MASALAH TEMPATAN TIDAK SELESAI DENGAN PEMBANGUNAN NASIONAL
LANGKAWI
PULAU SINGA BESAR
1. Ada sebuah pulau di Langkawi bernama Pulau Singa Besar.
2. Untuk menambah objek pelancongan pulau ini telah dibangunkan sebagai sebuah zoo, taman binatang atau 'animal sanctuary' untuk haiwan pelihara dan yang liar yang terpilih. Jenis haiwan yang dipelihara dan diberi tempat berteduh dan perlindungan adalah terbatas dan disesuaikan dengan tempat.
3. Waktu mula-mula dibangunkan, dan belum ada banyak tarikan pelancongan yang lain, ramailah pelancong tempatan dan dari luar negeri yang melancong ke pulau ini'
4. Idea untuk membangunkan pulau ini datangnya dari Tun Dr. Mahathir.
5. Sebagai Ahli Parlimen Langkawi, Ahli Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Menteri saya telah dipertanggungjawabkan untuk mengawasi pembangunan di pulau ini.
6. Kalau Barisan Nasional mengatakan kawasan FELDA, Sabah dan Sarawak sebagai 'wang simpanan tetap' atau 'fixed deposit' kerana di sana BN boleh menang dengan mudah dan membantu kemenangan Barisan Nasional untuk mengendali kerajaan pusat, bagi Langkawi pula 'fixed deposit'nya ialah sokongan untuk BN dari pengundi di Pulau Tuba dan di Ladang Sungai Raya kerana 95% pengundi di dua tempat ini menyokong BN. Jumlah pengundi di dua tempat ini, dalam ingatan saya, adalah sekitar 2,000 orang.
MELAYU
7. Pulau Tuba ialah pulau kedua terbesar di dalam kumpulan 99 buah pulau di Langkawi yang bila air lautan surut, jumlahnya pulaunya bertambah kepada 104. Pulau Tuba terletak bersebelahan Pulau Singa Besar di mana terbinanya 'sanctuary' atau taman binatang itu. Boleh dikatakan 100% penduduk Pulau Tuba, di waktu itu, termasuk semua peniaganya, adalah orang Melayu belaka.
INDIA
8. Sebaliknya, sekitar 95% penduduk di Ladang Sungai Raya adalah dari keturunan India. Hampir kesemuanya dari keluarga penoreh getah. Ladang ini adalah milik Tan Sri Loh Boon Siew seorang jutawan hartawan yang tinggal di Pulau Pinang.
PERTUMBUHAN PAWAGAM
9. Pada waktu ayah dan ibu saya pindah ke Pulau Langkawi, pada tahun 1955, jalan tar yang ada hanyalah yang menghubungkan Pekan Kuah dengan Ladang Sungai Raya sepanjang sekitar 5 batu. Semua jalan lain berliku-liku dan tanah merah belaka. Pada waktu itu ayah saya bekerja sebagai pemandu lori Taukeh Teik yang mengangkut tanah merah untuk menambak tanah dalam pembinaan jalan tanah merah yang lebih lurus dan besar dari Pekan Kuah ke Padang Mat Sirat.
10. Kami tinggal di Kampung Didik di belakang pawagam yang bernama 'Kim Sun Talkies'. Kim Sun Talkies ini dibina oleh taukeh yang sama dengan pemilik Jitra Talkies di Jitra, Gurun Talkies di Gurun, Guar Chempedak Talkies di Guar Chempedak setelah lebih awal didirikan Yan Talkies di Pekan Yan, tempat saya dilahirkan. Pekan Yan hanya 7 batu jauhnya dari Guar Chempedak.
