Sunday, October 19, 2014

MELESTARI PERADABAN BANGSA

UCAPTAMA SEMINAR PERADABAN MELAYU KELANTAN FATONI
 - MELESTARI PERADABAN BANGSA -
Tarikh: 28 September, 2014
Ahad
Tempat: Dewan Terbuka Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Bachok, Kelantan
Masa: 09.00 pgi.

Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Yang Dihormati Saudara Pengerusi Majlis.


Yang Berbahagia Prof. Dr. Abu Hassan Hasbullah, Dekan Fakulti Teknologi Kreatif Dan Warisan Universiti Malaysia Kelantan dan Yang Berbahagia Dr. Ahmad Omar Chapakia, Timbalan Rektor Universiti Fatoni, selaku Penasihat



Yang Berhormat Mej. (B) Dato' Hj. Md. Anizam bin Ab. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan.



Sahabat lama saya Yang Berbahagia Datuk Hj. A. Aziz Bin Deraman, Presiden Peradaban dan Yang Berbahagia Prof. Dr. Kamaruzaman Yusoff, Pengerusi Pusat Kajian Lestari, selaku Pengerusi dan Pengerusi Bersama.



Yang Berbahagia Dr. Ahmad Omar Chapakia, Timbalan Rektor, Universiti Fathoni, Thailand. Seorang kawan yang pernah saya temui di sebuah hotel di Jakarta beberapa tahun yang lalu tetapi telah putus hubungan sejak itu.

 
Yang Berbahagia Setiausaha 1 Peradaban dan Setiausaha Bersama Felo Pusat Kajian Lestari,

Yang Berusaha Penyelaras Program,


Ahli-Ahli Jawatankuasa Pelaksanaan Program,

Saudara saudari SEBANGSA dan SEUGAMA yang dihormati sekalian.


TERIMA KASIH

Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih atas penghormatan yang diberi kepada saya untuk


THE LAST OF THE MOHICANS


Akhir-akhir ini, mungkin kerana ada yang memanggil saya sebagai sisa dari antara 'The Last of the Mohiccans' maka saya sering dijemput untuk menyampaikan ucapan di dalam majlis atas tajuk-tajuk yang saya minati, walaupun biasanya saya kurang mendalami, termasuklah tajuk MELESTARI PERADABAN BANGSA iaitu satu tajuk yang sangat relevan sekarang ini, lebih-lebih lagi memandang kepada suhu krisis kuasa dan kepimpinan di rantau ini yang sangat mengancam peradaban kita.



Sudah tentu pendapat yang akan saya ketengahkan tidak dapat saya pisahkan dari pengalaman hidup peribadi saya baik di masa kecil sehinggalah pencen total di hari ini. 



Perkara-perkara yang saya perkatakan di sini pasti akan dilupakan jika tidak dirakam di dalam bentuk penulisan. Sebagaimana banyak buku-buku bermutu dan bernilai yang dikumpulkan oleh Stamford Raffles telah tenggelam di lautan Hindi dalam kapal yang menuju ke Eropah, tanpa seorang pun dari anak kapal itu yang terkorban - semata-mata untuk menghapuskan khazanah warisan kita.


BALIK KE KAMPUNG


Saya merasakan datang ke Kelantan ini seperti balik ke kampung sendiri kerana adek lelaki saya telah mendirikan rumah-tangga dengan wanita Kelantan di Wakaf Ce' Yeh. Seorang sepupu saya, Tariq, iaitu anak lelaki kepada pengarang 'Interlok', Sasterawan Negara Dato' Abdullah Hussein, telah mendirikan rumah-tangga di Tumpat, sementara anak lelaki Saifuddin, sepupu saya, seorang hafiz telah mendirikan rumah-tangga di Tanah Merah dan sepupu seorang lagi, Suriaty, telah dijodohkan Allah s.w.t. dengan Allahyarham Bukhari Ce' Muda, pengasas TV Al Hijrah yang berasal dari Pasir Mas. Waktu di MCKK pula 20 orang dari 115 sahabat sekelas dengan saya sehingga ke tingkatan V, berasal dari Kelantan.


