Thursday, December 10, 2009

FELDA YANG NOSTALGIA

INSTITUSI KEBANGGAAN NEGARA

1. Pada 12hb Ogos, 2009 yang lalu GEM ( Group of Ex-Ministers - Kumpulan Mantan Menteri-Menteri )telah membuat lawatan ke Ibu Pejabat FELDA untuk mendengar taklimat mengenai kedudukannya yang terkini. Tun Dr. Mahathir telah turut hadir. Taklimat telah diadakan mulai pukul 12 tengahari disusuli dengan jamuan makan tengahari.

2. Saya jarang hadir dalam pertemuan anjuran GEM ini tetapi oleh kerana organisasi yang hendak ditaklimatkan ialah FELDA maka saya telah melapangkan masa untuk hadir. Felda adalah sebuah institusi yang nostalgia bagi saya.

3. Di waktu Felda ditubuhkan dengan terlaksananya Akta Pembangunan Tanah pada 1hb Julai, 1956 Pengurus Besar pertamanya ialah Tan Sri Dato' Hanafiah Hussain iaitu seorang profesyional yang terkemuka di waktu itu. Beliau ialah seorang yang berkelulusan cemerlang dalam bidang perdagangan ( commerce ) di Manchester Universiti. Beliau juga adalah rakyat Malaysia yang pertama mendapat kelulusan Chartered Accountant dari Institute of Chartered Accountant of England and Wales.


4. Tan Sri Hanafiah berasal dari Kampung Aceh Yan, Kedah. Pernah menjadi Anggota Parlimen Jerai dan Bendahari Agong UMNO. Selain dari menjadi Pengurus Besar FELDA yang pertama beliau juga menjadi Pengurus Besar yang pertama Lembaga Urusan dan Tabung Haji ( LUTH )dan juga Pengurus Besar pertama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan ( FAMA ). Beliau adalah tokoh kepercayaan Tun Abdul Razak.

5. Tan Sri Hanafiahlah yang mendorong saya untuk menjadi seorang banker dan belajar untuk mendapat diploma dalam bidang banking di Institute of Bankers London. Katanya pada saya pada tahun 1963 bahawa belum ada rakyat Malaysia, baik dari apa kaum sekalipun, yang sudah mendapat kelulusan di bidang Perbankan. Saya yakin dengan nasihat beliau dan apabila beliau berundur diri dari bertanding dalam Pilihanraya Tahun 1974 saya, yang pada waktu itu sudah menjadi seorang profesyenal banker, telah mengganti beliau di Jerai, sedangkan pada waktu itu PAS berada dalam Barisan Nasional dan Presiden PAS Dato' Asri Muda telah menawarkan supaya saya menjadi calon PAS menggantikan Haji Ahmad Shukri di Kawasan Parlimen Padang Terap.

6. Felda di zaman Tan Sri Hanafiah sangatlah mencabar, dan berbeza cabarannya, kerana orang-orang Melayu pada waktu itu tidak ada pengalaman dalam membangunkan estet getah apatahlagi melalui sistem peneroka dan tidak ada pengalaman juga memiliki dan mengurus kebun getah. Peneroka FELDA terdiri dari orang-orang dewasa dari kampung yang tidak mempunyai tanah, berumah-tangga dan berkemampuan tenaga untuk bekerja kuat.

7. Rancangan FELDA yang pertama ialah di Lembah Bilut, Bentong, Pahang. Kerja memugar hutan untuk dijadikan kebun getah telah dibuat sendiri, secara gotong-royong, oleh peneroka-peneroka dan banyaklah peneroka yang lari balik kekampung masing-masing kerana tidak sanggup menanggung berat beban kerja. Oleh sebab itulah maka kemudiannya ladang getah FELDA telah dibangunkan oleh kontrektor-kontrektor dan peneroka hanya masuk setelah getah sudah ditanam.

