Thursday, January 7, 2010

KUASA BAHASA

KENAPA ADA KOMEN DALAM BAHASA ACEH, TAMIL DAN JERMAN DALAM BLOG INI

1. Ada pertanyaan yang saya terima melalui sms mengenai bahasa yang digunakan dalam beberapa komen ke atas artikel dalam blog saya.

KOMEN DALAM BAHASA ACEH

2. Di bawah tajuk YAHUDI MENGUASAI DUNIA MELALUI NGO umpamanya ada komen oleh THE RAHMAT FADHIL CENTER di dalam bahasa Aceh. Ini berlaku kerana ibu dan bapa saya berasal dari Aceh. Yang membuat komen ini tentunya mengenali saya sebagai rakyat Malaysia yang berketurunan Aceh.


3. Ramai lagi rakyat Malaysia yang berketurunan Aceh yang giat di dalam kerajaan, swasta, politik, pentadbiran, keusahawanan, kesusasteraan dan kebudayaan, yang terkenal di Malaysia walau pun keturunan Acehnya tidak diketahui orang ramai.


4. Antara yang bergelar Tan Sri umpamanya, yang diketahui umum sebagai berketurunan Aceh ialah P. Ramlee. Tetapi banyak yang lain yang bergelar Tan Sri juga berketurunan Aceh. Di bidang politik dan pentadbiran ada Tan Sri Hanafiah Hussain dan Tan Sri Ramli Ngah Talib; di bidang pentadbiran kerajaan dan pengurusan ada Tan Sri Amin Osman bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ani Arope bekas Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Tan Sri Elias Omar dan Tan Sri Kamarulzaman Sheriff, keduanya bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur; di bidang swasta dan keusahawanan ada Tan Sri Nazmi Wahab dalam dunia otomobil; selain P. Ramlee ada dua lagi seniman berketurunan Aceh iaitu Tan Sri S. M. Salim dan Tan Sri Jins Shamsuddin; di bidang sastera dan kebudayaan kita dapati Tan Sri Pendita Professor Ismail Husin.

5. Antara Dato' yang terkenal, yang berketurunan Aceh, ialah Dato' Abdullah Husin Sasterawan Negara; Dato' Kasim Maon sebagai Melayu yang pertama berkelulusan dari Taiwan National University setelah belajar di Chung Ling High School, Penang; Dato' Tengku Adnan Mansur, Setiausaha Agung UMNO; Dato' Badaruddin Amiruldin, Pengerusi Tetap UMNO Malaysia; Datuk Feisol Haji Hassan bekas pegawai PTD, bekas Pengerusi Rakyat First Merchant Bank dan kini Pengerusi Pertubuhan Komanwel Di Raja Cawangan Malaysia; Dato' Ridzuan Halim bekas Ketua Pengarah MARA; Dato' Annuar Jaafar bekas Ketua Eksekutif Bank Rakyat; dan Dato' Dr. Abdullah Hasbi Haji Hassan seorang jurutera bijih dan Fellow Massachussetts Institure of Technology. Sebelum ke MIT Dato' Hasbi digelar the 'Golden Boy of Camborne School of Mines, Cornwall, England' kerana berjaya menjadi pelajar terbaik.

BELAJAR BAHASA TAMIL

6. Di dalam komen ke atas tajuk yang sama, mengenai ''Yahudi Menguasai Dunia melalui NGO' seorang yang bernama Kadaaram telah mengucapkan selamat kepada saya dalam tulisan Tamil dan memperkenalkan diri sebagai seorang yang berasal dari Kedah. Oleh kerana dia berasal dari Kedahlah dan dia mengetahui saya boleh membaca tulisan Tamil maka dia menulis dalam bahasa Tamil.

7. Setelah saya mucul dalam program 'Temujanji' anjuran ASTRO AWANI ramai juga yang bertanya kepada saya mengenai sebabnya saya belajar bahasa Tamil. Untuk faedah anak-anak muda yang dahagakan ilmu dan berminat mempelajari lebih dari bahasa ibundanya sendiri elok juga saya ambil kesempatan di sini untuk bercerita mengenai minat saya mempelajari bahasa-bahasa selain dari Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

