1. Pada pagi 19hb Disember, 2009 saya dan isteri telah pergi dengan kereta ke UiTM Tronoh untuk merasmikan mesyuarat penubuhan PERKASA. Mengikut Presiden PERKASA YB Dato' Ibrahim Ali ilham untuk menubuhkan PERKASA telah dicetuskan setelah beliau berjumpa dengan Tun Ibrahim Ismail bekas Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Tun Ibrahim Ismail ialah pemimpin ATM di waktu berlakunya peristiwa 13 Mei, 1969 dan beliau telah menyatakan kepada Dato' Ibrahim Ali betapa bimbangnya beliau melihat kelemahan kedudukan politik orang-orang Melayu dewasa ini kerana keadaan ini boleh mengancam keselamatan negara.
2. Sebaik saja saya turun dari kereta di UiTM seorang yang saya kenal dari segi rupa, tetapi saya sudah lupa namanya, telah mendekati saya dan membisikkan bahawa beliau ialah seorang Ketua UMNO Cawangan yang telah menerima sms dari Ketua UMNO Bahagiannya supaya dia tidak hadir dalam majlis PERKASA pada hari itu. Katanya semua Ketua UMNO Cawangan dalam bahagian yang berkenaan telah menerima sms yang sama. Beliau hadir kerana ingin bertemu dengan saya dan mendengar ucapan saya yang beliau, katanya, rindu untuk mendengarnya.
3. Setelah itu, selepas menyaksikan persembahan silat gayung, yang begitu menarik, seorang lagi, yang menyatakan beliau juga ahli UMNO, telah memaklumkan kepada saya bahawa ada pihak yang menyatakan bahawa PERKASA ditubuhkan untuk memecahbelahkan masyarakat 4. Walau pun ada usaha pihak tertentu untuk menggagalkan perjumpaan PERKASA tetapi, walau pun hujan turun dan perjumpaan diadakan awal pagi, banyak sekitar 1,000 orang telah hadir untuk menjayakan majlis.
5. Jika benar, dan hanyalah jika benar, sikap Ketua UMNO Bahagian yang cuba menghalang penubuhan PERKASA PERAK maka saya lebih kasihan kepada UMNO daripada kepada PERKASA. Sebagai seorang yang keanggotaan UMNO nya No. 007 saya tidak mungkin mengkhianati UMNO untuk menyokong penubuhan PERKASA jika sekiranya PERKASA adalah sebuah pertubuhan yang saya fikirkan akan memecahbelahkan UMNO, masyarakat atau bangsa.
6. Dalam perjumpaan PERKASA itu saya telah memperkenalkan kepada para hadirin siapa itu Dato' Ibrahim Ali yang saya telah kenal sejak beliau belajar di ITM, iaitu sebelum ITM dinaikkan taraf menjadi sebuah universiti oleh YABhg. Tun Dr. Mahathir di waktu Tun menjadi Perdana Menteri. Ada satu keanehan yang sukar saya lupakan ialah bagaimana Ibrahim telah berjaya, sebagai pemimpin pelajar ITM dan seorang pelajar Mass Com telah berjaya melobi sehingga kelulusan diploma Mass Com ITM telah diiktiraf sebagai ijazah universiti walaupun ITM belum menjadi sebuah universiti. Inilah kelicinan manupulasi Dato' Ibrahim Ali.
6. Dalam perjumpaan PERKASA itu saya telah memperkenalkan kepada para hadirin siapa itu Dato' Ibrahim Ali yang saya telah kenal sejak beliau belajar di ITM, iaitu sebelum ITM dinaikkan taraf menjadi sebuah universiti oleh YABhg. Tun Dr. Mahathir di waktu Tun menjadi Perdana Menteri. Ada satu keanehan yang sukar saya lupakan ialah bagaimana Ibrahim telah berjaya, sebagai pemimpin pelajar ITM dan seorang pelajar Mass Com telah berjaya melobi sehingga kelulusan diploma Mass Com ITM telah diiktiraf sebagai ijazah universiti walaupun ITM belum menjadi sebuah universiti. Inilah kelicinan manupulasi Dato' Ibrahim Ali.
