Saturday, February 13, 2010

KE ARAH MENCAPAI KEJAYAAN

APAKAH ERTI KEJAYAAN?

1. Edward de Bono bertanya apakah yang dikatakan 'success' atau kejayaan?

2. Apakah menang medal emas dalam sukan Olympic atau di Wimbledon itu kejayaan? Apakah menjadi kaya, menerajui syarikat yang besar, memenangi Nobel Prize atau berjaya membuat sesuatu itu yang dikatakan berjaya? Siapakah yang lebih berjaya antara seorang jutawan yang menderita dan berperasaan tidak puas hati di akhir hayatnya atau seorang yang tidak dikenali tetapi hidup bahagia? Itulah soalan-soalan Edward de Bono.

3. Adalah lebih mudah jika dikatakan orang yang berjaya itu ialah seseorang yang hendak membuat sesuatu dan berjaya mengerjakannya. Saya telah memerhatikan beberapa orang yang telah berjaya, dari segi material, yang mungkin dapat kita pelajari dari kejayaan mereka.

4. Ada manusia yang berjaya semata-mata kerana bernasib baik. Tetapi, bagaimana pula untuk bernasib baik dan bila pula masanya?



HAJI AHMAD DOBI

5. Haji Ahmad Dobi yang berasal dari Alor Setar pernah memberitahu kepada saya bagaimana beliau telah bertemu dengan seorang yang lebih tua darinya dalam penerbangan pulang dari Amerika Syarikat melalui Singapura. Dia telah menjemput kedua orang tua yang hendak ke Singapura itu supaya meneruskan perjalanan mereka ke Kuala Lumpur. Dia telah memberi layanan yang sungguh istimewa kepada kedua orang tua ini bila mereka tiba-tiba terpikat dengan pujukan Haji Ahmad dan sampai juga perjalanan mereka ke Kuala Lumpur. Mereka begitu puas dan gembira dengan layanan Haji Ahmad, walau pun Haji Ahmad baru sahaja mengenali mereka di dalam kapal-terbang. Mereka sungguh terpikat dengan keindahan Kuala Lumpur sehingga berjanji untuk datang lagi.

6. Haji Ahmad terkejut bila beliau ditawarkan saham dalam syarikat milik pelancung tua tadi yang membuat keputusan untuk melabur di Malaysia. Haji Ahmad menjadi jutawan sebagai pemegang saham dalam syarikat Motorola milik pelancong tua itu.

7. Apakah itu nasib namanya? Mungkin. Tetapi orang tidak tahu bahawa Haji Ahmad adalah seorang ahli perniagaan beras yang gigih. Beliau nasihatkan saya di waktu saya sedang menaja Koperasi SHAMELIN supaya membeli barang dengan harga yang tertinggi dan menjualnya dengan harga semurah mungkin. Kalau kita beli dengan harga yang tinggi semua orang hendak jual kepada kita dan kalau kita jual dengan harga yang termurah orang ramai akan beli dari kita. Beliau menasihatkan saya supaya tidak berhasrat untuk jual sedikit untuk mendapat untung  yang banyak. Sebaliknya cuba menjual dengan banyaknya walaupun kecil untung bagi tiap seunit. Kita dapat menguasai pasaran jika banyak jualan. Ilmu ini Haji Ahmad perolehi dari pengalaman.

8. Haji Ahmad mulanya jual beras di Alor Setar tetapi dia yakin jika dia ingin lebih berjaya dia perlu berkenalan dengan orang-orang yang telah berjaya. Dia buat kesimpulan bahawa orang yang berjaya tentunya naik kapalterbang di kelas satu dan tidak di kelas ekonomi. Tetapi untuk naik kelas satu harganya terlalu mahal dan diluar kemampuannya. Dia selidik dan mendapat tahu jika dia memiliki perniagaan ejen jual tiket kapal-terbang dia boleh berjalan kesana-sini dengan bayaran sekitar 10 peratus dari tambang sebenar dan ada kalanya tidak perlu bayar apapun bila ada promosi. Dia pun memulakan perniagaan sebagai ejen jual tiket kapalterbang. Itulah sebabnya setelah beberapa kali perjalanan melintasi benua dengan menaiki kelas satu salah seorang yang berjaya yang dia temua ialah pelancong tua pemilik Motorola tadi. Inikah yang dikatakan nasib?

