Sunday, April 4, 2010

MODEL EKONOMI BARU

Satu Sudut Pandangan

DARI DASAR EKONOMI BARU KE DASAR PEMBANGUNAN NEGARA

1. Model Ekonomi Baru sudah diumumkan. Ia menggantikan Dasar Ekonomi Baru. Sebenarnya Dasar Ekonomi Baru pun telah lebih awal digantikan dengan Dasar Pembangunan Negara apabila tempoh Dasar Ekonomi Baru telah tamat di zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir.

GANTI DASAR DENGAN MODEL

2. Dari segi nama Model Ekonomi Baru (MEB) mempunyai nama yang lebih mirip dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Perbezaannya ialah perkataan 'Dasar' diganti dengan 'Model'. Yang membimbangkan semua pihak yang biasa dengan Dasar Ekonomi Baru ialah kerana terlalu ramai yang mempropagandakan MEB dengan cara yang memperkecilkan DEB seolah-olah pihak yang mendukung model dari anak sampai hati menghinakan dasar yang diperkenalkan oleh bapanya yang sangat dicintai itu.

DASAR PEMBANGUNAN NEGARA BERJIWA DASAR EKONOMI BARU

3. Dalam Dasar Pembangunan Negara (DPN) yang diketengahkan oleh Tun Dr. Mahathir jelas terdapat dua perkataan iaitu 'Pembangunan' dan 'Negara' yang tidak ada dalam Dasar Ekonomi Baru. Perkataan yang sama hanyalah 'Dasar'. Tetapi Dasar Pembangunan Negara yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir telah diterima baik oleh semua rakyat, walau pun perbezaan dua perkataan, kerana Tun Dr. Mahathir telah menjelaskan bahawa Dasar Pembangunan Negara adalah keseninambungan roh Dasar Ekonomi Baru.

ADAT DAN ADAB MELAYU

4. Sebagai satu bangsa yang beradat dan beradab orang Melayu, walau pun tidak menolak perlunya perubahan, tetapi sangat takut kepada perubahan yang mendadak, dan tidak suka sama sekali jika perubahan itu dibuat dengan menghina atau melupakan budi dan jasa pemimpin yang terdahulu lebih-lebih lagi jika penghinaan itu dibuat secara langsung, atau dengan cara sindiran, oleh pihak yang baru berada di dalam UMNO setelah UMNO berjaya memimpin negara ini ke tahap yang dapat memberi nikmat kepada mereka jua. Pakar-pakar yang mencipta MEB hendaknya tidak terbatas dianggotai oleh teknokrat yang bergaji tinggi institusi yang sudah matang, termasuk yang didirikan atas kehendak DEB, dan tidak berpengalaman menghadapi risiko mengendali atau memulakan  perusahaan miliknya sendiri yang berjaya atau mengendali institusi besar yang membantu massa dengan berbagai risiko. 

PERBEZAAN PENDEKATAN ANTARA DEB DAN DPN

5. Walau pun Tun Dr. Mahathir menyatakan DPN yang diperkenalkannya itu sebagai kesinambungan kepada DEB jelas sekali pelaksanaan dasar ini atau DEB sebelumnya, oleh beliau, sangat berbeza dengan cara yang diamalkan di zaman Tun Abdul Razak dan di zaman Tun Hussein Onn.

MULA-MULA CHINA TAKUT TUN ABDUL RAZAK

6. Saya masih teringat di zaman Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri kaum China agak bimbang dengan sikap Tun Abdul Razak sebagai pejuang Melayu yang dianggap berlebihan. Mereka bimbang Tun Abdul Razak akan melupakan mereka. Tetapi terbukti kaum China dapat menerima dengan baik kepimpinan Tun Abdul Razak apabila beliau menjadi Perdana Menteri sehingga dapat diwujudkan Barisan Nasional. Dasar Ekonomi Baru telah diterima baik oleh semua kaum.

BANYAK PEMIMPIN MELAYU TERTANGKAP

7. Kaum China juga kurang pasti dengan sikap Tun Hussein Onn, anak nasionalis terulung Melayu Dato' Onn Jaafar, apabila beliau menjadi Perdana Menteri. Kebimbangan mereka reda apabila mereka melihat begitu banyak pemimpin Melayu yang telah terpenjara atas tuduhan rasuah dan kominis di zamannya. Tidak ada seorang pun tokoh China yang tertangkap. Dasar Ekonomi Baru tidak menjadi masalah. Yang ditakuti oleh kaum China pada waktu itu ialah Tun Dr. Mahathir sebagai ultra Melayu.

