Wednesday, February 23, 2011

OM BUS DALAM KENANGAN

OM ERTINYA PAK CIK ATAU 'UNCLE'


1. 'Om' ialah perkataan Belanda yang bererti 'Uncle' atau Pak Cik. Ada tiga orang di Jakarta, Indonesia yang isteri saya, dan juga saya, panggil dengan gelaran Om, iaitu Om Bus, Om Rahman dan Om Shamsuddin. Om Bus ialah bagi Lt. Jenderal (Purnawirawan) H. Bustanil Ariffin SH yang baru meninggal dunia Hospital Cedars-Sinai, Los Angeles pada 13 Februari, 2011 pukul 00.43 pagi bersamaan pukul 3.43 petang waktu Jakarta. Beliau mencapai umur 85 tahun dan telah dikebumikan di Makam Pahlawan di Kalibata, Jakarta pada 18 Februari, 2011.

2. Om Rahman, atau Pak Rahman Ramly, pula ialah Tan Sri Dato' Paduka Lt. Jenderal (Purnawirawan) H. Rahman Ramly. Beliau ialah sepupu ayah saya Junid yang saya baru kenal di waktu Majlis Resepsi Perkahwinan saya di Dewan Panti Perwira di Jakarta pada 22 Januari, 1971. Om Rahman ialah adik isteri pertama Sasterawan Negara Dato' Abdullah Hussain pengarang 'Interlok'. Beliau mendapat gelaran Tan Sri Dato' Paduka kerana jasa beliau turut menamatkan 'konfrantasi Soekarno' ke atas Malaysia. Setelah bersara dari jawatannya dalam tentera, makanya bergelar 'purnawirawan', Om Rahman pernah menjadi Pengerusi Pertamina, syarikat minyak negara Republik Indonesia, Pengerusi GLC Indonesia P. T. Astra dan Duta Besar Republik Indonesia ke Washington.

3. Om Shamsudin pula ialah mantan Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Syiah Kuala, Banda Aceh dan mantan Gabenor Aceh. Beliau adalah angota keluarga isteri saya.

4. Om Bus dan Om Rahman Ramly, sebagaimana juga Jenderal (Purnawirawan) Maraden Saur Halomoan Panggabean, yang menjadi Ketua Angkatan Bersenjata Republik Indonesia, ketiganya pernah berkhidmat di bawah mertua saya Teungku Hasballah Mohd Daoed Beureu-Eh yang di satu masa dulu, sebelum beliau menjadi salah seorang dari 8 orang Panglima Tentera Mujahiddin Darul Islam di Aceh, telah berkhidmat dengan pangkat Kolonel (Colonel) dalam Tentera Republik Indonesia (TNI) yang turut berjuang untuk kemerdekaan Republik Indonesia.

ERTI KEPERGIAN OM BUS

5. Kepulangan Om Bus ke rahmatullah membawa erti yang mendalam bagi saya. Saya kehilangan seorang bapa, sahabat dan penasihat, khususnya dalam hubungan saya dengan Indonesia.

6. Om Bus dilahirkan di Padang, Sumatra dan beliau dari kecil dibesarkan, bersekolah dan berkhidmat di masa mudanya di Aceh. Beliau menganggap dirinya sebagai orang Aceh. Isterinya ialah anggota keluarga Ibu Tien iaitu isteri Presiden Soeharto. Setelah menjadi anggota tentera beliau juga pernah berkhidmat dalam dunia diplomatik, politik dan perniagaan.

DIHUKUM KERANA MEMANDU LAJU

7. Setelah diperkenalkan oleh bapa mertua saya di hari perkahwinan di Jakarta saya diperingat kembali nama Bustanil di waktu saya sebagai Menteri telah diiringi dengan escort polis dalam perjalanan dari Medan ke Banda Aceh. Setelah melintasi batasan Medan saya dapati beberapa pesalah tersandar di beberapa tiang telefon sepanjang satu kilometer kerana dihukum keterlaluan berat. Polis memberitahu kesalahan mereka ialah kerana membawa kereta terlalu laju di jalan raya.

Wednesday, February 16, 2011

KEKALKAN PERBEZAAN BANGSA SUPAYA MELAYU TIDAK LALAI

KERTAS LATAR BELAKANG DAN PANDUAN BAGI UCAPAN SEBAGAI AHLI PANEL DALAM SIMPOSIUM DILEMA MELAYU ANJURAN ASPIRASI PADA 12HB FEBRUARI, 2011 DI PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), KUALA LUMPUR


"MILIKAN 30% EKUITI BUMIPUTRA MENJELANG 2020 - BAGAIMANA DAN DI MANA MELAYU?"

