Sunday, December 16, 2012

MELAYU MESTI DIPERKASA


Melayu mesti diperkasa
Pidato di UPSI bincang masa depan bangsa

(Berita Harian - Nasional - Ahad 16-12-2012)
 
Oleh: Ihsan Noorzali

Asal usul dan masa depan bangsa Melayu menjadi fokus bicara pada pidato anjuran Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sesi itu menampilkan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan Pensyarah Fakulti Pengajian Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UNPM), Prof. Datuk Dr. Wan Hashim Wan The sebagai pembicara, manakala Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid sebagai pengerusi.

Pidato itu sempena Seminar Gagasan Melayu Serumpun Dalam Peradaban Malaysia dan Pelancaran Buku IPM di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, UPSI di sini, kelmarin.

Sanusi menyentuh soal orang Melayu yang semakin hilang sifat positif hari ini ketika menyampaikan pidatonya bertajuk “Perpaduan Dalam Peradaban Melayu”.

Katanya, beliau mengagumi sastera Melayu kerana berupaya menyatupadukan bangsa selain idealisme  bangsa penting sebagai pengukuh perpaduan.

Beliau berkata, orang Melayu perlu sentiasa menambah pengetahuan melalui penguasaan bahasa lain selain Bahasa Melayu.



“Orang Melayu perlu meluaskan ‘penjara’ bahasa dengan mempelajari bahasa Inggeris supaya banyak ilmu dari luar dapat difahami dan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh mereka”, katanya.

1,500 tahun bina tamadun

Wan Hashim dalam pidatonya bertajuk ‘Migrasi dan Kecemerlangan Peradaban di Rumpun Melayu’ menyimpulkan kedudukan rumpun dan bangsa Melayu bermula pada kurun ke-16 dengan kira-kira 1,500 tahun membina tamadun yang cemerlang berbanding bangsa lain di dunia termasuk Eropah.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr Zakaria Kasa melancarkan 10 buku terbitan IPM.
Buku itu antaranya, ditulis oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; dua Sasterawan Negara, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh; Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar dan pensyarah UPSI.

Pengarah IPM, Prof Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata IPM sebagai pengembang dan penyebar ilmu melalui penerbitan ilmiah bagi memenuhi keperluan semasa pengajian peringkat tinggi.

No comments:

Post a Comment