Sunday, January 24, 2010

MANUSIA KALAHKAN MONYET PANJAT POKOK KELAPA

KEMPEN MINUM AIR KELAPA MUDA

PENJELASAN KEMENTERIAN KEPADA SAHABAT ALAM MALAYSIA

1. Saya baru terima potongan akhbar The Star bertarikh 17 Disember, 2009. Pada muka N57 ada gambar monyet dan 4 biji buah kelapa di pohon. Beritanya, dalam bahasa Inggeris, mengandungi penjelasan kepada S. M. Idris dari Sahabat Alam Malaysia ( SAM ) ke atas suratnya bertarikh 16 Disember atas tajuk 'Monkeys are not pets.'

2. Dalam penjelasan itu Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Encik Yamuna Perimalu telah menyatakan bahawa haiwan yang dilindungi perlu mendapat lesen untuk membolehkannya di pelihara sebagai pet atau untuk kerja-kerja tertentu, seperti monyet memanjat pokok kelapa.

PERTANDINGAN MEMANJAT POKOK KELAPA PERINGKAT ANTARABANGSA

3. Potongan akhbar yang dikirim kepada saya itu membuat saya terimbas kembali kepada waktu saya menjadi Menteri Pertanian ( dari 10-05-1986  ke 05-1995 ) dan berjayanya program pertandingan memanjat pokok kelapa peringkat antarabangsa yang diadakan di dataran Lang Langkawi. Banyak negara telah mengambil bahagian dalam acara ini termasuk Amerika Syarikat yang pesertanya datang dari Hawai.


TUKANG GUNTING JOHAN KEBANGSAAN

4. Pertandingan memanjat pokok kelapa ini adalah peringkat kedua berikutan peringkat pertama yang diadakan di peringkat kebangsaan. Pemenang di peringkat kebangsaan ialah seorang tukang gunting dari Perak ( kalau betul ingatan saya dia adalah dari Sitiawan ) yang menjadikan hobinya untuk memanjat pokok kelapa, yang ada di tepi kedainya, setiap kali dia selesai menggunting rambut seorang pelanggan.

5. Pemenang pertandingan peringkat antarabangsa pula ialah pemanjat dari Sri Langka. Di peringkat akhir pertandingan satu acara telah diadakan antara pemenang manusia dari Sri Langka dengan seekor monyet dari Selatan Thailand yang dipilih khas kerana kehandalannya memanjat pokok kelapa.

MANUSIA MENGALAHKAN MONYET

6. Memang benar kehandalan monyet ini terbukti apabila saja wisel ditiup oleh pengadil dan perlombaan dimulakan. Dengan pantas sang monyet mendahului manusia. Para hadirin telah begitu kagum dan seronok melihat pertandingan ini sehingga mereka terjerit-jerit memanggil nama monyet tadi dan terus bertepuk menggalakkan money memanjat pokok dengan lebih cepat lagi. Apabila terdengar jeritan namanya monyet itu pun berhenti sekejap dan melihat ke bawah pokok sambil melambai-lambai tangannya kepada penyokong-penyokong di bawah. Bila monyet selesai melambai tiba-tiba dilihatnya si pemanjat dari Sri Langka telah memotongnya dan memenangi perlombaan. Monyet juga bertepuk gembira atas kemenangan pemanjat manusia yang mengalahkannya.

7. Ada pemerhati yang berkata bahawa monyet kalah kerana berbudi bahasa dan ada pula yang mendakwa bahawa monyet hilang fokus, kerana melambai-lambai tangan kepada peminat dan penyokongnya, sehingga dikalahkan oleh manusia. Yang penting bagi penganjur pertandingan ialah keputusan pertandingan di mana manusia telah mengalahkan monyet.

PERTANDINGAN BERJAYA MEMATAHKAN KRITIKAN

8. Pertandingan peringkat antarabangsa ini telah diadakan untuk mematahkan kritik terhadap pertandingan peringkat kebangsaan yang dikatakan oleh pengkritik sebagai program yang aneh kerana Menteri sudah ketandusan idea. Memang kebiasaan bagi sesuatu yang baru itu tidak difahami oleh orang-ramai dan dipandang rendah, lebih-lebih lagi jika dibuat oleh bangsa sendiri. Tetapi apabila orang asing, apatahlagi pihak Amerika Syarikat, turut menyambut program ini maka ianya dipandang betul dan benar. Sebenarnya yang penting ialah sebab musabab program ini dianjurkan.

