Monday, January 28, 2013

HAIWAN, IKAN DAN TANAMAN

BELAJAR DI MANA DAN DARI SIAPA JUA
1. Semasa menjadi Menteri Pertanian dahulu banyak-lah yang perlu dibaca mengenai tumbuh-tumbuhan, ikan dan binatang termasuk yang tak boleh dimakan.

2. Pihak Kementerian Pertanian telah menerbitkan sebuah buku yang bertajuk 'Pertanian Dalam Al Quran'

3. Dari 30 juzu' yang terdiri dari 114 surah terdapat firman Allah s.w.t. atas tajuk  (2) Al-Baqarah (Lembu Betina), (6) Al-An'am (Lembu), (16) Al-Nahl (Lebah), (27) Al-Naml (Semut), (29) Al-Ankabut, (Labah-labah) dan (105) Al-Fil (Gajah).

GURU AGAMA

4. Di Kolej Melayu Kuala Kangsar dari tahun 1956 hingga tahun 1963 terdapat 4 orang guru ugama iaitu: Ustaz Ghazali, penyusun buku 'Suluh Agama'; Ustaz Kasim yang kemudiannya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan; Ustaz Rahman dan Ustaz Zihin.

5. Ustaz Rahman ialah abang kepada Prof. Dr. Amla bt. Salleh di UKM iaitu isteri Allahyarham Sdr. Mahathir Md Khir yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pelajaran di waktu Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

6. Ustaz Zihin kemudiannya menjadi Ahli Parlimen dari satu kawasan di Perak (Mungkin Bagan Serai).

7. Guru ugama saya ialah Ustaz Ghazali sementara Ustaz Rahman, lulusan Kolej Islam bersama Ustaz Zihin, adalah seorang guru yang juga menjadi kawan.

8. Antara ajaran Ustaz Ghazali yang relevan kepada masukan blog kali ini ialah 'Sifat 20'. Kata Ustaz Ghazali 'Wujud ertinya ada dan lawannya tiada dan buktinya ialah adanya alam ini; Qidam ertinya sedia ada tanpa permulaan, lawannya baharu dan ada permulaan, buktinya ada alam ini; Baqa ertinya kekal lawannya sementara, buktinya ada alam ini' dan seterusnya. Berertilah untuk memembukti ke wujudan dan sifat Allah s.w.t. manusia perlulah merenungi keadaan alam ini.

GURU ILMU ALAM

9. Malangnya guru-guru kami di MCKK yang mengajar mengenai alam ini hanya seorang sahaja, iaitu Dr. Ahmad dari Hyderabad yang mengajar ilmu biology, yang berugama Islam. Itu pun saya tidak teringat beliau mengaitkan ajarannya dengan sifat atau kuasa Allah.

10. Yang mengajar 'ilmu physics ialah Mr. Mehrotra dan kalau tak salah ingatan saya beliau pernah mengatakan bahawa beliau seorang 'free-thinker'. Mr. Norton mengajar ilmu chemistry dan beliau ialah seorang yang berugama Kristian. Mr. Naidu mengajar geography dan beliau berugama Hindu. Mr. Mehrotra, Mr. Norton dan Mr. Naidu tidak pernah mengaitkan keseluruhan ilmu alam yang mereka ajari dengan kewujudan dan kuasa Allah sebagaimana yang diajar oleh Ustaz Ghazali sebagai bukti kesemua sifat Allah s.w.t..

11. Sesudah merenungi semua ayat yang berkaitan dengan pertanian, yang ada di dalam Al Quran, maka  kajian lanjut telah dilaksanakan secara berterusan dengan memenuhi perintah 'Iqra'' oleh Al Quran.

12. Dalam mematuhi kehendak inilah maka saya dapati fakta-fakta berikut yang mungkin boleh dimunafa'atkan.

13. Semua pembaca blog ini dijemput untuk meneliti kandungan Al Quran yang menjadi panduan seluruh umat.

14. Cerita yang pernah dibawa oleh guru atau penceramah berkaitaan haiwan ialah mengenai (a) Katak dalam air panas, dan yang pernah saya baca ialah mengenai (a) Khemah burung di Denmark. Banyak ilmu yang dapat kita insafi dari dua kisah ini. Bagi yang belum mendengar atau membaca saya ulangi di bawah ini mengenai dua haiwan ini.

