Wednesday, March 2, 2011

PERUBAHAN SIKAP KE ARAH KEMAJUAN

'ALLAH TIDAK AKAN MERUBAH NASIB SESUATU KAUM KECUALI KAUM ITU MERUBAHNYA SENDIRI'

MERUBAH NASIB

1. Di dalam ceramah-ceramah motivasi kita sering mendengar pakar motivasi menaikkan semangat pendengar untuk mempunyai cita-cita supaya merubah kedudukan ke arah lebih baik. Jika seseorang itu sudah puas hati dalam keadaannya yang ada maka nasib beliau tidak akan berubah untuk menjadi bertambah baik.

MENCARI PEKERJAAN BARU

2. Setelah seseorang itu menjadi bersemangat untuk merubah diri menjadi bertambah baik sering berlaku dia akan mencari pekerjaan baru jika dia fikirkan pekerjaannya itu tidak berpotensi baginya. Dia salahkan pekerjaan.

BERTUKAR MAJIKAN

3. Sering juga seseorang yang sudah berkeinginan untuk merubah nasibnya merasakan beliau tidak diberi kedudukan yang baik kerana majikan tidak bersimpati dengannya dan bukan kerana ada kekurangan padanya. Dia salahkan majikan.

BERTUKAR DARI PEKERJA MENJADI MAJIKAN

4. Seseorang yang sudah bermotivasi tinggi juga biasa merasakan tidak lagi mahu menjadi seorang yang bekerja untuk orang lain sebaliknya ingin mencuba untuk mengendalikan perniagaan sendiri dan terus menjadi seorang majikan. Dia salahkan kedudukannya.

BERTUKAR PERSEKITARAN

5. Ada juga yang merasakan kegagalannya untuk mendapat kedudukan yang baik ialah disebabkan oleh persekitaran yang tidak membantu. Dalam keadaan begini dia akan berpindah ke tempat lain seperti seorang yang berpindah dari kampung ke bandar kerana merasakan peluang untuknya di bandar lebih baik. Dia salahkan persekitaran.

PENGALAMAN PAK CIK

6. Pak Cik ialah seorang kawan persekolahan saya di waktu kecil dan belajar di Sekolah Melayu Yan waktu tinggal di Kampung Teluk Mat Aceh, Pekan Yan, Kedah. Saya berjumpa beliau beberapa tahun yang lalu sedang menjual ikan di Chow Kit Road. Beliau telah mengisahkan pengalamannya berpindah dari Yan ke Guar Chempedak, ke Sungai Petani, ke Ipoh dan seterusnya ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki yang lebih kerana beliau mengharapkan dengan berubahnya persekitaran maka akan berubahlah nasibnya. Ternyata Pak Cik masih menjual ikan walau pun sudah berpindah-randah ke beberapa kota besar. Beliau berpendapat peluang menambah rezeki akan bertambah baik jika kotanya bertambah besar.

PENGALAMAN DI OUTWARD BOUND SCHOOL SCHOOL 

7. Di waktu saya menjalani kursus di Outward Bound School di Lumut pada tahun 1962 saya telah teseliuh sendi tangan kanan waktu bergantung di tali antara dua batang kayu. Saya dibenarkan oleh Warden Mr. Kwan dan jurulatih Allen untuk bersiar keluar pusat latihan di waktu kawan-kawan sedang mendayung dari Lumut mengelilingi Pulau Pangkor.

PERTEMUAN DENGAN AH LING

8. Saya telah melalui satu kawasan di mana Ah Ling memelihara beberapa ekor babi di kandangnya. Saya dapati Ah Ling juga berasal dari pekan Yan yang sama dengan saya walau pun yang bernama Ah Ling di Yan ialah peniaga kedai runcit. Saya tanya pada Ah Ling sebabnya beliau berada di Lumut. Katanya 'gua tak pandai tapi babi lagi tak pandai'. Saya keliru dan tidak faham maksud Ah Ling kerana siapa pun tahu manusia lebih pandai dari binatang. Saya tidak lama bercakap dengan Ah Ling tetapi, oleh kerana kursus saya di OBS tidak tamat kerana seliuh tangan maka saya telah pergi lagi ke OBS pada tahun 1964 di waktu saya sedang menjalani latihan di The Chartered Bank, Seremban.