DARI DITAKUTI JADI DISAYANGI

8. Dalam masa 22 tahun Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri beliau meneruskan DEB dan DPN dengan roh DEB, yang diterima baik oleh semua kaum di dalam negara ini. Dua kenyataan Tun Dr. Mahathir yang saya ingat, dan dianggap realistik oleh beberapa orang tokoh bukan Melayu. Pertama ialah apabila Tun Dr. Mahathir menyatakan 'saya tak boleh pastikan semua kaum suka dan gembira dalam negara ini; tetapi asalkan semua kaum sama-sama merasa susah dan tak puas hati maka saya fikir saya sudah pun bersikap adil'. Kenyataan Tun Dr. Mahathir yang kedua ialah 'saya akan membantu dengan apa saja cara yang halal, dan boleh saya bantukan, untuk menjayakan program atau projek yang hendak dibuat oleh kaum China dan selainnya sementara mereka juga tidak menghalang apa saja usaha yang ingin saya lakukan untuk menolong orang-orang Melayu dan Bumiputera.'

KEK EKONOMI YANG MEMBESAR

9. Di zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir usaha gigih telah dibuat untuk memastikan kemajuan ekonomi berjalan dengan pesat. Dengan pertumbuhan yang pesat itulah maka kek ekonomi yang berkembang itu telah menguntungkan semua pihak.

PERATUS BIASISWA UNTUK BUMIPUTERA TIDAK PERNAH DIPERSOALKAN

10. Pemberian biasiswa oleh pihak kerajaan kepada kaum Bumiputera tidak pernah dipersoalkan peratusnya
oleh masyarakat China sementara pelajar-pelajar dari keturunan China tidak kurang mendapat seluruh pemberian biasiswa oleh pihak swasta mereka tanpa dipersoalkan oleh kerajaan dan orang-orang Melayu.

SOKONGAN KAUM CHINA TERHADAP BN DALAM PILIHANRAYA 1999

11. Dalam Pilihanraya Umum 1999 Tun Dr. Mahathir telah mendapat sokongan kaum China yang begitu besar sehingga dapat mempertahankan majoriti 2/3 di dalam Parlimen walau pun pada waktu itu pengundi Melayu masih marah dan keliru kerana masih belum boleh menerima adanya pemimpin yang didapati bersalah dan dihukum oleh mahkamah atas kesalahan sodomi dan rasuah. Masyarakat China dan India masih menerima baik kerajaan Barisan Nasional walau pun masih ada DEB dan DPN yang berjiwakan DEB.

DARI CEMERLANG MENJADI CEMAS

12. Dalam Pilihanraya Umum 2004 Barisan Nasional telah memenangi dengan cemerlang setelah mempunyai Perdana Menteri baru, dengan harapan dan janji baru, tanpa menyalahkan DEB. Hanya sesudah gagalnya pimpinan UMNO setelah memenangi dengan cemerlang Pilihanraya Umum ke 11 dibeban pula dengan ketidakmampuan memimpin, penyelewengan politik, rasuah dan nepotisma yang berleluasa maka rakyat telah menghukum BN dalam Pilihanraya ke 12 pada tahun 2008.

PEMBANGKANG JADI BERANI DAN RAKUS

13. Kekalahan inilah yang menyebabkan pembangkang menjadi berani dan mengambil kesempatan menyalahtafsirkan sebab kemenangan mereka dan mula membelasah DEB dan Hak Istimewa Orang-orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan. Oleh kerana perlembagaan Malaysia itu didukung oleh sistem kehakiman kita dan dilindungi oleh raja-raja Melayu maka dua institusi ini juga dibelasah dan dikritik dengan bersemangat kerana pembangkang juga mempunyai jaguh harapan mereka walau pun beliau berlumuran dengan berbagai karenah. Malangnya strateji pembangkang ini kelihatannya memberi kesan yang kelihatan menakutkan pemimpin-pemimpin UMNO.

KEBANGKITAN NGO

14. Oleh kerana pihak UMNO kelihatan tidak mengambil tindakan pembetulan yang meyakinkan maka muncul berbagai NGO yang berusaha  mengambil alih peranan untuk menyuarakan perjuangan mempertahankan hak dan keistimewaan orang-orang Melayu dan Bumiputera. Malahan bekas wakil-wakil rakyat UMNO juga sudah menubuhkan NGO yang dinamakan PAKKU untuk tujuan yang sama. NGO seperti PERKASA sudah pun membimbangkan pihak-pihak yang tidak ingin melihat Melayu maju atau setanding dengan mereka.

JANJI PRESIDEN UMNO DALAM PERHIMPUNAN AGONG TAHUN 2009

15. Ucapan YAB Perdana Menteri Dato' Seri Najib sebagai Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agong pada tahun lalu telah meredakan kebimbangan ahli-ahli UMNO dan orang-orang Melayu kerana beliau berjanji akan mempertahankan kandungan perlembagaan Malaysia.