8. Di waktu menunggu keputusan peperiksaan Darjah 6 Sekolah Menengah Ibrahim School, di Sungai Petani, pada tahun 1956 ayah saya, Junid, telah meninggal dunia. Saya berumur sekitar 13 tahun. Sementara menunggu keputusan untuk masuk ketingkatan satu saya telah ke Felda Lembah Bilut untuk menziarahi ibu saudara saya yang menjaga saya di waktu kecil, Teh Abasiah, dan seterusnya membantu kerja bapa saudara saya Yah Chik Abdul Ghani Nyak Amin yang menjadi salah seorang dari peneroka pertama di sana. Saya telah menikmati upah bekerja sebagai buruh di kebun FELDA. Saya telah meminta pengurus rancangan membenarkan saya bekerja walau pun saya dikatakan bawah umur, kerana saya sangat memerlukan wang untuk belajar. Sayalah pekerja termuda di waktu itu dan keistimewaan yang diberi oleh pengurusan FELDA pada waktu itu menjadi kenangan manis bagi saya.

9. Bapa saudara saya Abdul Ghani ialah peneroka Lembah Bilut yang pertama meninggal dunia. Saya tahu kerana saya ada bersama waktu jenazahnya dikebumikan ditanah perkuburan yang masih kosong di sebelah kanan jalan keluar dari Lembah Bilut. Saya diberitahu bahawa tanah perkuburan itu pun belum ada dalam rancangan FELDA di waktu itu.

10. Saya telah dilantik oleh Tun Abdul Razak menjadi Ahli Lembaga Penarah FELDA pada tahun 1973. Sekali lagi saya mendapat kesempatan mengenali FELDA dari atas. Pada waktu itulah saya menyedari bahawa FELDA mempunya dua fungsi iaitu selain dari memberi tanah kepada orang miskin yang memerlukan tanah tetapi ianya juga dibangunkan dalam kawasan-kawasan pilihanraya untuk menambah majoriti pengundi Melayu yang menyokong kerajaan di dalam kawasan itu. Pendek kata FELDA bukan saja membela bangsa dari segi ekonomi tetapi juga dari segi politik. Itulah sebabnya di peringkat awal orang-orang dari Kedah, Kelantan dan Trengganu perlu berpindah ke rancangan FELDA di Pahang, Johor dan Selangor sedangkan FELDA tidak diwujudkan di negeri asal mereka walau pun ada tanah jika hendak dimajukan.

11. Ketua Pengarah Unit Perancangan dan Pelaksanaan ( ICU ) di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Tengku Shahriman, telah memaklumkan kepada saya bahawa antara peranan yang perlu saya mainkan jika berlaku dharurat seperti 13 Mei, 1969, waktu pilihanraya yang sedang dirancangkan untuk diadakan pada tahun 1974, ialah untuk turut menyelaraskan urusan pengedaran barang-barang runcit antara kepada kedai-kedai runcit dalam semua rancangan FELDA sementara kerajaan membantu SHAMELIN menambahkan kedai-kedai runcitnya di mana SHAMELIN mampu membukanya. Saya di fahamkan persiapan inilah yang menyebabkan ICU mengadakan Jawatankuasa Penyelarasan Bekalan Kedai-kedai Runcit yang di dalamnya duduk bersama wakil kedai-kedai runcit Angkatan Tentera ( NAAFI ), unit pemborong ( wholesaler ) bekalan barang makanan PERNAS EDAR, dan untuk pemborong yang ditajakan oleh MARA (SENAMA), rangkain kedai runcit FELDA, Koperasi SHAMELIN dan wakil semua Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri-Negeri ( SEDC ) yang mengendalikan perniagaan borong saperti SERBA di KEDAH.

12. Alhamdulillah Pilihanraya Umum tahun 1974 telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang mengancam keselamatan negara. Saya bertanding dalam pilihanraya ini dan terpaksa berhenti dari turut memimpin ABIM kerana ABIM telah memutuskan dalam Muktamarnya pada tahun 1973 untuk tidak membenarkan ahli-ahlinya bergiat cergas di dalam mana-mana parti politik. Sebagai menyokong wadah perpaduan Melayu, kerana PAS juga telah masuk kedalam Barisan Nasional selepas Peristiwa 13 Mei, maka saya menerima tawaran UMNO, setelah ditemui oleh Tun Ghafar Baba dan Ketua Perhubungan UMNO Kedah Tun Syed Ahmad Shahbudin di dalam satu perjumpaan di Federal Hotel Jalan Bukit Bintang, untuk bertanding dalam pilihanraya ini.

