Monday, October 5, 2015

BERBAGAI JENIS PENJARA

PENJARA BIASA

Konsep penjara yang sering kita ketahui ialah tempat tahanan yang dikelilingi oleh dinding dan pagar yang menghalang kebebasan banduan untuk keluar dari kawasannya.

Seseorang banduan itu berada di dalamnya setelah didapati bersalah kerana telah mengerjakan jenayah sivil atau kriminal dan telah dihukum oleh mahkamah.

Kecualilah tahanan di bawah ISA yang telah dihapuskan.

Ganti kepada ISA ialah SOSMA yang kelihatannya lebih membebankan daripada ISA.

Apabila seseorang itu berada di dalam penjara maka perhubungannya dengan masyarakat luar terputus kecualilah perhubungan dengan mereka yang melawatnya pada waktu yang diizinkan.

Yang paling menyiksakan seseorang yang berada di dalam penjara ialah perhubungan dengan pihak luaran tidak bebas dan sangat terbatas. Pendek kata keupayaan berkomunikasi terbatas jika tidak terputus.

Dengan adanya telefon bimbit di zaman ini adakalanya saya menerima laporan mengatakan banduan masakini, secara resmi atau tidak rasmi, boleh mengirim sms, whatsapp dan instagram kepada rakan-rakan di seluruh dunia. Saya kurang pasti peraturan di dalam penjara pada masa kini.

Pehubungan intim dengan isteri atau suami juga terhalang, kecualilah jika diberi kemudahan oleh sesetengah penjara di dunia atau pun apabila si banduan itu berada di rumah sakit samada sakitnya itu ialah sakit biasa atau sakit yang di ada-adakan.

Walaupun suasana dalam penjara berbeza-beza, sesetengah penjara di negara-negara maju adalah lebih selesa dari rumah setinggan yang didiami seharian di dalam negera yang sedang membangun..

Waktu saya ditahan dalam lock-up di sebuah balai polis di Perak pada tahun 1962 saya dapati makanan yang diberi kepada banduan lebih sedap dari yang saya perolehi di asrama.

Waktu menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri saya pernah melawat penjara di Bath, United Kingdom, Ketua Warden bernama Wilson, yang saya kenal waktu saya menjadi pelajar di UK dan beliau bekerja sebagai warden berpangkat rendah di Brixton Prison, selalu memastikan, sebelum makanan itu diedarkan kepada banduan, seorang dari warden yang bertugas pada waktu makanan sudah tiba, memakan dahulu, untuk mengelak dari banduan membuat aduan. Bila selesai warden makan barulah semua banduan berbaris untuk mendapat makanan yang sama. Slogannya ialah 'What is good for the warden, is good for the prisoners.'

Inilah cara untuk menjamin mutu makanan untuk banduan agak lumayan rasanya kerana ianya juga menjadi makanan untuk warden..

Pernah berlaku di Malaysia seorang jutawan telah berjaya, atas dayausahanya sendiri, membiayai usaha untuk melengkapkan bilik penjaranya dengan kemudahan air-condition, sehinggalah diketahui oleh pihak atasan.

Persepsi mereka yang tidak pernah melawat penjara, atau bekerja di penjara atau berada di dalamnya sebagai banduan agak berbeza.

Pernah berlaku seorang kawan saya tidak mahu tidur di atas katil atau tilam sekalipun dan hidup sederhana sekali sepanjang masa seorang dari rakannya berada di dalam penjara, setelah peristiwa demonstrasi pelajar.

Setelah beberapa bulan kawan saya ini tidur di atas lantai simen, supaya sama dengan cara rakannya di penjara, sikap kawan saya ini berubah dan mula tidur di atas katil. Ini berlaku setelah beliau melawat kawannya di penjara Kemunting dan melihat rakannya hidup dengan agak selesa dan tidurnya juga di atas katil dengan tilam yang berlapik dengan kain cadar berbeza dengan yang dibayangkan..

Rakannya makan nasi lemak yang dibeli oleh warden dan juga dapat membaca suratkhabar setiap hari.

Bukanlah sebagaimana yang disangka oleh kawan saya itu.

Ada juga didapati banduan yang lulus peperiksaan kerana berpeluang masuk ke dalam penjara. Saya katakan peluang kerana besar kemungkinan banduan yang saya kenali ini tidak mungkin lulus peperiksaannya jika berada di luar penjara  kerana beliau terlalu giat dalam berbagai kegiatan sosial.

Malah ada seorang banduan yang saya kenali di luar negara yang akhirnya menjadi Professor setelah lulus peperiksaannya semasa dalam penjara. Dia mendakwa bahawa dia yang berkaliber Professor telah salah dipenjarakan. Saya telah menegur beliau dan menjelaskan bahawa waktu beliau dipenjarakan beliau belum menjadi Professor dan itu bermakna ada beza antara statusnya sebagai professor dengan status dahulunya sebagai banduan. Bukan professor yang dipenjarakan tetapi bantuan yang pernah bersalah telah menjadi seorang professor. 
PENJARA BAHASA
Tanpa kita sedari, ada satu jenis penjara lagi yang semua manusia berada di dalamnya. Iaitu penjara bahasa.