SYARAT UNTUK BERJAYA

9. Untuk berjaya kita juga bergantung kepada keadaan, masa atau waktu, tempat, dan benda. Jika kita jual ais krim di musim sejuk, membuka klinik di Pulau Tuba, Langkawi, di man terdapat tidak rami orang sakit, atau cuba jual barang ukiran cantik kepada orang buta, atau menjual alat musik kepada orang pekak maka sudah tentu kita akan gagal dalam usaha kita. 

10. Ada juga orang yang menjadi kaya kerana mengambil kesempatan dari nasib tidak baik orang lain. Seperti membuka kasino judi atau menjual loteri. Oleh kerana hampir tidak ada orang yang kaya kerana berjudi dan lebih ramai yang kalah dari yang menang membeli loteri kebajikan atau empat nombor ekor, maka kekalahan orang ramai menjadi kemenangan dan keuntungan bagi yang memiliki lesen judi dan loteri. Sudah tentu bukan kejayaan begini yang kita idam-idamkan.

LOH BOON SIEW

11. Loh Boon Siew pula pada mulanya berniaga baisikal. Beliau menyimpan akaunnya di The Chartered Bank Pulau Pinang. Setelah mendapat surat pengenalan dari cawangan bank itu di Pulau Pinang Loh telah memperkenalkan diri kepada Pengurus The Chartered Bank, Tokyo. Sambil melihat kota Tokyo Loh Boon Siew telah dibawa melawat kilang-kilang buatan motor-cycle oleh pihak bank. Loh tidak faham kenapa beliau dibawa melawat kilang motor-cyle sedangkan beliau peniaga baisikal. Rupa-rupanya dalam surat pengenalan dari The Chartered Bank, Pulau Pinang Loh telah diperkenalkan sebagai 'a cycle dealer' tanpa menyebut bi-cycle atau motor-cyle. Setelah berbincang lama Loh Boon Siew telah menandatangani buku lawatan Syarikat Honda dan juga surat-surat lain. Surat-surat ini rupanya tempahan untuk membeli motor-cycle Honda.

12. Beberapa bulan kemudian Loh terkejut apabila menerima panggilan telefon dari bank menyatakan kiriman motor-cycle Honda sudah sampai di Pelabuhan Pulau Pinang. Kerana Loh tidak bersiap untuk menerima kiriman ini maka pihak bank telah mengurus semuanya untuk menyimpan semua motor-cycle itu ke dalam gudang Jardine Waugh ( kalau tak salah ingatan saya ). Akhirnya Loh berjaya menjual semua motor-cycle yang ada dan mendapat keuntungan yang begitu banyak. Bermulalah langkah Loh Boon Siew kearah menjadi jutawan dan bergelar Tan Sri.

13. Apabila Tan Sri Loh Boon Siew mengetahui kewujudan saya daripada kawannya seorang China dari Taiwan yang berkerakyatan Jepun bernama B. U Lee ( atau Kottera ) saya telah makan tengahari bersamanya dan B. U. Lee di restoran Jepun di Hotel Bayviewnya di George Town. Kerana mengenang persahabatan singkat dengannya waktu saya bertugas sekejap di The Chartered Bank, Pulau Pinang, Tan Sri Loh telah menghadiahkan sekeping tanah dari estetnya di Sungai Raya, Langkawi untuk ahli-ahli MIC di sana membuat projek perumahan. Itu sahaja yang sempat Boon Siew tolong saya sebagai Ahli Parlimen Langkawi.