13. Presiden ABIM yang pertama Professor Dr. Ustaz Ghazali Nawawi dan saya selaku Naib Presidennya telah mengundur diri dari kepimpinan ABIM dalam Muktamar di Sulaiman Kelab Kampung Baru pada tahun 1973. ABIM tidak ada Timbalan Presiden di waktu itu. Oleh itu kepimpinan ABIM telah diambil alih oleh Setiausaha Agong ABIM di waktu itu iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim. Setelah itulah baru alamat ibu-pejabat ABIM berpindah dari alamat pertamanya di rumah saya di No. 3, Lorong Batai Dalam, Damansara Heights, Kuala Lumpur ke pejabat yang hampir dengan Yayasan Anda.

14. Pemimpin-pemimpin ABIM tidak bersetuju saya bertanding sebagai calon BN dalam pilihanraya 1974, sebagaimana mereka juga tidak bersetuju apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi ahli UMNO pada tahun 1982. Malahan dalam Pilihanraya 1974 tiga tokoh ABIM telah bertanding sebagai calon bebas di kawasan Parlimen Bagan Serai, Perak ( Ustaz Amin ), di kawasan Parlimen Kampung Gajah, Perak ( Ustaz Osman Bakar ) dan seorang lagi di kawasan Parlimen Kota Tinggi, Johor. Ketiga-tiga hilang wang pertaruhan. Saya telah menang tanpa bertanding di Jerai, Kedah.

15. Walau pun menjadi Ahli Parlimen mulai tahun 1974 saya kekal sebagai Pengurus Chartered Bank sehingga tahun 1978. Oleh kerana saya tidak mahu bertanding menjadi anggota Parlimen jika terpaksa berhenti dari jawatan saya di bank maka pihak bank dan kerajaan ( dengan restu Tun Abdul Razak ) telah bersetuju saya kekal di bank setelah menang pilihanraya.

16. Saya ingin kekal sebagai Pengurus Bank untuk meneruskan rancangan menyelamatkan penanam padi di Kedah, penggatih teksi ( penarik beca ) di Kelantan dan pekebun kelapa di pesisiran Selangor dari 'belenggu riba'. Saya ingin pindahkan mereka dari belenggu meminjam wang dengan riba yang melangit kepada sumber bank dengan bunganya yang lebih murah dan ada harapan bagi pemimpin untuk tidak terus miskin dan menjadi peminjam seumur hidup.

17. Penanam padi di Kedah meminjam wang daripada orang tengah dan pengilang pada dengan membayar faedah sampai 80% setiap tahun sementara penggatih teksi di Kelantan membayar sewa beca mereka sebanyak 2 Riyal ( RM2.00 ) pada setiap hari. Ini bererti lebih 100% setiap tahun kerana harga beca ialah RM600-00 dan sewa RM2.00 sehari selama 365 hari dalam satu tahu menjadi jumlah faedah RM730-00 setahun ( RM130.00 lebih dari harga beca ). Sewa beca ini dibayar pada setiap hari, tahun demi tahun, dan taukeh yang baik hati akan membaiki beca bila rusak dan mengganti dengan beca baru bila tidak boleh diguna lagi.


