Thursday, June 14, 2012

ANONYMOUS

KENAPA SAYA TIDAK MENGHALANG, ATAU MEMADAM, KOMEN YANG TIDAK SOPAN YANG DIBUAT OLEH 'ANONYMOUS' DI DALAM BLOG SAYA

Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

dan

Salam hormat.

Saudara pembaca,

KOMEN PEMBACA YANG BERBUDI BAHASA

1. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Saudara Abd. Rahim Baling yang telah membuat komen berikut dalam masukan blog saya di bawah tajuk 'BAHAN RENUNGAN':

Tan Sri. Kenapa dibenarkan penggunaan bahasa yang tidak sopan di dalam blog Tan Sri ini. Ikhlas, Abd Rahim, Baling, Kedah.

2. Ini bukanlah kali pertama saya menerima pertanyaan, cadangan dan pandangan yang sama tujuannya, dari pembaca yang berbudi bahasa, kerana banyak yang merasa kesal dengan bahasa, sanggahan dan cara penulisan yang tidak sopan yang didapati dalam komen beberapa orang yang menggelarkan diri mereka sebagai 'anonymous' atau nama samaran lain dalam blog ini.

3. Ada kalanya nama samaran yang dipakai pun dipilih yang mirip dengan nama rakan saya sendiri walau pun bukan orang sebenarnya. Dari apa yang ditulis berulang-ulang saya dapat mengecam kumpulan atau orangnya kerana bahasa dan isu yang diketengahkan.

4. Sudah tentu pembaca seperti Saudara Abd. Rahim Baling mengikuti blog ini kerana ingin mengetahui pendapat dan pandangan saya sebagai seorang yang sudah lama berada di dalam kancah belia, swasta, politik, pentadbiran dan akademik dalam negara ini.

5. Sebenarnya tidak semua yang menggunakan nama 'anonymous' membuat komen yang negatif. Sebahagian dari mereka telah membuat komen dan teguran yang sangat berguna dan menambahkan isi gudang ilmu pembaca dan saya sendiri. Malah ada yang menegur saya kerana kesalahan fakta dan saya banyak berterima kasih atas sumbangan sedemikian.

6. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang memberi komen termasuk yang negatif komennya. Sekurang-kurangnya yang menulis isi negatif itu turut membaca blog ini.

7. Ada juga komen yang memerlukan jawapan tetapi saya tidak terus menjawabnya, kerana saya bimbang jika saya mengulas setiap komen maka mesej yang ingin saya sampaikan dengan kemasukan blog itu terseleweng dari tujuan asalnya. Walau bagaimana pun semua perkara yang ditimbulkan dalam komen yang memerlukan jawapan tetap saya layan secara terperinci dalam blog seterusnya, apabila sampai masanya, atau apabila tajuk yang saya ketengahkan relevan dengan isi komen berkenaan.

ADA PEMBACA YANG TAKUT KEPADA KEBENARAN

8. Ada juga di antara pembaca yang bimbang dan takut seandainya penulisan, cara persembahan dan pendedahan yang saya buat didapati bertentangan dengan selera atau apa yang ada dalam fikiran dan hatinya, yang ingin saya simpan. Bagi saya jika keadaan begini wujud maka ia adalah sesuatu yang baik untuk ATS ( Anonymous Tidak Sopan ) kerana penulisan saya itu mungkin boleh membantu dan menjadi ubat pahit, seperti 'Quinine' untuk orang demam, 'Diamicron' untuk orang kencing manis, 'Crestor' untuk orang tinggi kolestrol atau 'Dilatrend' untuk orang darah tinggi. Semoga ianya membuka hati, yang telah tertutup, atau fikiran ATS yang sudah kusut kerana pendedahan ATS yang agak lama kepada pandangan dan pendapat yang berbeza dari yang saya ketengahkan.

