Friday, December 2, 2011

MASTIKA: BAHAYA PENYAKIT GOLONGAN “BERLAGAK DALAM POLITIK”

Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Saudara Pembaca yang dihormati


Dalam komen-komen yang didapati dalam blog ini terdapat banyak kekaburan maklumat mengenai peribadi, pendapat, rancangan, projek dan prinsip yang dipegang, diamal dan dilaksanakan oleh TS Sanusi Junid, contohnya pandangan beliau mengenai kesetiaan. Oleh itu karangan terbitan Majallah Mastika keluaran bulan Mei, 1989 ini diturunkan untuk sekurang-kurangnya menjelaskan yang kabur dan sikap beliau yang sentiasa menyokong seseorang pejuang itu bukan atas watak pribadinya tetapi atas prinsip perjuangannya.

Keseluruhan karangan ini diterbitkan  dengan diberi tajuk yang relevan dengan isi paranya dan juga memberi nombor kepada setiap para supaya mudah untuk rujukan.
 

Selamat membaca.

Fahmi M. Nasir,
Penyelidik Perpustakaan Toeti Juairiah.

Temuramah Khas Dengan Datuk Seri Sanusi Junid (Mastika Mei 1989)

BAHAYA PENYAKIT GOLONGAN “BERLAGAK DALAM POLITIK”

Oleh Noritah Sulaiman

1. Sebut saja Datuk Seri Sanusi Junid, dengan pantas orang terus mengaitkannya dengan kempen-kempen yang diperkenalkan dan dijalankan. Kempen-kempen yang diperkenalkan sering menjadi bahan ketawa ramai.

2. Masakan tidak, pertandingan memanjat pokok kelapa, kempen makan ulam dan gerakan mengumpul tayar terpakai sebelum ini menjadi bahan gurauan orang ramai.

3. Bagaimanapun, ternyata, kempen-kempennya membuahkan hasil. Sejumlah 1 juta tayar terpakai berjaya dikumpul. Matlamat mengumpulkan 1.4 juta tayar terpakai hampir menemui kejayaan.

4. Makan ulam kini telah menjadi makanan utama bagi sebilangan penduduk negara. Malahan hotel-hotel terkemuka negara ini telah mula menghadapi masalah mendapatkan bekalan.

5. Hasrat unik dan impian indahnya untuk menjadikan Taman Pertanian Bukit Cherakah sebagai “Universiti Terbuka” bagi para pecinta alam pertanian kian hampir menjadi realiti.

6. Keunikan Datuk Seri Sanusi Junid lebih terpancar apabila beliau yang fasih berbahasa Tamil dan Jerman mengakui boleh mimpi dalam kedua bahasa tersebut.

7. Mastika baru-baru ini telah berkesempatan menemui beliau dan mengemukakan berbagai persoalan yang berkait dengan kementeriannya, isu-isu politik dan semasa.

8. Berikut adalah wawancara sepenuhnya Mastika dengan beliau.

KEBERKESANAN KEMPEN



KEMPEN MINUM AIR KELAPA MUDA

9. Kita kena lihat dari segi tujuan sesuatu kempen itu diadakan. Bila saya datang ke kementerian ini dulu, orang kata harga kelapa rendah. Ketika itu berpuluh juta ringgit subsidi telah diperuntukkan untuk sebahagian pekebun kecil kelapa yang masih berminat dalam bidang pengeluaran dan perniagaan kelapa.

10. Pada waktu itu saya lihat semua buku dan perbincangan-perbincangan sekitar masalah pekebun kecil kelapa menyatakan bahawa harga kelapa murah. Pokok kelapa perlu ditebang dan ditanam dengan pokok lain atau diselang-selikan dengan tanaman pokok koko. Bagaimanapun di setengah kawasan, tanahnya tidak sesuai untuk tanaman pokok koko.

11. Persoalan yang saya timbulkan ialah benarkah harga kelapa tidak boleh naik. Apakah kuasa yang menaik dan menurunkan harga satu-satu komoditi.

12. Daripada ilmu ekonomi yang mudah, turun naiknya harga sesuatu barang itu bergantung pada imbangan pengeluaran dengan permintaan.

13. Saya pun mula mengkaji dari segi permintaan. Saya lihat harga kelapa muda lebih tinggi daripada harga kelapa tua. Dalam tinjauan saya, kelapa muda masih banyak pasarannya dan saya mulakan kempen minum air kelapa muda supaya orang memetik buah kelapa sewaktu ia masih muda.