1MALAYSIA BERTAMBAH JELAS

16. '1Malaysia' yang tadinya dirasai sebagai 'Malaysian Malaysia' yang pernah dipelupuri oleh Lee Kuan Yew, sebagai usaha untuk mengenepikan hak istimewa orang-orang Melayu, di waktu Singapura belum dikeluarkan dari Malaysia, telah mendapat penilaian semula, apabila parti DAP, sebagai parti warisan PAP milik Lee Kuan Yew, telah menolaknya dan mencadangkan 'Middle Malaysia'. 'Satu Malaysia' menjadi bertambah diterima apabila pemimpin Pakatan Rakyat memfitnahkannya sebagai satu ide tiruan dari Israel, sedangkan yang rapat dengan tokoh-tokoh Yahudi ialah pemimpin Pakatan Rakyat itu sendiri.

MEB HAPUS AMALAN RENTIER DAN PATRONAGE - MODEL UNTUK SEMUA

17. Dua perkara yang telah mendapat penekanan dalam Model Ekonomi Baru iaitu di bawah model ini 'kerajaan tidak akan membenarkan lagi amalan 'memungut sewa' (rentier) dan 'penaungan' (patronage) yang telah mencemar matlamat membantu golongan sasaran di bawah Dasar Ekonomi Baru. Perkara kedua ialah 'Selaras dengan gagasan '1Malaysia', Dato' Seri Najib dilaporkan berkata bahawa model baru ini adalah untuk semua (inclusive), di mana semua rakyat Malaysia menyumbang dan mendapat manfaat. Yang membimbang dan menakutkan orang-orang Melayu ialah mereka akan lebih ketinggalan jika tanpa perhatian kerana dengan perhatian pun mereka telah terbukti terus ketinggalan. 

PERSAMAAN MEB DENGAN DEB

18. Sebenarnya 'menyusun semula masyarakat' sebagai satu dari dua matlamat DEB juga bertujuan supaya semua rakyat Malaysia menyumbang dan mendapat manfaat. Dasar 'menyusun semula masyarakat' bertujuan supaya kegiatan ekonomi bagi satu-satu sektor tidak menjadi monopoli mana-mana kaum. Tujuannya ialah supaya bukan orang keturunan China saja yang berniaga dan pihak Inggeris menguasai sektor korporat, sementara pihak India terbatas di perladangan. Walau bagaimana pun perniagaan seperti kasino, judi empat nombor ekor, rumah-urut, kedai arak dan ladang-ladang pelihara khinzir bolehlah dimonopolikan oleh yang bukan Islam.

JANGAN TAKUT MEMBANTU YANG HAK

19. Semua pihak patut mengalu-ngalukan supaya usaha penghapusan amalan 'memungut sewa' (rentier)  'penaungan' atau 'patronage' ini betul-betul berjaya. Dalam usaha menghentikan amalan 'memungut sewa' atau 'penaungan' ini pihak berkuasa, jika berbangsa Melayu, hendaklah berhati-hati supaya jangan sampai yang layak dan berhak tidak diberi sesuatu semata-mata kerana takut dituduh membantu sama-sama Melayu, kawan atau anggota keluarga.

20. Seruan ini dibuat kerana banyak kontrak yang perlu diberi untuk pembangunan tanah di Jalan Stonor, Jalan Ampang, Jalan Lidcol, di Sungai Buloh. Banyak juga perlantikan pegawai ke jawatan-jawatan baru yang wujud apabila MIDA dikorporatkan. Apatahlagi dengan pemilihan penerima habuan dari penswastaan Percetakan Nasional Berhad, CTRM Aero Composites Sdn. Bhd., Nine Bio Sdn. Bhd., Innobio dan lain-lain. 

WANG KWSP JUGA DIPERLUKAN UNTUK PELABURAN DALAM NEGERI

21. Dalam keghairahan melabur modal dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dalam aset di seberang laut kita hendaklah tidak lupa wang yang sama boleh dilaburkan di dalam negeri dan kita tidak terpengaruh dengan kempen penjual saham atau harta lain di luar negeri. Kecualilah pembelian itu untuk membantu memperkukuhkan industri yang berkaitan di dalam negara sendiri. Sementara wang pelaburan dari luar negeri kita perlu berusaha untuk mendapatkannya, wang KWSP kita hanya perlu buat keputusan saja untuk melabur di dalam negeri. Jangan sampai wang KWSP ini dilaborkan untuk membeli bank seperti Bank Century di Jakarta yang rugi beribu juta kerana penyelewengan walaupun yang mengawasinya ialah menteri dan bank negara yang dipimpin oleh pakar-pakar yang pernah bekerja atau menjadi pakar di Bank Dunia atau IMF.