ANGKA 30 DAN 2020 MENGHANTUI MELAYU

1. Dua angka ini, 30 dan 2020, telah menghantui bangsa Melayu, dan membimbangkan yang bukan Melayu, sejak Dasar Ekonomi Baru dilancarkan pada tahun 1972. Untuk mengenal pasti bagaimana angka 30% ekuiti Bumiputra itu lahir, ada baiknya kita melihat perjalanan sejarah berbagai dasar ekonomi yang telah diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia.

DASAR EKONOMI BEBAS

2. Di waktu kemerdekaan dicapai apa yang kita perjuangkan, dan dipersetujui oleh semua kaum, dalam bidang ekonomi, ialah amalan Dasar Ekonomi Bebas. Kebebasan ini, yang ditafsirkan oleh orang-orang Melayu sebagai kebebasan untuk menerokai berbagai bidang perniagaan dan perusahaan, dengan kerjasama peniaga dan pengusaha asing, jika peniaga dan pengusaha milik China dan India tidak mahu membantu, atau bekerjasama dengan Melayu, sekali pun.

KEKECEWAAN PENIAGA DAN PENGUSAHA MELAYU

3. Apa yang didapati oleh peniaga dan pengusaha Melayu ialah perkataan  bebas itu ditafsirkan oleh peniaga dan pengusaha asing sebagai bebas untuk memilih sesiapa saja yang mereka suka sebagai rakan peniaga dan pengusaha, bebas untuk tidak melayan rayuan dari pihak peniaga dan pengusaha Melayu yang memerlukan bimbingan, dan bebas untuk tidak memberi apa-apa pertimbangan atau layanan untuk monolong bangsa Melayu yang dahagakan rakan-kongsi yang berilmu dan berpengalaman dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

4. Sikap begini tidak menyalahi undang-undang atau semangat perlembagaan kerana memang itulah erti Dasar Ekonomi Bebas yang termaktub di dalamnya.

TENTANGAN TERHADAP DASAR EKONOMI BEBAS

5. Kongres Ekonomi Bumiputra Pertama pada tahun 1965 telah menentang dengan hebatnya Dasar Ekonomi Bebas ini. Tentangan ini adalah kemuncak daripada kegelisahan orang-orang Melayu yang buntu mendapat dukungan dari swasta yang berkemampuan membantu, malahan merasa terhalang kerana sikap mereka menegakkan kebebasan untuk memilih sendiri rakan kongsi atau retailer kepada barang wholesale mereka.

DASAR EKONOMI BARU DIKETENGAHKAN MENGGANTI DASAR EKONOMI BEBAS

6. Akibat dari kegelisahan orang-orang Melayu inilah maka Dasar Ekonomi Baru diketengahkan untuk mengganti Dasar Ekonomi Bebas pada tahun 1972, iaitu setelah 3 tahun berlakunya tragedi peristiwa 13 Mei, 1969.

DASAR EKONOMI BEBAS KEKAL DI DALAM PERLEMBAGAAN

7. Walau bagaimana pun Dasar Ekonomi Bebas tetap kekal di dalam Perlembagaan Malaysia kerana Dasar Ekonomi Baru itu dijangka berlaku hanya selama 20 tahun.

DASAR PEMBANGUNAN NEGARA MENGAMBIL ALIH PERANAN DASAR EKONOMI BARU

8. Jangkamasa Dasar Ekonomi Baru berakhir di zaman Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri. Ianya telah diganti dengan Dasar Pembangunan Negera yang dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir sebagai tunjangan atau kesinambungan kepada Dasar Ekonomi Baru di mana kepentingan Bumiputra, sebagaimana yang diperjuangkan di bawah Dasar Ekonomi Baru, diteruskan.

BIDANG PERJUANGAN DASAR EKONOMI BARU

9. Di bawah Dasar Ekonomi Baru dua bidang perjuangan yang telah diketengahkan ialah:

1) Membasmi kemiskinan, dan

2) Menyusun semula masyarakat.