9. Ramai juga ATS yang telah mengkaji semula dan membandingkan kandungan penulisan saya dengan apa yang telah diberitahu padanya, oleh orang yang tidak setuju dengan saya, dan telah mendapati penjelasan dalam penulisan saya itu adalah munasabah, samaada disetujui atau tidak. Ada yang menghubungi saya dan meminta ma'af tetapi tidak membuatnya di dalam blog kerana ingin menjaga perhubungan dan persahabatan sesama cyper-trooper dan/atau ATS yang masih tidak berubah sikap.

10. Ada juga di antara yang menggunakan nama samaran atau 'anonymous' yang terpaksa merahsiakan nama sebenarnya kerana kedudukan mereka dalam masyarakat atau jawatan yang mereka pegang yang tidak mengizinkan mereka mendedahkan nama sebenar. Kadangkala mereka sengaja tidak ingin terlibat dalam perdebatan atau kontroversi dengan sesiapa jua, mengenai tajuk yang saya ketengahkan, apatahlagi membuang masa berdebat dengan ATS.

11. Ada juga di antara yang menggunakan nama samaran atau anonymous, samaada yang bersifat ATS atau tidak, yang tidak ingin identitinya diketahui untuk memberi peluang kepadanya merobah pendirian tanpa membuka peluang untuk dikritik atau diherdik oleh rakan sejenis.




12. Ada juga dari kelompok ATS yang bercakap pada kawannya apa yang sudah ditulisnya tanpa mengetahui kawannya itu juga mempunyai kawan lain yang mengenali saya atau saudara mara saya. Saya selalu berpesan kepada saudara saya supaya terus merahsiakan dirinya, dalam hubungan dengan saya, supaya ATS akan terus kepada kawannya itu atas betapa 'aku sudah hentam Sanusi'.

13. Teguran-teguran yang dibuat kepada masukan blog ini juga tidak semuanya boleh dianggap negatif walau pun berbeza pandangannya.

14. Dengan adanya kebebasan untuk berkomen atau menghentam maka 'amalan kebebasan bersuara dalam sistem demokrasi' saya amalkan sebagai contoh. Banyak tokoh-tokoh politik yang menjadi pemimpin dalam parti pembangkang telah menghalang atau memadam komen yang negatif malahan ada yang tidak membolehkan dikomen langsung di dalam blognya, sedangkan mereka ini melaungkan 'kebebasan dan keadilan'. Sedangkan mereka tidak mengamalkan kebebasan dan tidak adil kerana mahukan orang membaca pandangannya sahaja.

KENAPA MEREKA MARAH

15. Untuk maklumat pembaca segelintir anggota ATS ini, saya dapati daripada analisa komen-komen mereka, terdiri dari kelompok atau puak yang boleh diklasifikasikan seperti berikut:

15.i. Kelompok LGBT yang tidak mahu tokoh mereka disindir atau dikritik;

15.ii. Kelompok yang anti Tun Dr. Mahathir yang tidak langsung mahu membaca bahan yang boleh menaikkan imej Tun;

15.iii. Kelompok yang tidak setuju saya menyokong Tun Dr. Mahathir dan Tun Musa Hitam di waktu mereka bertanding dengan Tengku Razaleigh Hamzah;

15.iv. Kelompok yang tidak setuju saya menyokong Dato' Seri Anwar Ibrahim di waktu dia bertanding dengan Dato' Haji Shuhaimi untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia;

15.v. Kelompok yang tidak bersetuju dengan sokongan saya kepada Tun Ghafar Baba waktu dia ditentang untuk terus memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO;

15.vi. Kelompok yang kecewa kerana tidak mendapat habuan-habuan yang khusus yang mungkin saya tidak dapat melayani di waktu saya memegang jawatan dalam kerajaan;

15.vii. Kelompok yang marah kerana saya menjadi anggota kerajaan di waktu meminda perlembagaan supaya Yang Di Pertuan Agong, Sultan dan Gabenor tidak dibolehkan menahan kelulusan sesuatu undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri buat selama-lamanya.

15.viii. Kelompok yang telah marah kerana tindakan saya yang berkesan, tetapi tidak menguntungkan mereka samaada di kementerian, di Kedah dan dalam UMNO  yang saya turut memimpin.