KATAK DALAM AIR PANAS

15. Semua pelajar sains, khususnya 'zoology', mengetahui bahawa jika dicampakkan se ekor katak ke dalam air yang sedang mendidih ianya secara spontan akan melompat keluar kerana tidak tahan kepanasan air itu. Tetapi, jika katak itu dimasukkan ke dalam periuk yang mengandungi air sejuk, dan di bawah periuk itu dinyalakan api maka katak itu akan tetap di dalam periuk, dan tidak akan keluar, walau pun ia mati direbus.

16. Keadaan begini menimbulkan tanda-tanya atas sebabnya katak itu tidak melompat keluar apabila kepanasan air meningkat sebelum mendidih. Jawabnya ialah kerana 'penyesuaian yang membawa kepada kebiasaan'. Sikap beginilah yang membawa kepada kebinasaan.

17. Pada mulanya katak itu merasa selesa di waktu air di dalam periuk masih sejuk. Oleh kerana sikapnya yang suka menyesuaikan diri dengan keadaan maka apabila air bertambah panas kerana api di bawah periuk maka katak itu terus menyesuaikan diri dengan keadaan. Penyesuaian ini berterusan sehingga ianya menjadi kebiasaan sehingga air itu mendidih dan katak itu ditimpa kebinasaan.

18. Sifat katak ini juga akan membawa kepada kebinasaan manusia jika manusia itu sentiasa menyesuaikan diri dengan keadaan tanpa mempedulikan akibatnya.


KHEMAH BURUNG DI DENMARK.

19. Di satu masa dulu beberapa orang ahli falsafah Denmark telah memikirkan bahawa setelah penghidupan rakyat Denmark begitu selesa maka mereka perlu memberi perhatian kepada burung. Sebagaimana biasa pada setiap tahun, apabila musim sejuk mendatang, burung-burung dari Norway, Sweden Greenland dan utara Scotland didapati berterbangan dengan ramainya menuju ke Mediterranean di mana cuacanya kurang sejuk.

20. Jauh penerbangan mereka ialah beribu batu sehingga menimbulkan simpati ahli falsafah Denmark yang terus merancang untuk membantu membaiki nasib mereka.

21. Setelah mereka membuat keputusan demikian maka sebuah khemah besar telah didirikan di luar kota di Denmark dan di dalamnya mereka kumpulkan banyak makanan untuk burung. Mereka telah menangkap beberapa ekor burung dan melepaskannya ke dalam khemah tersebut dan setelah itu burung itu dilepas semula untuk berterbangan di luar khemah apabila burung-burung dari utara, yang lebih sejuk, berterbangan ke selatan.

22. Hasil interaksi antara burung yang keluar dari dalam khemah dengan burung yang datang berterbangan dari utara maka semakin banyak burung yang datang ke khemah. Walau pun pada mulanya tidak banyak burung yang singgah di khemah di mana terdapat banyak makanan tetapi jumlah ini bertambah dari musim ke musim sehingga jumlahnya berjuta ekor.

23. Setelah beberapa musim sejuk di utara, disebabkan perbelanjaan wang yang begitu banyak sebagai kos membekalkan makanan percuma kepada berjuta ekor burung yang semakin bertambah jumlahnya, maka ahli-ahli falsafah yang memikirkan program ini telah membuat keputusan untuk menutup khemah persinggahan dan menghalaukan burung-burung yang menjadi tetamu di Denmark untuk terbang semula ke Mediterranean seperti sebelum program ini dimulakan.

24. Pada tahun berikutnya keadaan di angkasa Denmark menjadi riuh dan berkecauan. Ada burung yang tidak mahu terbang ke selatan, kerana terlalu lama makan percuma dan sudah lupa kepada tradisi asal; ada burung tidak mahu terbang keselatan kerana dari mula lagi mereka telah singgah di Denmark dan tidak pernah tahu mengenai Mediterranean; burung yang lainnya mati dalam penerbangan ke selatan kerana sudah lama tidak berbuat demikian.

