Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
Sudah lama saya tidak menulis kerana saya yakin pengikut blog ini sudah keletihan dengan soal-soal politik yang sering saya ketengahkan. Tengahari tadi saya terjumpa dengan saudara Mior Khairudin Muhibbudin di restoran 'The Loaf' di Bangsar Village II yang mengeluh kerana tiada masukan dalam blog ini begitu lama. Menyambut dorongan beliau sebagai kenalan lama maka saya turunkan di bawah ini sedutan dari muka surat 179-190, dalam buku setebal 473 muka bertajuk
Tun Abdul Razak, Bapa
Pembangunan – Suatu Pengkisahan
Pengarang: Azam Ismail Bakri dan Suziyana Natasya Abdullah
Pengarang: Azam Ismail Bakri dan Suziyana Natasya Abdullah
Isi wawancara saya dengan saudara Azam dan saudari Suziyana, walaupun mengandungi kisah-kisah lama, menjadi relevan apabila filem TANDA PUTERA menjadi bahan kontroversi. Sebagai seorang yang pernah bertugas di Kementerian Dalam Negeri, kegemaran membaca saya melayakkan saya mengatakan bahawa semua pemimpin yang saya kenal yang menjadi penyelesai kepada masalah yang timbul dari peristiwa 13 Mei, 1969 sudah meninggalkan kita tetapi penyebab kepada berlakunya peristiwa 13 Mei, 1969 masih ada yang bermirip wajah dengan mereka di kalangan yang ada dalam gelanggang.
Malangnya mereka yang pernah diamankan dalam kurungan di bawah ISA telah berjaya mempengaruhi usaha menghapuskan ISA dari gudang simpanan senjata untuk mempertahankan keamanan Negara.
Jika Melayu Kehilangan Majoriti
Saya mula mempunyai
perhubungan dengan Tun Razak semasa saya menjadi Setiausaha Dewan Perniagaan
Melayu Negeri Sembilan iaitu pada tahun 1965 dan ketika itu berumur 22 tahun. Dalam
satu Kongres Ekonomi Bumiputera, kami telah mencadangkan penubuhan Bank
Bumiputera. Waktu itu Tun Ismail Mohamad Ali yang juga Gabenor Bank Negara
bersikap agak tidak setuju dan menentang cadangan penubuhan Bank Bumiputera
yang mahu dijadikan sebagai sumber modal untuk orang-orang Melayu.
Ini membuatkan YM
Dato' Syed Ali Al Attas, wakil Dewan Perniagaan Melayu Johor (sekarang memegang jawatan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia), marah dan
berkata kepada Tun Ismail Ali, “You get out from
this meeting”. Jadi saya pun turut sama menghambat Tun Ismail keluar dari
mesyuarat itu. Bila saya balik ke Seremban, pengurus bank tempat saya bekerja,
Chartered Bank di Seremban, telah memanggil saya. Katanya, “Saya dapat laporan
dari pejabat Gabenor Bank Negara menyatakan you were one of those
who chased him out from a meeting. You should not be doing that because
you are just a trainee here.”
(Di dalam satu wawancara dengan Tun Ismail Ali setelah beliau bersara dari menjadi Gubenor Bank Negara beliau telah menyatakan kepuasannya berkhidmat untuk Negara sebagai Gubenor dan beliau hanya telah membuat satu kesilapan di awal masa perkhidmatannya apabila beliau menentang rancangan penubuhan Bank Bumiputra yang kertas-kerjanya telah dibentangkan oleh Raslan dari firma Chartered Accountant Hanafiah, Raslan & Ong.)
