Monday, July 12, 2010

BOLASEPAK - TANGGA KENARI 1000 TAHUN

ANTARA SUKAN, UGAMA, PELANCONGAN DAN JUDI

JUARA BOLASEPAK DAN GOLF

1. Saya tidak pernah teringat pernah main bola berpasukan kecuali sekali iaitu di waktu saya menjadi Menteri Pertanian dan dalam lawatan ke Sarawak pasukan ad-hoc Kementerian Pertanian Malaysia telah bertanding dengan pasukan bolasepak Kementerian Pertanian Sarawak. Oleh kerana kedua Menteri Pertanian secara otomatik dijadikan ketua pasukan maka saya menjadi 'captain' pasukan Kementerinan Pertanian Malaysia sementara Datuk Alfred Jabu jadi 'captain' pasukan Sarawak. Malaysia menang 1-0 kerana bola yang disepak entah dari mana telah hinggap ke kaki saya, yang sedang berdiri terpinga-pinga mencari-cari bola, sebagai 'center-forward' tiba-tiba bola itu terpelanting masuk ke dalam gol Sarawak.

2. Isteri saya pula pernah menjadi 'champion' perlawanan golf antara isteri-isteri Menteri Pertanian ASEAN di Bandung di waktu Persidangan Menteri-Menteri Pertanian ASEAN diadakan di sana. Pada majlis pengumuman keputusan pertandingan golf isteri-isteri Menteri nama isteri saya telah disebut sebagai juara kerana pada pagi pertandingan dimulakan kesemua isteri Menteri telah tidak hadir sementara isteri saya pula kebetulan ada di situ kerana kami sarapan pagi di sana. Isteri saya tak tahu pun namanya telah dimasukkan dalam senarai untuk pertandingan kerana isteri saya tidak tahu main golf.

SUKAN MENYATUPADUKAN RAKYAT

3. Walau bagaimanapun saya minat kepada Pertandingan Bolasepak Piala Dunia kerana ianya diadakan di Afrika Selatan di mana pada tahun 1995 Nelson Mandela telah dengan bijaknya menggunakan pertandingan Rugby Piala Dunia untuk menyatupadukan rakyat kulit putih dan hitam yang lama bermusuhan di sana. Walau pun Nelson Mandela tidak dapat hadir dalam majlis perasmian Pertandingan Bolasepak Piala Dunia yang diadakan di negaranya ini, kerana kematian cicitnya, tetapi saya yakin kharisma Mandela turut berperanan sehingga acara ini diadakan di Afrika Selatan. Dengan adanya pertandingan ini di sana, walaupun pasukan bolasepak Afrika Selatan telah kalah di peringkat awal tetapi acara ini membuat Afrika Selatan menjadi lebih menarik sebagai destinasi pelancungan di dunia.

KRITERIA SOKONGAN

4. Walau pun saya tidak pernah main dalam pasukan bolasepak tetapi saya pernah menjadi Bendahari pasukan bolasepak Negeri Selangor pada awal tahun tujuh-puluhan di waktu saya menjadi akauntan di Chartered Bank, Jalan Raja, Kuala Lumpur dan Datuk Harun Idris menjadi presiden pasukan. Saya teringat kepada Allahyarham Hamzah Alang yang menjadi Setiausaha pasukan. Kami tinggal berdekatan di Kampung Bharu.

5. Oleh kerana saya tidak main bola maka cara saya menyokong pasukan tidaklah berasas kepada kecekapan bermain atau seni permainan. Sama juga dengan Dato' Abd. Kadir Yasin, sebagaimana yang dihuraikannya dalam blognya, cara kami menyokong agak tersendiri. Bila England lawan Amerika saya sokong England kerana saya belajar di sana dan pernah tinggal di Highbury & Islington berdekatan dengan Stadium pasukan Arsenal, yang pada waktu saya di England, Arsenal menjadi juara, walau pun bukan kerana saya, yang hanya turut bertepuk untuknya. 

6. Kalau England atau Amerika Syarikat berlawan dengan mana pasukan jua saya tetap menyokong pasukan yang lain kerana mengenangkan nasib umat Islam dari  Iraq dan Afghanistan.

