Friday, November 18, 2011

RESIPI KEJAYAAN

ANTARA YANG BERNIAGA GORENG PISANG DAN MENTERNAK BABI

ADAM

1. Beberapa tahun dahulu, di waktu saya menjadi Menteri Pertanian, saya sering ke sana-sini melihat bahan-bahan pertanian, seperti pisang, yang dijual di tepi-tepi jalan. Bagi saya mereka yang berniaga bahan-bahan pertanian ini adalah sumber pendapatan bagi orang kampung yang menanamnya.

2. Malahan, waktu saya menjadi Menteri Besar Kedah saya telah perkenalkan gerai-gerai GORPIS, singkatan akronim untuk GOReng PISang. Rangkaian gerai-gerai GORPIS boleh menjadi saloran pemasaran bagi pisang yang ditanam di kampung-kampung.

3. Penjual goreng pisang itu bernama Adam dan dia berasal dari pekan Yan, Kedah, iaitu tempat kelahiran saya.

4. Adam memberitahu bahawa dia dulunya berniaga ikan di pasar Yan tetapi telah berpindah ke Sungai Petani kerana ianya pekan yang lebih besar daripada Yan dan, dengan penduduk yang cukup ramai beliau sudah tentu dapat membuat sesuatu yang boleh memberi pendapatan yang lebih padanya.

5. Di Sungai Petani Adam tidak boleh berniaga kerana susah untuk mendapat lesen gerai di sana. Pemohon lesen untuk gerai begitu ramai dan Adam tidak dapat bertahan lama tanpa pendapatan. Adam terus mencuci kereta di stesyen teksi dan di sebelah malam dia tolong bersihkan panggung wayang 'Empayar' apabila penontonnya  sudah meninggalkan panggung.

6. Oleh kerana tidak puas hati dengan keadaan di Sungai Petani Adam bercadang berpindah ke Ipoh kerana dia dengar Ipoh lebih besar dan lebih ramai orang di sana dari di Sungai Petani.

7. Oleh kerana Adam pernah berniaga ikan, bersama Pak Cik, di Yan dan cuci teksi dan panggung wayang di Sungai Petani Adam telah pergi ke Pasar Besar Ipoh dan bergaul dengan peniaga ikan di sana. Sukar untuk Adam mendapat kerja di panggung wayang dan lebih sukar untuk menjadi pencuci teksi kerana banyak pemuda-pemuda India yang mengerjakannya. Lantas Adam balik ke Pasar.

8. Kira-kira pukul 5 pagi banyaklah lori yang membawa ikan dari berbagai pelabuhan yang datang ke Pasar Besar Ipoh dan Adam mengambil upah mengangkat tong ikan untuk dipindahkan ke lori-lori kecil yang lain yang akan membawa ikan itu ke pekan-pekan lain seperti Tanjung Malim dan Tanjung Rambutan.

9. Adam dapati susah 'mencari makan' di Ipoh dan berfikir untuk pindah ke Kuala Lumpur kerana beliau mendengar banyak orang Yan seperti Pak Cik dari Kampung Teluk Mat Aceh, Yan di Kedah dan Ali Pariah yang sudah lama di Pasar Chow Kit. Tentu mudah mendapat wang yang lebih di Kuala Lumpur kerana Pak Cik yang hidup susah di Yan pun sudah mampu berpoligami bila berada di Kuala Lumpur. Ali yang bergelar 'pariah' pun selalu balik ke Yan, untuk berhari raya, dengan berpakaian 'smart' dan kadangkala pakai baju batik yang mahal atau pakai jaket dari kulit. Ali tidak marah digelar 'pariah', kerana dia tahu dia bukan pariah, sedangkan yang betul-betul pariah menjadi marah apabila ianya digunakan dalam buku 'Interlok'.