14. Bagi buah kelapa tua pula, sewaktu di Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, saya telah melancarkan program Karyaneka. Sekarang tempurung daripada kelapa tua pun boleh mendapat pasaran yang cukup baik.

15. Ini bermakna, kini telah wujud saingan antara kelapa tua dan kelapa muda. Jika dulu, kelapa tua tidak ada harga, kelapa muda ada harga, sekarang kelapa muda sudah naik harga, kelapa tua pun, jika dapat tempurungnya boleh dijual dengan harga yang mahal apabila telah menjadi kraf-tangan.

16. Dalam menyelesaikan masalah ini, saya tidak percaya pada buku atau pandangan yang menyatakan harga kelapa tidak boleh naik. Sekarang, tanpa sebarang subsidi, kita berjaya menjual kelapa dengan harga yang cukup lumayan.

KEMPEN MAKAN ULAM

17. Mengenai ulam pula, untuk meningkatkan pendapatan orang kampung, kita kena wujudkan pasaran bagi barang yang ada di kampung.

18. Bagi kelapa yang pasarannya ada, cuma tidak cukup laris, kita besarkan permintaan. Ulam pula, kempennya ialah untuk menggalakkan orang makan ulam. Kita perlu jadikan ulam sebagai satu makanan yang ‘glamorous’.

19. Jika selama ini makanan ulam dianggap sebagai hidangan orang kampung, kini kita perlu jadikan amalan memakan ulam sebagai makanan orang bandar. Makanan di hotel-hotel besar. Setelah kita adakan program makan ulam menjadi satu trend di Kuala Lumpur, kini telah timbul masalah tidak cukup bekalan ulam. Masanya telah sampai bagi orang kita mengadakan ladang-ladang untuk pokok-pokok yang daunnya boleh dimakan, dijadikan ulam.

KEMPEN MENGUMPUL TAYAR TERPAKAI

20. Tayar buruk atau terpakai, begitu juga. Masalah ini berkaitan dengan nelayan. Dahulu saya difahamkan, pekerjaan sebagai nelayan merupakan kerja orang miskin. Oleh itu keputusan yang dibuat ialah mengurangkan jumlah nelayan dan jika boleh menjadikan nelayan itu sebagai pak tani.

21. Di sini saya timbulkan soalan. Betulkah menjadi nelayan itu kerja orang susah. Kenapa bila seseorang itu menjadi nelayan, dia dikatakan orang susah.

22. Jawapan pada soalan ini ialah sebab bekalan ikan. Tetapi apakan benar bekalan ikan di laut tidak mencukupi, atau permintaan untuk ikan tidak ada.

23. Daripada kajian yang dibuat, kita tidak mempunyai masalah dalam mendapatkan permintaan atau orang makan ikan sebab kita import ikan daripada luar negeri hingga $330 juta pada satu ketika dahulu. Oleh itu permintaan ikan tidak perlu diragui, cuma yang tidak ada ialah bekalan ikan.

24. Tetapi, betulkah ikan tidak ada di laut. Jawapannya jika di sebelah pantai, memang ikan berkurangan, tetapi ikan banyak terdapat di laut dalam.

25. Kita membuat keputusan. Bukanlah yang menjadi nelayan itu miskin. Tetapi nelayan menangkap ikan di salah tempat. Oleh itu kaum nelayan perlu digalakkan memasuki laut dalam.

26. Jika hendak menggalakkan orang masuk ke laut dalam, dari mana pula datangnya modal. Sama ada mahu atau tidak, kita terpaksa menggalakkan pelabur-pelabur menerokai laut dalam dan nelayan boleh mendapat pekerjaan.

27. Apabila ikan ditangkap daripada laut dalam, dengan sendirinya import boleh dikurangkan atau eksport lebih daripada import.

28. Ini bagi menyelesaikan masalah bekalan ikan dalam negara. Bagaimana pula dengan masalah nelayan-nelayan pantai yang sebahagiannya tidak diberi lesen sebab kita berpendapat nelayan perlu dikurangkan.

29. Saya fikir strategi yang patut diambil bukan mengurangkan nelayan tetapi memperbanyakkan ikan.

30. Bagaimana pula caranya. Kita adakan unjang yang lebih dan wujudkan tukun-tukun tiruan. Apabila saya semak, saya dapati 53 buah tukun memerlukan kira-kira 1.4 juta tayar. Sekarang kita telah mengumpulkan 1 juta tayar terpakai. Mungkin dalam masa tujuh atau lapan bulan lagi kita akan sampai kepasa angka 1.4 juta.