BUDI YANG MASIH DIKENANG


Saya bersetuju untuk turut menyampaikan ucapan bukanlah kerana saya pakar dengan tajuk seminar ini, tetapi lebih kerana ingin dating ke Kelantan dan mengenang budi orang Kelantan yang telah bersama-sama dengan saya mendirikan rangkaian kedai runcit SHAMELIN di seluruh Kelantan, puluhan ribu belia dan belianis bergerak di dalam pertubuhan belia MAYC, yang pernah saya pimpin selama 30 tahun, dan lebih 3,000 ribu orang penggatih teksi, atau penarik beca, di Kota Bharu, Pasir Mas dan Pasir Putih telah menyelesaikan semua hutang mereka pada The Chartered Bank di bawah skim pinjaman untuk "Bumiputra dan Luar Bandar"yang saya perkenalkan untuk mengganti beca yang mereka sewa dari Gong Kah Heng, yang tinggal di jalan arah ke Pantai Cinta Berahi dengan membayar 2 riyal (RM2.00) sehari untuk sepanjang masa, iaitu RM730.00 setahun sedangkan harga beca yang disewa itu berharga hanya RM600.00 sahaja.



Pada hari ini semua kedai runcit SHAMELIN tertutup, pertubuhan belia MAYC tidak bermaya lagi, sehingga hartanya Wisma Belia dan Wisma Tunku pun sudah di'rampas' orang, dan penggatih teksi juga sudah berubah peranan dan tidak sebagaimana di masa lalu.

JASA PAK LEH DAN PAK WEI


PEMBEBASAN DARI BELENGGU RIBA


Saya masih mengenang budi Allahyarham Pak Leh, tukang perabut, di Wakaf Ce' Yeh yang telah menghubungkan saya dengan semua penggateh teksi yang di waktu itu dibelenggu oleh hutang yang tak kunjung terbayar. Pak Leh memberi khidmat percuma, kerana bangsa dan ugama, dan tidak mendapat apa pun keuntungan dari usaha membantu saya. Beliau puas hati apabila penggatih teksi terkeluar dari belenggu riba.


KENAIKAN HARGA KELAPA



Saya juga tidak lupa kepada Allahyarham Pak We yang menyanggah saya dalam satu pertemuan dengan masyarakat Bachok, atas jemputan Ketua UMNO Bahagian di waktu itu Dato' Hj. Shahbudin. Pak We menghentikan saya, di waktu sedang bercakap, untuk bertanya, 'Bilakah harga kelapa akan naik?' Sebelum Pak We meninggalkan majlis setelah selesai bertanya kerana, katanya, ada urusan lain yang perlu dilakukan, beliau meneruskan dengan amaran, 'Kalau harga kelapa tak naik Menteri jangan datang lagi ke Kelantan.'



Kerana pertemuan itu diadakan sebelum pilihanraya saya pun berjanji (kerana ingin menang dalam pilihanraya) yang tidak munasabah 'untuk menaikkan harga kelapa' sedangkan Bank Dunia telah mengkelasifikasikan kelapa sebagai 'sunset crop' atau 'pohon senja' yang tidak digalakkan petani menanam semula ladangnya kerana harga kelapa, mengikut Bank Dunia, tidak mungkin naik.

Pak We lah yang mendorongkan saya untuk menaikkan harga kelapa yang menguntungkan para penanam kelapa sehingga ke hari ini.



Nampaknya, kejayaan menaikkan harga kelapa ini kekal dan menguntungkan bangsa kita dan masyarakat tani umumnya.


KELANTAN, FATONI DAN ACEH
 


Secara kebetulan, isteri saya, yang beribukan seorang dari keturunan Minangkabau sebenarnya berbapakan seorang Aceh yang berketurunan Fatoni, iaitu cicit kepada Mufti di Istana Trengganu, di waktu Trengganu masih di bawah pemerintahan Thailand. Hasil rundingan Sultan Aceh dengan Sultan Trengganu, di waktu itu, maka ayahanda kepada Tengku Muhammad Daud Beureu-eh telah berangkat ke Aceh dan Tengku Muhammad Daud Beureueh telah dinikahkan ke dalam keluarga ulama di Tiro yang paling terkenal di Aceh.



Dari sumber yang di dapati di Aceh Sheikh Daud Fatoni itu sendiri juga mempunyai hubungan keturunan di Aceh dari keluarga yang datang dari dunia Arab. Wallahu'aklam.



PENGALAMAN SEBAGAI ANAK KAMPUNG, ANAK ASRAMA, PEKERJA SWASTA DAN AHLI POLITIK.