15.ix.  Kelompok yang marah kerana saya turut keluar dari menjadi ahli UMNO bersama Tun Dr. Mahathir di waktu kami tidak menyetujui dengan dasar-dasar dan tindakan pemimpin UMNO di waktu itu.

15.x. Kelompok yang marah kerana hilang jawatan di dalam politik apabila tertubuhnya UMNO Baru untuk mengambil tempat UMNO yang ditubuhkan dalam tahun 1946, yang diharamkan oleh Mahkamah,

15.xi. Dan lain-lain lagi kelompok yang merasa terhibur apabila mencaci saya.

16. Itulah sebabnya 'cyber-trooper' dan kelompok LGBT yang memberi komen atas nama samaran dan ATS telah mengulang-ulangkan isu yang sama walau pun mereka cuba merobah 'style', 'morphology' dan 'syntex' dalam menggunakan bahasanya untuk menunjukkan bahawa mereka itu ramai dan berlainan, tetapi kita dapat mengecam mereka itu, dan membuat klasifikasi seperti di atas,, dari komen-komen yang mereka buat.

POLITIK NEGARA HURU-HARA SEJAK TUN GHAFAR DIKALAHKAN

17. Sebagai seorang yang selalu memihak, di pihak yang saya fikirkan benar, dan tidak neutral dalam sebarang pertandingan, maka pembaca tentu terkejut jika saya katakan dari 10 pergolakan yang wujudkan kelompok di atas saya telah berada di pihak yang menang dan turut menyumbang ke atas kemenangan itu. Saya gagal hanya sekali sahaja iaitu untuk mempertahankan Tun Ghafar Baba dalam jawatannya. Jika difikir-fikirkan kerana kegagalan itulah maka politik negara berada dalam kucar-kacir sekarang ini. Sudah tentu ahli-ahli UMNO yang insaf menyesal kerana turut mengalahkan Tun Ghafar. Mohon saudara menyumbangkan satu Fatihah untuk Tun Ghafar ...... Alfatihah ....

PENDEDAHAN SENATOR EZAM

18. Di masa pilihanraya kecil di Hulu Selangor, beberapa waktu yang lalu, saya telah berpeluang duduk di samping Senator Ezam Mohd Nor (waktu itu belum menjadi Senator), bekas pemimpin pemuda PKR, yang turut berkempen untuk memenangkan calon Barisan Nasional Kalimanathan. Senator Ezam, yang saya bertemu buat kali pertamanya itu, telah memberitahu kepada saya bahawa untuk lebih dua puluh tahun dia bertuankan kepada pemimpinnya yang lalu, dalam setiap perjumpaan, para peserta perjumpaan telah diberitahu oleh pemimpinnya itu betapa saya dianggap seorang yang bahaya dan jahat.

19. Kita bernasib baik kerana Senator Ezam adalah seorang yang tidak taksub dan membekukan fikirannya dan sentiasa membuka peluang untuk dirinya terdedah kepada fakta-fakta yang dapat membawanya kepada kebenaran.

20. Setelah Senator Ezam sedar bahawa beliau telah dibohongi sekian lama, oleh bekas pemimpinnya, maka beliau pun merobah haluannya dan mengisytiharkannya secara terbuka.