MEMBASMI KEMISKINAN

10. Perjuangan membasmi kemiskinan ini yang merupakan bidang yang paling popular bagi semua kaum, dan parti politik, telah tidak menjadi isu setelah tamat jangkamasa Dasar Ekonomi Baru kerana orang-orang miskin, dari semua kaum, bergantung nasib kepada parti-parti politik dan penulis (samaada pengarang, wartawan atau ahli akademik) kerana orang-orang miskin tidak mempunyai pertubuhan, samaada NGO atau parti politik yang dipimpin oleh orang-orang miskin atau orang-orang yang pernah miskin dan kemiskinan masih dalam ingatan dan kenangan, untuk menyuarakan masalah mereka.

MENYUSUN SEMULA MASYARAKAT

11. Dalam usaha untuk menyusun semula masyarakat pula keputusan kerajaan di waktu itu ialah untuk menghapus pengenalan kaum dengan fungsi ekonomi. Jangan sampai bila disebut Melayu kerjanya hanya dengan kerajaan, dalam pejabat dan jabatan, angkatan polis dan tentera, atau menjadi petani dan pesawah sahaja; sementara orang China dan peniaga atau pengusaha asing monopoli bidang perniagaan dan perusahaan sementara orang India menjadi buruh di ladang.

PEMBAHAGIAN 30-40-30 MEMUASKAN HATI SEMUA PIHAK

12. Dalam usaha menghapuskan identiti Melayu yang dikenali dalam fungsi ekonomi tradisinya itulah maka diperkenalkan idea 30% saham untuk Melayu dan Bumiputra dalam sektor swasta. Untuk bukan Bumiputra pula mereka disarankan memiliki 40% saham dalam bidang swasta dan pelabur asing disarankan memiliki 30%. Pembahagian ini, dalam teori, dapat diterima oleh semua pihak kerana dari hampir tiada saham yang dimilikinya pihak Melayu dan Bumiputra akan memiliki sebahagian hak; bukan Bumi pula puas hati kerana mereka dijamin akan memiliki lebih dari Bumi sementara pihak asing akan tetap bertapak di negara ini dengan memiliki 30% dari saham di bidang swasta.

PSYCHOLOGICAL AND NOT LOGICAL PERCENTAGES

13. Mengikut apa yang diberitahu oleh Allahyarham Tun Ghazalie Shafie yang saya menjadi Timbalan Menterinya waktu beliau menjadi Menteri Dalam Negeri peratus 30-40-30 ini telah dipilih berasaskan perhitungan psikologi (psychological) walau pun ianya tidak lojik (logical).

14. Adalah tidak munasabah, atau lojik, katanya, untuk menentukan bangsa yang peratus jumlahnya lebih 60% menerima 30% sebagai miliknya dalam ekuiti swasta dalam negaranya sendiri.

15. Beliau bertanya 'Kenapa pula, di Kedah umpamanya, di mana 100% orang Melayu yang menanam padi tetapi dalam bidang ekonomi pertanian padi orang Melayu tidak boleh menguasai 100% ekuiti sektor penanaman padi ini? Kenapa kilang padi perlu dimiliki oleh taukeh China? Jika jumlah orang Melayu di Malaysia 60% kenapakah orang Melayu tidak menjadikan matlamat untuk memiliki hak menguasai 60% dalam bidang ekonomi pengguna (consumer)?

Friday, October 29, 2010

P. RAMLEE THAT I KNOW

A 1MALAYSIA HERO
  1. Reading the entertainment page 17 of THE SUN on 28th October, 2010 whereby close associates and the son of P. Ramlee, Sazali, commented on our legendary hero, I rang up Rocky Bru of the Malay Mail, as I do not know of anybody in The Sun, as to how I can contribute by writing something of my friend P. Ramlee which I have not seen being mentioned anywhere in write-ups about him that I have come across so far.
  2. P. Ramlee, whose full name is Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh is known to my family in Penang where he lived and studied and known to my family in Singapore where he bloomed as an entertainer.
  3. One of his closest close friend is my uncle Sasterawan Negara Dato' Abdullah Husein who was working in Singapore at about the same time as P. Ramlee.
  4. It was when P. Ramlee was in Gombak that I came closer to him. Together with Dato' Abdullah Husein and Encik Zain of Filem Negara, at that time, we formed a company SAZARA SDN. BHD., SAZARA; being the acronym for Sanusi, Zain, Ramlee and Abdullah. Except for Zain who did not originate from Aceh all the other three of us were of Achehnese origin.
  5. The objective of forming the company was to produce films which will motivate the people into being more courageous and persistent in facing life. We were then inspired by the film 'The One Arm Swordsman' acted, directed and produced at the Shaw Bros. Studio in Hong Kong by the martial art expert Jimmy Wang Yu. In this film it was portrayed that a courageous, determined and persistent individual can achieve wonders despite all odds, in this case Wang Yu was with only one arm.
  6. Dato' Abdullah Husein, being an author, has written a few scripts for Sazara's production. P. Ramlee was already rehearsing and Zain the photographer was anxious to shoot. It was my responsibility as a bank officer to find the money.