Di waktu muda saya dilatih untuk menjadi 'banker' dan sekaligus mempelajari ilmu perbankan, ekonomi dan kewangan, di London dan Hamburg, pada waktu itu di dalam Negara Jerman Barat, kerana Jerman belum bersatu. Tetapi saya tidak pernah memegang jawatan dalam bidang yang saya pelajari sepanjang saya aktif sebagai Wakil Rakyat selama 30 tahun dari tahun 1974 sehinggalah tahun 2004.

Dalam Tingkatan V pada tahun 1961 saya mempunyai 115 sahabat yang, sebagaimana saya katakana tadi 20 darinya berasal dari Kelantan. Mereka dapat mengesahkan bahawa kerana pintarnya kumpulan kami dalam peperiksaan SRP di Tingkatan III pada tahun 1959 maka satu dari tiga kelas Tingkatan IV tahun 1960 telah dipilih untuk menjadi 'Pure Science Class' yang pertama dalam negara, di mana kami diberi tumpuan pelajaran dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Setelah empat tahun, dari Tingkatan III sehingga ke Tingkatan VI Atas, saya mendapat pendidikan asas yang agak  lumayan dalam ilmu Sains dan Matematik; tetapi, walaupun mendapat antara keputusan terbaik dalam peperiksaan Tingkatan V, career saya dalam bidang bank, ekonomi dan kewangan tidak ada langsung hubungan dengan apa yang saya pelajari di sekolah.

Saya menjadi ahli UMNO pada Ahad 13 Oktober, 1963 waktu berumur 20 tahun, 3 bulan dan 3 hari. Tetapi waktu saya bertanding dalam Pilihanraya Umum tahun 1974 saya tidak menjadi ahli UMNO.

Malahan saya diminta oleh Allahyarham Dato' Asri Haji Muda, Presiden PAS di waktu itu, supaya saya bertanding sebagai calon PAS di kawasan Padang Terap untuk mengganti Allahyarham Tuan Hj. Ahmad Shukri.
 
Tawaran ini dibuat oleh PAS kerana cadangan Tun Abdul Razak untuk meletakkan saya sebagai calon di kawasan Jerai di Kedah telah ditentang habis habisan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di waktu itu. Allahyarham Tun Abdul Razak telah menetapkan saya sebagai calon UMNO mewakili Barisan Nasional, di kawasan Jerai, Kedah, kerana beliaulah yang ada bukti, yang saya tidak tahu, bahawa saya menjadi ahli UMNO Bahagian Pekan selama 5 tahun berturut-turut.

Dari kisah-kisah ini jelaslah kepada saya bahawa seseorang yang memegang sesuatu jawatan itu tidaklah semestinya mempunyai ilmu dan pengalaman dalam bidangkuasa yang dia bertanggung-jawab keatasnya.



Ertinya, dengan mempelajari ilmu sains di sekolah saya ditakdirkan menjadi banker; setelah mempelajari banking, ekonomi dan kewangan di pusat-pusat pengajian tinggi saya berpindah memegang jawatan politik yang saya tidak berilmu mengenainya; dan di waktu tidak menjadi ahli UMNO saya menjadi Wakil Rakyat Barisan Nasional.   

REZEKI DARI ALLAH S.W.T.

o
Saya teringat di satu masa dahulu ada seorang yang tidak begitu normal sikapnya telah menjadikan hobinya untuk menggali semula kubur si mati setelah acara pengkebumian, talqin dan do'a selesai dan kira-kira temu-duga Mungkar Nangkir telah selesai dijalankan.

Setelah 100 kubur digalinya dan ditutupnya semula dia terus menemui Imam Sufian untuk bertanya mengenai satu penemuannya.

Soalannya kira-kira begini, 'Ya Imam Suffian, kenapakah dari 100 kubur yang aku gali setelah selesai tugas Mungkar Nangkir aku dapati 98 dan 100 mayat yang terbaring telah berbalik kebelakang dan tidak lagi mengadap kiblat seperti bila dikebumikan?'

Jawab Imam Suffian, 'Di akhir zaman dari 100 umat Islam hanya dua orang sahaja yang masih percaya bahawa rezeki itu di tentukan oleh Allah s.w.t."

Wallahu'aklam.


Walau apa jua pengajaran dari kisah ini Allah tetap tidak akan merobah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu merobah dirinya.



BERERTI kita perlu berusaha jika kita berhasrat mengekal, mempertahan dan mengukuhkan peradaban bangsa kita.



