Monday, January 25, 2010

KDYMM TENGKU ISKANDAR DALAM KENANGAN

KDYMM SULTAN MAHMUD ISKANDAR IBNI ISMAIL AL-KHALIDI
 
SEBAGAI RAJA, SULTAN, KAWAN DAN MANUSIA BIASA

1. Saya turut menziarahi jenazah KDYMM Tengku Iskandar yang saya kenal sebagai ' a king, a sultan and a friend.'

2. Sebagai seorang 'king' atau Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dari 26 April, 1984 ke 25 April, 1989 saya, selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan mempunyai kesempatan menghadap KDYMM Tuanku untuk melaporkan atau meminta nasihat mengenai sesuatu acara sambutan. Persiapan untuk sambutan bermula lebih kurang 5 bulan sebelum 31hb Ogos setiap tahun.

3. Sayalah orang yang paling merasa gerun apabila KDYMM Tuanku ditabal menjadi Yang Di Pertuan Agung ke 8, kerana saya adalah yang paling kuat berkempen di waktu krisis perlembagaan berlaku.

4. Oleh kerana imej KDYMM Tuanku agak menakutkan maka apabila Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir memberitahu saya Yang Di Pertuan Agung menitahkan saya menghadap maka saya telah melambat-lambatkan temujanji kerana membuat persiapan mental untuk menghadapi kemarahan KDYMM Tuanku.

PERASAAN BIMBANG BERUBAH MENJADI HORMAT

5. Bila saya berdepan dengannya sebagai Raja, KDYMM Tuanku, dengan kedua tangannya di belakang, telah berjalan ke kiri dan ke kanan di depan saya, yang sedang berdiri tegak, dan secara mengejut bertanya ' engkau kata kat aku ya? ' Saya menjawab ' Ku Tuanku.' KDYMM bertanya lagi 'kenapa engkau mengata kat aku?' Saya menjawab 'kerana kita sedang berlawan Tuanku, patik dalam pasukan UMNO pimpinan Dr. Mahathir dan Tuanku di pihak raja-raja Melayu. Itu pasukan yang sedang bertentangan Tuanku. Patik mohon ampun jika itu melukakan hati Tuanku.' Tuanku berdehem dan berdiri terdiam.



6. KDYMM Tuanku telah mengulangi soalan yang sama tiga kali dan saya juga menjawab dengan jawapan yang sama sebanyak tiga kali juga. Akhirnya KDYMM Tuanku telah mendekati saya dan memegang bahu saya sambil berkata, 'kalau engkau bekerja di Istana Johor aku lantik engkau jadi panglima. You are a good team player. Awak sokong ketua awak' Pada ketika itulah saya terkejut dan perasaan takut saya berubah menjadi hormat KDYMM Tuanku.

PERSIAPAN MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN

7. Pada satu peritiwa yang lain saya telah menghadap KDYMM Tuanku dengan satu soalan yang agak 'embarassing'. Lantaran mengidap penyakit ghout saya melihat KDYMM Tuanku, secara berterusan dan tanpa henti, meminum kopi o ais dari sebuah gelas yang besar; dan saya perhatikan juga bagaimana beliau sering menghentikan perbincangan dan meninggalkan majlis kerana terlalu banyak meminum kopi o. Maka Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan terpaksa memutuskan samada KDYMM Tuanku dapat bertahan dan tidak minum dan meninggalkan majlis sepanjang hampir 3 jam acara sambutan diadakan.

8. Bila saya menghadap dan bertanya kepada KDYMM Tuanku mengenai ' Tuanku's pattern of discharging excess water, as a result of overdrinking coffee 'o'' KDYMM Tuanku menyergah 'You are interfering with my private life.' Memerhatikan KDYMM Tuanku agak berang, saya bernasib baik kerana, KDYMM Tuanku Sultanah Zanariah, yang ada bersama, telah mencelah 'Dato' Sanusi must have a reason for asking.' KDYMM Tuanku tersenyum dan bertanya 'Kenapa awak nak tahu?'

RAJA YANG BERTIMBANG RASA

9. Saya menjelaskan bahawa di dalam perarakan Hari Kebangsaan ada banyak pasukan berpakaian seragam. Pasukan ini akan melintasi pentas di Raja dan akan mengangkat tabik hormat. Jika KDYMM Tuanku tidak membalas tabik maka pasukan berpakaian seragam ini akan 'mark-time' dan berkawad di tempat sampailah tabik mereka dibalas. Apabila jawatankuasa mengetahui jangka masa yang diperlukan untuk Yang Di Pertuan Agung berangkat meninggalkan Pentas Di Raja maka, untuk jangka masa itu, dapatlah jawatankuasa mengaturkan 'brass-band' dari sekolah-sekolah untuk lintas di depan pentas dan bukan pasukan berpakaian seragam yang memerlukan tabik balas SPB Yang Di Pertuan Agong. Dengan cara itu bolehlah perarakan berjalan tanpa halangan. Mendengar penjelasan ini DYMM Tuanku tersenyum sambil berkata 'Setiap 30 minit'.