25. Apabila diperiksa maka didapati sendi burung-burung yang mati itu ke semuanya kemerahan bengkak kerana mereka telah memaksa diri untuk terbang sedangkan sendi mereka sudah menjadi lemah kerana terlalu lama makan percuma.

26. Inilah akibatnya, bukan sahaja untuk burung tetapi juga untuk manusia yang lalai dan sentiasa mengharapkan kepada bantuan dan tidak melatih diri dengan meningkatkan jatidiri dengan stamina dan ketahanan.


BURUNG DAN KETINGGIAN POKOK - The Birdman of Alcatraz

27. Dalam sebuah filem lama berjudul 'The Birdman of Alcatraz' yang dilakunkan oleh Burt Lancaster penonton kagum melihat hubungan yang rapat antara burung-burung yang banyak dengan pelakun Burt Lancaster yang menjadi banduan di sebuah penjara di atas pulau yang letaknya tidak jauh dari pantai California.
 
28. Apa yang tidak menjadi perhatian penonton ialah burung yang mendatangi Burt Lancaster di penjaranya itu kesemuanya burung yang sejenis belaka.

29. Dari bacaan yang dibuat ternyata bahawa setiap jenis burung akan menuju ke tempat yang tingginya berbeda bagi setiap jenis burung. Ini bererti segala jenis burung mempunyai ketinggian tempat yang digemarinya untuk mendapatkan makanan.

30. Ini bererti jika manusia ingin menggalakkan burung tiong untuk datang padanya maka manusia itu perlu mengetahui ketinggian setakat mana yang digemari oleh burung itu untuk mencari makanan. Jika makanan yang digemari oleh burung itu diletak secukupnya pada ketinggian kegemaran burung berkenaan maka ramailah burung berkenaan akan terbang ke tempat itu untuk mencari makanan.

31. Burt Lancaster telah memberi baki makanannya di dalam penjara Alcatraz di tepi satu-satunya tingkap yang ada di biliknya. Ramailah burung yang sama jenis datang ke sana kerana tingkap penjara itu pada ketinggian yang menjadi tabiat burung itu untuk mencari makanan baginya.

32. Berasaskan pengetahuan inilah maka Jabatan Haiwan telah mengesan tempat di Taman Pertanian Malaysia untuk dilawati oleh berbagai jenis burung kerana makanan untuk setiap jenis burung ditempatkan pada ketinggian yang sesuai untuk satu-satu jenis burung.

33. Selain burung, manusia juga boleh terperangkap apabila mereka yang ingin memerangkapnya sudah memahami tabiatnya.

POKOK DAN MUZIK
 
34. Dari sebuah bacaan mengenai eksperimen sains di Amerika Syarikat didapati bahawa pokok itu akan respon terhadap bunyi-bunyian atau muzik. Dalam eksperimen tersebut tiga bilik kecil telah diperuntukkan untuk empat pokok yang sama jenis, besar dan umurnya. Di setiap bilik diletak satu pokok yang ditanam di dalam pasu yang sesuai besarnya. Pokok yang keempat telah diletak di dalam pasu di luar bilik. 
35. Setelah itu dua jenis muzik yang berlainan telah dipilih untuk disiarkan ke dalam dua bilik. Tiap satu bilik disalurkan dengan satu jenis muzik. Bilik yang ketiga tidak disalurkan dengan apa-apa muzik. Setelah beberapa minggu didapati pokok yang diletak di dalam bilik yang tidak disalurkan dengan apa-apa muzik sama tinggi dan besarnya dengan pokok yang ditanam di luar bilik.
36. Pokok yang ditanam di dalam bilik yang disalurkan dengan muzik klasikal 'sita' yang berasal dari India telah melonjak hampir dua kali lebih tinggi dari dua pokok yang di luar bilik dan di dalam bilik tanpa muzik. Muzik 'sita' ini jugalah yang dimainkan oleh orang India apabila mereka ingin menunjukkan betapa ular tedung senduk (cobra) akan mengangkat kepalanya setinggi mampu apabila mendengar lagunya. Nampaknya respon ular tedung senduk adalah sama dengan respon pokok yang mendengar muzik yang sama.
37. Pokok yang diletak dalam bilik yang telah disalurkan ke dalamnya dengan muzik 'Rock' telah mati. Kita hanya boleh berdo'a semoga muda-mudi dan si tua yang gemar muzik 'Rock' tidak mengalami kesan yang sama

38. Adalah jelas di sini bahawa untuk kita memperolehi sesuatu hasil kita hendaklah bertindak secara sedar untuk membuat sesuatu yang sesuai bagi memperolehinya.
 
