Monday, April 15, 2013

BERITA HARIAN - MANUSIA SERIBU WAJAH


Popular kerana cuma berani mengata kerajaan

MONA AHMAD & AZRUL AFANDI SOBRY

Berita Harian - Isnin 15 April 2013
Kolom Rencana, Berita Harian muka surat 26-27

Tiga puluh tahun sebagai wakil rakyat dan berdepan enam kali pilihan raya umum menjadikan Tan Sri Sanusi Junid seorang tokoh politik yang sangat berpengalaman. Malah, perkenalannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak zaman sekolah menengah hingga bersama dalam pimpinan kerajaan membuatkan beliau mengetahui pelbagai kisah mengenai Ketua Pembangkang itu. Wartawan BH, Mona Ahmad dan Azrul Affandi Sobry, menemui beliau untuk mendapatkan pandangan peribadi berhubung pelbagai isu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Wartawan: Berdasarkan senario semasa, difahamkan beberapa tokoh lama dalam Barisan Nasional (BN) tidak dicalonkan kali ini, sedangkan mungkin ada yang mahu terus bertanding. Apa pandangan Tan Sri mengenai situasi ini?

Sanusi: Ada beza antara PRU-12 dan PRU-13 dalam konteks kesediaan untuk bertanding. Dulu, ramai dalam BN terlebih yakin, menyebabkan ramai yang mahu bertanding dalam PRU-12 kerana yakin boleh menang. Ia sekali gus menyebabkan ramai yang marah tidak dicalonkan ketika itu kerana keghairahan masing-masing untuk bertanding. Namun, apabila berlaku kekalahan di beberapa negeri dan kegagalan BN mendapat majoriti dua pertiga menyebabkan kali ini kita tidak dengar ramai sangat yang berani tawarkan diri untuk bertanding pada peringkat awal. Suasana senario muram PRU-12 masih terasa. Namun, selepas pelbagai program dan tindakan digerakkan Perdana Menteri beserta pelbagai polisi, muncul satu keyakinan yang kita akan menang besar. Keyakinan inilah yang mengembalikan kumpulan seperti PRU-12 dulu iaitu mahu tumpang menang. Keadaan inilah yang sedikit merugikan, tetapi kita ada cukup masa untuk berkempen. Tempoh kempen paling panjang dalam sejarah. Pengalaman saya bertanding sebanyak enam pilihan raya dan sepanjang 30 tahun menjadi wakil rakyat, inilah tempoh terpanjang untuk berkempen. Sekurang-kurangnya, siapa yang tidak dicalonkan nanti, ada cukup masa untuk berfikir dan difahamkan kenapa ia tidak dicalonkan. Hakikatnya semua pihak perlu sedar, apakah dia mahu terus merana selama lima tahun lagi di bawah kerajaan negeri pimpinan pembangkang. Saya tidak risaukan Kerajaan Pusat kerana BN pasti menang.

S: Adakah dengan pengguguran tokoh lama akan memberi kesan?

J: Ini bergantung, sama ada calon ini hebat buat kenyataan akhbar dan kuat mengata dalam Parlimen atau jenis tak kisah semua rumah kenduri beliau hadir. Tetapi yang selalu bersyarah atau keluar dalam akhbar pun kadang kala tidak berkesan. Melayu ini, mereka lebih pilih kawan bukan prinsip. Kalau kawan dia curi pun tak apa asal jangan curi duit dia. Datuk Seri Najib Razak (Najib) ada kelebihan dari segi populariti. Tetapi ramai pemimpin UMNO yang tidak tahu pasal PAS sebenarnya. PAS ini ada di kawasan ada padi. Kalau tiada padi, penyokong PAS lebih kepada pensyarah. Di Marang tiada padi tapi ada Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang). Cuba kita tengok mana tempat ada padi seperti Kedah, Kelantan, Kuala Selangor dan Seberang Prai, semua ada PAS. Di mana ada padi dan pondok (sekolah pondok), di situ ada PAS kerana sekolah pondok bergantung duit zakat padi pada awalnya.

S: Adakah Tan Sri cukup yakin BN akan menang besar?

J: Jika pada hari ini, Najib saja yang bertanding menentang ketua pembangkang, iaitu pilihan raya presiden, saya rasa Datuk Seri Anwar Ibrahim (Anwar), Lim Kit Siang atau Karpal Singh, semua lawan Najib ini akan hilang wang pertaruhan. Itu jika pertembungan satu lawan satu. Namun, kerana pilihan raya kita membabitkan ramai calon, maka berlakulah sedikit konflik. Isu itu bukan hanya dalam BN dan sebenarnya di pihak pembangkang, lebih teruk lagi. Mereka lebih teruk kerana baru rasa kuasa. Mereka mula berebut kerusi kerana mahu rasa sama kuasa itu.

S: Jika Najib bukan masalahnya dan faktor utama kini lebih kepada calon, siapakah yang selayaknya diletak sebagai calon untuk memenangi hati rakyat?

