Thursday, November 12, 2009

MENUNGGU GILIRAN

KEMBALINYA SEORANG SETIAUSAHA AGONG

1. Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan salam sejahtera kepada yang bukan Islam.

2. Qolu inna lillaahi wa inna ilaihi roo ji'un. Al Fatihah. Sudah sampailah giliran bekas Setiausaha Agong MAYC Haji Mohamed Nadzim Yahaya kembali kerahmatullah. Sabelumnya, telah kembali juga Allahyarham Dato' Abdul Rahim Bakar bekas Pengerusi MAYC Pahang, Pengerusi Koperasi Shamelin Berhad dan Pengerusi Dewan Bahasa & Pustaka. Sebelum Dato' Rahim telah sampai giliran Allahyarham Syed Ahmad yang lebih terkenal kepada ahli-ahli MAYC dengan panggilan Abah. Sekaligus saya teringat kepada bekas Timbalan Presiden MAYC Allahyarham Dato' Shuib Endut yang gilirannya telah sampai beberapa tahun lebih dahulu.


3. Merekalah antara tokoh-tokoh MAYC yang lama berkhidmat, di dalam MAYC, sezaman dengan saya. Setiap kali saya menerima berita sampainya giliran kawan-kawan kembali kerahmaullah sayulah rasa hati, apatahlagi kerana ianya menandakan giliran saya dan kita yang masih tinggal juga sudah bertambah dekat.

4. Pemergian Allahyarham Hj. Mohamed Nadzim begitu berkesan bagi saya, seperti kehilangan saudara kandung sendiri, dan seseorang itu hanya dapat memahaminya jika memperhatikan senarai mereka yang pernah menjadi Setiausaha Agong MAYC saperti berikut:

i. 1970 - 1971 - Dato' Syed Ahmad Idid ( 1 tahun )

ii. 1971 - 1972 - Tan Sri Dato' Seri Haji Sanusi bin Junid ( 1 tahun )

iii. 1972 - 1974 - Hajjah Rahmah bin Othman ( 2 tahun )

iv. 1974 - 1977 - Haji Mohd Taib bin Wahab ( 3 tahun )

v. 1977 - 1992 - Haji Mohamed Nadzim bin Yahaya ( 15 tahun )

vi. 1992 - 1998 - Dato' Mohd Yusof bin Hamid ( 6 tahun )

vii. 1998 - 2000 - Datuk Sheikh Badar bin Sheikh Embong (2 tahun)

iix. 2000 - 2002 -Dato' Haji Jamaludin bin Ahmad ( 2 tahun )

ix. 2002 - 2003 - Haji Nori bin HUssein ( 1 tahun )

x. 2003 - 2009 - Tuan Syed Abdul Rahman bin Tuan Kuning ( 6 tahun )

5. Bukanlah mudah untuk menjadi Setiausaha Agong MAYC kerana di atas-nya ada Presiden. Banyak orang merasa kagum atas kemampuan Nadzim menjadi Setiausaha Agong apatahlagi kerana saya yang 'cerewet' menjadi Presidennya.

6. Sesiapa saja yang berkhidmat di bawah saya perlu mempunyai sifat sabar, tabah dan rajin kerana saya tidak toleran terhadap orang yang lembab, lemah dan malas. Kelemahan-kelemahan ini tidak ada pada Nadzim.

7. Walau pun Nadzim tidak melalui pendidikan universiti tetapi beliau, sepanjang masa berkhidmat telah menunjukkan sikap amanah, berani, disiplin, rajin dan setia sebagai sifat-sifat yang telah saya usaha untuk menerapkan ke dalam peribadi pemimpin dan ahli MAYC sepanjang masa saya memimpin mereka.
8. Selain Nadzim yang menjadi Setiausaha Agong selama 15 tahun orang yang kedua lama sebagai Setiausaha Agong MAYC ialah Dato' Haji Mohd. Yusof Hamid yang menjadi Setiausaha Agong selama 6 tahun dan sebelum ini beliau menyandanbg jawatan Ketua UMNO Bahagian Batu.

