Monday, December 21, 2009

MELAYU BAHASA NUSANTARA

SN A. SAMAD SAID MELANCARKAN 5 BUKU SITI ZAINON ISMAIL

1. Pada hari Ahad 20 Disember, 2009 yang baru lalu Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said telah melancarkan 5 buah buku karangan Cut Nyak Fakinah Siti Zainon Ismail sempena genapnya 60 tahun umur Siti Zainon pada 18 Disember, 2009. Nama-nama bukunya ialah: i) Pakaian Cara Melayu, ii) Bait Senandung Malam, iii) Memasuki Taman Puisi, iv) Delima Ranting Senja dan v) Aceh - Suara Dari Hujung Tambak. Majlis ini diadakan di Rumah Tamu Jeumpa D'Ramo di Bangsar, Kuala Lumpur.

2. Siti Zainon adalah seorang penulis yang gigih dan juga seorang pelukis. Setakat ini Siti Zainon sudah menulis 45 buah buku. Beliau adalah seorang dari 6 penulis yang melukis di negara ini. Selainnya ialah Latif Mohidin, A. Ghafar Ibrahim, Prof. Dr. Zakaria Ali, Ahmad Kamal Abdullah ( Kemala ) dan Datuk A. Samad Said.

3. Prof. Dr. Zakaria, A. Ghafar Ibrahim telah hadir dalam majlis kelmarin. Turut hadir ialah pelukis terkenal Syed Ahmad Jamal, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dato' Turmuzi Abdul Aziz, Pengarah Eksekutif Utusan Publications Dr Ahmad Hairi Abu Bakar, Editor Kanan Utusan Publications Puan Nor Azah Abd. Aziz. Pengerusi majlis ialah Sdr. Ismail Hahim seorang Penulis dari Akhbar Siasah dan Puan Haslina Usman, puteri Sasterawan Negara Usman Awang, mendeklamasikan sajak untuk Siti Zainon.

4. Dari seberang pula turut hadir dalam majlis pelancaran buku-buku Siti Zainon ini ialah Tan Sri Dato' Paduka Mayor Jend. (B) Abd. Rahman Ramli mantan Duta Indonesia di Amerika Syarikat dan Presiden Direktor Pertamina di Indonesia. Mayor Jend. (B) Abd. Rahman adalah antara beberapa orang tokoh atasan dalam angkatan tentera Republik Indonesia yang membantu dalam usaha menamatkan konfrantasi Soekarno terhadap Malaysia. Beliau bersama isteri, anak, cucu dan menantunya Kolonel Fadjar Prasetyo yang baru memegang jawatan Atase Angkatan Udara di Kedutaan Republik Indonesia, Kuala Lumpur telah turut menghayati diskusi buku-buku karya Siti Zainon.

5. Juga hadir dalam majlis mera'ikan Siti Zainon ini ialah Tuan Syed Umar Al Sagaf seorang usahawan terkenal dari Jakarta dan isterinya Tjut Elli, Pemimpin Wanita Aceh di Taman Iskandar Muda, Jakarta.

6. Kerana mengetahui SN Datuk A. Samad Said ialah suami Datin Rashidah Teungku Mohd Dahan dan beliau juga adalah pejuang Bahasa Melayu dan sahabat Pak Sako ( Ishak Hj. Muhammad ) dan Ahmad Boestamam ( Pengasas Parti Buruh ) maka saya telah menceritakan satu babak dalam sejarah Nusantara yang menghubungkan keluarga isterinya, sahabat-sahabatnya dan bahasa Melayu yang diperjuangkannya.

7. Satelah Jepun tewas dalam perang dunia kedua pihak Belanda telah kembali ke Indonesia untuk meneruskan penjajahannya. Pada waktu itulah Ahmad Soekarno dan Muhammad Hatta ( kemudiannya menjadi Presiden dan Wakil Presiden Republik Indonesia ) telah mengadakan pertemuan dengan Belanda di Surabaya untuk menyatakan hasrat mereka untuk memperjuangkan kemerdekaan Indonesia.

8. Pihak Belanda telah menolak permintaan Soekarno Hatta ini atas alasan rakyat Indonesia tidak mahukan kemerdekaan yang terbukti dengan cara sambutan hangat mereka menerima kembalinya Belanda sepeninggalan Jepun. Soekarno Hatta telah mendakwa bahawa penerimaan hangat rakyat Indonesia atas kepulangan Belanda itu bukanlah kerana sayang rakyat Indonesia kepada Belanda tetapi kerana benci kepada Jepun.

