Saturday, May 30, 2015

TAJUK FITNAH DALAM KHUTBAH JUMA'AT

INNALILLAAHI WAINNA ILAIHI ROOJI'UN
 
Suboh Juma'at saya dapat penggilan telefon dari Patria anak Sasterawan Negara Alllahyarham Dato' Abdullah Husin. Beliau memberitahu bahawa Mak Cik Puan Sri Rogayah Abdul Rashid telah kembali kerahmatullah dan telah dimandi dan dikafankan di rumah sakit dan sudah pun dibawa keruma. Saya pun menelepon besan saya Hj. Zakaria dan melaluinya mendapat persetujutuan Haji Bakar untuk dikebumikan di Perkuburan Bukit Kiara kita-kira pukul 11 pagi setelah di solat jenazah yang diimamkan oleh Ustaz Hussin Yee. Sama-samalah kita do'akan semoga ibadat Allahyarhamah diterima oleh Allah swt, diampun segala dosanya dan Allahyarhamah ditempatkan bersama mereka yang dirahmati Allah swt.

Kerana saya sampai terlalu awal maka hanya ada beberapa orang sahaja yang sedang membaca Yaasin di sisi jenazah. Selesai membaca surah Yaasin saya lihat tiga orang telah keluar dari anjung rumah dan dua darinya duduk semeja di luar pintu. Saya pun turut keluar duduk semeja dengan dua orang yang tidak saya kenali. Mereka pun tidak mengenali saya sehingga saya memperkenalkan diri setelah lama bercakap-cakap dengan nada yang rendah kerana mengormati jenazah.
 
MENGHORMATI JENAZAH
 
Tiba-tiba seorang yang kelihatana 'smart' dan sihat berpakaian baju Melayu telah datang kepada saya, tanpa salam, dan bertanya, 'How old are you?'. Saya pun beritahu umur saya hampir 72 tahun. Dia tidak bercakap, terus berpaling dan berjumpa dengan seorang yang lain. Setelah beberapa minit dia datang lagi dan dengan nada yang lantang berkata 'Apa jadi kat Negara ini? Ini semua golongan awak dan Mahathir yang salah. Mahathir baru sedar sekarang ini. Mahathir dan awaklah yang mendidik pemimpin negara yang jadi seperti yang ada sekarang ini.'

Saya jadi terpegun.

Dia meninggalkan tempat saya hanya sekejap dan lepas itu dia datang lagi, 'Tunggu pilihanraya yang akan datang .... akan jadi huru hara ..... tobat orang akan pilih UMNO ...... nasib baik kita ada polis dan askar.... pemimpin politik semua rasuah, tak guna.'
 
Pada waktu itu, oleh kerana nada suaranya lantang isteri saya pun menghampiri dan mengingatkan beliau, 'Kita tak boleh bising, kena hormat jenazah'.

Dia tidak peduli.

MENGUTUK CHINA

Dia pergi ke arah lain sekejap dan bila isteri saya, yang dia tidak kenal, sudah pindah ke tempat lain, dia menghampiri lagi, 'Awak tahu, waktu aku di Renong dulu, aku masukkan 20,000 engineer Melayu, sekarang apa dah jadi, China ambil alih semua, tengok kiri kanan semuanya China.'

Tiba-tiba, bila 'si garang' tadi menoleh ke kanan dia melihat, sekaligus mendengar, Ustaz Hussein Yee memberi salam, 'Si garng' tersentak dan terus menyambung, '....... semuanya bukan Islam belaka.' Nampak 'si garang' malu alah baru mengecam China sedangkan yang akan menjadi imam solat jenazah nanti bukan berbangsa Melayu. 

Barulah saya tahu beliau ini dulunya orang besar juga dalam syarikat Renong. Oleh kerana saya ingin kenal beliau lebih dekat saya pun bertanya, ' .... Boleh saya dapat nombor hp tuan, saya boleh berhubung lagi, ...' Dia jawab , 'Tak payah, Tuhan tahu...' sambil menunjuk kelangit
 
Sebenarnya saya juga ingin memberitahu 'si garang' bahawa dia pun tak boleh terus menentukan halatuju Renong selepas dia meninggalkannya. Saya pun tak boleh disalahkan apa yang berlaku dalam kerajaan sekarang ini.

