SEBAGAI RAJA, SULTAN, KAWAN DAN MANUSIA BIASA
1. Saya turut menziarahi jenazah KDYMM Tengku Iskandar yang saya kenal sebagai ' a king, a sultan and a friend.'
2. Sebagai seorang 'king' atau Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dari 26 April, 1984 ke 25 April, 1989 saya, selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan mempunyai kesempatan menghadap KDYMM Tuanku untuk melaporkan atau meminta nasihat mengenai sesuatu acara sambutan. Persiapan untuk sambutan bermula lebih kurang 5 bulan sebelum 31hb Ogos setiap tahun.
3. Sayalah orang yang paling merasa gerun apabila KDYMM Tuanku ditabal menjadi Yang Di Pertuan Agung ke 8, kerana saya adalah yang paling kuat berkempen di waktu krisis perlembagaan berlaku.
4. Oleh kerana imej KDYMM Tuanku agak menakutkan maka apabila Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir memberitahu saya Yang Di Pertuan Agung menitahkan saya menghadap maka saya telah melambat-lambatkan temujanji kerana membuat persiapan mental untuk menghadapi kemarahan KDYMM Tuanku.
PERASAAN BIMBANG BERUBAH MENJADI HORMAT
5. Bila saya berdepan dengannya sebagai Raja, KDYMM Tuanku, dengan kedua tangannya di belakang, telah berjalan ke kiri dan ke kanan di depan saya, yang sedang berdiri tegak, dan secara mengejut bertanya ' engkau kata kat aku ya? ' Saya menjawab ' Ku Tuanku.' KDYMM bertanya lagi 'kenapa engkau mengata kat aku?' Saya menjawab 'kerana kita sedang berlawan Tuanku, patik dalam pasukan UMNO pimpinan Dr. Mahathir dan Tuanku di pihak raja-raja Melayu. Itu pasukan yang sedang bertentangan Tuanku. Patik mohon ampun jika itu melukakan hati Tuanku.' Tuanku berdehem dan berdiri terdiam.