KALI KEDUA DI OUTWARD BOUND SCHOOL

9. Dari perbincangan dengan Ah Ling, pergaulan dan pembacaan saya seterusnya saya dapati budaya China mengaitkan 'ilmu dengan kekayaan atau kesenangan. Ah Ling pernah tinggal dengan bapa saudaranya di Kuala Lumpur tetapi katanya 'tak boleh cari makan' lalu dia pindah ke Ipoh. Dari Ipoh dia pindah ke Sitiawan pun 'susah cari makan pasal di sana orang pandai-pandai' tetapi apabila dia pindah ke Lumut dan memelihara babi dia menjadi kaya kerana katanya kepada saya dalam pertemuan pertama bahawa 'babi tak pandai'.

CHINA LEBIH PANDAI BERNIAGA DARI MELAYU DI KAMPUNG

10. Dengan itu kita dapat memahami bagaimana peniaga runcit China boleh berjaya hidup di kampung, sebagaimana yang dikisahkan oleh Sasterawan Negara Dato' Abdullah Hussain di dalam bukunya Interlok, iaitu ilmu mereka dalam bidang perniagaan dan ekonomi lebih dari ilmu yang ada pada orang-orang Melayu di kampung.

GUNTING RAMBUT

11. Baru-baru ini saya telah pergi ke sebuah kedai Melayu untuk gunting rambut. Saya tanya padanya bagaimana bisnes beliau sepanjang 4 tahun bergunting rambut. Beliau menyatakan telah memulakan usaha gunting rambut setelah berhenti menjadi askar kerana beliau tidak dapat memperolehi lesen teksi. Bila saya tanya bagaimana hidup beliau sebagai askar selama berpuluh tahun sebagai perajurit. Beliau menyatakan terpaksa menjadi askar kerana tidak berjaya permintaan menjadi guru. Berertilah beliau menjadi perajurit kecewa dan kini menjadi seorang tukang gunting yang kecewa juga kerana tidak dapat menjadi pemandu teksi.

NAIK TEKSI

12. Beberapa bulan yang lalu saya telah naik teksi dari Mont' Kiara untuk balik ke Bangsar. Saya telah berhenti di Bangsar Shopping Center. Oleh kerana keadaan trafik terlalu sesak maka saya sempat berbincang dengan pemandu teksi itu berbagai tajuk dari politik sehingga pendidikan kanak-kanak sekarang. Antara tajuk yang menarik ialah kisah seorang guru sekolah rendah yang menceritakan banyak murid-murid dalam kelasnya tidak pandai bahasa Melayu kerana emak dan bapa di rumah bercakap dalam bahasa Inggeris. Bahasa Melayu yang dituturi oleh anaknya ialah Bahasa loghat Indonesia. Kalau pelajar-pelajar yang bukan Melayu pula bercakap bahasa Inggeris pun pilat Amerika kerana pekerja rumahnya orang Filipina. Bila tajuk perbincangan berpindah kepada profesyennya sebagai pemandu teksi dia pun mengeluh kerana dia gagal mendapat pinjaman bank untuk membaiki rumahnya di kampung untuk projek home-stay. Dia memang pemandu teksi tetapi tidak pernah mendapat lesen sendiri dan terus menyewa lesen orang kuat UMNO. Pendeknya dia adalah seorang pemandu yang kecewa.

KEKECEWAAN SEORANG GURU

13. Saya berjumpa dengan seorang guru pencen yang pernah belajar bersama saya di Ibrahim School Sungai Petani. Walau pun beliau seorang guru yang baik tetapi dia tetap kecewa kerana permohonan biasiswa untuk menjadi doktor telah tidak berhasil. Sambil bergurau dia menyatakan, ' kalau aku dapat jadi doktor dulu mungkin aku sudah menjadi seorang ahli politik yang terkenal seperti Tun Dr. Mahathir.'

AHLI POLITIK YANG KECEWA

14. Terlalu ramai saya berjumpa dengan ahli-ahli politik yang kecewa kerana hanya sampai ke peringkat menjadi Ketua UMNO Bahagian sahaja dan tidak berjaya menjadi Wakil Rakyat. Wakil Rakyat pula banyak yang kecewa kerana merasakan diri lebih layak dari Setiausaha Parlimen yang menjawab soalannya di dalam Parlimen. Yang jadi Setiausaha Parlimen dan Timbalan Menteri juga banyak yang kecewa kerana tak dipilih menjadi Menteri. Malah yang jadi Menteri juga banyak yang kecewa kerana portfolio yang diperolehinya bukan yang beliau minati. Sudah tentu yang menjadi Timbalan Perdana Menteri dan tak sempat jadi Perdana Menteri kerana salah tingkah atau sibuk dengan amalan maksiat yang membawa kepada padah yang buruk yang merasakan jika jadi Perdana Menteri pasti lebih 'terror' dari Tun Dr. Mahathir.

