Sunday, May 23, 2010

PRU 13 - MASUKAN 23 MEI, 2010

SISTEM 'REWARD AND PUNISHMENT' SEBAGAI FAKTOR DALAM KEPIMPINAN RUMAH-TANGGA DAN NEGARA

TAHUN 2013

1. Pada tahun 2013 Pilihanraya Umum ke 13 akan diadakan. Perdana Menteri boleh menasihatkan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen pada bila-bila masa sebelum tarikh terakhir Pilihanraya Umum wajib diadakan. Dari sekarang hingga ke tarikh Pilihanraya Umum diadakan maka semua parti akan mempersiapkan diri masing-masing untuk mencapai kemenangan kerusi bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sebanyak mungkin untuk membolehkan penubuhan kerajaan. Oleh itu semua pilihanraya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri atau kawasan Parlimen yang diadakan menjelang Pilihanraya Umum ke 13 menjadi ukuran dan bahan kajian untuk semua parti membuat perhitungan atas strategi dan taktik yang perlu diikuti untuk mencapai kemenangan.dalam Pilihanraya Umum ke 13.

SIKAP YANG MENANG DAN KALAH DALAM SATU-SATU PEMILIHAN

2. Apabila keputusan satu-satu pilihanraya umum atau kecil diumumkan maka berbagai-bagai alasan diberi oleh pihak yang menang apatahlagi yang kalah mengenai prestasi masing-masing. Yang menang sudah pasti memuji-muji diri, samaada parti, dasar, kepimpinan dan peribadi calon yang bertanding mengikut siapa yang membuat ulasan dan kenapa ulasan itu dibuat. Yang kalah, jika ianya dari kalangan pembangkang kepada Barisan Nasional, sudah tentu menyalahkan daftar pengundi, sistem pengundian dan, jika ada pergaduhan, sudah tentu pihak polis disalahkan. Tidak nampak langsung penerimaan keputusan dalam satu-satu pertandingan dalam sistem demokrasi sebagaimana yang dinyatakan oleh pengasas syarikat National Encik Matsushita supaya yang mengamalkan demokrasi hendaklah mempunyai dua sikap iaitu - susyi dan sunao.

3. Susyi bererti menerima keputusan kalah atau menang walau dengan satu undi sekali pun dan yang menang hendaklah dianggap sebagai mewakili semua yang mengundi sehinggalah pemilihan yang akan datang. Sunao pula bererti seseorang yang menang atau kalah hendaklah mampu melihat kebaikan yang ada pada lawannya supaya dapat bekerjasama membangun organisasi, negeri atau negara.

Thursday, May 13, 2010

NILAI-NILAI MURNI YANG MEMBANGUN BANGSA DI TIMUR

AMANAH, BERANI, DISIPLIN, RAJIN DAN SETIA

LIMA KELOMPOK PECAHAN NEGARA
1. Pada tahun lapan puluhan di waktu ekonomi dunia sedang dalam keadaan tidak ketentuan satu analisa telah mendapati dunia ini terbahagi kepada 5 kumpulan dari segi prestasi ekonominya, iaitu:

i. Negara-negara yang mengamalkan demokrasi, yang berbahasa Inggeris. Iaitu negara-negara bekas jajahan British yang ramai rakyatnya fasih berbahasa Inggeris dan mendapat pendidikan tinggi dalam bahasa Inggeris. Contoh negara demikian ialah Amerika Syarikat, Canada, Australia, New Zealand, India, Pakistan, Singapura dan Malaysia.

ii. Negara-negara yang berfahaman komunis seperti Rusia, China, Korea Utara, Poland, Jerman Timur dan lain-lain negara komunis.

iii. Negara-negara Islam di Asia Barat seperti Mesir, Libya, Saudi Arabia, Turkey dan Iran.

iv. Negara-negara Kristian Katholik di Amerika Selatan seperti Brazil, Argintina, Chile, Bolivia dan lain-lain.

v. Negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi tetapi tidak berbahasa Inggeris seperti Jerman Barat, Perancis, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.
2. Empat kumpulan negara-negara ini, dari (i) hingga (iv) menghadapi masalah defisit ekonomi yang mengecewakan.

