Bersyarah atas tong ikan.
(Kolom Rencana - Personaliti - Berita Minggu 16-12-2012)
Empat
pesanan bapa jadi panduan hidup Sanusi
Mona Ahmad
Pengalaman menyampaikan kisah Nabi-Nabi
di atas tong ikan dan diperhatikan oleh orang ramai setiap kali mengikut
bapanya menghantar bekalan ke Ipoh, menjadi medan latihan syarahan pertama bagi
bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Sanusi Junid.
Seawal usia tujuh tahun itu, Sanusi
diberi pendedahan oleh bapanya, Junid Cut Li, yang sudah dapat meramal masa
depan anak sulung kesayangannya itu.
Malah, empat pesanan Allahyarham bapanya
masih diingati dan diamalkan ialah belajar trengkas, menaip, bermain tenis dan
memasak.
“Menurut arwah bapa ketika beliau
belajar di sekolah agama di Padang, satu masalah yang timbul ialah pelajar
tidak dapat menyalin apa yang diajar ustaz. Justeru, jika kita pandai trengkas
dapat menyalin dengan cepat.
“Dengan kecekapan menaip, kita bukan
hanya boleh membuat nota disampaikan guru bahkan boleh menjualnya kepada rakan.
Belajar memasak pula mesti sekurang-kurang tiga jenis masakan kerana jika
pandai memasak tentu ramai yang mahu berkawan.
“Belajar bermain tenis, jika tidak
pandai, ambil upah kutip bola tenis kerana masa itu ramai pegawai Belanda di Padang, Indonesia yang
bermain tenis,” katanya.
Semasa bersekolah di Sungai Petani,
seorang pelajar senior, Miskin Fakir (bapa pelakon, Jehan) yang menjadi kedi,
mengajaknya jadi pembantu kedi yang antara mengambil bola yang jatuh dalam
selut.
“Bapa izinkan selepas mendapati ramai
pegawai British yang bermain golf kerana mahu anaknya tahu berbahasa Inggeris,”
katanya ketika ditemui di pejabatnya di Damansara, baru-baru ini. Sebelum bapanya
meninggal ketika Sanusi berusia 12 tahun, beliau berpesan supaya rajin belajar
jika mahu menaiki kapal terbang percuma.
“Ketika itu pesawat British sering
berlegar di udara untuk mengesan komunis. Sebagai budak kampung, kami keluar
runah tiap kali pesawat lalu dan melambai-lambai.
“Bapa berpesan sebagai pendatang
(keluarga dari Aceh, Indonesia), di mana saja jangan berebut pangkat kerana
akan dapat banyak musuh. Carilah kerja, tentu tiada musuh kerana tidak semua
orang mahu bekerja,” katanya.
Disebabkan miskin selepas kematian
bapanya, Sanusi lewat empat bulan mendaftar di Kolej Melayu Kuala Kangsar
kerana tidak cukup pakaian.
Tiada
baju masuk asrama
“Syarat masuk asrama perlu ada beberapa
pakaian harian dan seragam tetapi saya hanya ada dua pakaian harian. Kebetulan ibu
bekerja sebagai tukang jahit dengan bapa saudara, Nyak Putih. Saya sering
mengikut Nyak Putih berniaga kain di Pekan Rabu, Alor Setar. Saya juga tukang
baca surat di pasar minggu itu.
“Sebelah petang di belakang pasar, ramai
yang berkumpul mendengar orang menjual ubat antaranya Rahman Siam (mencabut
gigi); Ghani (menjual ubat cap Rumah Api); Amat Turki (menjual minyak kambing
gurun) dan Radin Saleh (menjual makjun Puteri Madura yang kini dikenali sebagai
Makjun Peladang). Tugas saya ambil upah pukul gendang selain membantu menjual
pakaian. Apabila duit dikumpul cukup baru masuk ke sekolah asrama,” katanya.
Pengalaman sebagai pegawai bank Melayu
pertama di Negeri Sembilan, antara kenangan yang tidak dapat dilupakan tokoh
berusia 69 tahun itu. Ketika itu, kebanyakan petani di Kedah berhutang dengan
orang tengah dan membayar bunga 80 peratus.
“Saya buat cadangan kepada Bank
Chartered memberi pinjaman RM50 juta kepada 25,000 petani di Kedah, Perlis dan
Seberang Prai dengan kadar RM2,000 seorang supaya mereka boleh melangsaikan
hutang dengan orang tengah dan hanya perlu membayar faedah 10 peratus. Cadangan
itu diluluskan ibu pejabat di London dan dilaksanakan.
Dilema
kerja di bank
“Saya dalam dilema untuk berhenti kerana
tidak mahu terbabit riba. Saya berbincang dengan ulama di Kedah dan Aceh. Mereka
kata pekerjaan itu haram tetapi tidak benarkan saya berhenti kerana ketika itu
tiada pegawai Islam dalam bank untuk menguruskan pinjaman 25,000 petani dan
menyatakan Allah Maha Pengampun. Saya bekerja di bank itu sehingga sepenggal
menjadi Ahli Parlimen,” katanya.
Bercerita mengenai Perhimpunan Agung
UMNO, beliau yang juga bekas Setiausaha Agung
parti itu berkata, pertandingan jawatan presiden antara Tun Dr Mahathir
Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pada pemilihan tahun 1987 peristiwa paling
mngejutkan.
“Malam itu, seorang wartawan, Pillay
menelefon saya memberitahu kunci kotak undi bercampur. Saya tidak percaya. Keesokannya
ketika mahu memulakan pengundian kunci bercampur aduk dan selepas Tun
(Mahathir) berucap, pemilihan ditangguh sehingga jam 3 petang.
“Dalam tempoh empat jam itu saya nampak
buat pertama kali politik wang diamalkan dengan terang-terangan. Di tandas PWTC pun
mereka agih duit. Dulu ada wang kertas RM500. Ada yang dapat wang separuh, jika
Tun tidak kalah mereka tidak dapat separuh lagi (ketika itu wang yang ditampal dengan plastik laku
digunakan).
“Saya yakin, calon yang bertanding tidak tahu perkara
itu dan ia bukan arahan mereka. Tun menang tipis, jika tiada sabotaj dengan sabotaj kunci dan politik wang mungkin
undi lebih besar dimenangi,” katanya.
Nasihatnya kepada ahli UMNO, jangan cari
pangkat dalam perjuangan, carilah kerja kerana jika berebut pangkat semua akan
berkelahi.
“Kita perlu pasang niat, cara kena betul
untuk mencari keredaan Allah dalam apa juga akhirnya kuasa Allah yang
menentukan,” katanya yang sentiasa membaca al-Quran, buku dan mempelajari
bahasa asing untuk menajamkan fikiran.
idea bagus, tetapi kalau tiada cara untuk mencari orang yang boleh melaksanakan idea tersebut masih sia-sia. Masalah melayu telah dibincangkan tetapi apakah tindakan dan atau perancangan
ReplyDeleteNyak Puteh itu bapa P Ramlee?
ReplyDeleteKenapa terlepas pandang. Saya ingat Tan Sri jarang bercerita tentang P Ramlee lebih detail.