10. Itulah sebabnya pada tahun pertama KDYMM Tuanku menjadi SPB YDP Agung Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan telah menganjurkan pertandingan 'brass-band' antara sekolah untuk mengisi masa sekitar 10 minit antara jarak 30 minit, sepanjang masa perarakan yang lebih dua jam itu.

11. Pada 31 Ogos, 1984 seluruh Jawatankuasa Sambutan telah terkejut apabila SPB YDP Agong tidak tinggalkan pentas walau sekali pun kerana, mengikut KDYMM Tuanku Sultanah 'Tuanku tidak mahu menyusahkan rakyat ............ dia puasa semalaman dan tidak minum kopi o ais.' Saya kemudian diberitahu bahawa pegawai yang ditugaskan untuk memberitahu kepada saya mengenai tidak perlunya masa untuk SPB YDP Agong meninggalkan majlis telah tidak disampaikan kepada saya. Yang penting ialah kejadian ini menunjukkan betapa bertimbang-rasanya KDYMM Tuanku untuk tidak menyusahkan rakyat.

RAJA SEBAGAI MANUSIA BIASA

12. Satu kejadian lagi yang mengejutkan seluruh negara, termasuk yang melihat acara sambutan melalui TV, ialah apabila SPB YDP Agong, sebagai manusia biasa, telah terlupa dirinya sebagai raja, daan telah turun dari pentas, kerana keghairannya dan seronoknya melihat perbarisan motorsikal, di dalam perarakan, dan terus menahan sebuah motosikal untuk ditunggangnya buat seketika semasa perarakan sedang berjalan.

MEMPERTAHANKAN ADAT DAN ADAB

13. Sebagai seorang Raja yang sangat mementingkan adat istiadat Melayu KDYMM Tuanku tersangat prihatin terhadap adat dan adab. KDYMM Tuanku tidak pedulikan samada seseorang itu seorang pakar undang-undang, walau di peringkat antarabangsa sekalipun, jika beliau tidak pedulikan adat dan adab dan tidak sopan dalam hubungan dengannya sebagai Raja. Pendirian inilah yang telah menyebabkan peristiwa pemecatan hakim yang pernah berlaku dalam sejarah negara kita. Malah dengan peristiwa ini juga menjadi nyata bahawa KDYMM Tuanku mempunyai ingatan yang sungguh lama ke atas siapa jua individu dan sesuatu peristiwa yang berlaku padanya

RAJA YANG TIDAK BERGAJI

14. Saya pernah bertanya KDYMM Tuanku atas sebabnya beliau mahu menjadi Agung sedangkan Sultan Johor sebelumnya telah mengelak dari menerima jawatan ini apabila sampai gilirannya. KDYMM Tuanku telah memberitahu saya bahawa 'aku bukan mahu pangkat ..... duit pun tak perlu .... semua gaji dan elaun YDP Agong aku tak ambil .... aku derma untuk biasiswa .... ' seterusnya beliau menyebut satu ayat, yang saya masih berteka-teki maksudnya, sampai ke hari, ini iatu 'jika aku boleh tunggu bertahun-tahun untuk dapat jawatan kenapa orang lain tak boleh tunggu?' Kerana kemangkatannya maka saya tidak mempunyai kesempatan untuk bertanya erti ayat ini.

TEGAS BERTINDAK KE ATAS SESIAPA YANG AMBIL KESEMPATAN ATAS KEBAIKANNYA

15. Sebagai manusia biasa KDYMM Tuanku mempunyai kegemaran yang tidak diketahui ramai. Salah satu darinya ialah kegemarannya kepada sate yang mentah. Saya sering dipanggil ke Istana Johor di Kuala Lumpur hingga larut malam semata-mata kerana saya menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar yang bertanggung-jawab membesarkan sistem francais SATE' RIA di bawah MARA. Selalulah saya membekalkan sate dari SATE' RIA dengan menalipon Pengerusi MARA Holdings Sdn. Bhd. Encik Wan Hanafi Wan Daud untuk memastikan pembekalan ada walau pukul 12 malam sekalipun. SATE' RIA tidak pernah gagal menyampaikan tempahan. Pada satu hari, kira-kira pukul 1 pagi saya mendapat telefon menyatakan KDYMM Tuanku inginkan sate tetapi sate dari SATE' RIA sudah kehabisan. Saya pun terus ke Hotel Holiday Inn untuk mendapatkan bekalan. Malangnya sate itu telah menggangu kehazaman YDP Agong dan kira-kira pukul 5 pagi saya mendapat telefon langsung dari KDYMM Tuanku menyatakan sate' itu bukan sate' dari SATE' RIA. Saya pohon maaf dan menyatakan ianya dari sebuah hotel kerana sate' dari SATE' RIA sudah kehabisan. KDYMM Tuanku dengan suara menyindir menjawab 'Thank you for being honest. I can understand.'