18. Kira-kira 25,000 penanam padi dari Perlis, Kedah dan Seberang Prai, telah mendapat pinjaman The Chartered Bank dan 3,000 penaraik beca, dari Kota Bharu, Pasir Mas dan Pasir Putih, telah mendapat munafa'at dari skim pinjaman luar bandar. 1,000 orang peniaga runcit dan pekebun kelapa di Jenjarom, Sijangkang, Jalan Kebun dan penguasaha belacan di Klang juga telah mendapat modal pusingan untuk perniagaan dan perusahaan mereka. Oleh kerana kebanyakan petani, penternak dan peladang di kawasan utara, yang menjadi ahli dan penyokong UMNO, telah mendapat bantuan pinjaman melalui skim Pertubuhan Peladang dan Persatuan Nelayan maka 85% dari pinjaman The Chartered Bank telah dinikmati oleh ahli dan penyokong PAS. Saingan antara agensi kerajaan dan swasta yang membantu masyarakat luar bandar hanya menjadi reda apabila PAS dan UMNO sama-sama berada di dalam Barisan Nasional.


19. Skim pinjaman The Chartered Bank ini membuat bank dan Malaysia menjadi terkenal di seluruh dunia apabila ianya dilaporkan dalam majallah Far Eastern Economic Review di Hongkong ( sumbangan karangan MGG Pillai ), TV dan media di Sweden, dalam radio di New Zealand dan wawancara saya, dalam bahasa Jerman, dengan radio Switzerland.


20. Satu rombongan pelanggan The Chartered Bank dari Bangladesh telah datang ke Malaysia dan mempelajari skim pinjaman ini, khususnya pinjaman kepada penarik beca di Kelantan yang pinjamannya dijamin oleh isteri peminjam yang juga telah dapat membeli pakaian barang emas mereka kerana pinjaman yang diberi ialah RM1,000-0 tiap seorang peminjam dan penggunaannya hanya RM600-00 untuk beca baru, RM100-00 untuk bunga plastik dan lampu berwarna-warni pada beca dan beberapa kotak kretek untuk penggatih, dan RM300-00 ringgit untuk barang emas bagi isteri yang menjadi penjamin pinjaman.


21. Oleh kerana ingin terus bekerja di banklah yang menyebabkan saya memutuskan untuk meninggalkan jawatan dalam ABIM kerana, walaupun pendiri Yayasan Anda, yang juga pemimpin dan tokoh di dalam ABIM, telah mendapat kemudahan pinjaman Chartered Bank,di bawah skim CGC, tetapi mereka kelihatan tidak ingin atau pun mungkin tidak mampu mempertahan saya untuk terus berkerja di bank, sebagai sebuah institusi riba, sementara saya terus memimpin ABIM. Penentangan ini datangnya dari ahli-ahli Arqam yang telah menyusup kedalam ABIM. Sebagai pemimpin ABIM saya bersetuju ABIM bekerjasama dengan ARQAM dalam kegiatan dakwah tetapi tidak bersetuju ahli-ahli ARQAM menyertai ABIM kerana pemimpin ARQAM di waktu itu terdiri dari lulusan agama sedangkan pemimpin ABIM, selain dari Presiden ABIM Prof. Dr. Ghazali Nawawi dan beberapa orang yang jumlahnya terbatas, kesemuanya 'Pencinta Agama' yang berkelulusan sekular dan bukan ahli dalam bidang ugama Islam.

22. Selepas Pilihanraya Umum 1978, dan saya bertanding buat kali keduanya di kawasan Parlimen Jerlun Langkawi, saya telah dilantik menjadi Timbalan Menteri di Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah ( KKT&KW ). Walau pun saya hanya menjadi Ahli Lembaga Pengarah FELDA untuk satu tahun sahaja pada tahun 1973, saya sekali lagi bertemu dengan FELDA yang diletak di bawah KKT&KW. Menteri saya di waktu itu ialah Tan Sri Abd. Kadir Yusuf. Tan Sri Kadir adalah seorang Menteri yang serba boleh dan beliaulah sebagai pakar undang-undang, dan pernah menjadi Peguam Negara, telah banya memberi tunjuk ajar kepada saya. Isteri beliau, Tun Fatimah, Ketua Kaum Ibu UMNO pada wajtu itu juga menjadi seorang Menteri. Satu keadaan yang jarang wujud di dunia di waktu itu.