9. Pihak Belanda telah menayangkan filem dokumentari yang menunjukkan betapa sayangnya rakyat Indonesia yang berpeluk-cium dengan Belanda setiba mereka di lapangan terbang serata kota di kepulauan Indonesia di waktu Belanda sampai.

10. Untuk menolak dakwaan Belanda yang menyatakan semua rakyat Indonesia sayangkan mereka pihak Soekarno Hatta telah meminta Belanda menayangkan filem menunjukkan suasana apabila Belanda sampai di Aceh. Sebagai membalas hujjah Soekarno Hatta Belanda telah menyatakan kepada Soekarno Hatta bahawa mereka akan membenarkan Aceh untuk merdeka. Apabila mendengar rancangan Belanda ini maka Soekarno Hatta pun membuat keputusan untuk pergi ke Aceh. Dalam perjalanan ke Aceh mereka telah singgah di Taiping, Perak.

11. Di Taiping Soekarno dan Hatta telah berjumpa dengan Ibrahim Yaakob, Ishak Hj. Muhamad ( Pak Sako ), Burhanuddin Al Helmi ( pengasas PAS ), dan Ahmad Boestamam sebagai tokoh-tokoh politik Malaya yang berketurunan Indonesia. Kepada mereka Soekarno dan Hatta telah menyatakan rancangan penubuhan Melayu Raya iaitu satu wadah yang menyatukan alam Melayu di Nusansata yang merangkumi Selatan Thailand, Malaya, Singapura, Brunei, Mindanao, Sabah, Sarawak dan Indonesia.

12. Melayu Raya akan menyatukan Rumpun Melayu. Kerana tujuan inilah maka Bahasa Melayu telah dipilih untuk menjadi Bahasa Indonesia. Jika Indonesia itu hendak dibataskan kepada wilayah yang ada sekarang ini, dengan majoriti rakyat berbahasa Jawa, maka sudah tentu bahasa Jawa menjadi Bahasa Indonesia. Untuk mewujudkan Melayu Raya inilah maka Aceh perlu berada bersama di dalam Indonesia sehinggalah berjaya perjuangan mewujudkan Melayu Raya. Dalam perjumpaan di Taiping Soekarno dan Hatta telah berpesan kepada tokoh-tokoh PKMM ( Perubuhan Kebangsaan Melayu Malaya ) supaya terus membakar semangat kemerdekaan tetapi menolak apa-apa rancangan untuk memerdekakan Malaya secara bersendirian di luar Melayu Raya.

13. Apabila selesai perjumpaan di Taiping Soekarno dan Hatta telah berangkat dengan pesawat ke Aceh untuk bertemu dengan pemimpin Aceh, dari kalangan ulama, di Kotaraja ( kini Banda Aceh ). Mereka telah bertemu dengan Teungku Muhammad Daud Beureueh, Teungku Haji Hasballah Indrapuri, Teungku Haji Hasan Krueng Kale dan Teungku Haji Jakfar Siddiq Lamjabat untuk meminta Aceh supaya tidak berada di luar Indonesia dan menolak saranan Belanda untuk Aceh berdiri sebagai sebuah negara merdeka.

14. Oleh kerana Aceh menyokong wadah Melayu Raya atau Indonesia Raya inilah maka kini Aceh berada di dalam Indonesia. Aceh menerima baik keikhlasan Soekarno Hatta kerana menjadikan bahasa Melayu sebagai Bahasa Indonesia sebagai persiapan untuk Bahasa Melayu menjadi bahasa yang akan menyatupadukan bangsa Melayu di dalam Melayu Raya. Aceh bersetuju menjadi sebahagian dari Indonesia apabila Soekarno Hatta bersetuju, di dalam pertemuan di Kotaraja itu, untuk: i) menjadikan Indonesia sebagai sebuah negara Islam, ii) memberi hak istimewa otonomi ekonomi bagi Aceh supaya bebas berniaga dengan semua negara luar di seluruh dunia tanpa perlu izin dari Jakarta dan iii) Indonesia didirikan sebagai sebuah Negara Persekutuan dan bukan sebagai Negara Republik.

15. Kerana mungkirnya janji oleh Soekarno Hatta maka Aceh telah berperang dengan Indonesia di bawah Soekarno sehingga jatuh Soekarno dan diganti oleh Soeharto dan Aceh ( GAM ) berperang lagi dengan Indonesia sehingga datang bencana Tsunami.

