Monday, August 27, 2012

MELAYU TEMPERAMENTAL - RIZAL ABD RAHMAN

MINAT BERMUSIM

Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

1, Selamat hari raya kepada semua yang berpuasa di kalangan umat Islam.

2. Beberapa waktu yang lalu saya telah diberitahu oleh seorang pembaca blog ini bahawa ada satu rencana di dalam Berita Harian terbitan tanggal 28 Julai, 2012 dengan tajuk " Suka perkara bermusim punca masalah Melayu tertimbun" .

3. Sekembali ke rumah saya pun membaca ruangan surat-khabar itu dan pembantu saya menyatakan bahawa rancana ini telah pun lebih awal disiarkan dalam blog The Malaysian Insider.

4. Setelah dua saluran pendedahan yang popular ( The Malaysian Insider dan Berita Harian ) menyiarkannya saya pun menerima beberapa jemputan untuk bersyarah atas apa yang saya katakan, dan diketengahkan oleh Berita Harian sebagai tajuk kecil 'Bangsa Melayu mempunyai pelbagai masalah yang diwarisi mereka kerana budaya temperemental'.

5. Sebelum saya ketengahkan ucapan asal saya yang sudah terlalu lama, mengenai tajuk ini (jika saya dapat mencarinya) saya turunkan dulu apa yang ditulis oleh Rizal Abd. Rahman sebagai seorang yang saya baru kenal dan merasakan pelajar ini, di satu masa nanti, boleh menjadi 'Winnable Candidate' dalam pilihanraya.

6. Oleh kerana seseorang 'Winnable Candidate' itu juga belum tentu akan mengabdikan diri kepada rakyat apabila sudah menang, dan leka dengan urusan lain, maka jika dari sekarang  Rizal mengelak dari bergelumang dalam maksiat zina, liwat, boros dan rasuah, maka negara ini mempunyai masa depan yang baik apabila selesai Pilihanraya Umum ke 14 nanti.

7. Ya, tak silap, bukan 13 tetapi 14.

8. Dalam ucapan saya di Dewan Malaysia di Jakarta pada malam 13hb Julai, 2012 yang lalu Rizal telah bertanya kepada saya atas sebabnya Melayu yang sifatnya bermusim dan berminat kepada politik kerana pilihanraya diadakan kira-kira 5 tahun sekali, tetapi kini nampaknya berpolitik berterusan tanpa menunggu musim pilihanraya.

9. Saya menjawab kerana faktor orang China. Saya jelaskan di meja makan kerana Melayu tidak bersatu maka kini Melayu, dari parti mana jua, takut tak dapat undi China, takut jika tak layan China dan takut lagi jika dimarahi oleh China. Usaha menawan hati China inilah yang membuat Melayu tidak menunggu musim untuk berpolitik, tetapi berpolitik secara berterusan sehingga pihak China sudah mendapat apa yang mereka mahukan. Inilah rencananya:

The Malaysian Insider,
Side Views,
July 16, 2012

16 JULAI — Dua belas tahun sebelum saya dilahirkan, Tan Sri Sanusi Junid, seorang tokoh Melayu yang selama lebih 20 tahun menjawat pelbagai jawatan dalam kepimpinan negara pernah menyebut dalam salah satu ucapannya ketika merasmikan simposium Melayu di Universiti Malaya, bahwa bangsa Melayu mempunyai pelbagai masalah yang diwarisi mereka kerana budaya “temperamental”.

Di dalam ucapan perasmian tersebut, beliau menyebut bagaimana budaya temperamental iaitu budaya yang suka kepada hal bermusim menjadi kemungkinan alasan bangsa Melayu ini gemar menjadi nelayan di pantai Timur kerana adanya musim tengkujuh tetapi tidak di pantai Barat yang cuaca hampir sama sepanjang tahun; gemar menanam padi yang hanya menuntut mereka bekerja menuai dua kali setahun tetapi tidak menanam sayur yang harus dijaga pada setiap waktu; dan Melayu juga meminati politik disebabkan ia datang 5 tahun sekali tetapi tidak di bidang ekonomi yang harus diawasi sepanjang masa.