23. Saya puas melawat rancangan-rancangan FELDA dari 28hb Julai, 1978 hingga 15hb September, 1980 apabila saya berpindah menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri di bawah Tun Ghazali Shafie, seorang lagi Menteri yang luar biasa kebolehannya. Tan Sri Ghazali Shafie mempunyai hubungan rapat dengan keluarga saya di Aceh, yang memimpin pertubuhan Darul Islam, yang telah turut membantu menyokong Malaysia dalam menghadapi konfrantasi oleh Soekarno Presiden Republik Indonesia.

24. Di waktu menjadi Timbalan Menteri di KKT&KW tugas khusus yang diberikan kepada saya ialah untuk mengembalikan FELDA supaya terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional, sebagai salah satu dari dua fungsi atau peranan FELDA waktu ianya ditubuhkan.

25. Waktu saya bertanding dalam Pilihanraya 1974 PAS berada di dalam Barisan Nasional tetapi dalam Pilihanraya 1978 PAS kembali menjadi pembangkang. Saya yakin PAS tidak akan keluar dari Barisan Nasional jika Tun Abdul Razak yang memimpin BN. Tokoh-tokoh yang membuat karenah sehingga PAS dan UMNO berpecah semula tidak akan berani, atau berjaya, di bawah pimpinan Tun Abdul Razak.

26. FELDA telah berubah di waktu Presiden PAS Dato' Asri Muda menjadi Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah. Oleh kerana bukan semua ahli PAS bersetuju PAS berada di dalam BN maka antara usaha menenangkan mereka dan seterusnya mendapat sokongan mereka ialah dengan cara membawa masuk ahli-ahli PAS kerancangan-rancangan FELDA. Oleh kerana perpaduan Melayu dengan sendirinya menghapuskan ancaman parti pembangkang bukan Melayu seperti DAP maka peranan FELDA telah dimajukan untuk kawasan-kawasan yang ada tanah yang sesuai tanpa memperhetongkan keperluan politik lagi. Felda pun mula dimajukan dikawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu.

27. Apabila PAS keluar dari BN maka ahli-ahli PAS yang menjadi peneroka FELDA menjadi punca masaalah politik dan rancangan-rancangan FELDA di seluruh negara sudah ada bibit-bibit parti pembangkang dan tidak lagi menjadi kawasan yang selamat bagi BN.

28. Untuk mengatasi masaalah ini dalam masa yang singkat saya telah merancang untuk diadakan Pertadingan Pidato untuk peneroka-peneroka FELDA. Peserta lelaki bertanding untuk Piasa Tan Sri Kadir Yusuf sementara wanita FELDA pula bertanding untuk Piala Tan Sri Fatimah. Beratus-ratus peneroka dari semua rancangan telah mengambil bahagian. Banyak ahli-ahli UMNO yang ambil bahagian dan lebih banyak lagi dari parti PAS. Sementara pegawai-pegawai FELDA sibuk mencari pemidato terbaik di peringkat kementerian saya telah mengumpul nama semua yang mengambil bahagian untuk diberi kursus ketatanegaraan.

29. Melalui kursus-kursus inilah kita memberi pendedahan sebenar mengenai dasar-dasar dan rancangan-rancangan kerajaan sehingga orang-orang yang pandai bercakap di dalam FELDA tidak lagi memusuhi kerajaan semata-mata kerana propaganda politik songsang. Saya yakin bahawa orang-orang yang pandai bercakap, atau yang memikirkan dirinya pandai bercakap, adalah mereka yang akan menjadi punca masaalah politik dan masyarakat jika tidak diberi penerangan, pendedahan dan taklimat yang betul. Program ini telah memberi kesan yang membanggakan.

30.. Setelah saya mendengar taklimat kepada GEM mengenai FELDA pada 12hb Ogos, saya telah bercerita kepada isteri saya mengenainya dan beliau terus memberitahu kepada saya bahawa FELDA sudah maju setapak lagi kerana telah memajak sebuah hotel di Mekkah untuk kegunaan mereka yang ingin mengerjakan Haji, Umrah dan Ziarah. Terus saya telefon Tan Sri Dato' Dr. Yusof Nor, Pengerusi FELDA, untuk mengucapkah tahniah kepadanya atas kemajuan FELDA setapak lagi. Pada keesokan harinya 13hb Ogos, 2009 saya telah kepejabat Tan Sri Yusof untuk makan tengahari bersama-sama.

