Monday, August 27, 2012

MELAYU TEMPERAMENTAL - RIZAL ABD RAHMAN

MINAT BERMUSIM

Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

1, Selamat hari raya kepada semua yang berpuasa di kalangan umat Islam.

2. Beberapa waktu yang lalu saya telah diberitahu oleh seorang pembaca blog ini bahawa ada satu rencana di dalam Berita Harian terbitan tanggal 28 Julai, 2012 dengan tajuk " Suka perkara bermusim punca masalah Melayu tertimbun" .

3. Sekembali ke rumah saya pun membaca ruangan surat-khabar itu dan pembantu saya menyatakan bahawa rancana ini telah pun lebih awal disiarkan dalam blog The Malaysian Insider.

4. Setelah dua saluran pendedahan yang popular ( The Malaysian Insider dan Berita Harian ) menyiarkannya saya pun menerima beberapa jemputan untuk bersyarah atas apa yang saya katakan, dan diketengahkan oleh Berita Harian sebagai tajuk kecil 'Bangsa Melayu mempunyai pelbagai masalah yang diwarisi mereka kerana budaya temperemental'.

5. Sebelum saya ketengahkan ucapan asal saya yang sudah terlalu lama, mengenai tajuk ini (jika saya dapat mencarinya) saya turunkan dulu apa yang ditulis oleh Rizal Abd. Rahman sebagai seorang yang saya baru kenal dan merasakan pelajar ini, di satu masa nanti, boleh menjadi 'Winnable Candidate' dalam pilihanraya.

6. Oleh kerana seseorang 'Winnable Candidate' itu juga belum tentu akan mengabdikan diri kepada rakyat apabila sudah menang, dan leka dengan urusan lain, maka jika dari sekarang  Rizal mengelak dari bergelumang dalam maksiat zina, liwat, boros dan rasuah, maka negara ini mempunyai masa depan yang baik apabila selesai Pilihanraya Umum ke 14 nanti.

7. Ya, tak silap, bukan 13 tetapi 14.

8. Dalam ucapan saya di Dewan Malaysia di Jakarta pada malam 13hb Julai, 2012 yang lalu Rizal telah bertanya kepada saya atas sebabnya Melayu yang sifatnya bermusim dan berminat kepada politik kerana pilihanraya diadakan kira-kira 5 tahun sekali, tetapi kini nampaknya berpolitik berterusan tanpa menunggu musim pilihanraya.