 
IKAN DAN GETARAN OMBAK DI LAUT

39. Jabatan Perikanan Malaysia telah melaksanakan satu kaedah berasaskan penemuan bahawa ikan akan respon kepada muzik atau getaran di dalam air. Mengikut penemuan ini didapati bahawa setiap jenis ikan akan tertarik kepada bunyian atau getaran yang terdapat di lautan.

40. Oleh itu, dengan tenaga juru-selam (divers), maka 50,000 tayar kereta yang terpakai telah diikat secara tersusun di perut lautan untuk dijadikan tukun tiruan. Dengan puluhan tukun tiruan yang menggunakan lebih sejuta tayar terpakai yang telah diwujudkan di tempat yang berbeza di perut lautan maka berjuta ekor ikan kerapu telah mendatangan tukun tersebut sebagai respon kepada bunyian dan getaran akibat ombak di bawah laut yang melintasi tukun di tempat.

41. Ratusan juta ringgit setahun telah diperolehi hasil tangkapan ikan yang terkumpul di tukun-tukun tiruan yang diadakan.

42. Untuk tujuan ini maka satu kempen telah dijalankan oleh Kementerian Pertanian untuk mengumpul tayar terpakai yang lebih popular dengan nama 'tayar buruk'. Kempen ini bukan saja boleh menambahkan tangkapan ikan malah boleh membersihkan persekitaran dari bertaburan dengan tayar terpakai yang menjadi tempat persembunyian nyamuk aedes. Kecuali di mana tayar terpakai digunakan sebagai tempat tanaman bunga semua tayar terpakai yang kelihatan terbiar dan bertaburan merata-rat akan dikumpul dan diangkut dengan lori untuk dibawa ke Kuala Lumpur ke kawasan di luar Kementerian Pertanian pada tapak bangunan Pertubuhan Peladang sekarang ini.

43. Apabila mengetahui mengenai usaha mengumpul tayar terpakai maka banyak tawaran dari luar negeri untuk menjual tayar terpakai mereka. Satu dari tawarannya datang dari California, Amerika Syarikat yang menawarkan tayar terpakai dengan percuma untuk menyelesaikan masalahnya mengumpul tayar terpakai di atas puluhan ekar tanah dan tanah itu terhalang dari dipakai untuk kegunaan yang lebih ekonomik dan menguntungkan. Tawaran ini tidak dapat diterima kerana kos pengangkutan yang cukup tinggi.

44. Saya telah menulis sepucuk surat kepada mantan Presiden Amerika Syarikat George W. Bush senior di waktu beliau menjadi Naib Presiden kepada Presiden Ronald Reagan. Saya telah bertemu beliau di waktu makan tengahari di White House dan di rumahnya di waktu beliau mera'ikan Tun Dr. Mahathir dalam lawatannya ke U. S. A.. Saya menjadi Menteri Pengiring di waktu itu.

45. Di rumah George W. Bush kami telah diperkenalkan oleh isterinya Barbara Bush kepada kucing kesayangannya dalam usaha memeriah dan memaniskan majlis. George W. Bush pula telah menyatakan kegemarannya kepada 'Nasi Lemak' dan telah bertanya kepada Tun Dr. Mahathir akan cara membuatnya. Tun, sebagai seorang yang hobinya juga memasak, telah mengkuliahkan para hadirin mengenai cara membuat 'Nasi Lemak'', yang saya dengar seolah-olah ianya satu produk teknologi tinggi.

46. George W. Bush, semasa memegang jawatan Pengarah CIA telah sering melawat Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Tun Mohd Ghazali Shafie, untuk bertukar fikiran mengenai China. Pada waktu itu, sebelum Presiden Richard Nixon melawat China, bahan maklumat risikan mengenai China didapati lebih lengkap di Malaysia dari yang ada di U.S. A..

