Wednesday, February 8, 2012

TANAM PADI ATAS BUMBUNG

BERHENTI MENJADI MENTERI
1. Di waktu saya menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar rakan lama saya dari Taiwan bernama Vincent Siew menjadi Menteri Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana di Taiwan.

2. Pada waktu saya menziarahinya, di rumah, saya ternampak pada hampir pukul 10 malam isterinya keluar dengan dua buah timba kecil dan lampu suluh yang terikat di kepalanya. Menjawab kehairanan perhatian saya isterinya memberitahu dia hendak bubuh baja dan menyiram padinya di luar. Saya terkejut apabila diberitahu bahawa padinya ditanam di atas bumbung sebagai hobi.

3. Kerana pendedahan inilah maka apabila saya berpindah ke Kementerian Pertanian saya meminta pihak MARDI mencuba usaha menanam padi di atas bumbung. Usaha ini telah dilakukan oleh pihak MARDI di Seberang Prai. Apabila perkara ini dibocorkan kepada media massa maka saya ternampak kritikan wujud di sana-sini yang memberi gambaran saya sudah kehilangan akal dan buntu fikiran. Kerana kritikan ini maka MARDI telah berdiam seketika.

4. Allahyarham Tan Sri Mohd Yusof Hashim, Ketua Pengarah MARDI di waktu itu telah menyatakan bahawa percubaan ini telah berjaya tetapi kerana tanah terbiar masih banyak di Malaysia maka rancangan ini difikirkan belum sampai masa untuk dilaksanakan. Saya bersetuju dengan pendapat Tan Sri Mohd Yusof.

BELI 'FIGHTER PLANES' DARI PERUNTUKAN PERTANIAN
5. Selama dua tahun berturut-turut, sebelum saya berhenti dari menjadi Menteri Pertanian, Ahli-ahli Parlimen, kakitangan kerajaan dan masyarakat petani, penternak dan nelayan tersangat gembira kerana Menteri Kewangan telah memperuntukkan belanjawan RM1 billion yang cukup besar untuk pembangunan di bidang pertanian.

6. Pegawai-pegawai tinggi kerajaan menjadi hairan kerana Menteri Kewangan yang mereka anggap tidak sebulu dengan saya telah sanggup memberi peruntukan yang begitu banyak di bawah peruntukan pembangunan Kementerian Pertanian.

7. Apa yang orang-ramai tidak tahu ialah lebih dari setengah peruntukan pembangunan untuk Kementerian Pertanian pada setiap tahun, selama dua tahun itu telah diambil balik oleh Kementeri Kewangan untuk membeli kapal-terbang perang dari Amerika Syarikat dan Russia.

8. Berertilah sumbangan Kementerian Kewangan kepada bajet pembangunan Kementerian Pertanian telah meningkatkan nama baik Menteri Kewangan, di kalangan rakyat, pada masa itu sementara wang yang diperuntukan tidak memakmurkan masyarakat petani, penternak dan nelayan, sebaliknya telah dipakai untuk membeli alat perang, yang tidak pernah tercetus. Alangkah baiknya jika wang itu dipakai untuk memerangi kemiskinan rakyat di luar bandar.

9. Saya tidak hebohkan perkara ini kerana kami sama-sama dalam UMNO dan Barisan Nasional di waktu itu.
TUN DR. MAHATHIR TIDAK MENGETAHUI MENGENAI PERKARA INI

10. Saya juga tidak melaporkan kegelisahan kementerian di waktu itu kerana beberapa waktu sebelum kejadian ini saya telah berada dalam satu majlis dan saya terdengar Jutawan Ananda Krishnan menyatakan Tun Dr. Mahathir tidak lagi mahu menerima sebarang laporan atau kata-kata negatif terhadap Menteri Kewangan kerana Tun Dr. Mahathir mengesahkan kepercayaannya ke atas Menteri Kewangan yang sedang diasuh olehnya untuk menjadi Perdana Menteri.

11. Saya menjangka tindakan mengimpot kapal-terbang perang dari peruntukan pembangunan Kementerian Pertanian selama dua tahun berturut-turut adalah dengan pengetahuan dan persetujuan Tun Dr. Mahathir. Saya mendapat tahu kemudiannya bahawa Tun Dr. Mahathir tidak mengetahui mengenai tindakan Menteri Kewangan ini.

12. Dalam satu buku karangan seorang wartawan China, yang saya sudah lupa namanya, Menteri Kewangan pada waktu itu, telah disanjung oleh wartawan itu kerana di waktu itulah perbelanjaan negara untuk pertahanan tidak besar seperti biasa. Bagaimana tidak, kerana yang membeli pesawat perang ialah Pak Tani, Penternak dan Nelayan.

13. Kerana kejadian inilah saya menggambarkan kemungkinan yang akan berlaku jika Menteri Kewangan ini menjadi Perdana Menteri. Sudah tentu banyak sekali caranya untuk meningkatkan namanya dan merosakkan nama rakan-rakan.

14. Saya memutuskan untuk tidak bertanding lagi dalam pilihanraya dan terus berundur dari politik. Sehingga hari ini pun Tun Dr. Mahathir tidak mengetahui sebab sebenarnya saya tidak mahu menjadi Menteri lagi.

CADANGAN UNTUK SAYA MENJADI MENTERI BESAR

15. Beberapa hari setelah mengetahui keputusan bahawa saya akan berhenti dari menjadi Menteri, tanpa mengetahui sebabnya, Tun Daim Zainuddin, seorang pendukung kuat Menteri Kewangan yang mengganti tempatnya, telah menemui saya meminta untuk saya menimbang cadangan Tun Dr. Mahathir supaya saya balik ke Kedah untuk jadi Menteri Besar.
16. Tun Daim menyatakan betapa pentingnya saya balik untuk membangun Kedah. Kerana Tun Daim menggunakan perkataan yang paling sensitif bagi saya iaitu 'miskin' maka saya mula berfikir mengenai cadangan ini.

17. Saya kemudiannya memberitahu Tun Daim bahawa saya tidak mungkin balik ke Kedah kerana negeri Kedah miskin dan saya tidak dapat membangun Kedah tanpa wang. Saya juga tidak yakin Menteri Kewangan akan membantu saya membangun Kedah. Tun Daim menjawab 'We will help you' yang saya tafsirkan bahawa Tun Dr. Mahathir dan Tun Daim akan membantu saya.