DI PEKAN YAN

8. Saya sememangnya dekat dengan mesyarakat India sejak dari kecil lagi. Di pekan Yan, tempat kelahiran saya dari kecil saya kenal dengan dua orang berketurunan India yang telah menganut ugama Islam setelah didakwahkan oleh ayah saya. Ayah saya fasih bertutur beberapa bahasa termasuk bahasa Belanda, Arab, Hokkien dan bahasa Tamil. Salim ialah nama Islam yang diberi kepada seorang remaja India yang dikenal sebagai Tambi ( maana adek - nama sebenarnya dia sendiri tidak tahu ). Salim bekerja sebagai pemanjat tiang khemah 'Seom Circus' yang muflis setelah persembahan terakhir di pekan Yan. Tambi, kemudiannya Salim telah dipelihara oleh bapa saya apabila tauke 'circus' meninggalkannya di Yan. Seorang lagi yang lebih tua yang bekerja sebagai operator mesin tayangan filem di panggung wayang 'Yan Talkies' telah menukar namanya dari Tanjimalai kepada Talib.

DI SEKOLAH IBRAHIM SUNGAI PETANI

9. Di sekolah Ibrahim School Sungai Petani saya berkawan dengan Sathiasegaran yang terakhir bekerja di lapangan-terbang Kuantan dan N. V. Saravanan, anak mando Harvard Estate, yang pernah menjadi ahli Exco kerajaan negeri Kedah di waktu saya menjadi Menteri Besar. Antara guru keturunan India yang mengajar di Sekolah Ibrahim, yang saya teringat, ialah Miss Pooninapathy dan kawan rapatnya Mr. Fernandez. Mr. Veerasingham ialah guru sukan yang memberi saya peluang untuk bekerja sebagai pengutip bola di net gelanggang tennis di waktu ada permainan. Saya juga teringat kepada jaguh kriket Sivaratnam dan jaguh hoki sekolah bernama Doraisamy yang kemudiannya telah menjadi Ketua Pasukan Hoki Malaysia ke Olympic sekitar pertengahan tahun sembilan belas enam puluhan. Pada waktu itu saya belum berminat belajar bahasa Tamil.

DI KOLEJ MELAYU KUALA KANGSAR

10. Pada tahun 1960 di Tingkatan IV Kolej Melayu Kuala Kangsar ( MCKK ) saya telah terkena penyakit yang disebut, mengikut ingatan saya, 'hymoptysis' atau batuk berdarah. Saya telah dimasukkan ke hospital Ipoh untuk lebih dua bulan kerana menunggu keputusan analisa penyakit oleh Lady Templar Hospital Kuala Lumpur.

11. Di hospital Ipoh pada waktu itu semua pekerja, dari doktor, ke misi, ke pembantu hospital, pembersih wad dan halaman, tukang masak dan tukang hidang kesemuanya dari keturunan Tamil.

MENONTON FILEM TAMIL

12.  Pada minggu ketiga saya berasa tersangat bosan dan berpakat dengan pembantu hospital ( Hospital Assistant ) Tamil supaya membawa saya menonton filem Inggeris atau Melayu di mana jua panggung wayang di Pekan Ipoh. Pembantu hospital itu menyatakan kepada saya tidak ada filem Inggeris atau Melayu di Ipoh pada waktu itu, yang ada hanya filem Tamil. Saya pun bersetuju menonton filem Tamil pilihan pembantu hospital yang namanya saya sudah lupa.

13. Pada besok malam, setelah semua pesakit sudah tidur saya pun mengatur bantal di bawah selimut supaya kelihatan seperti orang tidur dan secara diam-diam lari keluar dari wad menuju keluar kawasan hospital. Dari sana HA ( Hospital Assistant ) telah mendayung basikalnya dengan laju melintasi kota Ipoh dengan saya berada di belakangnya atas pelantar basikal. Dalam perjalanan ke panggung-wayang saya ternampak banyak iklan gambar-gambar Inggeris dan Melayu yang sedang ditayang di panggung-panggung wayang walau pun yang ternampak oleh HA Tamil yang membawa saya hanya gambar yang dia ingin menonton.