47. Setiap pagi beliau berada di Kuala Lumpur George W. Bush akan bersarapan pagi di 'Hilton Corner' iaitu di tepi Hotel Hilton lama yang kini bernama Hotel Crowne Plaza. Saya pernah turut serta di waktu sarapan ini.

48. George W. Bush masih mengingati saya di waktu bertemu di rumahnya dan kerana itulah saya berani menulis surat padanya untuk meminta beliau menimbangkan kemungkinan kapal perang Amerika Syarikat yang berada di lautan Pacific dapat membantu saya untuk mengheret tayar terpakai dari California ke Kuala Lumpur apabila kapal perang ini balik ke pengkalan bagi urusan pembaikan.

49. Saya tidak harap sangat kapada kapal yang diguna untuk berperang dapat diguna untuk membawa tayar terpakai ke Malaysia, tetapi surat saya itu, jika diterima, jelas menunjukkan bahawa kemesraan beliau di waktu sarapan pagi di 'Hilton Corner' dan makan malam di rumahnya tidak membawa apa-apa erti baginya. Atau pun mungkin pegawai pejabatnya yang menghalang surat sedemeikian sampai padanya kerana isinya dianggap remeh, tanpa mengetahui hubungan awal antara kami sejak di 'Hilton Corner'.

50. Dari pengalaman ini saya lebih faham dengan sikap pembesar barat.

51. Ini hanya maklumat tambahan.

52. Yang penting ialah kempen mengutip tayar terpakai untuk membuat tukun tiruan bagi menambah tangkapan ikan kerapu telah berjaya dan Malaysia adalah satu-satunya negara, di waktu itu, yang memunafaatkan barang terpakai untuk membangunkan ekonomi rakyat.
.
53. Ini bererti dalam mengendalikan penghidupan ini manusia perlu melihat secara positif terhadap apa yang mungkin sudah terpakai dan tidak berguna lagi tetapi sebaliknya masih berguna lagi.


IKAN DALAM KOLAM HO CHI MIN

54. Di waktu saya menjadi Menteri Pertanian dahulu saya telah menghadiri satu mesyuarat CIRDAP (Center for Integrated Rural Development Programme) di Hanoi, Vietnam dari 7 hingga 9hb Disember, 1989. Di waktu lapang, di sebelah petang, saya telah meminta pengiring yang membawa saya dan beberapa orang para perwakilan untuk melawat rumah Ho Chi Minh sebagai bapa kemerdekaan dan perpaduan Vietnam. Di sana saya dapati ada sebuah kolam yang agak besar yang ada ikan di dalamnya.

55. Si pengiring telah meminta para pelawat supaya berdiri di pinggir kolam dan beliau telah menepuk tangannya dengan kuat dan secara tiba-tiba kami yang berada di pinggir kolam terkejut melihat ikan-ikan yang ada di dalam kolam itu melompat keluar dari dalam air sebagai ombak yang bermula dari dalam kolam tepi kaki tempat kami berdiri sehingga ke hujung kolam.

56. Kami diberitahu bahawa bertepuk di tepi kolam itu telah dimulakan oleh Ho Chi Minh dari mula dia memasukkan ikan ke dalam kolam. Setiap kali dia hendak mencampak makanan kepada ikan di dalam kolam itu dia tepuk dulu tangannya dan selepas itu barulah dia membuang makanan untuk dimakan oleh ikan di dalam air itu. Setelah Ho Chi Minh beramal demikian untuk beberapa lama dia melihat bagaimana ikan mula timbul ke atas air setiap kali dia menepuk tangan sehingga akhirnya ikan itu melompat keluar dari air. Semakin lama semakin hebat kelihatan respon ikan yang melompat setiap kali tangan ditepuk. Lama kelamaan Ho Chi Minh tidak perlu mencampak makanan lagi kepada ikan itu; dengan hanya menepuk tangan ikan sudah melompat dan terus melompat beberapa kali walaupun makanan sudah tidak diberikan lagi berikutan dengan tepukan itu.

