Monday, January 28, 2013

HAIWAN, IKAN DAN TANAMAN

BELAJAR DI MANA DAN DARI SIAPA JUA
1. Semasa menjadi Menteri Pertanian dahulu banyak-lah yang perlu dibaca mengenai tumbuh-tumbuhan, ikan dan binatang termasuk yang tak boleh dimakan.

2. Pihak Kementerian Pertanian telah menerbitkan sebuah buku yang bertajuk 'Pertanian Dalam Al Quran'

3. Dari 30 juzu' yang terdiri dari 114 surah terdapat firman Allah s.w.t. atas tajuk  (2) Al-Baqarah (Lembu Betina), (6) Al-An'am (Lembu), (16) Al-Nahl (Lebah), (27) Al-Naml (Semut), (29) Al-Ankabut, (Labah-labah) dan (105) Al-Fil (Gajah).

GURU AGAMA

4. Di Kolej Melayu Kuala Kangsar dari tahun 1956 hingga tahun 1963 terdapat 4 orang guru ugama iaitu: Ustaz Ghazali, penyusun buku 'Suluh Agama'; Ustaz Kasim yang kemudiannya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan; Ustaz Rahman dan Ustaz Zihin.

5. Ustaz Rahman ialah abang kepada Prof. Dr. Amla bt. Salleh di UKM iaitu isteri Allahyarham Sdr. Mahathir Md Khir yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pelajaran di waktu Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

6. Ustaz Zihin kemudiannya menjadi Ahli Parlimen dari satu kawasan di Perak (Mungkin Bagan Serai).

7. Guru ugama saya ialah Ustaz Ghazali sementara Ustaz Rahman, lulusan Kolej Islam bersama Ustaz Zihin, adalah seorang guru yang juga menjadi kawan.

8. Antara ajaran Ustaz Ghazali yang relevan kepada masukan blog kali ini ialah 'Sifat 20'. Kata Ustaz Ghazali 'Wujud ertinya ada dan lawannya tiada dan buktinya ialah adanya alam ini; Qidam ertinya sedia ada tanpa permulaan, lawannya baharu dan ada permulaan, buktinya ada alam ini; Baqa ertinya kekal lawannya sementara, buktinya ada alam ini' dan seterusnya. Berertilah untuk memembukti ke wujudan dan sifat Allah s.w.t. manusia perlulah merenungi keadaan alam ini.

GURU ILMU ALAM

9. Malangnya guru-guru kami di MCKK yang mengajar mengenai alam ini hanya seorang sahaja, iaitu Dr. Ahmad dari Hyderabad yang mengajar ilmu biology, yang berugama Islam. Itu pun saya tidak teringat beliau mengaitkan ajarannya dengan sifat atau kuasa Allah.

10. Yang mengajar 'ilmu physics ialah Mr. Mehrotra dan kalau tak salah ingatan saya beliau pernah mengatakan bahawa beliau seorang 'free-thinker'. Mr. Norton mengajar ilmu chemistry dan beliau ialah seorang yang berugama Kristian. Mr. Naidu mengajar geography dan beliau berugama Hindu. Mr. Mehrotra, Mr. Norton dan Mr. Naidu tidak pernah mengaitkan keseluruhan ilmu alam yang mereka ajari dengan kewujudan dan kuasa Allah sebagaimana yang diajar oleh Ustaz Ghazali sebagai bukti kesemua sifat Allah s.w.t..

11. Sesudah merenungi semua ayat yang berkaitan dengan pertanian, yang ada di dalam Al Quran, maka  kajian lanjut telah dilaksanakan secara berterusan dengan memenuhi perintah 'Iqra'' oleh Al Quran.

12. Dalam mematuhi kehendak inilah maka saya dapati fakta-fakta berikut yang mungkin boleh dimunafa'atkan.

13. Semua pembaca blog ini dijemput untuk meneliti kandungan Al Quran yang menjadi panduan seluruh umat.

14. Cerita yang pernah dibawa oleh guru atau penceramah berkaitaan haiwan ialah mengenai (a) Katak dalam air panas, dan yang pernah saya baca ialah mengenai (a) Khemah burung di Denmark. Banyak ilmu yang dapat kita insafi dari dua kisah ini. Bagi yang belum mendengar atau membaca saya ulangi di bawah ini mengenai dua haiwan ini.

KATAK DALAM AIR PANAS

15. Semua pelajar sains, khususnya 'zoology', mengetahui bahawa jika dicampakkan se ekor katak ke dalam air yang sedang mendidih ianya secara spontan akan melompat keluar kerana tidak tahan kepanasan air itu. Tetapi, jika katak itu dimasukkan ke dalam periuk yang mengandungi air sejuk, dan di bawah periuk itu dinyalakan api maka katak itu akan tetap di dalam periuk, dan tidak akan keluar, walau pun ia mati direbus.

16. Keadaan begini menimbulkan tanda-tanya atas sebabnya katak itu tidak melompat keluar apabila kepanasan air meningkat sebelum mendidih. Jawabnya ialah kerana 'penyesuaian yang membawa kepada kebiasaan'. Sikap beginilah yang membawa kepada kebinasaan.