J: Ia bergantung kepada siapa soalan ini ditujukan. Jika orang muda yang berkelulusan, tentunya mereka ini akan perjuangkan kelompok mereka sendiri. Faktor calon boleh menang di pihak bawahan tentunya berbeza dengan atasan. Pada peringkat Najib, tentunya beliau merujuk kepada pelbagai maklum balas dari pelbagai aspek. Ia juga tidak bermakna maklum balas itu tepat semuanya. Apa yang paling utama, bukan faktor siapa calonnya sebab mereka ini jika menang pun hanya untuk berdebat di Parlimen. Yang akan buat dasar ialah kerajaan, bukan mereka. Kerana itulah Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya lebih penting. Kerana itu orang sekarang menilai peringkat atasan. Mereka lihat Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yasin serta bandingkan dengan pemimpin pembangkang. Contohnya, katakanlah pakatan pembangkang menang, keputusan akan dibuat pada peringkat pimpinan mereka. Jika Karpal atau Lim Kit Siang serta barisan pemimpin pembangkang yang lain kata kalimah Allah akan dibenarkan untuk semua agama, apa penyokong dan calon pakatan boleh buat? Keputusan, bukan di tangan mereka. Jika pemimpin mereka nak menghalalkan budaya lesbian, gay, biseksual, dan transeksual (LGBT), siapa boleh halang...Apa Dewan Ulama PAS boleh buat? Jika nak buat perubahan, tunggulah lima tahun lagi.

S: Tidak dinafikan dulu ada kelompok yang tidak suka BN cuma tidak menyerlah, tetapi tahun lalu dan tahun ini, mereka lebih berani menyuarakan penolakan mereka termasuk kaki tangan kerajaan. Bagaimanakah Tan Sri melihat senario ini?

J: Orang Melayu ini bukan cari orang cerdik, tapi suka cari orang berani. Anwar menjadi popular ini kerana dia berani berkelahi dengan kerajaan. Sesetengah orang ini, mereka suka orang yang berani bantai kerajaan. Saya dulu pun apabila saya bantai kerajaan ramai yang suka dan menjadi popular.

S: Adakah Anwar masih ada kekuatan pada pandangan Tan Sri?

J: Anwar kita boleh umpamakan seperti pelakon atau bintang filem. Saya mengenalinya sejak dia masuk Tingkatan Satu, manakala saya Tingkatan Lima di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Saya juga amat mengenalinya ketika di Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan juga amat mengenalinya dalam kerajaan. Dia boleh berlakon sebagai ulama dan boleh jadi apa saja. Malah, kehebatannya sebagai perunding juga diakui pada peringkat dunia. Bayangkan bagaimana dia boleh berunding dengan PAS yang selama ini mahukan Islam sehingga akhirnya menukar prinsip mereka daripada negara Islam kepada negara berkebajikan. Dia juga berjaya berunding dengan Karpal yang pernah kata langkah mayatnya dulu jika mahu buat negara Islam. Awak fikirlah sendiri adakah dengan kedua-dua pihak itu dia cerita perkara yang sama. Saya tak rasa dia cakap perkara yang sama sebab tentunya akan ditolak. Pelik apabila ada seorang lelaki Melayu yang berjaya buatkan Arab dan Yahudi sukakannya. Mesti ada yang tak kena sebab Amerika Syarikat pun tak berjaya ke arah itu. Saya mudah saja, jika diberi pilihan sama ada mahu Ibrahim Ali atau Anwar menjadi Perdana Menteri, saya lebih rela pilih Ibrahim. Sekurang-kurangnya beliau ada pandangan dan telus. Namun, perlu diingat, kejayaan rundingan itu mungkin hanya mampu pikat pihak peringkat atasan, tapi tidak pada peringkat akar umbi. Orang tahu dia adalah seorang manusia beribu wajah. Hanya orang yang tak kenal dia akan terus sokong. Siapa yang kenal, ramai sudah meninggalkannya. Mereka bukan orang bodoh. Ketika kelulusan mereka tidak seberapa, Anwar jadi ikutan. Apabila mereka sudah bijak, Anwar ditinggalkan.

S: Ramai melihat Anwar antara orang penting yang mengasaskan ABIM dan disebabkan itu beliau sering ditampilkan sebagai tokoh Islam. Benarkah Anwar adalah orang di belakang penubuhan badan bukan kerajaan itu?