18. Saya pun bersetuju.
SEBAB SAYA DIBAWA KE KEDAH

19. Saya mendapat tahu kemudiannya bahawa kembalinya saya ke Kedah adalah disebabkan penyalahgunaan satu undang-undang yang diwujudkan dalam sejarah Kedah untuk menyelesaikan satu masalah di masa lampau.

20. Di satu masa dulu seorang putera di raja Kedah telah menikah dengan seorang wanita Peranchis. Setelah putera di raja ini kembali ke rahmatullah tanpa meninggalkan seorang anak pun, maka timbullah masalah harta pusaka yang tidak boleh dipindahkan kepada isterinya kerana bukan Melayu.

21. Pada waktu itulah, masih di zaman penjajah, satu undang-undang telah dibuat di mana kerajaan Kedah boleh mengiktirafkan siapa saja bukan Melayu sebagai bertaraf Melayu. Maka isteri Peranchis kerabat di raja Kedah itu pun dapat mewarisi harta suaminya.

22. Akta ini masih ada sehingga sekarang.

23. Sebelum saya balik ke Kedah sebagai Menteri Besar kerajaan negeri telah menggunakan undang-undang di atas untuk memberi taraf Melayu baru kepada Tauke Cayman yang dari keturunan China. Dengan adanya perubahan taraf maka Tauke ini pun, yang bertaraf Melayu, telah membeli banyak tanah-tanah Melayu di Langkawi dan di sekitar Alor Setar.

24. Dua masalah telah timbul dari perkembangan ini. Pertama: orang-orang Melayu menjadi gelisah, walau pun yang dapat menjual tanah kepada Taukeh menjadi berwang. Kedua: Tanah Simpanan Melayu yang dibeli oleh tauke ini di sekitar Alor Setar adalah tanah padi di dalam kawasan MADA.

25. Sebagaimana kita ketahui MADA ialah sebuah projek pertanian yang diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai paling berjaya dan menjadi contoh kepada negara lain. Menukar Tanah Simpanan Melayu yang ditanam padi dalam kawasan MADA oleh seorang Tauke China yang mendapat taraf Melayu atas restu kerajaan adalah sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh tokoh seperti Allahyarham Dato' Kama Jaya Syed Nahar Shahbudin yang merupakan pemimpin yang bertanggung-jawab turut menjayakan MADA.

BUKU 'PERJALANAN KE MENTALON'

26. Setelah menang kerusi Dewan Undangan Negeri bagi Pekan Kuah, di Langkawi saya tidak dapat terus balik menjadi Menteri Besar. Dalam buku 'Perjalanan ke Mentalon' yang merupakan kumpulan keratan akhbar oleh Nyak Azhar Nyak Ali, setebal 439 muka, mengenai isu saya balik menjadi Menteri Besar memberi gambaran yang cukup jelas. 

27. Perkara pertama yang saya lakukan bila sampai ke Kedah sebagai Menteri Besar ialah memberi gambaran matlamat pembangunan Kedah. Saya bandingkan Alor Setar, pusat pentadbiran negeri, sebagai Washington D. C.; Sungai Petani sebagai pusat perniagaan, sebagai New York; Kulim dengan Taman Teknologi Tinggi Kulim  (Kulim Hi-Tech Park) sebagai Silicon Valley di California atau Route 128 di Massachussett; Langkawi sebagai sebuah pusat pelancongan, sebagai Florida.

28. Kerja memberi gelaran ini agak mudah. Yang susah ialah bagaimana caranya untuk membangun sekitar Alor Setar yang tanahnya diguna untuk tananam padi tanpa mengurangkan kawasan tanaman padi.

MADA TANAM PADI ATAS BUMBUNG DI PAYA PAHLAWAN

29. Oleh kerana Kedah mempunyai kilang simen sendiri di Pulau Langkawi maka gabungan fikiran yang berlandaskan kepada keadaan dan keperluan ini maka terfikirlah saya untuk mendirikan taman perumahan di kawasan padi MADA tetapi tidak mengurangkan kawasan penanaman padi jika padi ditanam di atas bumbung.

30. Saya telah meminta kerjasama dari Tuan Syed Azizan Idrus, Ketua Pengarah MADA untuk membuat sebuah rumah perpustakaan di Paya Pahlawan yang bumbungnya disesuaikan untuk ditanam padi. Projek ini berjaya dan semua data maklumat yang diperolehi menunjukkan ianya 'viable' dan mempunyai potensi yang baik.

31. Ini tidak bererti kita mahu tanam semua padi di atas bumbung. Di mana ada tanah maka tanahlah yang kita gunakan. Tetapi, di sekeliling Alor Setar wajah taman perumahan akan berubah sekaligus menjadi taman padi atas bumbung.

SERANGAN BENGIS DARI MEDIA

32. Pada waktu inilah pihak media massa telah menyerang saya. Tidak ada yang bertanya saya mengenai punca idea ini timbul. Wartawan yang menyokong Tengku Razaleigh Hamzah waktu saya menyokong Tun Musa Hitam menyerang saya; wartawan yang menyokong Tun Musa Hitam waktu saya menyokong Tun Ghafar Baba menyerang saya; wartawan yang menyokong Anwar Ibrahim waktu saya menyokong Tun Ghafar juga menyerang saya. Wartawan yang menyokong Tun Dr. Mahathir tidak berani ke depan untuk menjelaskan kedudukan saya.

