Tuesday, August 4, 2015

BR1M - UNTUK BASMI KEMISKINAN?

ADAKAH SALAH MEMBANTU ORANG MISKIN?

1. Soalan di atas telah ditujukan oleh Perdana Menteri kepada Tun Dr. Mahathir kerana Tun Dr. Mahathir menyoal lojiknya program BR1M yang menabur wang, tanpa diminta, termasuk kepada pihak yang sudah mampu berdikari dari segi kewangan, walaupun tidak berlimpah ruah wangnya.

2. Bukan Tun Dr. Mahathir sahaja yang menyoal kebijaksanaan projek ini kerana ada ramai ibu bapa dari sekolah-sekolah di persekitaran Kuala Lumpur, yang menerima BR1M, tertanya-tanya sebabnya kerajaan berbelanja begitu banyak wang sedangkan permohonan dari sekolah untuk projek bagi kemudahan murid telah ditolak oleh Kementerian Pendidikan kerana tiada peruntukan.

3. Malahan ada yang keluarga mereka bekerja di kedutaan luar negeri mendapat teguran kerana mengambil BR1M sedangkan biaya yang diperlukan oleh kedutaan-kedutaan di luar negeri tidak dapat dipenuhi kerana Kementerian Luar Negeri kekurangan wang.

4. Keangkuhan soalan ini juga memberi implikasi seolah-olah kerajaan tidak memberi perhatian kepada masalah kemiskinan sebelum BR1M diperkenalkan.

5. Walaupun kedudukan nilai Ringgit Malaysia kina sudah teruk merudum turun sehingga pelajar-pelajar kita di luar negara pasti kekurangan wang, kita dengar bahawa program BR1M lebih diutamakan.

6. Saya percaya bukan saya sahaja, tetapi juga semua pesara Melayu akan merasa tersinggung apabila membaca soalan ini kerana ianya menggambarkan seolah-olah Perdana Menteri tidak sedar betapa hebat kerajaan Barisan Nasional, yang dipimpin oleh UMNO bermula di zaman bapanya Tun Abdul Razak Hussein sehinggalah di zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamed telah banyak memberi perhatian kepada usaha membantu rakyat yang miskin.

7. Walaupun Dato' Seri Najib sasarkan soalan itu kepada Tun Dr. Mahathir, sebagai pengkritik utama beliau, tetapi beliau tidak harus lupa bahawa program UMNO sejak Merdeka, dan sepanjang pemerintahan KAMI atau KITA, tidak pernah lupa kepada orang miskin dari semua kaum, khususnya Bumiputera.

8. Malahan, kerana kesedaran inilah maka Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah diperkenalkan setelah peristiwa berdarah 13 Mei, 1969.

9. Sebelum DEB diperkenalkan, dari sejak Merdeka lagi, berbagai projek telah dilaksanakan untuk meningkatkan ekonomi rakyat khususnya di luar bandar. Bagi rakyat yang memerlukan tanah pula Felda telah ditubuhkan dan bagi rakyat yang kurang tanah tetapi ada tanah kerajaan di samping tempat tinggalnya kita adakan rancangan Felcra.

10. Atas kesedaran kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengimbangkan peranan rakyat dalam bidang ekonomi maka banyak syarikat milik kerajaan dan perbadanan telah ditubuhkan. Puncak segala penubuhan institusi membangun ekonomi Melayu dan Bumiputera ialah kewujudan Permodalan Nasional Berhad dan Khazanah Nasional.


11. Selain Felda kerajaan juga telah mewujudkan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) untuk mengumpul dana supaya dapat dilaburkan sementara ianya belum cukup untuk seseorang individu yang berhasrat mengerjakan haji sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

12. Pendidikan pula adalah satu dari cara membasmi kemiskinan. Itulah sebabnya ratusan ribu pelajar telah mendapat biasiswa dan oleh kerana biasiswa dari swasta jarang diperolehi oleh Bumiputera maka pihak kerajaan memberi peruntukan yang lebih kepada Bumiputera.