J: Selepas Anwar menamatkan pengajian di Universiti Malaya (UM) beliau membuka perniagaan Yayasan Anda dan menjadi guru besar. Semasa di UM beliau aktif dalam persatuan pelajar. Jadi apabila keluar UM, beliau memerlukan landasan untuk terus aktif. Justeru, beliau menyertai dan menang jawatan dalam Majlis Belia Malaysia. Saya waktu itu dalam Majlis Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) begitu juga Anwar yang secara automatik masuk MAYC kerana menyertai MBM. Saya berhasrat menubuhkan Angkatan Dakwah Malaysia (ADAM). Pada masa sama pun, Anwar terfikir menubuhkan satu pertubuhan belia lagi kerana jika mahu teruskan jawatan dalam MBM perlu ada kelab gabungan. Selepas berbincang dengan Allahyarham Ustaz Osman Bakar dari Kampung Gajah, Perak, kami telah memilih untuk menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Anwar langsung tiada dalam jawatankuasa penubuhan ABIM dan tidak pernah menyertai mana-mana mesyuarat penubuhannya. Saya enggan menjadi Presiden ABIM kerana tidak pandai berbahasa Arab dan kami melantik Ustaz Razali Nawawi (kini Prof Dr) sebagai Presiden. Saya sendiri dilantik sebagai Naib Presiden ABIM. Pejabat pertama ABIM didaftarkan di rumah saya di alamat No. 3, Lorong Battai Dalam, Damansara Heights, 50490 Kuala Lumpur.

S: Jadi, bagaimana Anwar mendakwa bahawa beliaulah orang di belakang ABIM sebelum ini?

J: Selepas dua tahun penubuhan ABIM, Anwar berhenti dari PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia), kerana dia bukan pelajar lagi dan dilantik sebagai Setiausaha Agung ABIM pada penghujung 1972. Pada masa sama, geng-geng al-Arqam pun berminat menyertai ABIM. Saya tidak setuju, alasan bukan pasal soal penyelewengan. Saya berkawan baik dengan mereka kerana Arqam ketika itu membekalkan kicap dan mi orang Islam kepada rangkaian kedai runcit Koperasi Shamelin.

Saya tidak setuju kerana geng dia lebih kuat solat daripada kami dan mereka lebih faham al-Quran dan tafsir sedangkan kami daripada sekolah Inggeris. Selepas itu, tiba-tiba timbul isu saya bekerja sebagai pengurus bank riba dan memimpin persatuan Islam. Jadi saya perlu pilih antara kerja bank atau ABIM. Apabila saya memilih untuk terus bekerja dengan Chartered Bank, saya terpaksa melepaskan jawatan dalam ABIM. Razali pula apabila saya berhenti, beliau pun meletakkan jawatan. Pada masa inilah, Anwar dilantik mengetuai ABIM.

S: Mengapa Tan Sri memilih untuk terus bekerja dengan bank berbanding ABIM sedangkan Tan Sri antara pengasasnya?

J: Apabila saya terpaksa memilih antara dua, bank dan ABIM, saya maklumkan kepada pihak pengurusan bank yang saya mahu berhenti kerana bukan bank syariah, tetapi mereka tidak benarkan dan membuat tawaran apa saja supaya saya terus kekal dalam bank itu. Jadi, saya balik kampung dan berbincang dengan bapa tiri saya yang juga orang PAS. Dia tanya saya mengapa saya mahu berhenti saya katakan tidak mahu terbabit dengan riba.

Bapa tiri saya tanya berapa riba yang dikenakan. Apabila saya kata 10 peratus, beliau kata itu terlalu rendah berbanding apa yang petani terpaksa bayar kepada pemborong dan pengilang sehingga 80 peratus kadar bunga. Saya buat cadangan kepada Chartered Bank memberi pinjaman RM50 juta kepada 25,000 petani di Kedah, Perlis dan Seberang Prai dengan kadar RM2,000 seorang supaya mereka boleh melangsaikan hutang dengan orang tengah dan hanya perlu membayar faedah 10 peratus. Saya ingatkan cadangan itu tidak diluluskan dan mereka benarkan saya berhenti. Rupanya sebaliknya. Saya berbincang dengan ulama di Kedah dan Aceh. Mereka kata pekerjaan itu haram, tetapi tidak benarkan saya berhenti kerana ketika itu tiada pegawai Islam dalam bank untuk menguruskan pinjaman 25,000 petani dan menyatakan Allah Maha Pengampun. Jadi, saya teruskan kerja di bank hingga petani semua tamat membayar hutang barulah saya berhenti.

S: Sejauh mana kekuatan gabungan pembangkang kali ini?

J: Saya tak nampak ia kuat lagi. Gabungan ini terdiri daripada mereka yang kecewa. Mereka semua ini hanya mengangkat Anwar kerana perlu ada seorang pemimpin Melayu dan mungkin Anwar boleh menguntungkan mereka. Saya tak nampak langsung peluang mereka untuk menang. Jika menang sekalipun tidak akan bertahan lama, pasti akan berpecah. Dalam PAS ada Dewan Ulama yang takkan biarkan agenda mereka gagal. Mereka ini akan bergaduh kecuali PAS sedia korbankan perjuangan Islam mereka. Bagaimana nak luluskan kebebasan seks jika PAS masih pertahankan hukum Islam. Adakah PAS setuju jika kita mahu berkawan dengan Israel?

No comments:

Post a Comment