21. Tindakan tokoh-tokoh seperti YB Dato' Ibrahim Ali dari Pasir Emas di Kelantan yang mengasaskan PERKASA, YB Zulkifli Nordin, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu, yang menjadi keluar dari parti PKR, Ustaz Othman Bakar dari Kampung Gajah di Perak yang turut mengasas ABIM sudah menjadi ahli UMNO, Ustaz Ismail Mina dari Pendang di Kedah yang menubuhkan MUFAKAT (Persatuan Mufakat Sejahtera Masyarakat Malaysia), Prof. Sidek Baba dari Universiti Islam Antarabangsa yang berasal dari Melaka dan Ustaz Hasan Ali dari Selangor yang keduanya bersama-sama menubuhkan JATI (             ) yang ditubuhkan setelah YB Hasan Ali dipecat oleh PAS kerana pendirian Islamnya yang tidak kenal kompromi, Mursyidul Am Zahid Mat Arip, cucu Tun Ghafar Baba, yang dikalahkan dari jawatan Timbalan Presiden UMNO, yang dulunya mati-matian menyokong Penasihat PKR, sebagai salah seorang tenaga PKR kini menubuhkan kumpulan TIBAI (Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim), YB Puad Zarkashi dari Johor yang  dulunya di Yayasan Anda sekarang menjadi ahli UMNO dan Timbalan Menteri - semuanya menunjukkan bahawa mereka sentiasa terbuka kepada kebenaran.

22. Oleh itu pihak pemimpin pembangkang terpaksa menumpukan perhatian kepada pelajar-pelajar dan golongan muda yang belum mengenali tokoh pembangkang dan hanya terpukau dengan kepetahan berpidato ketuanya. Selain itu tokoh berkenaan juga bergantung kepada anak-anak didikan dan setiakawan yang banyak mendapat keuntungan darinya untuk meneruskan karir politiknya. Beliau juga mengemis sokongan Barat kerana beliau bergantung kepada dukungan mereka untuk kepentingan politik pribadinya.


SAYA TIDAK TERSINGGUNG


23. Saya tidak tersinggung, cuma sedih dan merasa merugikan ummat, jika terdapat terlalu ramai manusia Melayu yang hidup bergelimang dengan pembohongan dan fitnah, atau menjadikan dirinya sebagai sumber dan alat fitnah, dan seterusnya tidak mahu terdedah kepada kebenaran atau berhenti dari hidup dalam dunia kepura-puraan.

KAREN ARMSTRONG BERTEMU KEBENARAN

24. Jika difikir-fikirkan hentaman fitnah dan tohmah yang dilemparkan kepada kita adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan fitnah dan tohmah yang pernah dibuat terhadap Nabi Besar kita Muhammad s.a.w.

25. Seorang wanita Padri Gereja Katholik bernama Karen Armstrong telah menulis sebuah buku bertajuk 'Muhammad - A Western Attempt to Understand Islam'. Buku ini beliau tulis setelah beliau dibenarkan oleh Pope John Paul ke II untuk menggunakan perpustakaan di Vatican yang dikhaskan untuk Kardinal dan orang-orang istimewa pilihan Pope sendiri. Sebagai 'Nun' atau Paderi Wanita Karen Armstrong, sebagai seorang pengarang, telah berminat untuk mengkaji mengenai Nabi Muhammad s.a..w., kerana Nabi kitalah yang selalu didengar oleh Karen, telah dan terus menghantukan fikiran pihak gereja.

26. Karen Armstrong mendapati bahan catitan dan penulisan mengenai Nabi Besar kita begitu banyak dalam perpustakaan Vatican sehingga, setelah selesai beliau membuat kajian, beliau telah berhenti dari menjadi 'nun' dan terus keluar dari ugama Katholiknya untuk menulis buku mengenai Nabi Besar kita. Karen mendapati apa yang difitnahkan oleh jaringan gereja mengenai keburukan Nabi Besar kita adalah pembohongan dan fitnah berencana semata-mata.

SIAPALAH KITA?

27. Kalau Nabi pun boleh difitnah dan dikutuk begitu hebat apatah lagi manusia biasa seperti kita. Tidak hairanlah jika ketua Senator Ezam, yang lama, telah membuat kecaman dan fitnah terhadap saya, dan tidak hairan jugalah jika ATS ( Anonymous Tidak Sopan ) mencaci saya kerana mungkin mereka takut saya dedahkan, dengan lebih banyak lagi, apa yang telah didedahkan oleh Senator Mohd. Ezam.