57. Keadaan ini berterusan untuk beberapa tahun dan seterusnya walau pun ikan di dalam kolam itu telah silih berganti kerana yang lebih tua sudah ditangkap, dibawa keluar, samaada untuk dimakan atau sudah mati. Kini Ho Chi Minh sudah puluhan tahun meninggal dunia tetapi anak cucu, cicit, piut ikan seterusnya kekal dengan perangai melompat apabila mendengar tepukan dari pendatang di tepi kolam walaupun ikan-ikan yang ada sekarang tidak pun tahu sebab nenek moyang mereka melompat apabila mendengar tepukan. Melompat apabila mendengar tepukan sudah menjadi satu tabiat dan budaya kepada ikan di dalam kolam Ho Chi Minh.

58. Dengan ini berertilah seseorang itu hendaklah mengelak dari mengulangi sesuatu amalan, seperti memberi sesuatu secara berterusan, sehingga ianya menjadi budaya keluarga dan bangsa, yang suka meminta-minta. Budaya begini, jika diketahui oleh musah kita akan menjadi senjata yang akan memakan diri kita sendiri.


ITEK MELINTAS JALAN

59. Itik didapati tidak berjalan bersendirian. Selalunya dalam kumpulan dan seekor darinya akan menjadi ketua kepada itek yang lain. Jika sekumpulan itik ingin melintasi jalan mereka akan mengikut ketua mereka untuk berbuat demikian. Maka kita dapat melihat berderetan itik berkawad apabila mereka sedang melintasi jalanraya.

60. Jika diwaktu melintasi jalan itu sebuah kereta menghampiri dengan lajunya maka perangai atau tabiat itiklah yang akan menenttukan samada mereka akan selamat atau mati dilanggar kereta.

61. Jika barisan itik itu baru sahaja melintasi jalan dan jaraknya dari tepi jalan tidak sampai sekitar lima kaki maka itik-itik ini akan selamat kerana apabila menyedari kereta menghampiri mereka itik-itik ini akan lari ke belakang.

62. Tetapi, jika itik yang sudah hampir menyeberangi jalan dan tinggal beberapa kaki saja lagi untuk sampai ke seberang jalan, menyedari kedatangan kereta laju tadi itik-itik ini juga akan patah balik dan lari ke belakang. Dengan begitu maka semua itik akan lari dilanggar kereta.

63. Itik mempunyai sikap untuk lari ke belakang jika ada ancaman ke atasnya.

64. Sikap begini menguntungkan bagi seseorang, atau kumpulan itik, yang baru mula melintasi jalan, tetapi jika sudah hampir sampai pun itik, sebagaimana manusia, masih ingin berpaling ke belakang maka akibatnya merugikan kerana binasa badan


KAMBING MELINTAS JALAN

65. Kambing pula berbeza daripada itik. Mereka ada tabiat untuk lari ke depan jika ada sebarang ancaman. Perangai begini menguntungkan jika kumpulan kambing sudah hampir menyeberangi jalan, tetapi merugikan jika kambing baru bermula melintas jalan. Dalam keadaan begini kambing akan terus melintas walau disergah atau diancam dengan kedatangan kereta.
 
66. Pemimpin manusia hendaklah mempelajari dari sifat itik yang selalu undur kebelakang dan mengirakan samaada perjalanannya baru dimulakan atau sudah hampir sampai ke matlamat, dan sifat kambing yang akan meneruskan perjalannya, tanpa peduli kepada bahaya walaupun perjalanannya baru bermula. Kita hendaklah mempunya sifat itik jika baru memulakan perjalanan dan sifat kambing jika sudah hampir kepada matlamat
 

KESETIAAN BUAYA DAN BERUANG POLAR

67. Apabila kita melihat seseorang itu berlagak seperti 'playboy' maka gelaran yang pernah diberi padanya ialah 'buaya darat'. Ini menggambarkan bahawa buaya ialah jenis haiwan yang bersikap seperti playboy. Tuduhan yang dilemparkan kepada buaya ini tidaklah bernar, kerana kajian menunjukkan bahawa buaya, selain beruang polar, adalah makhluk yang monogamous dan mempunyai hanya se ekor teman betina sahaja seumur hidupnya.

68. Begitu juga dengan beruang polar atau 'Polar Bear' yang setelah mengenal dan berkawan dengan seekor teman betina dia tidak akan sudi berkawan dengan beruang polar yang lain sehinggalah ia mati.