Monday, July 12, 2010

BOLASEPAK - TANGGA KENARI 1000 TAHUN

ANTARA SUKAN, UGAMA, PELANCONGAN DAN JUDI

JUARA BOLASEPAK DAN GOLF

1. Saya tidak pernah teringat pernah main bola berpasukan kecuali sekali iaitu di waktu saya menjadi Menteri Pertanian dan dalam lawatan ke Sarawak pasukan ad-hoc Kementerian Pertanian Malaysia telah bertanding dengan pasukan bolasepak Kementerian Pertanian Sarawak. Oleh kerana kedua Menteri Pertanian secara otomatik dijadikan ketua pasukan maka saya menjadi 'captain' pasukan Kementerinan Pertanian Malaysia sementara Datuk Alfred Jabu jadi 'captain' pasukan Sarawak. Malaysia menang 1-0 kerana bola yang disepak entah dari mana telah hinggap ke kaki saya, yang sedang berdiri terpinga-pinga mencari-cari bola, sebagai 'center-forward' tiba-tiba bola itu terpelanting masuk ke dalam gol Sarawak.

2. Isteri saya pula pernah menjadi 'champion' perlawanan golf antara isteri-isteri Menteri Pertanian ASEAN di Bandung di waktu Persidangan Menteri-Menteri Pertanian ASEAN diadakan di sana. Pada majlis pengumuman keputusan pertandingan golf isteri-isteri Menteri nama isteri saya telah disebut sebagai juara kerana pada pagi pertandingan dimulakan kesemua isteri Menteri telah tidak hadir sementara isteri saya pula kebetulan ada di situ kerana kami sarapan pagi di sana. Isteri saya tak tahu pun namanya telah dimasukkan dalam senarai untuk pertandingan kerana isteri saya tidak tahu main golf.

SUKAN MENYATUPADUKAN RAKYAT

3. Walau bagaimanapun saya minat kepada Pertandingan Bolasepak Piala Dunia kerana ianya diadakan di Afrika Selatan di mana pada tahun 1995 Nelson Mandela telah dengan bijaknya menggunakan pertandingan Rugby Piala Dunia untuk menyatupadukan rakyat kulit putih dan hitam yang lama bermusuhan di sana. Walau pun Nelson Mandela tidak dapat hadir dalam majlis perasmian Pertandingan Bolasepak Piala Dunia yang diadakan di negaranya ini, kerana kematian cicitnya, tetapi saya yakin kharisma Mandela turut berperanan sehingga acara ini diadakan di Afrika Selatan. Dengan adanya pertandingan ini di sana, walaupun pasukan bolasepak Afrika Selatan telah kalah di peringkat awal tetapi acara ini membuat Afrika Selatan menjadi lebih menarik sebagai destinasi pelancungan di dunia.

KRITERIA SOKONGAN

4. Walau pun saya tidak pernah main dalam pasukan bolasepak tetapi saya pernah menjadi Bendahari pasukan bolasepak Negeri Selangor pada awal tahun tujuh-puluhan di waktu saya menjadi akauntan di Chartered Bank, Jalan Raja, Kuala Lumpur dan Datuk Harun Idris menjadi presiden pasukan. Saya teringat kepada Allahyarham Hamzah Alang yang menjadi Setiausaha pasukan. Kami tinggal berdekatan di Kampung Bharu.

5. Oleh kerana saya tidak main bola maka cara saya menyokong pasukan tidaklah berasas kepada kecekapan bermain atau seni permainan. Sama juga dengan Dato' Abd. Kadir Yasin, sebagaimana yang dihuraikannya dalam blognya, cara kami menyokong agak tersendiri. Bila England lawan Amerika saya sokong England kerana saya belajar di sana dan pernah tinggal di Highbury & Islington berdekatan dengan Stadium pasukan Arsenal, yang pada waktu saya di England, Arsenal menjadi juara, walau pun bukan kerana saya, yang hanya turut bertepuk untuknya. 

6. Kalau England atau Amerika Syarikat berlawan dengan mana pasukan jua saya tetap menyokong pasukan yang lain kerana mengenangkan nasib umat Islam dari  Iraq dan Afghanistan.

