TIGA BANGSA DI TIMUR ASIA
JEPUN, KOREA DAN CHINA YANG SAYA KENALI
DASAR PANDANG KE TIMUR
1. Di waktu Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri beliau telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur. Berbagai tafsiran telah dibuat mengenai dasar ini. Dasar ini yang pada mulanya hanya memandang ke Jepun dan ke Korea Selatan sahaja akhirnya telah merangkumi Taiwan. Walaupun di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan dikatakan ada berbagai perkara yang aneh-aneh seperti wanita Geisha dan mesin judi Pachinko di Jepun, rumah hiburan Kiiseng House di Korea Selatan dan adanya kedai gunting rambut paling besar dengan ratusan banyak kerusi di dalammya dan berdiri di tepinya tukang gunting wanita yang jelita. Kedai gunting rambut ini sering dilanggani oleh orang yang tidak banyak atau tebal rambutnya, atau pun botak terus, tetapi terlentang di kerusi gunting cukup lama. Sudah tentu yang Tun Dr. Mahathir ingin kita pandang dan lihat di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan bukanlah perkara-perkara seperti itu.
TUMPUAN KEPADA BANGSA DAN BUKAN NEGARA
2. Dalam karangan ini tumpuan diberi bukan kepada 'Dasar Pandang ke Timur yang dilancarkan oleh kerajaan itu, tetapi untuk mengenali kawan-kawan atau kenalan rapat dari kalangan bangsa yang berasalnya dari timur, iaitu bangsa Jepun, Korea dan China. Walaupun dalam menjalani penghidupan ini saya berjumpa dengan banyak manusia dari keturunan lain seperti Inggeris, India, Arab, Jerman, Peranchis dan banyak lagi, tetapi tumpuan pada kali ini, adalah kepada tiga keturunan bangsa ini kerana ianya relevan dengan Dasar Pandang Ke Timur. Jika disebut nama yang di luar dari kumpulan tiga bangsa ini maka ianya bermaksud untuk melengkapi ide yang diketengahkan. Karangan kali ini melengkapi isi-isi dalam kerangan-karangan sebelumnya khusus yang bertajuk 'ENTREPRENEURSHIP, MANAGEMENT & LEADERSHIP EXPOSURES'. Jika saya ulangkan maka ianya adalah untuk menjelaskan perjalanan cerita.
3. Di bangku sekolah saya kenal bangsa Jepun hanya dari bacaan sahaja kerana saya dilahirkan pada tahun 1943 dan tidak sempat mengalami zaman Jepun dan tiada seorang pun orang Jepun yang saya berjumpa atau kenal pada waktu itu.
COKLAT LEBIH PENTING DARI KEMERDEKAAN