Friday, March 25, 2016

DEKLARASI RAKYAT - SATU USAHA MENGOBATI PENYAKIT

ALLAH SAHAJA YANG MENENTUKAN

SOLAT GERHANA MATAHARI

Pada pagi Rabu 9 Mac, 2016 saya telah mengerjakan solat sunat gerhana yang dimulakan pukul 8.15 pagi di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur. Oleh kerana saya sampai agak lebih awal maka sempatlah saya termenung mengenangkan nasib bangsa Melayu di Malaysia dan nasib umat Islam di dunia secara seimbas lalu.

KUASA PADA ALLAH SWT.

Saya diberitahu oleh seorang kawan yang turut datang awal ke masjid dua perkara - (1) Adanya tajuk berita yang menyatakan nasib Dato' Seri Najib Abd. Razak bergantung kepada 222 anggota Parlimen untuk menentukan, dan (2) Seorang Menteri telah menyatakan dalam satu Majlis Maulidurrasul yang baru diadakan oleh masyarakat di Jalan Chow Kit bahawa ' ....... tentangan Tun Dr. Mahathir tidak memberi kesan kepada UMNO.

Saya telah perbetulkan pendangan yang menyatakan 222 orang yang akan menentukan nasib politik Dato' Seri Najib kerana pandangan ini menidakkan kekuasaan Allah swt. Sedangkan Fir'aun yang sangat berkuasa itupun telah dapat dijatuhkan dan hampir kesemua Perdana Menteri Malaysia yang lalu, kecuali Tun Abdul Razak, telah berhenti dari menjadi Perdana Menteri tanpa diberhentikan kerana kekalahan dalam pemilihan parti atau pilihanraya.
 
TIDAK ADA KESAN KEPADA UMNO.
 
Mengenai kenyataan bahawa tentangan Tun Dr. Mahathir terhadap kepimpinan Dato' Seri Najib, yang dikatakan tidak ada kesan kepada UMNO menunjukkan Menteri berkenaan lebih mementingkan UMNO daripada negara dan rakyat.
 
Apa yang penting bagi negara ini ialah adanya tokoh yang masih mampu dan berani membuat teguran dan mengambil tindakan yang diperlukan untuk menyelamatkan rakyat dan negara.
 
Bagi mereka yang enggan membaca dan mengambil tahu mengenai keadaan negara masakini, dan bergantung kepada siaran berita dalam TV dan media perdana, maka nasib anak cucu mereka tidaklah dapat mereka turut bertanggungjawab untuk membetul arah tujuannya.
 
TAKUT KEPADA LIM KIT SIANG
 
Setelah Deklarasi Rakyat dilancarkan banyaklah pengkritik yang cuba menakutkan rakyat kepada Lim Kit Siang, penasihat veteran parti DAP.
 
Saya telah berusaha untuk memahami di mana puncanya rasa takut orang Melayu, khususnya ahli-ahli UMNO kepada DAP yang simbolnya ialah Lim Kit Siang.        
 
Rasa takut ini bersandar kepada usaha DAP untuk mewujudkan MALAYSIAN MALAYSIA. Sebenarnya, mengikut pandangan DAP sendiri bahawa konsep MALAYSIAN MALAYSIA itu adalah sama dengan konsep 1MALAYSIA yang diketengahkan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.
 
Di waktu konsep 1MALAYSIA diketengahkan oleh Perdana Menteri, untuk menawan hati bukan Melayu dalam PRU ke 13, ramai yang menentangnya kerana ianya dikatakan mirip MALAYSIAN MALAYSIA. Dari penjelasan yang diberi jelaslah ianya sama. Oleh itu, jika kita takut kepada seorang China kerana mengenengahkan konsep MALAYSIAN MALAYSIA maka kita juga perlu lebih takut kepada pemimpin Melayu yang membawa konsep yang sama tetapi dengan sedikit pindaan.
 
Ahli DAP dari keturunan China merasa takut Lim Kit Siang sudah ditawan oleh Tun Dr. Mahathir. Orang UMNO pula menuduh Tun Dr. Mahathir sudah ditawan oleh Lim Kit Siang.
 
SEBAB DAN KOS 'DEKLARASI RAKYAT'
 
Sebenarnya yang membawa Tun Dr. Mahathir mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Presiden UMNO, Dato' Seri Azmin Ali dan Rafizi Ramli pemimpin PKR, Lim Kit Siang penasihat DAP, Mohamad Sabu Presiden Parti Amanah dan Dato' Husam Musa, Dato' Mahfuz Omar pemimpin PAS, Ambiga Sreenevasan dan Maria Chin Abdullah pemimpin Bersih dan NGO - yang menyatukan mereka semua - ialah Dato' Seri Najib Tun Razak.
 
Kerana Dato' Seri Najib Tun Razaklah maka mereka yang dulunya bertelingkah barsatu dalam 1MALAYSIA.
 