SIKAP BEGINI BUKAN HANYA MONOPOLI MELAYU DI MALAYSIA

15. Sikap seperti ini tidaklah menjadi monopoli orang Melayu di Malaysia sahaja. Rakyat Indonesia dari rumpun Melayu juga begitu. Di Aceh, umpamanya, tidak kurang peminat untuk menjadi wakil rakyat dan Gabenor sedangkan perubahan tokoh politik dan pentadbiran tidak semestinya merubah nasib rakyat jika tokoh politik dan pentadbiran itu tidak merubah sikap mereka.

SIKAP POSITIF PADA BANGSA DAN RUMPUN MELAYU

16. Dengan terdedahnya beberapa sikap negatif di atas tidaklah bererti bangsa Melayu tidak mempunyai sikap positif sama sekali. Tujuan artikel kali ini bukanlah untuk menonjol sikap positif yang ada pada bangsa Melayu kerana sikap positif itu tidak perlu diubah dan hanya perlu dikekalkan. Pendedahan sikap negatif ini bertujuan untuk menyedarkan orang-orang Melayu adanya sikap yang merugikan bangsanya supaya dapat diubah atau dibaiki.

SIKAP NEGATIF PADA BUKAN MELAYU

17. Artikel ini juga tidak menurunkan sikap negatif yang ada pada bukan Melayu kerana sikap begitu tidak perlu dicontohi oleh orang-orang Melayu. Sikap positif yang ada pada bukan Melayu diturunkan supaya ianya menjadi contoh kepada orang-orang Melayu untuk diteladani.

TUKANG CUCI KASUT DI LAPANGAN TERBANG CHICAGO

18. Pada tahun tujuh puluhan saya telah singgah di lapangan terbang Chicago dalam perjalanan ke Kalamazoo untuk bertemu dengan pelajar-pelajar Melayu di Universiti Michigan. Saya berkesempatan melihat seorang pencuci kasut berdepan dengan apa yang kelihatan sebagai mimbar mesjid sebagai tempat duduk pelanggannya apabila kasutnya hendak dikilatkan. Pencuci kasut ini menegur saya 'How are you my King. Be on the throne for me to polish your shoes.' Saya tersenyum saja tetapi mengelak dari naik ke mimbar.

19. Sejurus kemudian seorang pelanggan telah naik ke mimbar dan Joe yang berkulit hitam telah menggosok kasutnya sambil menyanyi lagu Elvis Presley bertajuk 'Hound Dog'. Habis menyanyi dengan bersemangat sambil menggilapkan kasut Joe bertanya samaada pelanggannya berminat dengan mana jua penyanyi. Apabila disebut saja nama Frank Sinatra, Joe pun terus menyanyi lagu 'My Way' iaitu lagi kegemaran Tun Dr. Mahathir.

20. Habis tugas saya sempat bertanya Joe mengenai pekerjaannya dan dia dengan bersemangat menjawab 'Inilah pekerjaan yang terbaik di dunia. Aku tidak akan mahu kerja lain.' Bagi soalan selanjutnya Joe menyatakan bahawa beliau pernah menggosok kasut  'Jimmy Carter, John F. Kennedy dan Richard Nixon dan beliau juga kenal Rock Hudson, Ronald Reagan dan Schwarzenegger' yang semuanya memanggil beliau dengan nama Joe setiap kali mereka melihat dia. 'Saya tidak mungkin dikenal secara peribadi oleh ahli-ahli politik dan bintang-bintang filem jika saya bekerja dengan pekerjaan lain.' Joe bangga menjadi tukang kasut.

PEMANDU LIMOSIN

21. Bila saya sampai di Los Angeles pada awal tahun lapan puluhan saya ditunggu oleh seorang pegawai kerajaan Amerika Syarikat dan terus dibawa masuk ke dalam sebuah limosin. Belum sempat saya duduk pemandu limosin telah memainkan lagu 'Bengawan Solo' untuk saya dengar. Saya juga diberi tuala sejuk dan sebotol minuman 'Avian'. Selesai rakaman Bengawan Solo dimainkan barulah pemandu meminta pengesahan kepada saya samada saya dari Indonesia, Malaysia atau Brunei. Apabila saya jelaskan dari Malaysia maka beliau terus memainkan tape rakaman lagu P. Ramlee yang saya sudah lupa namanya. Dalam percakapan saya dengan pemandu jelas sekali beliau begitu bangga menjadi pemandu limosin yang dimilikinya. Katanya 'saya ada 8 limosin dan saya selalu memandu satu darinya untuk mendapat kesempatan berkenalan dengan tetamu dari negara yang berbeza-beza. Saya banyak mengenali tetamu dan ada diantara mereka telah saya kunjungi bila saya bercuti di negara berkenaan.' Beliau bangga dengan profesyennya sebagai pemandu dan mengambil kesempatan untuk mempelajari 8 bahasa asing selain dari bahasa Inggeris.