33. Yang aneh ialah semua wartawan ini, saya perhatikan, ialah wartawan dari bangsa Melayu kesemuanya. Menteri yang kuat mempengaruhi media ialah Menteri Kewangan dan Menteri Dalam Negeri.
CHINA PERHATI MELAYU BERSENGKETA

34. Baru-baru ini pada 3hb Februari, 2012, semasa saya di Dome, Bangsar Shopping Center dengan keluarga saya yang baru datang dari Jakarta, secara tiba-tiba seorang yang berketurunan China telah mendekati saya secara mendadak dengan bersemangat dan sungguh gembira. Beliau mengingatkan saya bahawa kira-kira 15 tahun yang lalu beliau sering bertemu dengan saya waktu saya berjalan kaki di dalam Taman Tasik Perdana Kuala Lumpur,

35. Beliau memberi kad business kepada saya yang menunjukkan namanya sebagai Encik Ong Min Hong, Pengarah IRIS KOTO (M) SDN. BHD. dan ingin bercakap dengan saya mengenai penanaman padi di atas bumbung. Sebelum saya mengisahkan selanjutnya apa yang Mr. Ong beritahu kepada saya elok juga pembaca didedahkan kepada komen-komen yang dibuat dalam blog saya oleh orang yang tidak saya kenali. Yang pasti ialah semuanya Melayu yang bersemangat politik memihak belaka.

36. Di bawah ini saya turunkan 8 komen yang berkaitan dengan penanaman padi atas bumbung. Komen yang tidak ada kaitan dengan penanaman padi tidak saya pedulikan buat kali ini. Empat dari lapan komen bersifat positif tetapi selainnya negatif belaka. Yang penting pembaca perhatikan ialah stail dan bahasa komen dibuat, kerana budi bahasalah yang menggambarkan bangsa.

37. ZAIENAL said... 

CUBA TENGOK SEJARAH SANUSI DARI MUDA SAMPAI TUA TAK ADA SATU PUN JASA YANG DIA BUAT.

SAYA SAYANGKAN TUN MAHATHIR SEPERTI BAPA SAYA DAN KESIAN TUN TERPAKSA BAGI JAWATAN SEBAB NAK BALAS BUDI SANUSI SIKIT.

BERTAHUN2 JADI MENTERI.APA ADA REKOD ?

SEKEJAB SAJA JADI MB KEDAH, LINGKUP NEGERI DENGAN ANGAN ANGAN MAT JENIN YG MUNGKIN SEMPAT MAT JENIN CERITA SEMASA DIA MENJUNAM DARI POKOK KELAPA.

ITU PUN NAK SAMBUNG JADI MB LAGI SAMPAI TUN BALING FAIL.

LAWAN PANJAT NYOK
LAWAN CARI KUTU BINI
LAWAN CABUT UBAN BINI
LAWAN CABUT BULU KETIAK BINI
LAWAN MENGORAT BINI

TANAM PADI ATAS BUMBUNG
(NI SEMUA DIA PUNYA REKOD GUINESS STOUT)

BERSYUKUR LAH GANJARAN YG TAK TERHINGGA BERBANDING JASA TAK SEBERAPA (TAKDE PUN)

TAPI INGAT,SAYA BUKAN SOKONG PORK LAH, TAPI TAK SUKA 'NATO' DAN ORANG YG MASIH ANGGAP DIA ORANG ACEH WALAUPUN DAH 3 KETURUNAN DUDUK DI MALAYSIA. PERANGAI INI SAMA LAH MACAM CINA DAN INDIA.

MAAF KASAR BAHASA TAPI LEBIH BAIK DARI 'LURUS TELUNJUK, KELINGKING
BERKAIT'

Sanusi: Cari kutu, cabut bulu ketiak dan uban? Sakit sungguh tukang komen ini.
38. Antimamak said...

Tan sri:
Tak payah marah , zaman keemasan Tan Sri sudah terlepas, biarlah ia berlalu.

Apa yang saya faham, Tun Tan dan Sri masing masing mengeluh, kesemuanya personal event, bukan memberikan apa apa manfaat kepada rakyat!! tapi belum dengrar rakyat mengeluh...

Blog ini bagai tanam padi diatas bumbung, padi tak tumbuh, Bumbung teruntuh!
Jadi kes ini dapat lah diibaratkan sebagai, kelapa tua tua, sudah masak buat apa nak tunggu ia jatuh??? baiklah kita jolok.... boleh masak gulai! - betul dak Tun??

Adalah dinasihatkan Tun pupukkan semangat membaca untuk kalangan masyarakat. Blog ini patut digunakan menyumbang pelbagai ilmu kepada masyarakat.... balik baca buku!!!

39. IIUM class '02 said...

saya suka baris baris terakhir post... no ahli tan sri adalah 007... waa Tan Sri kira sama macam James Bond lah.... your idea pasal sawah atas bumbung dulu.... mat saleh dah start buat research and prove of concept abou it... I've watched in the discovery channel last month... tan sri cakap benda masa saya masih dibangku skolah masa tuh... so advance than the americans...

40. yoko ono said...

sanusi buat bendang ataih bumbung...lembu beli kondo...idea apa bro? i pad la idea...

41. Anonymous said...

Ono dan Lenon ketinggalan zaman.

Bandar-bandar besar seperti New York, Taiwan, Tokyo dan banyak lagi di seluruh dunia dah mula bercucuk tanam diatas bumbung malah ada yang cuba buat secara bertingkat...selesai banyak masalah

Apalah MAYC dan politik Kedah, dibanding idea global yang mampu mengubah landskap masa depan dunia ini

MAYC pun dah nazak yang ahlinya tinggal orang-orang tua, Kedah pun dah pi kat pembangkang

Bukan saja Abang Pi... Kak Mai, Tauke Tang, Mr. Tu dan semua ahli MAYC dan rakyat Malaysia pun boleh mengesahkan hal ini

Gendang yang kenyang dengan duit haram macam ono, lenon dan yg sewaktu dengannya, pukul pi lah kuat mana pun tiada yang dengar tiada yg peduli. lama-lama hancur dimamah anai-anai dan anak-anak mereka sekali.

Tapi kerana mendengar paluan gendang-gendang raya yang kosong dalamnya dan kental kulitnya, maka berduyun-duyunlah orang datang ke masjid.

Hero with a Thousand Faces

Layari: http://sustainablelivinginstitute.blogspot.com

Tuesday, December 6, 2011
"OF THOMAS JEFFERSON and SANUSI JUNID"

TS Sanusi Junid, the maverick and enigma.

When he was Menteri Pertanian he put forward many ideas that set minds to ponder and think to promote agriculture and improve farmers' livelihood.

His air kelapa muda campaign has been a roaring success. Now, we can enjoy the nutritious, cool air kelapa at many roadside stalls and pasar malam. Lorry loads of kelapa muda are seen on the roads being transported to various market places. The price of cocnuts has gone up considerably.

MARDI was his launching pad for new ideas to experiment on.

We have not enough rice in production and land getting scarce so plant rice on rooftops, Sanusi said!

MARDI complied (pic) with experimenting that idea at its research station at Bumbong Lima. Under certain circumstances the technology could be viable perhaps.

TS Sanusi on his visit (pic) to MARDI Hilir Perak station with former DG of MARDI (2nd R) explaining, 1989.

TS Sanusi's biodata speaks volumes of him:... read more in bogsite

43. Anonymous said...

aku tak kenal sangat dengan sanusi ni, bekas MB Kedah zaman dulu dulukan ..
pernah dengar cadangannya supaya menanam padi di atas atap atap rumah .. idea separuh giler ..
terlalu asik membaca, suatu hari tu aku bertembung dengan dia untuk solat Jumaat, waktu imam sedang sibuk berkhutubah, dia boleh kyusuk membaca buku …
Rasanya dia pun sekarang ni dah cukup tua, ada lebih baik dia berbuat sesuatu yang boleh menambahkan pahala dan bekalan akhirat dari memikirkan bagaimana nak memakmurkan dunia yang fana ini ..

Campakkan sahaja buku buku tulisan oriantalis itu dan ambillah kitab kitab tulisan ulamak Islam tersohor yang banyak untuk dijadikan bacaan, kalau inilah yang dilakukan oleh beliau sejak dulu, sudah tentu dia sekarang duduk di masjid dan surau untuk mengajarkan ilmu ugama .. alahai Tan Sri …
44. Anonymous said...

Salam TS.

Ternyata perancangan TS untuk penanaman padi diatas bumbung bukanlah suatu idea separuh gila seperti yang diperkatakan oleh ANON 12.31 diatas. Kepada beliau, saya cuma berharap agar dia membeli suratkhabar Berita Minggu hari ini 29/1/12 dan membaca artikel, 3 mukasurat yang diceritakan berkenaan dengan projek penanaman diatas bumbung dan didalam bangunan yang sedang dan telah dijalankan dimerata dunia! Ternyata bahawa TS telah melangkaui zaman.....


45. SANUSI: Baru-baru ini, sebelum saya bertemu dengan Encik Ong Min Hong dari Iris Koto (M) Sdn. Bhd. sudah terbit dalam surat khabar Berita Minggu karangan berikut:

LADANG LANGIT

Oleh: Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my

Berita Minggu (RONA - RENCANA muka surat 2-3), Ahad, 29 Januari 2012

KEBUN TERGANTUNG
Inovasi baru pertanian atasi masalah kekurangan tanah di bandar besar

Keluasan tanah di Malaysia mencapai 33 juta hektar dengan 6.6 juta tanah atau 20 peratus diperuntukkan untuk pertanian. Manakala selebihnya digunakan untuk penempatan, perbandaran, perindustrian dan sebagainya.

Bagi Malaysia, mendapatkan tanah untuk pertanian bukanlah satu masalah kerana masih banyak lagi kawasan yang belum diteroka dan dijadikan kawasan pertanian bagi mengeluarkan makanan kepada penduduk yang bertambah setiap tahun.

Namun, atas alasan untuk mengekalkan alam sekitar serta mewujudkan persekitaran mapan, maka timbul idea untuk mewujudkan kawasan pertanian moden dengan menggunakan pelbagai inovasi yang dicetuskan akal manusia.

Pada akhir 1990-an, Menteri Pertanian ketika itu, Tan Sri Sanusi Junid pernah mencadangkan supaya padi ditanam di atas bangunan dan atas nama projek perintis, maka ia berjaya dilaksanakan. Namun, sehingga hari ini, nampaknya tidak ada seorangpun petani yang berani menjalankan penanaman cara moden itu.

Tidak diketahui mengapa projek tanam padi atas bangunan tidak berjaya. Namun ada suara menyatakan ia disebabkan petani tidak bersedia menjalankan pertanian moden selain kosnya lebih tinggi.

Dengan baki delapan tahun sebelum 2020, teknik pertanian Malaysia dilihat masih tidak banyak berubah. Namun penggunaan peralatan dan kaedah moden sudah mula meresapi dalam sektor pertanian dan perladangan negara.

Satu kaedah pertanian moden yang mula difikirkan banyak negara adalah pertanian yang dilakukan secara menegak dalam bangunan pencakar langit atau dikenali senagai ladang langit (sky farm). Konsep pertanian ini sesuai dipraktekkan di bandar yang tinggi kepadatan penduduknya.

Namun, persoalannya apakah ladang langit ini sesuai dilaksanakan di Malaysia?

“Tiada yang mustahil untuk dilaksanakan. Namun, buat masa ini, Malaysia tidak terlalu terdesak untuk melaksanakannya kerana masih mempunyai keluasan tanah untuk pertanian dan perladangan,” kata Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman.

Menjelaskan mengenai ladang langit, beliau berkata, ladang vertikal lebih sesuai untuk jenis pertanian terkawal iaitu pengawalan cuaca, suhu, pencahayaan, penyakit dan hasil pengeluaran.

Abd Shukor berkata, ketika ini, ladang langit seumpama itu sangat terhad dilaksanakan. Beliau berkata, konsep pertanian seumpama itu lebih sesuai jika sesuatu kawasan menghadapi masalah untuk mencari lokasi subur atau tanah yang sangat terhad.

“Bagi Malaysia, buat masa ini tidak sesuai kerana masih banyak tanah. Kita tidak menghadapi masalah kesuburan atau kekurangan kawasan untuk penanaman. Saya optimis, satu masa nanti Malaysia akan melaksanakan teknik penanaman seumpama itu,” katanya.

Beliau menjelaskan, suatu perkara yang perlu difahami ialah ladang vertikal dipraktikkan untuk memberi nilai estetika kepada sesuatu kawasan, berbanding dibangunkan untuk mengatasi masalah kekurangan tanah atau meningkatkan pengeluaran pertanian.