Negera Demokrasi Berbahasa Inggeris

3. Bagi negara demokrasi yang berbahasa Inggeris masalah yang di hadapi di dapati sama. Cara yang didekati untuk menyelesaikan masalah ini juga sama di seluruh dunia demokrasi yang berbahasa Inggeris. Masalah baru yang timbul juga sama. Persamaan ini adalah disebabkan negara-negara ini kesemuanya mengamalkan ilmu yang diperolehi dari buku mengenai ekonomi yang sama yang boleh didapati dari buku-buku di dalam bahasa Inggeris.

Negara Berfahaman Komunis
4. Bagi negara-negara komunis pula masalah mereka sama belaka, cara penyelesaian juga sama dan masalah baru yang timbul juga sama. Walaupun negara-negara komunis ini belajar dan bertutur dalam bahasa yang berlainan, masalah ekonomi yang dihadapi, cara penyelesaian dan akibatnya didapati sama kerana ide yang sama telah di ajar di dalam bahasa yang berlainan. Iaitu ide komunis.

Negara-Negara Islam di Asia Barat

5. Negara-negara Islam di Asia Barat menghadapi masalah bukan kerana mereka itu miskin malahan kerana mereka sebagai satu kumpulan yang seagama tidak dipengaruhi oleh cara-cara Islam sebaliknya mereka menghadapi masalah kerana kekayaan yang ada pada mereka yang kaya dengan petroliam telah diguna untuk membeli senjata yang mereka halakan terhadap sesama sendiri.

Negara-Negara Kristian Katholik di Amerika Selatan
6. Negara Kristian Katholik di Amerika Selatan pula menghadapi masalah kerana, walaupun mereka sudah miskin, pemimpin-pemimpin mereka tetap berbelanja dengan boros khususnya untuk membeli senjata dan membangun projek yang besar-besar yang dicadangkan oleh konsultan dari negara-negara Barat.

Tuesday, May 11, 2010

PELAKSANAAN PROGRAM EKONOMI INOVATIF DAN PRAGMATIK


CADANGAN PENUBUHAN BMEB (BANK MODEL EKONOMI BARU) ATAU BANK 1MALAYSIA

PENDAHULUAN

Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Sejak merdeka bangsa Melayu sebagai satu bangsa yang tidak dapat dipisahkan dari Islam, sebagaimana ianya juga tidak dapat dipisahkan dari Bumiputera, telah menumpukan fikiran kepada aspek ekonominya dalam beberapa kongres seperti berikut:


i. Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama pada tahun 1965 - 400 perwakilan dan 69 resolusi;

ii. Kongres Ekonomi Islam Pertama;

** Perjumpaan 500 ulama pada tahun 1968 yang dikehendaki oleh Kongres Bumiputera Pertama.

iii. Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua pada tahun 1968 - 600 perwakilan dan 45 resolusi;

**Peristiwa 13 Mei, 1969 dan Penggubalan Dasar Ekonomi Baru (1970).

** Rukun Negara diperkenalkan - Rancangan Malaysia Kedua dilancarkan.

** Buku Revolusi Mental diterbitkan.

iv. Kongres Ekonomi Islam Kedua pada tahun 1972;

v. Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga Yang Pertama 1980 juga dinamakan Kongres Ekonomi UMNO dihadiri oleh 1,000 perwakilan;

** Dasar Ekonomi Baru (DEB) tamat tempohnya dalam tahun 1990 dan diganti dengan Dasar Pembangunan Negara (DPN).

vi. Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga Yang Kedua 1992 - 533 perwakilan dan 63 resolusi (37 mengenai peranan kerajaan dan 5 khusus menyentuh Islam);

vii. Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat pada tahun 1999 - 113 resolusi (60 menyentuh soal dasar dan struktur yang perlukan perhatian kerajaan dan 11 menyentuh Islam secara khusus);

viii. Kongres Ekonomi Islam Ketiga pada tahun 2009.