31. Bila telah sampai kepada angka 1.4 juta tayar terpakai, kita tidak akan berhenti. Kita akan tambah lagi jumlah tukun dan tayar yang mempunyai banyak kegunaan selain daripada dibuat tukun seperti untuk menjaga hakisan pantai.

32. Idea baru ini berikat-ikat. Bila orang telah berminat pada tayar, orang akan  mula berfikir mengenai apa yang boleh dibuat dengan tayar.

33. Ini bermakna bahawa menjadi nelayan itu miskin adalah salah. Anggapan bahawa kita harus kurangkan nelayan tidak betul. Apa yang perlu diusahakan ialah menambah ikan dan menggalakkan orang meneroka ke laut dalam.

34. Jika tidak boleh sekarang, saya yakin dalam masa lima atau enam tahun akan datang ramai orang akan meneroka laut dalam sebab terdapat banyak ikan di laut dalam.

BELIA - ILMU ASAS KEJAYAAN

35. Jika seseorang belia itu telah berada untuk beberapa ketika di bandar dan beroleh sedikit kejayaan dengan usahanya di bandar, dia akan menjadi lebih berjaya apabila balik ke kampung.

36. Sebaliknya jika dia tidak berjaya langsung di bandar, satu-satunya peluang baginya ialah balik ke kampung.

37. Mengikut kepercayaan orang Jerman, apabila seseorang itu mempunyai banyak ilmu, dia akan menjadi lebih mewah. Ini bermakna jika seseorang itu gagal dalam hidup berekonomi di satu-satu tempat, dia perlu melihat pada keadaan dirinya dan juga keadaan persekitaran.

38. Dia harus membuat pilihan sama ada menambah ilmu supaya menjadi lebih berilmu daripada masyarakat sekelilingnya atau berpindah tempat dan tinggal di kalangan masyarakat yang kurang canggih daripadanya.

39. Jika kita perhatikan masyarakat Cina, apabila dia tidak berkemampuan, dia pergi ke kampung Melayu untuk menjayakan dirinya sebab dia yakin dia lebih mengetahui dan dapat mengatasi kemampuan masyarakat yang ada di kampung itu. Jika dia masih tidak berjaya di kampung itu, dia akan pergi ke kawasan yang lebih pedalaman hingga kadangkala kita lihat terdapat orang bangsa Cina tinggal seorang diri, menanam sayur.

40. Apabila seseorang bangsa Cina itu berjaya di peringkat kampung, ia lama-kelamaan akan mula meneroka di bandar-bandar kecil dan akhirnya pergi ke bandar besar.

41. Berbeza dengan perangai orang Melayu. Apabila gagal di kampung, mereka menuju ke bandar. Di bandar keadaan mereka biasanya tidak begitu hebat sebab cabaran di bandar lebih dahsyat daripada di kampung. Maka wujudlah di dalam bandar, orang-orang Melayu yang berpendidikan rendah sebab mereka tidak dapat menguasai masyarakat sekeliling mereka.

42. Dalam keadaan demikian, mereka mempunyai dua pilihan iaitu menambah ilmu dan pengalaman atau balik kampung sebagai satu tindakan yang lojik sebab mereka tidak boleh berada dalam satu masyarakat di mana ilmu dan pengalaman pada masyarakat itu keseluruhannya lebih pada mereka. Mereka tidak mungkin menjadi orang senang dalam masyarakat sedemikian.

43. Apabila sudah banyak berilmu, seseorang itu akan menjadi lebih senang, sebaliknya jika kurang berilmu dia akan menjadi susah.

44. Di kota seseorang itu kekal susah sebab dia tidak dapat meningkatkan ilmu, lebih daripada sebahagian orang sekitarnya. Sebagai contoh jika seseorang itu membuka kedai runcit di satu tempat di mana pelanggan lebih cerdik daripada peniaga, akhirnya peniaga tersebut akan jatuh muflis apabila pelanggan tidak membayar hutang. Sebaliknya jika peniaga cerdik daripada pelanggan, dia boleh menjadi seorang yang senang.