69. Manusia 'playboy' tidaklah layak dibandingkan dengan buaya kerana buaya lebih setia kepada teman betinanya daripada sesetengah manusia.


CARA MENANGKAP MONYET DI AFRIKA

70. Sebelum dapat menangkap monyet dan kera pemburu di Afrika mempelajari dulu tabi’at dan kegemaran haiwan berkenaan. Mereka dapati monyet dan kera mempunyai tabi’at tidak dapat melihat lubang. Kalau ternampak lubang, walau lubang apa jua atau sebesar mana sekalipun, ianya pasti akan memasukkan tangannya untuk mencari sesuatu yang mungkin ada.

71. Antara kegemaran monyet dan kera pula ialah kacang. Monyet mempunyai sifat tidak akan melepaskan sesuatu yang digemarinya walaupun ia dipukul atau disiksa. Menggabungkan tabi’at, kegemaran dan sikap ini pemburu telah mengaturkan satu cara menangkap mereka.

72. Diambilnya sebiji kelapa. Dikoreknya satu lubang kecil pada kelapa itu tetapi cukup besar untuk dimasuki oleh tangan monyet dan kera. Kelapa berlubang ini diikat pada tali yang panjang dan kemudian diletak di lapangan, di hutan, tempat yang diketahui monyet dan kera gemar bermain. Pemburu memegang hujung tali dan bersembunyi di dalam semak yang berdekatan. Di dalam kelapa itu dibubuh sebiji kacang.

73. Apabila sampai masanya monyet dan kera pun tiba. Yang awal melihat lubang di kelapa lalu memasukkan tangannya ke dalam sampai tersentuhlah sebiji kacang. Apabila kacang sudah digenggam, ini membuat tangannya besar di dalam. Lubang di kelapa terlalu kecil untuk dilalui genggaman. Selagi kacang tidak dilepas, selama itulah tangan tidak dapat dikeluarkan. Pemburu kemudian mengheret kelapa tadi, sementara kera tidak akan melepaskan genggamannya sampai mereka semua ditangkap.

74. Manusia hendaklah sedar bahawa para musuh antara sesama manusia selalu mempelajari tabiat dan kelemahan saingannya. Oleh kerana manusia sering terperangkap dengan kuasa, harta dan wanita atau kedua dari antara tiga perangkap ataupun dengan keTiga-tiga jaringan perangkap ini maka dengan tawaran kuasa, harta dan wanitalah seseorang itu boleh diperangkap, sehingga membawa kepada kemusnahan.

KESIMPULAN

75. Adalah jelas bahawa kuasa Allah s.w.t. begitu hebat dan tidak ada tandingannya. Dengan mempelajari alam ini, sebagaimana yang disarankan oleh Ustaz Ghazali waktu mengajar sifat 20 di MCKK manusia pasti akan menjadi lebih taqwa kepada Allah s.w.t.. Bukan sahaja dengan memerhatikan putaran dunia dalam hubungan dengan matahari dan bulan, yang mengikut kehendak ilahi, penelitian hambaNYA terhadap haiwan, ikan dan tanaman juga memberi banyak pengajaran. Jika manusia enggan belajar dari manusia lain sekalipun, apatahlagi dari Al Quran dan Sunnah, manusia boleh membuat permulaan dengan memperlajari dari tiga makhluk yang dibincangkan di dalam blog ini.
 
76. Wallahua'lam.

11 comments:

  1. I can't say that I agree completely, but the fact of the matter is you are right on target with your comment.

    ReplyDelete
  2. Orang yang tidak beriman senantiasa mengejek kebenaran,kasihan,apabila kita petik dari Al-Quran, mereka ini yang bijak kononnya akan memperlekehkan perkara itu menerusi 'daya' inteleknya.