JALAN KE ATAS MENGIKUT SALURAN 'TECHNICAL KNOW WHO' DAN BUKAN 'TECHNICAL KNOW-HOW'


Saya teringat seorang sahabat saya yang saya panggil Bang Rahim waktu saya mula bertugas di Seremban dan sekaligus menjadi Setiausaha UMNO Bahagian Seremban Timur sehingga tahun 1965. Bang Rahim bekerja sebagai Penyelia Kemas dan beliau bijak berpidato tetapi mengikut gaya pemidatu orang dulu-dulu yang tetap menarik. Beliau sangat teringin menjadi Ahli Yang Berhormat.

Oleh kerana kawasan Seremban itu terlalu ramai pengundi China maka seseorang yang ingin menjadi Ahli Yang Berhormat hendaklah melobi untuk menjadi Senator atau Ahli Dewan Negara. Oleh kerana jawatan Senator itu terbatas bagi sesebuah negeri dan Bang Rahim bukanlah seorang yang mempunyai profail yang tinggi di Negeri Sembilan maka harapan beliau menjadi Ahli Dewan Negara agak tipis.

Mengetahui keiiginan Bang Rahim untuk menjadi Senator begitu tinggi saya dan Ketua Pemua UMNO Bahagian, Allahyarham Abdul Majid bin Baba telah melantik Bang Rahim untuk memegang jawatan pengerusi 3 jawatankuasa kecil. Iaitu jawatankua (1) Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sepak Takraw, (2) Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kesenian dan (3) Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pertandingan Gasing Tradisional.

Pada waktu itu Pengerusi Persatuan Sepaktakraw Malaysia ialah Tan Sri Mohd Khir Johari Menteri Perdagangan Malaysia, Menteri Penerangan Malaysia ialah Tan Sri Dato' Senu Abdul Rahman dan Pengerusi Persatuan Gasing Tradisional ialah YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Bendahari Agung UMNO.

Bang Rahim ialah tokoh UMNO tempatan yang tidak pernah main sepak takraw, tidak minat kepada seni dan tidak pandai main gasing tradisional.  Sebagai pengerusi dalam tiga bidang ini maka, dalam masa satu tahun, Bang Rahim, dengan bantuan kami, telah menganjurkan Pertadingan Gasing Tradisional bagi Negeri Sembilan, Pertandingan Talentime atau menyanyi peringkat Negeri Sembilan dan Pertandingan Sepak Takraw Peringkat Negeri Sembilan.

Dalam majlis pelancaran tiga majlis ini Bang Rahim sebagai pengerusi ketiga-tiga komiti ini telah kami dudukkan di samping VIP yang akan menjalankan majlis perasmian. Dalam semua majlis Bang Rahim menyampaikan ucapan sebelum VIP merasmikan acara. Saya telah menulis ketiga-tiga ucapan untuk Bang Rahim sampaikan. Bang Rahim dengan hebatnya telah menyampaikan ucapan dengan begitu hebat dalam tiga acara sehingga mengkagumkan VIP yang hadir.

Di waktu minum teh Tan Sri Mohd Khir Johari, Tan Sri Dato' Senu Abd. Rahman dan Tengku Razaleigh telah bertanya saya mengenai Bang Rahim dan memuji beliau atas cara penyampaikan ucapan dan isinya yang berlandaskan kajian yang teliti dan penyampaiannya pula ala Soekarno.

Kepada ketiga-tiga mereka ini saya katakan, 'Dia patut jadi Senator mewakili Negeri Sembilan jika ada sebarang kekosongan.' Beberapa bulan kemudian ada kematian seorang Senator dan saya dengan cepat menulis surat kepada ketiga tokoh mengingatkan mereka mengenai Bang Rahim. Dengan takdir Alllah s.w.t. Bang Rahim dilantik manjadi seorang Ahli Dewan Negara.

Pada satu hari, beberapa tahun kemudian, saya telah melawat rumah Bang Rahim. Oleh kerana Senator Bang Rahim perlu melayan 2 orang lagi yang datang lebih awal dari saya maka Kak Rahmah telah melayan saya dengan secawan kopi sambil bersembang mesra bertanyakan tempat saya bekerja setelah pindah dari Seremban.

Kira-kira 45 minit kemudian Senator Bang Rahim telah keluar dari bilik pejabat di rumahnya dan beliau terkejut melihat saya dan terus memeluk saya sebagai sahabat lama di waktu saya di Seremban.

