(Ucapan Penutup Presiden IMAM dan Aceh Club dalam Persidangan ADIC 2011 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor Darul Ehsan pada 27hb Mac, 2011 jam 9 malam)
SAMBUTAN
Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh
Saudara Pengerusi Majlis,
Dif-dif terhormat,
Para Peserta Persidangan ADIC ke 2 yang dihormati sekalian.
1. Terima kasih atas kesudian penganjur menjemput saya untuk menutup persidangan pada malam ini.
2. Saya bersetuju dengan tajuk ucapan yang diberi, kepada saya untuk majlis pada malam ini, iaitu 'Aceh is My Village' tetapi tajuk ini tidaklah mengikat atau membataskan saya untuk bercakap mengenai sejarah Kampung Aceh di Yan, Kedah.
3. Persetujuan saya untuk turut serta dalam persidangan ini, atau dalam apa jua persidangan, atau diskusi yang dianjur oleh siapa saja, mengenai Aceh ialah kerana Aceh, adalah tempat atau 'kampung' dari mana datangnya ayah dan keluarga ibu saya.
4. Di dalam ucapan saya ini pasti saudara yang hadir akan mendapati ada perkara-perkara yang saya bangkitkan lagi yang pernah saya huraikan di dalam forum, seminar atau persidangan yang lain. Ini adalah pertanda perkara-perkara ini saya fikirkan penting untuk selalu diwarwarkan kerana kesan darinya belum kelihatan pada pedengar.
SEJARAH ACEH SEBAGAI SUMBER INSPIRASI
5. Aceh mempunyai sejarah yang cukup kaya dengan keaiban dan kegemilangannya.
6. Sejarah Aceh boleh dijadikan sumber inspirasi, pengajaran, tauladan dan sempadan, bukan sahaja untuk rakyat Aceh masakini, tetapi juga kepada semua kaum dan bangsa dalam rumpun Melayu di Nusantara dan umat Islam di seluruh dunia.
PERANAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
7. Pada kesempatan ini saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak UKM yang begitu prihatin terhadap Aceh sejak berlakunya Tsunami sehingga sekarang.
8. Bagi pihak Ikatan Masyarakat Aceh Malaysia (IMAM) saya ucapkan terima kasih kepada UKM yang pernah menjadi sponsor dan tuan rumah kepada persidangan, anjuran BAKADMA (Badan Kebajikan Pendidikan Mahasiswa Aceh) dan Persatuan Kakitangan Akademik UKM (PKAUKM) yang dinamakan PAPA (Persidangan Antarabangsa Pembangunan Aceh) yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Kamaruddin M. Said pada tahun 2006.
9. PAPA kedua telah dikembalikan penganjurannya kepada Universiti Malikussaleh di Lhokseumawe, Aceh, untuk diteruskan pada tahun 2007.
10. Tarikh yang dipilih untuk persidangan terikat kepada kejadian Tsunami pada 26 Disember.
11. Walau pun program PAPA terakhir diadakan di UniMal, tetapi terdapat juga persidangan dan seminar, dengan tujuan dan tema yang mirip, diadakan oleh berbagai pihak masyarakat Aceh di venue yang berlainan, di Indonesia, sempena memperingati kejadian Tsunami.
ACEH DEVELOPMENT INTERNATIONAL CONFERENCE
12. Apabila Aceh Club, sebagai sebuah persatuan yang ditubuhkan di Kuala Lumpur, tetapi pendukungnya tidak terbatas kepada masyarakat Aceh di Malaysia saja, seperti IMAM, atau masyarakat Aceh diaspora, dijemput untuk turut sama menganjur persidangan ADIC pertama di Universiti Putra Malaysia pihak kami bersetuju jika -
a) kertas-kerja untuk persidangan dibebaskan untuk semua pihak, dalam berbagai bahasa, dari mana sahaja yang berminat mengenai pembangunan Aceh,
b) pembicara dan pembentang kertas kerja dibuka, dalam batasan waktu yang ada, tetapi tidak terbatas untuk mana-mana pihak,
c) peserta persidangan dibolehkan dari kalangan yang berbeza pendapat dan pandangan,
d) persidangan diadakan bukan untuk memperingati bala Tsunami tetapi untuk memperingati bala yang lebih awal yang pernah menimpa Aceh dengan tercetusnya Perang Aceh pada 26 Mac, 1873, iaitu 138 tahun yang lalu.
KEJAYAAN ACEH MEMBUNUH PEMIMPIN PERANG BELANDA
13. Selepas pengisytiharan Perang Aceh pada 26 Mac, 1873, pihak Aceh berjaya, 19 hari kemudian, membunuh Jenderal Kohler pada 14 April, 1873 sebagai satu-satunya Jenderal Belanda yang kecundang di luar negaranya.
SILATURRAHIM DENGAN YANG AMAT BERBAHAGIA TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD
14. Kerana ketetapan tarikh, yang tidak boleh berganjak inilah, maka satu Seminar Khusus akan diadakan atas nama International Association of Aceh Scholars (IAAS) dan Aceh Club pada 27 April, 2011 kerana Tun Dr. Mahathir, yang dijemput untuk majlis ADIC 2011, berada di Argentina pada hari ini.
PENASIHAT PEMBANGUNAN EKONOMI BAGI NANGGROE ACEH DARUSSALAM
15. Satu salinan kumpulan ucapan Yang Berhormat Menteri Dr. Ir. Mustafa Abu Bakar, yang saya bertanggungjawab menjemputnya ke majlis ini; Yang Amat Berhormat Gabenor Aceh Drh. Irwandi Yusuf; Yang Berhormat Dr. Ahmad Farhan Hamid, Timbalan Ketua Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Republik Indonesia, Yang Berbahagia Datuk Bandar Banda Aceh Ir. Mawardy Nurdin dan semua kertas kerja yang dibentang dalam ADIC 2011 akan saya serahkan kepada Tun Dr. Mahathir pada 27 April, 2011 di Dewan Memorial Tun Hussein Onn di Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur, sebagai bukti 'ideas for Aceh' tidak ada batasnya.
16. Papers atau 'kertas-kerja' yang disediakan untuk persidangan ADIC yang pertama, yang diadakan di Universiti Putra Malaysia pada 26 Mac, 2010 juga sudah saya serahkan kepada Tun Dr. Mahathir sebagai seorang tokoh yang paling dihormati di seluruh negara Islam.
17. Saya yakin Tun Dr. Mahathir berkemampuan menjadi penasihat kehormat bagi Aceh, ke arah pembangunan yang lebih lancar, di masa akan datang, jika diminta.
18. Saya mengetahui nasihat Tun Dr. Mahathir sangat dihargai oleh banyak negara yang sedang membangun di dunia ini.