KESALAHAN MENDIDIK JENERASI PENGGANTI
 
Yang saya hairan ialah kemarahannya sudah sampai kepada Tun Dr. Mahathir yang kononnya bersalah mendidik pemimpin yang ada sekarang. Walhal yang memilih pemimpin sekarang, mengikut Dato' Seri Najib, ialah ahli-ahli UMNO mengikut proses yang demokratik. 
 
Saya pun beri salam dan meninggalkan rumah jenazah, kerana jenazah hampir dibawa ke perkuburan. Dia tidak pun peduli salam saya, mungkin dia tak dengar. Ataupun, bangsa kita bukan saja akan hilang kuasa politik tetapi juga tandus dengan budi bahasa dalam kemarau peradaban.
 
Pertemuan dengan orang begini tidaklah menjadi satu masalah atau kejanggalan bagi saya kerana saya pernah bekerja di Kementerian Dalam Negeri dan berjumpa dengan orang yang lebih ganas sikapnya dari itu. Saya juga pernah melawat Hospital Bahagia Tanjung Rambutan melihat telatah pesakit jiwa seperti itu atau lebih teruk lagi.
 
Seorang tetamu, juga tidak saya kenali, telah sempat bersalam dengan saya sebelum saya meninggalkan tempat dan memberitahu, 'Dia marah sangat fasal 1MDB'.
 
Apa yang menarik ialah dia tidak mahu lagi melihat ahli politik memerintah negara dan lebih percaya kepada pihak Polis dan Tentera, yang berbangsa Melayu untuk memerintah. Dia tergamam bila saya keta, ' .... bagaimana kalau Polis dan Tentera pun rasuah .....
 
Saya pergi sekejap ke pejabat sebelum ke masjid untuk solat Juma'at.

DOSA MEMFITNAH SAMA DENGAN DOSA MEMBUNUH
 
Sesampai ke masjid saya mendengar khatib menyampaikan khutbah mengenai 'fitnah'. Seorang maamun yang sedang berdiri kerana kesesakan telah melihat pada saya dan dengan tersenyum dia katakan, 'Khotbah politik, mengecam 1MDB lah tu..' Saya tidak menjawab kerana wajib berdiam diri waktu khutbah sedang dibacakan. Selepas solat saya bersalaman dengan yang menegur saya dan berkata ,'Khotib perlu jaga periuk nasi beliau, jangan marah kat dia .... .' Dia menjawab 'Betul, Allah lebih mengetahui segala-galanya,' Sama dengan mantan pegawai Renong yang menyatakan Allah mengetahui, bila saya tanya nombor telefonnya.
 
Sambil saya berjalan keluar saya terdengar dua orang berpakaian pegawai bercakap sesama mereka, 'Tun tahu dosa fitnah itu sama seperti dosa membunuh, dia tentu ada bukti......dia tak mungkin buat fitnah .. aku pun nak mula baca balik semua yang dia tulis.'
 
Saya percaya mereka yang mendengar khutbah pada Juma'at kelmarin di semua Masjid dalam Wilayah Persekutuan tentu tahu tujuan penulisnya. Ia sebenarnya tidak memihak kepada kerajaan kerana, seperti yang dibicarakan oleh 2 orang pegawai tadi bahawa mereka ingin mengetahui lebih mendalam mengenai isu 1MDB kerana mereka teringat Tun Mahathir pernah mengulangai ajaran ugama kita dan mengatakan kepada pembangkang di satu masa dulu 'Dosa fitnah itu sama dengan dosa membunuh.'
 
Apa kata kalau ada masjid di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat membaca khutbah yang mengutuk pengaruh Yahudi dan Riba; dan mengaitkan masalah negara kita sekarang ini kerana hutang yang diaturkan oleh Goldman Sachs, sebuah bank Yahudi, yang mengenakan Riba haram yang terlalu tinggi.

