Sunday, December 16, 2012

BILA SANUSI BUKA MULUT


Bila Sanusi buka mulu

(Kolom Rencana Berita Harian, Ahad 16-12-2012)

Mior Kamarul Shahid

Sudah lama tidak mendengar bekas Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Tan Sri Sanusi Junid berpidato. Kelmarin, Sanusi melepaskan geramnya pada majlis Pidato Peradaban Melayu anjuran Institusi Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim. Sememangnya beliau mempunyai pandangan yang berbeza yang memerlukan penilaian.

Beliau memetik kenyataan Aristotle yang mengatakan adalah mustahil bangsa yang tidak mempunyai kuasa ekonomi mampu memiliki kuasa politik. Dengan kata lain, sebuah bangsa yang mahu menguasai kuasa politik mesti menguasai kuasa ekonomi. Begitu juga dengan keadaan sesuatu bangsa yang tidak mempunyai kuasa ekonomi, tidak boleh menguasai kuasa politik. Jika ini satu teori politik, bermakna ia perlu ditolak. Teori ini tidak terpakai di Malaysia. Apa-apa yang dikatakan oleh Aristotle itu tidak praktikal di Malaysia. Menurut Sanusi, inilah antara kehebatan orang Melayu, tanpa kuasa ekonomi pun mereka boleh mendapat kuasa politik, manakala orang Cina yang mempunyai kuasa ekonomi dibawa bersama menguasai kuasa politik dengan orang Melayu. Senario ini juga berlaku di Indonesia tetapi dengan cara yang berbeza meskipun kuasa ekonomi di republik itu juga dikuasai kaum Cina. Bercakap dengan tajuk Perpaduan Dalam Peradaban Melayu, Sanusi berkata bangsa Melayu adalah bangsa yang sangat hebat. Beliau memberi contoh sikap, karakter, amalan, budaya hinggalah kepada soal bahasa bagi mengukuhkan hujah beliau untuk menunjukkan betapa hebatnya orang Melayu. Sanusi juga menjelaskan proses atau putaran peradaban orang Melayu daripada satu keadaan kepada satu keadaan yang lain berikutan perubahan sikap dan suasana semasa. Beliau juga mengambil kira peradaban dan keagungan Kesultanan Melayu sebagai institusi terhebat di dunia hari ini. Walaupun ada juga sifat-sifat positif orang Melayu beliau juga sinis khasnya terhadap perpecahan orang Melayu.



Beliau membuat analogi perpecahan orang Melayu dengan alam perkahwinan yang berkesudahan dengan perceraian. Setelah hidup berbelas atau berpuluh tahun bersama, tentulah begitu banyak kebaikan yang dilakukan oleh suami atau isteri ke atas pasangan masing-masing. Jika menjalin hubungan sebelum ke jenjang pelamin, tentunya mereka sudah terlebih dahulu mengenali hati budi antara satu dengan lain. Malangnya, semua kebaikan yang mereka tempuh bersama tidak diambil kira apabila berlaku hanya satu atau dua peristiwa yang menyebabkan mereka bercerai. Hanya ‘kejadian buruk’ itu saja yang mereka ungkit saban hari sedangkan kebaikan yang berpuluh tahun tidak pernah dikenang. Inilah yang menyebabkan berlakunya perpecahan orang Melayu. Sanusi juga bercerita mengenai perbezaan Melayu profesional dan profesional Melayu. Baginya, Melayu profesional adalah golongan yang memikirkan soal bangsa mereka dengan semangat yang tinggi. Sebarang keputusan mengambil kira soal budaya, peradaban, generasi dan sebagainya, manakala profesional Melayu adalah sekumpulan Melayu yang dilatih supaya menjadi tokoh korporat dan bertindak secara profesional tanpa mengambil kira soal bangsa. Jika berasaskan dari segi perniagaan, menjual sesuatu hartanah itu menguntungkan, profesional Melayu akan menjual atas keputusan profesional.

No comments:

Post a Comment