45. Oleh itu para belia perlu mengubah sikap dan menambah ilmu dan pengalaman. Dalam soal ini kementerian terpaksa menggunakan pihak media massa dan media elektronik untuk memberitahu orang ramai akan peluang-peluang yang ada di kampung.

MARAH JIKA DIPAKSA UNTUK MENJADI SENANG

46. Kita tidak boleh memaksa orang membuat sesuatu walaupun untuk dia menjadi senang sebab orang itu akan marah.

47. Peluang itu ada, lebih-lebih dalam keadaan sekarang di mana harga barang-barang makanan meningkat. Satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah ini ialah untuk menambah atau memperbanyakkan pengeluaran.

48. Para belia yang berada di kota harus membezakan antara melihat kemudahan dengan menikmati kemudahan.

49. Saya fikir mereka lebih banyak melihat pada kemewahan dan kemudahan. Mereka sebenarnya tidak menikmati kemewahan, umpamanya, mereka melihat hotel-hotel besar tetapi jarang makan di hotel-hotel besar ini. Mereka melihat pada barangan mewah yang dijual di kedai-kedai tetapi tidak membeli atau memiliki barang yang mahal harganya ini.

50. Ini bermakna, yang menarik di kota hanya dari segi penglihatan. Sebaliknya, jika mereka balik kampung, mungkin pada suatu masa kelak, mereka boleh datang ke pekan dan memiliki barangan mewah yang dilihat selama ini, tidak sekadar melihat sahaja.

PERANAN MEDIA DAN PEGAWAI

51. Kesedaran ini terpaksa ditanam melalui media massa dan elektronik. Pihak media perlu memainkan peranan dalam mendorong orang ramai meneroka bidang pertanian. Di radio, umpamanya, boleh diselang-selikan antara lagu-lagu permintaan dengan peluang-peluang yang ada di kampung.

52. Kementerian Pertanian turut menjalankan kempen-kempen di mana pegawai-pegawai memberi penerangan di seluruh negara. Tetapi apabila orang itu berada di kota, biasanya dia tidak langsung beralih berjumpa pegawai-pegawai di kota sebab dia memang tidak ada niat untuk balik kampung.

53. Kita masih kekurangan pekerja. Dalam bidang perikanan saja, Persatuan Nelayan sudah mulai mendesak supaya penggunaan nelayan asing dibenarkan bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga. Begitu juga dengan ladang getah, memerlukan tenaga asing. Ini tidak termasuk betapa banyak tanah terbiar yang boleh diusahakan bagi memenuhi pasaran yang memerlukan lebih banyak barang.

54. Jika dahulu, umpamanya kita terpaksa import barang daripada luar negeri sebab murah tetapi sekarang dengan kejatuhan ringgit Malaysia, barang yang dahulunya murah daripada luar negeri telah menjadi mahal.

55. Ini patut ditafsirkan oleh para belia dan beliawanis sebagai satu peluang bagi mereka memasuki bidang pertanian selain daripada perikanan.

PERSEPSI TERHADAP KEMISKINAN

56. Bagi saya terdapat dua jenis kemiskinan:
        I.           Kemiskinan wang
      II.            Kemiskinan bukan wang

57. Bila bercakap pasal kemiskinan, anggapan orang adalah pada golongan yang tidak mempunyai wang ringgit. Mereka lupa bahawa orang kampung kaya dengan masa, tenaga, iman, udara bersih dan budi bahasa.

58. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pernah mentakrifkan mereka yang berpendapatan $250 ke bawah sebagai miskin. Bagaimanapun setelah berusaha meningkatkan pendapatan pak tani hingga sampai ke angka $ 260, PBB menyatakan pekerja kilang pun mendapat gaji $300 sebulan. Oleh itu orang yang berpendapatan $300 ke bawah berada di tahap kemiskinan. Ini bermakna pak tani yang mengikut angka lama telah menjadi miskin semula.

59. Bila pak tani sampai ke angka $280, PBB menyatakan mereka yang berpendapatan $350 ke bawah pula ditakrif sebagai miskin. Sekarang usaha sedang dijalankan supaya pak tani memperolehi pendapatan $350 ke atas. Percayalah, bila kita sampai ke angka $360, PBB akan meletakkan $500 ke bawah sebagai miskin.

60. Ini bermakna dari segi wang ringgit, kaum tani sentiasa berada di tahap kemiskinan tetapi kita kena faham apakah orang yang mempunyai wang itu akan menjadi orang yang bahagia.