Dalam perbualan saya dengan Senator Bang Rahim saya bertanya perkara yang menyebabkan 2 orang datang ke rumah Bang Rahim di waktu malam.

Beliau memberitahu kepada saya seorang darinya membawa masalah hubungan runcing dalam keluarganya sehingga isterinya meminta nasihat mengenai apa yang harus beliau lakukan.

Yang kedua menghadapi masalah perniagaan.

'Apa nasihat Bang Senator?'

'Saya bagi tahu bahawa saya bukan pakar perniagaan. Tetapi beliau tunggu nasihat saya kerana dia menganggap sebagai Senator saya tentu banyak ilmu dan pengalaman dalam berbagai bidang. Yang seorang lagi pula bertanya mengenai masalahnya dengan isteri. Bagaimana Abang nak jawab. Sanusi pun tahu abang dengan Kak Mah pun berkelahi selalu.. cuma tak sampailah nak bercerai... macam dia tu.'

'Takkan Bang Rahim beritahu padanya kisah Bang Rahim dengan Kak Mah?'

'Tidaklah. Saya berilah apa nasihat yang saya belajar dalam filem P. Ramlee, tapi tak berani, nak berikan kepada Kak Mah.' Senator Bang Rahim ketawa besar sehingga Kak Mah masuk dengan setalam hidangan. Kak Mah mencelah 'Cerita fasal Kak Mah ke tu?' Saya menjawab 'Memang Kak Mah tak pernah tinggal dari ingatan Bang Rahim.' Kak Mah tersenyum sambil berkata, 'Dah pakatlah tu.'


SIKAP FEUDAL BANGSA MELAYU

Dari cerita ini jelaslah bagi saya bahawa orang Melayu, sebagai bangsa yang feudal memandang tinggi kepada ketua mereka dan orang yang berpangkat dan seterusnya menganggap orang yang berpangkat itu mempunyai ilmu dan pengalaman yang banyak yang boleh membantu mereka.

Tetapi pangkat Yang Berhormat Senator Bang Rahim Manan dapati itu bukanlah kerana pengetahuan dalam semua ilmu yang dianggap ada padanya oleh orang bawahan tetapi kerana beliau dikenali secara 'Technical Know Who' melalui peranannya menganjurkan pertandingan gasing tradisional, sepak takraw dan peraduan kesenian dan nyanyian.

Alhamdulillah saya mendapat izin Bang Rahim untuk menyampaikan kisahnya ini sebagai satu pengajaran kepada bangsa kita.


Persoalannya, jika kita gabungkan KEPERCAYAAN ORANG MELAYU KEPADA ORANG YANG BERPANGKAT, sedangkan YANG BERPANGKAT ITU PULA TIDAK BERILMU DAN BERPENGALAMAN dalam bidang atau perkara yang menjadi persoalan bagi seseorang individu, pasangan, kumpulan, kaum dan bangsa, MAHUKAH YANG BERPANGKAT ITU MENGAKU KETIDAKUPAYAANNYA  dan tidak terus memberi pandangan dan nasihat yang salah.

Jawabnya - TIDAK.



DI SITULAH LETAKNYA MASALAH BANGSA KITA. YANG TIDAK TAHU TURUT MEMBERI NASIHAT.



AKIBAH GAGAL KERANA KEJAHILAN



Dalam bidang kedoktoran satu-satu kesilapan itu boleh membawa kepada maut; kesilapan dalam bidang engineering dan arkitektor boleh meruntuhkan bangunan dan jembatan, kegagalan seorang peguambela boleh membawa yang didakwa ke tali gantung, maka dalam bidang politik kesilapan kita boleh menyebabkan kehilangan kuasa.

Oleh kerana maut seseorang pesakit itu memberi kesempatan kepada doctor untuk menambah ilmu dan pengalaman dalam bidangnya; oleh kerana keruntuhan bangunan boleh menambah ilmu dan pengalaman kepada arkitek, engineer dan contractor; tetapi kehilangan kuasa bagi satu-satu bangsa dalam sesebuah negara atau empayar tidak mungkin dapat mengembalikan yang hilang itu dalam masa yang singkat, apatahlagi jika analisa kita mengenai kehilangan kuasa, atau apa jua yang ada pada kita, tidak berasaskan ilmu yang neutral dan pemikiran yang ikhlas. Kegagalan ini sama seperti digantung sampai mati seorang yang dituduh kerana gagal peguambelanya.


