Monday, March 15, 2010

MENGENANG DASAR EKONOMI BARU

SATU PENINJAUAN SEMULA

1. Dasar Ekonomi Baru atau dalam bahasa Inggerisnya 'New Economic Policy' telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak dalam Parlimen yang bersidang semula, selepas peristiwa 13 Mei, 1969,  pada tahun 1971, untuk tempoh yang berakhir pada tahun 1990. Ia diperkenalkan kira-kira serentak dengan waktu perundingan menubuhkan kerajaan Barisan Nasional. Ia adalah satu jawapan ekonomi keatas gejala politik yang telah ditafsirkan sebagai sebab tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei, 1969. Dasar ini dijangka mengganti Dasar Ekonomi Bebas atau Free Enterprise System sebagai dasar yang telah diterima sebagai imbangan kedua, setelah pemberian kerakyatan kepada yang bukan Melayu, waktu kotrak sosial menentukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ugama Islam sebagai ugama rasmi, hak istimewa orang-orang Melayu, raja berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen untuk Malaya dan kemudiannya Malaysia.

MATLAMAT DEB

2. Matalamat Dasar Ekonomi Baru merupakan serampang dua mata iaitu untuk (a) Membasmi Kemiskinan dan (b) Menyusun semula masyarakat. Kedua matalamat ini diterima baik oleh rakyat dan berbagai parti yang bergabung di dalam Barisan Nasional termasuklah parti PAS. Adalah diharapkan dengan adanya dua matlamat ini maka dalam masa 20 tahun keadaan ekonomi rakyat Malaysia, yang berbilang kaum, akan lebih menjamin keharmonian hubungan antara kaum yang seterusnya akan menjamin kestabilan politik di dalam negara.

MEMBASMI KEMISKINAN

3. Berbagai usaha telah dijalankan untuk membasmi kemiskinan. Antaranya termasuklah berbagai program untuk memperbanyakkan pekerjaan, menambah pendapatan masyarakat petani, penternak dan nelayan, memperbanyakkan peluang dalam bidang industri kecil dan sederhana, memperbanyakkan peluang memiliki tanah dalam skim pembangunan tanah dan wilayah, menambah peluang dalam bidang pendidikan dan lain-lain.