TALIB BIN ABDULLAH
11. Operator yang bertugas mengurus alat untuk tayangan gambar di semua pawagam yang saya sebut di atas ialah Talib bin Abdullah yang nama asalnya Thangimalai. Beliau bertugas sebagai operator panggung-wayang 'Empire Theatre' di Sungai Petani dan telah berpindah ke Yan apabila 'Yan Talkies' dibuka. Thangimalai ialah anak angkat ayah saya sehingga dia memeluk ugama Islam. Dia berpindah ke kampung isterinya di Bukit Mertajam dan bekerja di panggung-wayang atau pawagam di sana sebelum beliau meninggal dunia (Al Fatihah)
.
12. Apabila siap dibina jalan tanah merah yang lebih baik dan lurus dari Kuah ke Padang Matsirat maka taukeh 'Kim Sun Talkies' telah mendirikan panggung-wayang atau pawagam (perkataan yang dicipta oleh Seniman Agong Tan Sri P. Ramli) dan diberi nama 'Mat Sirat Talkies'. Untuk orang lama di Langkawi mereka tentu ingat bahawa pawagam 'Mat Sirat Talkies' didirikan di depan rumah Panglima Ibrahim. Semua panggung-wayang gambar atau 'pawagam' yang saya sebut di sini sudah tiada lagi.
NAMA LANGKAWI
13. Mengikut buah mulut orang tempatan nama Langkawi ini adalah sempena burung helang yang berwarna coklat (kawi) yang istimewa terdapat di Langkawi. Selain dari orang tempatan yang menghuraikan asal usul nama Langkawi ini ada juga ramai penduduk dari keturunan Siam kerana Thailand bersempadan dengan Langkawi. Mereka menamakan Kampung Sungai Itau di timur Langkawi. Ramai juga penduduk yang berasal dari Aceh di Padang Lalang dan di Kampung Kuah.
14. Di kalangan orang-orang tua Aceh yang saya temui pada tahun 1956, nama Langkawi dikatakan berasal dari perkataan 'Lham Ka Wei' yang bererti 'Tempat Mengail Ikan' kerana banyak nelayan dari Aceh yang menangkap ikan di lautan sekitar Langkawi kerana Aceh adalah negeri yang terdekat di seberang lautan di barat Langkawi.
BUKU USTAZ BUDIMAN RADZI
15. Oleh kerana ramai keluarga saya berada di Langkawi maka saya gembira bertemu mereka apabila dicalonkan menjadi Ahli Parlimen di Jerlun-Langkawi. Kebanyakan mereka adalah ahli PAS. Tokoh PAS di Langkawi pada waktu itu ialah Ustaz Budiman Radzi, seorang penulis, yang bertalian keluarga dengan saya. Dari buku beliau bertajuk 'Cara Berpidato' saya tambah memperkayakan diri saya dalam ilmu dan amalan berpidato yang sangat berguna dalam bidang pendidikan dan politik.
16. Saya telah diajar oleh Ustaz Budiman bahawa:
i) Jika kita pandai bekerja tetapi tidak pandai berpidato kerja kita akan berhasil tetapi
tidak ada yang tahu hasil kerja kita untuk dicontohi atau dimunafaatkan
ii) Jika kita pandai bekerja dan pandai juga berpidato hasil kerja kita berjaya dan rakyat
boleh memunafaatkannya setelah mendengar pidato mengenai hasil kerja kita.
iii) Jika kita pandai berpidato tetapi tidak pandai bekerja maka pidato kita tidak
berfaedah dan hanya tinggal gendang kosong yang pemidatonya pandai membuat
janji yang tidak dapat dikota dan rakyat akan keciwa apabila membuktikan tidak
dapat bekerja dengan baik dan pidatonya menjadi punca huru-hara. .
17. Saya telah menang dalam pilihanraya pada tahun 1978 dan 1982 dengan majoriti yang besar di Jerlun-Langkawi. Saya bekerja dan berpidato. Pada waktu itu Langkawi belum dipisahkan dari Jerlun.