13. Begitu berharga Felda dan Biasiswa, sebagaimana pemberian tanah menjadi sebahagian dari Hak Istimewa dalam Perlembagaan, dan LUTH sebagai institusi yang merealisasikan Islam sebagai Ugama Rasmi Negara, maka orang-orang Melayu tersangat sensitif apabila hak-hak mereka ini tersentuh.

14. Apakah program Felda bukan untuk membantu orang miskin atau yang ketiadaan tanah?

15. Bukankah program Felcra juga diwujudkan untuk menyusun semua tanah persekitaran kampong untuk meningkatkan ekonomi orang luar Bandar?

16. Dalam Perhimpunan Agong UMNO di Dewan Nirwana Hotel Hilton, Kuala Lumpur pada 2hb Julai, 1977 antara lain saya telah berkata:

17. Saya pernah menghayal dan menggambarkan diri sebagai seorang ahli ekonomi dan menyatakan bahawa bangsa Melayu boleh dianggap sebagai satu bangsa yang berada di puncak sebuah gunung yang tandus, mengharapkan sumber penghidupan dari air hujan. Air hujan itu mengalir daripada gunung tadi, melalui sungai dan taliair,membasahi dan menyuburkan tanah. "Air yang selebihnya mengalir ke laut dan kerana kepanasan bahang matahari, disedut semula ke angkasa. Dengan bantuan angin ia diarak melalui kepulan awan menuju ke gunung sehingga turun semula ke bumi sebagai hujan.

18. Daripada pandangan ini mengertilah kita bahawa puncak gunung yang dikatakan tandus tadi ialah kuasa politik. Ketandusan pula ialah kemiskinan.

19. Sungai-sungai yang mengalirkan air dari gunung boleh diumpamakan sebagai sistem kewangan yang membawa turun wang dari puncak gunung untuk mengalir ke dataran.

20. Air ataupun wang ini melimpah ke laut dan melalui proses sedutan kerana kepanasan bahang matahari, air ini dihisap naik sebagai cukai pendapatan dan cukai perniagaan. Semuanya naik ke angkasa menjadi awan. Kepulan awan inilah, yang diibaratkan sebagai Treasury atau Perbendaharaan, yang ditiup angin menuju ke arah puncak gunung.

21. Awan memecah menyebabkan hujan yang seterusnya diibaratkan sebagai gaji dan pendapatan yang turun atau pun diberi kepada orang Melayu, baik yang bekerja sebagai pegawai kerajaan, sebagai ahli politik ataupun yang bekerja dalam angkatan bersenjata.

22. Mereka menerima gaji, namun gaji yang diibaratkan pula sebagai air, tetap tidak terkumpul menjadi modal, tetapi terus mengalir, membasahi dan menyuburkan dataran, iaitu kota-kota besar di negara ini.

LEO TOLSTOY MENGENAI MASALAH KEMISKINAN

23. Dari buku Anna Karenina karangan Leo Tolstoy, seorang pujangga Russia yang anti-komunis, telah berkata, "Masalah orang kaya-kaya adalah sama, tetapi masalah orang miskin adalah berbeza-berbeza."

24. Itulah sebabnya dalam merancang program untuk membasmi kemiskinan pendekatan kerajaan adalah berbeza-beza dan tidak tertumpu kepada satu cara sahaja.

BURUNG SUBSIDI

25. Pada 28 Januari, 1982, di waktu Tun Dr. Mahathir melancarkan Era Baru Koperasi, saya telah menceritakan dalam ucapan alu-aluan mengenai BURUNG SUBSIDI.

26. Pada satu petang di satu ketika dahulu, beberapa orang ahli falsafah Denmark ternampak beribu-ribu ekor burung terbang di langit menuju ke lautan Mediterranean. Terfikir oleh mereka untuk menolong burung-burung gagak supaya berhenti dan berlindung di Denmark tanpa perlu terbang jauh ke selatan untuk  lari dari musim sejuk di utara.

27. Setelah ahli fikir bersetuju untuk membantu burung-burung gagak itu, mereka mengadakan tabung untuk mengumpul wang dan mendirikan khemah tempat burung berhenti untuk makan dan berlindung sementara salji melanda Negara mereka di musim sejuk. Pada tahun berikutnya mereka berusaha menarik perhatian burung yang terbang supaya turun ke dataran.