Wednesday, June 16, 2010

MENUJU PEMBEBASAN PALESTIN

PERPADUAN TURKI, IRAN DAN MESIR YANG DI TAKUTI

1. Professor Karl Schiller ialah seorang ahli ekonomi yang terkemuka, dan dianggap sebagai bapa kapitalism di Jerman Barat. Beliau juga adalah arkitek pembangunan ekonomi Jerman Barat di waktu Helmut Schmitt menjadi Chanselornya. Beliau telah dilantik oleh Helmut Schmitt menjadi Menteri Ekonomi dan Kewangan dalam kabinetnya.

2. Dalam tahun 1969, di waktu ekonomi Jerman Barat tumbuh dengan pesat sehingga industri di Jerman Barat menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja Professor Schiller, dalam satu kulliyyahnya di Universiti Hamburg, telah menyatakan adanya dua pilihan cara untuk menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja di Jerman Barat, sebelum tembok Berlin dirobohkan. Pilihan pertama ialah seperti yang diambil oleh Jepun iaitu dengan beralih kepada tenaga robot. Pilihan kedua pula ialah dengan membawa masuk tenaga buruh dari negara asing.

3. Dalam syarahan yang sama Professor Schiller mendedahkan kebimbangan pemimpin-pemimpin Jerman Barat terhadap kehancuran negara Israel kerana dengan kehancuran itu orang-orang Yahudi yang berasal dari Jerman akan kembali ke Jerman Barat; dan ini akan membawa kembali berbagai masalah yang menyebabkan mereka dibunuh berama-ramai oleh Hitler dahulu.
4. Mengikut Professor Schiller negara-negara Barat perlu, dengan berbagai cara, menghalang kehancuran Israel, bukan kerana sayang kepada Yahudi Zionis itu tetapi, kerana takut dan bimbang mereka kembali semula ke Jerman Barat dan lain-lain negara Barat jika Israel hancur.

Sunday, June 13, 2010

APAKAH RELEVANNYA VETERAN MAYC?

MAYC DALAM SEJARAH PERGERAKAN BELIA DI MALAYSIA

TUN DR. MAHATHIR RASMIKAN KELAB VETERAN MAYC MALAYSIA

1. Pada 29 Mei, 2010 di Hotel M Suites di Johor Bharu Tun Dr. Mahathir, selaku mantan Naib Presiden MAYC di waktu presidennya Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman, telah merasmikan penubuhan Kelab Veteran MAYC Malaysia

2. Dalam ucapan mengalu-ngalukan kehadiran Tun Dr. Mahathir saya telah menyatakan rasional Kelab Veteran MAYC ditubuhkan. Oleh kerana Tun Dr. Mahathir adalah tokoh yang disegani dalam majlis itu maka ucapan saya mengenai sejarah pergerakan belia di negara ini agak terbatas. Ucapan saya kepada Veteran MAYC di Ipoh Perak pada 21 Mei, 2010 telah menghuraikan dengan lebih jelas lagi perkara tersebut.

SEBELUM MERDEKA

3. Sebelum Merdeka kegiatan belia di dalam negara tertumpu kepada pergerakan Pengakap, Briged St. John Ambulan dan Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Saya terlibat di dalam 'Wolf Cub' atau anak serigala, iaitu pengakap muda, waktu saya belajar di Sekolah Menengah Ibrahim Sungai Petani. Senior saya, dalam pergerakan pengakap pada waktu itu ialah Sdr. Sidek Ghouse dan Sdr. Dato' Syed Ahmad Idid yang lebih terkenal dengan kegiatannya dalam The Fraternity of Adventurous. Saya kenal Sdr. Sidek Ghouse dan Tuan Syed Ahmad Idid (kini Dato') waktu saya di Sekolah Ibrahim Sungai Petani, dari tahun 1954 hingga tahun 1956, walau pun mereka tidak kenal saya di waktu itu. Mereka berdua telah bersetuju melantik saya menjadi Setiausaha Agung MAYC  pada tahun 1972 apabila saya diperkenalkan kepada mereka oleh Sdr. Taib Wahab yang menjadi Setiausaha Kerja MAYC di waktu itu. Sdr. Taib kenal saya sejak beliau menjadi pelajar di Institut Teknologi MARA.

4. Pertubuhan Pengakap, Briged St. John dan GPMS bergiat di dalam sekolah-sekolah, sementara di luar sekolah pula sudah ada pertubuhan Tamil Bell, Hindu Youth, YMCA dan YWCA.