PEMANDU YANG KAYA

22. Begitu juga dengan John Williams yang berlakun sebagai Thomas yang menjadi pemandu kepada keluarga Larrabee dalam filem bertajuk 'Sabrina'. Saya menonton filem ini di dalam kapalterbang dalam perjalanan ke Eropah di satu masa dulu. Sabrina ialah anak Thomas yang dilakunkan oleh Audrey Hepburn pada tahun 1954 dan oleh Julia Ormond dalam filem terbitan ulangannya pada tahun 1995. Dalam filem ini yang menarik perhatian saya ialah sebabnya Thomas memilih untuk menjadi pemandu iaitu kerana beliau mempunyai dua kesukaan iaitu membaca dan membeli saham di pasaran saham. Dengan menjadi pemandu kepada keluarga Larrabee yang kaya itu beliau mempunyai banya masa untuk membaca kerana masa yang digunakan untuk memandu dari rumah ke pejabat-pejabat hanya 10 peratus dari masa bekerja. 90 peratus masa lapang boleh digunakan untuk membaca buku.

23. Waktu memandu Thomas juga dapat mendengar perbincangan mengenai prestasi syarikat-syarikat yang dibincangkan oleh David dan Linus Larrabee antara sesama mereka atau antara mereka dengan teman usaha dalam perjalanan dengan limosin yang Thomas pandu. Thomas dapat membeli saham dengan bijak kerana maklumat yang beliau dengar waktu sedang memandu.

24. Apabila anak Thomas, Sabrina, dipermain-mainkan oleh David dan Linus, Thomas menyatakan Sabrina tidak perlu memikirkan soal kewangan dalam mengendalikan hidup kerana Thomas mempunyai cukup harta saham yang terkumpul yang dapat menjamin masa depan Sabrina. Thomas bangga dengan profesyennya sebagai pemandu.

TUKANG GUNTING DI PARIS

25. Saya pernah diajak oleh seorang kawan sepersekolahan, yang cukup kaya, untuk bergunting rambut di salon Vidal Sassoon di Paris. Waktu di dalam salon itu saya terbaca buku kecil mengenai pengasas usaha Vidal Sassoon ini. Saya kagum bagaimana dengan minatnya dengan profesyen gunting rambut Vidal Sassoon boleh berlatih dan mengasah bakatnya dari seorang pelarian Yahudi di London yang telah berhenti dari sekolah pada umur 14 tahun dan bekerja sebagai pembawa surat sebelum menjadi pelatih di kedai gunting rambut sehingga menjadi kaya raya, dan namanya terkenal di seluruh dunia, sedangkan di Malaysia tukang gunting tidak dianggap satu pekerjaan yang membolehkan seseorang menjadi kaya-raya.

GIGIH MENJALANKAN KERJA YANG ADA

26. Oleh itu sementara seseorang itu sememangnya perlu mempunyai cita-cita untuk memperbaiki mutu hidupnya bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga dalam berbagai aspek penghidupan, kesedaran perlu wujud bahawa di dalam apa jua bidang pekerjaan yang kita ceburi yang membezakan antara yang berjaya dengan yang gagal ialah sikap yang ada pada penyandang profesyen itu.

27. Alangkah hebatnya bangsa kita jika apa jua tugas yang dipertanggungjawabkan kepada kita, kita dapat melaksanakan dengan penuh minat dan bersungguh-sungguh.

PENJAGA PINTU

28. Di sebuah bangunan mencakar langit di Bandaraya New York ada seorang penjaga pintu berkulit hitam yang telah berkerja di situ selama 25 tahun. Beliau dipanggil dengan nama Charlie sahaja. Di depan bangunan tinggi itu, di sebelah kiri pintu masuk yang dijaga oleh Charlie, ada sebuah kedai tembakau yang menjual curut dari Havana, Cuba yang diseliakan oleh seorang berketurunan Hispanik bernama Robert.