ASAS KEJAYAAN TUN DR MAHATHIR - PRAGMATISM

22. Sebagai seorang yang pernah belajar dalam bidang ekonomi dan kewangan di  dua buah universiti, di England dan juga di Jerman Barat, sebelum tembok Berlin dirobohkan, dan mendapat gelaran professor dari University Nanjing di China dan kemudiannya menjadi presiden Universiti Islam Antarabangsa selama 8 tahun, saya dapat menyatakan bahawa kejayaan Tun Dr. Mahathir dalam mengendalikan ekonomi Malaysia di waktu krisis matawang dahulu ialah disebabkan beliau bukan seorang yang berkelulusan di bidang ekonomi.

23. Tun Dr. Mahathir ialah seorang doktor. Beliau tidak terikat dengan mana-mana teori ekonomi yang dipelupuri oleh seseorang professor terkenal dari mana jua universiti terkenal di dunia ini. 

24. Jika Tun terikat atau dipengaruhi oleh teori dan pemikiran ekonomi yang ada maka beliau tidak akan berjaya menentang IMF dan Bank Dunia dengan mengendali ekonomi Malaysia secara pragmatik. Itulah sebabnya Harvard University kini menjadikan cara Tun Dr. Mahathir menghadapi krisis matawang sebagai mata pelajaran dalam kulliyyah mereka.

25. Kini Tun Dr. Mahathir sudah dianggap sebagai pakar ekonomi terulung di dunia dan telah dihubungi untuk mendapat nasihat oleh pemimpin dan pentadbir dari negara-negara luar. Sebagai seorang yang tangkas membuat keputusan yang pragmatik, dan di luar dugaan, Tun Dr. Mahathir terbukti berjaya menyekat penyangak matawang seperti George Soros yang berkelulusan dari London School of Economics, di penghujung tahun lima puluhan, dibantu oleh pakar-pakar yang ahli dalam mengkaji aliran, rajah, formula, model dan lain-lainnya.

EMPAT ASPEK YANG MENARIK

26. Dalam karangan ini saya mengelak dari berbicara perkara-perkara besar dan hanya akan menumpukan kepada empat perkara yang saya minati dan saya fikir perlu mendapat perhatian dalam aspek-aspek matlamat MEB yang hampir sama dengan matlamat DEB iaitu sekitar persoalan (a) membasmi kemiskinan, (b) meningkatkan pendapatan, (c) menambah pekerjaan dan (d) menghapuskan amalan penaungan (patronage). 

MEMBASMI KEMISKINAN

27. Dalam usaha untuk membasmi kemiskinan tentulah kita membezakan yang uzur, tua dan miskin yang tidak berkemampuan untuk berdikari. Mereka ini adalah tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat.

28. Bagi yang miskin yang mampu bekerja samaada berkeluarga atau sendirian usaha perlu dibuat untuk memastikan supaya mereka mempunyai kemahiran atau mampu membuat sesuatu yang boleh dipasarkan. Dalam bahasa Inggeris 'the poor must be able to make marketable products or have marketable skills.' Mereka boleh dilatih untuk berbuat sesuatu seperti mengukir tempurung buah kelapa jika si miskin tinggal dalam kawasan perkebunan kelapa. Mereka juga boleh mengumpul dan merautkan lidi untuk dijadikan penyapu atau dianyam menjadi lekar dan lain-lain hasil kerja-tangan.

29. Jika si miskin itu tinggal di dalam kawasan pelancongan, seperti di Langkawi, dan berkebolehan untuk mengurut maka khidmat ini juga boleh disediakan untuk pelancung dan mereka yang memerlukan.

30. Untuk menjayakan program begini perlu ada syarikat swasta atau badan kerajaan yang menguruskan pasaran seperti adanya kegiatan KEMAS di satu masa dulu yang mengumpul hasil kraftangan yang dipasarkan di Perkampungan Karyaneka di Jalan Raja Chulan.

31. Di waktu Al Fayed, bapa Doddy, yang terbunuh sekali dengan Diana di dalam kemalangan jalan di Paris, datang ke Langkawi, beliau telah membeli satu tempurung ukiran sebagai bekas habuk rokok dan beliau telah membelinya dengan harga RM10/-. Bekas habuk rokok ini telah dibeli oleh Al Fayed beberapa biji dan dijual dengan harga RM50/- di kedai Harrods miliknya di London. Ini hanya satu contoh sahaja.

32. Adalah mustahak diwujudkan pusat latihan keraftangan dan vokasyenal yang khusus memberi tumpuan kepada usaha membasmi kemiskinan bukan sahaja di Malaysia malahan pusat ini juga boleh menawarkan latihan untuk si miskin dari seluruh dunia.