14. Kami berdua menonton filem 'Paalum Pazhamum' yang bererti 'susu dan buah' yang dibintangi oleh Sivaji Ganesan, seorang pelakon terkenal. Saya turut sedih melihat filem itu kerana sepasang kekasih telah diputuskan hubungan cintanya. Keluar dari panggung wayang saya terus membeli tape lagu-lagu 'palum pazhamum', 'Ponaal pogattum poda', 'Alayamaniyin osai', dan 'Naan pesa ninaipathellam'

15. Setelah mendengar tape berulang-ulang sepanjang 2 hari pada hari ketiga saya yang berada di wad kelas 3 telah mendapat makanan untuk wad kelas dua dan kadang-kadang makanan dari wad kelas satu kerana pekerja hospital semuanya gembira mendengar saya menyanyi lagu 'Paalum Pazhamum'. Saya pun menjadi lebih rajin belajar dan telah meminta misi beli buku 'Attichudi Auvaiyar' untuk berlatih menulis sehingga pandai.

GURU DAN HOUSE-BOYS YANG TAK DAPAT DILUPAKAN

16. Setelah hampir 3 bulan di hospital saya pun fasih berbahasa Tamil yang menjadi modal saya semasa berada di gelanggang politik. Di MCKK saya dekat dengan guru Ilmu 'Alam Dr. Naidu dan isterinya seorang pakar bahasa Tamil. Saya berkawan dengan pelayan bilik makan seperti Raghavan dan lebih dekat lagi dengan Auli, seorang jaguh lari marathon di negeri Perak.

17. Guru sejarah Encik Rama Ayer tidak begitu minat bercakap Tamil, dengan tin rokoknya dia selalu menyenget masuk ke dalam darjah dan berlagak dengan berbahasa Inggeris seolah-olah dia pernah belajar di England. Encik Rama Ayer selalu hisap rokok dalam perjalanan ke bilik darjah. Sedutan terakhir ialah di pintu bilik darjah. Dia kulum asapnya waktu meminjak padam puntung rokok dan waktu di dalam darjah dia langut kebumbung sambil menghembus keluar 'smoke-ring' membuat pelajar-pelajar yang pernah merokok ( 21 dari 115 dalam 4 darjah dilahirkan di Kelantan pada 1-1-1943 ) menjadi cemburu ketagihan.

18. Saya suka Encik Ramalingam yang mengajar bahasa Inggeris dan pernah tutup semua tingkap bilik darjah waktu dia beraksi sebagai hero di waktu malam di dalam mana-mana filem yang dia baru tonton di pawagam.

BELAJAR BAHASA JERMAN

19. Di waktu mengulas pemecatan saya dari jawatan Presiden UIA di dalam blog ini, pada pertengahan tahun 2008 seorang sahabat yang bernama  DatOK ZeQ @ SiR KinG TiGeR telah menulis dalam bahasa Jerman. Ada yang bertanya bila masanya saya mula belajar bahasa Jerman.

20. Pada tahun 1960 berpindahlah ke MCKK seorang guru bahasa Inggeris yang berbangsa Inggeris. Beliau yang jawatan terakhirnya di Bangkok fasih berbahasa Thai, Peranchis dan Jerman. Saya yang sudah mula faham bahasa Tamil setelah keluar dari hospital Ipoh berminat pula untuk belajar lagi satu bahasa lain. Pada waktu itu saya belum pernah mendengar orang bercakap bahasa Jerman dan Peranchis. Bahasa Thai saya pernah dengar dituturkan oleh penjual ubat bangsa Thai bernama Rahman yang selalu mencabut gigi pesakit menggunakan minyak yang boleh mengebaskan gusi supaya tidak sakit, di pasar Pekan Rabu Guar Chempedak di Kedah. Saya tidak minat belajar bahasa Thai kerana saya tidak minat melihat perangai si Rahman.

21. Saya telah berunding dengan Mr. Whitbread untuk menganjurkan sebuah kelas bahasa Jerman atau Peranchis. Mr. Whitbread telah menetapkan RM40-00 tiap seorang pelajar dan kelas bahasa perlu dihadiri oleh sekurang-kurangnya 20 orang untuk Mr. Whitbread memperolehi RM800-00 setiap bulan dengan mengajar selama 1 1/2 jam dua hari dalam seminggu. Mr. Whitbread bersetuju mengajar jika 20 orang pelajar dapat membayar pendahuluan yuran untuk 5 bulan atau RM200-00 seorang jumlah yuran semuanya RM4,000-00. Saya kutip yuran dan bayar kepada Mr. Whitbread setelah mendapat persetujuannya saya menjadi pelajar ke 21 yang tidak perlu membayar.