14. Dalam pertemuan pertama dan terakhir di restoran Jepun ini Tan Sri Loh menyatakan beliau baru saja ke Jepun untuk menukarkan semua darah dalam tubuhnya supaya dia menjadi sihat. B. U. Lee dan saya berjenaka dengan mengatakan ' kalau begitu Tan Sri bukanlah orang China lagi kerana semua darahnya darah Jepun.' Beliau kelihatan sedih dan beberapa bulan kemudian saya dan B. U. Lee pula sedih mengetahui beliau telah meninggal dunia. Cerita saya ini agak eksklusif dan berlainan dari apa yang terdapat di dalam buku riwayat hidupnya.

LIM GOH TONG

15. Seorang jutawan lagi yang buku riwayat hidupnya tidak mengandungi apa yang saya ketahui dari dirinya sendiri ialah Tan Sri Lim Goh Tong. Saya kenal Tan Sri Lim dari B. U. Lee juga. B. U. Lee ini juga ialah sahabat baik Tan Sri Low Yat pemilik Federal Hotel Kuala Lumpur. Malah beliau tinggal di sana dengan bayaran yang hampir percuma. B. U. Lee mengenal Tan Sri Lim Goh Tong kerana Tan Sri Lim pada mulanya menjadi kontraktor di projek perairan KADA di Kelantan. B. U. Lee ialah seorang civil engineer dari Wisuda University di Tokyo yang membantu Lim dalam menjayakan projeknya di KADA.

16. Waktu YTM Tunku Abdul Rahman mula-mula menjadi Perdana Menteri beliau ialah ahli Parlimen bagi kawasan Langkawi - Kuala Kedah. Ada rancangan Low Yat untuk mengendali sebuah kasino di Langkawi. Itulah sebabnya beliau mendirikan hotel besar yang pertama di Langkawi bernama Langkawi Island Resort (LIR) yang kini sudah berubah namanya menjadi Hotel Westin dan sebelumnya Hotel Sheraton Perdana. Lesen kasino untuk LIR telah tidak dikeluarkan kerana takut kalah dalam pilihanraya. B. U. Lee telah memaklumkan perkara ini kepada Tan Sri Lim Goh Tong waktu mereka dalam perjalanan pulang dari melawat projek di KADA dan sedang melintasi kawasan bukit dan gunung di sempadan Pahang dan menghampiri Selangor. Idea memindahkan lesen kasino dari pulau ( Langkawi ) ke bukit ( Genting ) telah tercetus dalam perjalanan ini. Goh Tong tertarik dengan perkataan Genting kerana Genting (GT) sama dengan Goh Tong ( juga GT). Akhirnya wujudlah projek kasino di Genting Highland dan B. U. Lee menjadi konsultan untuk membuat jalan yang berbelit-belit naik ke gunung. B. U. Lee juga menjadi penasihat sistem perairan dan perparitan di Genting Highland sebagaimana beliau menjadi penasihat sejenis kerja di KADA Kelantan. Mulai dari kasino inilah maka Tan Sri Lim Goh Tong akhirnya membesarkan empayar perdagangannya sehingga sebelum meninggal dunia beliau adalah antara orang yang terkaya di Asia.

WAHI MAKAM

17. Ada satu persamaan antara Tan Sri Lim Goh Tong dan Tan Sri Low Boon Siew iaitu keduanya buta huruf belaka. Ada juga seorang jutawan Melayu bernama Wahi Makam yang juga buta huruf tetapi menjadi seorang jutawan.

18. Wahi Makam yang lebih terkenal dengan nama Pak Wahi, adalah seorang jutawan, walau pun buta huruf, tetapi pengetahuannya mengalahkan kemampuan 'professor'. Saya mengenalnya secara pribadi kerana beliau sering kerumah saya waktu saya masih bujang dan tinggal di Damansara Heights, pada waktu saya bekerja di The Chartered Bank di Kuala Lumpur. Beliau menggalakkan saya supaya membeli rumah dulu sebelum mendirikan rumah-tangga. Beliau juga mengajar saya supaya berani berhutang asal mampu membayarnya kembali.