16. Setelah mengenal KDYMM Tuanku begitu lama saya telah ambil kesempatan untuk bertanya mengenai beberapa kejadian yang membuat namanya disebut-sebut oleh orang-ramai dengan cara yang tidak menyedapkan pendengaran. KDYMM Tuanku menjawab 'aku baik dengan semua orang, tapi jangan pula ambil kesempatan bila akau baik. Contohnya, Dato' baik dengan saya maka semua keluarga saya juga baik dengan Dato' tetapi janganlah ambil kesempatan atas kebaikan aku itu. Jangan ganggu keluarga aku.' Bila saya bertanya lagi KDYMM Tuanku menjawab 'I have no need to explain to the press, they should know me. Aku tahu bila orang tak suka kat kita buat apa pun, beri penjelasan apa pun, orang tetap tak suka ....' Sebagai seorang yang berperanan dalam politik saya tahu dan faham maksud KDYMM Tuanku. Saya berjanji akan menulis mengenai fakta ini dan inilah saya tulis dalam blog ini.

PENGALAMAN DI PANDU OLEH KDYMM TUANKU

17. Saya adalah salah seorang yang berpeluang bersama KDYMM Tuanku sebagai penumpang dalam kereta yang di pandunya. Dalam satu lawatan saya ke Istana Johor saya telah dibawa keliling kawasan istana melihat muziumnya dan taman binatang. Di waktu melintasi jalan saya lihat KDYMM Tuanku mempunyai 'sense of humour' yang membahayakan. Bila sampai di lampu trafik KDYMM Tuanku telah berhenti bila lampu membolehkan berjalan, sebaik sahaja lampu merah KDYMM Tuanku pun tekan minyak dan kereta meloncor kedepan menyebabkan pemandu kereta lain bising menekan hon kerana tidak tahu 'yang bergurau itu ialah Sultan mereka.'

18. Waktu sampai di kebun binatang KDYMM Tuanku telah tunjuk kepada saya beberapa ekor buaya miliknya yang sedang ketiduran. KDYMM Tuanku bertanya kepada saya 'Datuk Menteri Pertanian ... apa sebab buaya tu letih dan terus tidur saja.' Saya menjawab 'tak cukup makan Tuanku.' 'Apa makanan buaya yang Tok Menteri  tahu.' 'Bangkai ayam tuanku ... . yang paling murah.'' Awak tak tahu ... buaya ini teringin nak makan daging Menteri yang banyak cakap ....' sambil paling tersenyum kepada saya.

GEMAR LAGU KERONCONG

19. Dalam perjalanan seterusnya, sambil memandu dengan penuh yakin, KDYMM Tuanku pun menyanyi sebuah lagu keroncong yang tidak begitu jelas senikatanya kepada saya. Saya komen 'Tuanku suka keroncong.' 'Favourite aku Julie Sudiro dan Yusni Hamid ...... macam mana suara aku?' Saya menjawab 'lebih baik Tuanku terus jadi Sultan sahaja dan jangan buat kerja lain.' 'Jadi tak sedaplah suara aku.' ' I did not say that Tuanku.' 'Aku pun tahu ...... aku suka kau jujur dan ikhlas ..... jangan macam Mat Bulat ... dia kata aku boleh jadi recording artis ... dia nak ampu aku....' Tidak hairanlah bila saya nampak Julie Sudiro terduduk letih di atas lantai di belakang barisan tempat duduk keluarga di Raja dalam dewan bersemayam di hari pengkebumian.

20. Peristiwa terakhir yang tinggal dalam kenangan ialah di waktu saya, isteri, Dato' Syed Hussein Al Habshee dan isterinya menjadi tetamu KDYMM Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah dalam majlis santapan tengah hari di Istana Johor. Kami yang hadir merasa agak gerun kerana di atas meja makan, di dalam cermin kaca, ada anak-anak buaya kecil yang masih hidup. Tetapi, kerana sedapnya hidangan dan isi cerita-cerita yang dikisahkan oleh KDYMM Tuanku kami pun terlupa kepada buaya di depan. Ini adalah pertemuan terakhir saya dengan KDYMM Tuanku.

21. KDYMM Tuanku Sultan Iskandar adalah seorang raja, sultan, kawan dan manusia ( a King, a Sultan, a friend and an ordinary human being ) yang akan kekal dalam kenangan manis saya dan isteri untuk selama-lamanya. Lebih-lebih lagi kerana kemangkatan KDYMM Tuanku kebetulan jatuh pada hari ulang tahun ke 38 resepsi perkahwinan saya di Panti Perwira Angkatan Laut, Djalan Prapatan No. 38, Djakarta pada 22 Januari, 1972. Semoga Allah s.w.t. menempatkan KDYMM Tuanku di samping hamba-bambaNYA yang terpilih.


27 comments:

  1. Assalamualaikum wbt Tan Sri,

    Ketika Al Marhum mengambil alih tugas sebagai Ketua Negara (YDPA), saya di Tingkatan 4, Maktab Sultan Ismail (SIC) Kota Bharu Kelantan selepas bersekolah di Sekolah Menengah Putra, Jalan Padang Katong, Kangar,Perlis selama 3 tahun.

    Al Marhum banyak mewarnai senario Raja Berperlembagaan di tanah air kita ini. Krisis perlembaagaan, krisis Raja Raja Melayu dengan Kerajaan, masalah dengan Karpal Singh, dsbnya menjadikan episod pemerintahan baginda sebagai Ketua Negara & Yg Bhg Tun Dr M sebagai Ketua Kerajaan amat menarik sekali-rakyat sentiasa ternanti nanti what will happen next dengan keupayaan Tun Dr M menyelesaikan masalah demi masalah yang pada asalnya nampak rumit.

    Ramai tentunya masih ingat Allahyarham Tok Mat sebagai Menteri Penerangan yang asyik memutarkan cerita cerita berkualiti melayu hitam putih seperti Hang Jebat dsbnya dikemuncak krisis bagaikan ingin menyampaikan pelbagai mesej.Gambar Sultan Kelantan yang memandu keluar kereta Lamborghini disiarkan dengan cara yang sedikit melampau di akhbar perdana kalau tak salah saya utusan malaysia.Bolehlah juga disimpulkan yang utusan malaysia banyak membantu memusnahkan apa apa peluang yang Umno ada di Kelantan dengan lapuran tersebut yang membuatkan rakyat Kelantan tanpa mengira parti amat marah bila Sultan Kelantan begitu mudah disensasikan oleh Utusan.

    Episod krisis tersebut akan kekal dalam lipatan sejarah dalam memperlihatkan bagaimana akhirnya Yg Bhg Tun Dr M berjaya menyelesaikan masalah yang pada mulanya nampak kusut.

    Al Marhum baginda sentiasa di geruni dengan pelbagai kisah pada mereka yang hanya mendengar dari luar namun pada yang mengenali Al Marhum baginda sebenarnya adalah seorang yang baik hati, pemurah, tak kedekut cuma baginda amat inginkan perfection kalau boleh serta amat menghargai setiap inci tanah milik jajahan Johor Darul Takzim.

    Beberapa tahun sebelum kemangkatan baginda, baginda lebih menumpukan kepada soal soal agama sejajar dengan kedudukan baginda sebagai Ketua Agama Negeri Johor Darul Takzim sepertimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada semua Raja Raja Melayu. Johor adalah satu satu Negeri yang Majlis Agamanya dengan beraninya mengistharkan Astora Jabat sebagai sesat. Memang patut pun sebab Astora Jabat kata contohnya tiada siksa kubur selepas umat Islam meninggal dan banyak lagi isu. Johor juga negeri pertama yang mengambil tindakan kepada pegawai tertingginya (Pengarah) kerana pecah amanah wang zakat RM 1 juta.

    Al Marhum juga di kenang kerana membaca doa sendiri sewaktu Majlis Penutup Musabaqah Al Quran peringkat kebangsaan yang disiarkan terus menerus di kaca TV sambil baginda sempat bergurau dengan mufti di majlis yang sama yang juga disiarkan secara langsung. Baginda dilihat sebagai Sultan yang amat sporting dan hands-on sejak siaran langsung berkenaan dan makin di fahami oleh seluruh rakyat Malaysia yang baginda sebenarnya amat baik hati dan ramah orangnya bak kata pepatah melayu, tak kenal maka tak cinta.

    Kepulangan Al Marhum ke Rahmahtullah pada waktu Maghrib hari jumaat yang lepas akan meninggalkan jutaan kenangan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

    Semoga roh baginda dicucuri Rahmat dan di tempatkan bersama orang orang yang beriman dan InsyaAllah segala dosa dosa baginda sekiranya ada, di ampunkan oleh Allah swt serta mendapat Syafaat sewajarnya daripada Nabi Muhammad s.a.w. nanti,InsyaAllah.

    9 Safar 1431 Hijrah, Isnin 935 mlm (25/1/10)
    drsyediskandarislamicbankingfinance.blogspot.com atau
    isikcorpadv@gmail.com

    ReplyDelete
  2. Assalamualikum Tan Sri,
    Semuga di beri Allah kesihatan dan kesejahteraan bersama keluarga.
    Sangat menarik dan tersentuh hati persahabatan Tan Sri dan Almarhum Tuanku,Mungkin ada lagi peristiwa dan kenangan manis yang tersimpan dan kalaulah ianya patut dibukukan,saya rasa ianya sangatlah baik kalau dibukukan , supaya ianya menjadi satu kenangan dan sejarah untuk rakyat- mengenai kewibawaan Raja sebagai Sultan yang dipertanggungjawabkan menjaga peradaban bangsa dan negara.
    Sultan Iskandar mempunyai banyak kelainan jika dibandingkan dengan KDYMM yang lain ,Kalaulah sekiranya ada penulisan mengenai Institusi Raja dan peranan yang dimainkan dan hubungan antara rakyat dan raja akan lebih saling faham memahami, dan mungkin takkan ujud perkara seprti tidak hormat menghormati ,seperti yang berlaku sejak kebelakangn ini.
    Raja yang bertindak mengikut undang-undang dan hukum pun masih dipertikai olih undang-undang seperti mana yang berlaku di Perak.
    Saya sangat mengharapkan sebuah buku yang menceritakan peranan Raja dan rakyat dan kerajaan yang dipilih rakyat mengatasi kemelut dan rintangan kalau bolih sejak sebelum merdeka sehinggalah ke peringkat mengisi kemerdekaan dan pencapaian setelah lebih lima puluh tahun , Merdeka.
    Kita masih banyak kekurangan pelbagai buku atau selain dari buku perkara yang bolih menyambung perjuangan untuk jati diri sebagai bangsa yang berdaulat dibumi Allah ini yang bernama Malaysia.
    Maaflah kerana sedikit panjang untuk menyampaikan hasrat saya kepada Tan Sri, kerana TanSri berupaya untuk menyampaikan dan melebarkan yang sedikit ini untuk kebaikan bangsa kita supaya lebih dihormati ,kerana jati diri , dan sayangkan bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung .
    Bersama kita berdoa semuga roh Almarhum Tuanku dan para pejuang yang lain seperti hari ini satu lagi telah pulang ke Rahmatullah iaitu Tun Ghazali Shafie,Semuga roh mereka ditempatkan dikalangan hambanya yang beriman , amin. Sekian Salam hormat dan kasih sayang dari saya .

    ReplyDelete
  3. Wahai Anonymous.

    Erti anonymous itu ialah takut

    ReplyDelete
  4. Salam Tan Sri,

    Terima kasih banyak kerana menulis kisah ini. Tersintuh juga hati membacanya.

    Rakyat ataupun sekurang-kurangnya saya sendiri menanti pula kisah yang mungkin diceritakan oleh Tun Dr Mahathir yang pastinya menarik untuk pengetahuan ramai mengenai hubungan mereka berdua.

    Mengenai kenyataan 'jika aku boleh tunggu bertahun-tahun untuk dapat jawatan kenapa orang lain tak boleh tunggu?' mungkin baginda maksudkan kepada Tun Musa Hitam yang ingin segera menjadi Perdana Menteri..entahlah..

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum wbt Tan Sri,

    Sesuai dengan menjadi jenama satay kegemaran Al Marhum, jenama Sate Ria hasil usaha Yg Bhg Tun Dr M bersama Tan Sri adalah satu jenama yang amat memberi impact ketika itu seolah olah sama seperti KFC dll.

    Outlet yang saya dan kawan kawan gemar kunjungi ialah di Jalan Tuanku Abdul Rahman berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Perak tak jauh dari padang kelab selangor yang sekarang dikenali dengan dataran merdeka.

    pada tahun 1985 saya di UIA PJ dibawah biasiswa kementerian pelajaran mengikuti matrikulasi undang udang selama setahun dan kemudiannya mendapat biasiswa JPA untuk menyambung ke peringkat sarjana muda undang undang dengan kepujian dari tahun 1986 hingga 1990. Wang biasiswa Kementerian Pelajaran /JPA dimasukkan di Ibupejabat Bank Islam di Jalan Raja Laut tak jauh dari outlet Sate Ria tersebut dan semua pelajar terpaksa berbaris panjang hingga ke luar bangunan bank bila hari biasiswa di masukkan dengan membawa buku simpanan masing masing disebabkan ketika itu mesin ATM masih belum meluas dan popular seperti hari ini.

    Para pelajar akan membeli buku buku di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Akta Akta Parlimen di kedai ILBS berhampiran Masjid India (ketika itu) dan seterusnya selepas Solat berulang kali di Masjid India & Masjid Jamek bila tiba masa makan selain daripada makan di persekitaran masjid India, juga restoran Bilal, Sate Ria juga menjadi pilihan.

    Iklan sate Ria yang meluas di kaca tv membuatkan jenama berkenaan menjadi seolah olah jenama antarabangsa.

    Kalau tak silap saya , jenama berkenaan di ambil alih oleh seorang ahli korporat yang kemudiannya bertindak menutup satu demi satu outlet Sate Ria kerana syarikat ahli korporat berkenaan sendiri juga mempunyai beberapa jenama restoran makanan segera yang berbeza. (betulkan saya sekiranya fakta ini tidak betul)

    Adalah amat wajar di hidupkan kembali jenama Sate Ria ini dan kalau tak salah saya ianya sepatutnya di buka di sebuah stesen petronas selepas Eidul Fitri tahun lepas namun hingga kini masih lagi belum menjadi realiti. Sekiranya ada di outlet lain yang telah di buka semula mungkin saya yang ignorance tak dapat updated info, maafkan saya,

    Selepas ini amat wajar sekali Sate Ria di miliki penuh oleh kerajaan dan/atau milik penuh ribuan peniaga bumiputra serta di perkembangkan ke serata dunia dengan menggunakan pengaruh kerajaan sepenuhnya.

    Dengan keyakinan ianya Halal mana mana umat Islam di mana mana negara tidak akan ragu ragu mencuba satay Ria Malaysia dengan syarat perlaburan di semua bidang berkaitan termasuk iklan meluas dibuat di semua negara yang Sate Ria beroperasi nanti.

    InsyaAllah dengan kerjasama penuh kerajaan hari ini, gandingan Yg Bhg Tun Dr M & Tan Sri amat sesuai untuk menghidupkan kembali secara agresif jenama Sate Ria ini, InsyaAllah.

    10 Safar 1431 Hijrah,(26/1/10)
    drsyediskandarislamicbankingfinance.blogspot.com atau
    isikcorpadv@gmail.com

    ReplyDelete
  6. Assamualaikum Tan Sri, didoakan Tan Sri dan keluarga dalam pemliharaan Allah di dunia dan akhirat.

    Izinkan saya membuat sedikit komen berhubung catatan Tan Sri atas posting di atas. Bagi saya ianya menarik dan mendedahkan beberapa perkara hal dalaman Tan Sri sendiri dan juga Almarhum Sultan Johor.