7. Dalam satu tunjuk perasaan di depan bangunan AIA ( American International Assurance ) pada tahun 1974 saya teringat telah meminta Ibrahim naik kepentas untuk mengganti saya bercakap menghentam Amerika Syarikat kerana sokongannya kepada Israel. Ibrahim tanya 'nak cakap apa?' Saya kata 'katalah apa yang engkau tahu'. Ibrahim terus naik dan dia pun bercakap 'apa yang dia tahu' selama hampir satu jam. Waktu itu dia pemimpin pelajar ITM.
8. Ramai juga pengkritik yang memandang rendah terhadap Dato' Ibrahim Ali kerana kononnya Dato' Ibrahim laksana 'katak' yang sering melompat dari satu parti ke parti yang lain.
9. Walau pun saya bukan jenis yang turut melompat seperti Ibrahim tetapi ini ialah kerana saya lebih sabar dari Ibrahim. Saya telah jelaskan dalam majlis pelancaran PERKASA Perak itu bahawa satu kelemahan Dato' Ibrahim ialah kerana beliau, dalam berparti, suka berkawan dengan pemimpin-pemimpin atasan sahaja. Bila pemimpin atasan berubah pendirian atau mengobah dasar maka Ibrahim pun tinggal mereka. Kini, dalam PERKASA, Dato' Ibrahimlah yang jadi orang atasan. Mempelajari dari tabi'at beliau maka ahli-ahli PERKASA, jika mengikut contoh Ibrahim, hendaklah melompat keluar dari PERKASA jika PERKASA memecahbelahkan masyarakat dan merugikan dan tidak memperjuangkan bangsa dan negara.
10. Alhamdulillah pada beberapa hari berikutnya Suruhanjaya Pilihanraya telah mengalungalukan PERKASA supaya memainkan peranan untuk mendaftar pengundi-pengundi baru, kerana terlalu ramai rakyat Malaysia, khususnya Melayu, tidak mendaftar sebagai pengundi. Dato' Ibrahim telah menyambut baik seruan Suruhanjaya Pilihanraya dan telah berikrar untuk mengadakan meja mendaftar pengundi pada setiap kali ada majlis PERKASA.
11. Inilah contoh baik bagaimana NGO boleh memainkan peranan untuk bangsa dan negara.
12. Cerita mengenai sikap Ketua Bahagian UMNO, terhadap Dato' Ibrahim Ali dan PERKASA, seperti yang dinyatakan oleh dua orang yang bertemu saya sebelum perhimpunan PERKASA di Tronoh tempoh hari, membuat saya teringat kepada peristiwa tahun 1974 apabila Tun Abdul Razak mencadangkan supaya saya menjadi calon bagi kawasan pilihanraya Jerai. Kerana imej saya, yang disalahertikan, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah telah mengadakan perjumpaan dengan Tun Abdul Razak di atas Gunung Jerai untuk membantah rancangan Tun Abdul Razak itu sehingga Pemuda UMNO Kedah mengancam untuk meletak calon bebas melawan saya jika saya dipilih untuk mewakili Barisan Nasional.
13. Kerana gagal menghalang Tun Razak untuk mencalonkan saya maka, atas semangat setiakawan, Pergerakan Pemuda UMNO Pahang pula telah mengadakan pertemuan dengan Tun Abdul Razak untuk membantah pencalonan saya. Mereka telah bertanya pada Tun Razak mengenai bukti saya sudah menjadi ahli UMNO selama 5 tahun untuk membolehkan saya menjadi calon. Secara spontan, dan selamba, Tun Abdul Razak telah mengeluarkan pangkal resit bayaran yuran UMNO sebagai bukti saya sudah membayar yuran ahli UMNO Bahagian Pekan.
14. Sekitar waktu yang sama saya juga telah mendapat tawaran dari Dato' Asri Presiden PAS untuk menjadi calon di Padang Terap untuk mengganti tempat Haji Ahmad Shukri yang menjadi Ahli Parlimen PAS bagi Padang Terap, Kedah di waktu itu. Kata Dato' Asri kalau UMNO tak mahu saya maka saya boleh jadi ahli PAS.
15. Dalam pertemuan saya dengan Tun Ghafar Baba, Naib Presiden UMNO waktu itu dan Tun Syed Ahmad Shahbuddin, Ketua Perhubungan UMNO Negeri Kedah pada waktu itu, di Coffee House Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang, saya telah menyatakan bahawa saya hanya akan terima tawaran jadi calon jika saya menggantikan Tan Sri Hanafiah Hussain, Ahli Parlimen Jerai waktu itu, jika beliau tidak bertanding lagi.
16. Saya menang tanpa bertanding di kawasan Parlimen Jerai. Lepas itu saya menang dalam pertandingan untuk jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerai.
17. Apa yang mengejutkan saya ialah pandangan Ketua Bahagian saya yang tidak mahu menambah ahli UMNO, walau pun Ibu Pejabat UMNO mengarahkan supaya diadakan kempen menambah ahli UMNO baru, kerana katanya 'ahli yang ada memilih kita tetapi ahli baru belum tentu akan pilih kita'. Fahaman begini telah melarat kepada waktu mendaftar pengundi baru untuk Pilihanraya Umum. Beliau juga berpendapat 'pengundi yang ada memilih kita dan pengundi baru belum tentu memilih siapa'.
18. Apakah kerana bimbang masih adanya sikap begini pada pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian maka Suruhanjaya Pilihanraya mencadangkan PERKASA turut membantu mendaftar pengundi. Jika ada, ianya paling bahaya kerana sementara ada fikiran pengundi muda atau baru mungkin tidak menyokong Barisan Nasional apakah ada jaminan pengundi yang sedia ada dalam daftar tetap menyokong Barisan Nasional? Apakah tidak mungkin jika pengundi lama kecewa terhadap Barisan Nasional pengundi baru dapat disuntikkan dengan semangat yang akan membuat mereka menyokong UMNO dan Barisan Nasional?
19. UMNO dan Barisan Nasional perlu bersikap positif untuk menarik kembali pengundi yang sedia ada, yang telah kecewa dengannya, dan juga menarik pengundi yang muda dan yang baru.
20. Ternyata dalam Pilihanraya Umum ke 12 bukan saja pengundi baru dan pengundi muda tidak menyokong Barisan Nasional tetapi pengundi lama juga banyak yang telah berpaling tadah.
21. Pemimpin-pemimpin UMNO hendaklah sedar bahawa banyak dari kalangan pengundi yang ada tidak menjadi ahli UMNO dan tidak lagi menyokong Barisan Nasional.
22. Adalah menjadi tanggung-jawab semua pemimpin dan ahli UMNO dan Barisan Nasional bukan sahaja untuk menawan semula hati pengundi yang dulunya menyokong Barisan Nasional tetapi juga pengundi baru yang jika tidak didaftarkan atas usaha UMNO sekali pun besar kemungkin mereka akan mendaftar sendiri atau atas inisiatif parti lawan.
23. NGO boleh membantu UMNO dan Barisan Nasional asalkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional mempunyai sikap yang betul yang diikuti oleh amalan yang manarik pengundi dan rakyat. Menghalang ahli-ahli UMNO dari menghadiri perjumpaan PERKASA bukanlah tindakan yang menguntungkan.
24. Saya di Manchester waktu menerima jemputan untuk merasmikan PERKASA Negeri Perak. Secara kebetulan saya sedang membaca buku bertajuk 'Jewish Manchester - An Illustrated History' karangan Bill Williams. Buku ini pertama kali dicetak pada tahun 2008.
25. Ternyata Manchester mempunyai sekitar 35,000 Yahudi yang terdaftar pada tahun 2008. Mereka mempunyai 46 synagogues dan didukung serta mendukung 150 NGO termasuk 20 buah NGO Zionis yang menonjolkan sokongan Yahudi Manchester kepada negara Israel. Mereka memiliki hanya sebuah surat-khabar bernama The Jewish Telegraph.
26. Di Manchesterlah Chaim Weitzmann, seorang pensyarah kimia dari Universiti Manchester, bergerak untuk membela Yahudi. Beliaulah yang menubuhkan kelompok Zionis yang bernama 'Manchester School', yang menguasai kewangan dan industri, dan memainkan peranan penting untuk mempengaruhi kerajaan British mengisytiharkan 'Balfour Declaration' sebagai asas bagi kewujudan negara Israel.
27. Masyarakat Yahudi Manchester dan Salford telah memainkan peranan yang aktif dalam bidang ekonomi, kebudayaan, kebajikan dan politik melalui kegiatan mereka dalam organisasi-organisasi pedagang, pekedai, doktor, doktor gigi, peguam, pensyarah, pemusik, pelukis, arkitek, wakil rakyat, pentadbir, dan mereka juga menjadi pengasas, panaung dan pengurus bagi badan-badan NGO berkaitan.
28. Begitu hebat Yahudi menggunakan rangkaian NGO sehingga negara Amerika Syarikat dapat ditakluki mereka; dan dengan pengaruh Yahudi melalui NGO mereka dapat menguasai politik Amerika Syarikat untuk terus membantu Israel sehingga, dengan jumlah rakyat Arab yang berlipat ganda dibandingkan dengan rakyat Israel di tambah pula dengan kekayaan negara-negara Islam di Asia Barat, dengan minyak dan gas yang begitu banyak, pembelaan terhadap Palestine tetap tidak berjaya.
29. Antara sebab Barisan Nasional banyak kalah di dalam pilihanraya umum ke 12 ialah kehilangan sokongan orang-orang keturunan India yang dipengaruhi oleh Hindraf. Oleh kerana PM di waktu itu tidak pedulikan semua rayuan dari Hindraf akhirnya NGO ini menjadi faktor yang menyebabkan Barisan Nasional kehilangan sokongan masyarakat Hindu.
30. Waktu saya menjadi pelajar di Hamburg, Jerman Barat ( sebelum Jerman Barat dan Timur bersatu ), saya telah mendengar satu syarahan oleh Professor Karl Schiller di Hamburg Universiti mengenai rancangan kerajaan Sosialis Politik Demokratik ( SPD ) pimpinan Chancellor Helmut Schmitt untuk membenarkan orang-orang Turki bekerja di Jerman Barat.
31. Professor Schiller menyatakan ada tiga sebab untuk membenarkan orang-orang Turki bekerja di Jerman Barat sebagai pekerja asing. iaitu:
31.a. Sebab pertama ialah berasaskan pertimbangan ekonomi. Sebagai negara yang sedang membangun begitu cepat Jerman Barat terpaksa memilih samada untuk menggunakan pendekatan Jepun dengan membuat banyak robot untuk menjadi tenaga kerja atau untuk membawa masuk pekerja asing. Keputusan yang diambil ialah membawa masuk pekerja asing kerana ianya lebih cepat daripadi membuat robot dan jika ekonomi meleset maka pekerja asing boleh dihantar balik kenegara asal.
31.b. Sebab kedua ialah berasaskan pertimbangan politik. Pada pendapat Professor Schiller hanya wujud tiga buah negara Islam di dunia ini yang mempunyai kemampuan berperang baik dari segi jumlah penduduk, ramainya tentera dan rekod keberanian mereka dalam sejarah. Negara-negara itu ialah Mesir, Turki dan Parsi ( Iran ). Jika ketiga mereka bersatu dan bergabung tenaga maka Israel dapat mereka hancurkan. Oleh kerana kehancuran Israel akan membawa padah yang teruk kerana Yahudi dari Israel pasti pulang balik ke Jerman, maka demi kepentingan Jermanlah maka tiga negara Islam ini perlu dihalang dari bersatu. Parsi bagi Schiller ialah negara sahabat di bawah Syah. Mesir di bawah Gamal Abdul Nasir adalah musuh Israel. Oleh itu jika Turki dapat dihalang dari memasuki pakatan untuk menentang Israel maka selamatlah Jerman daripada didatangi Yahudi.
31.c. Dari segi sejarah pula pihak Turki telah memihak kepada Jerman di dalam Perang Dunia ke Dua.
32. Dalam melaksanakan dasar kemasukan orang-orang Turki ke Jerman Barat Professor Schiller, yang dianggap sebagai seorang ahli ekonomi kewangan yang terpintar di Barat, telah dilantik oleh Chancellor Helmut Schmitt menjadi Menteri Ekonomi dan Kewangan Jerman Barat.
33. Bila orang-orang Turki masuk bekerja di Jerman Barat maka semua pelajar-pelajar dari Asia telah kehilangan kerja. Sebabnya ialah pekerja Turki lebih besar dan bertenaga dari pelajar-pelajar Asia. Umpamanya, di Pelabuhan Hamburg dua orang pekerja Turki boleh angkat satu tong sedangkan pelajar Asia perlu tenaga empat orang. Oleh kerana gajinya sama, ia-itu satu pertiga gaji pekerja Jerman, maka lebih menguntungkanlah jika majikan gunakan tenaga orang-orang Turki.
34. Saya, sebagai Presiden Tenaga Kerja Muda dari kalangan pelajar-pelajar di Hamburg, bersama komiti pelajar telah menjalankan kempen bukan sahaja kepada Professor Schiller tetapi juga serata Jerman menyokong usaha pekerja-pekerja Turki untuk diberi taraf kerakyatan Jerman. Kempen ini dijalankan sebelum pilihanraya Jerman Barat. Isu kerakyatan untuk orang-orang Turki telah diketengahkan dalam manifesto pilihanraya dan apabila menang kerajaan SPD yang dipimpin oleh Chancellor Helmut Schmitt pun memberi kerakyatan kepada pekerja-pekerja Turki.
35. Akibat dari keputusan ini maka pekerja-pekerja Turki pun dapat gaji dan upah yang sama dengan pekerja Jerman dan pelajar-pelajar Asia pun dapat bekerja samula kerana gaji dan upah untuk mereka yang bukan rakyat lebih ekonomik bagi peniaga-peniaga Jerman.
36. Saya telah dipilih untuk jadi pemimpin pelajar kerana dari sekitar 400 orang pelajar dalam persatuan hanya saya dari Malaysia. Pelajar lain dari Indonesia, Thailand dan Filipina. Perebutan kuasa antara mereka memberi peluang kepada saya menjadi pemimpin.
37. Dari kisah di atas adalah jelas bahawa memecah-belahkan negara-negara Islam yang mampu berperang akan menguntung Yahudi sebagai musuh Islam. Ternyata juga bahawa bantuan Jerman kepada umat Islam Turki bukanlah kerana sayang kepada orang Islam tetapi kerana takut kepada Yahudi.
38. Oleh itu pemimpin-pemimpin Melayu di Malaysia dan pemimpin-pemimpin Islam di seluruh dunia perlulah sedar apa untungnya berkelahi sesama sendiri. Kita perlu bertanya apakah sokongan yang kita terima sama saperti Jerman menerima orang Turki yang semata-mata untuk menghalang kehancuran Israel. Apakah NGO yang menyokong kita akan menguntungkan atau merugikan bangsa dan ugama kita; patutkah kita belajar dari Yahudi yang berjaya menggunakan NGO untuk kepentingan Yahudi dan tidak memusuhi NGO seperti Ketua UMNO Bahagian yang menentang penubuhan PERKASA Negeri Perak.
9 comments:
Salam Tan Sri,
Begitulah seterusnya nasib orang melayu kalau difikiran masing masing masih takut kepada bayang bayang sendiri dan nafsu mengatasi akal dan dunia melebihi akhirat.
Salam Tan Sri,
Teringat saya situasi di tanah watan ini ,bagaimana jelas kita dapat melihat warga bukan asal watan ini menguasai sumber ekonomi dan mempunyai NGO dan pelbagai parti politik(sengaja atau strategi) yang mampu mengubah dan memberi tekanan kepada kerajaan untuk membuat dasar yang memberi kelebihan dan kebaikan untuk kaum mereka. Lihat persamaan dan pendekatan mereka dan adakah ini kebetulan?
Na bahan menarik chit di web eramuslim.com tentang yahudi membunuh para saintis diseluruh dunia. Lengkap jih na bak link berikut http://eramuslim.com/berita/tahukah-anda/kematian-aneh-ratusan-saintis-dunia-1.htm
Salam Tan Sri,
Sewaktu saya berada di Perlis, cerita tentang PERKASA panas diperkatakan oleh pemimpin2 negeri yang marah dengan sikap kurang ajar mereka. Datuk Ibrahim Ali selaku pemimpin PERKASA, umpama telah masuk ke rumah orang tanpa memberi salam dam mengikut pintu belakang.
Sebagai sebuah badan NGO, beliau sepatutnya memohon kebenaran dahulu untuk mengadakan apa-apa program. Sekurang-kurangnya tunjuk tanda hormat kepada pemimpin negeri yakni MENTERI BESAR ataupun Pemimpin-pemimpin Negeri yang lain.
Kita orang melayu dan berugama Islam ada adat dan budaya, bukannya main terjah saja bila-bila masa. Sekurang-kurangnya bagilah salam....
Tan Sri,
Terima kasih kerana berkongsi perkara menarik mengenai Melayu.Kini sudah tiba masanya semua Umat Melayu Islam, tidak kira pegangan dan pendirian politik (UMNO, PAS, PKR dsbnya) termasuk semua NGO-NGO Melayu, bersatu demi untuk survival kita di masa depan. Malang sekali kita tidak seia dan sekata dalam memperjuangkan nasib Melayu dan Islam. Lupakan perbedaan di antara kita, tapi carilah di mana kita seia dan sekata.
Sekarang ini tidak ramai di kalangan kita yang berani ke depan untuk membela nasib Melayu. Di negara yang majoritinya Melayu, kalau taraf ekonomi dan pendidikan kita tidak setanding dengan kaum-kaum lain, kestabilan Malaysia pasti tidak terjamin. Jadi kesimpulannya, berjuang untuk mempertingkatkan tahap pendidikan dan ekonomi Melayu Islam adalah juga berjuang untuk survival Malaysia.
Saya percaya kepimpinan yang diterajui oleh DS Najib sentiasa peka akan perkara ini dan sedang dan akan terus melakukan yang terbaik demi untuk Bangsa, Negara dan Ugama yang kita cintai. Satu persoalan yang sentiasa berada dalam kepala kita, kenapa Melayu sekarang hanya mementingkan diri sendiri dan hanya sejumlah kecil sahaja yang sedia berkhidmat secara jujur dan ikhlas untuk kepentingan Melayu dan Islam dalam tempoh jangka panjang.
Ayuhnya kita semua mencari kata sepakat demi untuk masa depan anak cucu di kemudian hari dan demi untuk kesinambungan tanahair yang kita cintai ini.
Salam Tan Sri,Saya tak paham dengan kelohan DATO.ALI35,KATANYA pemimpin negeri marah kepada PERKASA kerana masuk rumah orang tampa memberi salam.Mangkok betul DATOALI35 NI,kenapa PERKASA perlu bersalam pada menteri besar dan minta kebenaran untuk menuboh PERKASA,PERKASA memperjuang untuk melayu.kalau beginilah pemikiran sempit pemipin melayu,ALAMATLAH.
mungkin agaknya NGO-NGO seperti HINDRAF atau SUQUI masuk ke tempat2 tersebut dgn memberi salam dan meminta izin dr pemimpin tempatan.
sedihlah saya sebagai generasi muda yg lahir dr perjuangan UMNO melihat betapa angkuh dan sindrom takut hilang kuasa masih ada pada pimpinan kita sampaikan saudara2 sendiri tidak dihiraukan.
* Tan Sri tidak berminat utk membuka akaun Facebook? kalau ada alankah bagusnya....
வணக்கம் டான்ஸ்ரீ! நலம்ம்தானே!
நான் கெடாவில் வாழ்கிறேன்.
Tahniah kepada Tan Sri kerana berjaya mengupas penyakit sebahagian pemimpin politik Melayu yang berfikiran sedemikian.
Kepada Dato' 35, fikirlah sejenak. Apakah perlu orang Melayu beri salam kepada Melayu lain untuk perjuangkan nasib dan hak Melayu juga di atas Tanah Melayu ?
Apakah masih kita berfikir di atas jalur Melayu Perak, Melayu Pahang, Melayu Perlis dan sebagainya sedangkan sudah tiba masanya kita hanya menyebot Melayu sahaja.
Kita patut menyedari bahawa kitalah yg menjadi punca kita berpecah. Manakan tidak, kalau Melayu Pahang nak jadi Menteri Besar Melayu Perak, sudah tentu Melayu Perak marah. Alahai, sedangkan orang itu Melayu juga.
Ini semenanjung Tanah Melayu di alam Melayu. Kenapa pula kita masih menyangsi bangsa sendiri. Orang Melayu Pahang pun bercakap dalam bahasa Melayu bukan dalam bahasa lain.
Semua Melayu adalah anak tempatan dan orang tempatan di mana-mana pun di Tanah Melayu ini.
Post a Comment