19. Pak Wahi bekerja sebagai penggiling rempah waktu di sebuah restoran di Sigli, Aceh. Dari sana beliau berpindah ke Medan dan akhirnya ke Pulau Pinang. Beliau cergas dalam perniagaan impot-ekspot dan memiliki banyak harta di sana-sini. Kerana kegigihan Pak Wahi hampir kesemua anaknya mendapat pendidikan ke peringkat universiti. Saya cadangkan supaya anak-anaknya memilih seorang penulis untuk mengarang riwayat hidupnya kerana lebih banyak yang dapat kita pelajari darinya, kerana kekayaannya disebabkan oleh sikap amanah, berani, disiplin, rajin dan setia, yang ada padanya, dan bukan kerana nasib dan tidak bersandarkan kepada judi atau kasino.

6 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum wbt Tan Sri,

Hari ini 5 petang 28 Safar 1431 Hijrah, Sabtu (13/2/2010)Di tahun 1974, saya masih di darjah 1A di English Glugor School Penang dan mulai tahun 1975-1979 saya bersekolah di St Xaviers Institutions Penang yang kedudukannya betul betul diseberang jalan bangunan milik Tan Sri Loh Boon Siew. Hotel City Bayview yang Tan Sri sebut tu asalnya Hotel Merlin dimana disebelah bawah kiri hotel tersebut terletaknya pejabat perniagaan Tan Sri Loh Boon Siew yang mengadap Hotel E&O.Selepas tamat undang undang di UIA Petaling Jaya tahun 1990 di Konvokesyen UIA ke Empat di Dewan Muktamar Pusat Islam KL oleh Ke Bawah DYMM Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang, saya kembali ke Pulau Pinang untuk bercuti dan sewaktu berjalan kaki disebelah stesen minyak selepas melintas dari E&O, saya melalui pejabat Tan Sri untuk ke sekolah lama saya untuk berjumpa dengan Uncle Vincent kakitangan terlama di Sekolah lama saya yang masih ada lagi sehingga hari ini . Sewaktu melalui pejabatnya, pintu kaca ruang kerja terbuka dan saya nampak beliau duduk ditempat seolah dia seorang kerani dan beliau melambai saya masuk dan saya pun melambai tapi tiba tiba ada perempuan berusia dalam awal 50an , datang dan bertanya pada saya, lu mau apa?. Saya menjawap takda apa apa sambil menyatakan Mr Boon Siew panggil saya. Perempuan tu terus tutup pintu dan saya pun meneruskan perjalanan ke sekolah lama saya yang hanya 1 minit dari situ. Pengajaran yang saya perolehi ialah orang kaya yang sebenarnya -Tan Sri Loh Boon Siew--tidak sombong tetapi mereka yang berada disekelilingnya yang meletakkan barier/halangan.
Saya kemudiannya mendapat tahu yang sebelum Tan Sri Loh Boon Siew
meninggal(?), beliau telah memberikan RM 1 juta (nilai ketika itu) kepada bekas pemandunya. Kisahnya juga yang terdapat dalam bukunya -ialah kesusahannya bila datang ke tanah melayu, Boon Siew sebagai budak muda terpaksa tidor dalam bas setiap malam di tempat simpanan bas di Penang dan bagi menjaga hati tauke/pengurusan bas kerana mengizinkan dia tido maka setiap hari Boon Siew mencuci bas tersebut dengan percuma. Akhirnya, Boon Siew membeli semua bas tu dan timbullah Penang Yellow Bus yang terkenal zaman 70an . Ada seorang kakitangan perempuan Hotel Malaysia Penang/ Continental Penang yang berhampiran dengan dengan bangunan Merlin Hotel Boon Siew tu sekarang telah menjadi pemilik kedai rekod/cd/kaset yang berjaya di Kuala Lumpur mempunyai sebuah kedai muzik yang menjual banyak lagu lagu evergreen/oldies Inggeris dan Melayu terletak disebuah kompleks membeli belah di KL. Daripada pemilik kedai ini saya di maklumkan yang Boon Siew amat suka membantu orang. Dan kisah ini juga takda tercatat dalam buku Boon Siew.. Manakala Tan Sri Lim Goh Tong sempat menulis sendiri kisahnya . Namun apa yang nak saya petik disini tak terdapat dalam bukunya dan bersumberkan kejadian benar sepertimana yang diceritakan pemilik kedai muzik diatas. Lim Goh Tong amat gemar datang ke Pulau Pinang atas urusan perniagaan. Namun hotel yang Tan Sri Lim Goh Tong suka tinggal bukannya hotel 7 bintang tetapi Hotel Embassy di Transfer Road Penang . Di kaki lima Hotel Embassy terdapat peniaga kecil kecilan yang menjual barang barang biasa seperti sikat, berus gigi dll. Setiap kali Tan Sri Lim sampai beliau akan singgah digerai berkenaan dan bertanyakan bagaimana perniagaan hari ini? Selepas peniaga berkenaan menjawap terus Tan Sri meminta peniaga menghulurkan tangan dan sewaktu tangan dihulurkan Tan Sri memasukkan sekeping wang kertas RM500 yang digumpalnya, begitulah yang terjadi setiap kali Tan Sri Lim check in di hotel murah tu.
Alangkah bagusnya kiranya ramai peniaga berjaya seperti Tan Sri Loh Boon Siew dan Tan Sri Lim Goh Tong dan alangkah bagusnya kiranya Malaysia punyai ramai manusia seperti mereka berdua ini.Sekian dulu buat kali ini Tan Sri kerana sekejap lagi saya nak ke Ampang , ada appointment pukul 630 petang ni. Wassalam wbt.