61. Bandingkan antara pak tani dengan orang yang mempunyai banyak wang. Untuk berkelah, orang yang banyak wang itu terpaksa mencari tepi pantai yang jauh dari bandar, sedangkan pak tani tanpa perlu mengeluarkan wang boleh bila-bila masa berehat di tepi pantai.

62. Orang yang mempunyai banyak wang ringgit ini tidak semestinya bahagia sebab kebiasaannya mereka yang berpendapatan tinggi tinggal di kota yang serba-serbi mahal berbanding dengan kampung. Di kota segala-galanya dalam keadaan serba kurang baik dari segi suasana alam, masyarakat, jiran, atau keluarga.

63. Di bandar, anak-anak mereka yang tinggal di rumah teres tidak boleh bebas bermain atau berlari. Jika anak hendak jogging, mereka terpaksa dibawa ke kawasan tertentu seperti di Taman Bunga. Untuk bermain bola, terpaksa mencari padang yang mungkin terletak jauh dari rumah.

64. Berbanding dengan kota, di kampung anak-anak bebas berlari dengan kawasan yang luas. Di kampung segala kemudahan ada, baik dari segi kesehatan, kebahagiaan dalam keluarga, riadah mahupun rekreasi.

65. Persoalannya kini, bagaimana taraf hidup masyarakat kampung boleh ditingkatkan walaupun tidak semestinya dengan wang yang berlebihan.

66. Saya ambil contoh dari segi makanan. Bagi orang yang berpendapatan tinggi di kota bila teringin hendak makan masakan yang lazat, mereka menuju ke hotel-hotel dan memakan udang yang ditangkap oleh kaum nelayan. Mereka terpaksa membayar sehingga $30 berbanding dengan di kampung di mana udang berkenaan boleh didapati dengan harga $2 atau $3 atau mungkin boleh didapati percuma dari laut.

PROGRAM MASAKAN BERTARAF ANTARABANGSA

67. Bagaimanapun, di hotel, udang terpaksa dibayar dengan harga berlipat ganda sebab teknik masakan. Oleh itu yang penting ialah untuk mengajar masyarakat kampung cara masakan supaya mereka juga boleh merasa masakan hotel bertaraf lima bintang tanpa mengeluarkan banyak wang.

68. Sebab itu saya telah melancarkan cara masakan antarabangsa bagi memperkenalkan dan mengajar orang kampung teknik masakan di hotel-hotel mewah. Di samping itu, masyarakat kampung turut diperkenalkan dengan sukan air. Sukan air tidak semestinya untuk orang yang bergaji besar sahaja.

69. Bagi saya, kita kena tumpukan pada kualiti dan kebahagiaan hidup. Perkara-perkara yang orang boleh buat dengan menggunakan wang ringgit, kita buat dengan menggunakan ilmu.

70. Jika orang kota menggunakan wang untuk menikmati makanan yang lazat, orang kampung boleh belajar teknik masakan yang lazat itu. Saya mahu masyarakat kampung, walaupun dengan pendapatan rendah mempunyai kualiti hidup yang lebih tinggi daripada masyarakat yang dikatakan senang.

DEDIKASI

71. Saya menaruh penuh yakin dengan kemampuan pegawai saya. Memang, mereka bekerja lebih tetapi saya lihat mereka bekerja dengan penuh dedikasi sebab mereka telah difahamkan sejelas-jelasnya tujuan sesuatu tugas itu dibuat.

72. Jika pegawai itu hanya disuruh membuat kerja tanpa mengetahui tujuan sebenar atau mereka tidak nampak jelas tujuan sesuatu tugas dibuat, mereka akan bertindak balas dan tidak akan bersungguh-sungguh dalam kerja mereka.

73. Dalam soal ini, mereka tahu kerja mereka akan memberi manfaat pada masyarakat.

74. Saya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada peringkat Ketua Setiausaha hinggalah kepada budak pejabat.

POLITIK UMNO

75. Saya berpendapat, hasil daripada krisis yang wujud dalam UMNO, orang Melayu akan menjadi lebih sedar dari segi politik. Saya harap orang Melayu tidak seperti sebelum ini, sibuk berekonomi hingga lupa pada pentingnya politik.

76. Kita perlu sedar bahawa semangat berkorban itu terdapat pada orang yang jiwa politiknya tinggi. Apabila seseorang itu mempunyai jiwa ekonomi yang tinggi, dia tidak akan mahu berkorban.