MENINGKATKAN PENDAPATAN PETANI, PENTERNAK DAN NELAYAN

33. Untuk meningkatkan pendapatan pula, sebagai seorang yang pernah menjadi Menteri  Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan Menteri Pertanian saya tumpukan kepada masyarakat petani, penternak dan nelayan. Bagi golongan ini soal pasaran tidak perlu difikirkan sebaliknya mereka perlu ada tempat untuk pinjam wang. Bagi mereka yang menghalang mereka dari mendapat wang pinjaman bukanlah kadar faedah tetapi syarat yang dikenakan oleh ahli-ahli ekonomi dari bank dunia yang di satu masa dulu menganggap kadar faedah pinjaman untuk masyarakat miskin hendaklah tidak lebih dari 5%.

34. Oleh kerana kos untuk bank memberi pinjaman kecil-kecilan adalah lebih tinggi dari kos pinjaman perniagaan biasa maka bank lebih suka meminjamkan RM5 juta ringgit kepada seorang peniaga daripada meminjamkan RM5,000-00 untuk 1,000 petani, penternak atau nelayan. Jika pihak Bank Negara membebaskan bank swasta meminjamkan pada kadar 15% setahun sekalipun ianya lebih membantu sekurang-kurangnya Pak Tani atau penanam padi yang pernah meminjam wang dari pemborong dan pengilang dengan membayar faedah 80% setahun. Bagi penanam padi di Kedah, Perlis dan Seberang Prai pada awal tahun tujuh puluhan yang penting ialah adanya tempat meminjam wang dan bukan kadar faedah atas pinjaman.

Oleh itu pandangan pakar ekonomi Bank Dunia jelas salah sasarannya.. Memberi perhatian kepada masyaarakat tani, penternak dan nelayan bererti nasib berjuta rakyat di luar bandar turut mendapat pembelaan dari Model Ekonomi Baru.
( 'it is the availability of funds to the farmers, the fishermen and the breeders which is of importance and not the rate of interest.')

MENAMBAH PEKERJAAN

35. Negara kita menampung banyak pekerja asing. Pekerja asing ini diambil kerana pihak majikan di Malaysia tidak dapat menarik pekerja tempatan. Oleh kerana tiada pekerjaan di negara mereka, atau pun ganjaran yang lebih tinggi yang diberi kepada pekerja asing di Malaysia maka Malaysia menjadi destinasi untuk banyak pekerja asing. Walau bagaimana pun pekerja asing yang datang dari Indonesia merasakan mereka berjasa kepada Malaysia dan bukan Malaysia berjasa memberi pekerjaan kepada mereka. Oleh kerana layanan buruk yang terkena ke atas segelintir pekerja asing dari Indonesia yang bekerja di rumah-rumah majikan bukan Melayu, maka hubungan antara dua negara menjadi tegang.

PEKERJA ASING SEBAGAI PENGHUBUNG ANTARA NEGARA

36. Jika kita ingin menjadikan pekerja asing sebagai penghubung antara negara Malaysia dengan Negara luar maka layanan yang baik hendaklah diberi kepada pekerja asing dengan cara melindungi mereka dari ejen yang membawa mereka ke Malaysia yang menindas mereka. Jika tidak maka kewujudan mereka di negara ini tidak membantu dalam membina hubungan baik antara negara kita dengan negara mereka. Perkara ini telah saya halusi sebagai Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia Indonesia ( PERMAI ) bersama dengan Tan Sri Sabaruddin Chik dan Encik Harith sebagai ahli jawatankuasa PERMAI, dan beberapa orang tokoh dari PRIMA ( Lembaga Persahabatan Indonesia Malaysia ) yang dipimpin oleh Bapak Mantan Wakil Presiden Republik Indonesia Bapak Jenderal Try Sutrisno.

GOLONGAN YANG BERPENDAPATAN TINGGI BOLEH MEMBANTU MASYARAKAT LUAR BANDAR

37. Dalam pada itu kami bertiga dari PERMAI berpendapat jika gaji untuk kerja yang dikerjakan oleh pekerja asing itu cukup lumayan maka anak-anak muda dari kampung juga sanggup bekerja di bandar, jika tempat tinggalnya tidak hanya lebih sedikit baiknya dari tempat tinggal pekerja dari Indonesia atau Bangladesh di negara mereka masing-masing. Jika pekerja kita dapat mengganti pekerja asing di rumah orang yang berpendapatan tinggi atau di perusahaan yang bukan hanya ingin membesarkan keuntungan dengan memberi pekerjaan kepada pekerja asing dengan pendapatan rendah, maka peningkatan pendapatan bagi kelas menengah dapatlah membaiki taraf hidup orang-orang kampung dengan berkurangnya beban menanggung anak yang tidak bekerja.

38. Kerajaan kita perlu berfikir sampai bilakah kita akan bergantung kepada pekerja asing yang tidak berkualiti sementara puluhan ribu cerdik pandai kita, yang telah banyak wang negara kita habiskan mendidik mereka, telah berpindah keluar dari Malaysia untuk bekerja di luar negara. Kesimpulannya orang kita yang terdidik meninggal kita untuk digantikan dengan pekerja yang berkualiti rendah.