“Banyak negara maju mempraktikkan penanaman menegak dalam bangunan. Tetapi ia lebih kepada nilai estetika dan pada masa ini yang saya ketahui ramai yang sukakan landskap cara menegak atau vertikal ini. Di Malaysia sendiri, laman vertikal semakin mendapatkan tempat,” katanya.

Malaysia jelasnya, lebih mementingkan isu keselamatan makanan yang ada kaitan dengan usaha meningkatkan pengeluaran produk pertanian bagi menampung keperluan penduduk yang makin bertambah, selain ancaman penyakit yang boleh merosakkan tanaman.

Abd Shukor berkata, konsep ladang vertikal sudah dipraktikkan dalam teknik penanaman fertigasi bagi penanaman sayuran atau buah-buahan dengan tanaman diletakkan di bawah teduhan yang dikawal suhu, cahaya, serangan penyakit, kesuburan dan kuantiti hasil.

“Oleh itu, seperti yang dinyatakan, ladang langit akan menjadi satu kenyataan di Malaysia cuma masanya belum tiba lagi,” katanya.

Beliau menjelaskan MARDI sedang giat menjalankan penyelidikan untuk memperkenalkan kaedah laman vertikal yang sangat praktikal untuk kediaman jenis apartmen dan flat di kawasan bandar.

Apakah yang dimaksudkan laman vertikal ini? Laman vertikal adalah konsep landskap yang dihasilkan atas permukaan menegak dengan pokok tumbuh dengan baik di atas permukaan berkenaan. Permukaan ini disokong dengan struktur tertentu serta mengandungi medium tanaman atau tanah yang mencukupi.

Laman begini makin mendapat sambutan dan sudah lama dipraktikkan di bandar besar di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Sepanyol, Itali, Perancis dan Britain.

Di Singapura, sudah banyak dipraktikkan laman vertikal untuk lanskap bandar dan apartmen. Di Malaysia, konsep laman vertikal mungkin dianggap baru tetapi anda boleh melihatnya diparaktikkan di beberapa bangunan seperti di sekitar  KL Sentral Kuala Lumpur.

SEJARAH PERTANIAN BERTINGKAT

Pernahkah anda mendengar Taman Tergantung Babylon di Iraq pada kurun ke-600 Sebelum Masihi yang disenaraikan antara tujuh keajaiban dunia? Mangikut catatan terdahulu, taman ini tampak tergantung kerana pokok ditanam di teres lereng bukit.

Teknik tanaman ini terus berkembang pada abad ke-16 di India, Sepanyol, Russia dan popular di negara Eropah sehingga hari ini. Teknik penanaman berkenaan mencetus idea kepada masyarakat moden untuk menjalankan pertanian menggunakan sumber tanah yang terhad bagi menghasilkan bahan makanan dalam kuantiti lebih banyak.

Maka pada awal 1920-an, cadangan menghasilkan lahan bertingkat dalam bangunan pencakar langit diilhamkan, maka terhasillah rumah kaca di Armenia.

Kemudian, penggunaan rumah kaca atau dikenali sebagai rumah hijau semakin mendapat tempat dan apabila timbul isu kekurangan tanah di kawasan bandar serta isu keselamatan makanan, maka ramai sarjana seni reka bentuk dan pertanian mengilhamkan pelbagai idea mengatasi masalah itu.

Antara idea yang dicadangkan ialah pembinaan ladang bertingkat atau dalam bangunan pencakar langit seperti idea membina flat perumahan yang menjadi kediaman pilihan masyarakat bandar.

Seorang penyelidik dari Universiti Colombia, Amerika Syarikat, Dr Dickson Despommier mencetuskan idea ladang bertingkat atau ladang dalam bangunan pencakar langit dengan objektif serampang dua mata iaitu mangatasi masalah kekurangan tanah bagi menjalankan pertanian. Projek itu juga bertujuan mewujudkan persekitaran hidup yang ‘hijau’, mesra alam dan dapat mengurangkan pemanasan global.

Pada mulanya, cadangan itu lebih kepada mewujudkan ladang vertikal iaitu bangunan pencakar langit yang mesra alam serta dapat menghasilkan lebih banyak tenaga, air (melalui pemeluwapan) dan menyediakan makanan kepada penghuni setempat. Kemudian, ia dikembangkan bagi mengumpul arkitek, jurutera, ahli ekonomi dan perancang bandar bagi membangunkan satu keajaiban kejuruteraan ekologi mampan dan berteknologi tinggi.

Sebelum idea ladang dikemukakan Despommier, arkitek terkemuka kelahiran Malaysia, Kan Yeang atau Datuk Dr Kenneth Yeang terlebih dahulu mencipta bangunan pencakar langit ‘hijau’ yang menitik beratkan soal alam sekitar.

Rekaan bangunan Mesiniaga itu mendapat pengiktirafan dunia. Malah hasil rekaan Yeang menjadi rujukan dalam penyelidikan bangunan mesra alam yang mengandungi ciri bio-iklim. Yeang yang turut dikenali sebagai arkitek pelopor, mengemukakan idea pembangunan bangunan pencakar langit berciri bio-iklim bercampur yang menggabungkan unit kediaman menjadi ruang pengeluaran makanan.

Selain bangunan ikonik Menara Mesiniaga di Subang Jaya, Yeang juga mempraktikkan konsep mesra alam dalam pembinaan Perpustakaan Negara di Singapura yang mana menekankan ciri mengurangkan penggunaan kuasa untuk pemanasan dan pencahayaan serta idea pintar dalam pencahayaan. Proses ini dilakukan dengan menggunakan sumber tenaga yang cekap, murah dan memiliki nilai estetika.

Dipercayai idea Yeang mempengaruhi penyelidikan Despommier mewujudkan ladang vertikal bagi mengatasi masalah kekurangan tanah bagi pertanian selain mewujudkan ekologi seimbang di bandar besar.

Antara intipati idea Despommier pada tahun 1999 adalah mewujudkan pertanian atau perladangan termasuk penternakan dalam bangunan bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar yang banyak terhasil melalui cara konvensional seperti amalan sekarang.

Beliau berpendapat, membina ladang vertikal dalam bangunan pencakar langit bukan saja lebik praktikal. Semua bahan buangan dapat digunakan semua sama ada sebagai baja, udara, pemeluwapan, sumber tenaga dan makanan selain menjimatkan ruang serta sistem pemantauan yang lebih mudah dan terkawal.