Oleh kerana konsep penjara itu melibatkan putus komunikasi maka konsep bahasa sebagai penjara ialah dari sudut terpisahnya kita dari ilmu yang tidak ada dalam bahasa yang kita mahir di dalamnya.

Waktu di Sekolah Melayu Yan saya kenal tiga orang India dari suku Tamil. Nama asal Talib ialah Thanjimalai dan beliau menjadi operator alat tayangan filem di pawagam Yan Talkies. Seorang lagi bernama Salim yang nama asalnya tidak kami ketahui. Dia hanya dikenali sebagai Tambi yang bererti adik di dalam bahasa Tamil. Iaitu panggilan dirinya apabila bercakap dengan Thangimalai. Tambi jadi pelayan dalam Yan Talkies kerana syarikat sarkis yang menjadi majikan terdahulunya telah muflis setelah membuat pertunjukan di Yan.

Waktu di Sekolah Ibrahim Sungai Petani saya kenal dengan Cikgu Fernandez dan rakan wanitanya Cikgu Pooninapathy. Walaupun namanya Fernandez cikgu ini dari suku Tamil. Cikgu Veerasingam juga Tamil tetapi wajahnya seperti Urasian. Rakan karib saya ialah Sathiasegaran dan Dato' Saravanan yang jadi Exco Kedah waktu saya jadi Menteri Besar.

Waktu di MCKK saya berkawan dengan pelayan dewan makan bernama Auli dan Madhavan. Guru bersuku Tamil pula ada yang bernama Mr. Naidu

Waktu di hospital pada tahun 1960, semasa saya di Tingkatan 4 di MCKK, doktor dan jururawat serta pembantu hospital di Hospital Besar Ipoh semuanya dari suku Tamil belaka.

Oleh itu saya pun belajar bahasa Tamil.

TETAPI, semua mereka sepakat menyatakan bahawa saya tidak akan ke mana jika saya fasih dalam bahasa Tamil sekalipun. Bagi mereka yang hanya mengerti bahasa Tamil mereka sebenarnya berada dalam PENJARA BAHASA Tamil. Ini bererti mereka tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa lain dan tidak bolah menimba ilmu sains dan teknologi dalam bahasa Tamil. Penjara di sini membawa maksud pemutusan dari sumber ilmu yang banyak dalam bahasa yang banyak ilmu di dalamnya.

Bagaimana pula dengan mereka yang hanya mengetahui, mempelajari dan fasih dalam bahasa Inggeris? Dia juga sebenarnya berada dalam penjara bahasa Inggeris, tetapi, oleh kerana ilmu yang ada dalam bahasa Inggeris itu banyak sekali maka penjaranya terlalu besar dan penuh dengan ilmu pengetahuan di dalamnya, sehingga dia tidak merasa terperangkap, malahan tidak mengetahui bahawa beliau terperangkap kerana berada dalam penjara bahasa Inggeris. Beliau tidak merasa kerugian kerana ilmu di dalam bahasa Inggeris begitu banyak dan tidak mungkin dapat dipelajari sepanjang umurnya.

Oleh itu PENJARA BAHASA INGGERIS itu, kerana begitu luas, hilanglah perasaan terputus hubungan dengan ilmu pengetahuan yang ada dalam bahasa lain. Hampir semua ilmu ada dalam bahasa Inggeris.

Hampir semua ilmu yang ditulis dalam bahasa lain telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Sebagaimana juga buku dalam bahasa Yunani dan Latin yang bermutu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab untuk membolehkan umat Islam yang fasih dalam bahasa Arab mempelajari ilmu dari bahasa asing itu.

Oleh kerana itu, bangsa yang maju seperti Jerman dan Jepun sekalipun terpaksa mengajar sebanyak mungkin rakyatnya, jika tidak semua sekalipun, untuk belajar bahasa Inggeris, walaupun dalam bahasa Jerman dan Jepun itu sendiri banyak ilmu, termasuk hasil terjemahan dari bahasa lain selain ilmu hasil dari penyelidikan yang mereka jalankan sendiri.

Arab ialah bahasa untuk ugama Islam. Setelah perintah 'Iqra'' diturunkan cerdik pandai Islam telah membaca bukan saja Al Quran yang baru diturunkan dengan ayat pertama itu, tetapi juga membaca buku ilmu dalam bahasa Yunani dan Latin yang telah diterjemahkan.

Betigu juga halnya dengan proses menterjemahkan buku dari bahasa lain ke dalam bahasa Melayu boleh dianggap sebagai kerja memperkayakan bahasa Melayu.

Bahasa ialah gudang ilmu yang ada dalam bahasa berkenaan. Bahasa itu dianggap kaya jika banyak ilmu di dalamnya sebagaimana seorang itu dianggap kaya kerana ada harta dan wang yang banyak. .

PENJARA RAKAN

Yang jarang kita dengar ialah PENJARA KAWAN kerana TAWANAN BUDI DAN JASA. Semua insan mempunyai kalangan sahabat dengan pengalaman yang sama yang menjadi gam atau simen yang mengikat atau menyantumkan sesama mereka.