MEMILIH PENGUSAHA DAN PENIAGA UNTUK DIBANTU

39. Untuk menghapuskan amalan penaungan atau 'patronage' saya cadangkan satu cara yang diamalkan oleh seorang kawan saya dari Bangkok Bank Kuala Lumpur pada awal tahun tujuh puluhan.  Ianya mengenai cara memilih peniaga dan penguasaha untuk dibantu.dengan modal dari pinjaman bank. Beliau, yang namanya saya sudah lupa, telah mendapatkan senarai ratusan nama pelanggan di banknya yang paling banyak menggunakan buku chek dan cheknya tidak pernah dikembalikan kerana ketiadaan wang.

40. Seterusnya akaun semasa beberapa puluh pelanggan yang paling banyak mengguna chek dan cheknya tidak pernah dikembalikan dipelajari dengan teliti. Debit dan kredit bagi akaun-akaun berkenaan dijumlahkan untuk diketahui jumlah chek yang digunakan dan purata nilai bagi setiap chek. Dengan cara ini dapatlah pihak bank menganggarkan keperluan kewangan bagi setiap pelanggan.

41. Selepas itu pelanggan telah ditemuduga, aliran wang perniagaan dikaji, potensi kemajuan ditimbangkan dan pinjaman diberi dengan hanya jaminan oleh pihak comprador yang menilai watak pemilik dan perjalanan perniagaannya. Dengan cara ini saya mengenali nama 58 orang dari pelanggan bank ini yang telah menjadi jutawan yang menonjol hasil dari cara sumbangan comprador yang berkenaan. 

42. Cara pemilihan penerima bantuan begini jika dianggap satu patronage ianya berbeza dengan cara memilih Bumiputera untuk mendapat projek dengan dukungan kerajaan hanya berasaskan kebaikan watak dan prestasi sebagai pegawai atau kakitangan yang bekerja dalam syarikat yang sama dengan yang menjadi patron, atau kenalan sesekolah, dan mempunyai hubungan yang selesa dengan yang menjadi patron serta tidak ada bukti kemampuan menjayakan perniagaan sendiri. 

KISAH MUDAH YANG DAPAT DIFAHAMI UMUM

43. Perkara di atas ialah kisah-kisah mudah yang jika diberi perhatian boleh membantu berjuta rakyat yang berpendapatan rendah dan yang memerlukan bantuan untuk mengembang dan menjayakan potensi mereka yang innovatif. Ianya boleh menjadi bahan pertimbangan dalam melaksanakan MEB tanpa menyimpang darinya. Kisah-kisah mudah ini perlu mendapat perhatian kerana pakar-pakar ekonomi, dari pengalaman di zaman Tun Dr. Mahathir kadangkala, dan biasanya, terbawa-bawa dengan berbagai ide yang susah difahami umum sedangkan keputusan mereka boleh menjejaskan masa depan masyarakat. Apatahlagi jika pakar-pakar ini sendiri tidak pernah menjayakan sendiri usaha-usaha besar tanpa mendapat dukungan kerajaan atau majikannya di masa lampau.

TEORI DAN PEMIKIRAN EKONOMI UNTUK PERTAHANKAN KAPITALISMA

44. Kita perlu mengetahui bahawa matalamat rangkaian universiti-universiti di Barat atau yang berorientasikan Barat adalah untuk mempertahankan sistem kapitalisma yang berkiblatkan ke New York dan London. Sistem mereka jelas telah gagal dengan krisis kewangan baru-baru ini, dan sistem mereka kini masih bernafas kerana dukungan dana dari China dan wang minyak dan gas dari negara-negara Arab.

45. Pada tahun 1931 ada seorang pakar ekonomi bernama Montagu Norman yang dianggap sebagai pengendali bank negara yang paling berpengaruh di dunia yang digelar of the New York Times sebagai 'the monarch of an invisible empire'. Beliau ialah Gabenor Bank of England. Jean Monet, bapa Kesatuan Eropah ( European Union ) menganggap Bank of England sebagai 'the citadel of citadels' dan 'Montagu Norman was the man who governed the citadel'. 'Kemampuan beliau tidak dapat diragukan,' kata Jean Monet.

46. Begitu hebat kepakaran dan kepercayaan terhadap Montagu Norman sehingga suara kecil yang menegurnya pada pada itu, termasuk John Maynard Keynes, telah diketepikan. Di waktu Montagu Collet Norman mengepalai Bank of England, Benjamin Strong mengepalai Federal Reserve Bank, Hjalmar Schacht mengepalai Reichsbank dan Emile Moreau mengepalai Banque de France kemerosotan ekonomi dunia yang dinamakan the Great Depression telah berlaku antara tahun 1929 - 1933 dan berakhir hanya setelah 8 tahun.