22. Waktu memilih bahasa Mr. Whitbread mencadangkan bahasa Peranchis kerana katanya Peranchis adalah bahasa tercantik di dunia dan menjadi bahasa dalam dunia diplomasi. Oleh kerana buku bahasa Peranchis tidak ada pada Mr. Whitbread maka beliau telah menyebut dua ayat dalam bahasa Peranchis untuk saya dengar. Katanya jika orang bertanya 'Vous parlez France'?' jawablah 'Je ne parlex pah' ertinya 'Adakah kamu bercakap bahasa Peranchis, jawabnya 'Saya tidak bercakap bahasa Peranchis'. Dua ayat ini tidak meyakinkan saya.

23. Mr. Whitbread kemudiannya mengambil sebuah buku dalam bahasa Jerman dan membaca sebuah pantun seperti berikut:

Du bis Mein,
Ich bin Dein,
Da sollst Du immer sein;

Du bis verschlossen,
In meinem Herzen,
Und verlasst ist dan Schlusellein,

Da sollst Du immer sein.

Ertinya:

Engkau kepunyaanku,
Aku kepunyaanmu,
Begitulah hendaknya selalu;

Engku terkunci,
Dalam hatiku,
Hilang sudah kunci kecil itu,

Kekallah kamu di situ.
Saya tertarik dengan keindahan pantun ini, yang sebenarnya do'a, dan terus memilih bahasa Jerman untuk diajar oleh Mr. Whitbread kepada 21 orang.

24. Mujurlah saya sudah bayar Mr. Whitbread RM4,000-00 untuk mengajar 21 orang selama 5 bulan dalam kelas yang diadakan 2 kali dalam seminggu, kerana hanya dalam dua kelas sahaja pada minggu pertama yang semuanya hadir. Di akhir kursus selama 5 bulan saya tinggal keseorangan. Mr. Whitbread terpaksa mengajar saya seorang kerana wang RM4,000-00 telah dibayar terlebih dahulu.

DI UK DAN JERMAN BARAT ( Belum bersatu dengan Jerman Timur )

25. Di waktu saya di London pada pertengahan tahun enam puluhan saya telah mendaftar di Berlitz School of Languages di mana saya mengajar bahasa Melayu kepada orang-orang Inggeris yang sedang mempersiapkan diri untuk bekerja sebagai pegawai dalam ladang-ladang getah dan syarikat-syarikat mereka di Malaysia, sementara saya sendiri dapat melanjutkan pelajaran bahasa Jerman secara percuma.

26. Saya telah melanjutkan lagi pelajaran bahasa Jerman di Berlitz School of Languages Hamburg, Jerman Barat apabila saya berpindah kerja di The Chartered Bank Hamburg sambil belajar di Hamburg University dalam bidang 'Hoch Finanz'.

BELAJARLAH BAHASA TAMBAHAN

27. Melalui blog ini saya menyeru kepada semua pembaca, khususnya yang masih muda supaya cuba mempelajari satu lagi bahasa asing selain dari bahasa ibunda, bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Tiap bahasa mempunyai keistimewaannya. Saya telah tertarik kepada bahasa Tamil kerana menonton filem 'Paalum Pazhamum' dan mempelajari bahasa Jerman kerana keindahan pantunnya.

BAHASA MELAYU ANTARA YANG TERINDAH DI DUNIA

28.  Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang dianggap antara yang terindah di dunia 'with no complex morphology and no involved syntax; easy to learn but difficult to master.' Tetapi bahasa Melayu belum kaya dengan ilmu sains dan teknologi. Orang-orang Jepun dan China kini berlumba-lumba mempelajari bahasa Inggeris. Di India, di mana bahasa Inggeris, selain Hindi, adalah bahasa rasmi negara, telah meletakkan India di depan dalam perlumbaan kemajuan di dalam industi sains dan teknologi; malah masa depannya diramalkan lebih hebat dari China kerana begitu ramai orang-orang India yang fasih berbahasa Inggeris.

29. Orang Melayu yang berketurunan Aceh, Banjar, Bugis, Jawa atau Minang tidak boleh sombong dengan bahasanya sehingga tidak mahu menguasai bahasa Inggeris kerana dengan bahasa Aceh, Banjar, Bugis, Jawa dan Minang sahaja seseorang itu hanya boleh jadi petani, peternak dan nelayan yang baik atau boleh buka restoran, berniaga kedai runcit, makjun, jamu, tempe dan batik tetapi tidak boleh jadi profesyional dalam bidang Sains dan Mathematics seperti menjadi doktor, engineer dan ahli komputer.