KEPUTUSAN KITA DI MASA LALU

Di satu masa dulu dalam Kongres-Kongres Ekonomi Bumiputra Pertama dalam tahun 1965, diselang-seli dengan Kongres Ekonomi Islam dan terakhirnya Kongres Ekonomi Melayu kita telah membuat ratusan usul untuk dilaksanakan oleh kerajaan demi memajukana bangsa. Di peringkat awal usul-usulnya agak jelas dan berjaya dilaksanakan.



Usul-usul itu tertumpu kepada PRASARANA, EKONOMI DAN PENDIDIKAN.

Yang jelas bagi saya yang hadir dalam Kongres Ekonomi Pertama pada tahun 1965 dan Kongres Ekonomi Melayu yang terakhir diadakan pada tahun yang lalu ialah SEMUA USUL MENGHENDAKI PIHAK KERAJAAN MELAKSANAKAN ITU DAN INI. Tidak ada usul untuk kita bertindak sendiri mengikut garis panduan yang difikirkan perlu.
 
Kesimpulan dari semua usul yang dikemukakan ialah kita perlu menambah anak-anak bangsa yang terpelajar dalam berbagai bidang ilmu.


PRASARANA ATAU INFRASTRUKTUR



Untuk membangun prasarana kita telah memberi tumpuan kepada pembinaan jalan-raya, jalan luar Bandar, bekalan air, letrik dan lain-lain keperluan asas. Kita tidak tunggu lama dan terus menghantarkan pelajar-pelajar kerana ke Brighton dengan biasiswa Lembaga Letrik Negara yang kini bernama Tenaga Nasional Berhad.



EKONOMI DAN PERNIAGAAN

Kerana dorongan yang kuat, untuk mencapai kemajuan di bidang ekonomi dan perniagaan, maka di peringkat awal banyak kurus-kursus perniagaan yang dianjurkan oleh sekolah dan agensi kerajaan dengan tenaga pengajar yang tidak pernah berniaga. Kita tidak mengelak dari cara ini kerana tidak ada dari pihak yang pandai berniaga yang mahu mengajar kita.

Sehingga hari ini pun kita masih belum puas dan terpaksa mengaku bahawa kita tidak berhasil mewujudkan tenaga pengurusan dan keusahawanan yang boleh diharapkan menjamin nasib masa depan bangsa Melayu.

Apabila Melayu yang berkelulusan menduduki tempat yang tinggi dalam jabatan dan agensi kerajaan maka sedikit demi sedikit, KERANA PENGARUH BUDAYA LUAR, bermulalah penyalahgunaan kuasa yang kemudiannya membesar kepada gejala rasuah.


Kalau dulu kita pandai mencuri ayam kini kita sudah pandai rasuah dan mencuri wang Negara. Ramai pegawai dan pembesar kita yang diheret ke mahkamah kerana akhlak yang buruk atau menghimpun kekayaan tanpa usaha yang gigih, tanpa kepandaian dan kemampuan dalam  bidang pengurusan dan keusahawanan. Terlalu ramai di kalangan bangsa kita yang kaya dan kerana kepintarannya terselamat dari hukuman.



Berapa ramaikah di antara hartawan kita yang berani menceritakan kepada anak mereka sendiri sejarah hidup mereka sehingga berjaya menjadi kaya raya. Tidakkah mereka akan berbohong jika mereka terpaksa atau dipaksa bercerita.



DARI MENGAJAR YANG KITA TAK TAHU KEPADA BERBOHONG UNTUK MENUTUP YANG PALSU



Jika di waktu kita baru Merdeka, dan tidak pandai berniaga, maka kita menghadiri kursus perniagaan anjuran guru yang tidak pernah berniaga, apakah setelah kita 57 tahun Merdeka kita terpaksa mengajar anak kita sendiri, dengan cara berbohong, memberi kisah rekaan palsu kepada keturunan kita, mengenai cara kita mencapai kejayaan.

SEBENARNYA KITA SUDAH BERJAYA MENDIDIK ANAK BANGSA.



Pada hari ini, setelah 57 tahun Merdeka, dan berbilion ringgit dibelanjakan untuk pendidikan, punca masalah kita menjadi bertambah besar kerana ramai rakyat sebangsa yang bertambah pandai dan bijak.