HAJI MAN BACHOK MENCABAR MENTERI

9. Semuanya bermula dalam satu ceramah yang saya sampaikan dalam satu perjumpaan, sebelum pilihanraya ke 7 pada 3 Ogos, 1986, kurang 3 hari genap 3 bulan saya dilantik menjadi Menteri Pertanian. Ucapannya di Bachok, Kelantan di satu kawasan yang paling banyak pokok kelapa. Hj. Abdul Rahman yang lebih terkenal dengan nama Haji Man Bachok adalah seorang yang terkenal dengan caranya yang suka mencelah di waktu sesuatu ceramah atau ucapan sedang disampaikan. Waktu saya sedang berucap tiba-tiba Hj. Man telah bangun sambil mengangkat tangan. Saya diberitahu oleh pengerusi majlis bahawa ini Hj. Man dan soalannya, walau pun diketengahkan tanpa mengikut peraturan, perlulah dijawab untuk mengamankan suasana majlis. Hj. Man bertanya saya dengan nada yang tinggi dan keras ' Bilakah harga kelapa akan naik. Ambo nak dengar dari mulut Menteri sendiri. Kalau tak akan naik ambo nak pangkah PAS, kalau akan naik pula ambo nak tahu bila masanya. Kalau tak naik jugo ambo minta Menteri letak jawatan dan jangan datang lagi ke Bachok ini.' Sebagai persiapan untuk pilihanraya, yang sudah hampir, saya terus menjawab ' Insya Allah akan naik. Berilah saya sedikit masa.' Tuan Hj. Man pun mengangguk, dan berjanji akan pangkah Barisan Nasional, sambil berjalan keluar dari majlis.

10. Baik selesai saya berucap pegawai kanan pertanian pun memberitahu saya bahawa saya sudah membuat satu kesilapan yang besar kerana mulai tahun hadapan subsidi untuk kelapa akan dihapuskan kerana kelapa telah diklasifikasikan oleh Bank Dunia sebagai 'sunset crop' atau 'hasil senja' iaitu masa depan bagi kelapa sudah tidak ada lagi. Semua kebun kelapa di dunia akan ditanam semula dengan pokok kelapa sawit atau koko. Saya pun tersenyum sedih dan sayu memikirkan tidak akan berjumpa lagi dengan Hj. Man. Sebenarnyalah saya memang tidak berjumpa lagi dengan Hj. Man Bachok sejak tahun 1985 hingga beliau meninggal dunia pada 14 Jun, 2007.

11. Saya difahamkan bahawa Bank Dunia telah mengambil sikap pesimis terhadap kelapa kerana di masa lampau minyak kelapa sebagai minyak yang digunakan untuk memasak tidak ada saingan dengan minyak kelapa sawit. Dengan adanya minyak kelapa sawit maka penggunaan minyak kelapa telah begitu menurun kerana kandungan kolesterolnya yang begitu tinggi, sehingga ianya tidak ekonomik lagi. Memanglah minyak kelapa juga digunakan untuk membuat sabun dan lain-lain tetapinya ianya sudah ada saingan dan tidak ekonomik lagi.

PAK MAT DERANI DALAM INGATAN

12. Dalam pengalaman saya berceramah, bersyarah atau berpidato saya mengetahui ada seorang lagi sahaja yang gemar mengganggu dengan mencelah sesiapa saja yang bercakap di dalam majlis, untuk bertanya soalan sebelum ucapan selesai. Seorang lagi itu ialah kawan saya dalam UMNO arwah Pak Mat Derani dari Kampung Penarak Langkawi.

13. Saya teringat dalam satu majlis penerangan oleh Dato' Adib Adam selaku Menteri Penerangan dalam lawatannya ke Langkawi Pak Mat Derani telah bangun mencelah dan bertanya pada Dato' Adib ' apa dia makna perkataan 'peka' yang Yang Berhormat pakai tu. Saya orang kampung dan tak faham ertinya'. Dato Adib menjawab ' Peka itu ertinya sensitif'. Pak Man pun menjawab balik dengan lantang ' OK lah.' Lepas majlis saya bertanya kepada Pak Mat Derani samada beliau faham erti 'sensitif' yang Menteri katakan sama dengan ertinya 'peka'. Jawab Pak Mat, 'manalah aku tahu? Yang penting bagi aku Menteri tu tahu erti kedua-dua perkataan. Kadangkala Menteri pun tak tahu apa yang dia kata. Dia cuma baca yang pegawai tulis' jawab Pak Mat Derani.