Belanja yang dikaitkan dengan penyatuan mereka yang menyetujui Deklarasi Rakyat juga sangat besar - iaitu RM42 bilion. Tanpa pinjaman RM42 bilion yang dibelanjakan atas arahan atau persetujuan Dato' Seri Najib maka semua pihak yang dulunya bertelingkah tidak mungkin dapat disatukan.  
 
KITA PATUT TAKUT PADA JHO TEIK LOW
 
Jika kita ingin terus memusuhi seseorang dari keturunan China atau India ianya hendaklah dengan bersebab, dan bukan kerana mereka berketurunan China atau mereka berketurunan India sahaja.
 
Dalam satu wawancara saya dengan blogger Din Turtle saya telah menyatakan bahawa orang yang paling kenal Lim Kit Siang ialah Tun Dr. Mahathir, dan juga saya sendiri. Kami sama-sama di dalam Parlimen setelah pilihanraya pertama selepas Peristiwa 13 Mei, 1969 diadakan pada tahun 1974. Tun Dr. Mahathir sebagai Menteri bertikam lidah dengan Lim Kit Siang. Saya juga sebagai back-bencher Parlimen bertikam lidah dengannya.
 
Lim Kit Siang tidak pernah berjaya melaksanakan dasar dan cita-citanya di zaman kami dalam kerajaan. Walau pun bertikam lidah dalam Parlimen saya pernah pada satu masa, apabila melihat Lim Kit Siang berdiri di tepi jalan di Parlimen kerana menunggu keretanya yang lambat tiba, saya menjemput Lim Kit Siang naik kereta saya untuk hantarnya ke pejabat DAP di Petaling Jaya.
 
Yang kita perlu takut ialah kepada Jho Low yang menjadi antara penyebab utama kita bersatu untuk menentang   Dato' Seri Najib.
 
Jho Low lebih muda dari Lim Kit Siang. Bebeza dengan Lim Kit Siang Jho Low terlibat dalam scandal 1MDB. Memang Jho Low, sebagai seorang playboy, manis untuk dilihat, dan Lim Kit Siang yang sudah tua itu nampak bengis wajahnya. TETAPI, Lim Kit Siang menentang rasuah sedangkan Jho Low mengelak dari tindakan diambil ke atasnya.
 
SAYA SOKONG TOKOH YANG SAYA KENAL
 
Bila saya berkata demikian ada Menteri yang menegur saya sebagai penyokong Tun Dr. Mahathir sepanjang masa sedangkan Tun Dr. Mahathir itu dikatakan telah bertentangan dengan banyak tokoh di dalam UMNO.
 
Sebenarnya saya bukan saja sokong Tun Dr. Mahathir kerana saya kenal beliau, mempelajari penulisannya, meneliti ucapannya dan mempelajari caranya berkerja, tetapi saya juga menyokong Tun Abdul Rahman yang saya kenal bukan saja sebagai Perdana Menteri tetapi juga kerana saya menjadi pemimpin cabang bank di mana Tunku mempunyai current account di situ. Saya juga menyokong Tun Abdul Razak melalui interaksi yang banyak dengannya mengenai belia MAYC, koperasi SHAMELIN, FELDA, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Bank Simpanan Nasional dan saya dipilih olehnya untuk bertanding dalam pilihanraya umum tahun 1974. Saya juga menyokong dan mengenal Tun Hussein Onn bukan saja sebaga Perdana Menteri yang melantik saya menjadi Timbalan Menteri tetapi juga sebagai peguam di salah sebuah firma yang menjadi pelanggan bank tempat saya berkerja.
 
Saya tidak dapat menyokong sesiapa saja jika saya tidak faham, tidak mengerti idea yang ada padanya dan jika saya perhatikan kerjanya tidak senonoh.
 
CARA BERTINDAK TUN DR. MAHATHIR
 
Saya pernah bertanya Tun Dr. Mahathir tentang caranya menyelesaikan satu-satu masalah.
 
Kata Tun: "Cara merawat orang sakit samalah dengan cara menyelesaikan satu-satu masalah dalam negara. Apabila seorang pesakit datang pada saya, saya terlebih dahulu diagnosa atau mencari apa penyakitnya. Setelah saya tahu penyakitnya maka saya memilih ubat yang sesuai untuknya. Jika ada pil saya bagi pil, jika ada hanya ubat cair maka saya berikan ubat itu. Jika ada ubat cair yang manis saya pilih yang manis; kalau tiada yang manis saya bagi yang pahit atau tidak manis. Jika penyakitnya perlu pembedahan maka saya akan bius dan bila pesakit tidak sedar baru saya bedah. Tetapi, jika penyakit itu memerlukan pembedahan sedangkan ubat bius tidak ada, maka jika munasabah, dan dalam kecemasan, saya akan ikat pesakit erat-erat dan saya akan bedah walau pun pesakit itu melolong kuat-kuat."
 
Dalam konteks inilah kita perlu memahami cara Tun Dr. Mahathir bertindak apabila dia melihat keadaan negara berada dalam kecemasan.
 
'DEKLARASI RAKYAT' hanya satu langkah dan usaha untuk menyembuhkan penyakit dalam negara.
 
Wallahu'aklam.
 
 
   

No comments:

Post a Comment