28. Beribu-ribu ekor burung turun pada tahun pertama. Berpuluh ribu pada tahun kedua dan beratus ribu pada tahun ketiga dan bertambah pada tahun-tahun berikutnya.

29. Setelah lebih lima tahun, ahli-ahli fikir ini pun berubah fikiran. Mereka membuat keputusan untuk tidak lagi membantu, apatahlagi dengan perbelanjaan yang sudah bertambah besar.

30. Pada tahun berikutnya, makanan yang diperlukan oleh burung-burung itu tidak lagi dibekalkan. Khemah juga dirobohkan.

31. Apabila ratusan ribu burung singgah untuk makan dan berlindung, burung tersebut mendapati makanan dan khemah sudah tiada lagi di tempat biasa. Burung-burung itu pun terbang meninggalkan tempat perkampungan di Denmark menuju ke selatan.

32. Ada juga burung yang terlalu tua dan sudah lupa arah balik ke utara.

33. Setelah beberapa jam burung-burung ini meninggalkan tempat itu, burung tersebut berpatah balik ke lapangan di Denmark di mana dulunya ada makanan dan tempat berteduh. Burung-burung ini kemudian mengelupur lalu mati.

34. Doktor haiwan mendapati burung-burung itu mati disebabkan sendi yang menghubungkan sayap dan badan sudah luka, berdarah dan parah.

35. Sebabnya adalah, kerana burung-burung ini sudah terlalu lama tidak terbang jauh. Terlalu lama makan free. Mereka sudah menjadi burung subsidi.

36. Dalam usaha membantu orang Melayu, saya teringat pantun seorang pujangga di kampong yang membawa nama samaran BASMI;

Melayu bukan kaum subsidi,
Hidup selalu tolong menolong;
Biar kita mati berdiri,
Daripada hidup orang dok dukong.

37. Dalam konteks masakini mereka sudah menjadi mangsa subsidi BR1M.

38. Inilah kali pertama soalan sedemikian ditanya oleh orang yang tak pernah miskin. Seolah-olah dia baru tahu bahawa ada orang miskin di dunia ini.

39. Dalam Perhimpunan Agong UMNO di Dewan Nirwana Hotel Hilton pada 21hb Ogos, 1983, saya telah menyatakan antara lain:

FORMULA MEMBASMI KEMISKINAN

40. Kita perlu hidupkan kembali semangat gotong-royong sebagai semangat pusaka bangsa.

41. Kementerian telah menemui 3 formula untuk membasmi kemiskinan:

Formula Pertama - Bekerja kuat,
Formula Kedua - Kuat-kuat bekerja,
Formula Ketiga - Kuat bekerja kuat.

42. Saya turunkan di sini petikan dari ucapan saya dalam Perhimpunan Agong UMNO di PWTC pada 20 September, 1985 seperti berikut:

NIAT DAN CARA

43. Membantu orang miskin ialah satu tanggung-jawab. Tetapi dalam melaksanakan program untuk membantu orang miskin NIAT dan CARA membantu itu sangatlah penting.

44. Jika seseorang berniat untuk berbuat sesuatu ibadat sekalipun tetapi jika cara beribadat tidak betul maka pahala niat dapat tetapi kerja ibadat tidak jadi.

Niat baik,
Cara tak reti,
Pahala dapat,
Kerja tak jadi.

45. Ada orang mempunyai niat jahat tetapi cara mentadbir kejahatannya itu tersusun elok maka dia akan mendapat dosa kerana niat jahatnya, tetapi perbuatannya tetap akan berjaya kerana pelaksanaannya teratur.

46. Itulah sebabnya ada orang berniat buruk terhadap Negara, pecah amanah yang diberikan kepadanya, tetapi menjadi kaya raya kerana pandai dengan cara jenayahnya.

Niat jahat,
Cara pandai,
Dosa dapat,
Bangsa tergadai.