28. Saya sebenarnya merasa lega bila sudah menulis dan meluahkan apa yang ada dalam fikiran dan ingatan saya dalam hidup sepanjang hayat. Kepuasan beginilah yang menjadi baja hidup saya di hari tua. Selain dari mendekati cucu dan cuba memahami anak dan menantu saya dan isteri terus membaca dan beribadat seperti yang ATS juga menasihati saya berbuat demikian. Memanglah pihak ATS agak kecewa kerana saya masih mampu menulis. Tetapi ini adalah dengan keizinan Allah s.w.t. dan tidak boleh dihentikan atas desakan ATS.

29. Saya berharap ATS akan bersabar dan terus membaca sumbangan saya di alam saiber dan jika ATS adalah seorang yang digaji sebagai 'Cyber-Trooper' untuk menghentam saya maka saya berharap ATS akan membaca setiap karangan sampai habis apa yang saya tulis. Semakin menyakitkan hati Cyber-Trooper atau ATS semakin mujarablah ubat yang saya sumbangkan.

30. ATS tidak perlu takut kepada saya, kerana segala dosa yang telah dan akan dilakukan oleh mereka telah saya ampunkan lebih awal kerana saya tidak mahu membuang masa menunggukan sesiapa pun di pintu syurga untuk menyelesaikan hutang di dunia.

31. Terserahlah kepada Allah s.w.t. untuk menentukan balasannya.

PENGALAMAN RAJA DENMARK.

32. Raja Denmark Johann ke III (1823 - 1879) setelah berada di atas takhta hampir 20 tahun telah mendapat maklumat bahawa rakyatnya telah mula membenci kepada beliau dan menjadi topik perbincangan yang hangat hingga ke restoran dan kedai kopi di seluruh negara.

33. Baginda Raja merasa hairan dengan keadaan yang membiak begini kerana beliau tidak tahu apa kesalahannya sedangkan beliau tidak berbuat apa-apa dan jarang pun bergaul dengan orang di luar lingkungan istana. Perkara ini telah dirujukkan kepada ahli-ahli fikir di Denmark termasuk tokoh-tokoh pemikir seperti Soren Kierkegaard dan Johan Bernhard Georg Carstensen (1812 - 1857 ).

34. Rumusan yang dibuat oleh sidang pemikir Denmark ini  ialah kerana penduduk Denmark mempunyai terlalu banyak masa lapang untuk berfikir politik, samaada kerana mereka tidak bekerja, atau di waktu lepas bekerja, mereka menghabiskan masa dengan mengupat di mana saja. Lebih-lebih lagi kerana mengkritik raja tidak membawa kepada padah buruk terhadap mereka.

35. Hasil dari perjumpaan ahli-ahli fikir Denmark ini maka Georg Carstensen telah memberitahu kepada rajanya " when the people are amusing themselves, they do not think about politics."

36. Raja Johann ke III pun dilaporkan telah menyerah tanah seluas 15 ekar, milik King Christian VIII, yang menjadi tapak permulaan untuk mendirikan pusat rekreasi dan hiburan sepanjang tahun di Copenhagen. Projek ini dibiayai bersama oleh syarikat Carlsberg.

37. Antara hiburan yang ada di Tivoli Gardens Copenhagen ini ialah persembahan sarkas sepanjang tahun, tanpa cuti, termasuk pada hari Krismas.

38. Kini Tivoli di Copenhagen dilaporkan:

39. The park opened on August 15, 1843 and is the second oldest amusement park in the world, after Dyrehavsbakken in nearby Klampenborg.

40. With more than 4.5 million annual visitors Tivoli is the most popular seasonal theme park in the world, the most visited themepark in Scandinavia and the second most visited in Europe, onluy behind Disneyland Paris.'