10. Sampai di Kuala Lumpur Adam telah ke pasar untuk meninjau peluang kerja untuknya. Tempat cuci  teksi sudah terlalu banyak pekerja dan pawagam pun tidak memerlukan khidmat beliau. Ali telah terjumpa dengan Alaiddin seorang pendatang dari Indonesia yang berniaga sayur dan tinggal sebagai setinggan di Kampung Kerinchi. Apabila mendengar masalah Adam maka Alaiddin pun mengajak Adam tinggal bersamanya sehinggalah Alaiddin mendapat rumah baru di Taman Malaysia kerana ada pemaju yang akan memajukan Kampung Kerinchi.

11. Adam akhirnya berniaga goreng pisang di tepi jalan kerana itulah sahaja peluang bekerja untuknya.
Kini Adam sudah menghilang diri entah kemana.

AH LING

12. Saya telah dihantar oleh N. J. Ryan, guru besar Kolej Melayu Kuala Kangsar, untuk menghadiri kursus di Outward Bound School di Lumur di masa cuti sekolah. Di sanalah saya berkenalan dengan Jurulatih bernama En. Allen dan Warden Encik Kwan.

13. Saya tidak tamat kursus ini kerana waktu bergantung di tali untuk menyeberangi dari satu destinasi ke destinasi yang lain kedua-dua sendi tangan saya telah terlucut dari 'socket'nya. Oleh itu saya tidak terus menyambung kursus dan mengambil kesempatan berjalan ke sana-sini untuk melihat persekitaran.

14. Saya bertemu dengan Ah Ling seorang penternak babi.

15. Ah Ling di lahirkan di Cheras Kuala Lumpur dan telah memulakan hidupnya sebagai penolong dalam kedai runcit. Kemudiannya beliau telah menjadi penjual 'mee' di sekitar Cheras.

16. Ah Ling memberitahu bahawa beliau telah berpindah ke Ipoh kerana sudah untuk 'cari makan' di Kuala Lumpur. Kata Ah Ling orang Kuala Lumpur 'banyak pandai' dan 'gua tak pandai'. Dengan sedikit pengalaman di Kuala Lumpur dia berpendapat tentu lebih mudah bekerja di Ipoh kerana 'orang Ipoh kurang pandai'. Seterusnya Ah Ling memberitahu saya dengan senym lebar bahawa 'nyonya Ipoh mali banyak cantik'.

17. Di Ipoh pun Ah Ling tidak berjaya kerana katanya 'orang Ipoh pun pandai juga' dan beliau memutuskan untuk berpindah ke Sitiawan iaitu tempat yang lebih kecil dan mengikutnya tentu 'orang Sitiawan tak pandai macam orang Ipoh'.

18. Setelah mendapati 'orang Sitiawan pun pandai juga' Ah Ling memutuskan untuk tinggal di kampung Melayu. Dia telah diperkenalkan oleh seorang penjual mesin jahit Singer kepada Pak Long Arshad di Kampung Parit Baru Hutan Melintang kerana Haji Arshad bin Johari adalah ejen mesin jahit di situ.

19. Di kalangan orang Melayu di kampung Ah Ling menjadi seorang yang berwang kerana dia aktif membeli dan menjual kelapa di situ. Dia juga membuka kedai runcit dengan membenarkan jualan keredit dan seterusnya meminjamkan wang kepada orang kampung apabila ada majlis khenduri atau kematian.

20. Kata Ah Ling 'orang kampung percaya gua, bila ambil barang aku tulis dalam buku dan bila dia bayar pun aku juga tulis. Melayu tak pandai chek itu buku hutang'. Beliau mengakui beliau menjadi lebih mewah kerana walau pun 'orang Sitiawan, Ipoh dan Kuala Lumpur lebih pandai dari dia tetapi dia lebih pandai dari orang Melayu di kampung tempat dia tinggal. Ah Ling telah mengumpul banyak wang di Hutan Melintang.