KEPERCAYAAN SEORANG ISTERI


14. Sekembalinya saya dari Bacok saya telah menceritakan kepada isteri saya mengenai soalan Hj. Man Bacok, jawapan saya dan teguran pegawai berlandaskan keputusan Bank Dunia yang meletakkan kelapa sebagai tanaman yang tidak mempunyai masa depan. Isteri saya tersenyum saja, dan sebagaimana biasa, memberi kepercayaan bahawa saya akan bertemu dengan penyelesaiannya nanti.

15. Keesokan harinya, pada pagi Ahad saya bersama keluarga telah pergi ke pasar tani Syah Alam. Tiba-tiba isteri saya telah meminta anak saya panggil saya kerana beliau ingin menunjuk adanya dua biji kelapa di atas meja dengan tanda harga yang berlainan. Kelapa muda berharga RM1 dan kelapa tua berharga 40 sen. ( Begitulah bandingan harga walau pun mungkin tidak tepat angkanya ). Saya pun bertanya kepada penjual kelapa itu atas sebab perbezaan harga. Beliau menjawab kelapa muda kena panjat pokok baru dapat tetapi kelapa tua tidak perlu upah panjat kerana buah tua ( sebagaimana juga dalam politik ) boleh tunggu sampai jatuh, kerana bila jatuh tidak pecah. Buah muda kalau dikait jatuh akan pecah. Perlu kepada pemanjat untuk ambil kelapa muda.

16. Saya agak terkejut dengan harga kelapa muda yang lebih tinggi dari kelapa tua kerana ada prejudis orang Melayu terhadap air kelapa muda kerana kesannya yang melemahkan tenaga. Ternyata di sini harga kelapa muda lebih mahal dari kelapa tua.

17. Pada waktu inilah terlintas di fikiran saya satu soalan ' jika harga kelapa muda lebih mahal dari harga kelapa tua kenapa tunggu hingga kelapa sudah tua, dan harga sudah menurun, baru hendak dijual; tidakkah lebih baik jika dijual kelapa waktu harganya masih mahal. Bukankah sebelum tua kelapa itu muda dulu dan sebelum murah kelapa itu mahal dahulu.

SUSAH DAPAT KELAPA MUDA

18. Dalam seminggu berikutnya saya telah berjalan ke sana-sini di sekitar Kuala Lumpur cuba mencari kelapa muda. Kalau di pasar biasanya cepat habis. Selalunya buah kelapa muda dijual dekat dengan dua buah panggung wayang yang, di satu masa dulu, ada di Jalan Raja Laut dan di sebuah gerai dekat Stadium Merdeka. Hanya sebuah hotel saja yang menjual minuman air kelapa muda di waktu itu iaitu di Hotel Merlin, tempat hotel Concorde sekarang. Itupun di dalam menunya ditulis 'when available'. Saya telah bertanya kepada pelayan restoran kenapa ada ketidak-tentuan bekalan air kelapa muda; jawapannya ialah susah dapat.

19. Di waktu saya bekerja di The Chartered Bank dalam Bahagian Pinjaman Bumiputra dan Luar Bandar, sebelum saya mencebur diri ke dalam kerajaan, saya pernah meminjamkan wang kepada peniaga-peniaga runcit di Klang, Jenjarum dan Sijangkang iaitu kawasan pantai Selangor yang banyak pokok kelapa. Pada hujung minggu berikutnya saya telah pergi ke kebun kelapa dan bertanyakan mengenai kelapa muda. Kenapa ianya sukar diperolehi di pasaran.

PEMANJAT TIDAK SUKA DIGELAR MONYET ATAU BERUK


20. Saya telah cuba membeli beberapa biji kelapa muda dari pekebun. Bila saya beritahu kepada pekebun saya ingin beli kelapa muda dia terus bertanya 'berapa lori', lantas saya menjawab 'loro biji sahaja' dan bukan berapa lori. Loro ertinya dua di dalam bahasa Jawa. Tuan kebun kata kalau hanya loro biji sahaja agak susah mahu dijual kerana upah naik pokok kelapa pun lebih dari loro biji tiap sebatang pokok yang dinaiki. Ini disebabkan sukar mencari anak muda yang mahu memanjat pokok kelapa kerana mereka sering diberi gelaran seperti 'Din beruk' atau 'Harun monyet' kerana di zaman Tan Sri Sharif Ahmad menjadi Menteri Pertanian dia pernah menggunakan monyet untuk memungut buah kelapa di dalam satu acara di Terengganu.