Suka perkara yang bermusim ini juga menjadi antara sebab pelbagai masalah tidak dapat diselesaikan secara tuntas oleh orang Melayu. Belum satu masalah selesai, masalah lain datang dan masalah lama dilupakan sahaja. Masalah akhirnya bertimbun, diwarisi dari generasi ke generasi.

Hari ini ketika hampir 30 tahun selepas Sanusi mengulas masalah tersebut, budaya temperamental ini masih saja diwarisi dan masalah yang timbul tidak banyak yang dapat diselesaikan. Sebagai contoh, orang Melayu hari ini masih saja mudah dimainkan dengan masalah yang datang bermusim seperti fitnah rambang sehingga mereka lebih memilih untuk mempercayai tuduhan daripada proses mencari tahu kebenaran dan kemudian melupakan saja cerita tersebut kerana mula dibelengu dengan masalah lain yang sengaja ditimbulkan.

Orang Melayu juga memilih untuk bersatu hanya pada musim-musim tertentu sahaja. Sejarah Malaysia membuktikan penyatuan orang Melayu awalnya terjadi bila hak mereka tergugat semasa Malayan Union diperkenalkan, maruah mereka dihina apabila seorang Cina kencing di depan rumah Menteri Besar Melayu pada Mei 1969, dan apabila mereka berasa terancam semasa orang lain mengusik tentang keistimewaan mereka yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

Di luar musim atau masalah yang dihadapi, mereka lebih memilih untuk duduk secara berpuak-puak. Tidak hairanlah walaupun satu bangsa, Melayu selalu saja iri hati antara satu sama lain, selalu menuduh satu orang lebih Melayu dari yang lain bahkan gamak menunjuk siapa masuk syurga dan siapa tidak berdasarkan puak mereka.

Sifat temperamental ini juga tidak mengenal usia. Pada anak-anak muda Melayu, mereka tidak bersatu di universiti dalam pembelajaran mereka tetapi memilih bersatu bila ada orang mengaku ingin memansuhkan hutang mereka. Sifat temperamental yang lebih umum di kalangan anak Melayu juga berkaitan cara mereka menelaah pembelajaran yang berbeza dengan anak bangsa lain. Anak Melayu gemar belajar mengikut musim, yakni belajar hanya apabila dekat dengan musim-musim peperiksaan sahaja.

Profesor Di Raja Ungku Aziz, seorang tokoh pendidikan Malaysia dalam tulisannya mengulas bahawa kerana terperangkap secara tidak langsung dari kesan jajahan barat, bangsa Melayu susah bahkan tidak sanggup untuk berubah dengan sendirinya. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka jugak tidak suka memikirkan sesuatu secara mendalam. Bangsa Melayu hanya boleh berubah dengan kunci pendidikan dan kepimpinan yang baik.

Memilih pemimpin yang tegas dan fokus berkerja di kalangan orang Melayu adalah penting jika benar-benar mahu menyelesaikan masalah-masalah yang ada. Pemimpin terpilih mestilah pemimpin masyarakat yang berjiwa rakyat, tidak hanya modal pandai bercakap dan popular tetapi mereka yang benar-benar mahu menyelesaikan masalah Melayu. Pemimpin ini juga mesti jujur dan bebas dari sifat 'temperamental' dalam memimpin, iaitu mampu memimpin dengan baik pada sepanjang masa, bukan pada waktu ingin menyelesai masalah peribadi atau menjelang musim pilihanraya maupun mesyuarat pemilihan jawatan dalam organisasi mereka sahaja.

* Penulis adalah aktivis mahasiswa Malaysia di Jakarta.

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

No comments: