Monday, July 12, 2010

BOLASEPAK - TANGGA KENARI 1000 TAHUN

ANTARA SUKAN, UGAMA, PELANCONGAN DAN JUDI

JUARA BOLASEPAK DAN GOLF

1. Saya tidak pernah teringat pernah main bola berpasukan kecuali sekali iaitu di waktu saya menjadi Menteri Pertanian dan dalam lawatan ke Sarawak pasukan ad-hoc Kementerian Pertanian Malaysia telah bertanding dengan pasukan bolasepak Kementerian Pertanian Sarawak. Oleh kerana kedua Menteri Pertanian secara otomatik dijadikan ketua pasukan maka saya menjadi 'captain' pasukan Kementerinan Pertanian Malaysia sementara Datuk Alfred Jabu jadi 'captain' pasukan Sarawak. Malaysia menang 1-0 kerana bola yang disepak entah dari mana telah hinggap ke kaki saya, yang sedang berdiri terpinga-pinga mencari-cari bola, sebagai 'center-forward' tiba-tiba bola itu terpelanting masuk ke dalam gol Sarawak.

2. Isteri saya pula pernah menjadi 'champion' perlawanan golf antara isteri-isteri Menteri Pertanian ASEAN di Bandung di waktu Persidangan Menteri-Menteri Pertanian ASEAN diadakan di sana. Pada majlis pengumuman keputusan pertandingan golf isteri-isteri Menteri nama isteri saya telah disebut sebagai juara kerana pada pagi pertandingan dimulakan kesemua isteri Menteri telah tidak hadir sementara isteri saya pula kebetulan ada di situ kerana kami sarapan pagi di sana. Isteri saya tak tahu pun namanya telah dimasukkan dalam senarai untuk pertandingan kerana isteri saya tidak tahu main golf.

SUKAN MENYATUPADUKAN RAKYAT

3. Walau bagaimanapun saya minat kepada Pertandingan Bolasepak Piala Dunia kerana ianya diadakan di Afrika Selatan di mana pada tahun 1995 Nelson Mandela telah dengan bijaknya menggunakan pertandingan Rugby Piala Dunia untuk menyatupadukan rakyat kulit putih dan hitam yang lama bermusuhan di sana. Walau pun Nelson Mandela tidak dapat hadir dalam majlis perasmian Pertandingan Bolasepak Piala Dunia yang diadakan di negaranya ini, kerana kematian cicitnya, tetapi saya yakin kharisma Mandela turut berperanan sehingga acara ini diadakan di Afrika Selatan. Dengan adanya pertandingan ini di sana, walaupun pasukan bolasepak Afrika Selatan telah kalah di peringkat awal tetapi acara ini membuat Afrika Selatan menjadi lebih menarik sebagai destinasi pelancungan di dunia.

KRITERIA SOKONGAN

4. Walau pun saya tidak pernah main dalam pasukan bolasepak tetapi saya pernah menjadi Bendahari pasukan bolasepak Negeri Selangor pada awal tahun tujuh-puluhan di waktu saya menjadi akauntan di Chartered Bank, Jalan Raja, Kuala Lumpur dan Datuk Harun Idris menjadi presiden pasukan. Saya teringat kepada Allahyarham Hamzah Alang yang menjadi Setiausaha pasukan. Kami tinggal berdekatan di Kampung Bharu.

5. Oleh kerana saya tidak main bola maka cara saya menyokong pasukan tidaklah berasas kepada kecekapan bermain atau seni permainan. Sama juga dengan Dato' Abd. Kadir Yasin, sebagaimana yang dihuraikannya dalam blognya, cara kami menyokong agak tersendiri. Bila England lawan Amerika saya sokong England kerana saya belajar di sana dan pernah tinggal di Highbury & Islington berdekatan dengan Stadium pasukan Arsenal, yang pada waktu saya di England, Arsenal menjadi juara, walau pun bukan kerana saya, yang hanya turut bertepuk untuknya. 

6. Kalau England atau Amerika Syarikat berlawan dengan mana pasukan jua saya tetap menyokong pasukan yang lain kerana mengenangkan nasib umat Islam dari  Iraq dan Afghanistan.