47. Ada orang berniat jahat untuk mengerjakan kejahatan tetapi caranya tidak berkesan. Beliau akan berdosa dan kerja pun tidak akan menjadi. Pendek kata:

Niat jahat,
Cara tak reti,
Dosa dapat,
Kerja tak jadi.

48. Yang kita mahu ialah satu-satu rancangan itu disampingi dengan niat yang baik dan dikerjakan dengan cara pelaksanaan yang baik juga supaya yang mengerjakan mendapat pahala dan berhasil. Pendek kata:

Niat tepat,
Cara pandai,
Pahala dapat,
Kerja selesai.
 
49. Saya yang pernah miskin ingin menjawab soalan yang ditujukan oleh Perdana Menteri kepada Tun Dr. Mahathir seperti berikut:

'KEKAYAAN YANG BERLEBIHAN YANG ADA PADA SI KAYA ITU SEBENARNYA ADALAH MILIK JIRANNYA YANG MISKIN'.

Tetapi saya tidak dapat menjawab apakah yang kaya berhak menerima derma; dan apakah derma itu tidak haram jika yang menderma itu mendapat sesuatu dari yang menerima derma.
 
50. Ugama Islam juga memerintah kita supaya membayar ZAKAT dan menyeru umatnya supaya bersedekah; malah tangan yang memberi itu adalah lebih mulia dari tangan yang menerima.

51. Sebagai Umat Islam kita wajib percaya bahawa cara yang ditunjukkan oleh Allah swt. adalah cara yang terbaik.

52. Rakyat yang berkenaan, seperti petani, penternak, nelayan, peneroka FELDA, penyimpan Tabung Haji pastinya merasa tertipu apabila mereka berperasaan BR1M itu diberikan untuk menghalalkan GST dan lain-lain tindakan kerajaan yang menjejas kedudukan institusi seperti Felda dan Tabung Haji apatahlagi jika ianya dikaitkan dengan skandal yang melanda 1MDB pada waktu ini.

53. Rakyat juga kehairanan dengan peranan 1MDB, yang dibanggakan, yang telah menghantar ribuan Juma'ah Haji secara percuma sedangkan Islam mewajibkan ibadat Haji hanya kepada yang mampu, apatahlagi jika pembiayanya ialah institusi yang sedang dirundung bebanan hutang dengan RIBA yang haram di sisi ugama.

54. Lebih baik kerja mengurus Jema'ah Haji dilakukan oleh LUTH (Lembaga Urusan dan Tabung Haji) dan 1MDB menumpukan perhatian kepada cara menyelesaikan bebanan hutang, dengan faedah tinggi, dan menyelamatkan generasi akan datang dari menanggung beban kerana kesilapan generasi masa kini.

55. Sama-sama kita do'akan semoga negara kita diselematkan dari belenggu hutang dan riba yang sukar dibayar; dan bala yang menimpa 1MDB tidak dipindah secara manupulasi kewangan kepada institusi-institusi lain yang tidak berdosa sehingga institusi ini menghadapi masalah yang akhirnya dipindah kepada rakyat.

56. Sama-sama kita berdo'a semoga penyakit negara yang sedia ada tidak diubati dengan racun yang membunuhnya. Wallahu'aklam.

 

5 comments:

  1. Salaam ts.....
    Tengok tajuk pun saya...kaburlah ts senang cerita. Brim basmi kemiskinan? Dgn 500 ringgit? Pada hari ini punya nilai apa yg boleh basmi sangat? Lebih banyak mengundang persoalan dari jawaban sebenarnya. Ini semua kerja yg sia2 utk jangka pendek kononnya kerajaan prihatin masalah rakyat.
    Berapakah jumlah yg telah d keluar kan oleh kerajaan pasal Brim ini? Billion ts.... billion. Bukan amaun yg kecik tu! Yg paling sedih sekali dlm purata 2 atau 3 hari billion ini akan bertukar tangan ke satu pihak yg memonopoli perniagaan d msia.....sebahagian saja utk menjelaskan bil2 tertunggak. Jadi siapa yg mendapat faedah billion ini dlm sekelip mata? Peniaga yg berbangsa asing. Tercapaikah hasrat murni kerajaan? Kita masih bangsa pengguna ts! Itu kenyataan.
    Apa yg boleh d lakukan dgn modal berbillion ringgit jika ianya d kumpul dan d laksanakan? Dan yg paling penting kemiskinan itu akan terhakis sedikit demi sedikit dgn syarat kerja rajin ! Dgn perancangan jangka panjang tanpa perlu bergantung kpd usaha2 bantuan atau subsidi dari kerajaan PASTI menempa kejayaan! Ada pelbagai agensi kerajaan yg mampu membimbing dan memimpin sekiranya apa jua bentuk pertolongan yg d perlukan oleh fakir2 miskin ini. Mereka punyai tenaga dan akal cuma seperti biasa MODAL yg menjadi halangan utama. Ini yg sepatutnya d utamakan. Pertanian penternakan perladangan sebagai contoh mampu memberi pulangan yg baik jika d buat secara disiplin yg tinggi. Dan ada pelbagai sebenarnya,sbb modal yg ada....billion!
    Penubuhan koperasi jalan terbaik utk memantau perniagaan yg d jalankan. Majukan secara berkelompok atau syarikat......mengapa tidak?
    Dari mengambil ikan setahun 3 kali....biar lah berbekalkan pancing utk setiap hari! Pilihlah ikan apa yg nak d pancing.....kan bagus? Bumi Allah ini masih d penuhi rahmat dan limpahan rezeki kpd yg berusaha.....terutama negara kita. Apa yg tak ada? Cukup semua. Kelemahan mereka ...MODAL maka kerajaan tampung keperluan itu. Selesai satu bab. Lepas tu kalau dia nak berpoligami dia punya hak lah ts.....janji mampu!

    ReplyDelete
  2. assalam tan sri,
    dari memberi brim kepada sesetengah rakyat lebih baik peruntukan tersebut digunakan untuk menampung subsidi bahan api. itu lebih berkesan kerana semua lapisan rakyat dapat menikmatinya.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum WBT Tan Sri.

    Boleh tak saya tanya soalan jujur pada Tan Sri. Berdasarkan pengalaman anda yang hidup sezaman dengan Tun Razak, boleh tak ceritakan pada kami generasi baru tentang

    1. Apa reaksi rakyat tanah melayu semasa Tun Razak bersetuju menerima cadangan beberapa pihak untuk menukar nama Tanah Melayu kepada malai-si@Malaysia?

    2. Apakah reaksi sebenar datuk nenek semasa zaman Genting Bhd menerima permohonan tanah beribu ekar utk buat kasino di Genting? Adakah mereka membantah, tak puas hati bila tahu ada pusat judi besar akan dibina di tanah melayu?

    3. Siapakah sebenar yang bertanggungjawap mengarahkan pembunuhan komando2 Indonesia yg dituduh melakukan konfrontasi ke atas Malaysia?

    Sekadar ingin tahu adakah apa yang berlaku hari ini ada kaitan dgn apa yg telah berlaku sebelum ni. Terima kasih.

    ReplyDelete
  4. Saya setuju. BR1M ni membazir. Sebab? Objektif BR1M untuk melegakan sedikit penderitaan rakyat berpendapatan rendah, sebenarnya jauh lebih efektif dan dah jauh lebih lama ditangani oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Cek aktiviti sosial Kementerian tersebut. Ada 8 golongan sasaran, semuanya pendapatan rendah. Pelbagai program yang ada, semuanya dapat menolong membasmi kemiskinan dengan lebih precise dan menyeluruh.

    Yang sebetulnya duit BR1M ni adalah suatu agenda untuk membuatkan rakyat bersyukur dan memandang tinggi kepada "tangan" yang memberi tu. Dia nak supaya rakyat tengok dia macam dewa, perumpamaannya.

    ReplyDelete
  5. Seorang lelaki asnaf fakir miskin. Berada dalam keadaan daif dan hidup dalam serba kekurangan. Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan wang secara ikhlas, boleh derma ke akaun maybank 151089317354 Adila Bin Suboh. Terima kasih.

    ReplyDelete