Wednesday, October 7, 2015

SINAR HARIAN - 6/10/15 - MENGHORMATI KEJAYAAN


‘Cina hormat Melayu kalau kita berjaya’

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
6 Oktober 2015


Tan Sri Sanusi Junid dalam program Bicara Minda & Sesi Dialog ‘Perpaduan: Mengapa kita masih keliru’ hari ini. 

SHAH ALAM - Bangsa Melayu akan dihormati oleh kaum lain termasuk Cina dan India di negara ini jika mampu berjaya dalam hidup.
 
Veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid berkata, kegagalan pemerintah melahirkan kaum Melayu yang berjaya meskipun telah memimpin negara ini berpuluh tahun menyebabkan kaum ini dipandang hina.

"Cina lama-lama percaya pada 'reincarnation' iaitu manusia yang hidup jadi orang jahat, lepas mati dia hidup balik akan jalani hukuman sebagai orang susah. Manakala yang baik lahir semula sebagai orang senang.

"Tetapi apabila Melayu sekarang dalam keadaan susah, bagaimana kita nak harapkan orang Cina hormati kita?," katanya pada Bicara Minda dan Sesi Dialog Tan Sri Sanusi Junid, Perpaduan: Mengapa kita masih keliru? di Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.
 
Menurutnya, kegagalan kepimpinan negara memastikan Melayu terus dihormati menyebabkan pemimpin hari ini berdepan masalah dalam memerintah.

“Selama ini saya lihat orang-orang kita melakukan kegagalan dan apabila orang tak berapa peduli pada kita, kita marah kepada orang kerana bagi mereka, tiada sebab untuk mereka hormat kita. Jika datuk nenek mereka dulu pandang mulia pada penghulu, raja, penjajah, pedagang.

“Tapi kalau kita ini yang sudah memerintah negara ini berpuluh-puluh tahun, tidak dapat membuktikan bahawa kita ini boleh dan berjaya, maka orang pandang hina pada kita. Apabila orang pandang hina, bagaimana kita nak jadi ketua, pemimpin yang dihormati mereka?,” katanya.

Menyentuh soal kaum India, beliau berpendapat kaum India lebih memandang kepada orang-orang yang berkedudukan atau berjawatan tinggi kerana konsep mereka yang mengagungkan sesuatu yang tinggi.

“Kalau kaum India lain. Mereka tidak memandang rendah kepada orang miskin kerana mereka tidak ada konsep ‘reincarnation’. Tetapi orang India menghormati orang-orang tinggi. Jika di Indonesia ada restoran sederhana, orang India tidak mungkin akan buat begitu. Mereka akan letak nama restoran akhbar maharaja, ...maharani...yang hebat-hebat punya.

“Mereka memang suka berkawan dengan orang-orang besar. Sebab itu kalau kita lihat yang berkawan dengan orang besar-besar ...kalau dia tengok kita besar sahaja, mereka datang.

“Jadi, kalau Melayu berjaya, saya rasa bukan sahaja India, Cina...semua orang akan pandang mulia pada kita,” katanya.

Dalam pada itu, mengimbas kembali perjalanannya pada tahun 1966 ke England, beliau memberitahu pandangan anak-anak muda rakyat negara ini di luar negara berbeza dengan zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila golongan muda meletakkan negara di depan berbanding kaumnya.

Sehubungan itu katanya, setelah apa yang menimpa Malaysia mutakhir ini, sukar untuk rakyat negara ini bangga untuk memberitahu dunia tentang asal usulnya.

“Apabila saya berjumpa anak-anak Cina dan India, saya tanya dan mereka akan jawab ‘i am Chinese, Indian from Malaysia’. Tapi ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas perdana menteri), kalau jumpa seorang China dan India, mereka akan jawab ‘i am Malaysian’. Bermakna Malaysia itu telah diletak di depan daripada kaumnya.

“Tapi apabila negara dia (jadi) macam sekarang...saya ke Indonesia, orang Indonesia pun menangis. Dulu dia pegang juara. Dialah negara yang paling hebat. Sekarang, kita lagi hebat. Bukan dalam bidang badminton, dalam bidang rasuah. Jadi, sekarang ini, banggakah rakyat nak beritahu kepada orang dia dari Malaysia dalam keadaan negara begini?,” katanya.

No comments:

Post a Comment