7. Saya sokong pasukan Jerman bila berlawanan dengan pasukan lain kerana saya juga belajar di Hamburg, Jerman Barat dan pernah bekerja di sana. Ditambah pula apabila Tuan Yang Terutama Datuk Ibrahim Saad, kini beliau menjadi duta Malaysia di Filipina, yang smskan kepada saya lepas tengah malam menyatakan dalam pasukan Jerman ada dua pemain beragama Islam. Yang penting lagi bagi saya ialah kerana saya bencikan Yahudi Zionis yang hanya Jerman yang tahu mengajarnya.

8. Sudah tentu bila Jerman lawan Sepanyol saya teringat pula peristiwa di Sevilla pada tahun 1492 apabila Ferdinand dan Isabella menerima kejatuhan tapak terakhir pemerintahan Islam di Sepanyol, Granada, dan bagaimana kejamnya puak Kristian dalam peristiwa 'Inquisition'. Walau bagaimanapun bila Belanda lawan Sepanyol saya berubah sikap dan terus menyokong Sepanyol kerana kekejaman Belanda, yang lebih dekat dalam ingatan, terhadap keluarga saya di Aceh dalam perang dengan Belanda dalam Perang Aceh yang bermula pada 25 April, 1873. 

GUNUNG JERAI - LEMBAH BUJANG DAN TITI HAYUN

9. Apabila saya terbaca di dalam akhbar mengenai usaha arkiologis untuk mengesahkan tamaddun Hindu di Lembah Bujang di Kedah sekaligus fikiran saya berpindah ke satu tempat di sebalik Lembah Bujang iaitu di kaki Gunung Jerai di Yan, Kedah. Di sana terletak Kampung Aceh, tempat saya dilahirkan. Di waktu saya menjadi Menteri Besar Kedah saya telah wujudkan dua buah projek di sana iaitu mendirikan cawangan Maktab Mahmud di Kampung Aceh, sebagai satu dari dua buah cawangan Maktab Mahmud yang sempat saya dirikan dalam usaha memantapkan dan menyemarakkan lagi pendidikan agama Islam di Kedah. Yang satu lagi ialah cawangan Maktab Mahmud di Ulu Melaka Langkawi. Projek kedua ialah membina Tangga Kenari Seribu Tahun, sebagai sebuah tangga yang memudahkan pendakian ke puncak Gunung Jerai di Kedah. Inilah saya kira tangga yang tertinggi di dunia.

TANGGA KENARI 1000 TAHUN

10. Saya terus ke internet untuk mengetahui apa yang telah tertulis mengenai Tangga Kenari Seribu Tahun ini.
Saya terbaca penulisan ini:


Terletak lebih kurang 3.4 km dari Pekan Yan Besar, Tangga Kenari sebenarnya berada di lokasi yang sama dengan Hutan Lipur Titi Hayun. Tangga konkrit yang dibina melalui denai hutan ini adalah cetusan idea Tan Sri Dato' Seri Sanusi Junid, Menteri Besar Kedah ketika itu bertujuan memajukan industri pelancongan berasaskan alam semulajadi (ecotourism).

Uniknya, projek pembinaan tangga ini dari Titi Hayun hingga ke Peranginan Gunung Jerai berjaya dilaksanakan tanpa melibatkan proses penebangan pokok-pokok balak di sepanjang laluan tersebut. Keselurunan anak tangga yang dibina adalah kira-kira 1,342 takah melalui lereng-lereng berliku di dalam Hutan Simpan Gunung Jerai.

Tangga Kenari ini juga sering dijadikan sebagai tempat latihan 'Jungle Trekking' oleh sekolah-sekolah menengah dari pusat-pusat latihan motivasi bagi menggalakkan budaya pendakian bukit untuk kecergasan dan rekreasi serta menyemai semangat cintakan alam semulajadi anugerah Allah (SWT).

Jika anda adalah pengunjung yang sukakan cabaran, Tangga Kenari 1000 Tahun adalah tempat yang menarik untuk dicuba. Laluan trek yang berliku-liku dan ada di antara laluannya mencecah lebih dari 45 darjah amat mencabar tenaga fizikal dan mental. Bagaimanapun kepenatan dan kesukaran ini mungkin tidak dirasakan kerana keindahan flora dan fauna di sepanjang laluan trek ini amat mempersonakan.

KENAPA NAMA 'KENARI'?

11. Semua yang ditulis ini adalah benar belaka, tetapi sebabnya tangga ini dibina tidaklah tepat dan lengkap dan punca namanya diberi juga tidak dijelaskan. Soalannya ialah 'Apakah yang mencetuskan idea untuk membina tangga ini dan kenapakah namanya Tangga Kenari 1000 Tahun?'

12. Di waktu saya kembali ke Kedah untuk menjadi Menteri Besar kedudukan Kedah adalah sebagai juara bolasepak negara. Walau bagaimana pun saya tidak berapa merasa bangga dengan kedudukan ini kerana saya dapati ada tiga pemain impot dalam pasukan Kedah yang boleh dikatakan menjadi penyebab Kedah menjadi juara. Mereka ialah Olubunmi Adigun dan Peter Nieketien dari Nigeria, Tibor Szaban dari Czechoslovakia. Tanpa mereka Kedah tidak akan jadi juara. Walau bagaimanapun pada waktu itu negeri-negeri dalam Malaysia memang sibuk dan bangga dengan pemain impotnya. Mungkin disebabkan pengaruh yang juga diimpot dari England di mana kelab-kelab bolasepak mereka mempunyai pemain-pemain handal yang diimpot dari luar negara.

13. Di waktu England lawan Jerman dalam pertandingan Piala Dunia yang baru habis semalam, saya berada di Oxford, England. Saya melihat dalam TV satu wawancara oleh pakar-pakar bolasepak England mengenai kekalahan yang baru dialami oleh England. Kata pakar itu tidak dapat dinafikan bahawa kekalahan England ialah kerana kelab-kelabnya tidak menumpukan perhatian kepada kemampuan warganegara tempatan tetapi bergantung kepada pemain impot. Walaupun saya bukan pakar saya mempunyai pendapat yang sama mengenai potensi kekuatan pasukan bolasepak Kedah, dan semua negeri dalam Malaysia, perlu bergantung kepada tenaga tempatan yang disiplin, pantas, cekap, kuat dan mempunyai stamina mampu bertahan. Dalam kesempatan saya bertukar-tukar fikiran dengan pemain impot Kedah ternyata di situlah masalahnya.

ILHAM MEMBINA MENGGUNAKAN SIMEN UNTUK JALAN DAN TANGGA

14. Dalam lawatan saya ke Titi Hayun di lereng Gunung Jerai di penghujung Kampung Aceh, Yan datanglah ilham untuk membina tangga dari kaki gunung hingga ke puncaknya. Nama tangga ini ialah ' KENARI ' sempena nama pasukan bolasepak Hijau Kuning Kedah. Di waktu saya bertugas sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar dahulu, berinspirasikan program pembinaan jalan-jalan simen di Korea Selatan di bawah rancangan ' Saemul Undong ' saya telah mengusahakan pembinaan sebuah jalan simen secara gotong-royong oleh penduduk Kampung Olak Lempik di Selangor. Saya pinjamkan dari slogan Mao Tse Tong iaitu 'a journey of a thousand miles begins with but a single step' atau 'jalan seribu batu hanya bermula dengan tapak pertama' maka jalan simen ini saya namakan JALAN 1000 TAHUN. Maka tangga simen di Gunung Jerai juga saya namakan TANGGA KENARI 1000 TAHUN. Saya berharap tangga ini juga akan tahan lama. Ada lagi satu tangga yang saya bina kemudiannya di Pulau Langkawi untuk mendaki Gunung Raya yang bermula dari Kampung Buku Lubuk Semilang yang saya namakan TANGGA 1000 KENANGAN untuk didaki oleh pelancung-pelancung ke Langkawi. Saya pilih angka 1000 untuk memberi maksud 'lama' atau 'tahan lama'. Memang Tangga 1000 Kenangan dari Lubuk Semilang ke puncak Gunung Raya akan tahan lama tetapi Kampung Buku di Lubuk Semilang sudah tinggal dalam kenangan.