MALANGNYA SETELAH RAMAI GOLONGAN YANG TERPELAJAR SEMAKIN BESAR MASALAH BANGSA DAN NEGARA.



YANG KURANG PADA BANGSA KITA IALAH BUDI BAHASA, NILAI HIDUP YANG MURNI DAN ILMU SEJARAH/


HAKISAN NILAI DAN KESEDARAN SEJARAH

Sebagai pelajar ilmu Sains dan Matematik sejak umur 15 tahun diikuti pula dengan ilmu banking, ekonomi dan kewangan kemudian mendekati peneroka dan pekebun kecil di Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah, mempelajari sikap banduan dan penagih dadah di Kementerian Dalam Negeri, mengawasi pembinaan infrastruktor di luar banda semasa di Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Banda, memikirkan nasib petani, penternak dan nelayan waktu di Kementerian Pertanian dan menganjurkan program pendidikan di lebih 500 buah masjid di Kedah sebagai Menteri Besar - SAYA TIDAK PERNAH TERDEDAH KEPADA ILMU SEJARAH bangsa yang sebenar.


Winston Churchill pernah berkata: "The longer you can look back, the farther you can look forward.' Ertinya, 'Jika kita tidak dapat melihat kebelakang kita juga tidak mampu menerajui masa depan.'



Terlalu ramai orang seperti saya yang tidak mengenal sejarah bangsa.


UGAMA - SEKADAR BELAJAR FARDHU 'AIN.



PENDEDAHAN SAYA DALAM BIDANG UGAMA JUGA TERBATAS KEPADA FARDHU 'AIN.

Ada yang bertanya, dari manakah datangnya kekuatan semangat generasi masa lalu sehingga dari dijajah kita mendapat kemerdekaan.



Kita terpaksa mengakui bahawa kejayaan perjuangan generasi masa lalu bukan dari sistem atau cara yang kita pelupuri sejak Merdeka.



Kita terpaksa mengakui bahawa ibu bapa generasi masa lalu, yang mampu memperjuangkan kemerdekaan, lebih berjaya dalam usaha menanam nilai hidup yang murni kepada anak-anak mereka.



JANGAN SALAHKAN GENERASI 'Y'

Dulu bapa mampu mendidik, membimbing dan menegur anaknya sendiri, kini anak sudah menjadi lebih pintar kerana ada SPM sedangkan bapa tidak ada kelulusan sekadar jadi ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung atau Ahli Jawatankuasa UMNO atau PAS di tempat masing-masing. Kalau bapa ada BA atau BSc, anak sukar ditegur kerana ada MA atau PhD..

Walaupun BA, BSc, MA dan PhD anak masing-masing bukan dalam bidang sejarah dan budaya bangsa. Yang belajar ugama pula lebih menumpukan perhatian kepada perbezaan dalam ugama seperti perbezaan mazhab, perbezaan tok guru dan perbezaan universiti. Hampir tidak ada penekaran kepada perpaduan dan persaudaraan ummah.


KEIKHLASAN DALAM MENANGANI MASALAH



Oleh kerana masih masih ramai dikalangan kita orang baik-baik seperti yang hadir dalam majlis ini, soalannya ialah:


DARI MANAKAH DATANGNYA SISA PATRIOTISME DAN AKHLAK YANG ADA PADA KITA?


JIKA KITA INGIN MENERUSKAN, MEMPERTAHAN DAN MEMPERKUKUH ATAU MELESTARIKAN PERADABAN BANGSA RUMPUN MELAYU KESELURUHANNYA KITA PERLU BERTERUS TERANG DENGAN DIRI KITA SENDIRI.


Pelajar kita di negara Barat hendaklah menuntut ilmu dan bukan meneladani dan menghayati nilai yang merusakkan

Kegagalan kita selama ini janganlah kita jadikan bahan untuk kecewa, merajuk dab memberontak. La Takhzan. 

Negara asing pun, termasuk Amerika Syarikat, sedang menghadapi masalah yang sama.

THE TRIPLE PACKAGE

Dalam buku karangan Amy Chua dan suaminya bertajuk, THE TRIPLE PACKAGE, pendedahan telah dibuat atas kegagalan system pendidikan di Amerika Syarikat sehingga golongan minoritii seperti Mormon, Yahudi, Pendatang Cuba (Cuban Exiles), kelompok Nigeria, masyarakat Parsi, Gujarat dari India, negro dari Nigeria, imigran Korea, Taiwan dan Jepun menguasai ekonomi mereka; sementara rakya kulit putih dan hitam di Amerika Syarikat sibuk dengan dunia sukan, hibutan, perfileman, ketenteraan, industri peperangan dan peperangan.

