PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI
Memandang kepada masalah negara masakini, baik dari segi ugama, politik, ekonomi, keselamatan, moral dan social, khususnya dengan terciptanya 1MDB yang membawa bala kepada seluruh rakyat dan menjatuhkan maruah negara di mata dunia, sementara terlalu ramai kalangan berpengaruh dari bangsa Melayu pula jelas terikat dengan hutang, budi dan material, sehingga kelihatan sanggup mengorbankan kepentingan bangsa dan keturunan masa depan, demi keselesaan kedudukan dan kemewahan materi, teringatlah saya kepada sebuah institusi yang pernah wujud tetapi telah di telan zaman - iaitu WIPER. Karangan ini telah pertama kali dimasukkan ke dalam blog pada 24hb JUN, 2010. Ianya siaran ulangan untuk yang berminat. Selamat membaca.
KE ARAH MENGGERAKKAN INSTITUT DUNIA UNTUK MEMBASMI KEMISKINAN ATAU WORLD INSTITUTE FOR POVERTY ERADICATION ( W. I. P. E. R )
1. WIPER adalah akronim untuk World Institute for Poverty Eradication atau dalam bahasa Melayunya bererti Institut Dunia bagi Membasmi Kemiskinan.
2. Antara dua matlamat di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB), salah satunya ialah membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Ini adalah satu matlamat yang murni kerana kemiskinan itu bukan monopoli orang Melayu dan Bumiputera di Malaysia. Walau pun lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera yang miskin, disebabkan majoriti rakyat Malaysia terdiri dari orang-orang Melayu dan Bumiputera, maka usaha membasmi kemiskinan ini menguntungkan semua rakyat Malaysia dan selaras dengan matlamat 1Malaysia. Usaha mengurang dan seterusnya membasmi kemiskinan adalah satu matlamat yang bersifat global kerana kemiskinan adalah masalah dunia.
3. Bagi kerajaan Malaysia usaha membantu atau, jika boleh, memewahkan yang miskin bukan sahaja dijadikan dasar dalam negara sejak negara dipimpin oleh Tun Abdul Razak tetapi dilanjutkan ke dalam dasar luar negara di zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir dengan matlamat PROSPER THY NEIGHBOUR. Dasar luar ini diketengahkan atas keyakinan bahawa jika negara jiran itu mewah ianya akan menguntungkan Malaysia jua bukan sahaja dari segi kestabilan politik tetapi juga dari segi ekonomi dengan lancarnya perdagangan antara negara berjiran dan giatnya aktiviti pelancongan antara negara.
4. Membantu yang susah atau yang miskin dalam negara dapat menjamin keharmonian politik kerana perasaan cemburu tidak akan membara sehingga tercetus huru-hara antara yang berada dan yang kurang atau tidak berada. Bagi umat Islam pula segala harta yang berlebihan pada jiran adalah menjadi hak jiran yang memerlukannya.
BERBAGAI PENDEKATAN
5. Berbagai pendekatan telah diusahakan oleh berbagai agensi dan jabatan kerajaan dan bukan kerajaan, samaada secara langsung atau tidak langsung, ke arah mengurangkan, dan seterusnya membasmi kemiskinan. Walau pun definasi kemiskinan itu relatif antara kaum dan di kalangan satu-satu kaum tetapi kejayaan yang telah dicapai tidak dapat dinafikan.
6. Disebabkan usaha Malaysia ke arah membasmi kemiskinan sudah terkenal di seluruh dunia maka dalam semua forum ekonomi dan pembangunan di seluruh dunia, lebih-lebih lagi di kalangan negara-negara yang sedang membangun, para peserta forum tersangat berminat dengan cara-cara yang telah diamalkan oleh Malaysia ke arah mencapai matlamat ini.
7. Tergantung kepada siapa yang ditemui atau yang menyampaikan maklumat samaada dalam mesyuarat, persidangan, seminar atau forum kaedah yang digunakan oleh Malaysia untuk mengurang dan membasmi kemiskinan, yang diutarakan adalah cara yang diamal oleh jabatan atau agensi yang diwakili oleh pembicara berkenaan. Jika wakil Felda yang bercakap maka rancangan Feldalah yang diketengahkan. Jika yang dijumpai itu wakil Kementerian Kebajikan Masyarakat maka program kementerian inilah yang diketengahkan dan jika yang bercakap itu dari Kementerian Pendidikan, pendidikanlah yang menjadi penyelesai kepada masalah kemiskinan. Maka hadirin dan hadirat yang mendengar akan teraba-raba mencari yang mana satu yang lebih berkesan seperti orang buta yang tidak pernah tengok gajah menceritakan bagaimana rupa dan bentuk gajah maka tergantunglah samaada yang dipegang itu telinga (maka gajah dikatakan seperti kipas besar), belalai (maka gajah dikatakan seperti ular yang besar), kaki (maka gajah dikatakan laksana pokok) atau badannya sehingga gajah dianggap sebagai satu dinding.