77. Jika semangat politik yang ada pada manusia itu ketara, maka kemahuan untuk berkorban, kemahuan untuk memberi akan melebihi kemahuan untuk menerima. Sebaliknya, apabila manusia itu jiwa ekonominya tinggi, sudah menjadi kebendaan, maka mereka akan begitu berminat untuk menghimpun kekayaan. Lantaran itu tidak akan sanggup untuk memberi atau berkorban lagi. Azam mereka hanyalah untuk menerima.

78. Tugas orang politik adalah untuk memberi. Sebab itulah orang sering meminta berbagai kemudahan daripada wakil rakyat. Wakil rakyat tidak boleh marah sebab memang kerja mereka untuk menolong atau memberi.

79. Saya tidak nafikan ekonomi itu penting tetapi jangan sampai kepentingan politik itu hampir dilupakan sebab ia boleh mewujudkan satu golongan besar daripada kalangan kita lebih mementingkan diri sendiri daripada memikirkan orang lain. Ini boleh menyebabkan runtuhnya satu masyarakat.

80. Masyarakat akan mula menjadi huru-hara apabila terlalu ramai orang memikirkan “apa aku dapat” daripada “apa sumbangan aku”. Ini akan mewujudkan golongan yang “berlagak dalam politik”. Hanya menunjuk-nunjuk saja dalam politik.

81. Bila ini terjadi, orang lain yang melihat akan naik marah sebab kerja menunjuk-nunjuk ini tidak susah. Semua orang boleh buat.

82. Oleh itu, kita harus banyak memikirkan politik supaya orang kita lebih banyak memikirkan cara untuk memberi pada masyarakat sebab cara untuk memberi ini tidak mudah untuk dibuat.

83. Saya fikir masyarakat keseluruhannya harus sedar bahawa krisis ini berlaku sebab kita sudah menjadi begitu mementingkan diri sendiri dan tidak lagi memikirkan soal orang ramai.

84. Sekiranya kita dapat melatih orang untuk berfikir ‘apa sumbangan aku pada agama, bangsa dan tanahair’ dan tidak ‘apa agama, bangsa dan tanahair boleh sumbang pada aku’, banyak masalah akan selesai.

85. Dari apa yang berlaku kini, saya fikir semua orang akan sedar bangsa kita memerlukan politik. Ini dapat dilihat dengan kemasukan semula ramai ahli UMNO.

KESETIAAN

86. Saya memang yakin, untuk dipercayai dan mempercayai orang kita mesti tanamkan konsep kesetiaan pada diri sendiri. Tanpa kesetiaan, saya fikir tidak akan dapat wujud sebagai satu bangsa yang kuat.

87. Konsep kesetiaan itu luas termasuk setia pada isteri, anak, rakan, jiran mahupun pemimpin. Dalam memberi kesetiaan kepada pada pemimpin, kita mesti pilih pemimpin yang kita yakin pada perjuangannya.

88. Jangan setia pada individu. Kita kena setia pada individu dalam hubungannya dengan perjuangannya. Apabila pemimpin berkenaan melakukan kesalahan, teguran haruslah diberi melalui saluran yang betul.

89. Kita perlu menganggap kesalahan sebagai perkara yang boleh dibaiki, kecuali jika kita rasakan seseorang pemimpin itu sengaja melakukan kesilapan sebab dia bukan seorang pemimpin yang baik. Dalam keadaan ini kita tidak perlu setia.

90. Bagi saya, kesetiaan adalah dalam konteks hubungan yang ikhlas, di mana susah senang ditanggung bersama. Apabila seseorang itu telah menjadi kawan, saya tidak akan pergi pada orang melaung-laung menyatakan dia tidak baik jika dia membuat kesilapan.

91. Sebaliknya, saya akan beritahunya akan kesilapan yang dilakukan dan jika ada orang yang marah padanya, saya akan tanya kenapa dan memberitahu kawan saya dengan cara yang baik.