21. Oleh kerana imej pemanjat kelapa dan gelaran 'monyet' yang diberi kepada mereka maka anak muda tidak mahu memanjat pokok kelapa seperti beruk atau pun monyet.

22. Pada masa yang sama saya berpendapat jika kerja memanjat pokok kelapa sudah diselesaikan maka permintaan kepada air kelapa muda menjadi masalah jika air kelapa muda masih dikatakan melemahkan tenaga batin. Bangsa Melayu umumnya tidak begitu memandang berat kepada kelemahan iman, fikiran, ekonomi dan politik jika dibandingkan dengan bimbang mereka kepada kelemahan tenaga batin.

23. Dalam satu perjumpaan dengan peniaga obat tradisional saya telah berjumpa kembali dengan Pak Raden Salleh ma'ajun Arjuna dari Parit Raja Johor yang saya pernah kenal waktu saya ikut pukul gendang beliau, di waktu beliau jual obatnya, di belakang Pekan Rabu di Guar Chempedak pada setiap hari Rabu. Saya juga pernah menolong membesarkan perusahaannya dengan bantuan MARA di waktu saya menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar yang bertanggungjawab ke atas MARA.

BOMOH DAN DOKTOR BETULKAN ANGGAPAN SALAH KESAN AIR KELAPA MUDA

24. Pak Raden Salleh, dan pakar-pakar obat tradisional, telah bercakap kepada media menangkiskan anggapan bahawa air kelapa boleh melemahkan tenaga batin. Malahan, katanya, air kelapa ini boleh memberi kesan 'relaxing' yang boleh menambah kekuatan badan setelah peminum beristirihat kerana kesan relaxing itu.

25. Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah juga telah bercakap kepada TV menyatakan, tanpa disedari, bahawa air kelapa tidak menjejaskan kekuatan atau kesihatan badan mereka; malah, air kelapa menyegarkan badan.

26. Kempen minum air kelapa muda menjadi begitu popular sehingga permintaan ke atas air kelapa muda bertambah yang memerlukan lebih ramai pemanjat pokok. Pertandingan memanjat pokok kelapa untuk menghapuskan prejudis terhadap pemanjat pokok adalah satu usaha untuk menggalakkan orang-orang muda supaya mahu memanjat pokok kelapa. Tun Mahathir merasmikan pertandingan itu.

MAT JENIN JATUH TETAPI TIDAK MENINGGAL DUNIA

27. Di peringkat nasional tidak ada masalah untuk menganjurkan pertandingan, tetapi di peringkat antarabangsa, insurance nyawa diperlukan seandainya pemanjat jatuh cedera atau pun mati. Premium insuran menjadi tinggi kerana risiko memanjat pokok kelapa agak tinggi dengan adanya cerita Mat Jenin jatuh daripada pokok setelah bermimpi menikah dengan tuan puteri waktu dia sedang di atas pokok. Mengikut cerita ini, sebelum Mat Jenin mimpi menikah dengan tuan puteri, Mat Jenin berkhayal akan membeli anak-anak ayam dengan upah yang diperolehi dari memanjat pokok kelapa. Ayam ini akan dipelihara hingga besar dan boleh dijual. Dengan hasil jualan ayam Mat Jenin akan beli itik yang akan dipelihara hingga besar dan dijual untuk digunakan wangnya untuk membeli kambing. Bila kambing sudah besar Mat Jenin akan jual untuk beli lembu. Hasil dari jualan lembu dia akan beli kuda dan apabila kuda dijual Mat Jenin akan beli gajah. Kekayaannya kerana menjual gajah telah membolehkan Mat Jenin menikah dengan tuan puteri. Pada waktu inilah Mat Jenin dikatakan terlepas tangan dari memeluk pokok kelapa dan terus jatuh ke tanah dan seterusnya meninggal dunia.

28. Premium yang tinggi yang dikenakan oleh syarikat insuran telah dapat diturunkan setelah prejudis ke atas pemanjat kerana risiko tinggi telah dapat dikurangkan setelah saya memberitahu kepada syarikat insuran bahawa Mat Jenin yang jatuh dari pokok kelapa itu tidak mati.