KEGELISAHAN MASYARAKAT INDIA
18. Tiba-tiba, sebelum pilihanraya berikutnya pada tahun 1986, setelah kawasan Parlimen Jerlun-Langkawi dipecahkan dan Langkawi dipisahkan dari Jerlun, saya terdengar ada sedikit kegelisahan di kalangan masyarakat India di Ladang Sungai Raya berkaitan dengan kehendak mereka untuk mempunyai rumah sendiri, lebih-lebih lagi rumah-rumah yang sedia ada sudah terlalu uzur.
19. Saya mendapat tahu dari rakan-rakan yang berada dalam barisan pimpinan UMNO, MCA dan MIC yang mempunyai keluarga atau kawan di Ladang Sungai Raya bahawa kegelisahan itu adalah kecil, dan sudah lama diutarakan, tetapi tidak memberi kesan ke atas pilihanraya.
TAFSIRAN RAMAI HADIR DAN TEPUKAN GEMURUH
20. Satu perjumpaan orang ramai telah diadakan di Ladang Sungai Raya dan berduyun penduduk Pulau Langkawi telah hadir. Saya mendapat tepukan yang gemuruh apabila saya berpidato dalam bahasa Tamil. Mereka paling gemar mendengar saya menyeru "THAANI MARAM TOPPU AKHAAZU kerana mereka, sebagai penoreh gerah yang tinggal di Ladang Sungai Raya mudah menggambarkan erti seruan saya supaya mereka bersatu kerana 'SATU POKOK TAK BOLEH JADI KEBUN'. Memang jelas benar bagi mereka kerana 'satu sahaja pokok getah tidak mungkin boleh dikatakan satu kebun, ladang atau estet.
21. Ini juga bererti mereka hendaklah bulat menyokong BN jika mahukan pembangunan dan mereka juga perlu bulat bersatu menentang BN jika isu mereka tidak dipedulikan.
22. Tepukan yang gemuruh ke atas ucapan saya itu telah menggembirakan ahli-ahli jawatankuasa BN yang hadir, tetapi, kerana terlalu gemuruh saya menjadi bimbang. Kerana perpaduan itu laksana gergaji dua mata - berpadu menyokong dan berpadu menentang. Penyokong-penyokong saya yakin dan memberi jaminan bahawa kehadiran yang ramai dan tepukan yang gemuruh itu bererti sokongan yang padu.
23. Saya tidak puas hati dengan jaminan ini kerana saya mendapat tahu bakal calon parti PAS yang akan menentang saya sudah sering ke Ladang Sungai Raya walau pun mereka gagal menembusi kubu Pulau Tuba.
24. Saya telah pergi berseorangan ke Ladang Sungai Raya dan beberapa orang pengundi telah bertemu saya dan menyatakan sokongan mereka. Bila saya tanya berapa orang pengundi India menyokong BN mereka menjawab 'YELLAM' yang bererti 'semua'. Kerana nada bunyi 'yellam' itu maka saya menjadi bertambah ragu dan tidak puas hati.
PULAU TUBA
25. Lain pula di Pulau Tuba. Malahan, seorang tokoh muslimat PAS pusat, dengan penyokongnya dari PAS Kedah, pernah datang dengan bot sewa ke Pulau Tuba untuk sembahyang 'Asar di masjid Pulau Tuba. Apabila diketahui oleh imam dan makmum dalam masjid mereka ingin berceramah politik PAS mereka telah dinasihatkan supaya balik ke Pulau Besar kerana tidak ada yang mahu mendengar ceramah mereka. Terus mereka ke jeti untuk pulang ke Kuah. Di jeti mereka dapati banyak perahu dan bot pelancong milik orang Tuba tetapi tiada seorang pun dari kalangan pemilik bot di Tuba yang membenarkan mereka menaiki bot kerana pemilik bot di Tuba semua menyokong UMNO belaka.