15. Adalah menjadi harapan saya untuk menjadikan Tangga Kenari 1000 Tahun ini sebagai inisiatif awal untuk melatih pasukan bolasepak Hijau Kuning Kenari untuk menjadi pasukan bolasepak yang bertenaga untuk menang dengan dayaupaya sendiri dan tidak bergantung kepada tenaga impot sebagaimana pasukan bolasepak kelab-kelab yang bersaing dalam liga bolasepak di negara-negara di Eropah.

16. Malangnya, walau pun Tangga Kenari 1000 Tahun ini siap dibina tetapi ianya tidak sempat saya rasmikan dan tujuan pembinaannya juga telah tinggal setakat yang tercatit dalam internet sahaja.

ZAMAN EKONOMI MELESET

17. Oleh kerana saya menjadi Menteri Besar Kedah di zaman ekonomi negara sedang merosot maka dengan wang yang terbatas tidak banyak projek yang dapat dilaksanakan walaupun banyak yang dirancang. Kecuali projek-projek yang dibiayai oleh orang atau syarikat yang kaya tidak banyak yang dapat dilaksanakan kecuali dengan mengalihkan wang yang digunakan untuk satu program kepada program yang lain.

18. Di antara projek-projek yang dilaksanakan, saya telah memperkenalkan tiga projek keagamaan, iaitu:

i) Program mengimarahkan masjid-masjid,

ii) Mengadakan rumah anak yatim di setiap daerah, dan

iii) Mendirikan cawangan Maktab Mahmud di setiap daerah.

19. Hanya dua buah cawangan Maktab Mahmud yang sempat didirikan iaitu di Kampung Aceh, Yan di mana pihak maktab mengambil alih pentadbiran Sekolah Agama Attarbiaha Addiniah Kampung Aceh yang merupakan waqaf masyarakat Aceh setempat; yang kedua ialah cawangan Maktab Mahmud Ulu Melaka, Langkawi.

BOLASEPAK MENYATUPADUKAN RAKYAT


20. Projek rumah anak yatim juga hanya sempat ke peringkat mengadakan bangunan. Di waktu rumah anak yatim di Kampung Wang Tok Rondong, Langkawi siap dibina kerajaan negeri menghadapi masalah mengadakan biaya yang cukup untuk pentadbiran rumah-rumah anak yatim. Pada waktu yang sama juga pasukan boleh sepak Kedah juga menghadapi masaalah yang berkaitan dengan kewangan. Sebagai Pengerusi Pasukan Bolasepak Kedah kerana jawatan saya sebagai Menteri Besar maka saya telah terdedah kepada beberapa fakta yang mendapat perhatian saya. Saya dapati melalui bolasepak, sebagaimana Mandela mendapati melalui Rugby, rakyat boleh disatukan. Contohnya, apabila pasukan bolasepak Kedah berlawan dengan mana juga negeri yang lain rakyat Kedah, dari Raja hingga ke hamba, tidak kira aliran parti akan bersatu menyokong pasukannya. Orang UMNO gembira dengan peranan Radzi Md Din sebagai kapten pasukan Kedah walau pun mereka tahu beliau adalah ketua sebuah ranting PAS di sana. Malahan Stadium Darul Aman Kedah terpaksa mengadakan 4 buah surau untuk memastikan mereka yang datang awal ke stadium sempat sembahyang maghrib sebelum perlawanan dimulakan. Adigun, Szaban dan Nieketien adalah tiga nama yang sentiasa di bibir peminat bolasepak Kedah walaupun hanya Adigun yang beragama Islam. Pendek kata untuk kemenangan bolasepak negeri rakyat tidak peduli aliran politik atau perbezaan agama sekalipun.

ANTARA POPULARITI DAN MORAL


21. Walau bagaimanapun saya menjadi gelisah dengan satu pendedahan bahawa Adigun telah menyebabkan seorang anak petani di Kedah mengandung di luar nikah. Saya menjadi lebih sedih lagi apabila dalam satu perlawanan antara Kedah dengan negeri lain dosa Adigun dengan zinanya tidak langsung membuat beliau kurang popular dengan rakyat Kedah yang saya kira kuat sentimen agamanya. Bagi peminat bolasepak Adigun tetap wira walau pun tercemar dengan dosanya. Pada waktu inilah saya memutuskan untuk menamatkan kontrak ketiga pemain impot Kedah dan menyelamatkan hampir RM100,000-00 sebulan dan menggunakannya untuk program keagamaan seperti membiayai rumah-rumah anak yatim. Dengan pemecatan itu maka prestasi pasukan bolasepak Kedah telah menjunam turun.