29. Pendapat yang berbeza dari apa yang umum ketahui ini ialah berlandaskan jawapan kepada pertanyaan anak saya apabila saya cerita kepada mereka mengenai cerita Mat Jenin. Amanda, anak saya yang ketiga telah bertanya, 'Jika Mat Jenin itu mati bila jatuh dari pokok, siapakah yang menceritakan mimpinya itu'. Jelaslah Mat Jenin tidak mati kerana dapat bercerita isi mimpinya.

CARA YANG TIDAK TEPAT

30. Cerita lain yang mengurangkan minat orang-ramai untuk minum air kelapa muda kerana lemah tenaga batin adalah sama dengan cerita orang tua-tua bahawa kanak-kanak yang banyak memakan ikan akan diserang oleh cacing dan wanita yang suka menyanyi dalam bilik mandi dan dalam tandas dikatakan boleh tumbuh ketumbit di mata. Cerita ini semata-mata untuk menghalang anak muda, kanak-kanak dan wanita dari mengganggu orang tuanya.

31. Jika anak muda digalakkan minum air kelapa muda maka kelapa tidak mungkin sempat tua kerana sudah kehabisan; jika kanak-kanak suka makan ikan maka semua ikan akan kehabisan sebelum bapa pulang dari kerja; dan lagu yang dinyanyikan dalam bilik mandi dan tandas tidak semerdu yang sepatutnya.

32. Pertandingan memanjat pokok kelapa peringkat antarabanga adalah program terakhir dalam kempen menggalakkan orang-ramai minum air kelapa muda supaya pendapatan pemilik kebun kelapa meningkat.

KESIMPULAN

33. Pada hari ini, setelah prejudis orang ramai terhadap air kelapa muda terhapus, pemanjat pokok kelapa tidak lagi dipandang hina, dan permintaan keatas kelapa muda naik, maka harga kelapa sudah meningkat, ekonomi pekebun kecil kelapa tidak memerlukan subsidi lagi dan pandangan Bank Dunia terhadap kelapa juga sudah berubah dari dianggap sebagai 'sunset crop' kepada tanaman yang memberi harapan.

34. Bangkali inilah satu contoh yang baik bagaimana satu-satu usaha yang dijalankan dengan nekad, tanpa mempedulikan pandangan sinis masyarakat, asalkan strateginya betul, akhirnya akan membawa keuntungan kepada rakyat jelata.

Disiarkan dalam Berita Minggu pada 24 Januari, 2010



5 comments:

  1. as salam Tan Sri,
    Seperti biasa, ceita dan opandangan Tan ri sentiasa mengkagumkan saya. Menyorot kembali zaman budak 2saya di Langkawi, air 'nyiok' hanya diperolehi dengan percuma. Sekarang,yang paling murah,Rm 1 di pasar malam itu pun sudah dicampur air dan ais batu. Dalam botl harganya RM 2.50 sebotol. Padahal, di belakang rumah di Langkawi, saya masih boleh bermandikan air kelapa secara percuma jika mahu.

    ReplyDelete
  2. Salam Tan Sri,

    Saya suka baca blog Tan Sri dan Akhramshah. Tan Sri kenal saya dan saya kenal Tan Sri sejak Tan Sri MP Yan. Akhramshah tak kenal sangat saya... dia muda lagi. Tapi, berpolitik, dia sakaaaan. Lantang dan berani. Ada potensi as a politisyen.

    Tajuk yang Tan Sri pos dan tulis ini bila saya bila saya baca, nak tergelak. Laju betul manusia tu panjat pokok kelapa, lebih laju dari monyet. Manusia ni perasan saya ada lagi kat Langkawi atau di Terengganu.

    Apa pun Ta Sri, kempen minum air kelapa muda yang Tan Sri buat dulu, memang klas lah. La ni air kelapa memang orang tahu, ianya lazat diminum, berkhasiat dan betul2 menghilangkan dahaga apabila diminum, terutama masa panas terik. Segaaaarrr rasanya.

    La ni, orang betul2 gila tanam 'kelapa mawar'. Merata-rata orang tanam. Hasilnya sepanjang masa dan lumayan pulak. Tuai kelapa mawar tak payak pakai monyet dah. Pertandingan panjat pokok kelapa tak perlu ada dah. Menuainya, pegang parang cantas dari tanah saja, buah diambil bertandan-tandan.

