak Jabatan Penjara menukar tali gantung disalut baldu kepada jenis plastik. Bagaimanapun,
kini Jabatan Penjara menggunakan tali gatung diperbuat dari jenis jut dan
dibalut dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan kulit leher banduan yang
digantung.
Beliau berkata, setiap tali gantung yang
dimport itu mempunyai nombor siri dan diklasifikasikan sebagai senjata serta
disimpan dalam peti besi. Ketika menerimanya daripada ejen pembekal, Jabatan
Penjara akan menguji ketahanannya dengan menggantungkan patung seberat 90
kilogram selama 72 jam.
Kronologi jenayah
Botak Chin
1967
Ø Terbabit dalam kumpulan Geng 360 di
Kuala Lumpur dan melakukan jenayah kecil seperti mencuri.
19 April 1969
Ø Melakukan rompakan bersenjata
pertama bersama tiga rakan.
September 1969
Ø Memiliki senjata pertama Revolver
.22 lalu menubuhkan geng sendiri. Melakukan lapan rompakan pada bulan itu
tetapi akhirnya ditahan polis dan dipenjara tujuh tahun.
November 1974
Ø Dibebaskan daripada penjara. Cuba memulakan
kehidupan baru sebagai insan biasa tetapi pendapatan sebagai penjual sayur
tidak memuaskan hatinya.
April 1975
Ø Kurang setahun selepas dibebaskan,
Botak Chin kembali aktif dengan menubuhkan geng baru yang dianggotai Ng Cheng
Wong (Ah Wong), Beh Kok Chin (Pangkor Chai) dan Teh Bok Lay (Seh Chai).
Mei 1975
Ø Pergi ke Thailand dengan bantuan
rakan untuk membeli senjata api.
2 Jun 1975
Ø Merompak RM5,800 daripada sebuah
pusat perjudian di Sentul. Hasil rompakan digunakan untuk membeli lapan senjata
api dan peluru di Thailand.
20 Julai 1975
Ø Merompak RM95,000 dari sebuah bank
di Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Tidak lama selepas itu, beberapa pemain mahjung
dirompak RM10,000 selain barang kemas dan barang berharga di sebuah kuil Cina
di Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur. Merampas tiga pistol milik tiga anggota
polis. Merampas senjata api milik pengawal keselamatan dalam rompakan sebuah
bar di Sentul.
26 Oktober 1975
Ø Rompakan terbesar dilakukannya
apabila melarikan RM218,000 dan menembak pengawal keselamatan yang membawa wang
di Kelab Lumba Kuda. Hasil rompakan sekali lagi digunakan untuk membeli senjata
api di Thailand. Dia kemudian memiliki 19 senjata api, lima bom tangan dan
kira-kira 1,000 peluru. Menyedari kedudukannya sebagai ketua mula terancam
kerana ada yang cuba mencabarnya, Botak Chin bertindak. Ketua geng Lima Jari
Gunung, Tua Pui Lek dan anggota gengnya sendiri iaitu Ah Wong, kemudian ditemui
mati ditembak di kawasan lombong tinggal di Jinjang. Orang kanannya, Seh Chai, mati
membunuh diri selepas dikepung polis di Jalan Alor.
Awal 1976
Ø Botak Chin mengambil anggota baharu,
diikuti tiga rompakan dengan wang yang dilarikan kira-kira R400,000. Pada masa
sama, tujuh orangnya mati ditembak selain ada yang ditangkap. Polis juga
merampas 15 senjata api, peluru dan bom.
22 November 1975
Ø Cuba membunuh Ketua Jabatan Siasatan
Jenayah Kuala Lumpur, Kulasingam Sabaratnam atau S Kulasingam yang memburunya
tetapi gagal.
16 Februari 1976
Ø Ditahan polis dalam satu serbuan di
sebuah kilang di Kuala Lumpur. Dua pengikut kanannya terbunuh dalam pertempuran
dengan polis.
11 Jun 1981
Ø Maut di tali gantung di Penjara
Pudu.
Tindakan serang tiga
wadar gemparkan negara
Tanggal 2 Januari 1981 pada jam 3.30 petang
mencatat tragedi hitam yang menggemparkan negara apabila penjenayah paing
dikehendaki, Botak Chin menyerang dan mencederakan tiga wadar penjara akibat
terdesak untuk melepaskan diri daripada hukuman mati.
Peristiwa itu berlaku kira-kira enam bulan
sebelum penjenayah terbabit maut di tali gantung pada jam 3 pagi, 11 Jun 1981
di Penjara Pudu dalam usia 28 tahun.
Malah, sehingga kini, pisau sepanjang empat
inci yang digunakan Botak Chin ketika menikam tiga wadar penjara iaitu Sarjan
Abdullah Ahmad, A Rafar Manap dan Tuready Abdullah masih menjadi persoalan
kerana tiada siapa yang tahu bagaimana penjenayah itu boleh mendapat senjata
itu.