    Mungkin kalau Almaruh belum dijemput Allah pulang keribaan-Nya, hal-hal dalaman, berbentuk personal yang wajar diketahui umum tidak akan terungkap lagi.

    Begitulah lumrah hidup ini, kebenaran akan menjelam pada akhir titik. Dan jasa seseorang itu akan dikenang selepas ia bersara. Kehebatannya dirasai selepas ia tidak ada atau sudah tidak berkuasa.

    Sesuatu yang sulit yang tidak mempunyai ruang untuk dicoretkan akan tercoret selepas seseorang itu tiada.

    Dari apa yang dicatat Tan Sri - kenangan bersama Tuanku ia sungguh mengejutkan. Bahawa selama ini orang tidak tahu yang Tan Sri baik dan mesra dengan Tuanku. Sampai boleh kirim sate, melawat zoo, tengok buaya dan dan bergurau penuh diplomasi dan beradat dengan Tuanku.

    Dalam pada itu juga dari cerita Tan Sri menyerlahkan akan ayunan kesantunan budi Tuanku sebagai seorang sultan. Misalnya dia tidak ambil elaun sebagai YDP dan diberikan kepada pelajar sebabagi biasiswa.

    Baginda juga tidak berprotokol sehinggakan menjadi 'driver' kepada Tan Sri. Sebenarnya perangai dan sifat raja seperti inilah maka baginda disenangi oleh rakyat.

    Rakyat tidak mahu raja yang mementingkan diri dan menjunjung kebesarannya sampai rakyat di bawah tidak makan pun tidak diketahui.

    Saya juga merasa kagum kepada Tan Sri kerana dalam kesempatan baik dengan Tuanku, tidak diambil kesempatan. Mungkin kerana itulah kata Tuanku, "aku mahukan kau ikhas dan jujur", sehinggakan mahu dilantik Tan Sri menjadi panglima. Perhubungan rapat antara Tan Sri itu juga terjalin disebabkan sikap jujur dan iklhas Tan Sri. Mungkin rahsia ini Tan Sri sendiri tidak menyedarinya.

    Dan harapnya, Tan Sri catatlah kenangan atau belasungkawa dengan Tuanku kerana catatan di atas tidak dapat menghauskan cacatan nostalgia demikian. Saya menunggu. Salam.

    Wangsa Melawati,
    26 Januari 2010.

    ReplyDelete
  7. assalammualaikum wbt tan sri..

    saye hanye mampu senyum dan terkesima membaca kisah sultan yang saye kasihi..

    semoga roh almarhum dicucuri rahmat.. al-fatihah

    ReplyDelete
  8. Assalammualaikum W.b.t Tan Sri,

    Terima kasih kerana berkongsi cerita ini dengan seluruh Rakyat Malaysia. Saya selaku rakyat Johor amat sgt la berbangga kerana mempunyai seorang Raja yang sebegitu rupa. Semoga roh Almarhum ditempatkan bersama-sama orang2 yang dirahmati ALLAH S.W.T. Amin.

    ReplyDelete
  9. Salam Tan Sri.
    Saya seronok membaca cerita Tan Sri termasuklah yang baru disiarkan di akhbar pada minggu lepas. Banyak pengajaran yang dapat kami timba daripada pengalaman2 Tan Sri. Keep on writing Tan Sri....

    Shahrir Ali

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum wbt Tan Sri,

    Beberapa info mengenai sate ria yang di e mailkan kepada saya oleh pembaca blog Tan Sri:-

    1) Sate Ria yang rebrand ini masih lagi menunggu kelulusan Pendaftar Franchise

    2) terdapat website sateria.com.my tetapi setakat ini hanya mempamirkan logo sate ria.

    3) Sate Ria rebrand pernah mengambil bahagian dlm satu franschise trade exhibition pada 2008 di pwtc. Terdapat komen yang menyatakan sate sewaktu exhibition tersebut adalah sate frozen yang rasanya tidak sama dengan jenama asal sate ria.


    Sekadar cadangan semua IPTA & IPTS boleh membuka kiosk yang di kendalikan oleh pelajar dan setiap institusi boleh mempunyai sekurang kurangnya 8 kiosk yang memberi faedah secara langsung kepada pelajar berkenaan.

    Kantin Kantin sekolah yang terpilih juga boleh mempunyai kiosk.

    Setiap negeri berhampiran dengan lokasi strategik restoran makanan segera yang lain sekurang sekurangnya di setiap bangunan pasaraya utama di setiap negeri boleh di buka sate ria.

    Di luar negara, selain dari negara negara ASEAN boleh juga di buka dimana pelajar & pelancong dari Malaysia suka berkunjung bagi menjamin sekurang kurangnya dah ada customer tetap bila mula di buka.