SEBAB YANG TERSEMBUNYI


22. Saya percaya sebagaimana sebabnya saya membina Tangga Kenari 1000 Tahun telah tidak diketahui umum rakyat juga tidak tahu sebab saya menamatkan kontrak ketiga pemain impot luar negara bagi pasukan bolasepak Kedah.

BOLASEPAK DAN BICARA MUFTI


23. Pada pagi Ahad 4 Julai yang lalu saya agak terkejut apabila, setelah sembahyang subuh, saya gagal mencari program Bicara Mufti dalam TV1. Mungkin juga TV saya rosak. Tetapi apabila saya tukar ke TV2 saya lihat dengan jelas siaran ulangan perlawanan bosepak yang dimainkan pada pukul 2.30 pagi yang dapat dilihat dalam Astro.

24. Kalau TV saya tidak rosak apakah program ulangan bolasepak lebih penting dari siaran Bicara Mufti, kalau begitu sikap yang berkuasa maka hampir samalah dengan peminat bolasepak yang mengampunkan dosa zina kerana jaguh bermain bolasepak.

KITA PERLU PANDAI MEMILIH



25. Saya ingin mengingatkan bahawa projek Tangga Kenari 1000 Tahun adalah projek bolasepak dan riadhah untuk rakyat dan bukan hanya untuk pelancongan sebagaimana projek bolasepak, sebagaimana rugby dan bolasepak di Afrika Selatan boleh menyatupadukan rakyat Afrika Selatan dan masyarakat antarabangsa. Akan tetapi apabila kita harus membuat pilihan antara agama, sukan, pelancongan dan judi kita tidak boleh teragak-agak. Kalau Mandela dengan muktamad memilih tidak hadir dalam majlis perasmian Piala Dunia kerana lebih mengutamakan cicitnya yang meninggal, maka kita pula tidak boleh melupakan agama semata-mata kerana hiburan dan dikelirukan mana yang lebih utama apabila terpaksa membuat pilihan. 

15 comments:

abdullah hasnan said...

salam ts...usaha yang telah ts buat semasa jadi mb kedah ada banyak yang akan di beri pahala berterusan oleh allah. terutama usaha ts meluluskan dalam mes exco untuk membuka cawangan maktab mahmood dan rumah rumah anak yatim di seluruh daerah di kedah.keputusan yang ts buat sejajar dengan usaha kerajaan negeri yang di pimpin oleh ts waktu itu untuk memgembangkan agama islam dan membela nasib anak anak yatim.saya dapati usaha yang ts mulakan dulu kini berkembang dengan baik..semoga alllah sentiasa memberkati usaha ts.

Anonymous said...

salam aus Stadt Weimar..
ketika sy menuntut dahulu di Pusat Kerjasama UTM-Kolej Lagenda, Padang Mat Sirat sy bersama-sama rakan yang lain berpeluang menikmati perjalanan Tangga 1000 Kenangan tersebut. perjalanan yg amat memeritkan tetapi berbaloi dgn pemandangan yg tersaji di pelantar tinjau puncak Gunung Raya. itulah kali pertama sy mengenali bagaimana rupa pokok tongkat ali. sepanjang perjalanan sy sering terfikir mengapa ada laluan tangga simen di dlm hutan sebegini (kebiasaannya jungle tracking hanya melalui denai hutan shj).. setelah 10 tahun berlalu baru ketemu jawapannya-urkolog

Anonymous said...

salam...ts..walau ts menjadi MB dalam masa yang tak lama...tapi jasa ts pada saya dan keluarga serta penduduk kg kilang sago baru,kulim amat besar..setelah hampir 40thn kami menetap disitu akhirnya kami mendapat geran milik tanah tersebut.
walaupun MB sebelum itu telah menyerah tanah tersebut pada pemaju.
Syukur...kerana dalam masa sebulan ts jadi MB dan atas usaha ts kami diberi hak milik.
saya kerap nampak ts dan puan sri semasa saya bertugas dibank pusat bandar damansara.
apa pun doa saya semoga ts sentiasa dalam sihat walaffiat..

Ramli Mohd Yunus said...

Salam Tsri,

Posting yang amat menarik terutama tentang bolasepak Kedah. Saya setuju dengan TSri yang kurang berbangga dengan jaguh yang menumpang dari kehebatan pemain import.

Seperti Tsri, saya juga tidak berminat dengan sukan walau pun masa sekolah saya pernah aktif dalam sukan tertentu. Saya melihat sukan sudah jadi terlalu komersial..nilai sukan sudah hilang.

Golf ni pulak, banyak sinario yang memang menggelikan hati terutama golfers ahli politik Melayu yang kelihatan `perasan'! Kesian..sukan mahu dijadi alat menaikkan imej konon!

Saya amat setuju dengan usaha dan tindakan Tsri tentang Maktab Mahmud..alhamdulillah sekarang ianya berkembang semakin baik.

Non-partisan said...

Tan Sri,

Seperti biasa tulisan TS kali ini juga membawa mesej yg tersirat dan penuh makna.

Ketika seseorang itu berada dalam keududukan yg mempunyai kuasa dan pengaruh orang lain akan berbuat apa sahaja untuk menarik perhatian demi memenuhi agenda-agenda peribadi orang tersebut.

Cerita diri TS sendiri dan isteri memperlihatkan kecenderungan ini. Tan Sri yg tak tahu main bola tiba-tiba menjadi penjaring gol justeru pasukan TS diistiharkan juara. Isteri TS yang tidak bermain golf pula diistiharkan 'champion'.

Inilah apa yang begitu berleluasa berlaku sekarang di Malaysia.

Kalau dulu semasa menjadi menteri pusat dan MB, TS amat sedar dengan putar belit ini dan tidak mudah terperangkap dengan niat jahat mereka, kini lain pula ceritanya.

Mereka kini tenggelam dengan ulitan dan belaian orang sekeliling yang berkepentingan. 'Slowly but surely' mereka akan lemas dan akhirnya negara akan punah-ranah.

Bagaimanakah nasib anak bangsa kita pada masa akan datang?

nasrul said...

salam..TS
kepimpinan silih berganti namun dalam kepimpinan mempunyai nilai tersendiri,sebagai pemimpin TS sudah melaksanakan suatu tuntutan yang harus dilaksanakan oleh setiap pimimpin iaitu memastikan tahap ekonomi yang baik,pendidikan yang cemerlang,tahap sosial yang baik..jika di imbas kembali saya melihat TS telahpun menlaksanakan beberapa perkara pokok untuk rakyat terutama semasa TS di Kementerian Pertanian dan Menteri Besar Kedah..Lahirnya maktab mahmud d seluruh pelusuk daerah untuk memastikan lahirnya ummah yg berkualiti,wujudnya tangga kenari demi memastikan kehidupan sosial masyarakat kedah seimbang,memperkasakan sektor pertanian khasnya kedah adalah kesinambungan dari apa yang dilaksanakan di kementerian pertanian..alhamdulillah berkat usaha TS hari ini rakyat kedah terutamnya dan Malaysia menikmati hasilnya.. sudah pasti budi dan bakti TS akan di berkati Allah swt..salam.

ibni mahmud said...

saya amat akui.bahawa pengembangan maktab mahmud disetiap daerah adalah zaman ts sanusi junid.jangan siapa nafikan.cuma ramai orang dah lupa atau sengaja lupa.rasanya patut juga maktab mahmud buat suatu majlis pada ts sanusi junid.jemput semua pemimpin islam dikedah.kan nampak cantik drp sengketa tak tentu pasal.

Anonymous said...

Tan Sri.

Saya seorang wartawan akhbar yang dulu pernah membuat liputan semasa Tan Sri didalam Kabinet. Saya teringat Tan Sri pernah mengilhamkan satu projek pekan buku di Kedah. Semasa Piala Dunia yang baru berlalu, jika Tan Sri berada di Oxford, saya pula berada di Hay-On-Wye, satu pekan yang terkenal dengan kedai-kedai buku yang menjual buku-buku lama. Katanya Hay-On-Wye ini is the place where books go to die. Saya ingat itu lah pekan yang menerbitkan ilham Tan Sri dulu tu. Tapi sayangnya projek itu mungkin tak sempat Tan Sri laksanakan atau mungkin juga kurang sambutan. Kalau kurang sambutan, malang lah sebab masyarakat yang kurang membaca tak akan maju. By the way Tan Sri, saya masih lagi mencari terjemahan buku United Nations berjudul Ride With The Sun. Ia diterjemahkan oleh Dewan Bahasa lama dahulu sebagai Bersama Sang Suria. Di buku itu lah saya membaca cerita dongeng, Hukuman Karakoush. Tan Sri sendiri pernah quote cerita itu didalam suatu sidang akhbar lama dahulu. Saya doakan Tan Sri sekeluarga sentiasa dipelihara Allah.

Mustapha

IES Agencies said...

Tan Sri nak tanya skit pendapat tentang kes ling liong sik

masam-masam manis said...

tan sri apadah jadi dengan MAYC.baca sorat habak pagi tadi.awat jadi kalot lagi.tang mana pula tak betoi.

edinboy said...

Salam TS,

I think both "Tangga Kenari 1000 Tahun" and "Tangga 1000 Kenangan" as well as other projects that were built for the betterment of the people have to be popularised again at the national level.

Bustanul Bey said...

Salam TS,

Saya memahami niat murni TS dlm mempromosikan sukan sebagai pengerat silaturranim antara umat Malaysia, & saya berpegang teguh padanya spt TS juga. Tetapi dlm soal peribadi Alubunmi yg telah dikaitkan dgn isu zina (dimana saya tidak pasti kesahihannya, yg saya percaya TS lebih mengetahuinya), tidak boleh dicampur adukkan dgn soal professionalism krn ia merupakan 2 perkara yg berbeza. Pendekatan yg diambil pada hemat saya, haruslah dilakukan oleh badan yg berkaitan, ianya tidak boleh dicampur adukkan dgn bolasepak. Saya beranggapan yg TS sebenarnya telah mengambil peluang tersebut utk menamatkan kontrak ke tiga - tiga pemain import tersebut atas kesalahan moral yg tidak ada kena mengena dgn soal professionalism di padang bola.

Tetapi saya bersetuju dgn pandangan TS, utk menengengahkan bakat tempatan, bahawa pemain tempatan juga dpt bersaing dgn pemain import. Hasilnya, spt yg TS juga tahu, mutu permainan & keputusan pasukan bolasepak Kedah merudum selepas itu (saya tidak berniat menuding jari terhadap TS krn berpendapat ia merupakan part & parcel dlm setiap pengurusan pasukan sukan krn berpandangan setiap pengurusan sukan mempunyai arah tuju masing - masing).

Hanya sekadar pandangan peribadi saya. Sekian terima kasih kpd TS.

challes said...

Terimakasih atas undangan TS untuk silaturahmi Idul Fitri,kebeneran saya sudah di rumah dengan keluarga, saya dan ayah membuat satu posting-an, berikut link nya http://ikmi.unisel.edu.my/index.php/en/article.html

challes said...

Salam,
Tansri, ini adalah link ke dua untuk artikel yang telah di post kan

http://ikmi.unisel.edu.my/index.php/en/article.html

Anonymous said...

Hingga sekarang Tangga Kenari 1000 masih berfungsi, tetapi laluannya agak menakutkan, sebab hutan tebal amat berdekatan tangga yang di bina dengan anisiatid TSri. Apa pun binaannya masih di gunakan oleh peserta-peserta kursus di Pusat Latihan 'D Yan Chele'.

Mengingati masa pembinaannya, ada orang mengatakan TSri ni macam nak bina Tembok Cina yang akhirnya sekarang menjadi tempat pelancungan, walau pun Tangga Kenari tidak begitu terkenal saperti Tembok Cina. Demikianlah Tangga Kenari 1000 tahun.