Gong Xi Fa Cai esok.

28 Safar 1431 Hijrah 540 ptg Sabtu (13/2/2010)
drsyediskandarislamicbankingfinance.blogspot.com atau
isikcorpadv@gmail.com

"SEBAT" said...

Tkasih Tan Sri semoga sihat,

Sewaktu Tun Mahathir berkuasa selama 22 tahun sebanyak RM 100 BILION telah digunakan, Tun Pak Lah selama 5 tahun sebanyak RM 270 BILION telah diguna. Apa yang ditafsirkan adalah untuk memajukan Malaysia.

Tan Sri, bekas-bekas pemimpin politik dalam kerajaan dan orang-orang Melayu yang dapat kekayaan dari kerajaan sudah kaya raya dibumi Malaysia.

Kita boleh bandingkan dengan kaum cina contohnya. Mereka hanya merupakan "sub-con" dari kontraktor-kontraktor Melayu tak kira dari kelas F hingga A. Bangsa cina tidak menggunakan keuntungan tersebut untuk aset persendirian seperti rumah besar, kereta mewah dan lain-lain. Mereka gunakan keuntungan tersebut untuk wujudkan kilang, menjadi pembekal barang-barang spt hardware, jentera berat, pasaraya, salun, rumah urut dan lain-lain lagi. Kewujudan semua ini adalah untuk membantu bangsa mereka dan memberi peluang pekerjaan serta memonopoli perniagaan yang terdapat di Malaysia.

Bagi orang-orang melayu kebanyakannya setelah mendapat projek kerajaan dan mengaut untung hanya sebagai alibaba sahaja. Mereka hanya membeli aset persendirian seperti rumah banglo dua tiga buah, kereta mewah dlm tiga empat buah, menambah koleksi isteri, simpan wang berjuta-juta dlm bank. Mereka hanya pentingkan kaum keluarga dan keturunannya sahaja tanpa memikir untuk membantu bangsa Melayu mereka yang masih miskin dan daif.

Tan Sri,

Setelah mereka ini bersara dan hilang kuasa dari kerajaan mereka hanya pandai bercakap dan mengkritik sahaja. Mereka bercakap dan menasihat pula kepada pemimpin-pemimpin baru jangan mengharapkan nak dapat projek atau jawatan dlm kerajaan kalau nak berjuang.