26. Akhirnya rombongan muslimat PAS itu terpaksa dibawa oleh bot polis.
DUA KEANEHAN
27. Di waktu pilihanraya saya dapati ada dua keanehan berlaku di Pulau Tuba. Iaitu sejumlah kecil dari beberapa orang pengundi sahaja yang memangkah pembangkang. Jumlah mereka adalah dengan jumlah guru yang dipindahkan ke Pulau Tuba kerana dikatakan menentang kerajaan di daratan Kedah.
28. Kejadian kedua ialah apabila seorang yang umurnya lebih 80 tahun masuk ke tempat mengundi dan segera keluar dengan perasaan marah. Dia tengking penyelia peti undi kerana dia sebagai ahli UMNO yang sejati telah dipesan oleh Tunku Abdul Rahman, mantan Perdana Menteri yang pernah menjadi calon Perikatan (sebelum BN ditubuhkan) di kawasan Langkawi-Kuala Kedah (sebelum ditukar menjadi Jerlun-Langkawi) supaya terus memangkah simbol kapal-layar (simbol Perikatan).
29. Orang perempuan tua ini telah bersumpah pada Tunku untuk tidak menyokong selain parti Perikatan yang bersimbolkan dacing hingga ke akhir hayat. Katanya, 'Tunku tak suruh panggal simbol dacing'. Rupa-rupnya masalah begini berlaku dengan orang tua yang sama sejak BN ditubuhkan sehinggalah beliau meninggal dunia sebagai penyokong UMNO dalam Perikatan, tetapi bukan UMNO dalam Barisan Nasional..
30. Pada satu hari saya telah menerima maklumat dari dua orang buruh di Ladang Sungai Raya bahawa pemimpin BN Langkawi tidak memberi pandangan yang tepat mengenai sikap pengundi di Ladang Sungai Raya terhadap kerajaan BN. Mereka hanya mengadakan perjumpaan orang ramai di sana dan memberi hidangan yang mewah tanpa mengetahui keluhan sulit yang membara dalam hati mereka. Buruh berketurunan India ini telah meminta saya datang ke Ladang Sungai Raya pada kira-kira pukul 4 petang atau selepas pukul 3 petang dan mendengar keluhan mereka. Dia minta saya pergi sendiri tanpa didampingi oleh kawan-kawan.
MABUK KERANA TUAK
31. Pada petang hari terdekat saya telah memandu sendiri kereta saya untuk pergi ke Ladang Sungai Raya. Saya sampai kira-kira hampir pukul 4 petang.
32. Saya terkejut apabila sampai ke ladang kerana melihat penoreh getah Ladang Sungai Raya sedang mabuk dipengaruhi oleh tuak yang mereka minum sebagai rekreasi atau melupakan diri atau pun membenamkan duka. Beberapa orang, dalam setengah sedar, telah menyerbu saya untuk berdailog. Satu demi satu mereka bertanya berbagai soalan kepada saya dengan nada yang agresif atau mengancam.
BERDAILOG DENGAN YANG KURANG SEDAR
33. Tiba-tiba seorang ketua di kalangan mereka mendekati saya untuk mendapat penjelasan saya mengenai beberapa perkara. Dialognya kira-kira begini:
Saya ditanya: 'Apa fasal awak mari sini?'
Jawapannya: 'Saya datang sebagai Wakil Rakyat.'
Soalan: 'Awak jadi Wakil Rakyat saya ada tolongkah?'
Jawapan: 'Ada.'
Soalan: 'Apa macam kita orang semua tolong?'
Jawapan: 'Awak semua undi saya dalam pilihanraya dan saya ucapkan terima kasih kerana hampir semua pengundi Ladang Sungai Raya mengundi BN.'
Soalan: 'Apa itu BN?'
Jawapan: 'Itu parti kita. BN bererti Barisan Nasional. BN menggabungkan MIC, MCA dan UMNO di dalamnya.'
Soalan: 'Ma Ee Ka (ejaan dalam bahasa Tamil untuk MIC) ada member BN ya?'
