MENGENAL BANGSA SENDIRI
Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
1. Masukan blog pada kali ini adalah sambungan daripada masukan bertarikh 13hb Februari, 2014 atas tajuk FAKTOR NILAI DALAM KEBANGKITAN BANGSA
2.Terima kasih saya ucapkan kepada semua pembaca blog atas tajuk di atas dan komen-komen yang telah diberi.
3. Tujuan karangan itu bukanlah untuk membebankan kesalahan kepada sesiapa jua, atas masalah yang menimpa bangsa Melayu masakini, tetapi untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang sedang dihadapi.
4. Antara perkara yang ditimbulkan di dalam karangan di atas ialah bangsa Melayu, dan Bumiputera, telah mengadakan 9 Kongres Ekonomi sejak merdeka dan dalam kesemua kongres itu kita desakkan kerajaan, melalui berbagai usul, untuk membuat berbagai perkara, dan melaksanakan berbagai program atau rancangan, untuk kepentingan bangsa kita dan negara.
5. Yang tidak ada dalam semua desakan itu ialah desakan ke atas diri kita sendiri sedangkan kita mengetahui bahawa 'Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu mengubah dirinya sendiri.' Apakah maksud 'mengubah dirinya sendiri' ditafsirkan supaya kerajaan yang merobah nasib kita dan bukan kita yang mengerjakannya sendiri?
6. Semua keputusan kongres ekonomi Bumiputera, Islam dan Melayu, yang hanya mencadang dan mendesakkan kerajaan sahaja untuk berbuat sesuatu, memberi gambaran bahawa kita seolah-olah mempercayai bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum jika kerajaan tidak merobahkannya. Ataupun nasib kita kita akan berubah jika kita tidak merobahkan kerajaan.
RASUAH
7. Ini bererti jika kita mahukan rasuah dihapuskan ianya hendaklah dibuat oleh kerajaan walaupun yang menerima dan memberi rasuah itu ialah dari kalangan kita sendiri.
8. Lojiknya ialah kita tidak bersalah jika kita lakukan rasuah, dan kita tidak perlu membantu untuk mencegah rasuah kerana itu ialah tugas kerajaan sebagaimana yang ternampak dari sikap kita yang hanya bergantung kepada kerajaan untuk berbuat sesuatu.
IBADAT
9. Di waktu saya memegang jawatan Eksekutif The Chartered Bank saya pernah balik ke kampong di Batu 20 Jalan Ke Yan, Guar Chempedak, Kedah dan mengerjakan solat berjama'ah di surau kecil di sana.
10. Selepas Maghrib jawatankuasa surau telah bermesyuarat dan membuat keputusan untuk memohon dari kerajaan untuk membaiki surau yang sudah bocor.
11. Dua bulan kemudian saya dapati kebocoran di surau itu sudah membesar dan saya diberitahu, dengan nada kesal, bahawa pihak kerajaan masih belum menghantar peruntukan walaupun beberapa kali diperingati.
12. Mereka terkejut bila saya cadangkan supaya diadakan pungutan wang dari para jama'ah sebagai sumbangan untuk membaiki kebocoran. Belanja yang diperlukan hanya RM500.00 sedangkan jika kita telah berbuat demikian dua bulan yang lalu mungkin harganya lebih murah lagi. Oleh kerana beberapa orang dari para jama'ah terdiri dari pegawai bergaji tinggi sementara banyak juga para jama'ah yang memiliki sawah yang sangat luas, usaha ini telah dijayakan dengan mudah.
13. Ini adalah satu contoh kecil bagaimana kita mengorbankan kesempatan beribadat untuk mendapat pahala kerana kita merasakan itu adalah kerja dan tanggungjawab pemerintah.