    ReplyDelete
  3. saudara Anonymous di atas... jauhilah dari sifat ku'eh... yakni suka melihat orang susah dan susah melihat orang senang, malah paling benci mendengar kebenaran....saudara kebencian mu amat terserlah dalam komen mu yang 'koman' dan cetek intelek itu... bagaikan Quraisy Jahilliah seperti Abu Lahab dan Abu Jahal, melayu hipokrit seperti Anwar Ibrahim dan pemimpin PAS yag lemah seperti Karpal Singh...hehehe

    ReplyDelete
  4. saudara anonymous 3:29.... jangan pandai-pandai mengukur keimanan orang lain..... saya teruja dengan artikel ini...... tahniah tan sri. Semoga Allah melindungi tan sri sekeluarga....
    Drp Siti Khadijah, Sbg Bestari

    ReplyDelete
  5. Salam Dato SJ

    Ada ilmuan agama tak suka dengan orang awam yg pelajari sifat 20 ini. apa komen Dato SJ

    Dr Asri Kurang Ajar Perlekeh Ulama Pondok & Ulama Silam

    http://www.youtube.com/watch?v=Mj4dhF8ojpw&playnext=1&list=PL9D3B1C5126B5A2B2&feature=results_video

    ReplyDelete
  6. Salam Dato'

    Benar seperti yg Dato' simpulkan tentang kehebatan Allah. Hanya orang Islam tidaklah begitu peka seperti pembuat Discovery atau Animal Planet. Mereka begitu menghayati dan membuat penyelidikan yang mendalam, sebagai tanda menghargai penciptaan Allah.

    Menghargai penciptaan adalah menghargai Maha Pencipta. Orang Islam lebih gemar berbunuh2an, lihat sahaja yang berlaku di Timur Tengah. Orang Islam lebih suka kepada sifat memusnahkan ciptaan Allah. MrDn.

    ReplyDelete
  7. 37. Pokok yang diletak dalam bilik yang telah disalurkan ke dalamnya dengan muzik 'Rock' telah mati. Kita hanya boleh berdo'a semoga muda-mudi dan si tua yang gemar muzik 'Rock' tidak mengalami kesan yang sama
    _____________

    Ini tentu fitnah semata-mata :P

    ReplyDelete
  8. Terbaik...sejak dahulu lagi...andailah boleh di sini, saya pohon kepada Tan Sri untuk mengepost secara berkala...Himpunan Ucapan2 Tan Sri dalam Perhimpunan Agung UMNO..saya pernah memiliki sebuah buku mengenainya tetapi hilang, dipinjam kawan, tidak dipulang...terbaik Tan Sri..saya meminati cara2 berucap Tan Sri...

    ReplyDelete
  9. Kisah tayar + george w bush + ikan + ho chi minh , buat saya kagum yg teramat akan pengalaman kehidupan yg di alami oleh tan sri. Keberanian tan sri meminta sesuatu yang pelik juga buat saya tertarik.

    Dengan melihat perkara yang lepas, iaitu tan sri pernah mencetus idea tanam padi di atas bumbung. Walaupun gagal mendapat sambutan, tapi itu adalah penyumbangan sains yg besar utk ekonomi pertanian kita.

    mohon tan sri rujuk pautan ini : http://www.evolo.us/featured/aeroponic-vertical-farming/

    Ini inovasi penanaman padi yang bakal berlaku di filipina. Mohon tan sri jadi pemangkin & pencetus projek inovasi ini dengan acuan malaysia. Dengan pengalaman, kebijaksanaan serta pengaruh tan sri, barangkali mungkin kita bakal dapat melihat taman tergantung babylon di malaysia.

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum Tan Sri,

    Maaf kalau saya tidak berbudi bahasa kerena memberi komen yang tidak bertempat.

    Saya suadah usaha untuk cari alamat/contact Ikatan Masyarakat Aceh Malaysia, tapi sampai sekarang gagal. Boleh tak Tan Sri atau sesiapa dapat memberi alamat/contact untuk IMAM. Kalau tidak keberatan, boleh email ke liyakak@gmail.com.

    Terima Kasih

    ReplyDelete
  11. Tan Sri - terima kasih kerana berkongsi hasil nukilan and buah fikiran dengan kami. Saya amat tertarik dgn penulisan sebegini kerana memberi byk pengajaran and insight. Saya hanya kenal nama Tan Sri sipi2 semasa saya kecil - hanya sekarang saya baru kenal and sedar penyumbangan pemimpin-pemimpin yang telah tidak lagi aktif di persada politik. Teruskan menulis utk generasi yang akan datang.

    ReplyDelete