    Tapi apa pun rasa satay original perlu di kekalkan, rasa kuah original perlu di kekalkan disambing timun bawang merah serta ketupat nasi bukannya nasi impit dalam plastik segera yang boleh akibatkan barah bila plastik direbus.(isu barah ni sila rujuk utusan pengguna pulau pinang tahun lepas--keluaran bulan berapa saya tak ingat)

    Apa pun selamat maju jaya Sate Ria yang berpontensi menjadi kebangaan rakyat Malaysia di mata dunia disamping itu amat perlu khidmat nasihat pelopor asal Yg Bhg Tun Dr M & Tan Sri sendiri dalam memajukan lagi jenama yang penuh sentimental value ini,InsyaAllah.

    11 Safar 1431 Hijrah (27/1/10)

    ReplyDelete
  11. Salam TS,
    Mohon bukukan pengalaman-memoir TS.
    Saya nmasih simpan kaset ucapan TS di PWTC masa Anwar lawan Tun GB.
    Masih terngiang-ngiang ucapan TS itu yang dibukukan-Bukunya pun saya ada.

    Moga Allah limpahkan rahmatNya kepada
    AlMarhum dan semua AlMarhum Raja-raja Melayu yang mendahului kita.
    Masih terbayang almarhum Sultan Selangor yang sangat friendly dengan media.

    Salam.

    ReplyDelete
  12. Assalamualaikum tan sri

    Membaca penceritaan Tan Sri seperti melihat kembali kanvas kenangan yang dilalui oleh Tan Sri. Bukan itu sahaja, kanvas yang menyelitkan warna-warna yang memancarkan pelbagai pengertian dan makna. Makna yang perlu difahami dari segala situasi dan peristiwa yang berlaku. Makna persahabatan, kesetiaan, tanggungjawab, tugas, kemanusiaan dan segala macam lagi.

    Saya memohon maaf jika cadangan ini keterlaluan dan berbeza dari topik dibicarakan. Apa yang saya lihat dan rasai adalah coretan Tan Sri mengandungi gumpalan makna yang boleh membuka mata fikir dan mata hati pembaca. Apalah kiranya Tan Sri menulis segala peristiwa yang Tan Sri lalui dalam politik yang bukan bersifat penceritaan biasa tetapi mengandungi insight yang dapat membuka akal dan hati khususnya ahli UMNO.

    Ia bukan buku politik biasa yang ada tetapi sebuah pengisahan suka duka pahit manis dan tawa hiba dalam rencah perjuangan Tan Sri. Ia dapat membangkitkan semangat dan membugar harapan kepada ahli UMNO. Saya yakin Tan Sri dapat melakukannya kerana kebaijaksanaan penceritaan dan kesantaian bahasa yang Tan Sri ada.

    Dan buku seperti ini dijadi bahan bacaan pada perhimpunan Agung UMNO. Saya percaya UMNO memerlukan banyak pendedahan dan pengisahan yang dapat membangkitkan semangat dan daya juang. Pengisahan yang memberi insight, inspirasi, dan kematangan.

    Semoga Allah memberikan Tan Sri kekuatan itu. Terima kasih.

    ReplyDelete
  13. Assalamualaikum Tan Sri,

    Terima kasih kerana berkongsi kisah-kisah dan pengalaman menarik Tan Sri di sini..

    Keep on blogging Tan Sri..:)

    Salams,
    Friend of Manda;)

    ReplyDelete
  14. Tan Sri,

    Pasti ramai yang sangat ingin mengetahui kisah ini. Saya sudah maklumkan kepada semua rakan twitter dan FB.

    Semuga kisah ini akan memberi pengajaran kepada kita yang masih hidup ini. Yang baik jadi pengajaran yang kurang baik jadikan sempadan ..kita semua kan insan biasa yang tak lari dari kelemahan.

    ReplyDelete
  15. salam tan sri. saya memohon jasa baik tan sri memujuk tun dr mahathir menceritakan kisah beliau dengan allahyarham. ramai orang menyatakan tun tidak baik dengan institusi raja, tapi rakyat johor tahu betapa akrabnya Allahyarham dengan tun dr mahathir. mungkin menarik untuk dikenang bagaimana orang yang berseteru sehinggakan boleh menjadi sahabat yang baik. bagaimana Allahyarham mempertahankan tun dr mahathir semasa sambutan UMNO d istana johor yang lepas membuktikan akrabnya walaupun krisis dengan pihak istana pada masa lampau

    ReplyDelete
  16. terima kasih atas beberapa memori bersama almarhum sultan johor...ini menunjukan bahawa TS mmg seorang yg amat kuat ingatanya...tapi lagi best kalau dpt mendengar ucapan TS....

    ReplyDelete
  17. Tahniah Tan Sri,

    Penceritaan yang dulunya kami dengar terus dari Tan Sri kini telah ditulis dalam blog ini.

    Inilah pengkisahan yang tidak dpt dr buku di kedai.

    Salam

    yangtahutotalkgbukudunia

    ReplyDelete
  18. Salam Ayah,

    One of the selected stories I would love to read over and over again.

    With love from Manchester,
    Allya, Shazlan, Aiman and Sarah

    ReplyDelete
  19. Assalamualikum Tan Sri,

    1. Your brief historical remark on the late Almarhum Sultan Iskandar is very fascinating. It will be interesting if you are able to accomodate more stories with regards to the late sultan in yor next writing.