47. Di waktu orang-ramai sedang menyanjung Montagu Norman seorang yang bukan ahli ekonomi, tetapi merasakan ada sesuatu yang tak kena dengan dasar Montagu Norman ialah Winston Churchill. Churchill berkata,


'Everyone I meet seems vaguely alarmed that something terrible is going to happen financially ...... I hope we shall hang Montagu Norman if it does. I will certainly turn King's edivence against him.'

48. Kerana krisis ekonomi ini dan dasar-dasar yang tidak menentu tokoh seperti Hitler telah muncul di Eropa dan Perang Dunia Kedua telah belaku. Akhirnya Perang Dunia Kedua maka muncul pula IMF dan Bank Dunia hasil perjanjian di Brettons Wood. Sejak itu bermaharajalelalah dua institusi ini mengatur, mengurus dan menasihati ekonomi dunia dalam mempertahankan sistem kapitalismanya. Dalam krisis matawang dunia pada tahun lapan puluhan kita bernasib baik kerana menolak nasihat mereka.

49. Baru-baru ini berlaku lagi krisis ekonomi dunia. Semua pakar-pakar ekonomi di bank swasta dan pusat, professor-professor ekonomi di universiti dan akauntan-akauntan di firma-firma akauntan di UK dan USA telah gagal mempertahankan institusi mereka dari muflis sehingga terpaksa didukung oleh kerajaan dengan wang dari negara China komunis dan Islam Arab.

50. Apa yang berlaku ialah sebagaimana yang ditulis oleh Karl Marx dalam bukunya seperti berikut:



'Owners of capital will stimulate the working class to buy more and more of expensive goods, houses and mechanical products, pushing them to take more and more expensive credits, until their debt becomes unbearable. The unpaid debt will lead to bankruptcy of banks, which will have to be nationalised, and the State will have to take the road which will eventually lead to communism.'
Ramalan ini tepat sekali kerana sistem kapitalis negara Barat gagal dipertahankan oleh gagasan World Bank dan IMF dan hanya terselamat dari menganut sistem komunis dengan bantuan dari negara komunis jua, iaitu China.

51. Seorang anggota Parlimen di Britain Vince Cable yang terkenal dengan ramalannya yang tepat mengenai trend ekonomi kemusnahan di Britain dan di Barat telah menulis di dalam bukunya 'The Storm':

  

'..... successive generation of financiers and investors have deluded themselves that  they have, at last, find a fullproof way to manufacture riches without undue exertion: tulips in the seventeenth century;  South Sea stocks in the eighteenth; various manias over emerging markets in the nineteenth; through to Wall Street in the 1920s. Then more recently, there has been Latin American sovereign debt in the 1970s, Japanese land in the 1980s, British and Scandinavian housing in the 1980s ( again ), the Asian Tigers in the mid-1990s, new communications technology in the late 1990s, as well as our latest excitements. A generation ago, Hyman Minsky described the mechanisms by which financial markets regularly overreach themselves, through excessive leverage, excessive risk-taking, greed and folly, leading to panic and then to 'revulsion': the stopping of credit. He would have recognized the contemporary commentators, bankers and politicians who, as with each preceding generation, have solemnly asserted that the world has changed and financial crises have become less likely, thanks to new technology and their own collective cleverness. Of course they have not. And it is precisely the high level of technological sophistication and international economic integration that makes the recurrence of financial mania and crashes now so far reaching and worrying.' 
52. Sama-samalah kita doakan semoga MEB ini berjaya mencapai matlamatnya tanpa mengorbankan kepentingan orang-orang Melayu sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.

53. Tidaklah salah jika kita tukar nama sesuatu dasar, dan ditokok tambah dan juga ditukar ganti yang tidak perlu dalam kandungannya, kerana memang adat Melayu jika seseorang bayi itu selalu didapati sakit maka tangannya diikat dan ditukar namanya dengan nama baru.

54. Kita patut maafkan mereka yang cuba berlebihan mencemar Dasar Ekonomi Baru kerana mengikut Vince Cable 'Times of crisis inevitably bring forth false prophets who offer easy panaceas and identify scapegoats.'

55. Apa yang boleh mengembalikan keyakinan orang-orang Melayu kepada UMNO dan BN ialah apabila Tan Sri Mahyuddin Yasin bertikam lidah dengan Lim Kit Siang dan dengan tegas menyatakan 'I am a Malay first and I am also Malaysian.' Inilah 'biological reality'nya yang perlu ditafsirkan kepada dasar negara oleh semua pemimpin-pemimpin UMNO di dalam kerajaan. Saya yakin Dato' Seri Najib juga menyetujui pendirian Tan Sri Mahyuddin itu. 