92. Saya berpendapat, untuk perpaduan baik dalam keluarga, masyarakat dan organisasi, terdapat tiga syarat utama iaitu:
        I.           Kemahuan untuk bersatu
      II.            Penderitaan bersama
     III.            Pengalaman bersama


PENGETAHUAN BAHASA

93. Saya tidak menganggap diri saya pandai dalam banyak bahasa tetapi saya adalah peminat kepada banyak bahasa.

BAHASA TAMIL

94. Saya belajar bahasa Tamil cuma secara kebetulan sahaja. Waktu itu, tahun 1960, saya jatuh sakit dan beraada di Hospital Daerah Ipoh. Doktor yang tidak pasti akan penyakit saya menyebabkan saya terpaksa tinggal lama di hospital.

95. Saya mula bosan menunggu lama keputusan darah saya yang diambil dan dihantar ke Lady Templar Hospital Kuala Lumpur. Di Hospital Daerah Ipoh pula, semua pihak yang berurusan dengan saya daripada doktor, jururawat, pembantu hospital hinggalah kepada pencuci parit dan tukang kebun terdiri dari kaum India.

96. Suatu hari saya mengajak salah seorang India yang bertugas di hospital itu membawa saya menonton wayang gambar. Dia mengatakan cuma filem Tamil sahaja yang ada. Saya telah bosan berada di hospital, tidak kisah film apa dan pergi bersamanya menonton filem Tamil bertajuk ‘Palum Paramum’ yang bermakna ‘susu dan pisang”. Pelakunnya ialah Sivaji Ganesan.

97. Selepas itu saya diberi tape lagu “Palum Paramum’ dan setiap hari saya mengikuti tape tersebut. Lama-kelamaan juruwarat dan pembantu hospital membawakan makanan kelas pertama pada saya walaupun saya ditempatkan di kelas tiga.

98. Mereka juga membawakan saya buku-buku darjah satu bahasa Tamil untuk saya hafal. Dari situlah datangnya galakan.

BAHASA JERMAN

99. Bahasa Jerman pula, kebetulan saya mempunyai guru di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Mr. Whitbread, yang fasih berbahasa Thai, Perancis dan Jerman. Beliau tahu saya berminat pada bahasa Tamil menawarkan diri mengajar saya bahasa Jerman atau Perancis.

100. Apabila dia menyebut satu ayat dalam bahasa Perancis yang bermaksud ‘adakah awak bercakap dalam bahasa Perancis’, ia tidak berjaya menarik minat saya. Tetapi bila saya suruh dia baca satu ayat bahasa Jerman, dia baca satu pantun yang bermaksud:

Engkau kepunyaanku
Aku kepunyaanmu
Begitulah hendaknya selalu
Engkau terkunci di dalam hati kecilku
Hilang sudah kunci kecil itu
Kekallah kamu berada di situ.

101. Bila saya dengar dengan maknanya yang begitu indah sekali, saya tertarik pada bahasa Jerman. Apabila saya jumpa dengan ayat-ayat indah saya terus jatuh minat. Malahan saya mula berminat membaca novel-novel Melayu, yang indah bahasanya, sebelum itu saya tidak pernah membaca novel Melayu.

102. Bila membaca novel-novel Melayu seperti Salah Asuhan, Siti Nurbaya dan sebagainya saya bertemu ayat-ayat yang indah seperti:

Bang dulu baru Qamat
Takbir baru orang sembahyang
Bercerai Allah dengan Muhammad
Baru bercerai kasih sayang.

103. Kita tidak boleh mempelajari bahasa dengan penuh kegigihan jika bahasa itu kita terima sebagai satu tanggungjawab. Sebab itulah ramai orang yang belajar bahasa tidak boleh bercakap dalam bahasa yang dipelajari apabila dia dipaksa atau terpaksa belajar. Minatnya perlu datang sendiri.

104. Sebaliknya jika seseorang itu masuk ke dalam satu-satu bahasa itu dengan penuh ‘romanticism’, bahasa itu menjadi sebahagian daripada dirinya.

105. Saya sendiri bila belajar bahasa Jerman dan tidak mempunyai kawan untuk bercakap dalam bahsa itu telah membeli komik-komik Donald Duck dan menjadi fasih membacanya. Di Jerman bahasa komik adalah bahasa baik dan bukan bahasa loghat.

106. Sekarang saya sedang belajar bahasa Arab, Jepun, dan bahasa Mandarin. Belajar saja walau pun tak pandai.

107. Saya tidak akan mengakui telah fasih dalam satu-stu bahasa kecuali boleh hafal dalam 4,000 patah perkataan ke atas. Bagaimanapun saya boleh mimpi dalam bahasa Jerman dan Tamil.