( Bacalah para 7 hingga 17 dalam pos blog bertajuk MELAYU LAWAN MELAYU pada 16 Ogos, 2009 )

16. Hanya satu sahaja yang berjaya dari tujuan untuk mewujudkan Melayu atau Indonesia Raya iaitu Bahasa Melayu menjadi Bahasa Malaysia dan Bahasa Melayu juga menjadi Bahasa Indonesia walaupun dengan berbagai variasi.

17. Salah seorang dari Ulama Aceh dalam perundingan dengan Soekarno Hatta ialah Teungku Hasballah Indrapuri abang kepada Teungku Muhamad Dahan iaitu bapa kepada Datin Rashidah isteri kepada SN Datuk Samad Said. Setelah memberi fatwa bersetuju Aceh berada dalam Indonesia Teungku Hasballah Indrapuri telah jatuh sakit dan dibawa ke Pulau Pinang untuk berubat. Beliau meninggal dunia dan dikebumikan di makam keluarga di Setoi, Kampung Aceh, Yan, Kedah.

18. Selain persetujuan Aceh untuk menjadi sebahagian dari Indonesia, sebagai persiapan untuk mewujudkan Melayu Raya, sehingga Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Indonesia dan kemudiannya Bahasa Malaysia, tokoh-tokoh Aceh juga banyak memberi sumbangan kepada kemajuan Bahasa Melayu di Malaysia. Dr. Teuku Iskandar umpamanya ialah penyusun Kamus Dewan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Yang Pertama. Di zaman revolusi, di waktu raja-raja telah banyak dibunuh, Raja Siak, sebagai raja sebuah wilayah yang pernah duduk di dalam Nanggroe Aceh, telah terselamat, kerana dilindungi oleh Teungku Muhammad Daud Beureueh di rumahnya di Sigli. Anak kepada Raja Siak inilah yang bernama Tengku Tun Syed Nasir Ismail yang pernah menjadi Pengerusi Pertama Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga Speaker Dewan Rakyat Malaysia.

19. Usaha menyelaraskan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia, demi perpaduan Rumpun Melayu telah terhenti sepeninggalan Tun Syed Nasir. Kini Tan Sri Professor Emiritus Pujangga Dr. Ismail Hussein, Ketua Satu Gapena masih menjadi Wira Pejuang Bahasa Melayu. Beliau adalah abang kepada Allahyarham Dato' Ibrahim Hussein, seorang pelukis Melayu bertaraf antarabangsa, dan adek Sasterawan Negara Dato' Abdullah Hussein. Mereka berasal dari Sigli di Aceh, sebuah kawasan yang bersempadan dengan Indrapuri.

20. Di Inderapuri pula terdapat sebuah masjid yang terdiri di atas sebuah kuil Hindu. Inilah kuil Hindu yang pertama di Tenggara Asia yang telah di ubah menjadi masjid sejak Islam mula masuk ke Aceh pada sekitar lebih 1,000 tahun yang lalu.

21. Sementara keluarga Teungku Hasballah Indrapuri telah menjadikan Kampung Aceh di Yan sebagai pusat pendidikan ugama Islam mulai abad ke 19, jauh lebih awal dari itu seorang Ulama Aceh yang berasal dari Arab, pada abad ke 12 pada tahun 1136, telah mengislamkan Maharaja Derba Kedua iaitu Raja ke 4 di Kedah yang berugama Hindu yang di beri nama Sultan Muzaffar Shah setelah memeluk ugama Islam.

22. Peminat sejarah bolehlah melancong ke Indrapuri di Aceh untuk melihat sebuah masjid yang pertama terletak di atas kuil Hindu dan melawat Lembah Bujang di Kedah untuk melihat tapak candi Hindu yang pertama di Asia Tenggara ( yang kedua, dan lebih besar, Borobudur di Jogjakarta Indonesia dan yang terbesar sekali Angkor Watt di Cambodia ). Dalam perjalanan ke Lembah Bujang boleh di dapati makam Sultan Muzaffar Shah tidak jauh dari pekan Merbok.

23. Dengan hubungan sejarah yang begitu rapat dan perkembangan bahasa dan ugama yang hebat di Nusantara tidak hairanlah kenapa Siti Zainon begitu terpikat kepada Aceh, dan banyak menulis mengenainya sehingga beliau di beri gelaran Cut Nyak Fakinah pada tahun 1990 oleh mantan Gabenor Aceh selaku Ulama yang menjadi Ketua Lembaga Adat dan Kebudayaan Aceh ( LAKA ) Prof. Ali Hasymi dalam satu majlis sempena pengucapan syahadah Harry Aveling @ Hafiz Arif yang juga diberi gelaran Orang Kaya Putih. Di waktu menyampaikan gelaran Cut Nyak Fakinah kepada Siti Zainon Almarhum Prof. Ali Hasymi telah memberi tanggung-jawab dan amanah kepada Siti Zainon untuk terus menulis dan mengembangkan seni warisan Aceh.