Benjamin Spock, penulis buku bagaimana cara mendidik anak, yang menjadi 'best-seller' selama 50 tahun di dunia barat, akhirnya menulis semua mengakui bahawa caranya salah dan beliau mengakui bersalah atas sikap tidak senonoh pada generasi muda yang ibu bapa mereka menjadikan bukunya sebagai garis panduan.

Kesimpuan dari buku The Triple Package ini ialah peranan ibu bapa, golongan minoriti, dalam mendidik anak-anak mereka di rumah; dan tidak bergantung kepada sistem pendidikan di Amerika Syarikat, dan kebebasan yang di luar batasan nilai, untuk menentukan masa depan keturunan mereka. 

MASA DEPAN KITA

Pelajar kita di dalam dan di luar negara hendaklah menginsafi perjuangan yang belum selesai berlandaskan pengalaman dari sejarah masa silam, keadaan masa kini dan ramalan masa depan.


Kita perlu kembali kepada ugama kita sebagai satu-satunya cara yang dapat menyelesaikan semua masalah manusia, termasuk kita.


Yang belajar di Timur Tengah atau Asia Barat pula hendaklah melihat betapa orang-orang terpelajar di sana, YANG PERNAH MENGAJAR MEREKA tidak mampu memaju dan menyatupadukan ummah secara terpisah dari pengaruh asing yang benci kepada Islam.


Jangan pula kita terpengaruh dengan usaha musuh Islam untuk menyalahkan Islam sebagai sebab ummat Islam gagal mengendalikan urusan negara masing-masing.

Yang kaya secara haram, dari kalangan bangsa kita, hendaklah bertaubat dengan meneruskan hidup sebagai manusia yang beriman dan berguna untuk bangsa.



YANG MASIH ADA PADA KITA



Pada hari ini Malaysia masih mempunyai:

1. Raja-Raja semuanya berbangsa Melayu;

2. Perdana Menteri dari bangsa Melayu;

3. Ketua Hakim dan Hakim-Hakim juga ramai terdiri dari bangsa Melayu;

4. Menteri Besar juga dari bangsa Melayu;

5. Ketua Menteri berbangsa Melayu;

6. Menteri-Menteri ramai sekali Melayu;

7. KSN, KSU-KSU dan Ketua-Ketua Jabatan banyak Melayu;

8. Pegawai Tinggi Angkatan Tentera kebanyakan Melayu;

9. Pegawai Tinggi Angkatan Polis juga berbangsa Melayu;

10. Pegawai-Pegawai Daerah Melayu;

11. Penghulu-Penghulu bangsa Melayu;

12. Ketua-Ketua Kampung juga Melayu;

13. Boleh dikatakan semua pemimpin dan ahli UMNO Melayu;

14. Boleh dikatakan semua pemimpin dan ahli PAS Melayu.



Dengan semua yang ada pada kita ini, kita masih dalam kebimbangan dan ketakutan.


Sebenarnya, kewujudan dan pengekalan 14 kedudukan, yang tersebut ini, dengan kukuh, berpandukan pengetahuan sejarah, yang didukung oleh Perlembagaan Malaysia, yang sedia ada, jika mampu dipertahankan dengan semangat nasionalisma yang berlandaskan ugama Islam, yang kita anuti termasuk mengamalkan nilai-nilai murni yang menjadi pedoman, dan penyebab kepada akhlak kita yang baik, adalah prasyarat yang yang wajib untuk kita dapat MELESTARI PERADABAN BANGSA.



Sebaliknya SEMUA INI AKAN HILANG JIKA



a) Yang berkedudukan dan berkuasa lupa diri dan tidak menginsafi dari mana, dan kerana apa, mereka boleh menduduki tempat di atas, dan



b) Kita tidak tidak sedar atas kelalaian kita dan berhasrat untuk BERUBAH KE ARAH YANG DIPERLUKAN.


Sekian, Wabillahi Taufik Assalaamu'alaikum.



Sekian, Wabillahi Taufik Assalamu'alaikum.

No comments:

Post a Comment