Jawapan: 'Ada.'
Soalan: 'Itu Menteri Besar dia calon Langkawi juga. Dia jadi Menteri Besar kita orang Sungai Raya Estate ada tolong ke?'
Jawabnya: 'Ada.'
Soalan: 'Apa macam kita orang tolong?'
Jawapan: 'Kalau pengundi Sungai Raya Estate dan pengundi India yang lain tidak sokong BN sudah tentu Dato' Syed Nahar tidak boleh jadi Menteri Besar.'
Soalan: 'Dia tahukah kita orang ada tolong?'
Jawapaan: 'Dia tahu?'
Soalan: 'Apa fasal dia tak mari. Awak apa fasal mari?'
Jawapan: 'Saya datang sendiri dan juga mewakili dia.'
Soalan: 'Wakil jadi wakil ya?'
Jawapan: 'Dia sibuk menolong orang India di tampat lain.'
Dia pun marah dan terus menempelak: 'Awak jangan temberang, dia mana ada pergi tolong orang India.'
Jawapan: 'Dia sibuk kerana banyak kerja dan sebagai Menteri Besar dia tolong semua orang. Orang India juga.'
Katanya: 'Awak pandai juga jawab.'
Waktu ini sudah hampir 50 orang mengerumuni saya dan saya tidak dapat menahan bau tuak yang begitu menusuk hidung.' Mereka pun bersorak riuh mendengar jawapan-jawapan saya.
Seorang lain mencelah dan meneruskan pertanyaan: 'Itu Mahathir jadi PM kita orang ada tolong ke?
Jawapan: 'Ada.'
Soalan: 'Apa macam dia tolong?'
Jawapan: 'Semua orang India di Malaysia mengundi Barisan Nasional. Bila BN menang bolehlah Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.'
Yang bertanya menjadi agresif lalu memarahi saya: 'Saya tarak tanya semua orang India. Saya tanya ini orang India Sungai Raya Estate.'
Saya terus sabar dan menunggu keadaan bising menjadi reda sebelum saya menjawab: 'Awak tanya fasal Mahathir jadi Perdana Menteri Malaysia. Kalau pengundi India Langkawi saja mengundi BN dan pengundi India yang lain tidak menyokong bagaimana Mahathir boleh jadi PM.'
Penanya yang pertama telah tampil semula kedapan untuk menyambung pertanyaan dan menolak penanya kedua ketepi. Dia pun bertanya: 'Itu Mahathir sini selalu mari dia tak dak mari Sungai Raya Estate. Apa fasal?'
Jawapan: 'Dia melihat semua pembangunan di Langkawi dan banyak berjumpa pegawai dan orang-ramai di tempat lain. Satu hari dia akan datang ke mari.'
Soalan: 'Tapi dia selalu pergi ke Pulau Singa Besar - mana ada orang di sana? Di sini ada banyak orang.'
Jawapan: 'Dia pergi tengok binatang-binatang di sana?'
Soalan: 'Apa binatang ada di sana?'
Jawapan: 'Ada burung, ular, dan binatang-binatang lain.'
Soalan: 'Ada burung, ular, harimau, anjing dan itu semua ada tolong BN menang dalam pilihanraya?'
Jawapan: 'Tidak, kerana haiwan tidak mengundi.'
Soalan: 'Betul juga. Itu binatang tidak undi BN. Tapi saya dengar orang cakap itu binatang semua ada sangkar, rumah dan tempat tinggal yang cantik-cantik.'
Jawapan: 'Betul. Supaya sesuai untuk dilihat oleh pelancong-pelancong.'
Soalan: 'Oh itu macam. Binatang tidak tolong BN boleh dapat rumah orang Sungai Raya Estate banyak tolong BN tak boleh dapat rumah.'