    Jika sekarang Tan Sri masih Menteri Pertanian, penanam2 kelapa mawar akan buat pesta dan ajak Tan Sri melakukan upacara menuainya.

    Nora Fuad 11.29 kata harga dalam botol rm2.50 sabotol. Tak betul tuuu.. muraaahh. La ni, harga sabiji yang anak saya jual cara sambilan ialah rm2.50. Tak payah pakai botol daaahh...

    Hasil kempen Tan Sri dulu, maksud saya, orang tak tanam dah kelapa yang menghasilkan santan dan minyak untuk makan. Apalagilah orang ada sakit jantung, takut terus nak makan santan dan minyak. Jadi, kelapa muda lah yang menang mengatasi segala-galanya daripada kelapa tua.

    Tan Sri, salepas ini elok Tan Sri tulis 'OTAK YANG TERBAIK DALAM BANYAK OTAK DALAM DUNIA'.

    Wassalam.

    Siberangan.

    ReplyDelete
  3. salam tan sri,

    saya kawan zaki semasa di mrsm seremban dulu.

    need your comment on my blog, TQ. http://kerjaya-muslim.blogspot.com/ We are not going abroad yet, not even to the neighboring...

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum wbt Tan Sri,

    Seingat saya waktu kempen minum air kelapa muda rancak dulu dengan secara tak langsung Tan Sri telah membantu industri kelapa berkembang dengan mengimport kelapa dari Aceh.

    Hari ini masih lagi wujud kebiasaan di kampung kampung menunggu buah kelapa gugur untuk di gunakan sendiri sebagai santan ataupun di jual secara kecil kecilan di pasar pasar.

    Kisah manusia kalahkan monyet Tan Sri membuatkan saya teringat ribuan monyet di zaman lewat 70an di waterfall(botanical garden) penang sewaktu Tun Dr Lim Chong Eu masih menjadi Ketua Menteri & Allahyarham Tun Sardon Jubir menjadi Gavenor.

    Setiap hujung minggu terutamanya pagi ahad bas MPPP penuh sesak dengan orang ramai yang berduyun duyun nak pergi berkelah di waterfall. Tambang bas kalau tak salah saya 15 sen saja untuk kanak kanak.

    Sebaik sahaja bas MPPP berhenti di luar pintu masuk ke waterfall puluhan peniaga kacang yang menjual kacang 5 sen sebungkus.
    Kacang tersebut biasanya di beri pada segala jenis monyet, kera, beruk yang berkeliaran di sekitar kawasan perkelahan di waterfall.

    Biasanya majoriti monyet monyet adalah jinak dan mengambil kacang sebiji sebiji dari tangan pengunjung tetapi ada juga monyet yang beperangai seperti manusia tamak--sekali terus di rampas sebungkus terus dan di bawa lari untuk di makan tanpa gangguan rakan rakan monyet yang lain.

    Ada juga monyet yang menjadi raja diantara monyet monyet yang lain yang tak berani didekati oleh monyet lain kerana raja monyet biasanya bersifat agresif.

    Terkadang sekiranya pengunjung cuai sewaktu leka berkelah atau mandi manda habis satu handbag besar dilarikan di atas pokok sambil dibuka hanbag tersebut di buang isi kandungannya satu persatu ke tanah mungkin kerana yang dicari adalah makanan bukannya barangan lain seperti alat solek dsbnya.

    Berbalik pada kisah air kelapa, saya rasa air kelapa yang sedap dan menyegarkan bukanlah yang di minum di hotel hotel ataupun di yang dibeli dipasaraya pasaraya yang telah di tebuk dan di tutup rapat dengan lapisan plastik tu.
    Bagi saya, yang sedap ialah yang di jual fresh oleh peniaga peniaga di tepi tepi jalan kampung di mana mana saja dalam Malaysia ni baik di Penang, Perak, Kedah,Perlis, Trengganu,Kelantan dll. Bergantung kepada cuaca dan kadar kehausan kita, kita akan minum samada terus dari kelapa ataupun dalam gelas yang dicampur airbatu.

    Mungkin juga ada khasiat dari segi perubatan style orang kampung bila di penghujung demam campak lewat tahun 70an dulu, emak saya memandikan saya dengan air kelapa.