4 comments:

The Unspinners Kembali said...

Kami baru letakkan blog Tan Sri dalam section blog worthy read.

Selalu2 menulis.

hamdanrukun said...

Tan Sri,
Model Ekonomi Baru sehebat manapun masih gagal difahami rakyat. Ia jadi alat pembangkang yang berkesan. Kepada Cina mereka katakan ia adalah satu bentuk perlindungan kepada orang Melayu.
Kepada Melayu ia dikatakan sebagai satu usaha mengikis kepentingan Melayu.
Pimpinan UMNO kena serius menerangkan kebenarannya.

AMISHA said...

Nama saya Zara, dari Indonesia saya berjanji untuk berkongsi kesaksian ini kepada Allah dalam hidup saya. 2 minggu yang lalu, saya memerlukan banyak wang, jadi saya memohon pinjaman, kemudian mendapati diri saya dalam tangan yang salah yang mendakwa peminjam pinjaman yang baik di seluruh dunia, tidak mengetahui bahawa mereka semua penipu. Mereka mengutip RM4000 dari saya dan enggan menghantar pinjaman yang saya minta saya keliru dan kecewa.

Pada hari yang setia saya pergi ke pasar dan kemudian bertemu kawan lama, saya memberitahu semua perkara yang berlaku kepada saya, maka dalam proses itu dia memperkenalkan saya kepada Mrs. Suzan di mana dia menerima pinjaman sebanyak RM150,000. maka dia memberikan saya e-mail suzaninvestment@gmail.com dan saya menghubungi beliau dengan serta-merta saya pulang ke rumah, dia memberitahu saya peraturan dan peraturan dan saya mengikuti, selepas memproses dokumen dalam masa kurang dari 48 jam, saya menerima pinjaman saya sebanyak RM100,000 .

Saya yakin dia juga akan senang membantu anda, jadi jika anda memerlukan pinjaman, dan ingin mendapatkan pinjaman cepat, hanya mendaftar dengan syarikat pinjaman pelaburan Suzan dan anda boleh menghubunginya melalui e-mel: (suzaninvestment@gmail.com ). anda juga boleh menghubungi saya melalui e-mel saya: (Zaradam@gmail.com). jika anda mempunyai sebarang keraguan. dia adalah satu-satunya orang yang boleh dipercayai dan boleh dipercayai.

HAFIZUL BIN HAZIQ said...

e_mail:[iskandalestari.kreditpersatuan@gmail.com]
WhatsApp Number::::::::::[+60]1123759663

email:::::::hafizulbin365@gmail.com
Name::::Hafizul Bin Haziq
Country:::Malaysia
[[[[di atas adalah data peribadi saya]]]]]
Kemarau kewangan saya berakhir pada bulan ini apabila saya fikir semuanya adalah urusan perniagaan dengan beberapa rakan saya di Kuala Lumpur beberapa bulan yang lalu perniagaan yang bernilai beberapa Rm785.000.00 yang keuntungannya sudah cukup untuk kita semua untuk berkongsi keuntungan tetapi akibat kegagalan perniagaan, kita semua mendapati bahawa kita mempunyai masalah kewangan yang sangat besar kerana saya tidak mempunyai wang untuk bergantung pada ketika perniagaan gagal kerana saya melabur semua saya dengan saya pada perniagaan jadi saya berada di sangat sangat maaf jadi saya terpaksa mencari bantuan kewangan saya sebenarnya telah ditolak oleh beberapa bank sebagai hasil dari kadar pinjaman mereka dan juga syarat mereka jadi saya terpaksa melalui beberapa blog sehingga saya datang menghadapi dengan Iklan Syarikat Ibu. saya menghubungi Ibu dengan segera selepas melalui beberapa proses yang sangat fleksibel permintaan pinjaman saya sebanyak Rm440.000.00 telah diluluskan oleh pihak pengurusan dan pada keesokannya Lembaga Pengurusan Peminjaman Pinjaman dikreditkan saya tanpa menangguhkan berkat ini dari ibu yang dapat menyelamatkan anda hari ini dari apa-apa embarrazement kewangan anda menjadi ibu hubungi Ibu sekarang untuk pinjaman anda yang berubah e_mail:[iskandalestari.kreditpersatuan@gmail.com]
ISKANDAR LESTARI LOAN COMPANY "ISKANDAR LENDERS"
[[[[Berikut adalah data peribadi saya]]]]
Country::::::Malaysia
Name::::::::Hafizul Bin Haziq
email::hafizulbin365@gmail.com
Telephone Number:[+60]1123759663
WhatsApp Number::::::::[+60]1123759663
e_mail:[iskandalestari.kreditpersatuan@gmail.com]