9. Walau pun Syed Abdul Rahman juga telah menjadi Setiausaha Agong selama 6 tahun tetapi prestasi beliau tidaklah dapat dibandingkan dengan Dato' Yusof Hamid, kerana saya difahamkan MAYC telah tidak mengadakan Mesyuarat Agong selama 5 tahun berturut-turut di bawah Setiausaha Agong sekarang. Jika ini benar maka ianya sungguh mendukacitakan.

10. Saya telah menjadi Presiden MAYC dari tahun 1972 hingga tahun 2002, selama 30 tahun, dan sepanjang masa itu Setiausaha Agongnya ialah Dato' Hajjah Rahmah Othman, Haji Mohd Taib Wahab, Haji Mohamed Nadzim Yahaya, Dato' Haji Mohd Yusof Hamid dan Datuk Sheikh Badar Sheikh Embong. Presiden lain dalam sejarah MAYC ialah:

Pertama - Tan Sri Mubin Shepherd ( 1953 - 1954 ) - 1 tahun

Kedua - Tengku Abdullah Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman ( 1954 - 1970 ) - 16 tahun

Ketiga - Datuk Syed Ahmad Idid ( 1970 - 1972 ) - 2 tahun

Keempat - Tan Sri Dato' Seri Sanusi bin Junid ( 1972 - 2002 ) - 30 tahun

Kelima - Dato' Syed Hamid Albar 2002 - 2009 - 7 tahun

11. Nadzim paling lama di bawah saya kerana beliau mula bekerja dengan MAYC sebagai kerani kewangan pada tahun 1972; bulan Julai 1973 beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha Kerja dan seterusnya pada tahun 1974 beliau menjadi Setiausaha Kerja bila Taib jadi Setiausaha Agong. Pada 3hb Jun, 1977 Nadzim menjadi Setiausaha Agong hingga tahun 1992.

12. Nadzim, Taib dan Dato' Yusof adalah 'tiga sejoli' yang paling dekat dengan saya dan memahami sikap, prinsip, dasar dan cara pelaksanaan satu-satu program atau projek di bawah kepimpinan saya.

13. Dari jumlah ahli hanya beberapa puluh ribu sahaja di waktu saya mengambil alih pimpinan MAYC ianya telah menjadi pertubuhan yang mempunyai ratusan ribu ahli pada waktu saya berhenti.

14. Adalah menjadi harapan saya semoga semasa mengenangkan kembalinya Nadzim ke Rahmatullah veteran-veteran MAYC yang masih hidup akan menggunakan pengalaman masing-masing semasa di dalam MAYC untuk menjadi pemimpin masyarakat, bangsa dan negara yang amanah dan berguna.

15. Sama-samalah kita do'akan semoga Nadzim dan semua kawan-kawan yang telah pergi sebelum kita akan diampuni dosa masing-masing oleh Allah s.w.t. dan di beri keselesaan di alam kubur dan di akhirat nanti. Al Fatihah.

16. Catitan ini telah saya mulakan pada hari Nadzim meninggal dunia tetapi, baru sekarang, setelah menunaikan fardhu haji, dan menyambut kelahiran cucu yang ke 11, baru saya poskan.

17. Insya Allah saya akan tulis karangan yang lebih panjang mengenai MAYC dalam post blog yang akan datang.
18. Sekian, selamat berjuang.

Sanusi bin Junid, Presiden MAYC dari 1972 ke 2002. Manchester 7 Disember, 2009



1 comment:

Haryaty Hamdzah said...

Al Fatihah... Semoga Rohnya di Cucuri Rahmat & di tempatkan bersama orang-orang yang bertaqwa.

Terima kasih Tan Sri atas perkongsian info berkenaan pemimpin MAYC. sy belum pernah berjmpa Tan Sri "in person" tp saya byk membaca karya Tan Sri & mengetahui prihal Tan Sri dari rakan2. Semoga Tan Sri diberikan kesihatan yang baik dan dpt berkongsikan pandangan/ kritikan pada generasi muda spt kami. Tks Sir!