    Akhir kalam, di Kuala Perlis terdapat banyak gerai yang menjual ayaq nyok muda ni. Contohnya di sepanjang tepi jalan menuju ke kampung nelayan kuala perlis terdapat banyak gerai menjual ayaq kelapa serta pelbagai kuih dan makanan lain termasuk laksa,goreng pisang, nasi campuq dll. Juga kat restoran depan jeti Kuala nak naik feri ke Langkawi. Tapi bagi yang suka suasana santai sambil minum ayaq nyoq muda ni, boleh lepak lepak kat area luaq coffee house putra brasmana kuala perlis sambil sedut udara laut yang adakalanya bertiup kenyang sampai terbang melayang habis apa apa yang sempat.
    last sekali tan Sri, ni kisah benar di putra brasmana tahun lepas-ada sorang pengunjung leka berkaroeke terbuka di luar coffee house menghadap laut--lagu nyanyiannya engkau laksana bulan P Ramlee, sewaktu perempuan tu menyanyikan rangkap...'kau cabutla nyawaku'--pada masa yang sama angin kencang hingga menyebabkan tiles atas bumbung putra brasmana jatuh betui betui atas stage habis semua lari masuk dalam bangunan hotel tu and sapa sapa yang ada time lepas Maghrib malam tu
    kat situ tentu tersengih bila ingatkan seketui tiles besaq jatuh menjunam atas stage. Wassalam wbt

    9 Safar 1431 Hijrah (25/1/2010)
    drsyediskandarislamicbankingfinance.blogspot.com atau
    isikcorpadv@gmail.com

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum wbt Tan Sri,

    Ada sedikit tambahan isu kelapa muda ni.

    Hari ini sabtu 13 Safar 1431 Hijrah (29/1/10) saya baru lepas menziarahi ibu kepada kawan baik saya semasa di Sekolah St Xaviers Pulau Pinang (1975-79 standard 2-6, Lim Kim Seng) ibunya yang meninggal 2 hari lepas yang kini di tempatkan (wake) di Mount Enskrine , Penang untuk upacara funeral esok (sabtu).

    Tengahari tadi dalam perjalanan ke Masjid Melayu (Aceh) Penang, untuk Solat Jumaat (minggu ni giliran Masjid Melayu dan minggu depan giliran Masjid Kapitan Keling untuk dirikan Solat Jumaat sebab kedua dua Masjid berhampiran lokasinya) jadi dalam perjalanan nak ke Masjid saya ternampak satu corner lot shoplot di Kings Street yang menjual Kelapa muda, kelapa kering & Kelapa Pandan.

    Manakala di Queens Street pula terdapat satu basikal roda tiga yang menjual kelapa muda yang fresh yang di parang terus dan di minum terus dari kelapa tu direct, ramai juga customersnya tadi berkerumun, sedaplah kot Tan Sri.

    Hari ni penganut hindu sedang bersiap menyambut Thaipusam esok di Penang (serupa mcm kat Batu Caves). Jalan jalan sesak di penang sehingga saat ini lebih baik jalan kaki daripada tersangkut berjam jam dalam kesesakan jalanraya. Ini bermaknanya ribuan kelapa akan dipecahkan diatas jalanraya.
    Kalau zaman 70an dulu, waktu ni la kelapa parut (nyoq yg dah di kukuq) harganya berganda murah waktu tu ada la 5 det ( 5 sen) sekati kat Chowrasta market.
    Mak saya biasanya tak bagi beli dia suruh beli kelapa fresh yang di kukuq depan mata serupa macam beli ayam yang disembelih depan mata kita baru yakin Halal dan bersih etc.

    Sat lagi saya dah nak siap siap nak balik KL dan malam ni serta esok situasi yang sama di KL--ribuan kelapa di pecahkan oleh penganut hindu di jalanraya. Kalau tak silap saya zaman sekarang kelapa yang dipecahkan akan segera dibersihkan oleh majlis perbandaran/DBKL/Alam Flora etc.

    Begitula zaman dulu dan sekarang sepertimana nyanyian rangkap boria sungai pinang dulu, 'lainla ulu, lain la parang, lainla dulu lain la sekarang.........'

    13 Safar 1431 Hijrah (29/1/10)
    Georgetown, Penang
    drsyediskandarislamicbankingfinance.blogspot.com atau
    isikcorpadv@gmail.

    ReplyDelete