Tan Sri, zaman sekarang ni nak masuk tandas pun kena bayar macamana nak berjuang tanpa mengharapkan projek dan pangkat....

Tan Seri, sebenarnya segelintir orang-orang Melayu ni pandai bercakap je. Bab kritik orang no 1 tapi bila minta bantuan untuk menaja ataupun sumbangan mereka ni terus hilang ada pula siap tukar nombor talifon.

Orang sekarang ni kalau takde duit mana boleh cakap malah orang tak pandang pun......Betul kata Tan Sri Melayu takut dan lupa asal usulnya dan apa yang Tun Mahathir cakap pun betul Melayu mudah lupa....

Riza Ahmad said...

salam Tan Sri dan pembaca semua,

Kisah indah dan mudah kejayaan seseorang biasa kita dengar dan baca, namun kisah pahit dan sedih yang panjang sebelum sesuatu kejayaan jarang kita ambil hirau atau belajar untuk kita mencapai kejayaan. Biasanya, memang Melayu mudah lupa, begitu juga orang lain. Selagi nama mereka manusia, kadang kala, tempat lahir pun mereka lupa, atau buat-buat lupa.

Berbeza dengan pepatah Melayu, tempah jatuh lagi dikenang, ini kan pula tempat bermain, manusia memang mudah lupa. Hanya penyu yang pasti balik ke tempat ia ditetaskan untuk bertelur.

Umur yang panjang sahaja tetapi tidak digunakan sebaiknya, sebenarnya tidak banyak maknanya dan merupakan satu kerugian. Apa yang penting ialah, apa yang dapat kita sumbangkan kepada masyarakat semasa hayat kita, dan semua sumbangan yang baik itu akan menjadi bekal kepada kita di kemudian hari.

Apa pun, dalam arus kehidupan hari ini, segalanya sangat deras dan masing-masing sibuk dengan hal masing-masing seperti mana di padang mahsyar, kita sudah tidak lagi peduli tentang orang lain. Yang penting kita perlu hidup dan mencukupkan keperluan masing-masing tanpa menghiraukan kebajikan orang lain. Yang penting ialah, kita dulu.

Dalam kehidupan bermasyarakat, seperti tulisan Tan Sri dan Dato Ali, kalau bukan kita yang membantu dalam memajukan masyarakat kita, siapa lagi yang dapat kita harapkan. Benar kata pepatah, bagai enau dalam belukar, dan sebenarnya terlalu banyak pepatah Melayu yang menggambarkan sifat kita dan sepatutnya kita belajar daripadanya. Hanya kita yang dapat mengubah nasib kita sendiri.

Ada kalanya, kita merasakan perubahan itu adalah sesuatu yang tidak perlu kerana kehidupan yang telah selesa. pun begitu, sebagai seorang muslim yang sebenar-benarnya muslim, berkarya itu sangat perlu dan kehidupan ini perlu diteruskan dengan perubahan-perubahan yang dibolehkan oleh syarak.

yang penting, asas-asas islam itu perlu kukuh, dan dari situ kita boleh berkembang dengan baik. soal asas yang tidak kukuhlah yang biasanya boleh menyebabkan kemusnahan. islam diturunkan selama 23 tahun dan bukannya satu malam. kebanyakkan rukun islam juga bermula selepas hijrah.

ada banyak perkara mudah yang dibuat susah lewat masa ini disebabkan kepentingan diri, puak atau kaum. pun begitu, masih belum terlewat kerana matahari masih belum terbit dari barat dan kita masih lagi hidup untuk boleh berusaha lebih gigih memperbaiki diri dan masyarakat.

tiada yang mustahil, selagi ada usaha, selagi itu ada jalan kecuali mereka yang sudah berputus asa dan mencari jalan singkat. semua kegagalan diarahkan kepada orang lain supaya diri tidak dipandang rendah. adakah patut disalahkan guru sedangkan pilihan sebenarnya dibuat oleh murid itu sendiri? adakah salah ibu bapa sekiranya jalan yang diambil itu sesat sedangkan kita masih boleh mencari jalan yang benar terutama dizaman yang serba canggih ini?