BIASISWA UNTUK BELAJAR BERBAGAI BAHASA

108. Saya berpendapat, sesiapa yang berminat dalam bidang penterjemahan dari satu-satu bahasa ke bahasa Malaysia perlu diberi biasiswa. Kalangan bijak pandai Melayu yang fasih dalam bahasa Malaysia perlu dipilih untuk diberi biasiswa atau galakan untuk mendalami satu-satu bahasa asing. Setelah itu mereka boleh menterjemahkan buku dari satu-satu bahasa kepada bahasa ibunda.

109. Kita perlu galakkan orang menterjemahkan sesebuah buku dari bahasa Mandarin ke bahasa Malaysia, dan dari bahasa Jepun, Jerman, Perancis, Rusia, Sepanyol, Korea dan sebagainya ke bahasa Malaysia.

110. Tiap-tiap satu bahasa ada keistimewaannya. Bangsa yang memiliki bahasa itu ada pendedahan yang istimewa. Bahasa yang popular ialah yang banyak ilmu di dalamnya.

111. Saya sendiri dalam banyak hal mengambil sumber asing. Dalam hidup, umpamanya saya pelajari dari firman dan hadis. Dari segi pengurusan, saya pelajari dari sumber Amerika Syarikat, manakala sikap dari Jepun dan Jerman.

NEGARA-NEGARA MAJU

112. Saya lihat di waktu negara-negara menghadapi krisis ekonomi, negara yang maju dalam bidang ekonomi waktu semua negara susah ialah negara yang demokrasi, tidak tahu bahasa Inggeris iaitu Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Jerman dan Perancis. Semua ilmu yang mustahak, yang ada dalam bahasa Inggeris, terdapat dalam bahasa bangsa yang maju ini. Mereka lebih kerana nilai hidup.

4 comments:

John Lenon Kedah said...

Dear Faisal.

Tan Sri Sanusi pada pa dangan orang Kedah dan UMNO macam Pak Pandir.Masok dalam bakul dan angkat sendiri.

Anonymous said...

TS Sanusi ada daya imaginasi & visi yang hebat ~ pemikiran out of the box. Itulah John Lenon Kedah...macam lagu the Beatles "Imagine' ~ kau tak boleh berimaginasi gunakan nama yg lebih hebat ker?

Anonymous said...

Tan Sri, terima kasih karena menurunkan semula temu ramah yang sudah berumur 22 tahun. Bagi saya peribadi banyak pengajaran yang bermakna dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Saya berharap Tan Sri terus berkongsi apa jua idea dan pengalaman baik semasa menjadi banker, ahli politik, ahli macam-macam kelab mahupun semasa di UIA.

Tan Sri tidak usah hairan bila masih ramai orang-orang seperti John Lenon Kedah yang kerjanya hanya memperlekeh dan memperkecilkan orang lain. Untuk John Lenon Kedah dan orang-orang yang sewaktu dengannya, Mario Puzo telah menulis "Actions defined a man; words were a fart in the wind". Puzo juga menulis "It is dangerous to be reasonable with stupid people....you cannot come to a reasonable solution with stupid people".

Dalam senario politik semasa, saya nampak ramai orang-orang yang sudah bercelaru dalam memilih hero. Saya rasa Tan Sri yang telah banyak makan asam garam kehidupan dan mengenal dari dekat banyak tokoh-tokoh politik dari berbagai parti, dapat terus menabur bakti dan budi dengan terus berkongsi idea, pengalaman, saranan dan harapan dengan generasi muda.

Untuk generasi muda saya berharap tidak buta mata hati seperti John Lenon Kedah. Generasi muda harus mengambil yang jernih dan buang yang keruh. Budi dan bakti kena dikenang kerana "Time erodes gratitude more quickly than it does beauty".

Anonymous said...

Kampanye yang serius memang penting. Saya masih ingat, sebelum tahun 1984 tempe hanya sebagai makanan/lauk orang miskin khusus bagi masyarakat Jawa. Tetapi setelah dibuat kampanye besar-besaran tentang manfaat tempe bagi kesehatan oleh Presiden Suharto dan dikelola oleh Menteri Penerangan Harmoko, maka sekarang citra TEMPE sudah amat tinggi. Dan hebatnya lagi, kini tempe sudah jadi makanan/lauk nasi kegemaran orang-orang diluar Jawa, termasuk saya dari Aceh. Saat kampanye itu saya tinggal di Yogyakarta.