Pendekata kita diatur oleh musuh Islam dan negara kita bergelumang dengan riba demi memuaskan kerakusan nafsu menghambat kekayaan dan kemewahan. 
 
Bagaimana pula kalau di bulan puasa nanti kempen menentang Yahudi dan Riba menjadi thema pembersihan ummat di bulan Ramadhan iaitu bulan yang dimuliakan dengan mulanya penurunan Al Qur'an.
 
MENJAGA PERIUK NASI
 
Walaupun jabatan ugama negeri-negeri yang menyediakan khotbah Juma'at tetapi, walau di negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional pun ada juga khotib yang membuat khotbah sendiri. Di Kedah, umpamanya, waktu saya menjadi Menteri Besar saya sering mengerjakan solat Juma'at di masjid yang berbeza-beza. Saya selalu mencari masjid yang ada laporan menyatakan khotib di situ selalu menulis dan membaca khotbah sendidi, kadangkala ditambah-tambah sahaja kepada khotbah yang disediakan oleh jabatan ugama, untuk mengutuk kerajaan.
 
Pada satu hari saya telah memilih untuk mengerjakan solat Juma'at di sebuah masjid di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sala yang Wakil Rakyatnya dari parti PAS. Saya pandu kereta sendiri dan saya hentikan kereta jauh sedikit dari pintu masjid dan berjalan masuk waktu khotib sudah membaca khotbahnya kira-kira 5 minit dan dia pun dah mula masuk gia satu menghentam kerajaan dengan ide politiknya.
 
Saya masuk perlahan-perlahan dan berjalan sambil tunduk kepada menuju ke arah pentas tempat khatib membaca khotbahnya, dengan agak lantang juga. Saya duduk di depan mimber khotbah. Tiba-tiba saya lihat mata para Jema'ah melihat ke arah saya sementara khotib masih dengan kelantangannya. Tiba-tiba seorang dari Jema'ah berdiri dan tunjukkan saya kepada khatib. Makan masa juga sebelum Khatib mengenal saya lantas dia terus menggelabah mencari kertas khutbah yang telah disediakan oleh kerajaan. Bila tak berjumpa dia pun berucap dengan nada yang lembut merdu memuji-muji saya sebagai Menteri Besar yang perihatin terhadap ugama sejak memegang jawatan.
 
Khatib juga manusia biasa yang perlu menjaga periuk nasi mereka.
 
KEDAH MENGHARAMKAN HISAP ROKOK
 
Waktu saya menjadi Menteri Besar Kedah Majlis Fatwa Kedah telah memutuskan untuk mengharamkan MEROKOK.
 
Oleh kerana saya mengetahui kandungan khotbah untuk minggu berikutan maka saya telah memilih untuk mengerjakan solat Juma'at di Masjid Kedawang di Langkawi. 
 
Sebagaimana biasa, kecuali di Masjid Sala tadi, saya selalu masuk ke masjid apabila khatib sudah mula naik ke mimbar, dan saya selalu duduk di belakang. Saya juga jarang pakai baju Melayu bila solat Jema'at di masjid-masjid kecuali jika bersolat Jema'at memangku KDYMM Sultan.
 
Khotib Masjid Kedawang, seperti biasa, membaca khotbah yang ditulis oleh jabatan ugama dengan lantang. Tiba-tiba beliau terhenti bila sampai kepada maklumat mengenai fatwa mengharamkan kerja merokok di negeri Kedah. Lepas terhenti sekejap dia pun meneruskan bacaannya dan lama kelamaan seluruh Jema'ah telah kelihatan tersenyum dan ada yang terkejut ketawa, kerana semua anggota Jema'ah di Kedawang mengetahui bahawa Imam, Khatib dan Siak adalah mereka yang paling kuat menghisap rokok. Sebenarnya, ada kawan memberitahu bahawa khotib di Masjid Kedawang jarang membaca isi khotbah sebelum sampai ke atas mimbar.
 
Berertilah, kadangkala yang diarahkan dalam khotbah itu pada zahirnya yang membaca itu sendiri kadangkala susah atau tidak melaksanakan.
 
WALLAHU'AKLAM
 
 

No comments:

Post a Comment