17. Pada mulanya katak itu merasa selesa di waktu air di dalam periuk masih sejuk. Oleh kerana sikapnya yang suka menyesuaikan diri dengan keadaan maka apabila air bertambah panas kerana api di bawah periuk maka katak itu terus menyesuaikan diri dengan keadaan. Penyesuaian ini berterusan sehingga ianya menjadi kebiasaan sehingga air itu mendidih dan katak itu ditimpa kebinasaan.

18. Sifat katak ini juga akan membawa kepada kebinasaan manusia jika manusia itu sentiasa menyesuaikan diri dengan keadaan tanpa mempedulikan akibatnya.


KHEMAH BURUNG DI DENMARK.

19. Di satu masa dulu beberapa orang ahli falsafah Denmark telah memikirkan bahawa setelah penghidupan rakyat Denmark begitu selesa maka mereka perlu memberi perhatian kepada burung. Sebagaimana biasa pada setiap tahun, apabila musim sejuk mendatang, burung-burung dari Norway, Sweden Greenland dan utara Scotland didapati berterbangan dengan ramainya menuju ke Mediterranean di mana cuacanya kurang sejuk.

20. Jauh penerbangan mereka ialah beribu batu sehingga menimbulkan simpati ahli falsafah Denmark yang terus merancang untuk membantu membaiki nasib mereka.

21. Setelah mereka membuat keputusan demikian maka sebuah khemah besar telah didirikan di luar kota di Denmark dan di dalamnya mereka kumpulkan banyak makanan untuk burung. Mereka telah menangkap beberapa ekor burung dan melepaskannya ke dalam khemah tersebut dan setelah itu burung itu dilepas semula untuk berterbangan di luar khemah apabila burung-burung dari utara, yang lebih sejuk, berterbangan ke selatan.

22. Hasil interaksi antara burung yang keluar dari dalam khemah dengan burung yang datang berterbangan dari utara maka semakin banyak burung yang datang ke khemah. Walau pun pada mulanya tidak banyak burung yang singgah di khemah di mana terdapat banyak makanan tetapi jumlah ini bertambah dari musim ke musim sehingga jumlahnya berjuta ekor.

23. Setelah beberapa musim sejuk di utara, disebabkan perbelanjaan wang yang begitu banyak sebagai kos membekalkan makanan percuma kepada berjuta ekor burung yang semakin bertambah jumlahnya, maka ahli-ahli falsafah yang memikirkan program ini telah membuat keputusan untuk menutup khemah persinggahan dan menghalaukan burung-burung yang menjadi tetamu di Denmark untuk terbang semula ke Mediterranean seperti sebelum program ini dimulakan.

24. Pada tahun berikutnya keadaan di angkasa Denmark menjadi riuh dan berkecauan. Ada burung yang tidak mahu terbang ke selatan, kerana terlalu lama makan percuma dan sudah lupa kepada tradisi asal; ada burung tidak mahu terbang keselatan kerana dari mula lagi mereka telah singgah di Denmark dan tidak pernah tahu mengenai Mediterranean; burung yang lainnya mati dalam penerbangan ke selatan kerana sudah lama tidak berbuat demikian.

25. Apabila diperiksa maka didapati sendi burung-burung yang mati itu ke semuanya kemerahan bengkak kerana mereka telah memaksa diri untuk terbang sedangkan sendi mereka sudah menjadi lemah kerana terlalu lama makan percuma.

26. Inilah akibatnya, bukan sahaja untuk burung tetapi juga untuk manusia yang lalai dan sentiasa mengharapkan kepada bantuan dan tidak melatih diri dengan meningkatkan jatidiri dengan stamina dan ketahanan.

Wednesday, January 2, 2013

ANTARA HABIBIE DAN ANWAR

HUBUNGAN ANTARA MALAYSIA DAN INDONESIA

1. Antara isu yang paling menarik pada tahun 2012 yang berkaitan dengan perhubungan antara Malaysia dan Indonesia ialah perkara yang ditimbulkan oleh Tan Sri Zainuddin Maidin mantan Menteri Penerangan Malaysia dan Ketua Pengarang surat-khabar, atau koran (bagi rakyat Indonesia), Utusan Malaysia mengenai persamaan antara B. J. Habibie mantan Presiden Republik Indonesia dan Anwar Ibrahim mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
2. Sehingga hari ini blog ini dilayari oleh hanya 5977 penduduk di Indonesia samaada rakyat atau pekerja dan pelawat dari luar negeri yang ada di sana. Walau pun jumlahnya kecil tetapi banyak juga sms yang saya terima yang meminta saya membuat komentar mengenai perkara ini.
3. Secara kebetulan saya telah serempak bertemu dengan saudara Zam ( panggilan bagi Tan Sri Zainuddin Maidin ) di Bangsar Village 11 dan bertanya kenapa beliau menulis mengenai 'persamaan' antara dua tokoh itu sedangkan 'perbezaan' antara mereka lebih menarik.