Selepas Despommier, banyak penyelidikan mengenai ladang vertikal dikemukakan termasuk idea sarjana dari Universiti Waterloo, Gordon Graff yang mencetuskan idea ladang langit atau skyfarm dalam bangunan pencakar langit di Toronto, Kanada.

Antara idea Graff itu mencadangkan tumbuh-tumbuhan bukan menggunakan medium tanah, sebaliknya diletakkan terapung di dulang air bertingkat yang kaya dengan nutrien selain menggunakan teknik hidroponik bertingkat.

Penternakan pula dijalankan dalam persekitaran yang terkwal, tanaman pula tidak bergantung kepada perubahan iklim dan cuaca. Malah jangkitan penyakit juga dapat dikawal manakala pengeluaran dapat ditingkatkan.

Ladang langit ini juga berpotensi beroperasi sepanjang tahun dan setiap ruang tertutup sebesar satu ekar dianggarkan boleh mengeluarkan hasil yang lazimnya memerlukan kawasan atau tanah seluas empat hingga enam ekar. Pada masa sama, ia mampu menampung makanan yang mencukupi untuk 50,000 orang setahun.

Kewujudan ladang langit di kawasan bandar besar juga dapat mengubah kawasan itu menjadi tempat pengeluaran makanan bagi penduduk setempat dengan kos pengangkutan dapat dikurangkan seterusnya mengurangkan harga bahan makanan.

Apabila mahu mewujudkan ladang dalam bangunan, timbul persoalan mengenai kemampuan dan keperluan untuk mengekalkan persekitaran secara terkawal serta isu berkaitan cahaya yang diperlukan tumbuhan. Justeru, tiada pilihan lain kecuali menggunakan lampu elektrik sehingga 82 juta kilowatt setahun.

Menyedarai hakikat itu, Graff mencipta bangunan mapan dan boleh menghasilkkan tenaganya sendiri. Bangunan itu juga dilengkapi sistem bio-gas yang mampu untuk menghasilkan metana dari sisa buangan ladang yang boleh dibakar untuk menjana elektrik sendiri.

Bagi bekalan air, Graff mencadangkan penggunaan sistem penapisan air biologi yang mana terhasil daripada sisa air kumbahan dan proses pemeluwapan daripada sistem hidroponik tanaman.

Namun, sehingga hari ini, cadangan itu masih belum membuahkan hasil dan tidak diketahui kenapa ia belum menjadi kenyataan. Tetapi dipercayai ia ada kaitan dengan kemelesetan ekonomi dunia selain membabitkan kos yang mahal.

Mungkin, apabila ladang langit ini dapat direalisasikan nanti, segala kos untuk pembinaan dan operasi bukan lagi satu masalah pada masa depan.

INFO
BANGUNAN HIJAU DUNIA: MENARA MESINIAGA
·     Bangunan 12 tingkat ini menempatkan kira-kira 300 kakitangan Mesiniaga direka oleh arkitek Ken Yeang.
·     
     Reka bentuk ultra moden yang dilengkapi dengan penyelenggaran sistem teknologi tinggi. Mesiniaga menggunakan Sistem Metasys untuk mengawal lampu, penghawa dingin dan cawangan sistem kuasa.
·     
      Jadual sistem berasaskan Windows lampu di bahagian-bahagian bangunan itu, termasuk lampu sorot dan lampu kecemasan. Ia juga memantau suhupenghawa dingin untuk menyediakan tetapan yang dikehendaki.
·     
      Lif juga dikawal secara automatik manakala dalam kes kecemasan atau terputus bekalan elektrik, sistem jana kuasa bangunan akan secara otomatik.

INFO: BANGUNAN YANG BERJAYA DIHASILKAN UNTUK MEREALISASI LADANG LANGIT
· 
     Satu bangunan di Suwon, Korea Selatan sudah mula mempraktikkan ladang langit ini tetapi ia masih pada peringkat percubaan atau kajian dalam makmal walaupun kini sudah mengeluarkan hasil sejak dua tahun lalu. Antara sayuran yang ditanam termasuk kobis dan sawi.
· 
     Di Belanda, hasil ladang vertikal sudahpun berada di pasaran. Dihasilkan syarikat dikenali sebagai PlantLab, ia sudahpun menjalankan pertanian melalui teknik penanaman bertingkat dalam bangunan sejak 10 tahun lalu yang dijalankan di bahagian bawah tanah. Terletak di selatan, bandar Den Bosch, syarikat itu mengeluarkan tanaman seperti sayuran (tomato, timun, jagung); pokok hiasan (mawar) dan buah-buahan (strawberi dan beri). Pengurus PlantLab’s, Gertjan Meeuws dilaporkan berkata, mereka bercucuk tanam dalam bangunan tiga kali ganda besar berbanding rumah hijau dab berjaya mengurangkan penggunaan 90 peratus air berbanding kaedah konvensional.

46. Mr. Ong Min Hong menyatakan apa yang saya fikirkan sekitar 30 tahun yang lampau kini sudah dihasilkan dengan jayang oleh Iris Koto (M) Sdn. Bhd. Beliau menunjuk beberapa foto yang ada dalam telefonnya mengenai ladang padi yang subur di atas bumbung di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil.

47. Beliau seterusnya memberitahu bahawa Perdana Menteri akan ke kawasan tanaman padi atas bumbung itu tidak lama untuk merasmikannya sebagai satu projek inovatif dalam bidang transformasi pertanian.
48. Mr. Ong menjemput saya untuk melihat sendiri apa yang telah mereka jayakan; tetapi beliau tidak menyatakan samaada akan menjemput saya hadir waktu Perdana Menteri merasmikan projek ini nanti.

49. Dalam masukan blog saya bertajuk 'Jawapan Sanusi ke Atas Soalan-soalan Bertulis Yang Diterima Dalam Lawatan ke United Kingdom Pada 9 dan 10 April, 2011' terbitan 29hb April, 2011 saya telah menulis seperti berikut:

50. MATSUSHITA ON DEMOCRACY

When losers in any election complain about transparency or malpractises I am always reminded of what Tan Sri Konosuke Matsushita (Born November 27, 1894, died April 27, 1989) the Founder of National Panasonic Electric company, wrote on the practice of democracy.