24. Sehingga kini Cut Nyak Fakinah Siti Zainon Ismail telah menerbitkan:

24.1 Kumpulan esei dalam buku 'Percikan Seni' terbitan tahun 1986

24.2 Sketsa / Puisi dalam 'Zikir Pelangi' terbitan tahun 1997

24.3 Puisi-puisi dalam 'Geulumbang Rayuek' terbitan tahun 2005

24.4 Novel 'Delima Ranting Senja' terbitan tahun 2009

24.5 Himpunan esei, kertas-kerja, cerpen, puisi dalam 'Aceh: Suara dari Hujung Tambak' terbitan tahun 2009

25. Sama-samalah kita do'akan kehadrat Allah s.w..t. semoga Cut Nyak Fakinah Siti Zainon Ismail akan terus bertenaga dan mampu berkarya untuk ugama dan Ummah.

6 comments:

  1. Alhamdulillah. Tan Seri memerikan dengan lengkap sejarah perjuangan orang Aceh. Sikap perjuangan para ulama, cendiakawan, tokoh-tokoh yang melansungkan perjuangan menolak Belanda memang tidak dapat dihapuskan dari buku sejarah. Untuk sejarah Acheh, hanya Oang Achehlah yang menulisnya. Ini juga pesan almarhum Prof Ali Hasjmi . Cuma ,masalahnya sekarang tidak ramai pewaris pejuang itu sedar, atau sengaja melupakan sejarah nenek moyang mereka yang dulu adalah pejuang. Apa sudah jadi dengan pewaris Tengku Raja Siak? Semoga dengan perjuangan Tan Seri kembali memberi semangat kepada pewaris yang kini tertebar di seranta dunia.

    Amanah Allahyarham ayahda Prof Ali Hasymi masih belum banyak dapat saya lestarikan. Tetapi dengan sokongoan Tan Sri Dan Puan Sri Inang, InsyaAllah cita-cita mengwujudkan mini Muzium Aceh di KL wajar disegerakan. Saya merasakan rumah Jeumpa D'Ramo dapat menumpukan kegiataan Sejarah Budaya dan Ilmu dengan landasan Melayu Islam.

    Mohon waktu Tan Sri dan Puan Sri Inangda untuk dapat saya berbincang tentang isu seni budaya Aceh di Kuala Lumpur, agar menjadi pusat rujukan dan kajian , bahawa Aceh tidak lenyap begitu saja oleh bangsa sendiri yang mengabaikan sejarah budaya bangsanya.

    Insyaallah, saya sudi merancang pameran koleksi Seni Budaya Aceh...sempena Persidangan yang Tan Sri akan adakan pada bulan Mac 2010 nanti. Begitu juga kerja pemikiran ilmu dengan penulis Melayu wajar digembling di Juempa D'Ramo.

    Terima kasih sekali lagi atas tulisan dan perkhabaran tentang kegiataan saya dalam blog ini. Semoga juga Tan Sri sekeluarga beroleh berkah sesuai dengan amanah dan tanggungjawab yang direstui Allah swt. Amin dan Wassalam.

    Cut Nyak Fakinah

    ReplyDelete
  2. Sejarah yang Tansri tuliskan di artikel tersebut tidak banyak diketahui oleh ramai orang (terutamanya oleh rakyat Indonesia dan Aceh,)mungkin kerana ia tiada tertulis dalam buku-buku sejarah. Tapi semua orang patut tahu hal sebenar (peristiwa disebalik senario "Melayu Raya", kemerdekaan Indonesia, dan kemerdekaan Malaysia).

    Dengan artikel ini, saya yakin para pembaca akan mempunyai wawasan dan cara pandang baru bagaimana mereka melihat sejarah dan perjuangan ulama-ulama di Aceh dalam memperjuangkan melayu dan Islam.

    Saya yakin masih ramai lagi orang yang menantikan peristiwa-peristiwa penting lainnya yang belum pernah diungkap atau "sengaja" disembunyikan oleh pihak tertentu.