Kawan yang ada disekelililing seseorang tokoh itu boleh menjadi jembatan yang berguna yang membuka jalan, fikiran dan pandangan kepada apa yang berlaku di persekitaran dan didalam media citak dan elektronik atau pun menjadikan diri mereka sebagai dinding atau benteng untuk menghalang seseorang tokoh itu dari berhubungan dengan orang orang lain yang mungkin mempunyai pendapat yang berbeza atau yang bertentengan dengan apa yang ingin dihalang oleh kawan-kawan dari diketahui oleh tokoh itu, demi kepentingan peribadi.

Jika di bangku sekolah kita berkawan kerana persekitaran yang sama tetapi apabila sudah bekerja dan mendirikan rumahtangga maka kerana pengalaman, pendedahan dan persekitaran yang berbeza, yang kita lalui, membuat kita renggang dengan kawan-kawan persekolahan. Tetapi, apabila sudah tua dan kerana batasan kegiatan maka kita kembali kepada sahabat sepersekolahan untuk mengenang kembali waktu bersama sahabat sedarjah di waktu kecil.

Begitulah pengalaman saya dengan kawan-kawan se darjah waktu di MCKK dari tahun 1957 hingga tahun 1963. Yang anehnya ingatan yang mendekatkan hubungan kami yang sedarjah ialah di waktu kami dirotan oleh guru besar N. J. Ryan pada tahun 1961 kerana melakukan perarakan tradisi oleh pelajar tingkatan lima pada malam terakhir sebelum peperiksaan bermula pada keesokan harinya. Perarakan tradisi ini dinamakan TARI NAGA. Itulah puncanya sehingga hari ini kami yang berumur purata 71 tahun ke atas mempunyai grup WhatsApp bernama NAGA TAQWA.

Pengalaman saya waktu bekerja di bank, kemudiannya, tidak meninggal impak yang mendalam dari segi hubungan persahabatan tetapi sangat mempengaruhi daya bekerja. Lebih-lebih lagi kebanyakan pelanggan di bank tempat saya bekerja terdiri dari kaum bukan Melayu yang terlibat dalam perniagaan yang besar-besar.

Saya tidak membina hubungan persahabatan melalui kelab-kelab golf dan rekreasi atau badan-badan sosial seperti Rotary Club atau NGO-NGO lain.

Dalam dunia politik pula hubungan persahabatan tidak begitu akrab mungkin kerana saya terlalu awal menduduki jawatan dalam kabinet.  Oleh kerana bebanan kerja yang berat maka di luar pejabat saya lebih menumpukan perhatian kepada keluarga kerana saya dianugerahkan amanah 7 orang anak oleh Allah swt.

Saya perhatikan di peringkat apa jua seseorang itu berada dalam politik maka rakan atau sahabat yang terdekat dengan seseorang tokoh politik itu mempunyai pengaruh besar ke atasnya.

Ada juga tokoh politik yang dipenjarakan oleh isteri dan mertua kerana cemburu atau harta.

Biasanya seseorang yang sedang dalam proses mendaki tangga politik banyak pengaruh sahabatnya yang membantu atas kenaikannya. Apabila sudah naik ke atas maka tokoh ini, tanpa disedarinya, akan menghadapi masalah yang besar kerana pengaruh kawan dan kenalan baru yang cuba mendekati tokoh berkenaan dengan terlebih dahulu mempelajari kelemahan dan minat tokoh berkenaan.

Ada kenalan saya yeng berwatak 'playboy' yang mempunyai ramai sahabat yang memiliki kecenderongan yang sama sebagai 'playboy' juga.

Rakan-rakan beginilah yang saya gelarkan sebagai rakan atau sahabat seperdosaan.

Mengikut teori 'crystalization' molekul yang berselerak di dalam cairan yang mempunyai banyak molekul dari jenis senyawa yang sama akan menyebabkan molekul yang sama akan berkumpul dengan molekul senyawa yang sama, jika ianya lebih kental, apabila digugurkan ke dalam cairan, menyebabkan kewujudan kristal.

Oleh kerana banyak rahsia peribadi yang tersimpan dalam ingatan kawan-kawan susah bagi seseorang bersikap tegas terhadap kawan-kawan sedemikian untuk mengelak dari kebocoran rahsia yang boleh merugikan.

Ikatan budi antara sahabat seperdosaan adalah satu bentuk penjara jika kebebasan tokoh untuk bertindak menjadi terbatas kerana menjaga hubungan persahabatan.

Oleh kerana usaha untuk memastikan rahsia peribadi tidak terdedah maka seseorang tokoh akan berusaha menanam budi, dengan menambah kekayaan, kepada rakan sekelilingnya, maka dengan itu hubungan bersahabatan, kerana ikatan budi dan jasa, akan lebih menebal dan ianya boleh menjadi perisai kepada tokoh untuk dilindungi oleh PENJARA PERSAHABATAN yang melindunginya untuk kekal bermaustautin di lembah dosa.

No comments:

Post a Comment