Tan Sri Matsushita said in his writing that a society can greatly benefit and practice democracy peacefully if its voters have the 'susyi' and 'sunao' attitude.

'SUSYI'

'Susyi' is an attitude whereby a winner, even if with only a one vote majority, will acept the responsibility, of a winner, as if had obtained all the votes and serve all the voters in the constituency without prejudice. A loser on the other hand, even if with only one vote majority, should regard himself as having lost all the votes to the winner.

The winner with one vote need not go around annoyingly trying to impress the voters that even if by one vote it is still a victory.

The loser with one vote defeat should also not brag around that one vote victory is not real victory.

'SUNAO'

'Sunao' on the other hand is the ability of the winner and the loser, in an election, to see the goodness in his or her rival after the contest.

Tun Dr. Mahathir Mohamed

This attitute is glaringly shown by Tun Dr. Mahathir when he kept on appointing Tengku Razaleigh Hamzah to ministerial posts after Tengku Razaleigh lost twice to Tun Musa Hitam in the contest for the UMNO Deputy Presidency.

Tun Musa was annoyed with these appointments.

But Tun Dr. Mahathir also did not remove Tengku Razaleigh Hamzah from the cabinet when the Tengku challenged him for the post of UMNO President with the intention of ousting Tun Dr. Mahathir from his premier seat.

After Tun Musa Hitam resigned and supported Tengku Razaleigh in the Tengku's effort to dethrone Tun Dr. Mahathir, Tun Musa was still appointed by Tun Dr. Mahathir to represent Malaysia at the United Nation.

51. Perhatikanlan perenggan 32 dan 33 untuk mengetahui betapa Melayu rugi kerana tidak faham erti demokrasi. Malahan punca perpecahan Melayu itu sendiri adalah kerana demokrasi. Tetapi apakah pilihan lain... 

52. Kita perlu merobah sikap kita sendiri.

12 comments:

pknsinsider said...

hoi aceh...tak mampus lagi ke...

Anonymous said...

KITA AKAN MERINDUI TULISAN SEBEGINI BEBERAPA CERITA BERANGKAI DALM SATU ARTIKAL , SENTUHAN YG BERKENYATAAN- SUSAH KITA DAPT MEMBACA TULISAN SEBEGINI MENJANGKAU .
TS SANUSI SETAHU SYA MENDALAMI KITAB AGAMA SEWAKTU BELIAU DISEREMBAN , BUKAN BELIAU TIDAK MENGENDAHKAN SEWAKTU KHUTBAH JUMAAT DGN MEMBACA , TAPI ORG YG SERING MEMBACA W/PUN MEMACA TAPI TELINGA MENDENGAR , DISINI KELEBIHAN NYA DAPAT ILMU/PENGATAHUANSEWAKTU MEMBACA DAN JUGA MENDENGAR KHUTBAH . TAKSALAHKAN ,YG SALAH ORG YG BERANGGAPAN SALAH TERHDP BELIAU .
ITULAH SANUSI BERCKP PENUH KIASAN

Cikgu Pakar said...

Tan Sri,
Sudah begitu lama saya nantikan tulisan dan penjelasan Tan Sri tentang idea 'tanam padi atas bumbung'. Idea ini hidup subur dan masih segar dan hangat dibincangkan hingga ke hari ini. Begitu hebat sekali idea yang dicetuskan ini.
Setelah membaca tulisan Tan Sri kali ini, saya merasa terpukau dengan ilmu dan pengetahuan yang turut berpaut kuat kepada idea murni ini. Saya kira ia akan terus diperbincangkan pada dekad yang akan datang seperti mana ia diperbincangkan selama lebih dua dekad yang lalu. Alangkah indanhnya jika orang-orang Melayu melontar jauh pegangan ideologi politik mereka dan mengiktiraf mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi. Jika dahulu idea 'tanam padi atas bumbung' ini dianggap gila, kini kita melalui fasa kedua yang bersifat kesangsian bahawa 'apakah ia benar idea gila atau satu idea yang terkehadapan?' Apabila kita disajikan dengan bukti-bukti yang menunjukkan bahawa ada yang telah terkehadapan dalam merealisakikannya, kita rasa tertampar dan bangun dari keangkuhan yang melampau ( walaupun masih ada yang komennya terlalu melampau). Sanusi Junid sebagai Menteri Pertanian adalah satu dalam seribu, tiada tolok bandingnya, seperti Leonardo Da Vinci dan vincent Van Gogh dengan karya-karya agung mereka seperti 'monalisa', 'starry night' dan 'sunflowers'. Idea 'tanam padi atas bumbung' ini mencerminkan kesan sampingan watak Melayu yang sebenar kerana : 1. Melayu tidak suka orang Melayu lain lebih pandai daripadanya. 2. Melayu memang jaguh mentertawa dan menggagalkan idea orang. 3. Melayu memang selesa dengan apa yang ada dan tidak mahu lebih berfikir. 4. Melayu suka ambil jalan mudah.

Paling malang ialah apabila orang Melayu mendifinisikan 'bumbung' dalam ruang yang sangat sempit. Maka jika dipertemukan kedua-dua tokoh yang pernah menjadi Menteri Pertanian iaitu Anwar Si Reformasi Jalanan dan Sanusi Si Reformasi Pemikiran, maka siapa yang kita pilih?
Sedang Rasullullah saw sendiri dicaci, dihamun dan dihina dalam usaha menyebarkan ajaran Islam, inikan pula Sanusi. Sanusi menggunakan politik untuk perjuangan dan kepentingan agamanya sementara Anwar menggunakan agama untuk kepentingan politiknya.
Walaupun kita berbeda pendapat, kita tetap mendoakan agar Anwar, Nik Aziz, Hadi, Sanusi, Najib dan lain-lain supaya diberikan kesihatan yang berpanjangan kerana kita Islam Melayu.

Baijat said...