1948 - GPMS

5. GPMS telah ditubuhkan pada 15 Ogos, 1948 oleh Encik Aminuddin Baki, Encik Abd. Wahab Ariff, Encik Mohd Nor Marahakim, Encik Abdul Majid dan Ce' Siti Hasmah (kini Tun Dr) di waktu mereka menjadi mahasiswa di Raffles College dan Kolej Perubatan King Edward di Singapura. Ianya ialah hasil keputusan Konvensyen Pelajar Melayu Seluruh Semenanjung yang diadakan pada tahun 1948. Sebelum GPMS ditubuhkan pengasas-pengasasnya telah bergerak cergas dalam Malay Boys League Penang Free School (1937), Kesatuan Penuntut Melayu Victoria Institution (1945) dan Kesatuan Penuntut Melayu Selangor (1947).

Wednesday, June 2, 2010

YAHUDI ZIONIS YANG TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN

USAHA BETUL PASTI DIBERKATI ALLAH S.W.T.


1. Tidak ada yang menganggap dirinya manusia yang tidak terkesan dengan tindakan Zionis Israel yang zalim ke atas kapal yang membawa sukarelawan, ubat dan keperluan kemanusiaan untuk penduduk di Gaza.

2. Dato' Azumu Tak, seorang Veteran UMNO dan MAYC telah menalifon saya pada pagi kelmarin l Jun, 2010 menyatakan telah menerima telefon dari anaknya Ahmad Faizal atau TEJA menyatakan beliau berada di atas kapal kedua bersama YB Nizar Anggota Parlimen Parit dan mereka masih selamat. Saya mendengar nada suara Dato' Azumu yang sayu dan sama-sama kami mendo'akan semoga misi kita berjaya dan diberkati Allah s.w.t. hendaknya. Sama-samalah kita mendo'akan semoga roh mereka yang telah syahid dalam misi kemanusiaan ini mendapat tempat yang sebaiknya di sisi Allah s.w.t..

WAWANCARA LARRY KING DENGAN EHUD BARAK

3. Apabila membaca mengenai kekejaman Israel ini saya teringat kembali kepada satu wawancara dalam CNN antara mendiang Ehud Barack dan Larry King sebelum persidangan OIC ke 10 yang diadakan di Putrajaya dari 11 hingga 18 Oktober, 2003. Persidangan ini diadakan kira-kira 13 hari sebelum Tun Dr. Mahathir berundur dari menjadi Perdana Menteri pada 31 Oktober, 2003 setelah menjadi Perdana Menteri sejak 16 Julai, 1981..

3. Larry King telah bertanya Ehud Barack 'How do you feel Mr. Prime Minister about the coming OIC gathering in Kuala Lumpur?' Ehud Barack menjawab dengan bertanya balik kepada Larry King 'What are they going to do in Kuala Lumpur that I should be concerned about?' Larry King menjawab 'They are going to pass resolutions sto condemn you over your activities in Palestine.' 'Is that all?' tanya Ehud Barak. 'Yes, what do you think about that?' 'They have been doing that all this while, so many times ....... they can carry on doing it ........ I am not bothered.' 'What would bother you then?' tanya Larry King. "I would be bothered if they are providing enough funds or weapons for the Palestinians. Or send their tanks and soldiers to Palestine. As far as talking or passing resolutions is concerned, they can carry on. They have done that many times before.'

DO'A YANG TIDAK BERJAWAB

4. Di Mekah pada 10 hari terakhir di bulan Ramadhan, yang bermula pada 27 Oktober, 2003, saya telah bersama-sama dengan berjuta orang juma'ah bersembahyang Terawih dan Tahajjud dan di dalam do'a Qunut dengan panjang lebar mendo'akan supaya bumi Palestin didaulatkan kembali. Saya pun teringat bahawa do'a begini telah mula saya ikuti sejak saya mula ke Mekah, berkali-kali, sepanjang 30 tahun sejak tahun 1974 bila saya mula menjadi anggota Parlimen. Saya percaya do'a ini sudah dibaca sejak Israel menduduki Palestin. Kenapa do'a umat Islam ini tidak berjawab sedangkan Allah menjanjikan akan mengabulkan do'a lebih-lebih lagi bagi umat yang teraniaya. Tentu ada sesuatu yang salah pada umat Islam itu sendiri. Apakah 'username' dan 'password' kita salah maka kita tidak dapat layari do'a kita di alam cyber?