    2. Your story about Sate Ria catches my attention. I'm not sure whether you remember, my late father Allahyarham Abu Bakar Mohamad was the MARA officer assigned to start up the sate Ria project, as Project manager way back in 1981. He was loaned to Pengurusan Kumpulan Mara Sdn Bhd (PKMSB) from Mara Hq. Prior to the openning of the 1st outlet, I recalled that he came home not earlier than 1am everyday, and sometimes he will bring back samples of sate for us. He passed away in 1985, but during his tenure at Sate Ria, four outlets were openned and Sate Ria was on the verge of openning an outlet in Singapore.

    Sate Ria seems very close to me, because my late father used to bring me along in his visit to outlets and the the central kitchen at taman melawati. Sadly, in the early 90's I saw the demise of Sate Ria.

    I still have some of the early project papers that was left by my late father. Some years back, I even contemplated to embark on reviving sate ria, but to no avail. I believe Sate Ria is a viable project, then and now, only if it is managed by people who believes in its concept and not only Ringgit and Sen.

    Regards

    ReplyDelete
  20. Salam sejahtera Tan Sri,

    Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman mengenai Al Marhum Tuanku.


    Salam hormat,

    www.darahtuah.wordpress.com

    ReplyDelete
  21. Assalamualaikum Tan Sri, semoga sihat sejahtera dirahmati ALLAH selalu. Saya merupakan rakyat Johor, berasal dari Johor Bahru tetapi menetap dan bertugas di Putrajaya, saya amat tersentuh dan terhibur membaca 'posting' ini. Abah saya juga terhibur, tersenyum, dan kdg kala menitiskan airmata ketika membaca posting tan sri. Org tua saya sebelum pencen sering juga berurusan dgn Almarhum Tuanku di Istana Bukit Serene juga menceritakan kisah2 suka duka, gembira, gerun, melucukan tentang Almarhum sepanjang menjadi sultan seperti yg Tan Sri kongsikan. Saya juga pernah beberapa kali mengikuti Abah saya waktu remaja ke istana untuk majlis tertutup atau membaca yassin bersama2 Almarhum setiap malam jumaat, hanya satu perkataan yg saya tak bole luput dlm ingatan sehingga ke hari ini diungkap oleh Almarhum adalah "Engkau mesti lebih rendah daripada rumput!" ketika itu Almarhum menujukan kpd anakandanya Tunku Mahkota supaya jgn sekali2 lupa merendah diri dan seperti ditujukan kepada tetamu dan org2 disekelilingnya yg ada pd ketika itu.. Byk lagi kisah yg menarik saya simpan sbg kenangan abadi.. yg pastinya saya belum pernah saya dan Abah saya menitiskan airmata utk berminggu lamanya.. kerana pd kami Almarhum peribadinya sudah seperti seorang Bapa kepda seorang anak..dgn siapa pun Almarhum mesti ucap selamat.. semoga dicucri rahmat hendaknya, dan keluarga dirahmati Insyallah..Al-Fatihah..

    ReplyDelete
  22. assalamualaikum w.b.t
    Yg BerBahagia Tan Sri....saya anak kelahiran Johor sudah tentu sudah biasa dengan cerita2 tentang Almarhum sultan Iskandar tika hayat pemerintahannya...banyak lah cerita2 yang sedap didengar dan tak kurang yang buruk mengenai baginda juga keluarga baginda.....mendengar cerita Tan Sri sedikit sebanyak saya dapat mengenali baginda almarhum sultan Iskandar...saya mempunyai satu soalan...diharap Tan Sri sedikit sebanyak dapat membantu....
    Didalam Satu Website Freemason tempatan ada menyatakan bahwa Sultan Johor (Sebelum Sultan Iskandar) merupakan ahli Freemaso? Benarkah....? erm saya cuma bertanya....diharap pertanyaan saya ini ada jawapannya....???

    ReplyDelete
  23. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.. adapun kita mengucap jua terima kasih kesudian TS bercerita akan paduka almarhum.. dengan nama Allah jualah kita bermohon sekira-kira dengan rahmatnya.. cucurilah roh almarhum paduka itu dengan sebesar-besar rahmat.. kurnia jualah ar-rahman dan ar-rahim atas baginda.. adapun perihal kelaku baginda itu tiadalah pelik bagi kita.. kiranya sudah menjadi darah daging.. Cuma bagi kita.. ada perkara yang baginda perbuat itu ada hikmah yang tersembunyi.. hakikat yang mana diketahui bagi yang mengenalnya.. bagi yang tidak sudahlah melihatnya sebagai cela.. maha suci allah yang mengurnia barang yang ia kehendaki..
    Bagi kita yang masih hidup dan masih berjuang di atas muka bumi Allah ini.. pelajarilah dan ambillah yang mana molek.. yang cela itu dijadi sempadan dan janganlah diikut.. pada hemat kita.. apapun yang cela berhubung paduka almarhum itu tiadalah perlu dizahir.. perkara yang sudah maka sudahlah.. redha dan ampunkanlah yang mana patut..

    wassalam

    AB

    ReplyDelete
  24. Wan hanafi pernah jadi librarian kat perpustakaan Tan Sri kah?

    ReplyDelete
  25. ALFATIHAH
    SULTAN MAHMOOD ISKANDAR
    KING OF THE SEA

    ReplyDelete