Salam Tan Sri,

Saya masih teringat pada masa zaman saya bersekolah dahulu, saya terserempak Tan Sri singgah bersolat Jumaat di Masjid Al-Aziz, Tanjung Bendahara. Kebetulan hari tersebut Hari Raya jatuh pada hari Jumaat. Ketika itu, Tan Sri masih menjadi Menteri Besar Kedah.

Idea dan konsep penanaman atas bumbung agak menarik untuk diketengahkan terutamanya di kawasan-kawasan tepu bina seperti bandar-bandar dan perumahan moden.

Pelbagai innovasi dan ciptaan telah diwujudkan selain mengurangkan pengambilan dan penggunaan tanah.

Idea seperti tanaman atas bumbung atau kaedah penanaman hidroponik bukan sekadar menarik malah menjimatkan kos dan meningkatkan pendapatan rakyat. Malah, idea ini juga dapat mengurangkan perbelanjaan yang menggunakan wang rakyat untuk mengimport beras atau sayur-sayuran. Sebaliknya tidak mustahil untuk kita jadi pengeksport hasil sendiri kepada lain.

Sebagai seorang yang terlibat dalam bidang Senibina Landskap, idea ini telah dikembangkan menjadi sebagai Continuous Productive Urban Landscape. Konsep ini banyak dipraktikkan di Taiwan serta Jepun yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Bukan sekadar memberi kesan aestetik dan hiasan malah apa yang ditanam boleh dimakan atau digunakan dalam keperluan seharian.

Kerajaan sepatutnya menggalakkan rakyat mengambil pendekatan idea penanaman atas mengurangkan beban yang ditanggung. Kerajaan boleh sepatutnya memberi insentif dan inisiatif melalui pengurangan cukai pendapatan atau cukai pintu untuk sesiapa yang mengambil pendekatan ini. Malah, langkah ini juga dapat memupuk rakyat mengurangkan masalah-masalah seperti pencemaran dan pemanasan global.

Sekadar itu sahaja saya ingin kongsikan dengan Tan Sri.

Semoga Allah melimpah rahmat dan kurniaNya kepada kita semua.

Anonymous said...

Saudara Sanusi,assalamualikum,

Idea menafaatkan kawasan bumbung saya kira amat baik.Alangkah beruntung sakira akitek dan ingineur mengambil merekabentuk dan pemaju mebena bumbung rumah-rumah kediaman yang boleh digunakan untuk tanaman, menjana tenaga suria,mengumpul air hujan dsb.

Baiman

Anonymous said...

hoi pknsinsider...tak mampoih lagi kah..

Anonymous said...

Salam Tan Sri.

Setahu saya dan juga Tun Mahathir pun ada menyatakan semasa perjumpaan di Flamingo.. bahawa TanSri yang telah Memohon untuk menjadai Menteri Besar Kedah...

Shawn
selayang

Batu 5 Gombak said...

Salam Tan Sri,terima kasih atas pendedahan ini, sedikit sebanyak dapatlah saya faham kenapa selama ini idea-idea yang cukup bernas dari Tan Sri jarang mendapatkan pemberitaan daripada mainstream media walhal Tan Sri masih menjadi Menteri lagi masa tu.

Kepada Shawn Selayang, saya juga mendengar dalam ucapan Tan Sri di Negeri Sembilan bahawa Tan Sri pernah meminta sesuatu pada Tun, tapi yang Tan Sri minta adalah minta berhenti dari jawatan MB Kedah. Perkara ini juga pernah didedahkan kembali oleh Tan Sri dalam entry blog ini yang bertajuk Mahathir- Dari Kaca Mata Sahabat pada 10hb March 2011. Sila rujuk pada perenggan ke 16. Saya rasa Shawn tersalah dengar kot, jauh beza tu meminta menjadi MB dengan meminta berhenti dari menjadi MB.

suhaimi radin said...

TS

Saya ingin tau apa sebab TS mohon berhenti jadi menteri?

Anonymous said...

salam Tan Sri...

komen dari pknsinsider tu anggap sajalah macam lalat..melilau tak ketahuan..mai hinggap paih tu berak...

Saya ni walaupun bukan ahli umno tapi dari dulu sentiasa menyokong Tan Sri kerana bagi saya tan sri ni melayu yg susah nak carik ganti dari segi idea..idea yg kalau diambil, dianalisis, di eksperimen boleh membantu ekonomi org melayu...hanya jauhari yg mengenal manikam...oleh kerana sistem yg kita ada susah nak menerima idea baru...tu yg kita ni duk di tangkuk mana...cuma yg berani saja berjaya...jatuh naik balik melaambung...yg tak berani terus sampai hari ini kata idea tu idea bodo...idea tak bodo org yg kata tu saja yg malas nak berfikir...dgn ertikarta lain..bodo kot...

masa tan sri tun ghafar dolah badwi melawan team wawasan dulu..saya simpan tape2 ceramah tansri...alangkah baiknya kalau tan sri masih lagi menyimpan tape-tape tersebut…sebab banyak kata kata pengajaran yg tan sri ucapkan dalam tape2 tersebut….nak cari ahli politik sekarang mana ada….cakap macam apa….bukan nak kata…sungguh….susah nak carik org yg bole bercakap macam tan sri dgn tun…
pernah sekali sembang dgn Tan Sri masa jamuan hari raya kelab che det….tu pun kalau tan sri masih ingat..kata2 tan si yg masih saya pegang dari dulu sampai sekarang ialah “NIAT TAK BETUI KERJA TAK JADI….” Pasai itu yg kerja berangan nak jadi perdana menteri sampai la tak kesampaian…habis punggoq & amoi dia belasah….dan saya tetap percaya kerja dia takkan jadi sebab niat dia memang tak pernah betui….

Dukperati

eric said...

dear tan sri,
i am eric from limkokwing university, cyberjaya who is taking bachelor of architecture. i am currently doing a thesis regarding vertical farming in cities.
i am wondering if i have the opportunity to talk to tan sri regarding this issue as i read an article about tan sri's idea of promoting vertical farming such as growing rice on top of roof.

here's my email: elwk86@gmail.com
hope to hear from tan sri. thank you~

Murshid said...

Sy membaca artikel ni pada tahun 2018 bulan ogos 21 haribulan, al fatihah utk TS sanusi Junid