41. Kerja mengupat di restauran dan kedai kopi pun terhenti.

42. Nampaknya raja yang yang tidak bersalah juga menjadi bahan kritik rakyat yang tidak berkerja.

PERDANA MENTERI KUKRIT PRAMOJ DI THAILAND

43. Bagaimana pula dengan orang politik yang kuat bekerja.

44. Seni Pramoj (1905-1997)  ialah abang kepada Kukrit Pramoj (1911-1995). Keduanya pernah menjadi Perdana Menteri Thailand; Seni dari Parti Demokrat dan Kukrit dari Parti Sosial Action. Mula-mula si abang menjadi Perdana Menteri iaitu Seni Pramoj dari 15 February, 1975 hingga 14 Mac, 1975, selama 37 hari. Beliau kemudian digulingkan oleh adeknya Kukrit Pramoj yang memerintah dari 14 Mac, 1975 hingga 20 April, 1976, selama 1 tahun 37 hari. Si Abang Seni Pramoj telah menggulingkan si adek lagi dan memerintah dari 20 April, 1976 hingga 6 Oktober, 1978 selama 1 tahun 124 hari.

45. Apabila pemberita bertanya Kukrit Pramoj atas sebab yang dia telah dikalahkan dia berkata banyak program dan perubahan yang telah dia lakukan dalam masa pemerintahannya. Oleh itu beliau dikritik oleh abangnya Seni Pramoj. Abangnya telah memerintah sebelumnya dan tidak sempat buat apa-apa dan dikalahkan untuk menang kembali dalam pertandingan seterusnya.

46. 'Abang saya menang balik selepas saya membuat banyak keputusan dan projek. Abang saya tidak sempat buat apa-apa maka dia menang lagi kerana tidak sempat buat salah.

47. Apabila ditanya apa yang beliau akan buat jika dipilih sekali lagi. Dia menjawab 'saya tidak akan buat apa-apa'. 'Bagaimana YB boleh selamat jika tidak berbuat apa-apa.'. Kukrit menjawab sambil menunjuk ke arah Gunung Himalaya dan berkata, 'Look at the Himalaya; it does nothing but it is still there.'

48. Berertilah jika kita tidak mahu dikritik maka janganlah buat apa-apa. Dan kerja yang paling mudah ialah mengkritik orang lain yang membuat sesuatu, dan menghadapi masaalah, sementara kita sendiri tidak berbuat apa-apa sehingga tidak berkesempatan untuk membuat kesilapan.

PENGALAMAN DI JERMAN BARAT ( waktu belum bergabung dengan Jerman Timur )

49. Saya telah menjadi pelatih atau 'apprentice' di sebuah perniagaan tekstil yang besar di Hamburg. Pengurusan syarikat ini sering membuat berbagai perubahan, memberi berbagai teguran dan mengeluarkan berbagai arahan yang berat dan hebat tetapi tidak digemari oleh pekerja. Rata-rata terdengar kecaman dari pekerja apatahlagi di dalam restoran atau kantin pekerja.

50. Memanglah kritikan ini akan reda apabila pekerja melihat kesan positif dari keputusan majikan itu, tetapi jika hasilnya agak terlambat maka kekesalan pekerja akan terus berlarutan untuk jangkamasa yang cukup lama. Sementara kegelisahan dari satu keputusan itu belum betul-betul reda biasanya keputusan baru telah diturunkan yang menyebabkan bertambah kebencian pekerja kepada majikannya.

51. Apabila majikan menyedari kegelisahan pekerja maka beberapa patung getah yang sama tinggi dan berwajah sama dengan tiga orang majikan telah diletak di dalam tiga buah tempat pekerja berkumpul untuk makan. Para pekerja digalakkan untuk menampar dan menumbuk patung itu sekuat mungkin. Di dalam patung getah itu ada angka serial yang meningkat satu demi satu bergantung kepada berapa kali patung itu ditampar, ditumbuK, disepak atau di ditendang. Sementara angka pada meter tadi meningkat, setiap kali dibelasah oleh pekerja, baju dan kot yang dipakai oleh patung itu juga terkoyak untuk diganti dengan yang baru pada keesokan harinya.

52. Saya mendapat tahu bahawa amalan ini juga telah diperkenalkan oleh beberapa syarikat di negara Jepun di waktu itu.

53. Saya kemudiannya telah mendapat tahu dari salah seorang majikan bahawa dengan cara ini pihak pekerja mendapat peluang untuk melepaskan geramnya dan berasa lapang setelah bertindak ganas terhadap patung-patung itu. Pada pendapat majikan yang penting bukan sahaja baju dan meter tetapi ada lagi satu alat, seperti meter juga, yang menunjukkan kekuatan sesuatu pukulan yang dibuat.