Thursday, May 6, 2010

AKIBAT MENINGGALKAN WASIAT RAJA MELAYU

JATUH BANGUNNYA ZAMAN KEGEMILANGAN ACEH: RELEVANNYA UNTUK MALAYSIA

Karangan yang sederhana ini dipersembahkan sebagai 'back-up' kepada karangan bertajuk 'Forum: Model Ekonomi Baru' yang baru disiarkan sebagai sebuah kertaskerja dalam seminar anjuran PAKKU ( Persatuan Mantan Wakil Rakyat UMNO ). Tujuannya ialah untuk menggambarkan betapa pentingnya bangsa Melayu memberi perhatian kepada Wasiat Raja-Rajanya. Sementara Wasiat Sultan Aceh yang diketengahkan 503 tahun yang lalu telah menjadi pendorong yang menjadikan Aceh sebagai sebuah pusat tamaddun Islam di satu masa dulu kita dapati pula Wasiat Raja-Raja Melayu disampaikan 53 tahun yang lalu, dan menjadi inti kepada Perlembagaan Malaysia, telah menjamin kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan berbilang agama yang maju dan aman.

Sebagaimana juga penjajah dan budaya asing telah merosakkan sifat murni yang dipelupuri dalam Wasiat Sultan Aceh kita dapati Wasiat Raja-Raja Melayu juga sedang dicabar, dengan tercabarnya Perlembagaan Malaysia, oleh anasir-anasir luar.

Adalah diharapkan perbandingan ini dapat menimbulkan kesedaran yang berguna untuk bangsa dan negara kita.

21 WASIAT SULTAN ACEH - THE ACEH CODE

1. 26hb Mac, 2010 yang baru lalu ialah hari ulangtahun yang ke 137 tercetusnya serangan Belanda ke atas Aceh pada tahun 1873. Peperangan ini dinamakan 'The Aceh War' di mana ternyata, akhirnya, sebuah negeri Melayu di Asia telah mampu mengalahkan sebuah negara Barat sebelum kejadian kedua berlaku selepasnya, dengan kekalahan Rusia, sebagai sebuah negara Barat, di tangan China, dari Asia, dalam 'Manchurian War' pada tahun 1895-1904.

2. Sempena ulangtahun ke 137 Aceh War ini dua program telah dijayakan iaitu:

i. Aceh Development International Conference ( ADIC ) telah diadakan di Universiti Putra Malaysia ( UPM ) dan dianjurkan bersama oleh pelajar-pelajar dari Aceh, dari semua IPTA di Malaysia, Kelab Aceh Kuala Lumpur, Ikatan Masyarakat Aceh Malaysia ( IMAM ), dengan kerajasama UPM, dan ditaja bersama oleh Yayasan Warisan Pribumi, Kerajaan Negeri Melaka dan peniaga-peniaga keturunan Aceh di Malaysia.
Tujuan ADIC diadakan ialah untuk mengumpul dan membincangkan semua ide yang diketengahkan melalui lebih 80 buah kertas-kerja, yang datangnya dari peminat Aceh di seluruh dunia, yang merupakan sumbangan fakta dan intelektual untuk membangun semula Aceh.
ii. Pelancaran Perpustakaan Teungku Muhammad Dawud Beureueh dan Pusat Bahasa Arab dan Bahasa-Bahasa Asing ( Teungku Muhammad Dawud Beureueh and Center for Arabic and Foreign Languages - TMDL & CFA & FL ) di Banda Aceh. Pelancaran ini telah diadakan di Rumah Tamu Jeumpa D'Ramo di Jalan Maarof Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh Wakil Gabenor Aceh, Walikota Banda Aceh, Wakil Partai-Partai Politik dari Aceh, Tokoh-tokoh Melayu keturunan Aceh di Kuala Lumpur, para dermawan dan akademik dari Arab. Rancangan penubuhan perpustakaan ini menjadi tanda pentingnya ilmu dan pendidikan untuk membangunkan semula bumi Aceh yang pernah di satu masa dulu menjadi antara 5 pusat tamaddun Islam di dunia. Perpustakaan ini akan menjadi sumber ilmu sementara bahasa-bahasa asing adalah kunci untuk masuk ke gudang ilmu dalam berbagai bahasa.

3. Kesedaran mengenai kejatuhan Aceh dari sebuah tamaddun Islam kepada negara yang terpaksa berperang untuk mendapat kembali haknya, sehingga ditimpa oleh bala Tsunami sebagai bala yang terbesar yang pernah dialami di dunia, sepanjang ingatan, maka keputusan telah diambil untuk memberi perhatian kepada bidang ilmu pengetahuan dengan mempopularkan budaya membaca atau 'budaya iqra'.