31. Wujudnya Al Safwah Orchid Hotel di bawah pengawasan Felda dan rindunya kepada Kaabah dan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi maka pada 20hb Ramadhan, 1430 bersamaan 10hb September, 2009 saya dan isteri mendarat di Jeddah dan terus ke Makkah untuk berada di sana sehingga sampai Hari Raya Puasa. Pada hari raya yang lalu kami berdua ke Madinah dan balik ke Kuala Lumpur dari Jeddah pada 26hb September, 2009.

32. Kecuali pada tahun lepas, untuk 9 tahun berturut-turut sebelumnya, saya telah berpuasa di akhir bulan Ramadhan di Mekkah dan menyambut Aidilfitri di sana. Dalam sembahyang tahajjud malam ke 27 Ramadhan saya dan berjuta-juta jema'ah mengaminkan do'a imam semoga azab yang menimpa ummat Islam di Palestine dan di tempat-tempat lain di dunia mendapat bantuan Allah s.w.t.. Saya difahamkan do'a begini telah di baca pada setiap bulan Ramadhan tetapi nasib ummat Islam di Palestine tetap menderita.

33. Oleh kerana Allah s.w.t. menjanjikan akan memakbulkan do'a UmatNya apatahlagi yang di zalimi, maka timbullah pertanyaan dalam fikiran saya tentang kemungkinan tatacara dan amalan Umat Islam, khusus pemimpin-pemimpinnya, tentu ada yang salah sehingga do'a kita sudah lama tidak berjawab.

34. Adalah penting bagi Umat Islam sedunia untuk membetulkan akhlak dan amalan masing-masing, dalam mengendalikan hidup, supaya do'a kita akan maqbul kerana ianya tidak diiringi kemungkaran. Walau bagaimana pun pandai kita menggunakan komputer tetapi mesej kita kepada sasaran tidak akan sampai jika Username dan Password sasaran tidak betul.

35. Dari 18hb November hingga 1hb Disember, 2009 baru-baru ini saya telah sekali lagi ke Makkah untuk mengerjakan ibadat haji. Kalau tak salah ingatan saya ini ialah kali ke 7 atau ke 8 saya mengerjakan ibadat haji. Cara mengerjakan ibadah Umrah tidaklah berbeza samaada saya menjadi ahli Parlimen, Timbalan Menteri, Menteri, Menteri Besar atau Presiden UIA, samaada sebagai tetamu Kerajaan atau tetamu Raja Saudi Arabia. Tawaf dan Sa'i sama saja kecuali waktu menjadi tetamu Raja, dengan adanya pegawai pengiring waktu mengerjakan Tawaf, maka mudahlah mencium Hajar Aswad.

36. Pengalaman mengerjakan ibadat haji, pada kali ini, sebagai seorang yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan, satelah dipecat dari jawatan Presiden UIA kerana enggan menjadikannya pusat penyebaran ISLAM HADHARI di seluruh dunia, sungguh berbeza. Kalau dahulu jarak perjalanan untuk melontar Jamarat tidaklah jauh kerana khemah dekat dengan Jamarat. Saya dan isteri merasa puas pada kali ini kerana terpaksa berjalan tiga batu untuk melontar. Berjalan pula dengan kawan-kawan. Tidak ada yang mencadangkan bayar dam atau membayar sebarang upah supaya tidak berat mengerjakan ibadat kerana dibuat oleh orang lain.

37. Untuk mengerjakan haji pada kali ini saya telah urus sendiri untuk mendapatkan visa daripada Kedutaan Saudi Arabia. Saya juga menempa tiket penerbangan sendiri tanpa melalui mana-mana pakej. Saya hubungi Hajjah Roz di Felda Travel untuk mengesahkan bilik 2119 di Al Safwah Orchid Hotel yang di urus oleh Felda dan saya telah terlebih dahulu membuat tempahan bilik dengan pengurusan hotel yang sudah saya kenal.