JANJI UNTUK DITUNAIKAN
34. Saya pun berjanji untuk buat rumah untuk mereka dan saya tanya mereka lagi: 'Saya janji untuk selesaikan masalah rumah yang tuan-puan perlukan. Dalam pilihanraya akan datang adakah tuan-tuan dan puan boleh menyokong BN supaya saya boleh teruskan usaha membantu tuan-puan kerana masa untuk pilihanraya sudah dekat dan rumah tidak akan siap sebelum pilihanraya?'
35. Semua terdiam, tiba-tiba seorang perempuan tua yang bersari, yang hadir dari awal dailog berjalan, tetapi tidak mabuk, telah tampil ke depan dan berkata: 'Yang berhormat ada cakap itu 'satu pokok tak boleh jadi kebun'. Kita pun tahu kita orang India lawan-lawan sama sendiri, pasal MIC pun lawan jadi ketua, kita minta apa pun tak boleh dapat. Ellam (ertinya 'semua') sekarang sudah satu hari mahu tentang BN dalam pilihanraya mau mari. Tapi AKU NENEK TAHU, kita percaya sama YB fasal YB juga cakap Tamil, tahu Auvayyar dan tahu Sivaji Ganesan yang main wayang Paa lum Paghamum dan YB tahu lagu Nina Pattilum Ni Pei Sa Veindum. YB punya janji aku boleh percaya. Tapi esok YB kena cakap pada Boon Siew suruh kasi tanah buat rumah untuk kita. Kita pun boleh suka macam burung Pulau Singa Besar.
ORANG MABUK TIDAK BERBOHONG.
36. Dailog di atas telah saya rakamkan walaupun, kerana perjalanan masa bunyinya tidak begitu jelas. Saya terpaksa tambah atau membetulkan sesetengah perkataan supaya maksudnya jelas tetapi tidak lari dari bahasa asal. Bahasa asal lebih kasar dari di atas.
37. Saya bersyukur kepada Allah kerana membuka hati saya untuk mengadakan pertemuan ini. Jelaslah bagi saya orang mabuk tidak pandai berpura-pura atau berbohong tetapi yang main politik, pandai berpura-pura dengan amalan diplomasi, dan berbagai tipu helah, kebanyakannya tidak bercakap benar, tetapi tidak mabuk.
38. Pada ke esokan harinya saya telah berjumpa dengan Tan Sri Loh Boon Siew di restoran Jepun di Bayview Hotel di Pulau Pinang untuk menceritakan penderitaan penduduk Ladang Sungai Raya yang menyokong calon UMNO sejak merdeka. Mereka kini sudah tidak sabar lagi. Dengan sukacita Tan Sri Boon Siew telah memberi sekeping tanah estetnya untuk didirikan rumah murah, yang ada sekarang ini, untuk keluarga penoreh getah di Ladang Sungai Raya.
38. Pada ke esokan harinya saya telah berjumpa dengan Tan Sri Loh Boon Siew di restoran Jepun di Bayview Hotel di Pulau Pinang untuk menceritakan penderitaan penduduk Ladang Sungai Raya yang menyokong calon UMNO sejak merdeka. Mereka kini sudah tidak sabar lagi. Dengan sukacita Tan Sri Boon Siew telah memberi sekeping tanah estetnya untuk didirikan rumah murah, yang ada sekarang ini, untuk keluarga penoreh getah di Ladang Sungai Raya.
39. Alhamdulillah, dengan pertemuan di Ladang Sungai Raya mata saya telah terbuka terhadap masalah yang terpendam dalam hati pengundi dan dengan pertemuan di Bayview Hotel masalah itu telah dapat diselesaikan.
40. Dalam pilihanraya berikutnya BN menang di Langkawi dan peti undi Ladang Sungai Raya berisi 100% kertas undi yamg terpangkah dengan jelasnya di samping simbol dacing Barisan Nasional.