yang penting, kita perlu berfikiran matang dan menghadapi setiap cabaran yang datang dengan tenang dan tabah. ini bukan sesuatu yang boleh dipelajari dalam masa satu malam, belajar berjalan pun mengambil masa beberapa lama. puas jatuh barulah dapat berjalan dengan baik.

sedangkan Rasul pun melalui proses-proses yang mengambil masa sebelum menjadi Rasul, inikan pula kita yang belum tentu terpilih.

Dan apa sebenarnya yang cuba saya sampaikan di sini ialah, adalah menjadi tanggungjawab setiap kita untuk menjadi orang yang lebih baik dari semalam. orang yang paling rugi adalah orang yang semalamnya lebih baik dari hari ini, kerana esok kita belum tentu di sini lagi... Allah sebenarnya lebih mengetahui. http://kerjaya-muslim.blogspot.com/

Anonymous said...

Salam Tan Sri,
Komen 1,

Saya baca 'kisah indah' ini seperti kata Riza Ahmad, juga dengan perasaan yang indah. Motivasi ini nampaknya berkesan.

Tidak ada orang berkata bahawa kejayaan itu datang dengan mudah. Selalu kita dengar orang-orang yang berjaya berkata "tidak ada jalan pintas untuk berjaya" semuanya perlukan usaha gigih.

Namun ada juga penganjur skim cepat kaya mengatakan, mudah untuk berjaya, labur dan duduk diam, hail akan tiba. Ramai yang pecaya dan akhirnya ramai yang terkena kerana yang dapat laba, membeli kereta mewah, membeli rumah besar dan melancung secara mewah hanyalah penganjurnya. (Sebelum dia ken tangkap polislah)

Ada juga yang berkata untuk berjaya 80% merupakan nasib baik, sementara 20% lagi usaha keras. Sebaliknya ada juga yang berkata 80% merupakan usaha keras dan hanya 20% merupakan bantuan nasib baik.

Kedua-duanya mungkin benar, ikut contoh Boon Siew dan Lim Goh Tong, usaha keras merupakan kuncinya. Berjimat cermat dan merendah diri merupakan penawar yang efektif.

Kita teransang bagaimana pencuci bas boleh menjadi pemilik bas dan kesanggaupan Lim Goh Tong untuk tidur dalam hutan batang kali selama 3 bulan akhirnya membuahkan kejayaan. Ini juga satu bukti bahawa golongan minoriti di Malaysia ini boleh berjaya dan tidak pernaah dizalami. Lalu Hindraf tidak sepatutnya meeka cerita dan mengadu ke Ratu England.

Yang bernasib baik juga mungkin ada dimana hanya 20% usaha sudah cukup untuk menjadi seorang jutawan. Antaranya Pak Dobi yang Tan Sri ceritakan, agak bernasib baik, bertemu dengan Jutawan dalam penerbangan, dia juga akhirnya menjadi jutawan.

Jokiden,
NSDK

Anonymous said...

Salam Tan Sri
Sambungan komen 1,

Pemandu Boon Siew seperti yang diceritakan oleh Dr Syed juga contoh klasik nasib baik, tak pasal-pasal dapat RM1 juta, lalu keesokan harinya status beliau berubah menjadi jutawan.

Jika saya nak tambah, seorang gadis desa yang hidup merempat, yang hanya makan nasi sekali dalam 7 hari, mempunyai keluarga yang huru hara, yang hanya mampu pakai bra buatan neneknya dari perca kain yang lusuh, telah berubah samasekali kehidupannya apabila suatu hari dia berhijrah ke Kuala Lumpur.

Gadis desa ini dalam kelusuhannya, masih menampakan kemanisan wajah aslinya. Sewaktu menagih simpati dari seorang penjual burger di Jalan Raja Abdullah Kg Baru, sebuah kereta mewah turut berhenti dan keluar dari kereta besar itu seorang lelaki berumur yang pastinya bergaya.