54. Pekerja merasa puas jika baju majikan terkoyak, jumlah orang yang membelasah juga ramai dan berat pukulan yang dideritai oleh patung majikan juga begitu tinggi kerana berat pukulan ini hanya untuk yang terkuat sekali, dan pukulan yang bersahaja tidak akan menurunkan bacaan.

55. Kepuasan beginilah yang ingin saya persembahkan kepada ATS (Anonymous Tidak Sopan) apabila saya tidak menghalang mereka dari mendedahkan isi hati dan sikap yang tertangguh kesuciannya di dalam blog ini.

PILIHAN KITA
56. Yang penting sekarang ini apakah pilihan kita di Malaysia:

56.i. Meminjam sikap Kukrit Pramoj yang ingin untuk berkuasa dan tidak berbuat apa-apa supaya tidak bersalah untuk dijadikan bahan kritik bagi menjatuhkannya?

56.ii. Mewujudkan projek yang boleh melalaikan rakyat supaya pemimpin atau ketua tidak dikritik oleh rakyat sebagaimana sebagaimana yang dilakukan oleh Bernhard Georg Carstensen yang mewujudkan Tivoli Garden di Denmark?

56.iii. Menjadi karyawan yang tidak berbuat apa-apa kecuali menggunakan masa untuk mencari kesalahan orang yang berkerja dan yang tidak berkerja? atau

56.iv. Menjadi patung getah yang didirikan di kilang dan pasaraya di Jerman dan Jepun untuk pekerja yang tidak mahu kepada kerja berat dan perubahan supaya boleh menggunakan tenaga dan perasaan dengan menampar, menumbuk, menyepak atau menendang patung-patung itu supaya pekerja yang mengganas menjadi letih dan puas atas perbuatannya yang boleh difahami oleh majikannya, melalui meter-meter, tahap kebenciannya kepada yang membantu memajukan syarikat yang memberi pekerjaan, sebagai saluran rezeki kepada mereka? atau

56.v. Menjadi manusia yang menggunakan tempat, kedudukan atau jawatan yang ada padanya, pada bila-bila masa, untuk berbakti dan membuat sesuatu dengan niat mencari pahala, rezeki yang halal, berkhidmat untuk masyarakat dan rakyat dengan harapan mendapat keredhaan Allah s.w.t., tanpa mempedulikan apa orang kata.

PENUTUP

57. Dengan ini saya mendo'akan semoga Allah s.w.t. membuka hati kita semua kepada kebenaran atau sekurang-kurangnya keikhlasan seseorang. Terima kasih kerana sudi membaca.

6 comments:

Jokiden said...

Assalam Tan Sri,

1. Saya baca blog Tan Sri, tetapi jarang komen. Kisah kali ini tetap menarik.

2. Pada 1 Jun 2012, saya tulis dalam blog saya kisah raja tidak bergaji, saya masukkan apa yang Tan Sri pernah tulis pada 25/2/10. Mohon maaf kerana cilok tanpa kebenaran.

3. Pada tahun 1981, 'lama dah' saya pernah tanya Tan Sri kenapa ramai sangat Indon di Chowkit Road, masa itu saya berkursus di Intan dan Tan Sri Datang. Jawapan Tan Sri saya ingat hingga hari ini. Betul.. tetapi..

4. Tan Sri tak mahu ke komen pasal aktiviti Tamrin Ghaffar yang sudah agak 'lebih' dewasa ini?

Mohd Taib Selangor. said...