BERTAMBAH KESEDARAN
41. Satu kesedaran tambahan yang penting bagi saya ialah walau apa pun yang kita buat untuk negara, khususnya di Pulau Langkawi tetapi, masalah khusus jika tidak diselesaikan maka ianya tidak akan terpadam dengan kejayaan kita di bidang lain.
42. Dalam konteks masakini jelaslah bagi pengundi dari kalangan rakyat jelata bahawa mereka tidak peduli samaada bangunan kita mencakar langit, kita terkenal di peringkat antarabangsa, jamuan makan diberi dengan mewahnya kepada kita, kita berucap berapi-api, kita ingin lindungi keselamatan Israel, atau berusaha supaya seks antara sejenis dibenarkan, sebelum masalah khusus mereka yang telah membara diselesaikan.
HARAPAN BANGSA
43. Inilah peluang yang masih ada pada kerajaan BN untuk membela rakyat dan membetulkan kesilapan. Yang penting ialah feed-backnya betul.
44. Orang-orang politik yang berjawatan hendaklah mengenal diri sendiri dan sanggup berkorban untuk kepentingan ugama, bangsa dan negara dengan mengundur diri jika imej dan kemampuannya tidak menguntungkan parti dan merugikan negara.
45. Itulah sebenarnya harapan bangsa.
45. Itulah sebenarnya harapan bangsa.
Datuk,
ReplyDeleteHarapan Bangsa agar semua pemimpin UMNO Baru bertaubat.Bertaubatlah dengan kegiatan rasuah, mencuri,salah guna kuasa,menipu rakyat
Contohnya eknapa UMNO Baru begitu ghairah untuk menyerahkan ladang dan tanah milek FELDA kapada FGV yang gagal berkecimpong dipersada perdaganagan antarabangasa untuk menyenaraikan syarikat yang sudah nazak itu saya tak faham. Tetapi yang jelas masa depan FELDA akan tergagdai. Sesiapa sahaja boleh memiliki FGV.
Nampaknya kerja UNMO Baru yang diasaskan oleh keturunan pendatang Kerala ini hanya menghancurkan segala usaha arwah Tun Razak-antara pengasas UMNO yang dikuburkan oleh keturunan Kerala tersebut.
Bank Bumiputra sudah dikuburkan,MAS sedang nazak dan nasibnya ditangan Tony Fernandes,masa depan Tabung Haji terancam,PETRONAS telah hangus berbillion menangung subsidi gas kapada kroni-kroni IPP.Antara IPP kroni itu di kuasai oleh Ananda. Sekarang Ananda mengaut RM8.5 billion melupuskan IPP kapada IMD.
3 ekar juta tanah rezab Melay telah lesap.RM1.3 trillion telah diseludup keluar negara untuk di "dobikan".Kalau pemimpin UMNO Baru tidak segera bertaubat,menjelang 2020 giliran rakyat pula Malaysia menjadi PATI ka Indonesia,Myanmar,Vietnam dan Bangladeh.
Tan Sri,
ReplyDeleteKalau Anwar jadi PM, kita kena ramai-ramai bertaubat. Mana tidaknya, kita meletakkan sejenis manusia serupa kaum Nabi Lut untuk memimpin kita sedangkan kita sepatutnya telah menenggelamkan karier politikyna. Taubat!
Membaca tulisan Tan Sri memperlihatkan kesungguhan pemimpin UMNO mendalami masalah yang dihadapi oleh rakyat. Maka tidaklah benar bahawa pemimpin UMNO rasuah, mencuri atau menipu. So Anonymous bertaubatlah!
UMNO baru tak diasaskan oleh keturunan kerala tetapi keturunan Anonymous mungkin berasal dari kerala.
Jika anon tak faham tentang penyenaraian FGV minta buat kajian dulu sebelum komen. Jadi bertaubatlah kerana mengutuk tanpa usul periksa.
Dan yang lain lain komen yang tidak relevan tu tak perlu beratubat kerana manusia yang pendek akalnya tidak mungkin berbuat demikian.