Tiga wadar penjara
Tragedi bermula apabila wadar penjara A Rafar Manaf
yang ditugaskan membawa Botak Chin yang berada di dalam kandang yang tidak jauh
dari bilik akhir itu ke bilik mandi. Bilik akhir ialah tempat seorang banduan
menjalani hukuman mati.
Dalam pergelutan melepaskan diri itu, Botak
Chin menikam bahagian bahu dan abdomen A Rafar sebelum menikam Sarjan Abdullah
yang cuba memberi bantuan kepada rakannya sejurus mendengar kekecohan itu.
Tuready yang berada berhampiran sel itu turut
cedera kerana cuba memberi bantuan kepada dua wadar ketika itu. Meskipun
berjaya mencederakan mereka itu, Botak Chin gagal lolos dan mengalami
kecederaan di kepala akibat kejadian itu.
Selain kejadian itu, dia pernah mencederakan
wadar dalam usaha mempertahankan bahan letupan yang disimpannya di bilik mandi
penjara. Difahamkan, bahan letupan seperti paku dan kabaid itu dibawa secara
beransur-ansur menerusi konconya yang melawatnya di penjara bagi membantu
melarikan diri.
Hakim kena ugut
Kegagalan melakukan pelbagai helah menyebabkan
anggota kumpulannya pula bertindak mengugut wanita pertama dilantik Hakim
Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Siti Norma Yaacob.
Siti Norma yang ketika itu Hakim Mahkamah
Sesyen Kuala Lumpur, menerima ugutan itu kerana anggota kumpulan Botak Chin
tidak berpuas hati dengan keputusannya memenjarakan ketua kumpulan mereka.
Berikutan insiden itu, Siti Norma yang juga
Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) terpaksa hidup dalam jagaan
dan pengawasan polis selama beberapa bulan kerana menjatuhkan hukuman penjara
ke atas Botak Chin.
Bukan itu saja, mungkin tidak ramai yang tahu,
dia pernah berpura-pura tidak waras bagi mengelak tindakan undang-undang dan
pernah mencoba membunuh diri sebanyak dua kali ketika menginap di Hospital
Bahagia selama 18 hari pada April 1981.
Namun, hasil pemeriksaan yang dikendalikan bekas
Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tan Sri Dr. M. Mahadevan mendapati
dia normal untuk menjalani pembicaraan di mahkamah.
Dalam laporan akhbar, New Straits Times pada
13 Jun 1981, kali terakhir ketua samseng itu dilihat bertemu dengan keluarganya,
dia kelihatan tidak menyesal dan sempat berjenaka bagi menghiburkan keluarganya
buat kali terakhir. Petang itu, dia sempat menikmati makanan terakhirnya yaitu
mi goreng, ayang goreng dan buah serta air kosong.
Salam Tan Sri.
ReplyDeleteIni semua sejarah yang tak pernah diketahui...Terimakasih kerana berkongsi cerita menarik ini.
Uncle
Salam, Kekadang kisah saperti ini atau kisah yang tidak di ketahui oelh umum hendak lah di beritahu, sebab nya orang awam akan slah sangka dan juga tidak terduga perkara saperti ini boleh berlaku dan di tanggung orang yang bertanggung jawap, kepada menteri, ketua2 jabatan tinggi, polis yang dah pencen dan juga yang lain di harap ceritakn lah pengalaman masing dlam menjalankan tugas supaya kita tidak dapt beljar dan mengetahu kejadian sebnar dari pada di simpan dalam hati. Macam prasangka dan niat yang tidak baiak boeleh di adahkan untuk menjatuhkan sesorang itu biar yang masih kerja dan juga masih hidup dan juga akan berpencen.
ReplyDeleteorng lama 1957
Bilakah agaknya Tan Sri mahu berkongsi cerita tentang tentera Vietnam yang cuba menduduki pulau di Laut China Selatan dan kisah rombongan Bosnia yang memohon bantuan PM Mahathir ketika peperangan di sana?
ReplyDeleteSalam Tan Sri,
ReplyDeleteSangat menarik pengalaman yang Tan Sri kongsikan.
Tan Sri, i was doing my master now in human rights.
Jika Tan Sri sudi, saya ingin melakukan wawancara dengan Tan Sri untuk mendapatkan pandangan Tan Sri tentang Hukuman Gantung di Malaysia samada perlu/tidak dimansuhkan memandangkan Tan Sri mempunyai pengalaman yang berkaitan.
Terima Kasih.
email saya : duta1404@gmail.com
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteSalam Tan Sri,
ReplyDeleteTerima kasih kerana berkongsi sejarah yang ramai tidak ketahui ini. Priceless!!
AR