38. Untuk urusan ke Muzdalifah, Arafah dan Mina saya telah diperkenalkan oleh Haji Amir, sebagai Ketua Eksekutif, yang mengurus hotel Al Safwah kepada anggota keluarganya Hj. Harun dari RAYHAR Travel. Merekalah yang mengurus untuk ambil saya dan isteri dilapangan terbang di Jeddah.

39. Saya bernasib baik kerana diberi kesempatan oleh Haji Harun untuk bersama Menteri Belia Dato' Shabery Chik, Dato' Mohd Sharkar Shamsudin Ketua UMNO Bahagian Temerloh dan Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Pahang, Dato' Othman Yusof Wakil Rakyat Tanjung Piai Johor, Dato' Sharif Shamsudin tokoh politik Pahang yang sudah lama saya kenal yang kini menjadi tokoh korporat, dan Dato' Mohd Radzif Yunus Ketua Eksekutif Institut Jantung Negara. Mereka dan isteri mereka menjadi sahabat yang akrab kepada kami berdua. Kumpulan ini saya beri nama 'Sahabat Sesyurga' kerana seandainya kami mendapat haji yang mabrur maka syurgalah tempat di akhirat nanti. Insya Allah.

40. Pengalaman di Makkah di bulan puasa yang lalu dan pengalaman mengerjakan haji pada tahun ini telah mengenalkan saya kepada banyak kawan-kawan baru. Istimewa sekali ialah Tuan Haji Shahrir yang menjadi pengurus Food & Beverage ( Makanan dan Minuman ) dan House-keeping ( Urusan bilik ). Khidmat beliau begitu cemerlang sehingga ramai penghuni hotel-hotel berdekatan yang datang ke Al Safwah untuk makan tengahari dan malam. Menteri dari Nigeria begitu kagum dengan khimat di Al Safwah dan berjanji akan memindahkan rombongan rasmi negaranya dari hotel kelas tinggi berdekatan ke Al Safwah.

41. Samoga FELDA terus berjaya.


7 comments:

  1. Salam Tan Sri...

    Dari Felda Lembah Bilut..hinggalah ke Makkatul Mukarramah...Begitulah peranan Felda sejak ditubuhkan..itulah bayangan perjuangan khidmat demi Islam, bangsa Melayu dan Tanahair...begitu sinonim dengan dasar perjuangan UMNO...

    Nostalgia Tan Sri ini begitu "mahal" harganya untuk dihikayatkan kepada generasi zaman sekarang...kebanyakkan mereka lebih gemar merempit dan membuang masa berhibur dari memikirkan tentang masa depan Islam, bangsa Melayu dan Tanah Melayu ini..apa yg mereka inginkan hanyalah "memberontak" dan mencari perubahan baru...minda mereka begitu tertutup dari agenda nasionalisme dan cintakan Islam, bangsa dan negara...hasilnya, minda2 muda ini hampir2 berjaya di eksploiatasikan oleh Anwar untuk memihak kepada kepentingan politiknya demi menjadi PM...begitulah licik dan busuknya hati Anwar terhadap bangsanya..

    Harap Tan Sri terus bercerita...saya percaya Tan Sri punya lebih banyak nostalgia..terutamanya yang berkaitan tentang "si Kitul alaf baru" yang bernama Anwar Ibrahim" ini...

    Teruskan berjuang Tan Sri...saya sentiasa dibelakang Tan Sri...

    ReplyDelete
  2. Salam Tan Sri.

    Terimakasih kerana menyebut nama saya di perenggan ke 40. Saya terharu...semoga Tan Sri, Puan Sri dan keluarga diberikan kesihatan yang baik dan semoga Allah SWT mempertemukan kita lagi samada di KL ataupun di Mekah.
    Salam hormat dari saya.