KELUARLAH DARI PENJARA BAHASA

30. Bahasa adalah laksana penjara. Bertambah kurang ilmu yang ada dalam bahasa yang kita ketahui bertambah sempitlah penjara kita. Walau pun kita bebas ke sana sini tetapi sebenarnya pendedahan kita adalah terbatas kepada ilmu yang ada dalam bahasa yang kita ketahui dan kuasai.

31. Pencinta satu-satu bahasa hendaklah mencintai juga bangsanya dengan cara memperbanyakkan ilmu dalam bahasanya dan dengan mempelajari bahasa yang sudah banyak ilmu di dalamnya.

32. Walau pun saya mengetahui beberapa bahasa tetapi saya masih menganggap diri saya sebagai pelajar dalam bahasa-bahasa itu. Saya juga masih belajar bahasa Arab dan Mandarin bukan sahaja untuk dapat berhubung dengan mereka yang berbahasa Arab dan Mandarin tetapi juga untuk menimba ilmu yang ada di dalamnya.

33. Saya tidak mungkin dapat meminati isi falsafah Dr. Sarvepalli Radhakrishnan tanpa mengetahui bahasa Tamil, sebagaimana saya tidak mungkin mendalami Mein Kampf karangan Hitler, dan sajak indah karya Goethe tanpa memahami bahasa Jerman. Saya juga tidak puas jika membaca Quran tanpa mengetahui maknanya dalam bahasa Arab. Ayuh, bermulalah sekarang kerana, untuk menuntut ilmu, bila pun masih belum terlambat.

7 comments:

Nora Isma Fuad said...

as salam,

setuju sangat dengan idea yang Tan Sri luahkan... seperti biasa, idea Tan Sri memang saya kagumi.



noor arbaiah(Che gu Man's daughter)

Anonymous said...

Salam,
Saya tertarik dgn artikel kali ini, dan say setuju dgn pendapat Tan Sri mengenai belajar lebih bahasa selain bahasa ibunda. Tetapi Tan Sri malangnya saya rasa sedih apabila bahasa Melayu ditukarkan kepada Bahasa Malaysia. Menteri yg bertanggungjawab membuat satu kesilapan besar, bila membuat pindaan tersebut. Sungguh sempit dan menyempitkan bangsa dan bahasa orang2 Melayu. Minta pandangan Tan Sri tentang perkara ini, dan tidak boleh kah perkara ini di ubah?

Imran - Singapura

Anonymous said...