Dia sempat memerhatikan adegan antara gadis lusuh tersebut dengan penjual burger itu, lalu timbul rasa simpati yang amat sangat di hatinya.

Cerita diringkaskan, lelaki bergaya itu berjaya memujuk gadis lusuh itu menaiki keretanya dan terus menghilang.

Sebulan selepas itu gadis tersebut kembali ke jalan Raja Abdullah dan membeli burger daripada budak yang sama.

Wajahnya macam ratu, cantik, menawan, berseri dan oleh kerana turun dari kereta besar maka budak penjual burger tu segera melayannya.

"Bapak you tu kerja apa?" tanya budak burger, "Bapak mana?" jawab gadis itu. "tu yang tunggu dalam kereta tu?" "Hih.itu bukan bapak saya, tu suami sayalah" !!!!????

"Tapi saya isteri ketiga..." jelasnya lagi apabila budak burger tu kelihatan melopong.

Sewaktu menerima burger tersebut isteri jutawan tersebut menyerahkan wang RM100 sebanyak sepuluh keping kepada budak burger tu sebagai bayaran.

"Ambil je, sebab burger kau nilah saya bertemu dengan suami saya tu." katanya apabila melihat muka budak burger tu pucat lesi, agaknya belum pernah melihat duit seribu.

"Bulan lalu saya datang minta Burger, tapi kau tak bagi masa tu...ni saya dah jutawan tau, baru tadi pegi bank suami saya bagi RM1 juta" katanya berlalu ke dalam kereta sambil tersenyum manis.

Gadis yang bernasib baik, penjual burger yang bernasib baik..Jika Tan Sri Izinkan kisah ini ada sambungannya kelak.

Jadi jika hendak meramaikan jutawan, maka kita galakan para jutawan berkahwin lebih dari satu, tapi isteri tua yang pernah sama-sama susah jangan pula di ceraikan.

Tan Sri,

Sudah tiga hari di Seremban Pasar Raya Giant membuat sale serentak dengan Carefur. Harga sabun fab 2.4kg di Giant dikurangkan dari RM13.88 kepada RM12.88, orang kata murah tapi tak laku, stoknya masih bertimbun.

Sebabnya di Carefur harga sabun fab 2.4kg diturunkan harga dari RM12.88 kepada RM10.88..orang bertumpu ke sana dan barang lain turut laku termasuklah barang yang telah hampir tamat tarikh luputnya.

Jadi teori Tan Sri adalah betul. Saya mohon maaf banyak-banyak kerana komen kali ini panjang sangat, Saya terikut-ikut pulak stail Dr Syed. Tk.

Jokiden, NSDK.

Anonymous said...

Assalamualaikum Tan Sri,

Menarik sungguh membaca tulisan-tulisan Tan Sri. Berawal apabila saya kembali ke Kuala Lumpur pada penghujung tahun lalu dan seorang rakan memberitahu tentang blog Tan Sri.

Tentang Wahi Markam juga perlu ditulis cerita menarik, apabila dia pernah mempunyai cerita menarik dimana pinangannya ditolah oleh seorang calon yang bertempat tinggal di Seunudon, sebab pada masa itu dia masih miskin.

Akan tetapi setelah dia berjaya, dia masih sabar untuk kembali untuk meminang semula wanita itu, dan ia berjaya berkahwin dengan wanita tersebut yang kini memandang hartanya.

Sisi lain yang perlu diceritakan juga tentang kesanggupan dia meninggalkan isteri pertamanya di Alue Nyamok dengan anaknya yang masih kecil, ketika dia mengadu nasib ke jakarta dan berkawan hingga dengan Soekarno.

Mungkin itu juga bahagian dari nasib dan kegigihan dia. Nasibnya yang hanya pernah menjadi seorang tukang judi di kampung telah menjadi hartawan di merata tempat seperti yang Tan Sri ceritakan.

Wassalam