29. Sepanjang Robert bekerja menjaga kedai tembakau itu selama lebih 10 tahun beliau melihat sekitar pukul 9.30 pagi seorang yang berbadan tinggi segak dan berkulit putih masuk ke dalam bangunan melalui pintu yang dijaga oleh Charlie. Charlie tidak pernah terlupa mengucapkan 'selamat pagi tuan' padanya pada setiap pagi. Yang anehnya Robert tidak pernah nampak orang putih itu menjawab balik ucapan selamat pagi itu, walau sekali pun pada sepanjang masa.

30. Pada suatu hari Robert terdengar Charlie mengucapkan 'Selamat pagi tuan dan mohon ma'af jika saya ada membuat apa-apa kesalahan kepada tuan.' Orang putih itu tidak juga menjawab. Apabila Charlie bertemu dengan Robert untuk mengucapkan terima kasih kerana mengenalinya sepanjang masa Robert berkerja di kedai tembakau itu lantas Robert mengambil kesempatan bertanya pada Charlie kenapa dia tidak letih-letih memberi ucapan selamat pagi, dan selamat petang di waktu orang putih itu meninggalkan pejabatnya, walau pun ianya tidak berjawab. Charlie menjawab, 'Ibuku telah mengasuh aku dengan amalan yang baik untuk menghormati semua orang yang patut dihormati. Tuan Besar yang masuk keluar melalui pintu yang aku jaga telah tidak diajar oleh ibu-bapanya untuk menghormati orang yang menghormatinya. Jika aku berhenti memberi salam selamat pagi dan selamat petang kepada tuan besar itu semata-mata kerana dia tidak menjawabnya berertilah aku tidak mematuhi ajaran ibuku, sebaliknya aku berguru dengan Tuan Besar yang tidak berbudi bahasa itu. Aku memilih ibuku sebagai guruku.'  Begitulah sikap orang yang berprinsip yang patut dicontohi.

31. Kita perlu ubahkan sikap kita dari negatif kepada positif dan mencontohi sikap yang baik dari siapa jua kerana 'Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu merubahnya sendiri'.

9 comments:

Saiful Perlis said...

Salam Tan Sri,

Artikel yg cukup bernas utk motivasi diri yg kadang2 ramai orang mungkin memerlukannya (termasuklah saya)

Teruskan menulis pengalaman Tan Sri utk tatapan generasi seterusnya. Kutuk pun takpa demi kenaikan!

Teringin sangat nak bersembang panjang dgn Tan Sri kiranya Tan Sri sudi.

Tq.

saifultechart@gmail.com



Tq.

Saiful Perlis said...

Ralat

Kebaikan bukan kenaikan!

Abu said...

Salam Tan Sri,

Terima kasih dan tahniah dengan artikel yang menarik ini. Terasa bagai Tan Sri menampar saya dan saya tersedar kerananya.

Teruskan menulis.

Anonymous said...

Terima kasih Tan Sri... Terkena batang hidung saya. Tepat masanya saya begitu memerlukan pedoman.
Waktu belasan tahun begitu sekali semangat dan bertenaga, sampai satu masa terasa lemah longlai hina tak bermaya takut dan malas nak fikir banyak-banyak. Terima kasih...

-az

MR. CAMPRO said...

Assalamualaikum Tan Sri,

Ralit sungguh membaca artikel Tan Sri.Sangat bagus dan menyedarkan.

Saya sungguh merindui ucapan-ucapan Tan Sri.

Harap Tan Sri dapat terus menulis untuk tatapan masyarakat. Terutama golongan muda.

Wassalam

Pok Li said...

Tq Sir

Anonymous said...

Assalamualaikum Tan Sri,
Saya tertunggu bila agaknya Tan Sri nak update blog ni.
Satu post yang amat menarik dan boleh dijadikan panduan untuk memuhasabah diri.
Terima kasih banyak-banyak.

Seti Mahanum

basri bin omar said...

Salam Tan Sri!
Tk paparan tu...saya guna utk motivate diri saya,anak2 dan pekerja2 di Sykt saya bekerja kini...
Pernah cerita pada TS ttg Tukang Gunting Rambut Aceh di Pasar Keramat masa kita berjumpa ..ziarah kematian Almarhumah Bonda Saudara Tuanku Sultan Perak d PJ tempohari.

hakim75 said...

terima kasih tan sri semoga apa yang tansri luahkan dalam blog ini menjadi renungan bagi pembaca. amin