21. Tiba-tiba seorang lain keluarga China telah pindah ke Parit Baru Hutan Melintang. Oleh kerana China baru ini kata Ah Ling 'lebih pandai dari aku' dia pun buat keputusan untuk pindah ke kaki Bukit Ungku Busu di Lumut untuk memelihara babi.

22. Bila saya tanya Ah Ling yang sudah kaya di sana mengenai ideanya yang boleh membuat dia kaya memelihara babi dia berkata 'aku lebih pandai dari babi'.

KESIMPULAN

23. Nasib Adam adalah sama dengan nasib Pak Cik sebelumnya.

24. Apakah bezanya antara Adam dan Ah Ling?

25. Saya pelajari dari sebuah buku yang saya beli di Nanjing waktu saya melawat Nanjing Universiti, di China, bahawa kejayaan seseorang itu bergantung kepada keadaan masyarakat persekitaran. Ide yang sama juga telah saya dapati dari sebuah buku Jerman yang mengaitkan ilmu dengan kejayaan dan kekayaan.

26. Jika orang di sekeliling kita lebih pandai dari kita maka kita tidak akan berjaya dalam masyarakat itu kecuali kita menambah ilmu dan pengalaman melalui membaca, bertanya, berkursus dan berguru sehingga kita dapat menghadapi cabaran di sekitar kita.

27. Kita tidak mungkin berjaya dengan kejahilan kita.

28. Walau bagaimana pun Adam dan Ah Ling tidak berusaha meningkatkan ilmu, pengalaman dan kemampuan mereka, sebaliknya, mereka menyalahkan keadaan dan persekitaran.

29. Kenapakah Adam kekal miskin tetapi Ah Ling menjadi kaya?

30. Kerana analisa mengenai kegagalan masing-masing berbeda disusuli dengan tindakan yang berbeda juga? Ah Ling berpendapat bahawa beliau tidak akan berjaya jika beliau dikelilingi oleh orang yang lebih bijak darinya. Oleh kerana tidak ada bidang yang beliau lebih berkebolehan dari orang sekelilingnya maka Ah Ling, kerana tidak sabar untuk meningkatkan kebolehannya dalam apa bidang juga, telah memutuskan untuk berpindah ke tempat yang penduduknya tidak begitu pintar darinya.

31. Ada juga, seperti Adam, enggan menggunakan masanya untuk meningkatkan ilmu-pengetahuan dan pengalaman dalam apa juga bidang supaya ada bidang yang dia lebih berkebolehan dari masyarakat sekitarnya tetapi, kerana Adam tidak memandang kelebihan atau kekurangan ilmu dan pengalaman sebagai penghalang kepada pencapaiannya, maka beliau menyalahkan dunia sekeliling sebagai sebab beliau tidak berjaya.

32. Dalam negeri atau negara yang Sultannya Melayu, Gabenornya Melayu, Menteri Besar atau pun Ketua Menteri juga Melayu, Ketua Setiausaha Negara dan Negeri-Negeri juga Melayu, Ketua Angkatan Tentera dan  Polis juga Melayu, ketua-ketua jabatan Melayu, Pegawai-Pegawai Daerah atau Bupati (kalau di Indonesia) juga Melayu ( Banjar, Bugis, Jawa, Mandaeling, Minang, Rawa, Sunda atau Aceh) apakah bangsa Melayu boleh menyalahkan persekitaran jika masih tidak berjaya.

33. Dulu Melayu berjaya menguasai politik dan dengan kuasa politik ekonomi Melayu dimaju dan dikembangkan; apakah Melayu akan menyalahkan persekitaran jika kuasa politiknya hancur sementara masih merangkak di bidang ekonomi?  
34. Wallaahu a'lam.

2 comments:

Anonymous said...

Very Inspiring. Thank u Tan Sri ;)

Anonymous said...

Tanya pulak apa yang kau telah lakukan untuk bangsa kau ? Cukup ke dgn melawati mereka ditepian jalan dan membacakan buku-buku Jerman?