Kenapa Tan Sri Menyokong Tun Ghafar Baba untok bertanding jawatan Timbalan President dan tidak menyokong Anwar.walau pun Tan Sri tahu bahawa idea untok Anwar bertanding datand dari Daim.Tan seri juga tahu yang hampir kesemua MB yang merupakan ketua perhubongan menyokong Anwar.Sebabnya kerana Tan Sri tak mahu Anwar yang junior di MCKK menjadi ketua UMNO dan Tak Sri tidak dapat menerima hakikat yang Tan Sri terpaksa mengambil arahan dari saorang yang junior.Period.

Tan Sri tahu yang Tun Ghafar pasti kalah dan kenapa Tan Sri masih berdegil untok menyokongnya.Bukan kah ini tindakan ahli politik yang mengikut emosi dari fikiran waras.

Salam.

Farid arrfin said...

Saya amat tertarik dengan komen Tan sri berhubongan dengan kawan kawan Anwar yang telah meninggalkannya dan satengah satengahnya menentangnya.

Boleh saya katakan kebanyakan mereka terutamanya Sdr Izam dan Ibrahim Ali adalah kerana mereka lebeh mementingkan habuan dari perjuanngan.Saya amat terkejut apabila sdr Izam dapat membuat rumah yang bagitu besar di Shah Alam salepas ia bersara dari menjadi setpol Anwar.

Didalam Islam kita tidak dibenarkan untok mengupat.ini merupakan dosayang besar.Jika kita tahu keburokan saudara kita,kita perlu nasehat kapadanya dengan baik dan minta ia betulkan kesalahannya.bukan kita mencaci dan memburokkannya di kalayak ramai.

Jika benar Anwar homoseksual,kita tegor dia sacara baik.Bukan menghentamnya dikalayak ramai.Dia mempunyai anak dan keluarga kenapa kita harus memalukannya.Jika ini satu kesalahan besar ianya sama saperti zina,boleh dimaafkan Allah.Hanya dosa Shik yang tidak boleh dimaafkan.
Bukankah ini adab yang diajar oleh ugama Islam.

Ini nasehat dari mufti Zimbabawi.Ismailmenk.

There are always two sides to a story and at times even more.
It is totally unacceptable to make our mind up negetively about another person or behave badly toward them based solely on what we heard about them,without giving them a chance to explain themselves fully.

If we are no prepare to do this much,then we must ignore the entire matter.

In fact if it does not concern us then we should not have even entertained the tales from the vary beginning.

There are so many misunderstanding regarding people in these times for many petty and personal reasons too.

Getting caught up in such a mess could mean oppressing an innocent person whom we could have benefited from greatly in one way or another and who is probably cleaner than those who carried the talemto us.

Remenber,giving people the benefit of the doubt when in doubt is recommended.

Also,anything positive or good about others may be spread without clarification as it isnotnoppressive to do so.

www.facebook.com/muftimenk

Anonymous said...

sanusi tanam padi atas bumbung, pls check with your chinese friend ... four in mandarin is not"si" and "lak" does not mean pukul. Merapu betoi hang ni

Anonymous said...

Anon July 9, 2012 9:16 PM,
Amboi hang pandai sungguh. Bahasa Mandarin pun pandai. Hang tak tahukah ‘4’ itu maknanya mati samada kamu baca ‘si’, ‘sie’ and ‘tze’ atau lain2. Tu sebab di bangunan bertingkat depa bagi angka 3A bagi tingkat ‘4’ dan angka ‘13A’ bagi tingkat ‘14’. Sanusi pun satu hai. ‘Lak’ tu bukan erti ‘pukul’. Bagi China yang main ‘loto’ mereka tahu ‘9’ itu pukui kerana kerekot huruf macam merton. Kalau angka ‘7’ China kata ‘Changkul’ dan angka ‘8’ China kata ‘Cermin Mata’. Awat Sanusi tak explain macam bila dia berucap. Jangan kata bahasa Mandarin kata; kata saja ‘maksud’ nomboi ‘9’. China main loto tahulah. Tanam padi ataih bumbung tok sah sebut lah. Orang bodoh saja yang tak faham walau pun pandai bahasa Mandarin.

Anonymous said...

4 cina kata mati melayu tengok 4444 kaki org kaya bersilang.