    Mohd Shahrir Ali

    ReplyDelete
  3. Allahamdulliah, tulisan Tan Sri memberi sumber data yang jelas untuk generasi muda kita. Catatan Felda ini memang nostalgis sekali, betapa putar belit politik memang pahit. Namun Tan Sri dapat melaluinya dengan semangat perjuangan atas nilai Islamis. Catatan ini perlu didebatkan untuk perkembangan ilmu...hanya buku menjadi bukti..semoga Tan Sri meneruskan tulisan sejarah, peranan dan tokoh yang benar-benar menjalankan tugas, bukan sekadar impian, kebanggaaan dan kekuasaan di mata tokoh politik yang lain. Tahniah dan Syukur perjalanan Tan Sri kali ini ke Tanah Suci lebih alami, berjalan bersama umat yang lain....tanpa protokol politik tapi tetap mendapat kemudahaan dan jalan mudah atas izin Allah.

    Semoga Tan Sri dan Puan Seri diberi kebahagian kesihataan dan terus melangkah penuh rasa cinta atas tanggung jawab yang belum selesai untuk bangsa dan
    Agama.

    Sebelum Tan Sri berangkat ke Jakarta bolehkah kita bertemu. Adik-adik yang mengelolakan acara di Jeumpa D Ramo, ingin mendapat restu acara Syukur 60 SZI dan pelancaran 5 buku. Sayang sekali Tan Seri harus ke Jakarta. Acara kita ini akan dirasmikan oleh kerabat Aceh kita juga
    SN Dato' A Samad Said.

    Saleum bungoung jeumpa

    SZI@ Cut Nyak Fakinah

    ReplyDelete
  4. Tan Sri, kalau bercerita memang nombor satu. Felda, MAYC, UMNO ....apa pun tetap hebat kalau datang dari mulut atau pena Tan Sri. Satu Sanusi. Satu Malaysia

    ReplyDelete
  5. I asked KJ's cybertroopers to list just one good thing that he has done for the country and Umno... if you want to read the list they sent (its quite funny, the list - includes crediting KJ for our football gold medal.... crazy or what??) follow the link
    http://marahku.blogspot.com/2009/12/why-so-many-people-find-khairy.html

    ReplyDelete
  6. Alhamdulillah..
    cerita cukup mantap...
    amat banyak memberikan makna untuk generasi sekarang..

    Selamat ber-aktiviti Tan Sri
    Maju terus...

    ReplyDelete
  7. KABAR BAIK

    Saya telah berpikir bahwa semua perusahaan pinjaman online curang sampai saya bertemu dengan perusahaan pinjaman Suzan yang meminjamkan uang tanpa membayar lebih dulu.

    Nama saya Zara, saya ingin menggunakan media ini untuk memperingatkan orang-orang yang mencari pinjaman internet di Asia dan di seluruh dunia untuk berhati-hati, karena mereka menipu dan meminjamkan pinjaman palsu di internet.

    Saya ingin membagikan kesaksian saya tentang bagaimana seorang teman membawa saya ke pemberi pinjaman asli, setelah itu saya scammed oleh beberapa kreditor di internet. Saya hampir kehilangan harapan sampai saya bertemu kreditur terpercaya ini bernama perusahaan Suzan investment. Perusahaan suzan meminjamkan pinjaman tanpa jaminan sebesar 400 juta rupiah (Rp400.000.000) dalam waktu kurang dari 48 jam tanpa tekanan.

    Saya sangat terkejut dan senang menerima pinjaman saya. Saya berjanji bahwa saya akan berbagi kabar baik sehingga orang bisa mendapatkan pinjaman mudah tanpa stres. Jadi jika Anda memerlukan pinjaman, hubungi mereka melalui email: (suzaninvestment@gmail.com) Anda tidak akan kecewa mendapatkan pinjaman jika memenuhi persyaratan.

    Anda juga bisa menghubungi saya: (Zaradam@yahoo.com) jika Anda memerlukan bantuan atau informasi lebih lanjut

    ReplyDelete