Assalamualaikum wbt Tan Sri,

Banyak maklumat yang saya perolehi profile kecermerlangan keturunan Aceh di Tanah Melayu termasuk Tan Sri, Tan Sri SM Salim, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dll. Harap sesuatu dapat dilakukan untuk menghargai jasa Tan Sri SM Salim di bidang seni yang banyak lagu lagu bermutu tinggi terutamanya yang dinyanyikan secara orkerstra pimpinan Datuk Johari Salleh sewaktu bersama RTM dahulu. SM Salim jugak menjadi pelawak yang bagus bersama Jamal Kerdil serta juruhebah radio dll.
Filemnya , 'Mata Permata' terbitan Filem Negara Malaysia patut ditayangkan di tv berulang kali sepertimana filem filem Tan Sri P Ramlee . Mata Permata mengisahkan sepasang suami isteri. Suami (lakonan Tan Sri SM Salim) hanya bekerja sebagai penyanyi dirumah orang kahwin dan isterinya pula suka bergaya sehingga memimjam barang kemas jiran untuk berlagak. Berbalik kepada kisah bahasa, tahun 1979 saya darjah enam di St Xaviers Institution Penang dan guru kelas kami bernama Sir Francis See. Semua matapelajaran sewaktu tu termasuk Bahasa Malaysia diajar menggunakan Bahasa Inggeris. Tapi kami semua seronok belajar tanpa apa apa masalah. Setiap hari kelas kami bermula 1.00 tghari sehingga 6.30 ptg. Setiap hari juga Sir Francis See memperuntukan 10 minit untuk waktu mengajar General Knowledge ini hanya ikhlasnya mengajar kami takda kena mengena dengan peperiksaan. Sir Francis See gemar mengajar kami bahasa German sewaktu sessi General Knowledge.Kami masih ingat lagi Guten maknanya good. Tag maknanya day. Suntag maknanya sunday.
Tapi yang peritnya perut kami sentiasa di cubit sekiranya berbuat bising atau tak tumpukan perhatian semasa beliau mengajar. Di Kelas yang sama ada seorang kawan saya berbangsa cina Chin Chan Fai, yang bercakap Hokkien sehinggakan saya pick up serba sedikit apa yang dicakapkan.
Suatu hari selepas tahun baru cina, saya dengan main main mengatakan padanya dalam hokkien
Ah Fai, angpow Gia Lai (maksudnya Chin Chan Fai, bagila ang pow)
terus di seluk koceknya diberinya saya 10 sen. Ketika itu kami hanya membawa 30 sen sahaja ke sekolah dan 10 sen sudah boleh beli sepinggan mee rebus mamak di kantin. Kemudian saya sedar pergorbanan Ah Fai yang sanggup memberikan saya 10 sen dari wang sakunya 30 sen, di sekitar tahun 2000 saya mencarinya di rumahnya di Love Lane Penang yang begitu hampir dengan sekolah untuk membalas balik budinya dengan niat mengajaknya belanja makan di mana mana di Pulau Pinang malangnya jiran jiran disitu (rumah kongsi zaman british)memaklumkan saya rumahnya terbakar dan entah ke mana keluarga mereka berpindah selepas itu. Di waktu itu sepertimana filem P Ramlee kita tak perlu bercakap pasal 1 Malaysia kita memang dah pun 1 Malaysia, saya rasa la Tan Sri.
Selanjutnya saya teringat filem Seniman Bujang Lapuk babak dimana Bai jaga kata, 'nama saja orang melayu, sikit hadap (adat) pun takda panggil orang hoi hoi....
Later, P Ramlee menambah 'Bahasa menunjukkan bangsa' tapi zaman moden hari ni anak anak melayu dengan bangganya memberi promosi percuma budaya amerika--what's up man. Lelaki dan perempuan saling bercalit tangan bila berjumpa dan bila nak say goodbye pula saling berlaga pipi berlainan jantina tanpa rasa segan silu. Juga kiranya Tan Sri masih ingat diawal 70an dahulu sekeluarga berhimpun di depan peti TV hitam putih setiap hari jumaat malam selepas program berita dan peristiwa untuk menantikan filem filem P Ramlee dll dalam slot Tayangan Gambar Melayu. Elok juga dikembalikan waktu siaran dan labelnya Tan Sri.
Akhir sekali, Tan Sri ada menyebut pemecatan Tan Sri, isu berkenaan adalah isu politik ketika itu dan politik ketika ini telah kembali friendly dengan Tun Dr M & Tan Sri dan saya percaya ramai menantikan kepulangan Tan Sri di UIA.
drsyediskandarislamicbankingfinance.blogspot.com atau
isikcorpadv@gmail.com

Siti Zainon said...

Ya Tan Sri...semua bahasa cantik. Sudah tiba masanya bahasa Aceh dikembangkan. Ketika masih di UKM, saya mencadangkan untuk menubuhkan Pusat Kajian Bahasa Aceh. Ada yang tersenyum sumbing. Kenapa tidak Jeumoa D' Ramo mengadakan kelas bahasa Aceh???

Anonymous said...

assalamualaikum...

saya menangkap sebuah paduan semangat yg sangat penting dari artikel ini sehubungan dengan diskusi kecil kami di banda aceh beberapa hari yg telah lewat, tentang penting adanya sebuah institusi atau lembaga atau apapun nama lainnya yg memiliki konsentrasi tinggi terhadap pendidikan bahasa asing utk putra putri aceh ... insyaallah, detil hasil diskusi di banda aceh tersebut akan saya utarakan kpd Tan Sri pada kesempatan yang lain....

wassalam...

said akram - banda aceh

pakmalau said...

salam.

Tan Sri masih adakah dalam simpanan Tan Sri ucapan Almarhum Pak Mat Etong samada dalam teks ucapan atau caset saya rasa mungkin ada yang mash dalam simpanan Tan Sri.

wassallam

Syaher said...

Ich mag diesen Beitrag. Ich lerne auch Deutsch und ich denke Deutsch ist am besten. Ich möchte mein Lehrer für den Unterricht mir diese Sprache dank. Es gibt Frau Khairunisah und Herr Kristian Ketzer. Danke, danke und danke.