    Saya melihat cadangan Tansri dan juga cadangan Prof Siti Zainon adalah satu usaha yang perlu disokong dan diwujudkan bagi membolehkan lebih ramai lagi para penulis dan peminat sejarah dan budaya dari segala penjuru untuk memberi sumbangan dalam bidang ini.

    Terima kasih kepada Tansri kerana menulis dan menerbitkan artikel ini secara online. Juga terima kasih kepada Prof Siti yang banyak melahirkan karya mengenai Aceh.

    Wassalam.

    ReplyDelete
  3. Salam Tan Sri.
    Apa yang udah Tan Sri tulis cukup memberikan wawasan tentang perjuangan sebenarnya "melayu bahasa Nusantara" dan telah tercermin dalam tulisan ini.

    Saya telah membaca berulang kali, dan cukup berikan wawasan baru yang belum saya ketahui...

    ReplyDelete
  4. terima kasih atas secupak sijarah acheh dari Tan Sri. Sebagai bangsa dalam rumpun Melayu Raya dan setia pada satu bahasa rasmi, kini tiba masanya bagi kita sesama 'melayu raya' untuk memberikan jawapan yang tegas: apakah bangsa jawa (jawi-melayu) yang telah menipu dan menjajah acheh selama 60 tahun Indon merdeka masih bisa kita dudukkan dalam deretan bangsa-bangsa terhormat melayu raya?

    semoga Tan Sri sehat dan berkah selalu. Kami butuh banyak 'unwritten history' untuk menjayakan masa hadapan acheh yang sebenarnya seperti dimahukan orang acheh, sejarah akan memerdekakan kami! Untuk kakak Zainon,teruslah berjaya sebab kemana pergi Fakinah akan selalu sertakan diri.

    ReplyDelete
  5. Maaf jika saya harus mengatakan bahwa artikelnya yang Tan Seri tulis tidak akurat.

    Pembetulan saya terhadap artikel tersebut adalah sbb:

    1. Keputusan menggunakan Bahasa Melayu Riau sebagai Bahasa Indonesia bukan ditetapkan oleh Soekarno dan Hatta tapi ditetapkan oleh Kongres Pemuda Indonesia pada tanggal 28 Oktober 1928 yang dihadiri oleh seluruh suku bangsa yang ada di Indonesia (terkenal dengan nama "Soempah Pemoeda").

    2. Pertemuan Sukarno dengan Daud Beureuh dilakukan setelah Indonesia Merdeka (pada perang mempertahankan kemerdekaan Indonesia dari agresi militer Belanda)....jadi pertemuan tersebut tidak pada jaman penjajahan Belanda atau Jepang.

    3. Pertemuan Soekarno Hatta dengan Ibrahim Jacob dilakukan pada bulan Agustus 1945 (sebelum proklamsi Indonesia pada tanggal 17 Agustus 1945)setelah Sukarno Hatta balik dari Vietnam bertemu dengan Panglima Perang Jepang untuk Asia Tenggara guna mempersiapkan kemerdekaan Indonesia, Ibragim Jacob dkk meminta agar Tanah Melayu disatukan kedalam negara Indonesia Merdeka (Melayu Raya), tapi sayang hal ini tidak terwujud sama sekali.

    4. Candi Borobudur bukanlah Candi Hindu .. tapi Candi untuk agama Budha. Candi untuk agama Hindhu yang terkenal di Indonesia adalah Candi Prambanan.

    Tahniah untuk Tan Seri .. tulisan-tulisan lainnya saya nanti-nantikan.

    ReplyDelete
  6. Mursyidin...
    Alhamdulillah. Saya tersentuh jiwa dan merasa belum berbuat apa-apa untuk Aceh sebagaimana yang telah Tansri Sanusi dan Kak Siti Zainon buat selama, sehingga Aceh dikenal di luarnegara sebagai bangsa yang kaya budaya dan seni. Sejarah Aceh telah membuktikan dunia, bahawa Aceh merupakan sebuah bangsa yang maruah digapai dengan syariat Islam yang agung. Saya sangat berkenan hati dan siap membantu atas rancangan Tansri dan kak Siti untuk mengwujudkan mini Muzium Aceh di KL dan rumah Jeumpa D'Ramo dapat menumpukan kegiataan Sejarah Budaya dan Ilmu dengan landasan Melayu Islam.
    Saya selaku mahasiswa program doktor dibidang Sosiologi dan Antopologi Universiti Kebangsaan Malaysia, terpanggil untuk menyukseskan program tersebut, insya allah..amin..

    ReplyDelete